• Tidak ada hasil yang ditemukan

Gendang Besar Diraja Kelantan Satu Simbo

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2018

Membagikan "Gendang Besar Diraja Kelantan Satu Simbo"

Copied!
20
0
0

Teks penuh

(1)

PENYELENGGARA

AHMAD RASDAN ISMAIL BAHARIN ILIAS ABDUL LATIFF ABU BAKAR

SEJARAH KESULTANAN

MELAYU KELANTAN

SEJARAH KESULTANAN

MELAYU KELANTAN

Hari Keputeraan

KDYMM Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhamad IV

dalam Tahun 1937 sebagai Sultan Kelantan

(2)

GENDANG BESAR DIRAJA KELANTAN: SATU SIMBOL IDENTITI DAN KEKUASAAN

(3)
(4)

GENDANG BESAR DIRAJA KELANTAN: SATU SIMBOL IDENTITI DAN KEKUASAAN

RAJA ISKANDAR RAJA HALID

1.0 Pengenalan

Muzik dan pengaturan bunyi-bunyian memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti dan penyatuan sesebuah masyarakat (Stokes 1997, ms. 5; Attali 2003, ms. 6). Jacques Attali (2003) juga mengaitkan muzik dengan sumber kuasa dan beliau merupakan “an attribute of power in all of its forms” (ms. 6). Di dalam konteks dunia Melayu, kaitan bunyi, muzik dan kekuasaan ini sering dikaitkan dengan ensembel nobat (Ku Zam Zam 1993, Meilu Ho 1991, Andaya 2011, Raja Iskandar 2015). Nobat merupakan sebuah kumpulan muzik yang bernaung di bawah seseorang sultan Melayu dan berfungsi sebagai alat komunikasi untuk menandakan bermulanya istiadat dan keramaian istana serta acara keagamaan seperti menyambut ketibaan bulan Ramadan dan masuknya waktu solat. Barbara Andaya (2011, ms. 26) mengusulkan bahawa nobat selain daripada simbol kedaulatan sultan Melayu, juga merupakan soundmark atau identiti bunyi masyarakat Melayu. Dalam membincangkan tentang kekuasaan, Benedict Anderson (1990, ms. 23) berpendapat bahawa terdapat aspek “pengumpulan”, “penumpuan” dan “pengekalan” kuasa di dalam konteks budaya politik Jawa. Ini boleh dikaitkan dengan konsep ‘daulat’ yang sering diperkatakan di dalam konteks kesultanan Melayu yang juga merupakan elemen penting di dalam kesinambungan institusi ini (Raja Iskandar, 2015, ms. 134). Jadi, selain daripada bunyi-bunyian itu sendiri yang merupakan ‘hak’ mutlak raja, peralatan muzik yang merupakan alat kebesaran istana juga merupakan simbol kedaulatan dan kekuasaan raja. Hal ini jelas di dalam konteks nobat Melayu seperti yang saya telah bincangkan sebelum ini (ibid.) tetapi ingin dijelaskan juga dengan membawa kerangka ini untuk mencakupi satu lagi seni persembahan Melayu yang kurang diketahui umum.

(5)

sultan yang dikenali juga sebagai ‘puja umur’. Seperti juga nobat, peralatan gendang besar ini merupakan alat kebesaran diraja dan disimpan dengan rapi di Istana Balai Besar, Kota Bharu. Berbeza dengan nobat, yang telah didokumentasikan sejak awal abad ke-20, gendang besar hampir tidak mendapat perhatian daripada para sarjana, dari sudut etnomuzikologi mahupun sejarah. Ensembel ini hanya diterangkan secara ringkas oleh René Brus, seorang pengkaji alat-alat kebesaran diraja, melalui artikelnya di dalam majalah Arts of Asia pada tahun 2007. Di dalam artikel tersebut, Brus telah menceritakan bagaimana beliau telah berpeluang untuk menyaksikan pesta ‘puja umur’ Sultan Yahya Petra pada tahun 1977 dan diikuti istiadat pertabalan Sultan Ismail Petra tiga tahun kemudian. Penglibatan kumpulan gendang besar diraja di dalam kedua-dua upacara tersebut telah mendapat perhatian Brus.

