• Tidak ada hasil yang ditemukan

DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN INKUES NO: BA-65A-2-12/2018

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN INKUES NO: BA-65A-2-12/2018"

Copied!
52
0
0

Teks penuh

(1)

1

DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN

INKUES NO: BA-65A-2-12/2018

INKUES KEMATIAN ARWAH MUHAMMAD ADIB BIN MOHD KASSIM

VERDICT/ ALASAN PENGHAKIMAN

Latar Belakang

[1] Atas arahan Peguam Negara selaras dengan seksyen 339 (1) Kanun Tata Cara Jenayah, inkues ini telah saya adakan bagi menyiasat punca kematian seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berpengkalan di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya iaitu, arwah Muhammad Adib Bin Mohd Kassim No. KP: 940528-02-5039 (selepas ini arwah akan dirujuk sebagai arwah Adib). [2] Arwah Adib meninggal dunia pada 17.12.2018, jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan di sana. [3] Arwah Adib dirawat di IJN kerana mengalami kecederaan paru-paru dan memerlukan alat bagi membantu beliau bernafas iaitu Extracorporeal

Membrane Oxygenation (ECMO) yang terdapat di IJN.

[4] Arwah mengalami kecederaan ini sewaktu bertugas dalam operasi memadamkan kebakaran sebuah kereta di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafied, Subang Jaya pada 28.11.2019. Ketika itu satu rusuhan dan kekacauan sedang berlaku di sana.

[5] Punca kematian arwah Adib secara klinikal dan patologikal adalah jelas dan tidak dipertikaikan. Beliau meninggal akibat kegagalan paru-paru berikutan kecederaan trauma tumpul di dada kanannya (blunt chest trauma). Bahagian atas dada kanan Arwah Adib telah menerima impak dan daya hentaman yang sangat kuat hingga mematahkan 4 tulang rusuk

(2)

2

dan dua darinya telah tertusuk ke paru-paru kanannya menyebabkan kebocoran dan akhirnya membawa kepada kematian beliau.

[6] Secara spesifik sebab klinikal kematian arwah Adib adalah sebagaimana yang disahkan oleh pihak IJN iaitu Acute Respiratory

Distress Syndrome Secondary To Blunt Chest Trauma With Multiorgan Failure And Sepsis (exhibit I 23 dirujuk).

Kedudukan Undang-Undang Inkues

[7] Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah, menyatakan yang dipetik dalam bahasa asal seperti berikut:-

“337. A Magistrate holding an inquiry shall inquire when, where, how and after what manner the deceased came by his death and also whether any person is criminally concerned in the cause of the death.”

[8] Seksyen 337 ini memperuntukkan terma rujukan (terms of reference) bagi sesuatu inkues yang diadakan bagi menentukan punca kematian seseorang si mati. Dalam kes In Re Anthony Chang Kim Fook,

Deceased [2007] 1 MLRH 549; [2007] 2 CLJ 362, Hakim Sulong

Mattjeraie telah menyatakan seperti berikut:-

“Section 337 of the CPC serves as the terms of reference within which the Coroner conducts the inquest into the death of the deceased. As such the Coroner cannot act outside the perimeter of the said terms of reference.”

[9] Sebagai satu inkuiri, selain dari tidak terikat dengan tatacara dan prosedur perjalanan perbicaraan kes jenayah, prosiding inkues ini juga tidak terikat dengan Akta Keterangan 1950 berkenaan pengemukaan dan kebolehterimaan sesuatu keterangan. Perkara ini telah dijelaskan di

(3)

3

dalam kes Re Loh Kah Kheng, Deceased [1989] 2 MLRH 478; [1990] 2

MLJ 126; [1990] 2 CLJ 156 yang dipetik seperti berikut:-

“...It is the primary duty of the learned Magistrate conducting the inquiry to satisfy himself that there is sufficient evidence in whatever form or manner elicited and whether admissible or not, which could assist him in establishing the cause of death of the deceased, he is perfectly entitled to know and take cognizance of it.”

[10] Punca kematian si mati yang perlu ditentukan melalui inkues pula telah ditakrifkan di dalam seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah seperti berikut:-

“In this Chapter the words ‘cause of death’ include not only the apparent cause of death as ascertainable by inspection or post mortem examination of the body of the deceased, but also all matters necessary to enable an opinion to be formed as to the manner in which the deceased came by his death and as to whether his death resulted in any way from, or was accelerated by, any unlawful act or omission on the part of any other person.”

[11] Oleh itu, selaras dengan peruntukan seksyen 328 dan 337 Kanun Tatacara Jenayah ini, tugas saya selaku koroner di dalam inkues ini bukan sekadar mengenal pasti sebab kematian yang jelas (apparent) arwah Adib sahaja. Sebaliknya, saya perlu menentukan bagaimana dan dalam hal keadaan apakah arwah Adib telah mendapat kecederaan blunt chest

trauma (BCT) yang mana komplikasi darinya telah membawa

kematiannya. Persoalan mengenai samada BCT itu dialami arwah secara tidak sengaja iaitu kerana nahas atau kemalangan (misadventure) atau akibat dari pelakuan atau peninggalan (commission or ommission)

(4)

4

oleh orang lain, perlu diputuskan. Dan sekiranya didapati ada penglibatan orang lain, isu samana penglibatan itu secara jenayah, kecuaian atau abaian juga perlu ditentukan melalui inkues ini.

[12] Kesemua persoalan dan isu-isu tersebut perlu saya tentukan dan putuskan berdasarkan kesemua keterangan-keterangan yang saya perolehi sepanjang inkues ini dijalankan.

Piawaian (Standard) Pembuktian

[13] Piawaian pembuktian di dalam inkues adalah di atas imbangan kebarangkalian (balance of probabilitiy) (rujuk kes Teoh Meng Kee v PP

[2014] 5 MLRA 404; [2014] 5 M:J 741; [2014] 7 CLJ 1034).

[14] Micheal Barnes, State Coroner di Brisbane, Australia di dalam kes Inquest Into The Death Of Liam Richard Vidler-Cumming menyatakan:

“A coroner should apply the civil standard of proof, namely the balance of probabilities, but the approach referred to as the Briginshaw sliding scale is applicable. This means that the more significant the issue to be determined, the more serious an allegation or the more inherently unlikely an occurrence, the clearer and more persuasive the evidence needed for the trier of fact to be sufficiently satisfied that it has been proven to the civil standard.”

[14] Manakala dalam kes PP v. Shanmugam & 5 Ors [2002] 4 MLRH

742; [2002] 6 MLJ 562, YA Hakim Suriyadi memutuskan seperti berikut: “To reinterate, when conducting an inquiry a magistrate must confine himself to the evidence and arrived at a specific verdict based only on the established facts pursuant to s 337 of the CPC. Probabilities and guesswork can never be the basis for that specific verdict.”

(5)

5

Keterangan-Keterangan Di Dalam Inkues Ini

[15] Keunikan dalam kes kematian arwah Adib ini adalah wujudnya beberapa video yang merakamkan sebahagian dari kejadian yang berlaku pada malam kejadian. Video-video yang dikemukakan di dalam inkues ini adalah yang telah ditularkan melalui media sosial.

[16] Video yang paling penting adalah exhibit I 38. Video berdurasi 46 saat ini merakamkan kejadian mulai dari ketibaan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Emengency Medical Rescue Services (EMRS) ke lokasi kejadian, serangan perusuh ke atas Jentera FRT dan sebahagian proses pengunduran FRT dan van EMRS berkenaan dari kawasan tersebut.

[17] Penelitian kepada video ini menunjukkan urutan kejadian-kejadian penting seperti berikut:

- Saat-saat awal ketibaan jentera FRT yang diikuti rapat oleh van EMRS yang mana arwah Adib adalah penumpang di bahagian hadapan van ini. Kelihatan juga sebuah kenderaan yang sedang marak terbakar di hadapan kiri FRT.

- Saat ke 14 menunjukkan jentera FRT dan van EMRS telah berhenti dan berada dalam keadaan statik. Van EMRS berada dalam jarak lebih kurang 2 meter di belakang FRT. Seorang anggota bomba yang lengkap berpakaian api (uniform lengkap anggota pemadaman) yang kemudian disahkan adalah PB Hazim iaitu saksi ke 6 inkues ini, berada di bahagian belakang kiri FRT. Tiba-tiba FRT tersebut telah diserbu dan diserang di bahagian hadapannya oleh sekumpulan perusuh yang menurut saksi-saksi inkues bersenjatakan pelbagai objek keras. Salah

(6)

6

seorang dari penyerang iaitu seorang lelaki berpakaian cerah berbadan sasa telah meluru ke arah PB Hazim. PB Hazim melarikan diri ke arah van EMRS. Ketika itu juga jentera FRT yang telah pecah/retak cermin depannya dan mengalami pelbagai kerosakan lain akibat serangan itu telah mula mengundur.

- Saat ke 19 menunjukkan PB Hazim berjaya melompat masuk ke bahagian tengah van EMRS melalui pintu gelongsor (sliding door) dan menutup pintu tersebut.

- Saat ke 20 menunjukkan berlakunya hentakan/sentuhan di antara bahagian belakang FRT dengan bahagian depan van EMRS. Seterusnya FRT yang mengundur itu telah menolak bersamanya van EMRS ke belakang.

- Seterusnya video ini tidak merakamkan kejadian kerana pandangan perakam (SI 22) ke arah FRT dan EMRS telah terhalang.

- Rakaman diteruskan pada saat 39 di mana, di dalam inkues dikenal pasti bahawa pada saat ini keadaan van EMRS yang ditolak itu telah terpusing ke arah yang bertentangan (opposite direction). Ketika ini juga, pemandu van EMRS iaitu Ahmad Shahrill bin Othman (SI 3) baru menyedari bahawa arwah Adib telah tiada di sebelahnya di dalam van tersebut.

