• Tidak ada hasil yang ditemukan

TOK AWANG NGAH - HANTU BOTAK DALAM LOMBONG

Dalam dokumen Tok Awang Ngah 01-20 (Halaman 23-35)

BARU saja saya meneguk kopi di rumah Aki Sahak, dua orang lelaki tiba-tiba memanggilnya dari tengah halaman. Aki Sahak ini memang kenal baik dengan Pak Tua Mahat saya. Sebab itulah dia juga sangat menghormati saya.

Dua orang lelaki itu saya lihat dalam keadaan cemas. Tetapi dia tidak terus memberitahu tujuan

kedatangannya. Mereka berdua seolah-olah terkejut melihat saya ada di rumah Aki Sahak. Mungkin saya orang baru di situ, dan mereka menyangka saya juga datang meminta pertolongan dari Aki Sahak. Memang ramai orang dari kampung-kampung jauh datang ke kampung tempat Aki Sahak tinggal ini. Mereka tahu Aki Sahak selalu dicari orang kerana mahu berubat. Sudah lebih dua puluh tahun Aki Sahak pindah ke kampung tersebut apabila berkahwin dengan isterinya Makda Saodah.

"Apa halnya?" tanya Aki Sahak.

"Adalah sikit perkaranya Aki..." sahut salah seorang darinya.

"Emm, kalau iya pun naiklah dulu" pelawanya sambil undur sedikit dari muka pintu.

Dua orang lelaki itu naik ke rumah. Mereka duduk bersebelahan dengan saya. Saya menghulurkan tangan kepada mereka berdua.

"Mat Deh..." ucap saya ketika bersalaman.

"Sali" sahut lelaki yang duduk berhampiran dengan saya tersenyum. Kami mengangguk tanda mula berkenalan.

"Saya Tonel" seorang lagi memperkenalkan diri.

"Mat Deh ni orang kampung aku..." Aki Sahak menerangkan kepada mereka. "Sengaja datang nak jenguk-jenguk aku. Kebetulan pula dia baru tukar kerja ke sini" ujarnya lalu memanggil isterinya supaya membawakan dua buah cawan lagi.

Tidak lama kemudian Makda Saodah keluar membawakan dua buah cawan kosong. Dia menuangkan kopi lalu menghulurkan kepada dua orang lelaki tadi.

Kami tidak banyak berbual. Sali dan Tonel kelihatan resah saja hendak memberitahu sesuatu. Seolah-olah kehadiran saya di situ mengganggu mereka hendak bercakap kepada Aki Sahak.

"Cakaplah, apa halnya?" kata Aki Sahak setelah masing-masing terdiam.

"Begini Aki..." jelas Sali tergagap-gagap. "Anak Bang Amud di baruh jatuh lombong, sampai sekarang tak jumpa" dia terus memberitahu perkara yang sebenar tujuan kedatangan mereka.

"Mandi dengan kawan-kawannya. Tiba-tiba dia tenggelam, sampai sekarang tak jumpa" Tonel pula menerangkan.

Aki Sahak terdiam. Saya lihat dia merenung sesuatu yang sukar hendak dilihat dengan mata kasar. "Banyak sangat dia nak korban. Bulan dulu lelaki tua, sekarang ni pula kanak-kanak, huss...!" Aki Sahak mendengus macam menyimpan dendam.

Dengan tidak banyak bicara saya dan Aki Sahak terus mengikut dua lelaki tadi menuju ke lombong yang dikatakan. Saya dapati sudah ramai orang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-penyelam yang didatangkan dari bandar juga sudah silih berganti menyelam ke dalam air.

Semua penyelam itu memberitahu susah mahu melihat ke dalam air kerana terlalu keruh. Sebaliknya orang-orang kampung sudah tidak sabar lagi. Budak yang mati lemas di dalam lombong itu sepatutnya sudah ditemui. Lombong itu bukanlah luas sangat. Tetapi bagaimana pula mayat budak itu tidak ditemui lagi?

Ada juga setengah pihak mencadangkan supaya menunggu saja sampai mayat tersebut timbul.

