Teknologi internet adalah merupakan kombinasi antara teknologi komputer dan komunikasi. Teknologi ini telah berkembang dengan pesat dan memberi impak kepada pendidikan dalam pelbagai aspek. Kemudahan yang disediakan khususnya World Wide Web, mel elektronik, forum perbincangan dalam talian semakin rancak digunakan kini sebagai medium perkongsian, penyebaran maklumat serta saluran komunikasi utama.
Teknologi multimedia interaktif menerusi web pula adalah fenomena baru yang semakin mendapat perhatian ramai. Pengintegrasian antara kedua-dua teknologi membawa perubahan dalam penggunaan teknologi dan khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan media adalah bermaksud penggunaan alat dan bahan yang membawa mesej atau maklumat isi pelajaran yang direkabentuk untuk pengajaran pelajar. Contoh media pengajaran adalah nota, OHP, video imager, disket, CD-ROM, cakera padat, internet, komputer, VCD, papan putih, DVD, mikrofon dan realia. Internet adalah punca kepada ICT ini.
Kajian (Rafie, 1994) mendapati bahawa ransangan media bercetak dan gabungan media dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam penulisan karangan. Kajian Toh dan Abd. Rahim (1994) mendapati pelajar yang didedahkan dengan empat mod pengajaran mempunyai motivasi yang tinggi berbanding dengan pelajar yang hanya didedahkan kepada satu mod pengajaran sahaja. Perry (1993) dalam kajiannya mendapati media pengajaran ini berfaedah kerana ia meningkatkan minat dan perhatian pelajar, menggalakkan maklumbalas bagi pelajar dan pengajar, dan kepimpinan dalam teknologi pendidikan dapat diwujudkan. Menurut Jonassen (1999), kemudahan hiperteks dan hipermedia yang terdapat dalam internet dapat menyediakan suasana pembelajaran yang bercirikan konstruktif. Pembelajaran menerusi multimedia mempunyai banyak kelebihan dan antara yang utama menurut Alessi dan Trollip (2001) dalam buku mereka bertajuk Multimedia For Learning adalah :
i. Pelajar boleh mencapai bahan pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada.
ii. Bahan sokongan pembelajaran boleh dirangkaikan daripada sumber tambahan yang terdapat di seluruh dunia.
iii. Pengurusan dan mengemaskini bahan pembelajaran menjadi semakin mudah dan pantas.
iv. Pelbagai bentuk saluran komunikasi boleh disediakan bagi kegunaan pelajar dan pendidik.
Kepelbagaian penggunaan media pengajaran yang merangkumi ICT ini dapat menghasilkan perubahan dan P&P seperti pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan oleh tajuk yang berkenaan; pelajar memperoleh pengalaman yang bermakna dan menarik minat mereka untuk meneruskan pembelajaran; dan pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam situasi yang perlu. McGloughlin (1997) dalam bukunya bertajuk Multimedia On Web menyatakan terdapat pelbagai faktor mengapa
perlunya teknologi multimedia diintegrasi bersama-sama teknologi web atau internet antaranya
adalah:-i. Meningkatkan minat para pengguna
Penggunaan multimedia dapat menjadikan proses pencarian maklumat sesuatu yang menyeronokkan dan menghiburkan. Interaktiviti dalam sistem multimedia membolehkan sesuatu proses latihan atau pengajaran dijalankan mengikut kesesuaian, keperluan dan cita rasa pelajar. Penggunaan elemen-elemen multimedia dalam proses P&P di dapati mampu menarik minat pelajar supaya mereka tidak berasa bosan dan dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (Thomas,1996). Keistimewaan sistem multimedia adalah ia dapat menerima tindak balas berbentuk teks yang ditaip ataupun suara yang dimasukkan melalui mikrofon oleh para pelajar. Kaedah ini dapat menyediakan suasana saling tindak antara pelajar dan komputer.
ii. Mengurangkan masa bagi menguasai aplikasi.
Menggunakan multimedia membolehkan sesebuah aplikasi digunakan dengan mudah dan seterusnya menjimatkan masa bagi tujuan penguasaan. Penggunaan media seperti video dan animasi apabila mempersembahkan proses ujikaji atau eksperimen membolehkan seseorang pelajar memahami dan seterusnya menguasai konsep yang diajar dengan mudah. Terdapat pelbagai jenis aplikasi yang memanfaatkan teknik simulasi yang dapat digunakan dalam pendidikan; contohnya simulasi penerbangan. Quinn (1993) dan Palincsar (1995) misalnya telah mendapati bahawa penggunaan simulasi berkomputer di dalam proses pembelajaran mampu meningkatkan kemahiran pelajar untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diberikan dengan lebih berkesan. Ini turut disokong oleh kajian Farrimond dan rakan-rakan (1997) yang telah memanfaatkan teknologi multimedia terkini untuk memindahkan kaedah pembelajaran secara kajian kes tradisi kepada simulasi komputer. Penggunaan multimedia yang membekalkan pelbagai jenis maklumat dalam pelbagai bentuk media dan pendekatan dapat membantu dalam pembentukan corak ingatan yang lebih kompleks dan seterusnya memudahkan proses capaian maklumat tersebut dilakukan pada masa hadapan.
iii. Meningkatkan kebolehan capaian
Dengan menggunakan pelbagai media, kebolehan capaian terhadap sesuatu isi kandungan dapat dipelbagaikan. Sumber rujukan elektronik seperti ensaiklopedia, tutorial interaktif, buku elektronik dan sebagainya yang merupakan sumber elektronik dalam proses P&P
membantu seseorang pelajar meningkatkan kebolehcapaian dalam internet. Ini adalah kerana multimedia berupaya menyediakan persekitaran pembelajaran yang berbentuk pelbagai pancaindera dan ia sesuai untuk manusia yang mempunyai pelbagai gaya pembelajaran dan tahap kognitif.
iv. Meningkatkan pemahaman dan pengekalan informasi dalam ingatan.
