• Tidak ada hasil yang ditemukan

Sokongan Terhadap Saudara Baru Menurut Syarak

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Sokongan Terhadap Saudara Baru Menurut Syarak"

Copied!
18
0
0

Teks penuh

(1)

Menurut Syarak

Nabilah Huda Zaim & Zuliza Mohd Kusrin

Islam merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Penyebaran dakwah Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW selepas penurunan wahyu di Makkah diterima dengan baik berdasarkan pemelukan Islam para sahabat dari hari ke hari. Mereka yang baru memeluk Islam dikenali sebagai mualaf atau saudara baru. Sejarah telah mencatatkan Khadijah binti Khuwaylid (Ibn Hisham 1971: 257) sebagai orang pertama memeluk Islam mewakili golongan wanita, diikuti Zayd bin Harithah iaitu bekas hamba Rasulullah SAW dan seterusnya ‘Ali bin Abi Talib mewakili kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Manakala Abu Bakr al-Siddiq merupakan lelaki dewasa pertama yang menerima Islam diikuti ‘Uthman bin ‘Affan, al-Zubayr bin al-‘Awwam, ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf, Sa‘d bin Abi Waqqas dan Talhah bin ‘Ubaydillah yang telah menerima ajakannya (al-Mubarakfuri 1991: 88; Ibn Hisham 1971: 267).

Jika dilihat dari aspek sejarah dakwah Rasulullah SAW, golongan mualaf atau saudara baru yang memeluk Islam telah mendapat sokongan dan jaminan daripada pemerintah dan masyarakat tidak kira dalam bentuk spiritual atau pun fizikal yang menyumbang kepada pengukuhan dan pemeliharaan akidah Islam yang baru berputik dalam jiwa saudara baru. Seseorang yang baru melangkah ke dunia Islam amat memerlukan bimbingan dan sokongan daripada elemen-elemen luaran termasuklah persekitaran. Hal ini kerana pertukaran agama melibatkan proses transformasi pelbagai aspek termasuk minda, emosi, budaya dan kepercayaan (Kareelawati 2002: 2).

Walau bagaimanapun, seringkali terjadi pengamalan ajaran Islam yang lemah dalam kalangan saudara baru disebabkan transformasi ini. Malah lebih teruk lagi terdapat kes saudara baru yang kembali kepada agama asal (Dina 2004: 2). Hal ini boleh terjadi disebabkan hak-hak saudara baru tidak dipenuhi dengan baik tidak kira dari sudut material, moral mahupun spiritual sedangkan mereka sering berhadapan dengan pelbagai masalah seperti dalam mendalami ajaran agama, timbul konflik daripada pihak keluarga, kesukaran menyesuaikan diri dengan cara hidup baru, deraan fizikal dan emosi serta salah faham golongan bukan Islam (‘Athiroh 2013: 84).

(2)

Antara cabaran lain yang dihadapi oleh mereka adalah seperti kuantiti dan kualiti bimbingan yang diterima, penerimaan masyarakat, kehancuran perkahwinan dengan pasangan Islam serta pengaruh keluarga asal (Ku Md. Ali 1997: 171). Contohnya dalam kes Majlis

Agama Islam Pulau Pinang lwn. Siti Fatimah Tan binti Abdullah

([2009] 27 (2) JH: 185-211). Siti Fatimah Tan, seorang saudara baru yang telah memeluk Islam melalui ucapan syahadahnya di Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, kemudiannya telah memohon untuk

kembali kepada agama asal disebabkan kegagalan dalam

perkahwinannya dengan seorang lelaki muslim dari Iran, Ferdoun Aslanian. Pada pengamatan penulis, hal ini berlaku disebabkan tiadanya sokongan dan bimbingan diberikan kepada beliau oleh suaminya menyebabkan beliau tidak meyakini agama Islam serta masih mengamalkan agama asal. Malah, orang Islam yang terdekat dengan Siti Fatimah Tan iaitu suaminya juga turut menghilangkan diri. Pihak Majlis Agama Islam hanya mengetahui beliau tidak pernah mengamalkan agama Islam sejak dari awal pemelukan setelah dinyatakan di dalam penyata tuntutan.

Selain itu, dalam kes Noorashikin Lim binti Abdullah ([2007] 1 MLJ 283) defendan telah mengemukakan suatu permohonan murtad di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan mendakwa bahawa selepas menganuti Islam, beliau tidak pernah mengamalkan apa-apa suruhan agama Islam. Apabila perkahwinannya dengan seorang lelaki Muslim gagal, beliau memohon untuk kembali kepada agama asal selepas bercerai dengan suaminya. Seterusnya kes Zarinah Abdul Majid juga berpunca daripada tiada bimbingan dan sokongan yang diperolehi. Bapa Zarinah telah memeluk agama Islam, manakala ibunya kekal dengan agama asalnya. Pada ketika itu, Zarinah yang berumur di bawah lapan belas tahun ketika itu, secara automatik menjadi Muslim kerana mengikut pengislaman bapanya. Malangnya, bapa Zarina kemudian menghilangkan diri dan meninggalkan Zarina dibesarkan oleh ibunya sebagai seorang Hindu, walaupun namanya telah Islam. Kekecohan berlaku apabila Zarina menjadi sasaran siasatan Jabatan Agama Islam Selangor kerana melangsungkan perkahwinan mengikut adat dan agama Hindu bersama suaminya yang beragama Hindu (Harakahdaily Online 2014)

