• Tidak ada hasil yang ditemukan

TOK AWANG NGAH - TULANG KAKI BERTABURAN DI BILIK

Dalam dokumen Tok Awang Ngah 21-40 (Halaman 84-95)

BERPELUH-PELUH seluruh badan akibat menebas di kebun pisang hingga santak senja. Tetapi Ucu Mahali tidak peduli apa-apa kalau sudah turun ke kebun. Dia tidak boleh duduk diam semenjak masuk ke felda, disebabkan terpaksa bekerja keras sepanjang hari.

Harapkan menoreh getah masakan boleh menampung hidup keluargangya, kalau tidak ditambah dengan berkebun pisang. Dalam tempoh seminggu Ucu Mahali boleh dapat RM70.00 apabila banyak pisang yang ditebang. Biarlah jiran-jiran menuduh dia tamakkan harta dunia disebabkan turun ke kebun sampai santak senja.

Dia masih mengibas-ngibas mata parang ke tengah belukar sekalipun Kak Banun sudah mendesaknya balik. Takkan menunggu azan berkumandang di surau baru mahu tinggalkan kebun pisang hingga tergesa-gesa mandi di bilik air. Tentu tergesa-gesa pula ambil wuduk lantas terburu-buru mencapai sejadah. Memang Ucu Mahali jarang berjemaah ke surau, disebabkan tidak sempat mahu terburu-buru ke surau di seberang pejabat kesihatan di dalam felda berkenaan.

Marah juga Kak Banun disebabkan suaminya mandi tatkala badan tengah panas berpeluh-peluh. Apa salahnya kering dahulu peluh supaya badan terasa sejuk baru curahkan air ke seluruh badan? Tetapi Ucu Mahali bukan boleh ditegur kalau mahu menentukan cara hidupnya. Sebab itulah Kak Banun tidak peduli sangat sekiranya Ucu Mahali berkeras juga mahu mandi tatkala badan tengah panas berpeluh-peluh.

"His, cukuplah tu dulu, bang," Kak Banun mendesak suaminya balik disebabkan senja sudah semakin samar sekalipun azan di surau belum berkumandang.

Ucu Mahali mendengus. Belum sempat dia mahu menyahut, tiba-tiba terdengar kereta berhenti jauh di hadapan rumahnya, diikuti dengan namanya dipanggil berulang kali. Dia tidak perlu tergesa-gesa

memastikan siapa yang datang ke rumahnya. Tahu sangat Ucu Mahali asal sahaja orang datang jejak kaki ke rumah dia tentulah fasal berubat. Apa lagi tujuan mereka kalau bukan berubat minta dijampikan? Sejak dia berpindah ke Felda itu memang ramai tahu fasal dia menjadi bomoh. Sekalipun Ucu Mahali tidak mahu dia dikenali sebagai bomoh, tetapi dia tidak dapat menghalang apabila ada orang datang jejak kaki ke rumahnya minta dijampikan. Sampaikan suami lari meninggalkan rumah pun, mereka meminta bantuan Ucu Mahali. Tidak boleh tiga hari, Ucu Mahali akan cuba sampai tujuh hari nescaya lelaki yang lari meninggalkan rumah isterinya, akan datang semula mencari isteri yang ditinggalkan. Tentu hati lelaki itu tidak tenteram apakala namanya seringkali disebut-sebut oleh Ucu Mahali dalam jampinya.

Tetapi mereka yang pernah menemui Ucu Mahali tahu, bukan disebabkan jampi mentera Ucu Mahali boleh memaksa orang yang lari balik semula dengan pasangannya. Mereka tahu Ucu Mahali akan kirimkan jin-jin yang bersahabat dengannya mengganggu sesiapa sahaja yang cuba melawan kemahuannya. Mereka tidak marah apa-apa kepada Ucu Mahali, kerana dia tidak mengganggu sesiapapun. Dia sekadar gunakan jin-jin yang bersahabat dengannya untuk tujuan membantu mereka yang diganggu kesusahan. Memang Ucu Mahali tidak akan gunakan jin-jin berkenaan untuk melakukan kejahatan.