Pada tahun 2011, René Brus telah sekali lagi berkesempatan untuk menyaksikan persembahan gendang besar di Istana Balai Besar, Kota Bharu yang dikelolakan oleh pihak istana Kelantan. Jemputan telah dibuat secara peribadi untuk mewakili Jabatan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan dan turut serta adalah pihak Muzium Negeri yang turut sama merakamkan persembahan tersebut. Artikel ini adalah hasil daripada pemerhatian dan rakaman tersebut serta temu bual yang telah dilakukan bersama ketua pemuzik gendang besar, Encik Zaiduna Bin Jauhar yang dilakukan pada bulan Ogos, 2015. Selain memperkenalkan gendang besar diraja Kelantan sebagai satu warisan budaya serta ketamadunan Melayu, kajian ini juga cuba melihat bagaimana kesenian ini berfungsi sebagai simbol identiti dan kekuasaan raja-raja Melayu Kelantan.

2.0 Sejarah

(6)

sebagai simbol kedaulatan berkembang ke seluruh dunia Islam (Farhad 2004, ms. 3). Dari Afrika Utara sehinggalah ke Asia Tengah dan akhirnya sampai ke dunia Melayu pada kurun ke-13 (Raja Iskandar, 2015). Gendang besar diraja Kelantan boleh dilihat sebagai satu kesinambungan tradisi ini namun, asal usulnya masih kabur.

Seperti yang diketahui umum, kesultanan Kelantan ada pertalian dengan kesultanan Patani. Hal ini ada disebut di dalam Hikayat Patani (Teeuw dan Wyatt, 1970) dan ada kemungkinan adat istiadat kesultanan Patani diteruskan di Kelantan pada kurun ke-18. Penggunaan gendang nobat di dalam kesultanan Patani jelas diperkatakan di dalam Hikayat Patani termasuk setiap peralatan muzik serta lagu-lagu di dalam repertoir ensembel tersebut. Namun, setakat ini tiada teks Melayu lama yang menceritakan perihal gendang besar ini atau kaitannya dengan nobat. Pengaruh Siam juga tidak dapat diketepikan dan perkara ini perlu kajian yang lebih lanjut.

Menurut Encik Zaiduna, paluan diraja ini telah wujud semenjak awal kurun ke-20 lagi semasa datuknya Allahyarham Che Omar bin Daud bertugas sebagai ketua kumpulan. Che Omar yang dikenali dengan gelaran Seri Pendekar juga merupakan Ketua Pendekar Kelantan yang telah berkhidmat di bawah 3 orang sultan iaitu Sultan Muhammad IV (1900-1920), Sultan Ismail (1920-1943) dan Sultan Ibrahim (1945-1960). Ketika itu, gendang besar dimainkan pada waktu pagi, petang dan malam (selepas Isyak) selama 3 hari semasa perayaan menyambut hari ‘Puja Waghi’ atau juga dikenali sebagai ‘Puja Umur’ Sultan Kelantan. Kini gendang besar hanya dimainkan sehari sahaja pada sebelah pagi semenjak berlakunya perubahan zaman di Kelantan.

3.0 Kegunaan dan Fungsi

Menurut Alan P. Merriam (1964), kegunaan (use) berbeza dengan fungsi (function). Menurut Merriam:

(7)

“Kegunaan” merujuk kepada keadaan yang mana muzik digunakan dalam kegiatan manusia; “fungsi” menyentuh sebab-sebab di sebalik kegunaan tersebut dan terutamanya terhadap matlamat yang lebih besar”.

Gendang besar ini dimainkan di dalam dua adat istiadat diraja iaitu bagi sambutan hari keputeraan sultan dan hari pertabalan. Pesta ‘Puja Umur’ diraikan setahun sekali dan inilah satu-satunya waktu apabila gendang besar ini dimainkan di pekarangan Istana Balai Besar, Kota Bharu. Kegunaannya di sini adalah untuk memberitahu rakyat secara aural tentang kelangsungan upacara yang penting di istana. Sama seperti beduk di surau-surau, gendang besar ialah kesinambungan budaya komunikasi masyarakat Melayu terdahulu yang masih dikekalkan. Seperti juga budaya masyarakat Melayu di negeri-negeri lain, hari keputeraan sultan ini merupakan hari di mana rakyat jelata turut serta bergembira dan gendang besar ini adalah sebahagian daripada elemen penting di dalam perayaan ini. Terdapat empat peringkat utama di dalam istiadat ini yang memerlukan paluan gendang nobat yang mana melibatkan enam buah lagu dimainkan dan dua diantaranya yang diulang semula.