Kes-kes tersebut menunjukkan kepada keperluan dalam memberi sokongan dan jaminan kepada saudara baru seperti memberi bimbingan, bantuan moral dan material hendaklah dititikberatkan (Ibrahim 1993: 97). Kebarangkalian untuk berlaku permohonan murtad daripada saudara baru agak sukar berlaku jika wujudnya sokongan padu lebih-lebih lagi dari sudut bimbingan agama kepada golongan ini sejak dari awal pemelukan Islam.

(3)

Artikel ini bertujuan mengenal pasti serta menganalisis bentuk-bentuk sokongan terhadap saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW, yang terbukti berkesan dalam melahirkan individu Muslim, di kalangan para sahabat Baginda yang memiliki keimanan yang unggul. Bentuk-bentuk sokongan ini penting untuk diketahui dan difahami sebagai panduan kepada pihak berautoriti di institusi agama awam mahupun swasta yang terlibat secara langsung dengan golongan mualaf. Perbincangan artikel dimulakan dengan membincangkan konsep saudara baru menurut syarak dan perundangan di Malaysia, keperluan sokongan kepada saudara baru tersebut dan jenis sokongan tersebut yang dibahagikan kepada sokongan spiritual dan fizikal.

Konsep Saudara Baru

Saudara baru merupakan satu istilah yang lazim diguna pakai di Malaysia yang difahami atau ditujukan kepada orang yang baru memeluk Islam atau dikenali juga sebagai mualaf. Perkataan mualaf berasal daripada Bahasa Arab. Kata akarnya ialah allafa - yu’allifu - ta’lif, yang membawa maksud ‘jinak’. Dari sudut bahasa, perkataan mualaf didefinisikan sebagai orang-orang yang baru memeluk Islam atau saudara baru (Kamus Dewan 2005: 1046). Menurut Lisan al-‘Arab (Ibn Manzur t.th: 180) pula, perkataan mualaf berasal dari allafa yang membawa maksud menghimpunkan sesuatu dengan sesuatu atau menyatukan sesuatu dengan sesuatu.

Jika dilihat dari sudut istilah pula, perkataan mualaf merujuk dan berasal daripada perkataan wa al-mu’allafah qulubuhum seperti yang termaktub dalam Surah al-Tawbah, ayat 60. Ayat ini turut dikenali sebagai ayat al-Sadaqat:

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah SWT dan (ingatlah) Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksana (al-Tawbah 9: 60).

Menurut Kamus Istilah Fiqh, mu’allafah qulubuhum adalah mereka yang dipujuk hatinya atau mereka yang baru memeluk Islam dan iman mereka masih lemah. Berdasarkan ayat di atas, mereka tergolong dalam

(4)

lapan asnaf iaitu golongan yang berhak menerima zakat (Abdul Mujieb et. al. 1994: 211). Mualaf merupakan golongan asnaf keempat menurut turutan yang berhak menerima zakat atau sedekah. Hal ini bertujuan untuk melunakkan, merapatkan serta menyatukan hati mereka terhadap Islam terutamanya pada peringkat awal pemelukan Islam (al-Razi 1997, 6: 85).

al-Qurtubi (2008) dalam tafsirnya al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an mendefinisikan mualaf sebagai segelintir orang yang hidup pada masa awal kemunculan Islam, yang baru memeluk Islam secara lahiriah akan tetapi keyakinan mereka sangat lemah. Manakala menurut al-Zuhri pula, mualaf adalah orang-orang Yahudi atau orang-orang Nasrani yang baru saja memasuki Islam, walaupun mereka sebenarnya adalah orang-orang yang mampu atau kaya (al-Qurtubi 2008: 434).

Dari aspek perundangan pula, mualaf menurut Seksyen 86 (Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993) adalah seseorang yang memeluk agama Islam dan menjadi seorang orang Islam sebaik sahaja selesai mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan syarat bahawa kehendak-kehendak seksyen 85 dipenuhi. Seksyen 85 (Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993) memperuntukkan bahawa:

1. Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi kemasukan sah seseorang ke dalam agama Islam:

a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas;

b) pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah Pesuruh Allah” dan

c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

2. Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (a) subsekyen (1), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (b) subsekyen itu.