Sewaktu dia mengajak Kak Banun balik, terjengket-jengket Mat Junoh melompat anak-anak kayu mendapatkan dia. Tersengih-sengih Mat Junoh melihat Ucu Mahali berpeluh-peluh memegang parang panjang di bawah perdu rumpun pisang. "

Ah, Abang Junoh rupanya!" gerutu Ucu Mahali sebaik sahaja Mat Junoh mendekati dia. "Encik Kiman ajak awak ke Kuala Lumpur." beritahu Mat Junoh setelah mereka bersalaman.

"Bila?" perlahan sahaja Ucu Mahali bertanya sekalipun hatinya serba salah juga apakala diminta oleh Kiman ke Kuala Lumpur.

Kalau Kiman mengajak ke Kuala Lumpur tentulah Kak Banun juga ikut sama. Masakan dia mahu tinggalkan isterinya di rumah apabila ke Kuala Lumpur sampai bermalam di rumah Kiman. Sekiranya Kiman hantar balik pun selepas tengah malam tentu hampir Subuh baru sampai ke rumah. Dia tahu sekiranya Kiman datang menjemput memang lelaki itu sanggup hantar dia balik malam itu juga. Apalagi kalau dia mendesak fasal mahu menoreh getah. Tinggal dalam kawasan felda dia tidak boleh berdalih sekiranya tidak pergi menoreh.

"Encik Kiman akan hantar balik malam ni juga," terus sahaja Mat Junoh menerangkan supaya Ucu Mahali tidak was-was mahu ikut ke Kuala Lumpur.

Lagi pun Mat Junoh akan ikut sama disebabkan malamnya dia tidak bertugas. Memang tugas Mat Junoh menjadi pengawal di stor kilang getah buku akan off tiap-tiap dua malam sekali. Selepas pencen jadi buruh di jabatan, mujur benar nasib Mat Junoh dipelawa bertugas menjadi pengawal di stor kilang getah buku itu.

Masuk sahaja jam 6.00 petang dia akan mula bertugas sampai ke pagi. Apa salahnya bertugas sebelah malam, bukannya dia bercekang mata tidak tidur hingga ke Subuh. Sebab itu Mat Junoh sanggup ikut Kiman ke Kuala Lumpur sebaik sahaja lelaki itu memintanya mengajak Ucu Mahali. Dia sendiri yang perkenalkan Ucu Mahali kepada Kiman, disebabkan lelaki itu pernah menjadi ketua jabatannya sebelum bertukar ke Kuala Lumpur.

Asal sahaja ada masalah memang Kiman akan bertumpu kepada Mat Junoh. Tidak tergamak pula Mat Junoh membiarkan Kiman gelabah sepanjang masa semenjak rumahnya diserbu rama-rama hitam sepanjang malam. Kadangkala sampai lampu di dalam rumah tertutup akibat terlalu banyak rama-rama hitam hinggap. Apabila rama-rama hitam gugur ke lantai akibat mati terbakar pada kaca lampu, isteri Kiman akan mula diserang sakit kepala. Kemudian hidungnya keluar darah macam selsema dihinguskan. Lama juga isterinya Seridah menanggung sakit, barulah sakit di kepalanya mulai reda. Sudah berkali-kali juga Kiman membawa isterinya menemui doktor, tetapi tidak dapat diagakkan penyakitnya. Kalau mahu dituduh darah tinggi keadaan Seridah tidak pula mempunyai tekanan darah yang membimbangkan. Doktor juga tidak syak kalau ada ketumbuhan di kepala, kerana tanda-tandanya tidak ada langsung. Sebab itu Kiman hubungi Mat Junoh sekiranya boleh membantu dapatkan bomoh untuk mencuba rawatan tradisional. Sudah dua kali Ucu Mahali mencuba apakala Mat Junoh membawa Kiman dan isterinya ke rumah itu.

Mula-mula sahaja dia melihat Seridah, perempuan itu bagaikan enggan naik ke rumahnya. Kalau tidak didesak oleh Kiman memang Seridah tidak mahu naik disebabkan terasa seluruh badannya seram sejuk. Semakin digagahi juga naik dadanya berdebar kencang mengombak-ombak tidak menentu.

Ketika itu Ucu Mahali merasakan dirinya dikelilingi oleh lembaga-lembaga berjubah putih yang ramai di tengah rumahnya, dia dapat melihat seolah-olah di ubun-ubun Seridah terletak tengkorak kepala dengan lidah terjelir panjang. Tengkorak kepala itu bergoyang-goyang laksana kapas ditiup angin setiap kali lembaga-lembaga berjubah putih mengibaskan tangan.

