• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 2 TINJAUAN KAJIAN-KAJIAN LEPAS

2.5 Tinjauan Kajian-Kajian Lepas

Pengkaji telah mendapati bahawa kajian-kajian kata pinjaman yang terdahulu di Malaysia kurang memberikan tumpuan kepada aspek semantik dalam manga. Oleh itu, pengkaji telah mengambil langkah untuk memenuhi jurang dalam bidang ini. Secara amnya, kata pinjaman bahasa Inggeris dalam bahasa Jepun telah mendapat tumpuan pelbagai aspek kajian daripada ahli linguistik bahasa sejak 100 tahun dahulu (Bordilovskaya, n.d..).

Honna (1995) merupakan salah seorang pengkaji yang menyelidik status perkataan bahasa Inggeris dalam bahasa Jepun. Honna (1995) menyimpulkan bahawa peminjaman leksikal, tatabahasa dan pragmatik daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Jepun merupakan satu fenomena yang kompleks dan perlu dikaji melalui 3 pendekatan iaitu secara struktural, fungsional dan sosio-linguistik. Berdasarkan kajian ini, Honna (1995) telah mengkategorikan bentuk-bentuk kata pinjaman bahasa Inggeris dalam bahasa Jepun seperti berikut :-

i) Pengurangan dan perubahan makna/ Semantic narrowing and shift

ii) Perkataan bahasa Jepun baru yang dicipta berdasarkan kata pinjaman bahasa Inggeris/ Japanese phrasing of English

iii) Pemendekan suku kata akhir/ Tail abbreviation iv) Akronim

vi) Gabungan perkataan bahasa Jepun dengan kata pinjaman bahasa Inggeris vii) Word play

Kuang (2009), dalam kajiannya bertajuk Common Loanwords Identified in Japanese Music Magazines, telah meneliti kata pinjaman bahasa Jepun bergenrekan muzik. Dalam kajiannya juga, didapati bahawa 93.9% daripada kata pinjaman itu berasal dari perkataan bahasa Inggeris. Beliau juga mendapati bahawa penggunaan kata pinjaman tersebut telah diubahsuai mengikut konteks majalah-majalah tersebut.

Kajian oleh Shimada (1999) yang bertajuk Functions of Loanwords in Japanese Newspaper pula memberi penekanan pada empat fungsi kata pinjaman dalam surat khabar Jepun iaitu sebagai istilah teknikal, untuk mengisi jurang perkataan, untuk menonjolkan imej dan menggantikan perkataan asal. Shimada (1999) mendapati bahawa dalam kajian kuantitatifnya, kata pinjaman yang terbanyak memainkan peranan untuk mengisi jurang perkataan dengan peratusan sebanyak 45.08%. Selain itu, beliau telah merumuskan bahawa peranan utama kata pinjaman berbeza-beza bergantung kepada gaya dan objektif teks.

Walau bagaimanapun, kajian-kajian di atas tidak memberikan tumpuan kepada aspek semantik. Menurut Aishah (1991), kajian mengenai semantik kata pinjaman lebih sedikit berbanding kajian mengenai intergrasi fonologi/ortografi dan integrasi tatabahasa kata pinjaman. Kajiannya mengenai kata pinjaman bahasa Inggeris dalam bahasa Malaysia telah mendapati bahawa lebih 70% kata pinjaman tulen bahasa Inggeris mengalami perubahan semantik.

Keok (2000) pula mengkaji kata pinjaman bahasa Cina dalam bahasa Melayu dari aspek semantik dalam Kamus Dewan. Kajiannya telah memperlihatkan bahawa kebanyakkan kata pinjaman bahasa Cina masih mengekalkan makna asal mereka. Tambahan pula, kata pinjaman konkrit bahasa Cina biasanya terdiri daripada dua patah perkataan dalam bahasa Cina tetapi dicantumkan menjadi satu dalam bahasa Melayu. Keok (2000) telah mengkategorikan datanya seperti berikut:-

i) Kata pinjaman yang mengalami peluasan makna ii) Kata pinjaman yang mengalami pengurangan makna iii) Kata pinjaman yang mengalami pembatasan makna iv) Kata pinjaman yang mengalami pengkhususan makna v) Kata pinjaman yang mengalami pemilikan makna baru

Manakala, Sakina Sahuri (2000) telah menjalankan kajian secara semantik terhadap metafora Melayu yang bertemakan manusia dan alam. Kajiannya memberi tumpuan kepada cerpen dari dua surat khabar tempatan. Menurut Sakina Sahuri (2000), setiap perkataan mengandungi komponen makna atau fitur makna yang boleh disenaraikan. Beliau juga telah berjaya membuktikan bahawa metafora mencerminkan sistem konsep makna penutur dan sistem ini terpaku di dalam budaya penutur.

