Faktor-faktor penyumbang terhadap kebolehpasaran dan kebolehkerjaan dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.
Norhaliza Hussin Nor Aishah Buang
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak
Inflasi pendidikan merupakan masalah yang kian mendapat perhatian sejak kebelakangan ini. Dalam kajian yang telah dijalankan oleh Zulkifly Osman et. al (2010), telah membandingkan pencapaian pendidikan pekerja dengan keperluan kelayakan pekerjaan sebenar yang dilaporkan oleh pekerja bagi mendapatkan spesifikasi umum fungsi pendapatan. Hasil kajian mendapati kemungkinan wujudnya ketaksepadanan antara keperluan pekerjaan dengan kelayakan pendidikan yang berlebihan atau dipanggil ‘inflasi pendidikan’. Dalam satu-satu keadaan boleh terjadi lebihan pendidikan (aspek penawaran) yang menyebabkan pulangan terhadap pendidikan merosot dan lebih ramai dalam kalangan mereka yang berpendidikan tidak berpeluang mendapatkan pekerjaan atau menganggur. Kedua, pencapaian pendidikan individu yang berlebihan menyebabkan berlaku ketakpadanan pekerjaan dalam pasaran buruh. Ia mungkin berpunca hasil daripada amalan standard pengambilan buruh baru (aspek permintaan) yang lebih ketat. Akibatnya, masalah pengangguran dalam kalangan siswazah tiada jalan penyelesaiannya dan isu kebolehpasaran siswazah pada masa ini telah mula menjadi agenda penting di kebanyakan institusi pengajian tinggi. Maka kertas konsep ini akan mengupaskan faktor-faktor yang menyumbang kearah kebolehpasaran dan kebolehkerjaan dalam kalangan siswazah di Malaysia. Kata kunci: Inflasi Pendidikan, lebihan pendidikan, kebolehpasaran graduan
Pengenalan
Kajian oleh Psacharopoulos dan Patrinos (2004) ke atas 121 buah negara di dunia termasuk Malaysia, menunjukkan walaupun purata pulangan terhadap setiap tambahan tahun persekolahan kekal positif, namun nilainya lebih kecil di negara maju berbanding dengan hasil yang diperoleh di negara membangun. Maka secara teorinya, dengan andaian yang lain tetap, penambahan penawaran pendidikan telah menyebabkan kadar pulangan pendidikan berkurangan. Seperti yang dilihat kini, penambahan institusi-institusi pendidikan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Kini, pelajar yang kurang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan juga berpeluang mendapat pendidikan. Bukan itu sahaja pelajar yang kurang mampu juga berpeluang besar untuk mendapatkan pendidikan dengan pelbagai tawaran biasiswa, tajaan, pinjaman dan sebagainya. Hal ini kerana penekanan dari pihak kerajaan yang mahukan kesamarataan pendidikan dan pendidikan sepanjang hayat dilaksanakan. Tetapi apa yang malangnya, pertumbuhan institusi pendidikan ini tidak sejajar dengan pertumbuhan peluang pekerjaan.
Kajian terbaru terhadap pulangan pendididkan ke atas pekerja dalam sektor perkhidmatan di Malaysia (Zulkifly Osman et al. 2009) menunjukkan memang wujud ketaksepadanan pekerjaan dalam bentuk inflasi pendidikan seperti yang digambarkan tadi. Graduan yang dilahirkan lebih ramai dari mencipta peluang pekerjaan dalam pasaran. Sebahagian besar daripada kajian merujuk kepada kurangnya kelebihan dari segi kebolehpasaran dan kebolehkerjaan yang dimiliki oleh graduan sebagai faktor penting dalam menjelaskan masalah pengangguran. Rata-rata kajian mendapati wujudnya ketidakselarasan di antara kualiti graduan dengan keperluan pasaran buruh khususnya dari segi kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki oleh siswazah. Dilaporkan dalam Majalah Time, pengangguran graduan di Eropah semakin serius. Spain hanya 60% graduan bekerja, Portugal 55%, Greece paling kritikal, hanya 40%. Di China, Star melaporkan hanya 45-55% sahaja dari 7 juta graduan yang tamat pengajian pada tahun 2012 telah bekerja. Bagaimana pula keadaannya di Malaysia? Menurut kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd. Muttalib dalam sidang Dewan Rakyat, sehingga Jun 2013 jumlah penganggur di negara ini adalah sebanyak 375,401 orang.