Di dalam sambutan hari keputeraan atau pesta ‘Puja Umur’ sultan, gendang besar akan dimainkan bagi menandakan bermulanya istiadat letak kerja. Istiadat atau majlis letak kerja ini merupakan acara yang penting di dalam sesebuah kesultanan Melayu sebagai satu pengisytiharan rasmi bermulanya acara atau istiadat penting istana seperti hari keputeraan, perkahwinan dan pertabalan. Lazimnya satu upacara khas akan diadakan pada malam sebelumnya melibatkan bacaan al-Qur’an, solat hajat dan ritual-ritual tertentu bagi memohon restu serta keberkatan. Perayaan hari keputeraan sultan Kelantan bermula setelah dif-dif kehormat mengambil tempat masing-masing di dalam istana dan isyarat akan diberikan oleh ketua kumpulan untuk lagu “Serama Silat” yang dimainkan tepat jam lapan pagi sebagai satu pengisytiharan rasmi berlangsungnya upacara. Kehadiran sultan di Padang Merdeka akan diiringi pula dengan paluan gendang besar yang memainkan lagu “Raja Berangkat” dan berakhir sehingga baginda sultan tiba di istana.

(8)

Ini adalah hasil usul Encik Zaiduna sendiri yang mencadangkan kepada pihak istana supaya sebuah lagu daripada repertoir gendang berangkat dipilih sebagai penghormatan kepada Tengku Mahkota. Cadangan ini telah diperkenankan oleh baginda sultan dan lagu “Serama Lembing” telah dipilih sebagai lagu khas apabila Tengku Mahkota berangkat keluar dari bilik istirehat ke dalam balai istana. Keberangkatan keluar sultan dari Bilik Majlis Dalam pula akan diiringi dengan paluan lagu “Seri Istana” sehingga baginda tiba di singgahsana. Setelah selesai majlis, lagu “Raja Berangkat” akan dimainkan semula semasa baginda sultan berjalan keluar menuju ke anjung utama istana. Ini diikuti oleh lagu “Serama Lembing” yang juga dimainkan semula bagi mengiringi Tengku Mahkota Kelantan. Kesemua isyarat untuk memulakan permainan akan diberikan oleh Encik Zaiduna kepada pemain.

Ensembel gendang besar diraja ini lebih daripada sekadar alat komunikasi. Fungsi sebenar kumpulan ini lebih simbolik sifatnya. Semenjak dulu lagi masyarakat Melayu telah terdedah dengan bunyi-bunyian yang memecah kesunyian sesebuah perkampungan sama ada untuk menandakan masuk waktu solat atau keraian tertentu. Terdapat naskhah-naskhah Melayu lama yang menceritakan tentang bagaimana muzik dan bunyi-bunyian ini menguasai soundscape dunia Melayu. Misalnya, menurut Misa Melayu (Raja Chulan, 1962):

Maka gendang negara serunai nairi ceracap pun dipalu oranglah dengan segala bunyi-bunyian pula

berbunyilah, terlalu azamat bunyinya, tiada sangka

bunyi lagi, seperti akan kiamatlah lakunya Pulau

Indera Sakti” (Misa, 88:14)1

Perkara yang sama juga diceritakan di dalam Hikayat Amir Hamzah (A. Samad Ahmad, 1987):

Maka beberapa ketika kemudian, kedengaranlah

bunyi-bunyian terlalu gempita, bunyi genta alam bernaga itu, dengan genderang, serunai, nairi,

terlalu azamat bunyinya, bumi pun seperti akan bergerak olehnya” (AH, 335:18).

(9)

Hikayat Hang Tuah (Kassim Ahmad, 1975) ada menceritakan:

Maka payung iram kuning berapit pun

terkembanglah. Maka terdirilah cogan alamat dan berbunyilah gendang arak-arak dan negara,

merangu, madali, terlalu gempita” (Tuah, 62:2)