[18] Exhibit I 38 ini adalah bukti visual yang sangat jelas akan wujudnya serangan fizikal yang ganas oleh sekumpulan perusuh bersenjatakan objek-objek keras ke atas jentera FRT. Tahap dan kepelbagaian kerosakan yang dialami oleh jentera berat (heavy duty) dengan binaan yang kukuh ini telah dilihat sendiri oleh pasukan inkues sewaktu lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. Antaranya ialah cermin

(7)

7

besar hadapannya terutamanya di sebelah kiri telah pecah/retak, beberapa bahagian badan telah kemek dan tangga di bahagian kiri belakangnya telah tercabut. Dari kerosakan ini dapat dibayangkan sifat sadis dan ganas para penyerang dan bahayanya senjata/objek yang digunakan. Fakta PB Hazim telah dikejar oleh salah seorang dari mereka pula, menunjukkan selain dari jentera, penyerang/perusuh juga menjadikan anggota bomba sebagai sasaran serangan mereka.

[19] Exhibit I 81 adalah imej pegum saat ke 26 video I38 ini. Pada saat ini, kelihatan cermin tingkap kiri depan van EMRS telah diturunkan. Dari cermin tingkap yang terbuka itu, kelihatan satu imej seseorang yang memakai jaket celoreng sedang duduk di bahagian penumpang hadapan van .

[20] Pada malam kejadian hanya anggota EMRS iaitu arwah Adib dan pemandu van EMRS (SI 3) sahaja yang beruniform celoreng. Manakala kesemua anggota di dalam FRT, selaku anggota pemadaman memakai uniform api yang lengkap dengan helmet dan jaket kalis api. Oleh itu, Berdasarkan logik dan kemunasabahan, saya menyimpulkan dan membuat dapatan fakta bahawa imej orang yang kelihatan di dalam I 81 ini adalah arwah Adib.

[21] Dari imej ini, arwah kelihatan berada dalam posisi kepalanya terkeluar sedikit dari tingkap. Beliau sedang menjenguk sambil menoleh ke belakangnya. Manakala tangan kanan arwah memegang bingkai tingkap pintu di sebelahnya yang dibuka sedikit. Pada saat ini, jentera FRT sedang mengundur ke belakang sambil menolak bersamanya van EMRS yang dinaiki oleh arwah dan SI 3.

[22] Gambar van EMRS ini (exhibit I 8 – 1-4) menunjukkan cermin tingkap kiri depan EMRS adalah digelapkan (tinted). Oleh itu, dari posisi

(8)

8

badannya itu, boleh dirumuskan tujuan arwah menurunkan cermin tingkap tersebut dan membuka sedikit pintunya itu adalah bagi membolehkan beliau melihat ke belakang bagi memastikan van EMRS yang sedang ditolak ke belakang oleh FRT dalam situasi cemas itu, tidak terlanggar apa-apa atau sesiapa yang berada di belakangnya.

[23] Berdasarkan video I 38 ini, imej pegum arwah (eksibit I 81) dan keterangan pemandu van EMRS (SI 3), saya menyimpulkan bahawa ketiadaan arwah dari dalam van EMRS ini berlaku di antara saat ke 26 iaitu saat beliau dilihat kali terakhir berada di dalam van tersebut dan saat ke 39, di mana ketika ini van EMRS itu telah terpusing dan kehilangan arwah disedari oleh SI 3.

[24] Persoalannya, apakah yang telah berlaku kepada arwah dalam jangka masa 13 saat tersebut dan juga pada masa selepas itu sehinggalah arwah kelihatan diusung oleh sekumpulan orang dalam keadaan hanya berseluar celoreng, tidak baju dan tidak berkasut.

[25] Kejadian arwah sedang diusung dan di bawa masuk ke bahagian kabin belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm telah dirakamkan di dalam video yang ditandakan sebagai exhibit I 69.

[26] Untuk menjawap persoalan ini, keterangan saksi-saksi yang berada di tempat kejadian pada malam tersebut adalah amat material.

Saksi-saksi Di tempat Kejadian

[27] Selain dari anggota bomba yang terlibat di dalam operasi bersama arwah Adib pada malam itu, saksi-saksi di tempat kejadian yang telah memberikan keterangan yang material adalah, Amirrul Adli Bin M Yussli

(9)

9

(SI 4), Suresh a/l Surunariani (SI 8), Narresh a/l Rajandran (SI 9), Mohd Hafizan bin Nordin (SI 10), Nasaruddin bin Abdullah (SI 17), Chan Wei Jie (SI 19) dan Hardeep Singh a/l Jaswant Singh (SI 22).

[28] Saksi-saksi ini terdiri dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama. Kebanyakan mereka berada di tempat kejadian secara kebetulan kerana terperangkap apabila berlaku kesesakan lalulintas disebabkan penutupan jalan oleh pihak polis. Sebahagian mereka pula, berada di situ kerana terdorong oleh perasaan ingin tahu mengenai apa sebenarnya yang sedang berlaku di kawasan kuil berkenaan setelah membaca pelbagai berita mengenai rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman

yang tular di media sosial.

[29] Saya telah mempertimbangkan dan menilai keterangan saksi-saksi ini dengan teliti termasuklah mengamati tingkah laku atau demeanor mereka di kandang saksi. Aspek kredibili dan reliabiliti keterangan mereka ini telah saya pertimbangkan dengan sewajarnya dan penuh berhati-hati. [30] Setelah berbuat demikian, saya percaya saksi-saksi ini tidak berbohong di mahkamah ini. Ini kerana keterangan mereka adalah konsisten dan saling menyokong antara satu sama lain. Saya juga mendapati mereka tiada sebarang sebab, kepentingan atau agenda tersembunyi untuk menipu di dalam inkues ini.

[31] Saya percaya saksi-saksi ini hanya menceritakan apa yang mereka telah lihat, dengar dan alami sendiri pada malam berkenaan. Namun, samada mereka telah menceritakan sepenuhnya apa yang mereka telah lihat, dengar dan alami itu, adalah agak sukar untuk saya pastikan di dalam satu prosiding inkues.

(10)

10

[32] Berbeza dengan perbicaraan jenayah, saksi-saksi di dalam inkues ini tidak melalui proses pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula. Mereka juga tidak boleh diajukan dengan soalan-soalan yang boleh memudaratkan mereka secara jenayah (self incriminating).

[33] Walaubagaimana pun, bagi tujuan inkues ini, saya telah berpuashati bahawa atas imbangan kebarangkalian, keterangan dari saksi-saksi ini apabila dilihat secara keseluruhannya telah lebih dari mencukupi (overwhelming) untuk membuktikan kewujudan fakta hal keadaan yang menunjukkan arwah Adib telah dikasari dan dicederakan pada malam kejadian tersebut.

Keterangan Saksi-Saksi Ini

[34] Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, perundangan inkues tidak menghalang penerimaan masuk keterangan dengar cakap atau

hearsay evidence. Oleh itu, saya turut menerima keterangan sebegini bagi

membantu saya mendapatkan pencerahan mengenai apakah yang telah terjadi kepada arwah pada malam kejadian.

[35] En.Mohd Hafizan Bin Nordin (SI 10) adalah pemandu Mitsubishi Storm yang telah membantu membawa arwah Adib ke Unit Kecemasan Hospital SJMC pada malam kejadian. Di dalam keterangannya, beliau memaklumkan telah berada di kawasan itu secara tidak sengaja. Selepas mengisi minyak di Stesen Minyak Caltex yang berhampiran, beliau telah terperangkap dan tersekat di Jalan Usaha, iaitu tempat kejadian. Beliau mendapati orang ramai sedang berkumpul di kawasan kuil di hadapannya. Oleh itu, beliau berhasrat untuk membuat pusingan U dan keluar dari situ. Sebelum sempat berbuat demikian, beliau ternampak di hadapannya 6-7 orang sedang mengusung seseorang yang tidak berbaju sambil menjerit

(11)

11

beliau telah disapa oleh seorang perempuan India yang juga datang dari arah kuil berkenaan. Perempuan India itu berkata kepadanya, “Adik...adik...jangan masuk... jangan masuk....nanti kena pukul”. [36] Pada adat dan kelazimannya, apabila seseorang dengan niat baik melarang seseorang lain dari melakukan sesuatu perkara kerana ditakuti akan ditimpa sesuatu musibah, ia selalunya terbit dari pengalaman atau pengetahuan peribadi orang yang melarang itu mengenai perkara tersebut. Justeru, boleh dirumuskan bahawa larangan dan amaran perempuan India ini kepada SI 10 adalah kerana perempuan India tersebut telah melihat atau ada pengetahuan peribadi bahawa seseorang telah menjadi mangsa pukul di dalam kawasan tersebut.

[37] Keterangan SI 4 pula, menunjukkan semasa beliau melihat arwah Adib sedang diusung itu, beliau terdengar suara orang bertanya “kenapa

ni” dan dijawap pula oleh seseorang lain “kena apa lagi kena bantai lah”.