Pengangguran ini melibatkan jumlah siswazah yang menganggur adalah sebanyak 210,263 orang (56 peratus) manakala golongan bukan siswazah adalah 165,139 orang (44 peratus). Trend data pengangguran siswazah menunjukkan bahawa sebahagian besar yang menganggur ini adalah dari kalangan mereka yang memiliki ijazah pertama tetapi agak kurang dari kalangan mereka pemegang diploma. Keadaan ini menggambarkan bahawa pasaran kerja tempatan lebih memerlukan pendidikan tinggi peringkat diploma berbanding ijazah pertama sedangkan perkembangan sistem pendidikan tinggi negara ini lebih cenderung menghasilkan graduan peringkat ijazah pertama. Kebolehpasaran dan kebolehkerjaan siswazah pada masa ini telah mula menjadi agenda penting di kebanyakan Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia. Pelbagai pihak mula mempersoalkan kualiti pendidikan di negara ini memandangkan sejumlah besar siswazah masih menganggur meningkat dari tahun ke tahun.
Pandangan umum sering merujuk kegagalan siswazah mendapat kerja disebabkan mereka tidak memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan majikan. Banyak kajian mendapati kualiti dan reputasi universiti juga merupakan antara faktor penting yang boleh mempengaruhi kebolehpasaran graduan selain daripada faktor penawaran dan permintaan, kesesuaian ijazah, kemahiran insaniah dan personal attribute pelajar (Nooriah Yusof, Norain Mat Lazim & Zakiah Jamaluddin, 2013). Hal ini kerana kebolehpasaran setiap graduan dinilai dari pelbagai aspek. Selain pencapaian akademik cemerlang, mereka perlu mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi termasuk komunikasi secara berkesan dan beberapa kemahiran lain seperti kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis, dan keusahawanan. Pihak majikan pula lebih cenderung mencari bakal pekerja yang memiliki pelbagai kemahiran tanpa perlu memberi latihan dalam perkhidmatan. Ada pihak yang menyalahkan siswazah sendiri dan pihak universiti dengan mengatakan bahawa kurikulum yang disediakan oleh pihak universiti kurang sesuai dengan kehendak majikan.
Ada juga kajian menunjukkan pihak majikan yang terlalu memilih kriteria-kriteria tertentu sehingga menyebabkan siswazah-siswazah ini sukar untuk memperoleh pekerjaan selepas tamat pembelajaran. Menurut Ishak Yussof dan Rahmah Ismail, 2012, majikan kini lebih suka mengambil pekerja ‘ready made’ dalam ertikata tidak perlu mengeluarkan kos latihan pekerja. Ini menjadi satu kekangan besar kepada graduan kerana ilmu yang ditimba mungkin tidak sampai ke peringkat yang diperlukan majikan terutamanya pekerjaan dalam sektor swasta yang memerlukan kemahiran yang dinamik. Maka dengan itu, sektor industri digesa untuk memberi sokongan penuh terhadap perlaksanaan Dasar Latihan Industri Pengajian Tinggi bagi penempatan pelajar di syarikat tempatan dan multinasional. Contohnya usaha kerajaan kini dalam meningkatkan pendidikan Teknin dan Vokasional dengan bertujuan melengkapkan para pelajar dengan kemahiran yang tinggi selaras dengan kehendak majikan dalam pasaran kini.
Di Malaysia, rekod pengesanan graduan KPT menunjukan purata IPTA menunjukkan antara 65-75% telah bekerja dalam tempoh enam bulan pada tahun 2012. Kadar bekerja IPTS lebih tinggi sekitar 80% graduannya telah bekerja dalam tempoh enam bulan selepas konvokesyen. Dijangkakan kadar kebolehkerjaan graduan IPT di negara ini akan jatuh bagi tahun 2013-2014 kerana penguncupan ekonomi dunia. Ini juga akan dialami oleh semua negara di dunia cuma kadarnya berbeza beza. Oleh itu, memiliki kerjaya sejurus seorang graduan menamatkan pengajian di sesebuah pusat pengajian tinggi adalah salah satu ukuran kebolehpasaran siswazah. Status bekerja dan pekerjaan graduan adalah jaminan kelangsungan hidup mereka yang telah melalui proses pembangunan modal insan semasa belajar bagi mengisi pelbagai jawatan yang diperlukan untuk pembangunan nasional (Ahmad, 2011). Menurut Shaharuddin (2010), kebolehpasaran seseorang graduan adalah berbeza-beza sifat dan darjahnya, selain daripada kemahiran insaniah dan faktor peribadi adalah antara faktor kebolehpasaran graduan.