Kononnya kalau mayat mati lemas ianya akan timbul apabila perut sudah kembung dipenuhi air. Tetapi sejak dari tenggelamnya kira-kira pukul 10 pagi, sehingga jam 5.30 petang mayat berkenaan tidak juga timbul.

Ketua Kampung Pak Semail sudah berbincang dengan ketua penyelam-penyelam itu supaya diusahakan secara tradisional untuk menemui semula mayat budak tersebut.

Sebaliknya ketua penyelam-penyelam itu seorang lelaki India menolak kemahuan Ketua Kampung Pak Semail. Dia tetap berpendapat kegagalan usaha menemui mayat budak yang tenggelam itu disebabkan air lombong terlalu keruh. Abang Amud yang dikatakan oleh Sali tadi, iaitu ayah kanak-kanak berkenaan sudah mula tidak yakin lagi anaknya boleh ditemui.

Dia tahu anaknya sudah mati lemas. Tetapi mengapa mayat anaknya tidak timbul ke permukaan air? Kalaulah hendak dikatakan tenggelam dalam lumpur adalah mustahil.

Kemudian saya nampak Aki Sahak menarik bahu Abang Amud ke satu tempat yang jauh dari orang ramai berkumpul. Saya tidak tahu apakah yang dikatakan oleh Aki Sahak kepadanya. Saya bersama Sali dan Tonel asyik memerhatikan penyelam-penyelam silih berganti menyelam ke dalam lombong.

Sehingga jam 7.00 malam anak lelaki Abang Amud tidak juga ditemui. Ketua penyelam itu memberitahu orang-orang kampung kerja menyelam itu ditangguhkan hingga ke esok harinya. Mereka tidak dapat lagi menyelam disebabkan hari semakin gelap.

Penghulu Mukim yang ikut menyaksikan peristiwa tersebut cuba mententeramkan keluarga Abang Amud. Dia nasihatkan supaya keluarga Abang Amud bersabar hingga besok paginya. Bagaimanapun penyelam-penyelam itu tetap berkhemah di tepi lombong untuk memudahkan kerjanya pada esok pagi. Tidak lama selepas penyelam-penyelam itu menangguhkan kerja-kerja menyelam, saya nampak Aki Sahak bersama Pak Semail menghampiri Penghulu Mukim yang baru saja mahu meninggalkan tempat

itu. Entah apa pula dicakapkan oleh Aki Sahak kepadanya tidak pula saya ketahui. Cuma dalam samar-samar senja saya lihat Penghulu Mukim terangguk-angguk kepala saja. Sekali-sekali dia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Aki Sahak.

Dalam masa saya asyik memerhati Aki Sahak bersama Pak Semail bercakap-cakap dengan Penghulu Mukim, tiba-tiba Abang Amud datang menepuk bahu saya. Dia tersengih-sengih saja menjabat tangan saya. Sali dan Tonel yang ada bersama lalu memperkenalkan kami.

"Aki Sahak dah beritahu tentang Mat Deh ni..." kata Abang Amud masih dalam keadaan rusuh. "Jadi, saya nak minta tolonglah pada Mat Deh. Tolong benar-benarlah Mat Deh..." ujarnya dengan penuh harapan.

"Eh, tolong apa ni?" sahut saya tersengih-sengih juga.

"Janganlah berdalih lagi Mat Deh. Saya minta tolong benar-benar ni. Aki Sahak minta saya sendiri sampaikan kepada Mat Deh" Abang Amud mendesak.

Saya menjadi serba salah dengan permintaan Abang Amud itu. Saya berpaling ke arah Aki Sahak. Dia bertiga dengan Penghulu Mukim dan Pak Semail datang menghampiri saya.

"Kalau boleh tolonglah apa-apa pun Mat Deh..." Penghulu Mukim menghulur tangan kepada saya. Cepat-cepat saya menyambut tangan Penghulu Mukim.

Belum sempat saya menyahut Aki Sahak sudah menyuruh saya diam. Aki Sahak meminta saya membantunya dalam usaha mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam itu.