Berdasarkan peruntukan perundangan tersebut didapati bahawa seseorang yang berhasrat memeluk Islam disyaratkan berupaya mengucap dua kalimah syahadah atas kerelaan sendiri dan memahami maknanya serta telah mencapai had umur dewasa iaitu lapan belas tahun (Zuliza 2001: 14). Kes Fatimah Tan [27 Jurnal Hukum, bhg.II: 185-211], mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang memutuskan bahawa pengislaman Fatimah Tan diputuskan sebagai tidak sah apabila beliau mengaku semasa mengucap dua kalimah syahadah tersebut,

(5)

tidak ada niat untuk mempercayai agama Islam serta tidak pernah sama sekali mengamalkan ajaran Islam.

Pemelukan Islam kanak-kanak di Malaysia pula perlu dibuat dengan keizinan salah seorang ibu atau bapa atau penjaganya, sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Teoh Eng Huat lwn. Kadi Pasir Mas

& lain-lain [1990] 2 MLJ: 300. Bagi memahami peruntukan

perundangan ini, Perkara 11, 12(4) Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca bersama Akta dan enakmen pentadbiran agama Islam negeri masing-masing. Contohnya, peruntukan yang selari dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan juga dinyatakan dalam enakmen pentadbiran Islam negeri-negeri seperti seksyen 95 Akta Pentabiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa, seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun dibenarkan memasuki Islam jika mendapat keizinan ibu atau bapa atau penjaganya.

Perbincangan tersebut menjelaskan bahawa mualaf adalah segolongan manusia yang meliputi orang yang baru memeluk Islam melalui pengakuan dua kalimah syahadah di dalam Bahasa Arab dengan kefahaman makna dan kerelaan dirinya dan umumnya iman mereka masih lemah. Justeru itu, sebagai orang yang masih baru di dalam Islam, golongan ini perlu kepada sokongan yang sewajarnya bagi memastikan keimanan dan keislaman mereka terus terpelihara.

Keperluan kepada Sokongan Terhadap Hak Saudara Baru

Menurut Syarak

Sokongan menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 membawa erti sesuatu perbuatan yang menyatakan persetujuan, memberi perangsang dengan bantuan kebendaan (seperti wang dan lain-lain) atau tanpa bantuan kebendaan dan juga pertolongan (Kamus Dewan 2005: 1513). Sokongan boleh didefinisikan melalui pelbagai cara dan berasaskan pendekatan yang subjektif, iaitu dengan memberi definisi berasaskan tanggapan individu mengenai sesuatu sokongan. Sokongan juga turut didasarkan kepada jenis, kategori, perilaku, kesan atau hasil sokongan itu (Abd Halim 2011: 26). Secara umumnya, sokongan boleh dikatakan merujuk kepada suatu jaringan perhubungan yang dianggap boleh memberi sokongan, tindakan, sikap mahupun persekitaran emosi yang bersifat menyokong seseorang kepada orang lain (Abd Halim 2011: 27). Oleh yang demikian, sokongan boleh disimpulkan dengan sesuatu perbuatan atau tindakan yang menunjukkan rangsangan dan pertolongan tidak kira dari sudut spiritual atau fizikal.

Menurut Zulkiple (2000: 10), proses psikologi yang berlaku apabila seseorang memeluk Islam sebenarnya begitu mencabar. Lazimnya, setiap mualaf atau saudara baru melalui peringkat-peringkat psikologi

(6)

iaitu bermula dari peringkat ketenangan, peringkat konflik sehingga kepada aspek pengukuhan penghayatan kepada dunia baru. Pengakuan mereka untuk memasuki Islam memberi gambaran bahawa pertarungan jiwa dalam memilih antara yang batil dan yang hak berlangsung dengan begitu hebat.

Tidak cukup dengan itu, golongan ini turut tidak terlepas daripada pelbagai cabaran yang mampu menggugat iman jika tidak benar-benar teguh. Pelbagai masalah sama ada dari sudut emosi, adat, budaya, kekeluargaan, ekonomi, kerjaya, birokrasi dan perundangan terpaksa dihadapi oleh mereka. Masalah-masalah ini mampu merebak dan mengesani saudara baru dengan lebih serius hingga ke peringkat kembali kepada agama asal sekiranya tidak ditangani dengan segera (Lokman 1995: 62).

Sokongan dalam bentuk memberi bimbingan, amar makruf nahi mungkar serta mengukuhkan keyakinan saudara baru kepada agama Islam adalah asas dalam memberi pendidikan kepada saudara baru (Fariza 2006: 130). Mereka perlu disiapkan dengan sebanyak mungkin ilmu-ilmu agama Islam supaya mereka mempunyai kekuatan untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang (Lokman 1995: 73).

Hal ini bertepatan dengan seruan Allah SWT kepada manusia supaya sentiasa memberi sokongan sesama manusia dengan saling ingat-mengingati di antara satu sama lain. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT di dalam al-Quran dalam Surah al-‘Asr, ayat 1-3:

Maksudnya: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang ingat-mengingati untuk kebenaran dan mereka yang mengingati kepada kesabaran.

