1
UCAPAN OLEH
MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR, MALAYSIA
YANG BERHORMAT DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
MAJLIS PERASMIAN
PERSIDANGAN DAN PAMERAN TEKNOLOGI HIJAU DAN PRODUK EKO ANTARABANGSA MALAYSIA (IGEM 2021)
22 JULAI 2021 (HARI KHAMIS)
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin Perdana Menteri Malaysia
Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air
Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang
Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berusaha Profesor Dato’ Ir. Dr. A Bakar bin Jaafar
Pengerusi, Malaysian Green Technology and Climate Change Centre Yang Berusaha Encik Shamsul Bahar Mohd Nor
Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Green Technology and Climate Change Centre
Rakan-rakan media tempatan dan antarabangsa
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Tuan-tuan dan puan-puan,
2
1. Pertama sekali, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat yang diberikan oleh-Nya. Seterusnya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin atas kepimpinan beliau dalam menerajui agenda perubahan iklim di negara ini.
Komitmen ini amat jelas digambarkan dalam tindakan dan keputusan penting yang telah dicapai dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC).
2. Saya juga mengucapkan selamat datang kepada semua peserta dari seluruh pelosok dunia ke Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia Yang Ke-12 atau IGEM 2021 pada hari ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan menerusi platform maya ini amat dihargai. Tahun ini adalah kali kedua berturut-turut IGEM dianjurkan secara maya ekoran pandemik COVID-19 dan perkembangan semasa Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
3. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat ke-190;
Maksudnya, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal”. Apa sahaja kejadian Allah SWT mengandungi hikmah untuk ditekuni dan diambil pengajaran. Jadilah kita manusia yang sentiasa berfikir dan bertindak untuk memberikan manfaat kepada manusia dan makhluk yang lain.
3
4. Pengalaman dalam menguruskan pandemik COVID-19 telah banyak mengajar kita untuk sentiasa bersedia dalam mengharungi perubahan. Contohnya, kewujudan pelbagai varian baharu mutakhir ini menuntut fleksibiliti kerajaan dalam strategi memerangi COVID-19. Begitu juga dalam menangani cabaran agresif perubahan iklim di Malaysia.
5. Tema IGEM pada tahun 2021 ialah “Redefining Sustainability”
atau “Pentakrifan Semula Kelestarian”. Saya berpendapat tema ini amat tepat dan relevan kepada kita untuk sentiasa dinamik dan objektif dalam menilai impak tindakan menangani perubahan iklim sejajar dengan perkembangan inovasi dan teknologi terkini.
6. Kini adalah masa terbaik untuk menggandakan usaha menerokai potensi teknologi hijau khususnya dalam merajah perancangan hala tuju, dasar dan inisiatif baharu. Kita mesti bekerjasama secara strategik untuk melakar masa depan yang lebih mampan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
7. Setiap tahun IGEM telah menetapkan indikator petunjuk utama yang tinggi. Alhamdulillah, kita berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan cemerlang. Insya-Allah, pada tahun ini, kita yakin bahawa IGEM akan mengulangi sekali lagi prestasi yang membanggakan.
8. IGEM 2021 meletakkan sasaran untuk menarik partisipasi 30 ribu pengunjung, tiga ratus peserta pameran dan menjana lebih lima bilion ringgit peluang perniagaan. Justeru, IGEM pada tahun ini diadakan selama enam bulan bermula pada 1hb Julai yang lalu.
4
9. Uniknya pada tahun ini, kami telah menetapkan fokus tema bagi setiap bulan. Pada bulan ini, IGEM bertemakan teknologi hijau sebagai permulaan, disusuli dengan tema air pada bulan Ogos. Seterusnya, pada bulan September, tema perubahan iklim dan alam sekitar, diikuti dengan tema kelestarian pada bulan Oktober. Tema pembiayaan hijau pada bulan November dan diakhiri dengan tema tenaga dan e-mobiliti pada bulan Disember.
10. Kami berharap pendekatan baharu IGEM pada tahun ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada para peserta untuk meneroka peluang perniagaan dan pasaran baharu serta menjalin kerjasama yang lebih strategik. Semua peserta dan pelawat dialu-alukan untuk melayari portal IGEM untuk mendapatkan maklumat pelbagai subjek mengikut tema, dua puluh empat jam sehari.
