Prolog
RAIMY HAIDAR. Itu namaku. Ada yang
memanggilku Raimy. Kadang-kadang Haidar. Ramai yang memanggilku Rain – nama yang sudah terlekat sejak kecil-kecil dulu. Menurut sejarahnya, aku sewaktu kecil dulu suka sangat main hujan, lantas nama itu dihadiahkan buatku secara percuma. Sebetulnya papa dan mama boleh saja memanggil aku ‘Hujan’ namun orang tuaku itu tergolong dalam kumpulan yang merasakan bahasa penjajah itu lebih agung daripada bahasanya sendiri. Maka jadi ‘Rain’lah aku! Padahal tentu lebih elok kalau dipanggil Raimy yang bermaksud ‘keutamaan’ atau Haidar yang bermaksud ‘berani’. Namun, walau apa pun nama panggilanku, aku tetap orang yang sama – Raimy Haidar.
Ramai yang mengatakan aku ini handsome orangnya. Nenek juga selalu memuji begitu. Kalau tanya aku… well... siapalah aku hendak
Bidadari Hujan
mengatakan tidak! Kita kadang-kadang perlu akur pada kenyataan…!
Pada awalnya, rutin hidupku biasa saja. Setiap hari kerja, kerja, kerja. Merdeka hanya time cuti. Hujung minggu biasanya aku hanya melepak di rumah. Kadang-kadang kalau rajin, cuci kereta… namun biasanya aku memang tak rajin! Selalunya Si All Black itu ku‘mandikan’ di automatic car wash saja – cuma perlu lima minit dengan bayaran tiga ringgit.
Sejak zaman sekolah hinggalah sudah bekerja selama hampir tujuh tahun, aku belum pernah ada awek. Setakat kawan-kawan memang ramai. Yang sampai aku nak tangkap angau memang belum pernah. Bukanlah aku ni cerewet sangat, tapi… hmm cerewet jugalah agaknya! Aku tahu ramai perempuan di luar sana yang termimpi-mimpikan aku. Dan pasti juga kalau aku memetik jari sekali, lebih sepuluh yang akan mari. Tapi aku masih belum bertemu perempuan yang boleh menggegar jantung hatiku.
Namun suatu hari, insan yang kutunggu-tunggu itu datang juga. Dengan cara yang tidak terduga. Mudah saja sebenarnya. Bertemu dia suatu pagi tatkala hujan sedang turun lantas aku terpanah di situ, dipanah oleh kasmaran untuk kali pertama. Love at first sightlah konon-kononnya. Lalu hari-hariku selepas itu memang sudah tidak sama seperti dulu lagi. Sudah pandai bergayut di telefon berjam-jam lamanya. Sudah pandai juga menulis SMS berjela-jela yang kalau
disusun lebih berjela daripada kain ela yang dijual di Euro Moda.
Tapi… kata-kata papa pada suatu petang telah mengubah perjalanan cintaku seluruhnya. Dan beberapa bulan selepas itu juga hidupku telah menjadi begitu huru-hara... semuanya gara-gara lima huruf keramat itu: CINTA.
Resah, rindu, cemburu, malu-malu tapi mahu, nanar, berbinar-binar, terluka, buat muka, ketawa, menangis, separuh mati juga separuh gila. Semua perasaan itu sudah kurasa. Padan muka aku.
Nak bercinta sangat! Tapi akhirnya….
1
HUJAN.
Kupandang ke dashboard belakang. Payung tiada di situ. Aku mengutuk kekhilafan diri yang terlupa memasukkan payung itu semalam. Kelihatannya aku tiada pilihan selain perlu meredah hujan untuk sampai ke ruang lobi bangunan Power Tech.
Kucapai beg galas lalu kusandang di belakang badan. Kucuba membayangkan skil membawa lari bola ragbi empat belas tahun yang lalu. Cuma sekarang aku perlu membawa lari sebuah beg yang besarnya dua kali ganda besar daripada bola ragbi itu.
Pintu kereta kubuka tapi sebelum aku sempat berlari tiba-tiba seorang gadis segera memayungi aku! Sambil di bibirnya tersungging senyuman. Aku terpaku. Subhanallah… cantiknya!
Mataku tidak berkelip memandang lantas membuatkan insan itu tersipu. “Sorry… nampaknya macam awak tak ada payung?”
Aku terpaku lagi. Bidadari Hujan boleh bercakap rupanya! “Err… ya… terima kasih sebab payungkan saya.” Dan terima kasih juga sebab aku tertinggal payung tu di rumah hari ini!