Maka dengan itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehdapatan perkerjaan graduan yang dikeluarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi awam tempatan. Graduan sekarang bukan sahaja dikehendaki mempunyai pengetahuan akademik (graduate skills) tetapi perlu juga mempunyai kemahiran insaniah (soft skills) dan enterprise atau business skills bagi meningkatkan kopetensi mereka. Kesemua ini merupakan aset bagi kebolehpasaran untuk seseorang graduan. Kementerian Pengajian Tinggi telah memberi penekanan kepada beberapa langkah bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dengan memperhebatkan lagi program-program seperti latihan industry ,Apprenticeship, Finishing School dan latihan keusahawanan. Program-program ini
adalah bertujuan bagi melengkapkan siswazah dengan nilai tambah agar lebih marketable dan employable di dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa, sekaligus mengurangkan masalah pengangguran dikalangan graduan lepasan universiti.
Selain itu, KPT juga sedang mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan iaitu dengan memasukan elemen kebolehpasaran di dalam kurikulum menerusi pembaharuan sistem Pembelajaran dan Pengajaran di IPT. Peningkatkan kebolehpasaran graduan juga melalui aktiviti kokurikulum dan melibatkan majikan di dalam penambahbaikan kurikulum. Matlamatnya adalah memastikan graduan memperolehi pekerjaan yang sesuai, boleh menjadi usahawan dan mewujudkan pekerjaan, graduan yang mempunyai kompetensi yang tinggi dan graduan IPT berkualiti yang mempunyai nilai tambah dari segi kemahiran insaniah ‘soft skills’ yang memenuhi kehendak pasaran. Dengan penyediaan dari pihak KPT para graduan pula perlu mengambil peluang ini sebaiknya dengan melengkapkan diri dengan pelbagai aspek pengetahuan, berilmu, berkemahiran dan keyakinan diri bagi memudahkan mereka mendapat tempat di kalangan pihak industri di negara ini. Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee berkata, usaha itu perlu bagi melengkapkan kebolehpasaran graduan dengan pelbagai kemahiran yang memenuhi kehendak industri dari semasa ke semasa dan pelbagai strategi telah dirangka oleh pihak-pihak tertentu bagi menghadapi masalah potensi keyakinan diri dikalangan mahasiswa dapat dipertingkatkan.
Konsep
Faktor-faktor penyumbang dalam kebolehpasaran dan kebolehkerjaan adalah sangat penting bagi memastikan inflasi pendididikan dan kadar pengangguran adalah pada kadar yang minimum. Penambahan penawaran pendidikan telah menyebabkan kadar pulangan pendidikan berkurangan. Wujud di sini hukum pulangan bertambah kurang terhadap faedah pendidikan. Hukum ini telah menimbulkan dua implikasi menarik. Pertama, apabila terjadi lebihan pendidikan (aspek penawaran) dimana tawaran pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan adalah berlebihan dari tawaran pekerjaan dalam pasaran buruh, ia akan menyebabkan bukan sahaja pulangan terhadap pendidikan merosot, tetapi lebih ramai dalam kalangan mereka yang berpendidikan tidak berpeluang mendapatkan pekerjaan atau menganggur.
Kedua, pencapaian pendidikan individu. Ia mungkin berpunca hasil daripada amalan standard pengambilan buruh baru (aspek permintaan) yang lebih ketat dari pihak majikan. Menurut Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (2004), untuk menjadi graduan yang diterima di pasaran kerja perlu ada empat ciri kebolehpasaran ini, iaitu keserasian, keluasan, kebolehpercayaan dan kepekaan. Majikan bukan sahaja memandang dari segi kelayakan akedemik tetapi juga kemahiran sosial yang membolehkan graduan berkomunikasi dengan baik. Maka dengan asas permintaan yang ketat dari majikan iaitu tingkat kelayakan yang lebih tinggi daripada sebelumnya yang diperlukan untuk mengisi kekosongan jawatan yang sama. Akibatnya, pengangguran dalam kalangan yang berpendidikan meningkat, maka graduan terdorong untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Peningkatan daya saing memerlukan modal insan bertaraf dunia yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, serba boleh dan kreatif, fleksibel, dinamik, berorientasikan prestasi dan kecemerlangan serta memiliki etika kerja positif dan nilai kerohanian. Selaras dengan Teori Modal Insan yang menekankan kepada kepentingan kualiti manusia dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi telah mendorong sesebuah negara memperuntukkan pelaburan yang tinggi dalam pendidikan dan latihan. Langkah utama adalah untuk menjadikan pendidikan dan latihan sebagai satu strategi penting bagi meningkatkan potensi modal insan seperti kepakaran, kemahiran, berpengetahuan, efisien, produktif, berdedikasi dan kreatif, serta sikap yang baik terhadap kerjanya. Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi ialah menjadikan USM satu-satunya universiti di Malaysia yang dipilih untuk Program Pemacuan Kecemerlangan (Accelerated Programme for Excellence – APEX) pada tahun 2008 yang bermatlamatkan menjadi satu institusi mercu dan pusat akademik negara yang unggul serta berkelas dunia dengan memberikan penekanan dari segi pembangunan kualiti pelajar.