Berdasarkan surah ini, Ibn Kathir menegaskan bahawa iman tidak akan terbukti melainkan melalui amal soleh dan dakwah yang sampai kepada semua lapisan masyarakat iaitu dengan saling memperingati untuk kembali berpegang berlandaskan kebenaran serta berpesan supaya sabar, tabah hati dan tidak mudah terpengaruh oleh bisikan dan rayuan daripada sesiapa (Ibn Kathir 1994, 9: 124). Pendapat ini turut disokong oleh Syed Qutb yang menyimpulkan bahawa satu-satunya jalan yang betul dan lurus adalah jalan iman dan amal soleh serta menegakkan masyarakat Islam yang bersatu padu menjaga agama yang benar berbekalkan sifat sabar (Syed Qutb 2000, 17: 528). al-Qurtubi juga memperjelaskan bahawa hendaklah sebahagian orang-orang yang beriman menasihati sebahagian yang lain dan sebahagian mereka

(7)

mengajak sebahagian yang lain kepada al-haqq iaitu kebenaran ketauhidan Allah SWT dan kepada al-sabr iaitu kesabaran dalam ketaatan kepada Allah serta sabar untuk tidak bermaksiat kepada-Nya (al-Qurtubi 2009, 20: 715).

Secara umumnya, ayat-ayat tersebut menunjukkan manusia sentiasa berada dalam keadaan lalai, lupa dan bermasalah serta memerlukan bimbingan dan sokongan daripada orang lain agar tidak terjerumus ke dalam keadaan yang tidak sepatutnya lebih-lebih lagi sekiranya golongan yang bermasalah itu adalah daripada golongan saudara baru yang sememangnya masih lemah iman dan kurang pengetahuan agama. Golongan ini perlu diberi sokongan sebaiknya agar tidak tersasar serta sentiasa berada di jalan yang benar dan lurus (Anuar Puteh 2000: 7). Hal ini termasuklah dalam memberikan sokongan dari sudut spiritual berbentuk khidmat nasihat, penerapan akhlak Islam menggantikan perbuatan jahiliyyah, pengajaran nilai-nilai bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah serta sokongan moral.

Di samping itu, Allah SWT turut menyarankan supaya manusia saling membantu dan menyokong antara satu sama lain kepada perkara kebaikan dan taqwa. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah al-Mai’dah, ayat kedua;

Maksudnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa.

Menurut al-Akhfash, ayat ini adalah satu perintah kepada seluruh manusia untuk saling tolong menolong dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, iaitu hendaklah sebahagian kamu menolong sebahagian yang lain. Beliau turut menggesa manusia supaya berusaha untuk mengerjakan dan mengaplikasikan apa yang telah diperintahkan Allah SWT (al-Qurtubi 2008, 6: 114) menunjukkan betapa pentingnya sistem sokongan dalam hal kebajikan dan taqwa. Hal ini kerana umat muslimin telah ditugaskan oleh Allah SWT untuk memimpin umat manusia, iaitu memberi jalan petunjuk kepada mereka dan meningkatkan mereka ke kemuncak yang mulia dan gemilang bersesuaian dengan saranan agar umat muslimin bekerjasama dan saling membantu dalam gerak kerja kebajikan dan taqwa di dalam ayat ini (Sayyid Qutb 2000, 4: 166).

Ibn Khuwayzimandad turut menjelaskan bahawa tolong menolong dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dapat dilakukan dengan pelbagai cara dan bentuk. Beliau menyatakan adalah wajib bagi seorang alim untuk menolong manusia dengan ilmunya sehingga dia memberi tunjuk ajar kepada mereka, orang yang kaya pula wajib menolong mereka dengan hartanya. Manakala orang yang berani, dia

(8)

wajib memberikan pertolongan di jalan Allah SWT dengan keberaniannya (al-Qurtubi 2008, 6: 116).

Hal ini turut bertepatan dengan hadis riwayat al-Bayhaqi dalam

as-Sunan daripada ‘A’ishah yang menyatakan “Kaum muslimin itu setara

darahnya; orang-orang yang lemah (antara mereka) berjalan di bawah perlindungan mereka yang kuat, dan mereka adalah penolong bagi selain mereka.” Hadis ini juga menunjukkan hendaklah kaum muslimin saling membantu dan menyokong antara satu sama lain lebih-lebih lagi orang yang lemah dan memerlukan (al-Qurtubi 2008, 6: 116).

Berdasarkan sumber-sumber daripada al-Quran dan al-Sunnah yang telah disebutkan, jelas menunjukkan kepentingan wujudnya sistem sokongan dan saling membantu sesama kaum muslimin lebih-lebih lagi orang yang lemah dan mempunyai kekurangan seperti golongan saudara baru. Dalam hal ini kepentingan sokongan tidak dapat dinafikan dalam membantu menangani cabaran dan masalah yang dihadapi saudara baru di samping membantu pengislahan kepada kehidupan Islam yang lebih baik melalui pengajaran syariat Islam dan

tazkiyah nafs (Anuar Puteh 2000: 7).