[38] Manakala Suresh (SI 8) pula telah menceritakan, melihat aksi-aksi dan gerakan-gerakan seperti memukul, menendang dan memijak oleh sekumpulan 20-30 orang lelaki yang sedang mengerumuni sesuatu yang menjadi objek kepada pelakuan-pelakuan tersebut. Apabila Suresh mendekati dan masuk ke dalam kumpulan tersebut, beliau telah melihat objek yang sedang dikerumuni itu adalah arwah Adib. Ketika dilihat Suresh, arwah Adib berada dalam keadaan duduk bersandar ke bonet sebuah kereta dengan kedua-dua kakinya berlunjur ke depan. Arwah kelihatan seperti dalam keadaan tidak sedarkan diri. Sejurus itu juga, Suresh telah ditolak dan terjatuh ke arah arwah Adib dalam posisi bahagian depan badannya melindungi bahagian dada arwah Adib. Pada saat itu juga, satu sepakkan telah singgah ke belakang bahu kanan beliau. Dari situasi ini, dapat dibuat inferen bahawa, sepakkan itu sebenarnya

(12)

12

ditujukan pelaku ke arah dada arwah Adib tetapi tersasar mengenai bahu saksi yang kebetulan terjatuh dalam posisi badannya melindungi badan arwah. Oleh itu, walaupun Suresh tidak melihat arwah dipukul, ditendang atau dipijak, namun senario ini memberikan cadangan yang kuat bahawa arwah telah menjadi mangsa pelakuan-pelakuan sedemikian oleh orang yang berada di dalam kumpulan 20-30 orang tersebut.

[39] Semasa berada di dalam lingkungan 20-30 orang ini, Suresh juga telah mendengar perkataan ‘jangan pukul’ dan “bomba pun nak kena

pukul ke’ yang dituturkan di dalam bahasa Tamil. Ini pula memberikan

inferen bahawa di kalangan 20-30 orang itu, ada orang yang ingin dan/atau telah pun memukul arwah. Fakta bahawa perkataan tersebut diucapkan dalam Bahasa Tamil pula, memberikan inferen bahawa orang yang dilarang dari memukul dan yang ditanya ‘bomba pun nak kena pukul

ke’ itu adalah juga orang yang bahasa pertuturannya adalah Bahasa

Tamil.

[40] Keterangan SI 8 ini adalah konsisten dan disokong oleh keterangan SI 17. SI 17, iaitu Nasaruddin bin Abdullah adalah lelaki India yang beragama Islam. Di dalam keterangannya, beliau telah menyatakan yang dipetik semula seperti berikut:

“Selepas berpusing saya nampak 30 orang Tamil mengelilingi sesuatu saya tidak pasti ada orang atau tidak (di tengah-tengah). Mereka mencarut dan berkata “berani kau orang masuk dalam kuil

India , babi kau orang” dan kemudian dia maki dalam Bahasa India

mereka mencarut dalam Bahasa Tamil...

...saya perhatikan gerak laku yang 30 orang tersebut seolah-olah macam memukul seseorang. Selepas itu saya terdengar orang Tamil jerit “polis-polis” dan 30 orang tersebut telah berlari dari situ ...saya tidak nampak apa yang ada di situ selepas mereka berlari. (sebab masa itu) Saya sedar kawan saya Kartik hilang. Lepas saya lihat keliling untuk mencari Kartik, saya memandang semula ke arah

(13)

13

yang 30 orang tadi berada, saya nampak ada orang mengusung seseorang yang memakai seluar bomba”.

[41] Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, saya merumuskan dan membuat dapatan fakta bahawa, sewaktu berada di luar van EMRS tersebut, arwah Adib telah dipukul oleh orang yang berbangsa India yang tidak dikenali yang berada di dalam kumpulan 20-30 orang yang dilihat oleh Suresh dan Nasaruddin. Rumusan ini dibuat dengan mengambil kira bahawa Bahasa Tamil adalah bahasa pertuturan bagi majoriti Bangsa India di Negara ini.

[42] Selain itu, dapatan ini juga dibuat dengan mengambil kira bahawa rusuhan ini tercetus dari kemarahan masyarakat India terhadap pencerobohan rumah ibadat mereka iaitu Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Seafield yang dilakukan oleh sekumpulan orang lelaki Melayudua hari sebelum itu.

[43] Saya sedar dan akur bahawa dapatan arwah Adib telah dipukul (assaulted) ini adalah bercanggah dengan Laporan Pemeriksaan Klinikal (exhibit I 66) oleh Dato’ Dr.Mohd Shah bin Mahmood (SI 27) iaitu Pakar Perunding Kanan dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur ke atas arwah Adib.

[44] Hasil pemeriksaan klinikal ke atas arwah yang dijalankan SI 27 di IJN pada 30.11.2018 mendapati, tiada corak atau tanda-tanda kecederaan seperti lebam, calar dan luka di bahagian kepala, muka, tangan dan kaki yang konsisten dengan pukulan (assault). SI 27 juga tidak menemui tanda-tanda kecederaan bercorak tangkisan (defensive injuries) pada kedua-dua belah lengan/tangan dan kaki arwah Adib.

(14)

14

[45] Walaupun begitu, saya berpendapat ketiadaan kesan lebam atau corak kecederaan yang konsisten dengan dipukul di badan arwah Adib semasa pemeriksaan klinikal ini, tidak boleh dijadikan penentu yang konklusif untuk mengatakan insiden arwah dipukul ini tidak berlaku. Ini kerana, selain dari ianya bercanggah dengan keterangan-keterangan yang ‘overwhelming’ dari saksi-saksi di tempat kejadian, persoalan mengenai kewujudan kesan lebam dan samada ianya dapat dikesan atau tidak bergantung kepada banyak faktor dan pembolehubah (variables). [46] Faktor seperti kekuatan impak yang dikenakan, bahagian badan yang terimpak (impacted), jarak masa antara pemeriksaan dilakukan dengan waktu kejadian, warna kulit mangsa, akses pemeriksa kepada bahagian-bahagian badan mangsa sewaktu pemeriksaan dan aspek tumpuan atau fokus sewaktu pemeriksaan adalah memainkan peranan di dalam perkara ini.

[47] Sebagai contoh, SI 13, iaitu pakar bedah kardiotorasik dari SJMC yang merupakan antara doktor yang paling awal melihat dan memeriksa arwah Adib selepas kejadian, di dalam keterangannya, telah mengakui bahawa beliau telah terlepas dari memerhati, memeriksa dan merekodkan beberapa kecederaan kecil di badan arwah Adib semasa di SJMC.

[48] Perkara ini berlaku, kerana pada masa itu prioriti rawatan SI 13 adalah bagi menyelamatkan nyawa pesakit (Adib). Oleh itu, tumpuan dan fokus pemeriksaan beliau adalah kepada kecederaan-kecederaan yang merupakan life threatening. Kecederaaan-kecederaan kecil dan lebam-lebam pula (jika ada) adalah tidak termasuk dalam kategori kecederaan yang boleh mengancam nyawa.

(15)

15

[49] Exhibit I 16 adalah gambar-gambar arwah semasa pemeriksaan klinikal ini dijalankan oleh SI 27 di IJN. Gambar-gambar ini, dengan sendirinya jelas menunjukkan bahawa, sewaktu pemeriksaan itu dijalankan, arwah berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kepalanya dipakaikan penutup, bahagian atas badannya pula dihubungkan dengan pelbagai jenis tiub dan wayar. Sesetengah bahagian badan pula ditutupi oleh balutan (bandages). Pemeriksaan SI 27 yang dijalankan pada hari ke 4 selepas kejadian ini pula, dibuat di bawah pemantauan dan pengawasan rapi pihak IJN. Setiap pergerakan badan arwah dilakukan oleh petugas-petugas IJN dengan penuh berhati-hati bagi memastikan rawatan dan keadaan arwah yang amat kritikal itu tidak terkompromi. [50] Tambahan pula, setelah meneliti keterangan SI 27 di mahkamah ini, saya mendapati beliau sebenarnya tidak menolak secara total kemungkinan wujudnya kecederaan yang konsisten dengan serangan (assault). Apabila dicadangkan bahawa corak lebam 3 titik di lengan kanan Adib adalah lebam genggaman, SI 27 tidak menolak, sebaliknya telah bersetuju bahawa ianya berkemungkinan lebam akibat kesan genggaman.

[51] Oleh itu, saya mendapati bahawa sebenarnya tiada percanggahan yang signifikan antara keterangan saksi mata dan saksi pakar berkaitan dengan wujudnya elemen serangan/pukulan ke atas arwah Adib. Walaubagaimana pun, saya berpendapat serangan/pukulan-pukulan sewaktu di luar EMRS ini, bukanlah yang mendatangkan kecederaan maut kepada arwah iaitu blunt chest trauma (BCT) tersebut.

[52] Fakta ketiadaan sebarang kesan kecederaan tangkisan pada kedua-dua belah lengan/tangan dan kaki arwah Adib menunjukkan arwah langsung tidak mempertahankan dirinya sewaktu diserang/dipukul. Perkara ini adalah mustahil kerana arwah adalah seorang lelaki muda

(16)

16

berusia 24 tahun, berbadan tegap dan terlatih mental dan fizikalnya sebagai seorang anggota bomba dan penyelamat. Dengan itu, arwah sudah tentu mampu melawan balik atau pun sekurang-kurangnya mempertahankan dirinya sekiranya diserang.

[53] Situasi ini hanya munasabah, sekiranya sewaktu diserang itu, arwah berada di dalam keadaan yang tidak berupaya melawan atau mempertahankan dirinya. Ini juga konsisten dengan keterangan Suresh (SI 8) yang mengatakan beliau melihat arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

[54] Dari segi medikal, kepatahan serentak pada 4 batang tulang rangka kanan dan 2 darinya mengalami kepatahan berganda serta tertusuk ke paru-paru, adalah munasabah untuk menjadikan seseorang itu tidak sedarkan diri kerana menanggung kesakitan yang melampau. Oleh itu, saya berpendapat arwah telah pun mengalami kecederaan blunt chest

trauma tersebut dan berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri sewaktu

diserang/pukul oleh orang yang berada di dalam kumpulan 20-30 orang lelaki yang dilihat oleh Suresh dan Nasaruddin itu.