Hal ini kerana modal manusia mempunyai kaitan yang rapat dengan faktor penyumbang kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan dan sebagai penggerak kepada pertumbuhan ekonomi dalam era globalisasi yang mana penciptaan teknologi semakin canggih dan dinamik. Ini
diperkukuhkan lagi oleh kenyataan yang dikemukakan oleh Venhorst et al. (2010) bahawa modal manusia merupakan kunci kepada teori pertumbuhan ekonomi moden. Kepentingan pembangunan ekonomi telah memberikan tekanan yang hebat kepada universiti untuk terlibat dalam melahirkan sumber tenaga kerja mahir pada pelbagai skala untuk keperluan negara. Pembangunan ekonomi membolehkan peluang pekerjaan dicipta. Pekerjaan pula dicipta oleh pekerja atau graduan yang memiliki sifat modal insan kelas pertama dimana mereka ini akan memikirkan peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat. Maka dengan ini, jika terdapat pembangunan ekonomi di sesebuah Negara maka peluang pekerjaan semestinya akan bertambah kerana banyak peluang pekerjaan yang dicipta. Jadi masalah pengangguran adalah pada tahap minimum.
Produktiviti merupakan agenda utama pelaku-pelaku pasaran. Peningkatan produktiviti menyebabkan majikan mencpai target atau keuntungan yang diperlukan. Semua ini boleh dicapai apabila pekerja mencapai standard yang diinginkan oleh majikan. Maka wujudlah criteria-kriteria tertentu yang diperlukan oleh majikan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran. Dalam Rangka Kerja Produktiviti Perbadanan Produktiviti Negara (2006), telah menerangkan sejauh mana input buruh dan modal menyumbang kepada pertumbuhan dalam produktiviti dan seterusnya kepada peningkatan output bagi mendorong kualiti hidup yang lebih baik. Hal ini menunjukkan input buruh penting dalam memberi peningkatan terhadap output. Peningkatan produktiviti secara berterusan adalah penting untuk mengekalkan pembangunan ekonomi seiring dengan aspirasi Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020
Pelaburan modal ICT dan penggunaan ICT berhubung rapat dengan produktiviti pekerja berikutan sumbangan dari segi penstrukturan semula firma dan industri serta penyusunan semula proses perkhidmatan yang disediakan. Dalam kajian yang telah dijalankan oleh Liew Chei Siang, Zulridah Mohd Noor dan Tee Beng Ann (2012), menunjukkan bahawa wujud hubungan positif yang signifikan antara pelaburan modal ICT dan penggunaan ICT dengan produktiviti pekerja. Sub sektor perkhidmatan ICT memperoleh peningkatan produktiviti yang lebih tinggi daripada pelaburan modal ICT berbanding dengan empat sub sektor yang lain dalam kajian tersebut. Pelaburan modal dan penggunaan ICT yang meluas dapat membantu firma meningkatkan kecekapan. Kesan ICT terhadap Produktiviti Pekerja membawa kepada peningkatan dalam produktiviti pekerja. Maka para graduan sebolehnya menyiapkan diri dengan pengetahuan dan pengaplikasian ICT yang cekap bagi menyediakan diri ke dalam pasaran buruh yang semakin sengit saingannya.
Kepentingan
Kepentingan kertas konsep ini adalah menyingkapkan faktor-faktor penting yang menyumbang kearah kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan mahupun para pelajar. Telah dikupaskan isu terkini yang secara keseluruhannya memerlukan graduan dan para pelajar mengetahui dan bertindak kearah faktor penyumbang tersebut memandangkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan kini semakin meluas. Wujud persaingan bagi mendapatkan pekerjaan terdapat dalam tiga situasi. Pertama, kadar peluang pekerjaan yang dicipta adalah kurang berbanding dengan keluaran graduan setiap tahun. Kedua, berlaku ketaksepadanan antara pekerjaan dan pendidikan disebabkan peluang pendidikan ke peringkat yang lebh tinggi terbuka luas berbanding peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan tersebut adalah minimum. Ketiga yang perlu diambil kira oleh graduan adalah aspek permintaan yang ditawarkan oleh pihak majikan dimana kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi oleh graduan terhadap permintaan majikan sebelum ditawarkan pekerjaan. Maka penting bagi graduan dan para pelajar menyediakan diri kearah modal insan, produktiviti, pengetahuan ICT, daya saing dan sebagainya.