11. Tidak sekadar itu, IGEM juga menawarkan platform kepada semua peserta untuk menyertai lebih lima puluh agenda persidangan, webinar dan pameran. Kami turut menampilkan ramai peneraju industri dan pakar bidang di peringkat nasional dan antarabangsa yang akan berkongsi pengetahuan dalam segmen-segmen menarik seperti ekonomi kitaran, ekonomi hidrogen, kelestarian tenaga dan analisis data raya.
12. Sukacita pada hari ini, saya juga mengalu-alukan penyertaan rakan strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
5
13. Kedua-dua agensi penting ini merupakan rakan IGEM sejak sekian lama. Agensi MIDA dan MATRADE akan menawarkan kepakaran dan pengalaman mereka untuk meneroka peluang pelaburan hijau yang lebih besar di Malaysia serta negara-negara di Asia Tenggara.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
14. Saya optimis, IGEM 2021 akan memainkan peranan efektif dalam memenuhi mandat kementerian sebagai peneraju agenda kelestarian di Malaysia serta meletakkan negara di landasan tepat untuk memacu pelan pembangunan rendah karbon dan pengurangan impak perubahan iklim.
15. Selain itu, IGEM juga diharap akan bertindak sebagai platform yang akan mencetuskan inovasi baharu dalam merencana pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
16. Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi Pelan Strategik Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020 - 2030, Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam menangani perubahan iklim di Malaysia, antaranya ialah;
A. Mengemaskini dan memuktamadkan sasaran negara serta menggariskan hala tuju yang lebih jelas untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) di bawah Perjanjian Paris;
B. Membangunkan Pusat Gas Rumah Hijau Negara;
C. Menyemak semula Dasar Perubahan Iklim Negara 2009;
D. Merangka Undang-Undang Perubahan Iklim Negara;
6
E. Mewujudkan Mekanisme Pasaran Karbon Negara; dan
F. Menyusun Strategi Pembangunan Rendah Karbon Jangka Panjang (LT-LEDS).
17. Pada masa yang sama, banyak inisiatif berkaitan perubahan iklim yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh enam bulan lalu, antaranya ialah;
I. Pelancaran Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Malaysia (NLCCM) pada 13 Julai 2021 lalu sebagai rangka kerja strategik yang bukan sahaja untuk mentransformasikan bandar rendah karbon di Malaysia, malah untuk menggalakkan pembangunan rendah karbon yang lebih komprehensif ke tahap yang lebih tinggi;
II. Persidangan Bandar Rendah Karbon (MyL3C) yang berjaya menghimpunkan ramai pakar bidang daripada pelbagai peringkat pentadbiran kerajaan, ahli akademik dan pemain industri untuk mencambahkan pengalaman dan idea; dan
III. Pemberian Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) yang dilancarkan pada bulan April untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon yang berimpak tinggi.
7
18. Insya-Allah, pada bulan Oktober ini pula, KASA akan menyertai Pavilion Malaysia di Dubai Expo untuk mempamer kesungguhan negara dalam menangani perubahan iklim serta mempromosi aplikasi teknologi hijau yang kompetitif.
19. Sebelum akhiri ucapan ini, saya ingin menekankan sekali lagi bahawa usaha ke arah kelestarian alam memerlukan dukungan kolektif semua pihak. Kita mesti menyediakan ekosistem yang dinamik untuk menjana enjin pertumbuhan baharu dalam ekonomi hijau demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.
20. Bagi pihak KASA, Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) dan semua yang terlibat dalam penganjuran IGEM, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin atas kesudian merasmikan IGEM 2021 pada hari ini.
21. Akhir sekali, tahniah dan syabas kepada MGTC atas penganjuran IGEM pada tahun ini. Terima kasih kepada semua rakan strategik, pihak media, penganjur persidangan, panelis dan tetamu jemputan. Tidak dilupakan juga kepada semua peserta dan pengunjung yang sudi hadir serta menjayakan program ini. Semoga IGEM 2021 berjalan dengan lancar dan diberkati Allah.
Sekian, terima kasih.