[55] Jadi bilakah arwah Adib mendapat kecederaan BCT yang membawa kematiannya itu?. Tiada rakaman video dan tiada juga keterangan dari mana-mana saksi di tempat kejadian yang boleh merungkaikan persoalan ini secara konklusif dan definitif. Justeru saya perlu mendapatkan jawapannya dengan melihat dan bergantung kepada keterangan saksi-saksi pakar patologi forensik mengenai perkara tersebut.

[56] Dua pakar dalam bidang ini iaitu, Dr Ahmad Hafizam Bin Hasmi (SI 24) dan Prof. Dr. Shahrom Bin Abd Wahid (SI 29), telah memberikan pandangan pakar yang berbeza mengenai mekanisma bagaimana arwah Adib mendapat kecederaan BCT yang fatal tersebut.

(17)

17

[57] SI 24 mengatakan kebarangkalian yang paling boleh berlaku berdasarkan corak kecederaan arwah Adib adalah, BCT ini berlaku apabila arwah Adib turun sendiri dari van EMRS yang sedang mengundur dan bahagian kiri belakangnya telah dihentam oleh hujung daun pintu depan kiri van itu yang terbuka. Daya dari hentaman ini menghasilkan impak yang sangat kuat. Impak ini telah mematahkan 7 tulang rusuk belakang kiri arwah dalam bentuk lurus menegak dan menyebabkan arwah terhumban ke arah bahu kiri jalan dan bahagian atas dada kanannya jatuh terhentak pada objek yang permukaannya lebar, luas, kasar dan tertonjol. Hentakan ini telah mematahkan 4 tulang rusuk kanan arwah. Tulang no. 3 dan 4 yang menerima impak hentakan yang paling kuat pula, telah bergerak menyebabkan bahagian belakang tulang ini turut mengalami kepatahan berpilih (spiral) iaitu kepatahan yang terhasil akibat pergerakan tulang itu sendiri. Penjelasan bergambar SI 24 mengenai mekanisma ini dieksibitkan sebagai I 51.

[58] Di dalam pengiraan jumlah daya yang menghasilkan hentaman ke belakang kiri arwah tersebut, SI 24 telah menggunakan formula yang mengambil kira keseluruhan berat van EMRS sebanyak 1800 kg dan kemudian menambahkan jumlah berat jisim badan arwah Adib sebanyak 80 kg untuk mengira daya hentakan yang terhasil apabila arwah jatuh terhumban ke objek berkenaan.

[59] SI 29 pula, tidak bersetuju dengan pengiraan jumlah daya oleh SI24 dan mengemukakan pengiraan beliau sendiri. Berdasarkan teori graviti Newton, SI 29 membuat pengiraan yang menunjukkan bagi mematahkan tulangnya, arwah Adib perlu melambung setinggi 4 meter (13 kaki) dan jatuh terhentak di bahagian dada kanannya dari ketinggian tersebut. Hentaman hujung daun pintu van berkenaan sahaja, menurut SI 29, adalah tidak cukup untuk mematahkan 7 tulang rangka belakang kiri

(18)

18

arwah, apatah lagi untuk membuatkan arwah Adib yang mempunyai berat badan 80 kg itu melambung sehingga 4 meter.

[60] Bagi mencari mekanisma bagaimana arwah Adib mendapat kecederaan BCT itu, SI 29 telah menganalisa kes ini dengan mengambil langkah-langkah dan pendekatan dalam penyiasatan satu kes kemalangan jalan raya.

[61] Justeru, untuk mencari apakah objek yang paling mungkin telah bersentuhan (come into contact) dengan arwah, SI29 telah memeriksa kenderaan van EMRS tersebut dengan teliti selaku objek yang paling berkemungkinan berdasarkan fakta bahawa arwah Adib berada di dalam kenderaan berkenaan sewaktu kejadian.

[62] Setelah mengambil kira ketinggian van EMRS itu dan ketinggian arwah dan membandingkan bentuk dan saiz komponan yang terdapat dalam van (pintu) dan corak kecederaan (pattern injuries) dan saiznya pada dada atas kanan dan lengan atas kanan arwah Adib, SI 29 mendapati corak kecederaan arwah adalah berpadanan dan konsisten dengan bentuk dan saiz-saiz komponan yang terdapat pada pintu depan kiri van EMRS berkenaan.

[63] Antaranya, SI 29 mendapati bahawa luka sagat bercorak di dada kanan arwah berpadanan dengan bentuk ruang tombol getah di bahagian hujung pintu depan kiri van EMRS. Lebam bercorak segitiga di lengan atas kanan arwah juga berpadanan dengan bentuk ruang tombol getah berkenaan. Tombol getah di pintu van bersaiz 1 cm juga konsisten dengan kesan di dada kanan arwah yang juga bersaiz 1 cm. Dapatan dan penemuan lengkap SI 29 mengenai mekanisma kecederaan arwah Adib ini, telah didokumentasikan dan dikemukakannya sebagai eksibit inkues ke 83 (I 83).

(19)

19

[64] Dalam menentukan kekuatan daya dan impak sentuhan pula, SI 29 telah menggunakan formula pengiraan daya yang mengambil kira kelajuan van EMRS yang dianggarkannya berdasarkan kelajuan orang-orang yang mengejar FRT dan van tersebut seperti yang dirakamkan di dalam video I 38. Dalam video ini, kelihatan orang-orang yang mengejar itu sekadar berlari-lari anak sahaja. Oleh itu, SI 29 menganggarkan kelajuan van EMRS tersebut tidak lebih dari 17kmj.

[65] Hasil pengiraannya, SI 29 mendapati daya ini adalah tidak cukup kuat untuk menghasilkan impak yang boleh mematahkan 7 tulang rusuk kiri belakang arwah jika arwah turun sendiri dan bergerak dalam arah yang sama dengan van EMRS itu, apatah lagi untuk menyebabkan arwah terpelanting dan terhumban sehingga mematahkan 4 tulang rusuk kanan beliau itu seperti yang telah dijelaskan.

[66] SI 29 telah membuat experimen dengan melakonkan semula kejadian ini. Seorang anggota bomba yang berdiri membelakangi van EMRS dan dipakaikan kusyen di sekeliling badannya sebagai langkah keselamatan, hanya terjatuh di sekitar kawasan beliau terkena impak apabila dilanggar oleh hujung daun pintu hadapan kiri van EMRS yang sedang mengundur dalam kelajuan 17kmj dalam keadaan pintu tersebut terbuka. Video lakonan semula ini telah ditandakan sebagai eksibit I 98 dan I 99.

[67] Berdasarkan kecederaan luka sagat melintang dengan ukuran panjang 15 cm di bahagian kiri bawah belakang badan (pinggang) arwah yang berpadanan dengan kesan sagatan/tergesel pada penghentam (striker plate) di pintu kiri van EMRS, SI 29 telah merumuskan kecederaan ini terhasil apabila arwah ditarik keluar dari van tersebut dan bahagian bawah belakang pinggang kirinya tergesel/tersagat pada striker tersebut.

(20)

20

[68] Video yang ditandakan sebagai eksibit I 107 adalah rakaman experimen yang dilakukan SI 29 bagi menunjukkan seseorang yang turun sendiri dari van EMRS yang sedang mengundur tidak akan tergesel dengan striker plate dan mengalami luka sagat melintang seperti yang dialami arwah Adib. Hasil pertanyaan SI 29 mengenai sejarah/pengalaman dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga menunjukkan, tidak pernah direkodkan ada mana-mana anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengalami kecederaan sebegini bila turun sendiri dari van EMRS. SI 29 juga menyandarkan dapatannya ini, kepada 3 butang (1,2 dan 4) baju jaket celoreng arwah Adib( eksibit I 43) yang terputus.

[69] Setelah menjalankan pelbagai experimen dan stimulasi secara saintifik, akhirnya SI 29 merumuskan satu teori dan mengemukakan pandangannya mengenai mekanisma bagaimana kecederaan BCT ini terjadi kepada arwah Adib.

[70] Mengikut teori SI 29, Arwah Adib telah secara tiba-tiba ditarik dengan disentap pada jaket celorengnya dari tempat duduknya di dalam van EMRS berkenaan. Arwah telah ditarik dalam arah 45 darjah ke bawah. Tarikan ini menyebabkan sebahagian badan termasuk kepala arwah terkeluar dari EMRS dalam posisi 45 darjah ke bawah. Tarikan ini menyebabkan pinggang arwah tersagat pada striker plate menghasilkan luka sagat sepanjang 15 cm tersebut dan 3 butang jekat celorengnya terputus. Pada saat ini juga, pintu depan kiri van EMRS itu telah diterajang oleh seseorang dengan kuat lalu menghentam bahagian atas dada kanan arwah menyebabkan luka sagat dan patah tulang-tulang rusuk kanan atas serta lebam (contusion) pada paru-paru kanannya (BCT). Tendangan ini juga, menyebabkan arwah tersepit antara pintu dan jenang

(21)

21

(frame) pintu berkenaan menyebabkan kepatahan oblique pada 2 tulang rusuk kanan belakangnya iaitu tulang no. 3 dan 4.

[71] Kekuatan impak/hentaman yang mengenai dada arwah ini dikira dari daya yang terhasil dari tendangan (fying kick) yang mengambil kira berat keseluruhan jisim badan penendang, kelajuan lariannya, kepaduan tendangannya dan berat pintu van EMRS itu sendiri.