Peningkatan daya saing global melalui peningkatan dalam pertumbuhan produktiviti. Peningkatan produktiviti secara berterusan adalah penting untuk mengekalkan pembangunan ekonomi seiring dengan aspirasi Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Menurut Zulkifly Osman et al. (2009), maklumat mengenai fenomena ketakpadanan pekerjaan diperoleh melalui soalan berikut, iaitu ”Adakah kelayakan jawatan sekarang berbeza dengan keperluan kelayakan yang ditetapkan sebelum ini”. Bagi jawapan ‘ya’, responden seterusnya diminta menyatakan tingkat kelayakan baru yang diperlukan untuk jawatan yang sama. Jawapan yang diterima menunjukkan sebanyak 15% daripada keseluruhan sampel yang dikutip, menyatakan bahawa kelayakan baru yang ditetapkan adalah lebih tinggi daripada keperluan sebelumnya. Hal ini terjadi mungkin kerana peluang
pendidikan terbuka luas dan menyebabkan ramai graduan yang memiliki kelulusan tinggi. Maka permintaan majikan tentunya yang terbaik iaitu kelulusan yang lebih tinggi dari sepatutnya.
Selain itu sekiranya peningkatan bilangan graduan tidak disertai dengan peluang pekerjaan yang selaras dengan kelulusan dan bidang pengajian ianya boleh menimbulkan tanggapan bahawa pendidikan tinggi di sesebuah negara itu kurang berjaya dalam menghasilkan tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan pasaran. Dengan itu, pihak berkaitan ititu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu melihat masalah ini dan seterusnya mengambi langkah yang sesuai bagi menyediakan kursus-kursus serta latihan-latihan yang sesuai dengan kehendak pasaran dan majikan. Maka, pihak tersebut dapat merangka, menyusun dan menyediakan dengan lebih baik bagi penyediaan graduan yang memiliki sifat kebolehpasaran dan kebolehkerjaan terkini mengikut kehendak pasaran. Itulah antara kepentingan kertas konsep ini yang mengupas factor-faktor penyumbang kearah kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan.
Kebanyakan organisasi menganggap pelaburan modal insan dalam latihan pekerja sebagai satu strategi pelaburan penting ke arah pembangunan organisasi. Latihan dilihat sebagai satu komponen penting dalam pelaburan modal insan sesebuah organisasi bagi mengekal dan meningkatkan keupayaan sumber manusia (Garavan 1997). Pelaburan modal insan dan latihan pekerja bukan sahaja dibuat semasa graduan sudah bekerja dalam sesebuah organisasi tetapi boleh dilakukan semasa dalam tempoh pengajian. Atas kesedaran pihak institusi pengajian tentang kebolehpasaran dan kebolehkerjaan para graduannya maka kini wujudlah hubungan yang positif antara pihak industri dan pihak institusi pendidikan bagi merangka kursus dan latihan yang dikehendaki oleh pasaan buruh. Atas kajian terdahulu yang dilakukan, maka kesedaran tersebut timbul dan mencipta kecekapan organisasi pada tahap yang maksimum. Organisasi yang efektif adalah yang mempunyai peruntukan kewangan, masa dan sumber yang besar untuk tujuan pengurusan dan penyeliaan program latihan (Cascio 1998).
Pembangunan modal manusia mempunyai kaitan yang rapat dengan pertumbuhan ekonomi dan sebagai penggerak kepada ekonomi dalam era globalisasi yang mana penciptaan teknologi semakin canggih dan dinamik. Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan yang dikemukakan oleh Venhorst et al. (2010) bahawa modal manusia merupakan kunci kepada teori pertumbuhan ekonomi moden. Kepentingan pembangunan ekonomi telah memberikan tekanan yang hebat kepada universiti untuk terlibat dalam melahirkan sumber tenaga kerja mahir pada pelbagai skala untuk keperluan negara. Ini selaras dengan perubahan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi. Perubahan demi perubahan yang sesuai perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan masalah-masalah dalam pasaran buruh dapat diminimumkan. Atas sebab inilah kertas konsep ini diterbitkan.
Isu – isu
Antara isu yang timbul dalam penyediaan kearah faktor penyumbang kebolehpasaran dan kebolehkerjaan adalah sumber-sumber yang terhad dan persaingan dalam meningkatkan daya saing global, peningkatan produktiviti pekerja dalam sektor ini menjadi penting dan kritikal (Liew Chei Siang, Zulridah Mohd Noor, Tee Beng Ann, 2013). Ekonomi yang cekap berupaya menggunakan sumber input dan kos secara optimum pada tingkat teknologi pengeluaran tertentu. Model pengeluaran menunjukkan output yang bergantung kepada faktor input yang cekap seperti kualiti pekerja, mampu mempengaruhi kecekapan pengeluaran secara optimum (Farrell 1957). Penggunaan input pekerja berkualiti sering dikaitkan dengan tahap pengeluaran yang optimum. Kombinasi penggunaan input pekerja berkualiti dan pengeluaran yang optimum dikatakan akan dapat menghasilkan output yang berupaya untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Dalam konteks artikel ini, dapat dimaklumkan bahawa kita masih kurang efektif dalam penggunaan sumber buruh kerana masih wujud penganggurang yang tinggi.