"Lombong ni bukannya sungai. Kalau sungai bolehlah kita kata budak tu hanyut. Tentu ada sesuatu yang menyorokkan..." demikian Aki Sahak menerangkan kepada orang-orang kampung yang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-pemyelam yang bertugas juga ada sama menyaksikan. Mereka juga tidaklah membantah bila Aki Sahak menawarkan diri untuk menolong kerana mereka sudah pun mengambil keputusan menangguhkan kerja-kerja menyelam.

"Perlukah bara api dan kemenyan?" soal Abang Amud.

"Tak payah. Ini bukan kerja asap kemenyan. Saya dan Ustaz Mat Deh ni tahulah nak buat macam mana..." Aki Sahak memberi jaminan. Sedangkan saya kebingungan dengan keputusan Aki Sahak. Saya tidak tahu bagaimanakah cara mahu menolongnya.

Tetapi saya tidak berani untuk bertanyakan kepadanya. Lagipun dia berkali-kali menyebut fasal Pak Tua Mahat iaitu bapa saudara saya yang sudah lama meninggal dunia. Dia memberitahu tentang Pak Tua Mahat pernah memberitahu dia mengenai diri saya.

"Kita buat Mat Deh, kita buat kerana Allah" Aki Sahak berbisik kepada saya.

Sebelum memulakan rancangan Aki Sahak itu kami semua menunaikan fardhu Maghrib terlebih dahulu. Selesai sembahyang Maghrib barulah Aki Sahak menerangkan bahawa dia mahu menidurkan saya. Barulah saya faham bahawa cara menidurkan orang satu cara perubatan yang memang pernah diajar oleh Pak Tua Mahat kepada saya, tetapi jarang saya amalkan.

Saya pun bersetujulah untuk membantu Aki Sahak. Saya sendiri yang akan ditidurkan, dan rawan (yakni roh sewaktu kita tidur) saya sendiri yang dikeluarkan mencari budak tersebut disembunyikan.

Bagi orang-orang yang tidak memahami mungkin merasa pelik bagaimanakah cara demikian boleh dilakukan. Tetapi bagi mereka yang sudah mempelajari Usuluddin tidak ada apa yang hendak dipelikkan. Di sini saya tidak mahulah menerangkan, tetapi eloklah sesiapa yang ingin mengetahuinya bertanyalah kepada ahli-ahli Usuluddin.

Dipendekkan cerita, dibentangkanlah tikar di bawah sepohon pokok. Sali yang masih mempunyai air sembahyang diminta oleh Aki Sahak berdiri di belakang saya untuk menyambut tubuh saya apabila rebah ke belakang.

Segala apa yang hendak dilakukan oleh Aki Sahak itu memang saya sudah ketahui. Sebenarnya Aki Sahak juga tahu bahawa saya boleh tidur sendiri dengan tidak payah dipandu olehnya, tetapi saya sendiri berkehendakkan dia mengawas saya kalau-kalau apa yang saya hadapi nanti sukar dilawan. "Mulakan zikir..." bisik Aki Sahak.

Saya hanya tersenyum. Kerana apa yang dicakapkan oleh Aki Sahak itu bukanlah ditujukan kepada saya. Aki Sahak memang dapat merasa diri seseorang itu sama ada berzikir atau tidak.

Dalam beberapa saat saja saya merasakan dunia menjadi gelap. Hanya saya dengar suara Aki Sahak saja memerintahkan saya supaya terus berzikir. Ketika ini saya merasakan diri saya melayang ke udara. Apabila Aki Sahak menyuruh melihat diri sendiri, saya nampak tubuh saya terbaring di atas tikar. "Sekarang kamu cari di mana anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong ni pagi tadi" suara Aki Sahak begitu jelas kedengaran ke telinga saya.

Dengan tidak bertangguh saya rasakan diri saya terus masuk ke dalam air lombong. Semuanya gelap gelita tidak kelihatan apa-apa. Kemudian saya dengar Aki Sahak menyuruh saya membacakan Surah Waddhuha. Setelah saya bacakan ayat berkenaan semuanya menjadi terang benderang.

Ketika ini saya nampak di tengah lombong satu lembaga manusia yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki.

"Dah jumpa" bisik saya perlahan sambil memerhatikan kelakuan lembaga tersebut.