[72] Kecederaan pada lengan atas kanan arwah pula terhasil, apabila ketika arwah masih ditarik keluar dari van itu dan setelah bahagian dada/badan arwah telah terkeluar dari van dan lengan kanannya yang dalam posisi terangkat (mungkin secara reflek arwah ingin mengapai sesuatu apabila dia ditarik) masih di dalam van EMRS, pintu depan kiri van itu telah diterajang sekali lagi samada oleh orang yang sama atau orang yang berbeza. Kali ini, pintu itu telah menghentam bahagian lengan kanan atas arwah dan meninggalkan patern injury iaitu 2 lebam bercorak segitiga yang berpadanan dengan ruang tombol getah di bahagian hujung daun pintu depan kiri van EMRS.

[73] Kesan luka/lebam sagat berbentuk garisan meleret yang konsisten dengan arwah ditarik keluar dari van EMRS ketika mana arwah berada dalam keadaan tersepit di antara pintu depan kiri van yang diteranjang dan jenang (frame) pintu itu, telah dihasilkan semula oleh SI 29 melalui experimen menggunakan manilakad dan kertas karbon (eksibit I 87 dirujuk). Experimen ini melibatkan seorang anggota bomba berdiri di antara pintu depan EMRS dan jenang pintu itu dengan lengannya sedikit terangkat dan dipakaikan dengan manilakad dan kertas karbon. Pintu itu dirapat dan ditekankan ke badan anggota itu sambil beliau ditarik keluar menjauhi pintu itu. Pergerakan ditarik dalam keadaan tersepit itu telah menghasilkan satu corak pada manikad ( eksibit I 87) tersebut yang

(22)

22

adalah hampir sama dengan patern injuries yang terdapat di bahu dan lengan atas kanan arwah Adib.

[74] Mengenai kepatahan 7 tulang rusuk kiri belakang arwah yang menegak pula, SI 29 berpendapat, ia terhasil apabila arwah Adib setelah ditarik keluar sepenuhnya dari van berkenaan dan berada dalam keadaan tidak bermaya (in twillight zone) kerana telah mengalami kecederaan BCT, penyerangnya telah mengangkat dan mendirikan badan arwah lalu menghentakkan bahagian belakang kirinya ke hujung daun pintu van EMRS. Pertembungan dua daya yang bertentangan arah iaitu gerakan daun pintu van yang mengundur dan daya hentakkan ke arah hujung daun pintu itu, telah menghasilkan impak yang mencukupi untuk menyebabkan kepatahan korteks pada 7 tulang rusuk kiri belakang arwah dalam bentuk lurus menegak.

[75] Seterusnya, bahagian kolar belakang jaket celoreng arwah telah dicengkam oleh penyerangnya bagi menyeret arwah ke tepi jalan. Ini adalah bagi mengelakkan arwah dan penyerangnya berada di dalam zon bahaya iaitu laluan van dan FRT yang sedang mengundur. SI 29 membuktikan dapatan ini melalui pemeriksaan pada seluar celoreng yang dipakai arwah Adib pada malam kejadian iaitu eksibit I 7. SI 29 mendapati dan menunjukkan kepada inkues ini, benang-benang kain di bahagian punggung seluar tersebut yang telah terputus dalam cara yang konsisten dengan bahagian itu diseret pada permukaan jalan yang kasar. [76] Menurut SI 29, sejurus mengalami kecederaan BCT akibat hentaman pertama pintu van yang diteranjang mengenai dadanya, arwah telah mula merasai kesakitan yang amat sangat. Tahap kesakitan ini menyebabkan arwah berada di dalam keadaan tidak sedar atau separuh sedar. Dalam keadaan ini, arwah telah tidak mampu untuk

(23)

23

melawan penyerangnya atau mempertahankan dirinya atau pun menjerit minta tolong sekali pun.

[77] Rakaman video lakonan semula menurut urutan

kejadian/mekanisma kecederaan arwah Adib sebagaimana teori SI 29 ini dikemukakan sebagai eksibit I 85.

[78] Setelah menganalisa keterangan SI 29 dan membandingkannya dengan keterangan lain yang ada, saya dapati, teori dan dapatan pakar SI 29 ini adalah lebih konsisten dengan keterangan saksi-saksi di tempat kejadian berbanding dengan keterangan SI 24. Kesan kemek ke dalam atau lekukan pada pintu depan kiri van EMRS, pada hemat saya, adalah konsisten dengan diterajang dengan kuat. Saya juga percaya, pada ketika dan keadaan arwah yang tidak bemaya dan/atau tidak sedarkan diri seperti yang dinyatakan oleh SI 29 inilah, arwah Adib telah dilihat oleh Suresh dan Nasaruddin berada di tepi jalan di tengah-tengah sekumpulan 20-30 orang dan menjadi sabjek kepada pelakuan-pelakuan seperti memukul, memijak dan menendang oleh kumpulan tersebut tanpa sedikit pun melawan atau mempertahankan dirinya.

[79] Namun begitu, saya dapati I 85 ini tidak mencerminkan setiap urutan kejadian/pergerakan yang lengkap sebagaimana yang dinyatakan oleh SI 29. Menurut SI 29, beliau menghadapi kekangan untuk menghasilkan video lakon semula yang lengkap tanpa membahayakan nyawa atau keselamatan mereka yang terlibat di dalam lakonan semula tersebut. Protokol ujikaji dalam bidang perubatan tidak membenarkan beliau mengambil risiko membahayakan nyawa sesiapa di dalam menjalankan ujikajinya.

[80] Namun, SI 29 tetap mengatakan kejadian mangsa ditarik, pintu diterajang sebanyak dua kali, mangsa dihentak ke hujung daun pintu dan

(24)

24

diseret ke tepi jalan itu hanya mengambil masa lebih kurang 8 saat. Menurut beliau, kerana semuanya berlaku dengan pantas, maka mangsa dan penyerangnya tidak dilanggar oleh van dan/ atau FRT berkenaan.

[81] Bagi mendapatkan kepastian dan memuas hati saya mengenai isu ini, saya telah meminta satu demostrasi secara langsung van EMRS mengundur dalam kelajuan 17kmj diadakan di perkarangan mahkamah ini. Demostrasi ini telah diadakan pada 15.5.2019. Walaubagaimana pun, secara jujur, dari demostrasi ini, saya hanya dapat melihat kelajuan 17kmj tersebut, tetapi masih tidak dapat mengambarkan kesemua gerakan-gerakan yang dinyatakan oleh SI 29 tersebut berlaku tanpa sesiapa mengalami kecederaan akibat dilanggar oleh sekurang-kurangnya daun pintu van yang sedang mengundur dalam keadaan pintu depan kirinya terbuka itu.

[82] Berikutan itu, saya telah sekali lagi meneliti keterangan-keterangan yang ada di hadapan saya dan menganalisanya dengan teliti. Akhirnya, saya telah mendapat kepastian dan keyakinan dengan teori SI 29 ini apabila saya meneliti kembali keterangan SI 6 (PB Hazim) yang sedang bersembunyi dalam keadaan berbaring di bahagian tengah van EMRS tersebut sewaktu kejadian.

{83] Menurut SI 6, semasa berada di dalam van tersebut beliau dapat melihat ke luar dan menyedari bahawa pada satu ketika pergerakan van itu bukan mengundur lurus ke belakang tetapi menyenget sebelum ia berpusing dan seterusnya sisi kirinya merapat dan bergesel dengan sisi kiri jentera FRT. Keterangan SI 6 yang relevan adalah seperti berikut:

(25)

25

J) Bunyi ketukan kuat pada EMRS (bila) kena serang itu saya dengar sejak EMRS mula mengundur lagi.

S) Bila rasa digoncang?

J) Sepanjang mengundur itu memang ada ketukan dan bergoncang. Van bergoyang paling kuat semasa van mula-mula senget.

...

J) Saya nampak EMRS itu menyenget dan berpusing kerana (ketika itu) saya dah boleh nampak melalui cermin yang pecah akibat helmet masuk. Saya nampak kawasan perumahan dan saya tahu pergerakan senget dan memusing.

Jarak masa saya naik EMRS dan ia mula berpusing sangat cepat 9-10 saat sahaja, memang cepat.

S) Ketika helmet masuk ke van itu masa itu EMRS dah berpusing penuh ke belum

J) Masa itu dia (EMRS) dah senget tetapi belum rapat ke FRT dan pada masa itu ketukan (ke badan van) dah makin kuat.

[84] Dari keterangan SI 6 ini, yang juga konsisten dengan keterangan pemandu van EMRS (SI 3), adalah jelas bahawa van yang sedang ditolak oleh FRT itu, pergerakkannya bukan sepanjang masa mengundur, tetapi ada satu ketika pergerakannya adalah mula menyenget, senget dan seterusnya terpusing. Van ini yang pada awalnya menghadap ke arah kuil ( arah atas dalam rajah kasar eksibit I 6) telah terpusing menghadap ke arah Stesen Minyak Caltex (arah bawah dalam rajah kasar eksibit I 6). Kedudukan van EMRS yang telah terpusing sepenuhnya ini telah dirakamkan dalam saat ke 39 video I 38 sebagaimana yang telah dibincangkan.

[85] Dalam proses van EMRS menyenget itu, SI 6 dapati cermin sisi kiri dan belakang van pecah dan dua helmet telah masuk ke bahagian tengah

(26)

26

van di mana SI 6 sedang berada itu melalui pecahan cermin-cermin ini. Pada ketika ini juga, SI 6 mendengar ketukan pada badan van dan merasakan goncangan van itu semakin kuat berbanding dengan sebelumnya.