Selain itu, isu yang dihadapi adalah berlaku lebihan pendidikan berbanding penawaran peluang pekerjaan menyebabkan kadar pulangan pendidikan kurang berhasil. Hasil proses peningkatan diri melalui pendidikan yang berkembang dari hari ke hari mewujudkan situasi dimana majoriti rakyat Malaysia mempunyai pendidikan. Jika peluang pekerjaan pada peringkat tinggi gagal berkembang seperti perkembangan dunia pendidikan, maka ianya boleh meningkatkan ketakpadanan pekerjaan dalam pasaran buruh. Fenomena ini boleh merendahkan nilai terhadap pendidikan, iaitu
sama seperti kejatuhan nilai matawang apabila harga umum meningkat, dan di sini disebut sebagai inflasi pendidikan (Zulkifly Osman, Ishak Yussof, Abu Hassan Shaari Mohd Nor , 2010). Masalah ini akan semakin berleluasa sekiranya pihak kerajaan tidak melakukan sesuatu bagi membendung isu ini terus berlarutan dan ia akan member kesan ke atas ekonomi negara.
Banyak kajian mendapati kualiti dan reputasi universiti juga merupakan antara faktor penting yang boleh mempengaruhi kebolehpasaran graduan selain daripada faktor penawaran dan permintaan, kesesuaian ijazah, kemahiran insaniah dan personal attribute pelajar . Kajian yang telah dijalan oleh Alumni Research Team Art UTHM (2010), menunjukkan keseluruhan elemen kemahiran insaniah adalah tahap memuaskan dari aspek kemahiran komunikasi, kerja berkumpulan, pengurusan maklumat, kepimpinan, penyelesaian masalah dan moral dan etika. Walaubagaimanapun elemen keusahawanan adalah kurang memuaskan. Hal ini menunjukkan pihak universit gagal menyediakan kursus-kursus dan latihan yang dapat memnuhi kehendak pasaran. Menurut Zoghbi, Rocha dan Mattos (2013), telah mengukur kecekapan pengeluaran pendidikan oleh universiti di Brazil, iaitu dengan membandingkan kecekapan antara IPTA dan IPTS. Kajian mereka mendapati bahawa IPTA adalah kurang cekap berbanding IPTS. Kajian mereka penting ekoran peningkatan dalam permintaan terhadap pendidikan tinggi di IPTS, namun aspek kualiti pendidikan tinggi oleh IPTS pula mula menjadi pertaruhan. Kajian seterusnya untuk melihat keadaan IPTA dan IPTS di Malaysia perlu dilakukan.
Kurangnya kelebihan dari segi kebolehpasaran dan kebolehkerjaan yang dimiliki oleh graduan sebagai faktor penting dalam menjelaskan masalah pengangguran. Rata-rata kajian mendapati wujudnya ketidakselarasan di antara kualiti graduan dengan keperluan pasaran buruh khususnya dari segi kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki oleh siswazah di negara mi (Nooriah Yusof, Zakiah Jamaluddin & Norain Mat Lazim, 2013). Dengan keadaan tersebut Institusi pengajian tinggi semakin didesak untuk turut berperanan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti selaras dengan keperluan majikan dalam pasaran buruh. Menurut Tham Sook Fan, Ishak Yussof & Rahmah Ismail (2013), kerajaan harus menjana lebih banyak peluang pekerjaan khususnya pekerjaan yang berkemahiran dan berteknologi tinggi untuk generasi kedua. Ini juga selaras dengan matlamat kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi. Pendidikan juga mengalami gelombang transformasi menerusi Pelan Pembanggunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dimana ianya dapat menyediakan serta melahirkan pelajar dan graduan yang berkemahiran tinggi dengan pelbagai uasaha yang dijalankan.