Marah benar tengkorak berkenaan kepada lembaga-lembaga berjubah putih itu kerana membawa Ucu Mahali ke situ hingga dia tidak dapat berlindung ke mana pun. Memang lembaga-lembaga berjubah putih itu yang tunjukkan kepada Ucu Mahali mengenai tengkorak di atas ubun-ubun Seridah. Lidah yang terjulur dari tengkorak itu terus menjilat-jilat darah dari ubun-ubun macam kucing menjilat susu tumpah di lantai.

"Hah, tengkorak apa pula atas ubun-ubun Seridah ni?" keras suara Ucu Mahali membentak sambil menuding ke kepala perempuan itu.

Terkejut juga Kiman apabila diberitahu mengenai tengkorak di atas ubun-ubun isterinya. Dia tidak melihat apa-apa pun kecuali tudung yang melingkupi rambut.

"Buangkan aje, Ucu," sahut Mat Junoh seolah-olah dia sendiri dapat melihat tengkorak yang disebutkan oleh Ucu Mahali.

Lantas Ucu Mahali menjuruskan tangan ke arah ubun-ubun Seridah dengan membacakan: Qola Musa maji'tum bihissihira innallahha sayubthiluhu innallahha layuslihu 'amalal mufsidin, wali-ilafin quraisy, abthil sihraka kullahu wayubthilhu, Allahhumma abthilis sihrallazi bainazzar'i wafi jami'il mukhta-fiati kulliha.

Kemudian dia merentap kuat hingga terasa tengkorak di atas ubun-ubun Seridah tertanggal habis. Tetapi tengkorak itu hanya seperti bayang-bayang sahaja yang hilang sementara terlindung oleh silauan

cahaya. Dalam masa beberapa saat sahaja bayangan tengkorak itu kembali bertenggek di ubun-ubun Seridah bagaikan terus berdegil sekalipun diancam oleh Ucu Mahali.

"Hah, nak tunjuk keras kepala ye!" bentak Ucu Mahali lantas memberi isyarat kepada lembaga-lembaga berjubah putih segera menyerbu.

Tatkala lembaga-lembaga berjubah putih itu menyerbu, terasa pada Seridah kepalanya sejuk laksana dicurahkan ais di ubun-ubunnya. Dia tidak melihat apa-apa kecuali merasakan elusan angin di keliling tubuhnya yang duduk berlunjur kaki di hadapan Ucu Mahali. Tetapi Ucu Mahali tahu elusan angin itu memang lembaga-lembaga berjubah putih itu menyerbu lantas merentap tengkorak yang melekap di atas ubun-ubun Seridah.

Masakan tenaga manusia mampu merentapkan bayang-bayang tengkorak itu, kecuali lembaga-lembaga berjubah putih itu sama seperti bayang-bayang tercegat di sisinya. Bila-bila lembaga-lembaga berjubah putih bersedia mematuhi perintah Ucu Mahali asal sahaja dikerah dalam saat demikian. Mereka akan mematuhi apa sahaja perintah Ucu Mahali tatkala dia terus berzikir mengulangi sampai 500 kali: Ya haiyun ya qaiyum ya latiff ya zaljalali wal ikram.

Setelah dua kali Kiman membawa isterinya Seridah berubat ke Felda sebaik sahaja diperkenalkan oleh Mat Junoh, memang isterinya mengakui sakit kepalanya semakin berkurangan. Dia juga tidak lepaskan kain putih yang dituliskan oleh Ucu Mahali dengan: Waja'alna min baini aidihim saddan wamin khalfihim saddan fa aghsyainahum fahum layubsirun, menutup ubun-ubun macam kain selindang diikat ke kepala. Disebabkan sakit kepala Seridah semakin sembuh itulah, Kiman mengajak Ucu Mahali ke Kuala Lumpur supaya lihat sendiri keadaan rumahnya.

Manalah tahu tapak rumah itu tidak sesuai menyebabkan penyakit silih berganti mengganggu

keluarganya. Memang Ucu Mahali sendiri mengakui apabila diminta Kiman melihat dari jauh keadaan rumah berkenaan, berkali-kali terbersin seolah-olah terhidu bau busuk yang menusuk-nusuk. Kali kedua Seridah datang jejak kaki ke rumahnya berubat, Mat Junoh mencadangkan supaya Ucu Mahali melihat keadaan di keliling rumah Kiman di Kuala Lumpur.