[86] Berdasarkan keterangan SI 6 ini, saya percaya apa yang dinyatakan oleh SI 29 di dalam teorinya mengenai apa yang telah menimpa arwah Adib itu, telah berlaku ketika mana van berkenaan mulai dan dalam proses menyenget tetapi sebelum ianya terpusing. Penelitian saya sekali lagi kepada rakaman video I 38, telah mendapati bahawa saat-saat inilah yang telah tidak terakamkan oleh perakam video berkenaan. Saya berpuas hati bahawa inilah detik-detik 13 saat yang didapati hilang dari video I 38 yang telah saya nyatakan sebelum ini.

[87] Secara logiknya, pergerakan van yang menyenget akibat ditolak oleh FRT itu tidak akan selaju pergerakan sewaktu ia ditolak terus dan lurus ke belakang. Keadaan pergerakan yang lebih perlahan ini, sudah tentu memberikan peluang yang lebih kepada penyerang-penyerangnya untuk bertindak lebih ganas terhadap van EMRS tersebut. Oleh itu, tidak mustahil ketika inilah arwah Adib telah ditarik dan dicederakan sebagaimana teori SI 29 tersebut. Ini kerana pada ketika inilah juga, SI 6 telah mendengar ketukan pada badan van menjadi semakin kuat. Begitu juga dengan goncangan badan van, ia dirasai memuncak oleh SI 6 pada ketika itu. Dalam waktu ini juga, dua biji topi keledar telah termasuk ke dalam van dan memecahkan cermin sisi kiri dan belakang van berkenaan .

[88] Sehubungan itu, setelah saya menilai dan meneliti laporan dan keterangan dari kedua-dua pakar patologi forensik ini serta membandingkannya dengan keseluruhan keterangan yang ada di dalam inkues ini, saya telah memutuskan untuk menolak teori SI 24 dan

(27)

27

sebaliknya menerima teori SI 29 mengenai mekanisma bagaimana terhasilnya kecederaan BCT yang membawa ajal kepada arwah Adib . [89] Keputusan ini dibuat kerana selain dari apa yang telah dinyatakan, saya juga mendapati dapatan dan teori SI 24 bukan hanya tidak konsisten dengan keterangan hal keadaan yang dibentangkan oleh saksi-saksi di tempat kejadian, malahan, keterangan SI 24 ini adakalanya tidak konsisten dengan dapatannya sendiri.

[90] Laporan bedah siasat yang disediakan oleh SI 24 ( eksibit I 25) di paragraph 28 dengan jelas menyatakan, bahawa SI 24 tidak dapat menentukan samada arwah keluar sendiri atau ditarik oleh orang lain dari dalam van EMRS tersebut. SI 24 juga membuat kesimpulan di paragraph 29 bahawa beliau juga tidak dapat secara selamat mengenepikan dakwaan bahawa arwah mengalami kecederaan BCT tersebut akibat terhimpit di antara dua permukaan yang keras sehingga bukti-bukti sokongan lain yang kredibel diperolehi.

[91] Laporan I 25 ini ditarikhkan oleh SI 24 pada 18.1.2019.

[92] Namun, apabila beliau hadir memberikan keterangan lisannya di mahkamah ini pada 22.3.2019 dan tarikh-tarikh seterusnya, SI24 telah dengan yakin dan secara konklusif menyatakan bahawa arwah Adib telah turun sendiri dari van berkenaan. Kecederaan BCT yang dialaminya pula, adalah secara definitif akibat bahagian atas dada kanannya terhentak apabila beliau jatuh terhumban ke permukaan yang keras dan tertonjol. [93] Pada masa yang sama, SI 24 tidak pula menyatakan, apatah lagi membentangkan apa-apa ujikaji saintifik yang baru dijalankannya selepas penyediaan I 25 tersebut yang telah membuktikan kedua-dua perkara tersebut secara definitif. Tiada juga makluman mengenai perkembangan

(28)

28

siasatan yang telah menemui bukti baru yang kredibel mengenai perkara tersebut dinyatakan oleh SI 24.

[94] Apabila saya meneliti paragraph 26 eksibit I 25 ini, ternyata SI 24 telah dibekalkan dengan maklumat yang tidak tepat mengenai waktu kehilangan arwah Adib disedari oleh pemandu van EMRS (SI 3 ). SI 24 dimaklumkan bahawa arwah telah didapati tiada di dalam van EMRS itu selepas jentera FRT itu tiba-tiba mengundur secara mengejut dan menghentam bahagian hadapan EMRS. Sebagaimana yang telah dijelaskan, fakta adalah, arwah masih berada di dalam EMRS tersebut selepas hentakan pertama antara kedua-dua kenderaan tersebut berlaku. [95] Pada hemat saya, jika berdasarkan maklumat yang diperolehinya, adalah munasabah dan boleh difahami untuk SI 24 merumuskan arwah Adib yang panik dan ketakutan apabila melihat van yang dinaikinya akan dihentam oleh FRT, telah bertindak turun sendiri dari van tersebut.

[96] Apabila dengan maklumat yang tidak tepat ini pun, SI 24 tidak dapat mengenepikan (rule out) kemungkinan arwah telah ditarik oleh orang lain, maka saya tertanya-tanya, apakah asas keterangan lisan beliau yang secara konklusif dan penuh keyakinan itu untuk mengatakan arwah Adib telah turun sendiri dari van EMRS tersebut?.

[97] Apabila disoal mengenai perkara ini, SI 24 hanya menyatakan beliau telah mengikuti keterangan setiap saksi di dalam inkues ini kerana setiap perkembangan prosiding ini diberikan liputan media yang meluas. [98] Penjelasan ini telah makin mengelirukan saya. Ini kerana selaku koroner yang mendengar setiap saksi di dalam inkues ini, saya mendapati tiada seorang pun saksi yang tampil memberikan keterangan telah melihat atau mendakwa ada pengetahuan bahawa arwah Adib telah turun sendiri dari van EMRS tersebut.

(29)

29

[99] SI 24 telah sekali lagi mengelirukan saya apabila membentangkan dokumen berjudul ‘Kebarangkalian Yang Paling Boleh Berlaku Berdasarkan Corak Kecederaan Pada Mangsa’ iaitu eksibit I 51. [100] Apa yang saya faham dari pembentangan I 51 ini adalah, dada atas kanan dan lengan atas kanan arwah Adib telah terhentak pada bahu jalan (curb) apabila arwah turun sendiri dan belakang kirinya dihentam oleh hujung daun pintu van EMRS yang sedang mengundur. Dalam I 51 ini dan juga rakaman video rekonstruksi kejadian ( eksibit I 58) yang dilakukan oleh PDRM atas nasihat SI 24 sendiri, telah menunjukkan personaliti yang melakonkan watak arwah Adib telah jatuh terhentak pada satu curb bahu jalan.

[101] Walaubagaimana pun, di satu bahagian keterangannya (setelah ditunjukkan dan terbukti bahawa di kiri kanan bahu jalan tempat kejadian pada malam tersebut dipenuhi dengan kereta dan kenderaan-kenderaan lain yang diparkir), SI 24 telah menafikan bahawa beliau telah memilih curb bahu jalan itu sebagai satu objek yang spesifik. Apabila disoal oleh Puan Syazlin Mansor selaku peguam keluarga arwah, SI 24 telah mengatakan, gambar bahu jalan dengan petunjuk anak panah berwarna kuning sedang menunjuk (pointing) ke arah curb bahu jalan di muka surat akhir eksibit I 51 itu, sebenarnya tidak mempunyai apa-apa signifikan pun untuk dilampirkan bersama-sama di dalam eksibit I 51 yang beliau sendiri sediakan tersebut.

[102] Saya mendapati, adalah pelik dan agak bercanggah, apabila I 51 dikemukakan dengan urutan dan muka surat akhirnya sedemikian rupa dan video rekonstruksi PDRM juga dilakonkan untuk memberikan gambaran yang serupa, tetapi, SI 24 pula, telah menyatakan apa yang beliau maksudkan adalah arwah Adib telah terhumban dan terhentak pada apa-apa sahaja objek yang berada di bahu jalan itu yang secara

(30)

30

umumnya mempunyai ciri-ciri keras, sedikit kasar, lebar, luas dan tertonjol.

[103] Saya sedar, akur dan telah pun memberikan pertimbangan kepada fakta bahawa SI 24 adalah pakar yang telah melakukan bedah siasat (post mortem) terhadap jasad arwah Adib. Dengan itu juga, SI 24 telah berpeluang memeriksa dan melihat kecederaan-kecederaan dan petunjuk-petunjuk patologi yang terdapat pada jasad arwah dengan mata kepalanya sendiri. Namun, dengan penuh hormat kepada SI 24, saya berpendapat, peluang ini tidak memberikan semua kelebihan kepada beliau berbanding dengan SI 29.

[104] Sebagai contoh, di dalam menentukan jenis kepatahan pada dua tulang rusuk kanan belakang arwah (no. 3 dan 4), saya dapati kedua-dua pakar ini hanya bergantung kepada satu imej CT scan tulang berkenaan sahaja. Dari imej ini, SI 24 mengatakan tulang tersebut telah patah berpilin (spiral) dengan itu menunjukkan arwah telah terhumban dan terhentak pada bahagian dadanya. SI 29 pula, menegaskan bahawa tulang yang sama itu mengalami kepatahan jenis oblique yang terhasil apabila bahagian dada dan belakang kanan arwah telah terhimpit antara pintu depan kiri van EMRS dan jenangnya apabila pintu tersebut diteranjang lalu menghentam dada kanan arwah.