Isu setrerusnya adalah isu yang palig penting iaitu permintaan majikan dalam pasaran buruh yang berubah-ubah. Majikan kini lebih suka mengambil pekerja ‘ready made’ dalam ertikata tidak perlu mengeluarkan kos latihan pekerja. Hasil kajian yang dilakukan oleh Ishak Yussof & Rahmah Ismail (2012), mendapati persepsi majikan awam adalah lebih tinggi daripada majikan swasta dalam kesemua atribut graduan yang dikaji. Faktor lain yang mempengaruhi persepsi majikan terhadap graduan termasuklah kaum, sektor, status pekerjaan dan pengalaman kerja responden/majikan. Majikan amat mementingkan pengalaman. Jika dikira secara logiknya, dimanakah para graduan boleh dapatkan pengalaman sedangkan mereka belum menamatkan sesi pengajian dan belum lagi memulakan kerja. Bagaimana untuk mereka beroleh pekerjaan? Disinilah peranan pihak institusi pendidikan menyediakan kursus dan latihan berasaskan industry yang lebih praktikal dan lebih real. Maka majikan tidak lagi ragu-ragu jika mereka beroleh pengalaman dunia pekerjaan yang realitinya. Cadangan
Pelaburan modal insan dalam latihan pekerja merupakan satu strategi yang amat penting kepada pembangunan organisasi (Rahmah Ismail, Zulridah Mohd Noor, Salma Hamzah 2013). Organisasi bukan terletak di atas nama majikan tetapi institusi juga perlu menjana kursus dan latihan yang dapat membangunkan modal insan untuk melahirkan graduan yang berguna kepada institusi dan bakal majikannya. Walaubagaimanapun, kini kebanyakan institusi pendidikan mempunyai kesedaran tentang melahirkan modal insan, maka pelbagai program telah dibentuk. Adakah perlaksanaan pelbagai program dapat menunjukkan institusi pendidikan telah berjaya melahirkan graduan yang memiliki modal insan dan keperluan pasaran? Maka pentingnya untuk membuat penilaian terhadap keberkesanan program-program pembangunan kemahiran kebolehpasaran yang dijalankan oleh pihak
universiti serta mengenal pasti permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh universiti dalam menjayakan agenda ini ( Nooriah Yusof*, Norain Mat Lazim & Zakiah Jamaluddin 2013).
Cadangan seterusnya adalah kerajaan harus menjana lebih banyak peluang pekerjaan khususnya pekerjaan yang berkemahiran dan berteknologi tinggi untuk generasi kedua. Ini juga selaras dengan matlamat kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggI (Tham Sook Fan, Ishak Yussof, Rahmah Ismail 2013).Bukan sahaja peluang pekerjaan yang berkemahiran tetapi peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran juga perlu diperluaskan dengan memperbanyakkan institusi pendidikan berkemahiran. Pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS kebanyakkannya adalah pelajar yang mempunyai kelemahan dalam menguasai pengetahuan tetapi mereka ini mempunyai kekuatan dari segi kemahiran. Maka dicadangkan pihak kerajaan perlu menggalakkan pihak swasta untuk sama-sama terlibat dalam merancakkan penyediaan institusi berkemahiran agar transformasi kea rah Negara berpendapatan tinggi tercapai. IPTS perlu meningkatkan keupayaan pengeluaran, mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, seterusnya meningkatkan penjanaan pendapatan sektor PPTS (Saharawati Shahar, Rahmah Ismail, Zulridah Mohd Noor, Ishak Yussof 2015).
Dunia tanpa sempadan merupakan satu ayat yang tidak boleh kita nafikan. Oleh itu, usaha-usaha berikut dicadangkan oleh Liew Chei Siang, Zulridah Mohd Noor dan Tee Beng Ann (2012), untuk meningkatkan faedah yang diperoleh oleh institusi pendidikan daripada pelaburan modal ICT dan penggunaan ICT. Pertama, perubahan organisasi untuk menggabungkan lebih banyak komponen ICT dalam operasi harian. Hal ini bermaksud, organisasi perlu menggunakan ICT dalam pentadbiran agar ianya lebih cekap dan berkesan. Maklumat kini semua dihujung jari, maka organisasi boleh menggunakan peluang ini untuk menganalisis kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman bagi memastikan organisasi terus berada pada kekuatan kukuh.Kedua, pemberian latihan dan pengetahuan ICT yang terkini kepada pekerja adalah perlu kerana kebanyakkan teknologi yang datang adalah memerlukan pekerja yang cekap dalam pengendalian mesin-mesin dengan kadar segera. Ketiga, sokongan kerajaan dalam bentuk dana, insentif atau subsidi untuk menggalakkan pembangunan inovasi dan penggubalan pelan strategik ICT adalah diperlukan untuk sokongan secara berterusan ukan berkala.