Sorotan sejarah terhadap kehidupan golongan mualaf atau saudara baru jelas menunjukkan bahawa pada Zaman Rasulullah SAW, golongan ini mendapat sokongan dan jaminan yang sewajarnya dari aspek sokongan spiritual dan juga fizikal. Perbincangan lanjut berkenaan dua jenis sokongan tersebut dinyatakan, sebagaimana perbincangan berikutnya.

Sokongan Spiritual pada Zaman Rasulullah SAW

Sokongan dari aspek spiritual yang diperolehi saudara baru meliputi pembinaan dan pengukuhan dalaman iaitu akidah. Menurut Muhammad ‘Abd al-Wahhab dalam kitabnya Sharh Kitab al-Tawhid telah mendefinisikan akidah sebagai perkara yang berhubung dengan kepercayaan atau perkara yang berkaitan dengan keyakinan yang berpusat di hati. Dengan keyakinan, seseorang itu akan bebas daripada was-was, syak dan wasangka. Keyakinan yang kuat dan teguh akan membawa kepada penghayatan dalam segenap aspek kehidupan sebagai ibadat yang diyakini. Keyakinan ini merangkumi keyakinan kepada enam rukun iman iaitu keimanan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat, Qada’ dan Qadar-Nya (Muhammad 1989: 7).

Dalam erti kata lain, akidah adalah keyakinan dan kepercayaan yang erat, kukuh, teguh dan unggul di dalam jiwa. Dengan keyakinan yang utuh, seseorang itu akan mempunyai pegangan dan pendirian yang tegas, tidak terurai dan berubah dalam semua keadaan, ketika dan tempat. Ia merupakan kekuatan maknawi yang kukuh dan teguh, antara

(9)

manusia, dengan hakikat yang teragung iaitu Allah SWT Tiada pemisah antara manusia dengan-Nya (Mustafa 1996: 22).

Pengukuhan akidah yang sejahtera merupakan hak terpenting yang perlu diberikan kepada individu yang baru memeluk Islam. Analisis terhadap sejarah Rasulullah SAW membuktikan akidah merupakan intipati pertama dan utama dalam pembentukan jiwa seorang muslim yang baru. Penerapan dalam mengenali dan mengimani Allah SWT sebagai Tuhan yang sebenar-benarnya, meyakini berlakunya hari akhirat, beriltizam dengan akhlak yang baik bagi menyucikan jiwa serta mengambil iktibar daripada kisah-kisah ummat terdahulu berdasarkan wahyu yang diturunkan ketika itu disuntik ke dalam jiwa golongan

Sabiqun Awwalun (mereka yang awal-awal memeluk Islam). Hasilnya

terbukti berkesan dalam melahirkan dan menyediakan para sahabat sebagai orang yang teguh kepada agama (al-Ghazali 2010, 1: 148-150).

Pembinaan dan pengukuhan spiritual terhadap golongan yang baru mengenali Islam ini dilaksanakan menerusi pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah, pengetahuan hukum hakam dalam ibadat dan muamalat, pembentukan akhlak dan adab-adab di dalam Islam serta sokongan moral.

Hak terhadap Pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah

Seseorang yang memeluk agama Islam diajar membaca al-Quran dan

memahami al-Sunnah. Peringkat permulaan dakwah Islam

memperlihatkan rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam dijadikan institusi untuk pertemuan harian bagi mempelajari kitab suci ini. Rasulullah SAW menjadi penafsir dan penterjemah ayat-ayat yang turun supaya mereka dapat menghafaz, memahami seterusnya menterjemahkan al-Quran dalam kehidupan. Diriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin Mas‘ud adalah sahabat pertama yang telah membaca Quran melalui Surah al-Rahman secara kuat di Mekah sehingga didengari oleh puak Musyrikin Mekah (Ibn Hisham 1955: 314, al-Mubarakfuri 1991: 107, al-Ghadban t.t.).

Selain itu, Rasulullah SAW turut mengajar hal-hal berkaitan agama menerusi hadis-hadis serta amalan sunnahnya. Perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW direkodkan di dalam ingatan dan tulisan sebagai panduan amalan. Dengan itu, sahabat-sahabat yang memeluk Islam lebih memahami pengajaran-pengajaran agama yang disampaikan dan serba baru bagi mereka. Sejarah turut mencatatkan bahawa Rasulullah SAW pernah mengutus tujuh puluh orang qurra’ daripada qolongan Ansar untuk mengajar al-Quran dan Sunnah kepada golongan yang baru memeluk Islam (Azami 1994: 86).