[105] Di dalam perkara ini, saya dapati SI 24 gagal menggunakan kelebihannya selaku pakar yang menjalankan bedah siasat. Ini kerana beliau tidak memotong, mengeluarkan, membuang salutan daging,

membersihkan dan memeriksa tulang berkenaan serta

mendokumentasikan setiap tindakan itu bagi membuktikan penemuan beliau bahawa tulang itu telah patah secara berpilin. Justeru pada hemat saya, SI 24 dan SI 29 adalah dalam keadaan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi di dalam perkara ini.

(31)

31

[106] Selain dari itu, asas saya dalam menerima teori SI 29 dan menolak teori SI 24 di dalam menentukan mekanisma kecederaan fatal yang dialami arwah Adib, adalah keterangan pakar fizik iaitu SI 30. [107] Dr Amir Radzi Bin Ab Ghani (SI 30) adalah pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Cawangan Shah Alam dan Ketua Automotive Research and Testing Centre (ArTeC) di Universiti berkenaan. Setelah saya meneliti biodata beliau yang memberikan maklumat mengenai kelayakan akademik, bidang kepakaran, pengalaman mengajar, terbitan-terbitan dan program/projek kajian yang beliau sedang dan telah terlibat, saya berpuas hati bahawa SI 30 mempunyai kepakaran dan pengalaman yang tepat dan bersesuaian di dalam bidang fizik bagi membantu saya di dalam inkues ini. (Biodata SI 30 telah ditandakan sebagai eksibit I 124).

[108] Oleh itu, SI 30 telah saya jemput khusus ke dalam inkues ini bagi membantu mahkamah memutuskan apakah formula pengiraan daya yang tepat bagi mengira impak/hentaman yang dikenakan pada belakang kiri arwah Adib oleh hujung daun pintu depan kiri van EMRS yang sedang mengundur dalam keadaan pintu tersebut terbuka.

[109] Sebelum memberikan keterangannya, SI 30 telah dimaklumkan bahawa adalah fakta yang tidak dipertikaikan di dalam inkues ini, bahawa belakang kiri arwah Adib telah dihentam oleh hujung daun pintu depan kiri van EMRS yang sedang mengundur. Berdasarkan video I 38 yang dipertontonkan kepadanya pula, SI 30 turut bersetuju bahawa kelajuan van itu mengundur tidak melebihi 17kmj sebagaimana yang dianggarkan oleh SI 29.

[110] Berdasarkan fakta-fakta tersebut, SI 30 telah membentangkan pendapat pakarnya yang secara muktamad menolak formula pengiraan

(32)

32

daya yang dibuat oleh SI 24. Menurut SI 30, pengiraan daya oleh SI 24 adalah tersasar. Ini kerana SI 24 telah mengambil kira keseluruhan berat van EMRS sebanyak 1800 kg bagi mendapatkan jumlah impak/hentaman berkenaan. Sedangkan, dalam ilmu fizik, pintu yang bersambung dengan badan van EMRS secara pinjoinned (dengan ensel) dan bebas berayun pada paksinya sendiri adalah satu objek yang berasingan dari badan van berkenaan.

[111] Penyambungan secara pinjoined ini menjadikan pintu dan badan van EMRS ini dua objek yang berasingan dengan masing-masing mempunyai pusat gravitinya yang tersendiri. Oleh kerana belakang kiri arwah Adib dilanggar oleh hujung daun pintu van EMRS dan bukannya van EMRS itu sendiri, maka daya yang dikenakan pada belakangnya adalah daya yang melalui pusat graviti daun pintu itu sahaja. Dalam keadaan ini, menurut SI 30, pengiraan daya yang tepat bagi mencari kekuatan impak yang mengenai belakang arwah Adib adalah dengan hanya mengambil kira berat jisim pintu depan kiri van EMRS tersebut dan kelajuan van itu sahaja.

[112] Hasil pemeriksaannya pada pintu depan kiri van EMRS yang dinaiki oleh arwah Adib di dalam kejadian ini, SI 30 telah menganggarkan berat maksima pintu tersebut adalah 30 kg. Berdasarkan maklumat itu, SI 30 telah membuat dan menunjukkan kepada inkues ini pengiraannya yang mendapati daya yang terhasil dan mengenai badan arwah Adib adalah sebanyak 382 Newton yang bersamaan dengan 40 kg. Menurut SI 30, jumlah ini tidak cukup untuk menyebabkan badan arwah Adib yang mempunyai jisim badan seberat 80 kg untuk terpelanting atau terhumban. [113] Sebaliknya, SI 30 bersetuju dengan experimen oleh SI 29 yang menunjukkan ‘stuntman’ yang dilanggar oleh hujung daun pintu EMRS yang mengundur dalam kelajuan 17kmj hanya terjatuh dalam keadaan

(33)

33

biasa (naturally fell) berhampiran dengan EMRS itu sahaja. Menurut SI 30, dapatan dan hasil experimen oleh SI 29 ini adalah in good agreement dengan experimen hayunan pendulun yang beliau sendiri jalankan. Experimen SI 30 menunjukkan pemakaian kusyen di badan stutman itu tidak akan menyerap atau mengubah daya yang dihasilkan secara signifikan. Oleh itu, hasil experimen oleh SI 29 tidak terjejas dan boleh digunapakai bagi menunjukkan situasi sebenar yang akan berlaku jika arwah Adib turun sendiri dari van EMRS tersebut.

[114] SI 30 juga menerangkan, dalam hukum fizik arah pergerakan objek yang terkena hentaman adalah mengikut arah daya yang menghentamnya. Oleh itu, teori SI 24 yang dimanifestasikan melalui eksibit I 51 dan rakaman video lakonan semula kejadian (exhibit I 58) yang menunjukkan arwah Adib terhumban ke arah bahu jalan di sebelah kiri jalan apabila terkena hentaman dari hujung daun pintu depan kiri van EMRS yang terbuka semasa van itu sedang bergerak mengundur ke belakang, adalah menyalahi hukum fizik ini.

[115] Mengaplikasikan hukum fizik mengenai arah pergerakan objek yang terkena hentaman seperti yang dijelaskan oleh SI 30 ini, saya membuat dapatan, bahawa jika arwah turun sendiri dari van EMRS itu dan belakangnya dihentam oleh hujung daun pintu EMRS yang sedang mengundur dan impak hentaman adalah tidak mencukupi untuk menyebabkan beliau terpelanting atau terhumban jauh sebagaimana yang telah dijelaskan, maka kemungkinan yang paling mungkin terjadi adalah, arwah akan mendapat kecederaan ‘crush injury’ dan bukannya BCT. Ini kerana, mengikut hukum fizik tersebut, arwah juga akan bergerak ke belakang mengikut arah daya yang menghentamnya. Jika ini yang berlaku, sudah tentu arwah akan terjatuh di dalam laluan van EMRS dan FRT yang sedang mengundur di dalam situasi cemas dan

(34)

tergesa-34

gesa itu. Dalam keadaan ini, sudah tentu arwah Adib akan digilis oleh tayar van EMRS dan/atau tayar jentera FRT dan mati serta merta di tempat kejadian.

[116] Di samping itu, SI 30 selaku pakar reka bentuk automotif yang perlu mengambil kira ciri-ciri keselamatan di dalam rekaannya, telah memberikan pendapat beliau bahawa adalah tidak mungkin sesuatu kenderaan dihasilkan dan dikeluarkan ke dalam pasaran sekiranya orang-orang yang menaikinya atau menuruninya akan mengalami kecederaan kerana tersagat di mana-mana bahagian kenderaan berkenaan.

[117] Dengan yang demikian, teori arwah telah turun sendiri dari van EMRS berkenaan pada malam kejadian tersebut, tanpa pilihan terpaksa saya tolak.

[118] Selain itu, saya mendapati teori mengenai mekanisma kecederaan BCT arwah Adib oleh SI 29 ini, adalah juga konsisten dengan fakta terjumpanya dua buah topi keledar yang bukan kepunyaan pasukan bomba di dalam bahagian tengah van EMRS dan fakta bahawa cermin tengah kiri dan belakang van ini yang telah didapati pecah selepas kejadian.

[119] SI 29 telah melakukan experimen dengan menggunakan van EMRS dari jenis dan model buatan yang sama dengan van EMRS yang dinaiki arwah Adib semasa kejadian. Experimen ini menunjukkan topi keledar hanya boleh masuk ke dalam van EMRS yang tertutup melalui cermin yang dipecahkan. Cermin van itu pula tidak akan pecah sekiranya topi keledar tersebut dibaling dan mengenai cerminnya dari jarak jauh. Sebaliknya, topi keledar tersebut akan melantum balik jika dibaling. Seterusnya, ujikaji ini menunjukkan bahawa cermin sisi kiri dan belakang van EMRS itu telah pecah dan topi keledar yang digunakan telah jerlus

(35)

35

masuk ke dalam van berkenaan apabila ianya diketuk dengan kuat dan berkali-kali dalam jarak dekat (at arm length) ke cermin tersebut. Rumusan dari experimen ini adalah, sememangnya ada orang yang berdekatan dengan van EMRS pada malam kejadian yang telah menghentak-hentakkan topi keledar yang dijumpai itu ke cermin sisi kiri EMRS (di mana arwah Adib berada) dan cermin belakang EMRS sehingga pecah dan topi keledar itu telah termasuk dan tertinggal di dalam bahagian tengah van EMRS di mana ianya ditemui ( video ujikaji SI 29 eksibit I 102 – I 105 dirujuk).

[120] Rumusan experimen SI 29 ini adalah konsisten dengan keterangan pemandu EMRS itu sendiri (SI 3) dan PB Hazim (SI 6) yang sedang bersembunyi di bahagian tengah van tersebut. Mereka berdua telah menyatakan mereka mendengar ketukan yang kuat dan bertalu-talu di sekeliling badan EMRS. Pada masa yang sama, mereka dapat merasakan EMRS ini digoncangkan ke kiri dan kanan. Malahan, SI 3 telah menyatakan ada tiga lelaki bertopi keledar yang tidak dikenali telah cuba membuka pintu di sebelahnya (pintu pemandu).