Kesimpulan
Terdapat pelbagai tafsiran apabila merujuk kepada isu kebolehpasaran ini sehingga ia menarik minat ramai pengkaji untuk mengenal pasti faktor-faktor yang membawa kepada permasalahan ini serta meneliti dan mengenalpasti punca sebenar yang membawa kepada masalah pengangguran siswazah di negara ini. Universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan graduan dalam pelbagai bidang pengajian memainkan peranan penting dari segi dasar dan tindakan dalam memastikan graduan yang dihasilkan dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Perhatian yang serius perlu diberikan kepada usaha untuk menambah baik lagi operasi yang kurang cekap kepada mencapai tahap kecekapan secara relatif. Usaha penambahbaikan ini memerlukan pengurusan input secara optimum berasaskan kepada rujukan tahap kecekapan. Dengan penjanaan peluang pekerjaan baru yang lebih banyak khususnya pekerjaan yang memerlukan kemahiran berteknologi tinggi dan kemahiran tertentu, bermakna tenaga kerja mahir turut diperlukan untuk mengisi jawatan tersebut.
Majikan juga perlu elak meletakkan syarat yang begiru tinggi dalam mengambil pekerja baru. Ini ada kaitannya dengan limpahan graduan yang membanjiri pasaran buruh setiap tahun akibat tidak memenuhi syarat yang diminta oleh pihak majikan. Menurut Zulkifly Osman, Abu Hassan Shaari Mohd Nor & Ishak Yussof (2010), majikan akan memilih pekerja yang betul-betul cemerlang. Cemerlang yang ditafsirkan setiap majikan adalah subjektif dan berbeza-beza setiap individu. Maka kerjasama antara pihak institusi pendidikan dan majikan amat penting dalam menyediakan graduan yang memenuhi keperluan pasaran seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dalam negara. Sokongan dari pihak kerajaan perlulah berterusan agar ianya tercapai ke peringkat sepatutnya. Sokongan secara berkala mungkin membantutkan perkembangan pengurangan kadar pengangguran. Sokongan dari segi dana, keperluan, kemudahan amat membantu dalam menyediakan para pelajar dan graduan yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan. Maka, matlamat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang berpendapatan tinggi tahun 2020 akan tercapai dengan penyediaan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahun.
Rujukan
Alumni Research Team(ART). 2009. Kajian Kebolehpasaran Graduan ( Graduate Employability).Vot Penyelidikan : Geran Kontrak COO2
Ishak Yussof & Rahmah Ismail. 2012. Analisis Perbandingan Persepsi Majikan Sektor Awam dan Swasta Terhadap Prestasi Graduan UKM.Jurnal Ekonomi Malaysia 46(2) 2012 85 – 92 Liew Chei Siang, Zulridah Mohd Noor&Tee Beng Ann.2012. Kesan ICT terhadap Produktiviti
Pekerja dalam Sektor Perkhidmatan Terpilih di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia 46(2) 2012 115 – 126
Nooriah Yusof*, Norain Mat Lazim & Zakiah Jamaluddin. 2013. Persepsi Pelajar Prasiswazah Terhadap Program Pembangunan Kebolehpasaran Siswazah : Kes Universiti Sains Malaysia (USM). Yusof et al., International Journal of Environment, Society and Space, 2013, 1 (1), 43-61
Nooriah Yusof, Zakiah Jamaluddin & Norain Mat Lazim. 2013. Persepsi Pelajar Prasiswazah Terhadap Kebolehpasaran Graduan dan Persaingan dalam Pasaran Pekerjaan.Jurnal Personalia Pelajar 16 (2013): 77-92
Rahmah Ismail, Zulridah Mohd Noor & Salma Hamzah. 2013. Penentu Penglibatan Pekerja dalam Latihan Pembangunan Sumber Manusia Berhad.Jurnal Ekonomi Malaysia 47(1) 2013 109 – 124
Saharawati Shahar, Rahmah Ismail, Zulridah Mohd Noor & Ishak Yussof. Kecekapan Teknik Institusi Pendidikan Tinggi Swasta di Malaysia.Jurnal Ekonomi Malaysia 49(1) 2015 103 - 119 Tham Sook Fan, Ishak Yussof & Rahmah Ismail. 2013. Pulangan Pendidikan antara Generasi di Malaysia.Jurnal Ekonomi Malaysia 47(1) 2013 41 - 52
Zulkifli Osman, Ishak Yussof & Abu Hassa Shaari Mohd Nor. 2009. Inflasi Pendidikan Mengikut Ketentuan Dalam Pasaran Buruh Malaysia. PROSIDING PERKEM IV, JILID 2 (2009) 439-454. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM IV) Memacu Pembangunan Ekonomi Dalam Ketidaktentuan Persekitaran Global Kuantan, Pahang.
Zulkifli Osman, Ishak Yussof & Abu Hassa Shaari Mohd Nor. 2010. Inflasi Pendidikan Mengikut Ketentuan dalam Pasaran Buruh Malaysia.Jurnal Ekonomi Malaysia 44 (2010) 61 - 71 61