Tetapi Mat Junoh tahu masakan Ucu Mahali boleh ke Kuala Lumpur kalau masih tercongok di tengah rumahnya di kawasan felda itu. Ucu Mahali sekadar memerintahkan lembaga-lembaga berjubah putih yang menjelma setiap kali dia menyeru. Sebaik sahaja lembaga-lembaga berjubah putih itu melayang ke udara, dia akan mendengar apa sahaja yang dibisikkan ke telinganya oleh lembaga-lembaga berkenaan. Apabila diberitahu mengenai bau busuk yang terhidu di keliling rumah Kiman jauh di Kuala Lumpur, tiba-tiba sahaja bau busuk itu menusuk ke hidungnya. Sekaligus pula Ucu Mahali terbersin kuat menahan rasa loya yang membuak-buak ke kerengkung akibat bau yang busuk tengit itu.

"Apa pula yang bau busuk ni?" gerutu Ucu Mahali berlenggok-lenggok kepala di tengah rumahnya yang sengaja dipadamkan lampu. Memang dia tidak akan memasang lampu setiap kali mengubati sesiapa sahaja.

"Carilah punca busuk tu, Ucu," ujar Mat Junoh tersengih-sengih memerhati Ucu Mahali terlenggok-lenggok kepala di tengah rumah.

Beberapa kali Ucu Mahali mendehem bagaikan kerengkungnya tersekat akibat loya membuak-buak. Kalau tidak dapat dikawal nescaya dia akan menyerbu ke jendela terjeluih muntah. Memang termengah-mengah dia menahan senak perut akibat memual-mual ketika itu.

Sebab itu Ucu Mahali tidak sanggup mengubati sesiapa pun sekiranya tidak terpaksa melakukannya. Dia sendiri akan menanggung segala apa yang dilihatnya setelah menyeru semua lembaga-lembaga

berjubah putih itu menjelma. Sekalipun Ucu Mahali sekadar memberitahu lembaga-lembaga berkenaan hanya sahabatnya, tetapi Mat Junoh tahu memang Ucu Mahali menyeru jin-jin khadamnya.

Kadangkala dia akan termengah-mengah sesak nafas sekiranya lembaga-lembaga berjubah putih dipusar angin kencang sewaktu merempuh ke tempat yang menjadi sasaran. Ucu Mahali juga akan terdampar ke dinding apabila lembaga-lembaga berjubah putih itu terpelanting tidak dapat mengawal diri.

Memang dia mengakui tubuhnya juga lenguh-lenguh kalau lembaga-lembaga berjubah putih itu

berdepan dengan lembaga besar yang terpaksa dilawannya. Bukan mudah Ucu Mahali mahu mengubati sesiapa pun kalau tidak kena gayanya. Sebab itulah Kiman memujuk Mat Junoh supaya Ucu Mahali bersedia mengubati Seridah.

"His, apa ni..?" geli geleman Ucu Mahali apabila dibisikkan ke telinganya lembaga-lembaga berjubah putih itu melihat tulang kaki manusia bersepah-sepah di merata tempat dalam rumah Kiman. "Kenapa Ucu?" lantas sahaja Mat Junoh bertanya macam berasa hairan.

"Banyak benar tulang kaki manusia ni!" beritahu Ucu Mahali menggeleng-geleng kepala hingga terpaksa mengusap-usap lengan akibat bulu roma tegak meremang.

"Mana datangnya tulang kaki manusia tu?" hairan juga Kiman apabila diberitahu mengenai taburan tulang kaki manusia di dalam rumahnya.

"Bukanlah betul-betul tulang kaki manusia berserak di rumah encik," lantas Mat Junoh mengingatkan bekas ketua pejabatnya itu.

"Ucu nampak macam tulang kaki manusia, tapi itulah sihir yang digunakan orang!" dia menjelaskan supaya Kiman tidak terkeliru dengan apa yang disebut oleh Ucu Mahali.

Kalau tidak diterangkan tentu Kiman menyangka di rumahnya penuh dengan tulang-tulang kaki manusia berserakan. Disebabkan Mat Junoh sudah kerapkali melihat Ucu Mahali mengubati orang, dia tahu apa yang dilihat oleh Ucu Mahali sekadar bayangan sahaja. Tetapi demikianlah bentuk penyakit yang mengganggu mangsa akibat sihir ilmu syaitan itu.

