7.3 ILMU FIRASAT
Menurut Kamus Dewan (2008), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Ilmu firasat ini juga boleh dikatakan satu bentuk ramalan. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan Melayu dahulu kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh.
Sejarah Melayu memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya.
Di mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?
(Sejarah Melayu :74)
Berdasarkan contoh petikan di atas, firasat Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah yang telah berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga disebutkan tentang pengamalan ilmu firasat. Amalan ilmu firasat ini dapat dilihat sewaktu Raja Melaka hendak berangkat ke Majapahit untuk berkahwin dengan puteri negeri tersebut. Masa yang dipilih oleh Raja Melaka dipersetujui oleh Hang Tuah kerana menurutnya ketika tersebut (hari Ahad malam Isnin) adalah waktu yang geroda dikalahkan oleh seekor ular. Kiasan itu membawa erti, orang atau pihak yang kuat dan besar dapat ditewaskan oleh orang atau pihak yang lebih kecil. Ramalan Hang Tuah itu ternyata
tepat apabila beliau dan rombongan tersebut beroleh kejayaan di Majapahit. Beliau dan rakan-rakannya dapat mengetahui segala tipu helah serta percubaan membunuhnya oleh pembesar dan perajurit negeri itu.
Kepercayaan kepada ilmu firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep „memilih ketika’ dalam kalangan masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu terdapat hari-hari tertentu yang baik dan buruk serta sial. Begitu juga dengan bulan-bulan tertentu dalam masa setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang baik untuk memulakan sesuatu pekerjaan atau rancangan seperti mendirikan rumah, mengerjakan sawah dan memulakan perjalanan untuk merantau. Bagi mereka, „memilih ketika‟ itu penting untuk mengelakkan daripada bencana atau sebarang keburukan.
Di Acheh, waktu Pencagah atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya bermimpi bersanggulkan bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak sehingga menjadi laut. Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah berpendapat :
Tuanku, adapun takbir mimpi sultan itu Insya-Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sultan menjadi raja yang maha kuasa lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja daripada segala pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi musyrik ini.
(“De Hikajat Atjeh” :115)
Ilmu firasat juga dilakukan terhadap binatang. Hal ini disebutkan dalam hikayat Melayu iaitu Hikayat Raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting sehingga tertubuhnya sesebuah negeri. Dalam Hikayat Raja Pasai, penemuan negeri Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu (sesudah memeluk Islam, bergelar Sultan Malikul Saleh). Anjing perburuan itu telah menyalak di sebuah tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malikul Saleh kemudian berasakan bahawa tempat itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing perburuan tadi. Contoh petikan :
Maka tersebutlah perkataan Merah Silau di Rimba Jerana itu. Sekali persetua pada suatu hari Merah Silau pergi berburu. Maka ada seekor anjing dibawanya akan perburuan Merah Silau itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya seperti kucing. Maka ditangkapnya oleh Merah Silau maka lalu dimakannya. Maka tanah tinggi itu pun disuruh Merah Silau tebasi pada segala orang yang sertanya itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya ...
(Hikayat Inderaputera :13)
Meramal perwatakan manusia berdasarkan unsur unsur fizikal atau tubuh badan manusia juga merupakan salah satu cabang ilmu firasat. Kitab Tajul Muluk atau juga dikenali sebagai Taj al- Mulk mengandungi ilmu meramal perwatakan manusia melalui tubuh badan. Pengarang Kitab Taj al-Mulk turut membincangkan mengenai ahwal segala tubuh badan manusia dan tafsirannya dalam rangka untuk mengenali peribadi seseorang. Dengan berpandukan kepada sebuah hadith pengarang menyatakan;
“Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Ketakut olehmu daripada firasat segala mukmin bahawasanya ia menilik dengan cahaya Allah Taala”.
(Syahdan) kembalilah faqir pada menyatakan perkataan firasat hukumnya yang tersebut iaitu mengambil dalil dan qiyas daripada melihat ahwal segala tubuh manusia daripada perkataan dan warnanya. (Adapun) tubuh yang merah lagi halus tanda melawan dan tubuh seperti warna api tanda malang pada segala kerjanya dan amanah lagi kurang akal dan tubuh warna hijau bercampur hitam tanda jahat perangai dan warna tubuh bercampur merah tanda segera pada segala pekerjaan dan tubuh sangat putih tanda tiada baik” (Tuan Hasan t.th.:64-65). Dari huraian tersebut, ia berkaitan dengan tubuh warna manusia.
Pengarang Kitab Tajul Muluk juga meramal perwatakan manusia melalui rambut. Beliau menghuraikan bahawa “ Rambut yang ikal lagi hitam berkilat tanda aqil lagi sempurna kelakuan
rambut yang sangat hitam tanda berakal dan rambut yang lemah tanah penyakit sejuk otak lagi kurang bebal lagi tamak dan rambut yang kuning tanda kurang akal lagi segera marah dan rambut yang sangat lebat tanda kurang akal” (Tuan Hasan t.th.:65).