“Err… jomlah. Saya payungkan awak sampai sana.” Aku mengangguk. Akur. Mataku masih enggan melepaskan wajah itu. Rupanya ada gadis secantik ini bekerja di sini? Kenapa aku tak pernah nampak pun sebelum ini?
Beberapa minit kemudian kami sampai juga ke lobi. Kulihat dia sedikit basah, tidak jauh berbeza dengan aku akibat tempias hujan.
“Sorry… sebab saya awak basah juga.” Dia hanya tersenyum sambil mengelap sedikit baju dan tudungnya yang basah dengan tisu. Turut dihulurnya tisu kepadaku. Aku menyambutnya sedikit malu-malu tapi hatiku sudah mengatakan mahu!
Pintu kaca lobi terbuka sendiri. Kupersilakan dia melangkah dahulu. Dia kelihatan malu-malu melihat aku berbuat begitu. Hmm… aura romeoku sudah datang! Kutekan butang lif lalu kami sama-sama bertafakur menunggu.
“Kerja di tingkat mana? Tak pernah nampak sebelum ni?”
“Saya baru mula semalam. Tingkat tujuh.” Aku mengangguk perlahan. Patutlah. Kupandang kad ID yang tergantung di leher. Qamalia… namanya Qamalia… kerja di tingkat
Bidadari Hujan
tujuh. Aku memikir. Siapa yang ada aku kenal di situ? Okey… ada seorang. Brandon. Boleh jadi spy aku nanti.
Mataku mengerling ke arah nombor lif. Baru sampai di tingkat paling atas. Masih ada masa nak berbual lagi. Tapi kesejukan akibat disimbah hujan menyebabkan otakku rasa beku pula hendak menyambung ayat. Nak tanya apa lagi?
“Encik kerja di tingkat mana?”
“Saya di tingkat lima.” Hanya kurang dua tingkat daripada dia. Seandainya perkhidmatan lif terputus, tiada masalah besar untuk aku berlari menaiki tangga ke tingkat tujuh andai suatu hari nanti insan yang baru kukenali ini memerlukan sebarang rescue.
“Oh ya… nama saya Raimy Haidar. Panggil Rain saja.” Aku memperkenalkan diri tanpa ditanya. Itu peraturan pertama dalam berkenalan. Dia tersenyum sambil kemudian menunjukkan kad ID-nya. “Tapi biasanya orang panggil saya Lia.”
Lia…. cantiknya nama itu, secantik orangnya. Aku mengisyaratkan dengan tangan bahawa aku sudah mengingati nama itu di dalam otak. Sudah berpunya atau belum agaknya? Harap-haraplah belum!
Pintu lif terbuka. Seperti terbuka pula pintu langit mendengar harapanku. Kami sama-sama melangkah masuk. Segera kutekan butang tutup lalu aku terperangkap di dalamnya berdua. Dadaku sedikit berdebar. Berdua-duaan dengan perempuan secantik ini di dalam lif... aduhai.
Tolonglah jangan cepat sangat sampai ke tingkat lima!
“Hmm… anyway saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi sebab payungkan saya tadi.”
“Tak perlu terima kasih. Kebetulan saja.” Dia membalas manis.
Lif sampai juga ke tingkat lima. Sudah saatnya aku harus melangkah keluar. Apa yang harus kukatakan? Ucap selamat bertemu lagi? Minta nombor telefon?
“Okeylah… saya pergi dulu.”
Dia hanya mengangguk sambil bibirnya masih menghulur senyum. Aduh… manisnya senyuman dia! Sambil kakiku melangkah keluar sempat pula mulutku mengucapkan... “Harap-harap esok pagi hujan lagi…” Sambil mataku melirik perlahan ke arahnya. Dia hanya menyambut ucapanku dengan ketawa kecil sehingga menampakkan deretan giginya yang cantik. Hmm… memang angaulah aku hari ni jawabnya!
DIA! Tengah hari itu, sebaik kakiku melangkah
ke kafe, terlihat insan itu sedang beratur mengambil makanan. Cepat-cepat aku ke situ, turut sama beratur betul-betul di belakangnya. Pinggan berisi nasi yang dihulur oleh pelayan kafe kuraih. Kelihatannya dia asyik memilih lauk sehingga tidak sedar aku sudah berdiri di sebelah.
Bidadari Hujan
Tangannya mencedok gulai asam pedas ikan pari ke dalam pinggan. Segera aku mencelah.
“Cedok untuk saya, boleh?”