Memang mereka yang amalkan ilmu syaitan boleh menggunakan apa sahaja kelengkapan yang sesuai untuk melepaskan marah terhadap seseorang yang dibencinya. Apabila tulang kaki mayat dipuja dengan menyeru syaitan, maka bayangan itulah dapat dilihat oleh lembaga-lembaga berjubah putih yang menjadi sahabat Ucu Mahali.

Tahu sangat Mat Junoh fasal amalan ilmu syaitan yang digunakan orang untuk mengganggu sesiapa sahaja. Mereka sanggup menggali kubur lama semata-mata mahu dapatkan tengkorak kepala supaya boleh dipuja tengah malam tatkala bulan mengambang penuh. Apabila sudah dikuasai ilmu syaitan memang mereka tidak pernah takut apa-apa pun lagi, asal sahaja niat buruknya tercapai.

Bukan takat kubur lama sahaja digali, kadangkala kubur orang mati kemalangan jalan raya yang dianggap mereka mati terbunuh juga digali. Apa sahaja bahagian anggota mayat yang sudah ditanam baik-baik itu digunakan mereka untuk tujuan-tujuan yang sengaja untuk memuaskan hati sendiri. Apalagi kalau kubur anak gadis sunti yang belum disentuh mana-mana lelaki, mereka sanggup menggali dengan tidak berpakaian langsung. Mereka tidak bimbang sekalipun dihalang dengan berbagai-bagai bayangan yang mengerikan dalam saat menggali kubur tersebut. Hati mereka sudah nekad melakukan apa sahaja, asalkan hasrat di hati dapat ditunaikan. Biarlah terpaksa menarik mayat tersebut ke atas kubur, kemudian melayur dagu mayat dengan api lilin sampai menitik airnya. Mereka akan tadah air dagu berkenaan dengan tempurung yang sudah disediakan. Gembira sangat mereka apabila usaha tersebut dapat dilaksanakan sekalipun perbuatan tersebut memang dilaknati sesiapa sahaja.

"Ah, manusia ni macam-macam kepandaian!" Kak Banun menyampuk sambil ingatkan Kiman supaya tidak gelabah apakala mendengar tulang kaki manusia bersepah-sepah di lantai rumahnya.

Marah benar dia perbuatan mereka yang gunakan sihir untuk menganiaya orang lain. Kalau tidak puas hati apa salahnya bersemuka biar sama-sama dapat menilai siapa di pihak benar dan siapa di pihak yang salah.

Kadangkala disebabkan mereka gunakan sihir inilah, orang seperti Ucu Mahali juga dituduh amalkan perkara yang tidak baik. Sampaikan Imam Labim juga nasihatkan Ucu Mahali supaya tidak amalkan ilmu-ilmu yang bertentangan. Tetapi Ucu Mahali tidak membantah apa-apa. Perkara amalan dia tidak pernah tumjukkan kepada sesiapa pun. Belum pernah dia meminta mereka datang jejak kaki ke rumahnya kalau diganggu syaitan sama ada pelesit, polong atau sihir. Dia juga tidak mengajak sesiapa pun di Felda itu amalkan zikir sepanjang malam.

Bila-bila Ucu Mahali akan jengah ke surau asal sahaja dijemput menghadiri ceramah agama. Imam Labim boleh jemput siapa sahaja guru-guru agama mengajar di surau, dia tetap memberikan sokongan.

Sebab itu dia tidak bantah apa-apa kalau Imam Labim ingatkan supaya tidak menjadi bomoh. Imam Labim sendiri diberitahu mengenai Ucu Mahali akan berjamu ayam panggang dengan tujuh piring nasi kunyit apabila seseorang itu sembuh penyakitnya. Marah benar Imam Labim apabila diberitahu sudah beberapa kali Ucu Mahali buat berjamu ayam panggang itu. Hinggakan Imam Labim menanggung derita sakit gigi sampai membengkak pipi pun mereka tuduh disebabkan Ucu Mahali.

Mereka yang tinggal di kawasan Felda percaya memang Ucu Mahali gunakan sihir menyebabkan Imam Labim menanggung kesakitan bengkak pipi berminggu-minggu. Sudah beberapa kali Imam Labim ke hospital mendapatkan rawatan tetapi bengkak pipi akibat sakit gigi tidak juga seruh. Apabila doktor cadangkan supaya dibedah, berdebar juga hati Imam Labim. Kalau takat sakit gigi kenapa pipinya yang membengkak perlu dibedah juga?