Bunyi-bunyian sama ada dari alat-alat muzik atau meriam yang ‘azamat’ dan ‘gempita’ ini adalah manifestasi kebesaran seseorang raja. Kekuatan bunyi ciptaan manusia ini adalah contoh bagaimana kekuasaan itu tidak cukup dizahirkan tanpa menyentuh setiap deria manusia. Sifat teruja, gemuruh dan gerun semula jadi manusia terhadap guruh dan bunyi-bunyian yang kuat cuba ditiru oleh mereka yang berkuasa melambangkan kekuasaan mereka dan sebagai alat kawalan sosial. Kesultanan Riau-Lingga pada kurun ke-19 misalnya, telah termaktub dalam undang-undang iaitu setiap rakyat perlu berhenti dan tunduk ketika kedengaran bunyi nairi sebagai menghormati sultan (Syed Alwi, [1960] 1986; A. Samad Ahmad 1985, ms. 45). Walaupun tiada undang-undang sedemikian di Kelantan mahupun di negeri-negeri Melayu yang lain, penghormatan terhadap bunyi-bunyian diraja masih ada selagi sifat kesetiaan dan cinta terhadap raja masih kukuh dalam kalangan masyarakat.

Gambar rajah 1: Kumpulan Gendang Besar sedang membuat persembahan di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada tahun 1987 ketika perayaan puja umur Sultan Ismail Petra.

(10)

4.0 Pemuzik

Merujuk kepada gambar rajah 1 yang diambil semasa sambutan hari keputeraan Sultan Ismail Petra pada tahun 1987, gendang besar dimainkan oleh sembilan orang pemain daripada 14 orang keseluruhannya. Namun, ketika rakaman yang dilakukan pada tahun 2011, hanya lima orang pemain sahaja yang digunakan. Pemain gendang besar boleh bertukar ganti atau bergilir-gilir bermain tetapi tidak kesemua ahli boleh bermain alat muzik. Ketua gendang besar sekarang iaitu Encik Zaiduna Jauhar tidak bermain sebarang alat tetapi beliau mampu mengenalpasti lagu-lagu yang dimainkan. Setiap persembahan terdapat seorang ahli yang berada bersama pemain tetapi hanya memegang sebilah keris panjang. Posisi ini juga tidak tetap dan boleh bergilir-gilir dalam kalangan pemuzik. Penggunaan keris ini sama konsepnya seperti kumpulan nobat diraja Kedah iaitu terdapat salah seorang anggota yang digelar Kalur Besar akan memegang ‘semambu’ semasa permainan. Keberadaan ‘alat’ ini di dalam ensembel boleh dilihat sebagai satu simbol kebesaran dan juga sebagai ‘pelindung’ kepada keseluruhan persembahan. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa orang yang dikenali sebagai bomoh diraja yang juga merupakan sebahagian daripada ahli kumpulan gendang besar. Peranan bomoh-bomoh ini adalah untuk memastikan kelancaran persembahan dan duduk di belakang kumpulan ketika persembahan (mereka yang berpakaian kuning di dalam gambar rajah 1).

Kini, gendang besar hanya dianggotai oleh 16 orang pemain. Seperti juga kumpulan nobat, secara tradisinya pemain gendang besar adalah dari keturunan yang sama atau hereditary in nature dan berasal dari Kampung Padang Tembesu, Tumpat. Ilmu permainan gendang besar diperturunkan dari bapa ke anak dan seperti kumpulan nobat, hanya golongan lelaki sahaja dibenarkan untuk bermain. Pembelajaran bermula di rumah dengan menggunakan alat-alat muzik yang sama seperti yang terdapat di istana. Walau bagaimanapun, latihan hanya dilakukan di rumah dan kebiasaannya sebulan sebelum bermulanya sesuatu upacara rasmi diraja.

(11)

kumpulan. Ini amat berbeza dengan kumpulan nobat diraja yang masih mengekalkan tradisi lama dari segi pengambilan pemain. Sikap keterbukaan dan pembaharuan ini adalah sesuatu yang menarik dan mencerminkan tahap toleransi yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu Kelantan. Berikut adalah senarai nama ahli kumpulan gendang besar diraja Kelantan:

1. Encik Zaiduna Jauhar (Ketua Kumpulan)

2. Encik Yaacob Ibrahim (Timbalan Ketua, gendang ibu) 3. Encik Che Hussin Che Soh (gendang anak)

4. Encik Hussain Abdullah (gong) 5. Encik Yap Chong Sing (serunai)

6. Encik Hilmi Faizal Azam Mohd Nizam (serunai) 7. Encik Kamal Nasrun Abdullah (gendang ibu) 8. Encik Alias Yaacob (gong, rebab)