Dia lantas berpaling memandangku. Riaknya sedikit terkejut sebelum segera pula menghulur senyum selepas itu. “Encik Haidar?”
“Tolong cedok untuk saya?” Aku mengulangi permintaan. Sebenarnya aku bukanlah suka sangat makan asam pedas tu tapi nak memikat punya fasal, buat-buatlah suka!
Tangannya lantas mencedok gulai itu ke dalam pingganku. “Cukup?”
“Just nice.”
Kupandang lagi lauk pauk yang terhidang. Ada gulai telur itik, ayam sambal, kari daging. Kulihat dia mencedok pula kubis goreng. Aku nak ambil apa lagi?
“Nak sayur ni?” Kupandang sayur di dalam tray yang ditunjuknya.
“Boleh juga.” Lalu segera lagi aku menghulur pinggan ke arahnya sebelum sama-sama ke kaunter bayaran.
“Lima ringgit.” Cashier mengisytiharkan harga. Segera dia mengeluarkan dompetnya namun pantas lagi kutarik duit daripada dompetku.
“Saya bayarkan. Kira sekali ya?” Duit kuhulur pada cashier itu.
“Eh…tak payahlah.” Cepat-cepat dia menolak.
“Tak apa. Ini sebagai tanda terima kasih sebab payungkan saya pagi tadi.” Apalah sangat
setakat lima ringgit tu. Lima ribu pun aku sanggup bayar!
“Kebetulan saja. Saya tak minta balasan.” “Tak apa.” Aku bersungguh-sungguh nak membalas ni! “Lain kali Lia belanja saya pulak ya?” Aku mengangkat kening menduga. Dia lantas tersenyum malu.
“Terima kasih.” Ucapannya penuh berbahasa lalu hatiku menyambutnya dengan balasan… sama-sama kasih….
Kaki terus melangkah ke arah Rafique yang sudah sedia menunggu di meja hujung.
“Siapa tu? Cunnya!” Kening Rafique terangkat bertanya. Aku tahu Rafique juga belum pernah melihat dia sebelum ini.
“Awek tingkat tujuh.”
“Tak pernah nampak pun sebelum ni?” “Baru kerja dua hari.”
“Macam mana kau kenal dia?”
Aku hanya tersenyum. Macam tak sabar saja suara Rafique ni. Tapi sorry ya, Rafique. Awek tu aku punya!
Aku segera menyuap nasi ke mulut selepas doa makan kuaminkan. Asam pedas ikan pari. Kubis goreng. Aku menjamah makanan yang sama dengan dia hari ini. Harap-haraplah rasa yang turun daripada mulutku dan mulutnya sama juga dengan rasa yang turun ke hatiku dan hatinya. Apabila dah suka, mulalah hati cuba mencari persamaan yang boleh mengaitkan dua perasaan. Ada-ada saja!
Bidadari Hujan
“Rain! Macam mana kau kenal dia? Senyap-senyap je ya?” Rafique menggegarku dengan pertanyaan itu lagi.
“Makanlah dulu. Lapar ni!”
“Ah… saja tak nak beritahulah tu. Takut aku rampas ke?”
Aku spontan tergelak. “Si Anis tu kau nak letak mana?”
Rafique tersenyum sambil mengunyah nasi. Rafique sudah punya buah hati. Anis Husnayain. Orang JB, sama seperti Rafique juga. Rasanya sudah hampir dua tahun mereka kenal namun masih belum mahu menamatkan hubungan itu dengan ikatan yang lebih bermakna. Kata Rafique, “Aku tunggu kau kahwin dulu. Aku muda lagi.”
Benar. Rafique baru dua puluh enam tahun. Aku pula tahun ini masuk tiga puluh satu.
“Pagi tadi dia payungkan aku.”
Mata Rafique terbeliak mendengarnya. “Amboi… boleh tahan intronya. Dah sangkutlah ni?”
Aku diam mengunyah nasi. Rasa macam nak sangkut tapi bimbang juga. Macam mana kalau-kalau dia dah berpunya? Perempuan lawa macam tu takkan kosong lagi? Entah-entah dah bertunang. Lebih parah lagi kalau isteri orang. Zaman sekarang ini, isteri orang pun nampak macam anak dara lagi.
“Baru kenal nama. Entah-entah dah berpunya.” Tapi hatiku cepat-cepat menidakkan kata mulutku. Harap-haraplah belum berpunya.
“Belum kut. Nampak muda sangat lagi.” “Harap-haraplah.” Fikiranku segera memanggil satu nama. Brandon! Harus segera mengejar dia!