[121] Menurut SI 3 dan SI 6, situasi ketika ini amat runcing dan menakutkan. Suasana gamat dengan bunyi teriakan dan ketukan bertalu-talu pada keseluruhan badan van EMRS. Van pula telah digoncangkan dengan kuat. Pada masa ini, mereka berada dalam ketakutan dan merasakan keselamatan nyawa mereka sedang terancam. Perlu diingat perkara ini berlaku sebelum EMRS terpusing, dan sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, ketika ini arwah Adib masih berada di dalam van berkenaan.

[122] Berdasarkan keterangan SI 3 dan SI 6 ini, adalah amat munasabah untuk dibuat inferen bahawa, pada ketika itu arwah Adib juga sedang menghadapi situasi yang sama dan mempunyai perasaan

(36)

36

yang serupa dengan dua rakan sejawatannya ini. Jika SI 3 mempertahankan pintunya dari dibuka oleh 3 lelaki bertopi keledar yang tidak dikenalinya itu seolah-olah keselamatan nyawanya bergantung kepada pintu itu dan SI 6 yang sedang berada di luar EMRS pula telah berlari dan melompat masuk ke dalam van EMRS kerana merasakan itu adalah pilihan yang paling tepat dan van EMRS adalah tempat yang paling selamat baginya bila mana FRT telah diserang perusuh. Maka, dari segi logik adalah amat mustahil untuk arwah Adib yang sedang berada di dalam van EMRS itu, telah tiba-tiba membuka pintunya dan bertindak keluar sendiri dari van tersebut. Tindakan ini adalah mustahil dibuat oleh arwah di dalam situasi tersebut kecualilah beliau memang sengaja ingin menempah maut. Oleh itu, satu-satunya kesimpulan yang munasabah bagi menjelaskan bagaimana arwah boleh berada di luar van EMRS pada malam tersebut adalah, beliau telah ditarik keluar oleh orang-orang yang berada di sebelah kiri van EMRS yang sedang menganas dan bertindak di luar kawalan mengetuk dan mengoncang van itu bertalu-talu.

[123] Perbuatan beramai-ramai mengetuk bertalu-talu badan van EMRS, menggoncang-goncangkannya dan cuba membuka pintu SI 3, jelas menunjukkan para pelakunya mempunyai niat jahat terhadap anggota bomba yang sedang berada di dalam van berkenaan. Mereka ini sedang dirasuk dan sudah dikuasai oleh perasaan marah yang memuncak. Dalam keadaan ini, tidak mustahil mereka telah bertindak di luar kawalan dan melampaui batas-batas peradaban dengan melampiaskan kemarahan yang menggila itu kepada arwah Adib dengan menariknya keluar dari van itu dan mencederakannya.

(37)

37

[124] Sebagaimana yang telah dijelaskan, saya percaya situasi ini berlaku ketika mana pandangan perakam video I 38 ke arah jentera FRT dan van EMRS tersebut sedang terhadang.

[125] Dengan ini, saya membuat dapatan fakta bahawa arwah Adib telah ditarik keluar dari van EMRS dan dicederakan oleh orang-orang yang tidak dikenali yang berada di sebelah kiri van dan sedang bertindak ganas terhadap van tersebut. Arwah dicederakan dengan menerajang pintu depan kiri van tersebut sehingga menghentam dada atas kanan arwah dan menyebabkan kecederaan BCT yang seterusnya membawa maut kepada arwah Adib.

[126] Selain dari apa yang telah dijelaskan sebelum ini, saya juga menyandarkan dapatan ini kepada fakta bahawa teori ditarik keluar dari van EMRS oleh orang lain yang diutarakan oleh SI 29 ini juga telah disokong oleh arwah Adib sendiri. Arwah Adib telah memaklumkan inkues ini bahawa pada malam kejadian beliau telah ditarik di bahagian bahu kirinya dari tempat duduknya di dalam van EMRS tersebut. Maklumat ini disampaikan arwah melalui saksi SI 16 dan dokumen ‘dying declaration’ (exhibit I 31) yang beliau buat kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya iaitu SI 18 pada 12.12.2018.

[127] Keraguan mungkin ditimbulkan mengenai kenapa arwah hanya menceritakan perkara ini kepada SI 16 dan SI 18, tetapi tidak kepada pegawai penyiasat (SI 28) apabila ditanya mengenai perkara yang sama. Sementelah pula, pertanyaan IO kepada arwah itu dibuat pada pagi hari yang sama di mana arwah telah membuat ‘dying declaration’ nya kepada SI 18 yang melawatnya di IJN pada sebelah petang.

[128] Bagi merungkai persoalan ini, saya telah menimbangkan dan menilai keterangan SI 16 dan SI 18 ini dengan teliti dan berhati-hati. Saya

(38)

38

juga telah mengamati tingkah laku (demeanor) dan emosi mereka yang terzahir di kandang saksi. Hasil pengamatan saya, saya mendapati ada satu perbezaan yang amat ketara antara kedua-dua saksi ini dan IO kes ini iaitu ASP Lew Keng Joe (SI 28).

[129] Perbezaan ini ialah, wujudnya perhubungan jiwa atau bonding serta kepercayaan (trust) di antara kedua-dua saksi ini dengan arwah Adib. Saya dapati elemen ini pula, langsung tidak wujud di dalam perhubungan antara arwah Adib dan SI 28.

[130] Dari keterangan saksi Muhammad Ashraff Bin Baruji (SI16) jelas tergambar bahawa di samping menjalankan tugasnya sebagai salah seorang team ECMO yang bertanggungjawab menjaga arwah Adib di wad ICU IJN, beliau telah turut membina persahabatan yang akrab dengan arwah Adib di sepanjang proses tersebut.

[131] Semenjak hari pertama kemasukan arwah Adib ke IJN , SI 16 telah secara sukarela memberikan khidmatnya untuk menjaga Arwah Adib di ICU selepas tugasan hakikinya di dewan bedah selesai. Setelah arwah sedar dan keadaannya mengizinkan, SI 16 telah membantu arwah melakukan fisioterapi, memandikan dan membersihkan badan arwah termasuklah bila arwah membuang air besar. Di samping itu, SI 16 sentiasa memberikan kata-kata semangat dan galakan kepada arwah untuk kembali sembuh. Beliau juga pernah menemankan arwah menonton TV dan mengusiknya apabila arwah nampak bersemangat sewaktu menyaksikan perlawanan bola yang melibatkan pasukan bola sepak negara. Arwah Adib pula, akan meminta jururawat memanggilkan SI 16 jika beliau inginkan sesuatu. Jika arwah inginkan ibu dan bapanya datang ke katilnya, arwah akan hanya meminta SI 16 untuk mencari dan menyampaikan hasratnya kepada ibu bapanya. Mengikut rutin arwah di IJN, SI 16 adalah orang terakhir yang akan bersama dengan arwah pada

(39)

39

setiap hari. SI 16 bertanggungjawab untuk memastikan arwah telah disiapkan untuk tidur dan melakukan fisioterapi ringan sebelum arwah tidur pada setiap malam. SI 16 juga akan menerangkan kepada arwah Adib mengenai perancangan doktor dan aktiviti dalam perawatan arwah untuk keesokan hari.

[132] Ikatan jiwa yang terjalin antara saksi ini dan arwah Adib amat terserlah dari emosi SI 16 yang sering kali kelihatan sebak bahkan pada satu ketika telah menangis apabila menceritakan detik-detik beliau bersama dengan arwah Adib di IJN. Maka tidak hairanlah, jika wujud kepercayaan antara mereka sehingga Arwah Adib telah meluahkan kepada SI 16 mengenai tragedi yang menimpanya pada malam kejadian. Petikan keterangan saksi ini yang relevan adalah seperti berikut:

“S71: Sepanjang kamu jaga Adib, ada kamu bertanya kepada Adib berhubung kecederaan dia alami?

J71: Ada.

S72: Boleh beritahu mahkamah

J72: Pada malam tu, baru lepas fisioterapi, bila saya mula kemaskan Adib untuk tidur, saya bertanyakan soalan, “Adib, Adib ingat tak apa yang jadi”. Pada mulanya Adib menggelengkan kepala, kemudian saya cakap dengan dia, “tak pe lah bila Adib dah ready nak cerita, bagitahu je“. Kemudian bila saya memusingkan badan untuk beredar, Adib menarik lengan baju saya, Adib angguk, dan tunjuk isyarat nak menulis. Saya bagi papan putih kepada Adib, saya tanya pada dia, “Adib kena tarik ke?”, dengan menggunakan tangan kiri, dia tunjukkan isyarat tangan

menarik-narik di bahu kirinya. Saya tanya lagi kepada dia “Adib, jatuh

ke?”. Adib gelengkan kepala dan buat isyarat dengan pusing-pusingkan pergelangan tangannya. Saya tanya lagi, “Adib ingat Adib kena pukul ke?”. Adib angguk.

Mahkamah :(saksi kelihatan sebak dan emotional)

Kemudian saya tanya lagi, “Adib sedar time Adib kat mana?”. dia guna

jari telunjuk kiri dan buat tanda isyarat tunjuk ke bawah. Saya faham maksud dia, dia sedar semasa di IJN. Lepas itu dia dah mula gerakkan kaki, tangan, saya cakap dengan Adib, kita sambung nanti, sekarang Adib rehat. Kemudian saya pun beredar dari katil. “

Referensi

Dokumen terkait