9. Encik Ab. Rahim Saiod (rebab) 10. Encik Che Aziz Che Isa (pemandu) 11. Encik Razlan Ahmad (gendang anak) 12. Encik Amar Mamat (gendang ibu) 13. Encik Mat Sarif Daud (gendang ibu) 14. Encik Che Ahmad Awang (Bomoh Diraja) 15. Encik Bahaman Che Deris (Bomoh Diraja) 16. Encik Muhammad Junoh (gendang anak)

Gambar rajah 2:

(12)

5.0 Peralatan Muzik

Berdasarkan kategori yang digubal oleh Hornbostel-Sachs2,

alat-alat muzik di dalam ensembel gendang besar ini boleh dikategorikan kepada empat iaitu idiofon (alat paluan), membranofon (alat paluan berkulit), erofon (alat tiupan) dan kordofon (alat bertali). Walaupun jumlah alat muzik yang digunakan untuk rakaman ini berkurangan dari persembahan sebenar, kumpulan ini masih mengekalkan alat-alat yang sama, iaitu:

Gong

Idiofon diwakili oleh sepasang gong gangsa berbonjol (knobbed gong) yang diletakkan di bahagian belakang sekali. Sepasang gong ini digantung secara berasingan di atas palang kayu berukir. Instrumen ini dipalu menggunakan kayu yang disalut kain untuk melembutkan tone atau bunyi gong. Berbeza dengan ‘tetawak’ yang digunakan di dalam ensembel muzik wayang kulit, gong gendang besar ini lebih besar saiznya dan menghasilkan bunyi yang lebih bergema seakan gong agong di dalam ensembel muzik gamelan.

Gendang

Seperti kebanyakan kumpulan muzik tradisional Melayu seperti nobat dan makyung, gendang besar menggunakan sepasang gendang dua muka yang dipanggil gendang ibu dan gendang anak. Alat membranofon ini diperbuat sendiri oleh pemuzik yang menggunakan kayu. Kulit lembu dan kambing digunakan untuk kedua-dua gendang ibu dan anak yang ditempah dan diperbuat oleh pembuat di sekitar Tumpat. Walau bagaimanapun, peralatan muzik ini diperbaiki sendiri oleh pemain gendang besar. Pemalu gendang diperbuat daripada akar kayu kenawar dan dipalu di bahagian melengkong dan bukan pada bahagian kepala.

(13)

Serunai

Serunai adalah sejenis alat tiupan yang dimainkan secara meluas di Asia. Ia dikenali dengan pelbagai nama yang hampir sama iaitu surnay (Urdu-Hindi), surna (Timur Tengah, Parsi), zurna (Turki) dan so-na (China) (Dick 1984, ms. 80). Alat erofon ini berkemungkinan besar dibawa masuk ke dunia Melayu melalui pengaruh India dan indigenized serta disebatikan menjadi sebahagian daripada alat muzik utama di dalam seni persembahan tradisional Melayu.

Serunai memainkan melodi utama di dalam gendang besar. Walaupun terdapat alat rebab yang juga mampu memainkan melodi, serunai menonjol disebabkan kekuatan bunyinya berbanding rebab. Alat ini dimainkan menggunakan teknik ‘pernafasan berterusan’ atau circular breathing iaitu pemain akan menarik nafas dan menyimpan angin di dalam diafram dan mulutnya. Angin tersebut kemudiannya ditiup menggunakan otot-otot di pipi dan angin akan disedut semula melalui hidung pada masa yang sama. Teknik ini membolehkan melodi serunai dimainkan berterusan tanpa berhenti.

Gambar rajah 3:

(14)

Walaupun biasanya alat ini diperbuat daripada kayu nangka, serunai gendang besar ini diperbuat daripada kayu rengas, manakala pipit diperbuat daripada daun tar. Pipit ialah lapisan daun yang disusun dan diletakkan pada tiub logam yang dipasang di penghujung serunai. Apabila ditiup, pipit tersebut akan bergetar dan getaran ini akan melalui corong serunai untuk menghasilkan bunyi. Terdapat sepasang serunai yang dipanggil serunai kecil dan besar.

