• Tidak ada hasil yang ditemukan

Jadual 1.3: Ringkasan Objektif dan Persoalan Kajian

1.6 DEFINISI OPERASIONAL

1.6.4 Tingkah Laku Kepatuhan

Muller (1986) mendefinisikan tingkah laku sebagai sikap seseorang terhadap sesuatu objek yang dapat mempengaruhinya dalam membuat keputusan. Selanjutnya Bicard, Bicard, dan the IRIS Center (2012) menjelaskan tingkah laku merupakan sesuatu yang boleh diperhatikan, diukur dan dilakukan secara berulang oleh individu. Dalam penelitian lain, Garry Martin dan Joseph Pear (2003) pula menjelaskan tingkah laku merangkumi aktiviti, tindak balas, tindakan dan reaksi. Kepatuhan pula merujuk kepada perubahan tingkah laku seseorang individu yang dipengaruhi oleh beberapa

12 Muhammad Kamal „Atiyah (1995:124), aplikasi pengiraan kadar zakat pendapatan di Malaysia ialah 2.5%. Terdapat tiga kaedah pengiraan zakat pendapatan iaitu pendapatan kasar, pendapatan bersih dengan tolakan kos yang dibenarkan dan pendapatan bersih dengan tolakan kos sebenar.

faktor antaranya pengaruh individu atau kumpulan individu, arahan untuk melakukan sesuatu tetapi dia mempunyai pilihan sama ada untuk menerima atau menolak arahan tersebut (Breckler, Olson & Wiggings, 2006).

Dalam konteks Islam, pendefinisian tingkah laku adalah bersandarkan nilai akhlak Islam yang mendorong kepada tingkah laku tersebut. Menurut Haron Din et al. (1991:6), dalam Islam terdapat dua asas yang umum dan menyeluruh iaitu akidah dan syariat; atau keimanan dan ketaatan; atau ilmu dan amal yang memacu manusia dalam berakhlak. Seseorang perlu berpegang kepada akidah yang benar agar amal atau usaha gerak laku perbuatan tersebut selaras dan menepati dengan kehendak akidah. Manakala kehendak dan kemahuan akidah diperlihatkan dalam bentuk syariat yang mengandungi peraturan, disiplin dan perundangan yang mesti dipatuhi oleh manusia sama ada dalam tingkah laku dengan manusia, alam sekeliling dan Allah SWT. Nilai akhlak dalam Islam jelas menggambarkan akhlak ialah roh kepada agama yang merangkumi semua bidang sama ada dari sudut ibadah, muamalat dan keimanan. Manakala akhlak tanpa asas akidah tidak akan mampu membina sistem akhlak dalam Islam.

Seterusnya Imam al-Ghazali (1980, 2015:197) menghuraikan tingkah laku seseorang Muslim berkait rapat dengan akhlak yang terbentuk daripada ikatan yang kukuh antara akal dengan agama. Akhlak ini akan menjadi pendorong kepada sesuatu tingkah laku sama ada baik atau pun buruk (al-Ghazali, 1980). Selain itu, penekanan terhadap kebahagiaan hidup akhirat meletakkan akhlak dan agama di tempat yang kukuh dan tidak terpisah. Dalam hal ini, akhlak yang baik akan memacu kepada kepatuhan dalam urusan ibadah seperti yang telah disyariatkan dalam Islam. Dalam

kajian ini, tingkah laku kepatuhan yang dimaksudkan ialah sesuatu perbuatan yang patuh dan memberi komitmen secara berterusan dalam urusan ibadah dengan meletakkan iman, ilmu dan akhlak sebagai panduan dalam mengarahkan tingkah laku tersebut untuk mendapat keredaan Allah SWT.

1.7 SKOP DAN BATASAN KAJIAN

Kajian ini secara umumnya tertumpu pada aspek niat yang dibincangkan dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan. Secara khususnya, kajian ini berfokus kepada konsep niat dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan yang dianalisis berdasarkan tasawur dan epistemologi Islam. Analisis ini pada hasilnya bertujuan merumuskan secara terperinci konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan. Walau bagaimanapun, dalam proses menjalankan kajian ini, ia dibataskan daripada tiga aspek seperti berikut:

i. Batasan subjek kajian: Subjek kajian dibataskan kepada perbincangan berkaitan konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan merangkumi asas-asas pembentukan niat dan penentu-penentu niat berteraskan Islam.