Penggunaan pelbagai media yang dinamik membolehkan seseorang memahami sesuatu isi kandungan dengan lebih pantas dan seterusnya menyimpan informasi yang diterima ke ingatan jangka panjang. Kajian saintifik membuktikan proses ingatan yang berlaku dalam otak manusia mudah dilaksanakan apabila manusia menerima pelbagai pengukuhan dengan menggunakan pelbagai jenis media seperti teks, audio, grafik dan animasi. Manusia lebih mudah memahami dan seterusnya mengingati sesuatu maklumat apabila ia mempunyai perkaitan atau pertalian dengan maklumat yang lain.
Disamping berupaya menarik perhatian elemen-elemen multimedia yang ditawarkan juga mampu membantu seseorang pelajar melakukan proses visualisasi. Ini secara tidak langsung membentuk kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep, proses, idea dan sebagainya dengan lebih pantas dan jelas. Sifat semulajadi media tersebut menyokong proses interaksi dan membentuk persekitaran pembelajaran serta menjadikan pelajar lebih aktif dalam kelas.
6.0 Kesimpulan
Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendididikan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal 60an lagi. Malaysia tidak ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan berasaskan komputer ini. Dalam konteks pendidikan, ia bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran.
Konsep pembelajaran berasaskan peralatan teknologi komunikasi (ICT) khususnya internet dianggap semakin popular dan penting untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian seseorang
pelajar di dalam pelajarannya. Kajian menunjukkan stail pembelajaran pelajar banyak mempengaruhi hasil pembelajaran. Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan aplikasi seperti internet dapat membantu pengurusan dan pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan pendidik, pelajar, ibu bapa dan ahli masyarakat yang prihatin. Penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar sendiri mencari maklumat dan bahan asal; memudahkan kolaboratif dan perbandingan global; dan membolehkan bahan-bahan multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah.
Kepesatan teknologi internet ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pendidik dan pelajar demi memartabatkan lagi pendidikan ke arah kecemerlangan pendidikan. Walaupun terdapat masalah yang timbul ianya bukan satu isu yang tidak boleh diatasi malah kerajaan telah membuat pelbagai perancangan dan perlaksanaan seperti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010 dalam memartabatkan ICT di Malaysia. Antara program yang dilaksanakan adalah program latihan dan pendidikan ICT diperluaskan lagi di peringkat sekolah, prauniversiti dan IPT adalah pembangunan kemahiran teras dalam pelbagai bidang seperti pembangunan perisian dalam sains hayat dan aplikasi pengetahuan juga kelonggaran prakelulusan kurikulum kepada IPT supaya selaras dengan kehendak dan keperluan industri. Sistem pendidikan yang berkembang pesat selaras dengan kehendak dan aspirasi negara ini perlulah mengaplikasikan ICT khususnya dalam penggunaan teknologi internet supaya sistem pendidikan tidak ketinggalan jauh berbanding dengan negara maju.
Rujukan :
Rozinah Jamaludin (2003), Teknologi Pengajaran, Terbitan USM
Muhamad Hasan Abdul Rahman (2000). Media Pengajaran Penghasilan Bahan Pengajaran Berkesan, Terbitan UPM
Rozinah Jamaludin (2000) Multimedia dalam Pendidikan, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd
Musa Abu Hassan (2002) Peranan dan Penggunaan ICT di Kalangan Masyarakat, Terbitan UPM Mohd Khalit Othman dan Mustaffa Kamal bin Mohd Nor : Kajian Pakej Pembelajaran Berasaskan Internet: Satu Kajian Terhadap Pakej Pembelajaran Bagi Subjek Matematik di Peringkat SPM, UM
Ong Teck Seng (2000) Kajian Tahap Penggunaan Internet di Kalangan Guru-Guru Sekolah Menengah di Bahau, Negeri Sembilan, UPM
Sunal, Smith & J. Britt (1996). Elemetary Perceive Teaacher Use of the Internet In Designing & Teaching Social Studies Based Integrated Units, National Council For Social Studies. Washington D.C
Sunal, Cyntia, S. Smith (1998). Using Internet To Create Meaningful Instruction, Social Studies, Jan/Feb 98 Vol. 89 Issue 1
Zoraini Wati Abas (1993) Komputer dan Pendidikan. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti
Zoraini Wati Abad (2000) Computer Use In School Still Lacking. Computimes: NST, 13 Julai, pp 31.
Nik Azis Nik Pa (1996). Konsep Maktab Perguruan Bestari. Jurnal Pendidikan Guru (77)
Ting Kung Shiung, Woo Yoke Ling (2005) Penggunaan ICT Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Kalangan Guru Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional : Sikap Guru, Peranan ICT dan Kekakangan/Cabaran Penggunaan ICT, Seminar Pendidikan 2005, UTM
Household Use The Internet Survey by Malaysian Communications and Multimedia Comission Rancangan Malaysia KeSembilan, EPU
http://161.139.39.251/akhbar/info.tech/1996/um96a28.htm
http://asnizamusa.tripod.com/ge6663tug1.html#Kegunaan%20Internet