Saya berligar-ligar di dalam air itu mahu menghampiri lembaga yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki. Tiba-tiba dia berpaling memerhati ke arah saya. Matanya kelihatan merah menyala-nyala seperti puntung api.

"Lepaskan budak tu..." perintah saya mengancam lembaga tersebut. Tetapi dia tidak menghiraukan saya.

Saya terus memberi isyarat supaya dia melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya. Memang saya tahu budak tersebut tidak boleh diselamatkan lagi, tetapi tidak patut puaka air itu tidak mahu lepaskan. Kalau puaka air itu berkeras saya sudah merasakan geruh telah menanti.

Sama ada saya akan menerima geruh atau sebaliknya adalah kuasa Allah saja. Tetapi puaka air itu tetap jenis syaitan yang menjadi musuh semua anak Adam. Syaitan juga mempunyai ilmu yang hebat kalau anak-anak Adam tidak mempunyai cukup persediaan.

"Lepaskan!" perintah saya lagi mengancam lembaga botak itu. "Budak ini mengganggu anak cucu aku bermain" sahut lembaga botak itu menyahut cabaran saya.

"Aku cakap lepaskan!" saya terus memberi amaran. "Mana budak tu tau anak cucu kau bermain. Kau tubuh halus, kenapa tak menyisih semasa budak tu mandi di sini" ujar saya mengingatkan.

Lembaga botak itu tetap menggelengkan kepala. Dia berkeras tidak mahu melepaskan mayat anak Abang Amud.

"Lanarjumannakum walayamassannakum minna azabun 'alim..." saya menghembus perlahan-lahan ke arah lembaga tersebut. Setiap kali saya menghembuskan nafas berpuluh-puluh anak panah dengan api menyala menjunam ke tubuh lembaga botak itu.

Saya nampak lembaga botak itu menggeliat-geliat setiap kali anak panah berapi itu singgah ke tubuhnya. Dia menjerit-jerit sambil meronta meminta saya berhenti membacakan ayat tersebut.

"Ampun minta maaf kami. Ampun..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan. "Kami tahu awak anak buah Tok Pawang Mahat. Kami tahu, tapi janganlah seksa kami macam ni" dia merintih-rintih. "Kalau kau tak mahu dipanah dengan api, lepaskan budak tu" perintah saya lagi.

Lembaga itu tidak menyahut. Dia hanya terkial-kial merintih meminta belas kasihan dari saya. Untuk menguji sama ada dia benar-benar mahu mengaku kalah, saya cuba berhenti dari berzikir.

Sebaik saja saya berhenti berzikir tiba-tiba dia melontarkan sesuatu ke arah saya. Berdecap rantai besi memukul kepala saya. Belum sempat dia mengulangi untuk melemparkan rantai besi itu ke arah saya, cepat-cepat saya menguatkan zikir di dalam hati saya.

"Wah, kau nak main-main ye. Kau nak duga aku, kau nak duga!" saya mengherdik.

Dalam keadaan ini saya mendengar suara Aki Sahak membisikkan kepada saya, "Allahu Akhbar". Lantas saya mengucapkan Allahu Akhbar tiga kali, kemudian menghembuskan ke arah lembaga botak itu. Seluruh kawasan lombong itu bergegar bagaikan ditimpa letusan gunung berapi. Tubuh lembaga botak itu berputar-putar seperti debu ditiup angin. Dia melolong-lolong meminta saya berhenti dari

mengucapkan Allahu Akhbar.

"Minta ampun kami, minta ampun..." dia merintih-rintih menahan gegaran yang menggoncangkan seluruh kawasan lombong.

"Sekarang lepaskan budak tu! Lepaskan anak Abang Amud. Budak tu dah mati lemas, tak ada guna kau sorokkan dia" jerkah saya mengancam.

Apabila saya berhenti menghembuskan nafas, gegaran itu berhenti. Dia tercongok semula di tengah dasar lombong meriba mayat anak Abang Amud. Saya lihat dia merintih-rintih seperti orang menahan seksaan yang berat.

Tetapi dia tetap berdegil tidak mahu mengalah. Dalam keadaan tergigil-gigil menahan kesakitan itu lembaga berkenaan tidak juga melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya.