Rebab

(15)

Gambar rajah 4: Kumpulan gendang besar diraja di dalam Istana Balai Besar. Dari kiri, Yaakob (Gendang Ibu), Sing (Serunai), Hussin (Pemegang Keris), Abe Soh (Gong), Rahim (Rebab) dan Hussain (Gendang Anak)

Seperti juga serunai, rebab adalah alat muzik yang dimasukkan dari luar. Menurut H. G. Farmer (1931a), rabab atau sebutan Inggerisnya rebec ini berasal dari dunia Arab dan Parsi, dan telah tersebar ke Eropah selepas Perang Salib. Selain daripada Semenanjung Malaysia, rebab juga tersebar di Asia Tenggara dan dimainkan di dalam ensembel-ensembel tradisional di Indonesia dan Thailand. Di dalam konteks muzik tradisi Kelantan, rebab dimainkan bagi mengiringi nyanyian dan dianggap sebagai ‘guru’ di dalam persembahan mak yung. Seperti juga beberapa alat muzik lain di Asia Tenggara, rebab ini ‘dimanusiakan’ atau anthropomorphised dan dipandang tinggi berbanding alat yang lain. Namun, di dalam gendang besar ini, rebab sekadar mengiringi ‘nyanyian’ serunai dan tidak berfungsi secara solo. Kombinasi kedua-dua alat rebab dan serunai ini, yang juga merupakan alat-alat muzik penting di dalam seni persembahan Kelantan tradisional, mengukuhkan lagi ‘aura kelantan’ di dalam membentuk identiti muzik negeri ini.

6.0 Muzik

(16)

Ia lebih terkawal dan tertib. Tambahan lagi, penggunaan dua alat yang memainkan melodi iaitu serunai dan rebab juga sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Walaupun kumpulan main petri menggunakan kedua-dua serunai dan rebab tetapi ia tidak dimainkan serentak. Setiap alat ada lagu-lagunya yang tersendiri dan hanya dimainkan pada waktu-waktu tertentu di dalam persembahan. Serunai gendang besar yang menghasilkan bunyi yang lebih kuat sudah tentunya menguasai ruang aural dengan memainkan melodi yang jelas diiringi dengan rebab yang menghasilkan melodi iringan. Setiap lagu mempunyai melodi yang tersendiri dan ini berbeza dengan muzik sesetengah ensembel tradisional termasuk nobat diraja Perak (Raja Iskandar, 2009).

Lagu-lagu gendang besar dimainkan dengan tempo yang sederhana dan tiada kelihatan aspek improvisasi yang ketara berbanding muzik wayang kulit misalnya. Ini sama halnya dengan muzik nobat di mana konteks muzik ini dipermainkan adalah berbeza dan bukan sekadar hiburan. Ia adalah hakmilik sultan dan sebarang perubahan mesti mendapat persetujuan istana. Ini juga menunjukkan sikap kesetiaan yang tinggi terhadap sultan dalam kalangan ahli-ahli kumpulan gendang besar ini. Sikap yang sama juga boleh dilihat dalam kalangan pemuzik nobat, sebarang perubahan di dalam aspek permainan boleh dilihat sebagai melanggar peraturan istana dan boleh mencemar kedaulatan sultan (lihat Raja Iskandar, 2009).

7.0 Lagu-Lagu

Kumpulan Gendang Besar mempunyai senarai lagunya yang tersendiri. Seperti juga lagu-lagu nobat, setiap lagu di dalam repertoir gendang besar mempunyi fungsinya yang tersendiri. Di antara lagu-lagu di dalam repertoir ialah:

1. Serama Silat 2. Raja Berangkat 3. Seri Istana 4. Perarakan

5. Raja Bertabal (Pertabalan) 6. Masuk Kuala

(17)

Setiap lagu di dalam repertoir ini dimainkan mengikut adat-istiadat istana yang tertentu. Seperti juga repertoir nobat diraja Perak, lagu-lagu ini sedikit sebanyak memberikan gambaran di mana atau bila ia dimainkan. Sebagai contoh, “Raja Berangkat” akan dimainkan ketika sultan sedang berjalan, “Raja Bertabal” ketika acara pertabalan dilakukan dan lagu “Masuk Kuala” dipalu ketika sultan berperahu di sungai.