Selain itu, Aspek-aspek tubuh badan manusia yang diberi tafsiran dan maknanya oleh kitab tersebut merangkumi kepala; kepala yang besar, yang sederhana, yang pipih, dahi; dahi yang besar lagi luas, yang sederhana, yang bujur, kening; yang lurus, sederhana lagi hitam, kening panjang lagi jarang, kening yang bertemu, mata; mata sederhana, mata jarang terkelip-kelip, mata yang sangat hitam, mata yang merah, mata yang kecil, warna mata; yang sangat biru hampir kepada putih, yang biru hampir kepada kuning, yang merah bercampur kuning, hidung; yang panjang lagi mancung, yang pendek hujungnya, mulut, bibir, lidah, suara, nafas, pipi, tahi lalat, janggut, warna muka, telinga; yang besar, yang kecil, yang lekat cuping telinga yang lembut, muka, leher, pinggang, hasta, tapak tangan; dengan anak jari yang panjang, tangan yang lembut, yang tipis, tapak tangan dengan anak jari yang pendek, dada, perut, punggung, betis, kaki; yang kecil lagi lembut, tumit; yang besar, langkah; yang jarang dan akhir tembon yang sederhana (Tuan Hasan t.th.:65-68).
Ilmu mengenai tahi lalat ini sangat digemari oleh masyarakat Melayu sehingga terdapat buku-buku khusus yang diterbitkan mengenai tafsiran tahi lalat sahaja. Di dalam zaman teknologi moden kini ilmu tafsiran tahi lalat Taj al-Mulk boleh diakses melalui SMS (Short Message Services) atau dial ke pusat servis telefon yang tertentu. Pengarang kitab Taj al-Mulk menghuraikan,
“(Adapun) tahi lalat pada kesudahan kepala atau di atas tanda tiada hasil segala maksudnya dan tahi lalat antara kedua mata tanda hasil segala maksudnya dan tahi lalat pada kelopak mata dan pada kening tanda kesukaan dan tahi lalat yang pada bibir tanda sir sir dan tahi lalat pada batang leher tanda permulia orang dan tahi lalat pada lengan tanda ada tolong segala manusia barang hajat dan tahi lalat pada belakang tapak tangan tanda kikir dan jika pada tapak tangan kanan tanda tiada tetap padanya harta dan tahi lalat pada zakar tanda kuat jimak dan tahi lalat pada punggung tanda sentiasa dalam suruhan orang dan tahi lalat pada lidah tanda ia
mancut darah dan tahi lalat pada muka yang tiada dinyatakan tanda tuma, demikianlah lagi tahi lalat pada batang hidung” (Tuan Hasan t.th.:67).
7. 4 REJANG
Rejang merupakan satu puisi yang menumpang bentuk syair atau pantun yang menggunakan nama hari atau hari bulan berdasarkan firasat, reaksi dan kepercayaan tertentu. Hari atau hari bulan dikaitkan dengan nama-nama binatang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan. Istilah rejang mengikut Wilkinson, ada kaitannya dengan ramalan bintang atau astrologi (Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985). Biasanya,masyarakat di Nusantara ini mempunyai cara-cara yang tertentu untuk meramal hari-hari yang baik dalam sebulan. Hal ini dapat dilihat dalam puisi rejang sepertiKetika Rejang yang dikatakan ada hubungan dengan hubungannya dengan ramalan waktu manakala Rejang Ketika dikaitkan pula dengan reaksi nasib baik atau buruk mengikut perkiraan waktu.Rejang menumpang bentuk syair atau pantun.
Oleh itu, genre ini hampir menyerupai bentuk pantun dan syair, Cuma berbeza pada rima akhir yang tidak tetap, sedangkan pantun atau syair memiliki rima yang tetap. Di daerah Sumatera Selatan, rejang menunjukkan nama sebuah tempat. Mengikut sejarah, masyarakat daerah tersebut memiliki bahasa dan huruf mereka sendiri yang dinamakan bahasa dan huruf Rejang. Puisi Rejang ini kurang luas penyebarannya, ini kerana banyak orang tidak mengetahui dan hanya orang seperti alim ulama, yang menggunakan sebagai alat untuk menyampaikan ajaran mereka.
Ciri-ciri rejang ialah rejang terdiri daripada empat baris serangkap, dua baris pertama merupakan pembayang dan dua baris berikutnya merupakan maksud. Bahkan kalau diteliti lebih lanjut, rejang ini hampir sama dengan pantun berkait. Selain itu, dua baris pertama tidak berhubungan langsung, tetapi ada pula yang berhubungan seperti syair. Biasanya, pengisian dalam rejang membicarakan hal-hal yang berhubungan dengan agama, nasihat, teladan dan pengajaran. Contoh contoh puisi tradisional rejang ialah Rejang Hari Bulan, Rejang Kelahiran, Nyanyi tujuh dan lain lain.
Rejang Nyanyi tujuh meyampaikan mesej mengenai agama dan nasihat. Mesej agama jelas kelihatan dalam rejang tersebut. Berikut adalah rangkap rejang Nyanyi Tujuh :
Hari ini hari Jumaat, Esok hari sabtu, Kalau kita mahu selamat,
Jangan tinggal sembahyang lima waktu. Hari ini hari Sabtu,
Esok hari Ahad,
Jangan tinggal sembahyang lima waktu, Tentu tahu nafi dan athbat.
Hari ini hari Ahad, Esok hari Isnal (isnin), Dapat tahu nafi dan athbat,
Baru kita dapat mengenal. Hari ini hari Isnal,
Esok hari Selasa, Baru kita dapat mengenal, Dapat mengenal tuhan yang esa.
Hari ini hari Selasa, Esok hari Rabu,
Dapat mengenal tuhan yang esa, Wajib diturut perintahnya itu.
Hari ini hari Rabu, Esok hari Khamis, Kita sembah tuhan yang satu,
Sentiasa dengan tangis. Hari ini hari Khamis,
Esok hari Jumaat, Sudah kita tunduk menangis,