"Kalau kau berdegil aku bakar kau lagi" tegas saya mengingatkan.

"Nantilah dulu tunggu sampai kami puas bermain-main dengan budak ni" dia tersenyum mengerling ke arah saya seolah-olah mahu mengejek.

"Nampaknya awak tak serik!" bentak saya. "Kami tak mahu lawan ustaz. Kami nak bermain-main dulu dengan budak ni" ujarnya ketawa kecil.

"Kalau nak bermain kenapa tak main dengan anak cucu kau. Mau tak kalau aku ambil anak cucu kau buat mainan?" saya cuba mengujinya.

"Apa salahnya kalau ustaz nak bertukar-tukar..." dia semakin galak ketawa.

Ketika ini saya terdengar suara Aki Sahak mengingatkan supaya syaitan jangan dilayan. Memang syaitan sengaja melalaikan kita dengan janji-janji kosongnya. Sebab itu kalau berhadapan dengan syaitan jangan lagi dilayan bercakap. Teruskan saja menyerang sampai dia tidak dapat bertahan.

Saya tahu memang syaitan tidak boleh dilayan. Tetapi saya cuma mahu menduga saja. Saya mahu tahu sejauh mana permainan puaka air yang menjelma sebagai lembaga botak itu.

Sebaliknya Aki Sahak mahu saya bertindak cepat. Mungkin orang ramai yang berkumpul di darat sudah tidak sabar lagi menunggu. Segala pertelingkahan saya dengan lembaga botak itu memang dapat didengar dengan jelas oleh mereka. Bagi orang-orang yang tidak mengetahui seperti

penyelam-pemyelam yang ada di situ, mungkin mereka merasakan saya sedang merepek atau bercakap sendirian. Atau bercakap untuk memperolok-olokkan orang ramai saja.

Tetapi kuasa Allah itu tidak dapatlah hendak saya tunjukkan kepada sesiapa. Kecuali mereka yang memahami dan mempelajarinya saja. Pengalaman yang sedang saya lalui itu hanya boleh diketahui oleh mereka yang mengetahui tentang ilmu Allah saja.

"Panah saja dengan lanarjumannakum..." bisik Aki Sahak. Saya mendengar suara Aki Sahak sayup-sayup dari permukaan air. "Besarkan tubuh kamu, kerana roh manusia boleh membesar tidak ada had" kata Aki Sahak.

Saya menarik nafas. Ketika ini saya nampak dengan jelas tubuh saya menjadi besar berkali-kali ganda. Lantas saya tangkap tengkuk lembaga botak itu.

"Ampun..." sahut lembaga botak tergigil-gigil. "Taubat, kami tak buat lagi. Kami akan lepaskan budak ni" katanya gementar. Tetapi dia tetap meriba budak itu.

"Walauanna quranna suyyirat bihiljibalu..." saya berdoa dengan khusyuk dan taqwa kepada Allah. Lalu saya hembuskan ke kepala lembaga botak itu. Kepala itu menjadi hancur seperti debu berterbangan. Jeritannya bergema ke segenap pelusuk. Hanya saya saja yang dapat mendengar jeritannya yang menggema itu. Kalaulah semua orang yang berkumpul di tepi lombong itu dapat mendengarnya, tentulah mereka sedar betapa besarnya kuasa Allah.

Hanya ayat-ayat Allah saja dapat menghancur-leburkan segala gangguan syaitan. Malah ayat-ayat yang dibacakan setiap hari sewaktu menunaikan fardhu sembahyang itu boleh menggegarkan jantung syaitan. Sekiranya mereka dapat melihat bagaimana terancamnya syaitan dengan ayat-ayat Allah itu, sudah tentu mereka insaf dengan diri mereka.

Inilah yang berlaku ke atas lembaga botak jelmaan dari puaka air itu. Dia tidak dapat menyembunyikan dirinya apabila dibacakan Surah Waddhuha. Kemudian seluruh anggotanya menjadi debu bila dibacakan ayat-ayat Quran. Kalaulah dengan ayat-ayat Quran gunung boleh dihancur-leburkan, apa sangatlah kepada Allah kalau mahu meleburkan makhluknya seperti syaitan itu.