8.0 Kesimpulan

Gendang besar diraja Kelantan ini merupakan satu-satunya warisan muzik Melayu lama yang masih hidup di Malaysia. Seperti juga nobat di negeri-negeri Melayu yang lain, kumpulan ini wujud di bawah naungan sultan dan berkemungkinan akan kekal sebagai salah satu elemen penting kesultanan Kelantan selagi berdirinya institusi raja di negeri ini. Ia dimainkan di majlis-majlis penting di istana namun peranannya lebih besar daripada sekadar mengiringi upacara tertentu. Walaupun sejarah perkembangan gendang besar ini masih kabur, namun ia telah berdiri lebih satu abad lamanya sebagai simbol identiti dan kebesaran kesultanan Kelantan. Ia lambang ketamadunan Melayu Kelantan, cerminan ketinggian budi dan adab yang menghubungkan masa silam dan kini di dalam membentuk jiwa serta jati diri rakyat Kelantan serta melahirkan a sense of

belonging.

(18)
(19)

Rujukan

Andaya, B. W. (2011). “Distant Drums and Thunderous Cannon: Sounding Authority in Traditional Malay Society” IJAPS, Vol. 7, No. 2, ms. 19-35.

Anderson, B. (1990). Language of Power: Exploring Political Culture in Indonesia. Ithaca: Cornell University Press.

A. Samad Ahmad (Ed.) (1987). Hikayat Amir Hamzah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Samad Ahmad (1985). Kerajaan Johor-Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Attali, J. (2003) Noise: The Political Economy of Music. Minneapolis: University of Minnesota Press.

Brus, R. (2007). “A Unique Kingdom, Malaysia’s 50th Independence Anniversary”. Di

dalam Arts of Asia, vol. 37 (5), ms. 85-101.

Dick, A. (1984). “The Early History of the Shawm in India”. The Galpin Society Journal, Vol. 37, ms. 80-98.

Farhad, H. (2004). The Dastgah Concept in Persian Music. Cambridge: Cambridge University Press.

Farmer, H. G. (1931a). “The Origin of the Arabian Lute and Rebec”. Journal of the Royal Asiatic Society, ms. 91-107.

Frith, S. (1996). “Music and Identity” di dalam Hall and du Gay (Eds.), Questions of Cultural Identity. London: Sage Publications Ltd.

Ho, Meilu (1991). The Royal Nobat of Kedah, Malaysia. M.A. Thesis, University of California, Los Angeles.

Kassim Ahmad (Ed.) (1975). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kirby, P. R. (1947). “The Trumpets of Tut-Ankh-Amen and Their Successors”. The Journal of the Royal Anthropological Institute of Great Britain and Ireland, Vol. 77, No. 1, ms. 33-45.

Ku Zam Zam Ku Idris (1993). “Nobat: Music in the Service of the King - the Symbol of Power and Status in Traditional Malay Society.” Tinta Kenangan: Bingkisan Untuk Profesor Datuk Dr. Haji Mohd Taib Osman Sempena Persaraannya dan Pelantikannya Sebagai Naib Canselor Universiti Malaya, ed. Nik Saiah Karim, ms. 180.

Merriam, A. P. (1964). The Anthropology of Music. Illinois: Northwestern University Press.

Milner, A. C. (1981). “Islam and the Malay Kingship.” Journal of the Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland, 1, pp. 46-70.

Milner, A. C. (2008). The Malays. West Sussex: Wiley-Blackwell. Raja Chulan (1962). Misa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Raja Iskandar (2015). The Malay Nobat: A History of Encounters, Accommodation and Development. Tesis PhD, King’s College London.

Raja Iskandar (2009). The Nobat of Perak: Musical Analysis and its Relation to the Ceremonial Structure of the Palace. MA Thesis, Universiti Malaysia Sarawak.

(20)

Stokes, M. (Ed.) (1997). Ethnicity, Identity and Music: The Musical Construction of Place. Oxford: Berg.

Syed Alwi Sheikh al-Hadi ([1960] 1986). Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gambar

Gambar rajah 1: Kumpulan Gendang Besar sedang membuat persembahan di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada tahun 1987 ketika perayaan puja umur Sultan Ismail Petra
Gambar rajah 2:Pak Hussin, salah
Gambar rajah 3:Gendang anak bersama
Gambar rajah 4: Kumpulan gendang besar diraja di dalam Istana Balai Besar. Dari kiri, Yaakob (Gendang Ibu), Sing (Serunai), Hussin (Pemegang Keris), Abe Soh (Gong), Rahim (Rebab) dan Hussain (Gendang Anak)

Referensi

Dokumen terkait