Namun begitu, kajian-kajian yang disebutkan tidak menyentuh manga sebagai bahan kajian mereka. Menurut Takahashi (2008),

In the past few decades, manga has become one of Japan’s most important pop culture industries. Over ten thousand new titles are published every year, and many of these provide the inspiration for anime (Japanese animated films), TV shows, and even contemporary theater production. (pg. 114)

Kajian-kajian terdahulu banyak memfokuskan penyelidikan mereka lebih kepada unsur-unsur sosiobudaya dan sejarahwi disebabkan oleh perkembangan anime yang merupakan sebahagian daripada budaya industri global (MacWilliam, 2008). Berndt (2008) mendapati bahawa banyak kajian yang dilakukan bersifat bias terhadap anime dan manga kerana para pengkaji memfokuskan pendapat mereka sendiri dan kajian dijalankan bukanlah untuk menyampaikan kandungan yang berunsurkan budaya Jepun, tetapi lebih kepada perspektif para pengkaji mengenai sesuatu anime melalui budaya mereka sendiri.

Jüngst (2004) dalam kajiannya yang bertajuk Japanese Comics in Germany pula telah membincangkan masalah penterjemahan manga dari bahasa Jepun ke bahasa Jerman. Didapati bahawa standard penterjemahan manga-manga di Eropah terutamanya di Jerman dipengaruhi oleh permintaan peminat-peminat manga dan penerbit-peneribit manga berbanding penilaian penterjemah. Selain itu, kajian beliau menunjukkan bahawa gaya penterjemahan juga atau disebut sebagai eropeaanised dibentuk oleh pembaca-pembaca manga di Eropah.

Manakala, Mohd Nazim Bin Najmuddin (2010) telah mengkaji aspek bahasa dan gender dalam komik humor kanak-kanak dan salah satu aspek yang ditinjau beliau ialah penggunaan perkataan pinjaman Bahasa Inggeris. Beliau mendapati bahawa dalam hanya 5 buah buku siri Doraemon dalam Bahasa Melayu, terdapat 471 patah perkataan pinjaman. Berdasarkan dapatan ini, beliau mengatakan bahawa kuantiti penggunaan pinjaman dalam komik adalah banyak. Walaubagaimana pun, beliau telah menjustifikasi kesimpulan beliau dengan menyatakan kesukaran untuk menggantikan perkataan Bahasa Inggeris dengan perkataan Bahasa Melayu.

Berdasarkan tinjauan ringkas ini, jelas menunjukkan kajian semantik, manga dan kata pinjaman bahasa Inggeris dalam bahasa Jepun masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan, terutamanya oleh pengkaji tempatan. Kajian ini merupakan satu cubaan untuk mengisi jurang dalam bidang-bidang tersebut..

2.6 Kesimpulan

Dalam bab ini, dapat disimpulkan bahawa terdapat lapan bentuk kata pinjaman berdasarkan perbincangan oleh Honna Nobuyuki (1995), Kay (1995) dan Yamaguchi Toshiko (2007) iaitu peminjaman terus (direct transfer), pemendekan leksikal (shortened form), pemendekan secara tatabahasa (grammatical reduction), peluasan makna (semantic broadening), pengurangan makna (semantic narrowing), Japan-made western words, mencari perkataan alternatif (adopting an alternative) serta gabungan perkataan bahasa Jepun dan kata pinjaman (hybrid). Kata pinjaman tersebut boleh dikenalpasti melalui sistem tulisan katakana yang dikhaskan untuk menulis perkataan-perkataan dari bahasa asing (kecuali bahasa Cina) dalam bahasa Jepun. Dalam bidang semantik, terdapat enam jenis perubahan makna yang telah dikenalpasti iaitu broadening, narrowing, amelioration, pejoration, metaphor dan metonymy. Makna sesuatu perkataan boleh dianalisis menggunakan Analisis Komponen Makna yang diutarakan oleh Nida (1975). Nida (1975) menyatakan bahawa makna boleh dibahagikan menjadi komponen-komponen tertentu dan dianalisis menggunakan jadual.