ii. Batasan bentuk kajian: Kajian ini membataskan kepada kajian berbentuk teoretis sahaja. Pembinaan bidang tujahan ini dilakukan secara praktikal, bermula dengan penelitian yang dilakukan secara teori dan seterusnya difokuskan kepada pembinaan konsep. Bagi mengukuhkan pembinaan konsep awal ini, kajian lapangan dilakukan bertujuan mendapatkan pandangan pakar yang terdiri daripada kumpulan Mufti, Ahli Akademik, Pengamal Zakat dan Tokoh Agama menerusi sesi temu bual mendalam telah dilakukan. Penjelasan lanjut mengenai responden dan justifikasi pemilihan

mereka dijelaskan dalam Bab Tiga.

iii. Batasan analisis kajian: Analisis kajian ini melibatkan analisis kandungan menggunakan perisian komputer iaitu ATLAS.ti versi 7.5. Kaedah ini dipilih kerana ia merupakan teknik penyelidikan yang menghasilkan sesutu kesimpulan menjadi lebih sistematik dan tersusun. Seterusnya perisian ATLAS.ti versi 7.5 ini digunakan untuk menganalisis maklumat temu bual bagi menzahirkan makna mengikut fenomena kajian hingga terbina suatu penemuan yang baharu.

1.8 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini amat penting untuk dijalankan atas sebab-sebab berikut:

i. Setakat ini, kajian yang membincangkan konsep niat berteraskan Islam masih kurang dilakukan. Apatah lagi, kajian yang meneliti pembentukan konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan. Oleh yang demikian, perkara yang hendak dibincangkan dalam kajian ini ialah suatu perkara baharu merangkumi asas-asas dan penentu-penentu niat berteraskan Islam dalam tingkah laku kepatuhan yang belum pernah dibincangkan secara mendalam oleh sarjana terdahulu.

ii. Perbincangan secara spesifik mengenai konsep niat dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan masih bersandar kepada teori-teori lazim yang dipelopori oleh sarjana Barat. Walaupun ada usaha untuk mengetengahkan faktor keagamaan dalam pembentukan konsep niat ini, namun ia tidak menyeluruh dari sudut tasawur dan epistemologi pembinaannya. Justeru kajian ini perlu dijalankan bagi menampung kekurangan penulisan mengenai konsep niat berteraskan Islam dan memperdalamkan penelitian khususnya

pembinaan konsep bersumberkan al-Qur‟an dan hadith Rasulullah SAW secara lebih komprehensif. Lebih komprehensif di sini bermaksud lebih jelas dan lengkap dalam memahami permasalahan sebenarnya yang dialami oleh masyarakat Islam berkaitan kepatuhan dalam ibadah zakat pendapatan. Selain itu, ia juga dapat menyelesaikan masalah berkaitan niat dalam ibadah ini dengan lebih tepat.

iii. Penganalisisan yang dilakukan dalam pembentukan konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku zakat pendapatan ini dapat melahirkan suatu pengetahuan baru. Pengetahuan yang dimaksudkan adalah berkaitan pemahaman asas-asas yang membentuk niat dalam tingkah laku dan penentu-penentu niat yang dianalisis berdasarkan tasawur dan epistemologi Islam yang sebenar

iv. Kajian ini penting untuk menyalurkan maklumat kepada pihak pengurusan zakat seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) amnya dan MAINPP khususnya untuk memahami aspek niat dalam tingkah laku kepatuhan muzakki dalam ibadah zakat pendapatan. Ia bertujuan agar langkah dan tindakan yang lebih berkesan dapat dilakukan dalam meningkatkan kepatuhan masyarakat Islam dalam ibadah ini.

1.9 SUMBANGAN KAJIAN

Kajian ini diharap dapat memberikan dua sumbangan seperti berikut:

i. Kajian ini dapat memberi manfaat kepada semua pengkaji amnya dan para pengkaji Muslim khususnya dalam memahami konsep niat berteraskan Islam yang sebenar.

ii. Kajian ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada penerokaan secara saksama terhadap konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan yang dikaji secara akar umbi daripada perspektif pemikiran Islam berdasarkan al-Qur‟an dan hadith Rasulullah.

iii. Kajian ini dapat menyumbang sebagai salah satu rujukan kepada para pengkaji yang cuba menganalisis kepatuhan dalam tingkah laku Muslim. Melalui kajian ini, para pengkaji dapat mengadaptasi konsep niat berteraskan Islam yang dibangunkan dalam kajian ini sebagai satu pendekatan akademik bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan.

iv. Kajian ini dapat menyumbang dalam menambahkan karya khazanah ilmu dalam Islam amnya dan ilmu muamalah dalam berzakat secara khasnya. Secara emperikal, kajian ini dapat mengaplikasikan penyelidikan berkaitan niat dengan menggunakan konsep niat berteraskan Islam.