Sebaik saja tubuh lembaga botak itu berkecai menjadi debu, mayat anak Abang Amud itu terlepaslah dari ribaannya. "Sudah dilepaskan mayat budak tu, kejap lagi timbullah" saya memberitahu Aki Sahak. "Baiklah sekarang masuk semula ke dalam tubuh kamu, dan buka mata" saya dengar Aki Sahak memberi arahan. Perlahan-lahan saya masuk ke tubuh yang terbaring. Kemudian semuanya menjadi gelap. Apabila saya buka mata semua orang masih mengelilingi saya.

Tatkala saya mahu duduk, terdengar dua tiga orang memekik dari tepi lombong, "Itu dia, itu dia...mayat budak tu dah timbul di tengah lombong" kata mereka kegembiraan.

Tiba-tiba saya tergamam bila Abang Amud memeluk leher saya. Terasa air matanya hangat menitis di atas bahu saya.

Ketika ini orang ramai sudah mula menarik jenazah anak Abang Amud ke tepi. Ketua penyelam itu segera mendapatkan Penghulu Mukim, dan dia sibuk menyediakan laporan mengenai gerakan mencari mayat budak tersebut. Di samping itu dia juga telah melaporkan ke ibu pejabatnya mengenai kejayaan menemui mayat itu.

Penyelam-penyelam itu juga mengambil keputusan untuk membatalkan perkhemahan di situ, di samping mahu membawa jenazah berkenaan ke hospital terlebih dahulu. Sementara Abang Amud membantah tidak mahu lagi jenazah anaknya dibawa ke hospital.

Setelah Penghulu Mukim memberi jaminan kepada Abang Amud bahawa mayat anaknya tidak akan dibedah apabila dibawa ke hospital, barulah Abang Amud setuju. Saya juga nasihatkan Abang Amud supaya bekerjasama dengan penyelam-penyelam tersebut kerana terpaksa membawa jenazah anaknya ke hospital terlebih dulu sebagai urusan rasminya.

"Ah, dia nak cari nama je..." rungut Abang Amud mendongkol fasal Ketua Penyelam itu pada mulanya tidak mahu kerjasama dari Aki Sahak.

"Mereka juga sama berpenat lelah" Aki Sahak juga meningatkan dia.

"Dia datang kerana tugas, sebab itu dia perlukan bawa jenazah budak ni ke hospital. Biarlah tugasnya selesai..." Penghulu Mukim memujuk Abang Amud.

Malam itu juga jenazah anak Abang Amud dibawa ke hospital. Sementara Penghulu Mukim sendiri mengikutnya bagi mengelakkan dilakukan pembedahan ke atas mayat berkenaan. Kira-kira pukul 2.00 pagi barulah jenazah itu dapat dibawa balik ke rumah.

Semasa orang-orang kampung berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah anaknya, satu bunyi menggerunkan kedengaran dari arah lombong. Bunyi itu bergaung kuat seperti air disedut. Sali merapati saya dan bertanyakan apakah bunyi yang kedengaran dari lombong tersebut. Saya sendiri tidak tahu apakah harus dijawab. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai latar belakang kampung tersebut. Tentulah saya tidak tahu kejadian yang berlaku ke atas anak Abang Amud. Hanya beberapa minggu sebelum itu seorang pengail tua mati lemas di lombong berkenaan.

Sali bertanyakan kepada saya kerana disangkanya saya dapat melihat semua keadaan di dalam lombong. Memanglah sukar bagi saya mahu menerangkan kepada Sali bagaimana saya melihat lembaga botak di dalam lombong tadi, tetapi bukannya melihat semua penjuru yang terdapat di dalam lombong.

Bunyi bergaung macam air disedut itu berulang kali semakin kuat. Saya juga terkejut dengan bunyi yang menggerunkan itu. Saya lihat Aki Sahak melelapkan mata menggunakan makrifat mahu mencari punca bunyi tersebut.

"Nampaknya dia nak minta geruh juga" bisik Aki Sahak. Mukanya kelihatan garang seperti menghadapi

Dalam dokumen Tok Awang Ngah 01-20 (Halaman 23-35)