(10)

Hak Dididik dengan Pengetahuan Hukum dalam Ibadat dan

Muamalat

Golongan saudara yang baru memeluk Islam juga diberikan pengetahuan dan pembelajaran syariat di dalam Islam. Sejarah menunjukkan Rasulullah SAW telah mengutus para sahabat untuk mengajar agama kepada penduduk-penduduk yang baru memeluk Islam. Sahabat yang diutus termasuklah Mus‘ab bin ‘Umayr (Ibn Hisham 1971, 3: 76) yang diutuskan ke Madinah untuk mengajar al-Quran dan ilmu-ilmu berkaitan ibadat dan muamalat di dalam Islam. Begitu juga Mu‘adh bin Jabal telah diutuskan ke Yaman atas tujuan yang sama. Selain itu, Abu ‘Ubaydah al-Jarrah turut dihantar ke Najran dan proses pembelajaran ini diteruskan juga oleh ‘Amr bin Hazm al-Ansari (Azami 1994: 87). Hal ini menunjukkan pembelajaran ilmu agama dijalankan secara berterusan sehinggalah saudara baru tersebut mempunyai kefahaman yang luas dan dalam berkaitan hukum hakam dalam ibadat dan muamalat.

Rasulullah SAW dilihat menitikberatkan kelangsungan pendakwah yang dapat membimbing saudara baru dalam hal berkaitan hukum-hakam ini ketika awal pemelukan Islam. Baginda pernah mengutuskan enam orang tenaga pengajar al-Quran dan Syariah Islamiah kepada rombongan dari ‘Adal dan al-Qarah (Azami 1994: 86). Malah baginda turut mengadakan institusi pembelajaran yang dinamakan al-Suffah bagi menyediakan da‘ie-da‘ie yang terlatih (Azami 1994: 83) yang boleh dihantar di seluruh pelusuk daerah bagi menyampaikan Islam dan ajarannya kepada penganut-penganut yang baru.

Hak Mendapat Bimbingan Pembentukan Akhlak dan

Adab-Adab

Seterusnya, saudara yang baru memeluk Islam juga mendapat hak diajar dan dibentuk dengan akhlak-akhlak dan adab-adab Islamiyah. Jelas didapati dalam intipati dakwah Rasulullah SAW adalah ayat-ayat yang menyatakan prinsip akhlak dan hak sosial anjuran Islam. Prinsip-prinsip ini dapat menyucikan jiwa manusia yang beriman dengan beriltizam melakukan ibadah-ibadah tertentu yang telah disyariatkan. Selain itu, prinsip ini juga berjaya menanggalkan amalan-amalan jahiliyyah yang telah sebati dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu.

Rasulullah SAW telah mengajak manusia berbuat baik kepada ibu bapa, tidak membunuh manusia dan anak-anak serta menjauhi zina. Selain itu, baginda juga menyeru manusia supaya menunaikan hak anak yatim dengan baik dan berlaku adil dengan sesiapa sahaja termasuklah

(11)

dalam urusan jual beli. Ini dapat dilihat dalam al-Quran, ayat 151-153 Surah al-An‘am:

ﯿ

ﭿ

Maksudnya: Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”. - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – “dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)”. Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

(12)

Hak Mendapat Sokongan Moral

Sorotan sejarah lalu menunjukkan saudara yang baru memeluk Islam diberikan hak persamaan taraf dengan mereka yang telah lama menganuti Islam. Tiada perbezaan di antara seseorang manusia dengan manusia lain walaupun seseorang itu memegang jawatan khalifah mahupun panglima perang.

Rasulullah SAW juga telah memberikan teladan dalam memberikan sokongan moral kepada saudara baru. Antaranya dengan mengiktiraf bakat saudara baru tersebut. Buktinya dapat dilihat melalui hak kepimpinan tentera Muslim dalam banyak peperangan yang diberikan kepada Khalid ibn al-Walid (Ibn Hisham 1971, 3: 290), walaupun ramai sahabat yang lebih mengetahui tentang al-Quran daripadanya dan memeluk Islam bertahun-tahun lebih awal daripadanya. Malah, walaupun terdapat situasi di mana Khalid mengambil tindakan yang salah kerana kekurangan pengetahuannya seperti yang berlaku ketika beliau diutuskan ke Bani Jadhimah, hal ini tidak menjatuhkan kedudukannya serta tidak menjadikan Rasulullah SAW merendahkan kebolehannya dan sumbangannya kepada umat Islam (Ibn Hisham 1971, 4: 72).

Selain itu, hak saudara baru dari sudut sokongan moral menurut sejarah dakwah Rasulullah SAW dapat dilihat melalui perhatian istimewa yang diberikan kepada saudara baru tersebut. Hal ini sebagaimana yang dapat dirasai oleh ‘Amru bin al-‘Asr yang kagum dengan perhatian khas Rasulullah SAW kepadanya sehingga menyangka bahawa beliau adalah sahabat yang paling dikasihi oleh Baginda. Beliau pernah bertanya pada suatu hari siapakah insan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW lalu baginda menjawab ‘A’ishah. Lalu ditanyakan sekali lagi insan yang paling dicintai daripada kalangan lelaki lalu baginda menjawab bapanya (Abu Bakr), kemudian ‘Umar dan seterusnya beberapa nama sahabat lain menyebabkan beliau tidak bertanya lagi dikhuatiri nama beliau diletakkan di hujung senarai (al-Bukhari). Hal ini menunjukkan Rasulullah SAW memberikan perhatian dan kesan yang mendalam kepada semua sahabat yang berada di sekelilingnya terutamanya mereka yang baru memeluk Islam sehingga membuatkan seseorang saudara baru benar-benar menyangka beliaulah sahabat yang paling rapat di sisi Baginda.