Tetapi bengkak pipi Imam Labim tidak seruh hingga berminggu-minggu. Sakit giginya juga berdenyut-denyut asal sahaja senja menjelang sampai dia tidak mampu ke surau untuk solat Maghrib berjemaah. Berdetak juga hatinya mahu menuduh perbuatan Ucu Mahali gunakan sihir menyebabkan pipinya membengkak berminggu-minggu. Bimbang juga dia mahu berterus-terang di hadapan Ucu Mahali. Kalau dia percaya penyakit bengkak pipinya disebabkan sihir Ucu Mahali dan bukannya dari Allah Subhanahu Wata'ala, tentulah dia sendiri yang mempercayai perkara tahyol. Seisi felda itu tahu memang dia tidak percayakan perkara tahyol demikian.

Tentu orang-orangnya di Felda akan menuduhnya iri hati dengan Ucu Mahali sekiranya percaya penyakitnya disebabkan sihir. Tetapi Imam Labim hairan bagaimana penyakitnya berlanjutan setelah berterus terang menegur perbuatan Ucu Mahali menjadi bomoh di situ. Kalau Ucu Mahali tidak

menberitahu dirinya bomoh pun, penduduk-penduduk kampung itu akan bertumpu juga ke rumahnya. Tersengih-sengih Ucu Mahali apabila naik ke rumah Imam Labim sebaik sahaja diberitahu oleh isteri imam itu mengenai penyakit bengkak pipi yang ditanggung suaminya. Tidak tersinggung pun Ucu Mahali apakala dituduh gunakan sihir untuk menganiaya Imam Labim. Mereka percaya Ucu Mahali berkecil hati apabila ditegur oleh Imam Labim mengenai amalannya. Sebab itulah dia sanggup gunakan lembaga-lembaga berjubah putih yang menjadi sahabatnya menganiaya Imam Labim sampai sakit gigi berdenyut-denyut.

"Imam pun tahu, sakit datang dari Allah, ubatnya juga dari Allah," ujar Ucu Mahali perlahan dengan penuh ikhlas.

Tersinggung juga hati Imam Labim kerana menyangka Ucu Mahali sengaja mahu menyindir dia. Tidak patut lelaki itu menyindir dia dalam saat bengkak pipinya masih juga belum seruh.

"Ubat hanya sebagai ikhtiar saja, yang pentingnya: iyya kana'budu wa iyya kanas ta'in," Ucu Mahali menegaskan lantas meletakkan tapak tangannya ke pipi Imam Labim yang membengkak.

Tersengih-sengih Imam Labim dengan penjelasan Ucu Mahali. Dia sendiri tidak tahu sangat mengenai amalan Ucu Mahali kecuali mendengar laporan beberapa orang sahaja. Imam Labim tidak pernah bertanyakan apa-apa pun mengenai cara pengubatan yang diamalkan oleh Ucu Mahali semenjak mereka sama-sama berpindah ke kawasan felda.

Imam Labim sendiri mendengar Ucu Mahali membacakan doa tatkala tapak tangan diletakkan ke pipinya yang membengkak: Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kof, uskun aiyuhal waji' billazi in yasya yuskinir riho fayazlalna rawakido 'ala zohrihi, inna fi zalika la-ayatin likulli sobbarin syakur.

Terasa pada Imam Labim daging pipinya bagaikan disentap semasa tapak tangan Ucu Mahali melekap di situ. Tiga kali diulangi oleh Ucu Mahali, memang Imam Labim berasa lega juga.

"Musibah macam ni, ujian kepada kita Imam," tutur Ucu Mahali sewaktu turun meninggalkan rumah Imam Labim.

Seminggu selepas itu talkala bertemu di surau, Imam Labim tunjukkan kepada Ucu Mahali bengkak di pipinya mengecut. Sakit giginya yang berdenyut-denyut juga tidak lagi mengganggu. Tidak pula Imam Labim mengagak sama ada ubat yang diambilnya di hospital atau doa Ucu Mahali yang menyembuhkan. "Semuanya kuasa Allah, Imam," tersengih-sengih Ucu Mahali ingatkan dia, apabila Imam Labim ungkit

Dalam dokumen Tok Awang Ngah 21-40 (Halaman 84-95)