Ketika Abu Sufyan bin Harb memeluk Islam, hak dari sudut sokongan moral juga didapati dalam tindakan Rasulullah SAW. Abu Sufyan bin Harb merupakan seorang yang senang dan sukakan dengan kebanggaan lalu Rasulullah SAW memasukkan rumahnya dalam senarai yang diberi jaminan. Ini dapat dibuktikan melalui hadis baginda yang terkenal sebelum Penaklukan Mekah iaitu, “Barangsiapa memasuki rumah Abu Sufyan bin Harb, ia aman. Barangsiapa yang

(13)

menutup pintu rumahnya, ia aman. Dan barangsiapa memasuki Masjidil Haram, ia aman.” Tindakan Rasulullah SAW kepada Abu Sufyan bin Harb ini merupakan satu pengiktirafan yang boleh dibanggakannya walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam (Ibn Hisham 1971, 4: 42).

Dari sudut moral juga, hak saudara baru dapat dilihat melalui perubahan sedikit demi sedikit pada akhlak manusia pada peringkat permulaan. Rasulullah SAW ketika mana diberitahu oleh kabilah Thaqif untuk bersetuju memeluk Islam namun dikatakan bahawa mereka tidak akan melakukan kebajikan dan berperang di jalan Allah SWT, Baginda menerimanya lalu berkata kepada sahabat di sisinya, “Mereka akan (dengan rela) melakukan kebajikan dan berjihad apabila mereka memeluk Islam.” (Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani). Selain itu, terdapat juga sahabat yang meminta untuk mendirikan solat tanpa rukuk dan terus sujud (Ibn Rajab 2011). Di sini, penting untuk dilihat bahawa Rasulullah SAW tidak mengubah ajaran Islam untuk golongan baru seperti mereka, bahkan Baginda menganggapnya sebagai peringkat permulaan yang diberikan kepada orang-orang tertentu dalam perjalanan baru mereka kepada Islam (Hakeem 2014).

Sokongan Fizikal pada Zaman Rasulullah SAW

Sejarah dakwah Rasulullah SAW turut tidak meninggalkan sokongan dari aspek fizikal kepada golongan mualaf atau saudara baru. Dari aspek fizikal, sokongan terhadap hak saudara baru dilaksanakan melalui pemberian zakat, sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan.

Hak Terhadap Bantuan Zakat dan Sedekah

Firman Allah SWT telah meletakkan mualaf atau saudara baru di dalam senarai golongan yang berhak mendapat zakat. Hak dari sudut material ini merupakan suatu tuntutan yang boleh diperolehi kerana ia merupakan salah satu kefarduan Islam yang telah ditentukan. Hak zakat ini diberikan kepada saudara baru bertujuan supaya mereka berpegang teguh dengan agama Islam lebih-lebih lagi jika mereka ditentang dan rezeki-rezeki mereka dihimpit kerana keIslaman mereka (Sayyid Qutb 2000: 493).

Sejarah telah merakamkan para sahabat yang merupakan golongan yang baru memeluk Islam dan dipujuk hatinya lalu mendapat ketetapan kepada agama Islam menerusi pemberian zakat ini adalah al-Harith bin Hisham, Hakim bin Hizam, ‘Ikrimah bin Abi Jahl dan Suhayl bin ‘Amru (al-Qurtubi 2008: 437).

(14)

Walau bagaimanapun, pada zaman ‘Umar Ibn al-Khattab memerintah pula, bahagian-bahagian zakat yang diperuntukkan kepada orang-orang yang dijinakkan hatinya (mualaf) dilakukan penilaian berkaitan syarat-syarat pemberian bagi mereka (Shalabi 1981).

Hak Mendapat Hadiah dan Ganjaran

Sejarah telah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah menghadiahkan 100 ekor unta betina kepada setiap 12 orang mualaf yang terdiri daripada para tokoh kaum selepas pulang dari Perang Hunayn. Dengan pemberian tersebut, Rasulullah SAW ingin memikat hati mereka dan memikat hati kaum mereka kepada mereka agar terus setia bersama Islam (Ibn Hisham 1971, 4: 135).

Selain itu, Rasulullah SAW juga turut memberikan hadiah yang banyak kepada delegasi Bani Tamim yang datang berjumpa baginda dan memeluk Islam (Ibn Hisham 1971, 4: 212). Tindakan Rasulullah SAW turut bertepatan dengan perintah Allah agar memberi sedekah dan zakat kepada golongan mualaf. Dengan teguhnya Islam dan pembesar-pembesar tokoh kaum tersebut maka lebih kuat dan bertambah besar jumlah umat Islam ekoran berduyun-duyun pengikut mereka turut menyahut seruan Rasulullah SAW.

Ramadan tahun kesembilan hijrah mencatatkan pengislaman pembesar-pembesar kaum Thaqif. Mereka telah datang kepada Rasulullah SAW untuk berbaiah dengan baginda malah turut berpuasa bersama-sama baginda. Rasulullah SAW telah mengirim makanan untuk berbuka puasa dan sahur kepada mereka melalui Bilal bin Rabah (Ibn Hisham 1971, 4: 185). Perbuatan Rasulullah SAW ini perlu dicontohi sebagai suatu sokongan yang seharusnya dipenuhi hak tersebut kepada saudara yang baru memeluk Islam.

Hak Mendapat Jaminan Keselamatan dan Perlindungan

Perjalanan dakwah Rasulullah SAW telah menunjukkan dakwah secara sulit telah dilakukan pada peringkat awal kemunculan Islam. Dalam tempoh tersebut, dakwah serta program pengukuhan terhadap mereka yang baru mengalami konversi berjalan secara sulit atas sebab keselamatan. Dari hari ke hari, ajaran Islam semakin berkembang dengan pemelukan seorang demi seorang penduduk Makkah sehingga menimbulkan kemarahan pimpinan Quraisy. Dengan itu, saudara baru didapati mendapat sokongan fizikal melalui perlindungan yang diberikan. Hal ini dapat dilihat melalui pembebasan kemerdekaan hamba-hamba dan orang-orang lemah yang disiksa oleh tuan masing-masing kerana mereka memeluk Islam.

(15)

Terdapat sahabat yang baru memeluk Islam diseksa dengan dahsyatnya seperti yang berlaku terhadap Bilal bin Rabah. Beliau telah dibaringkan dan dijemur di bawah terik matahari oleh tuannya, Umayyah bin Khalaf serta diletakkan batu besar di atas dadanya. Abu Bakr yang menyedari perbuatan zalim tersebut lantas menawarkan pertukaran hambanya yang lebih kuat dan gagah kepada Umayyah dan diterimanya. Dengan itu, Bilal bin Rabah dapat dibebaskan oleh Abu Bakr (Ibn Hisham 1971, 1: 339). Begitu juga hak saudara baru dalam mendapatkan perlindungan fizikal ini turut dilihat melalui pembebasan kemerdekaan orang-orang lemah yang lain oleh Abu Bakr seperti ‘Amir bin Fuhayrah, Umm ‘Ubays, Zinnirah, al-Nahdiyyah beserta puterinya dan hamba wanita dari Bani Mu‘ammal (Ibn Hisham 1971, 1: 340).

Saudara yang baru memeluk Islam dan mendapat ancaman juga turut disokong dan diizinkan untuk berhijrah atau berpindah ke tempat yang lebih selamat. Hal ini sebagaimana keizinan Rasululullah SAW kepada sahabat-sahabatnya yang memeluk Islam untuk pergi berhijrah ke Habshah demi mempertahankan dan menyelamatkan akidah. Ramai sahabat telah menyahut keizinan ini sehingga dikatakan seramai lapan puluh tiga orang lelaki telah berhijrah ke sana (Ibn Hisham 1971, 1: 344). Di Habshah, kaum muhajirin mendapat perlindungan yang baik daripada Raja al-Najashi dan mereka bebas mengamalkan agama Islam yang baru dianuti tersebut.

Kesimpulan

Berdasarkan sejarah dakwah Rasulullah SAW, didapati bahawa golongan saudara baru yang memeluk Islam mendapat sokongan dan jaminan yang begitu baik. Mereka mendapat sokongan dari sudut spiritual yang meliputi pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah, pembelajaran syariat dalam ibadah dan muamalat, bimbingan pembentukan akhlak dan adab-adab serta sokongan moral sehingga mereka menjadi seorang muslim dan mukmin yang teguh imannya. Selain itu, golongan yang baru memeluk Islam ini juga turut menerima sokongan dari sudut fizikal yang merangkumi pemberian zakat dan sedekah, hadiah dan ganjaran serta sumber perlindungan serta jaminan keselamatan sepanjang peringkat awal pemelukan Islam.

Implikasi daripada sokongan tersebut telah berjaya melahirkan individu muslim yang teguh iman serta berpegang kepada amalan ajaran agama Islam. Malah, sokongan terhadap hak-hak saudara baru yang diperolehi ini juga turut memberi galakan kepada mereka untuk menyumbang kepada agama Islam dengan menawarkan diri secara sukarela sebagai barisan pendokong agama tidak kira dari aspek kepimpinan, ketenteraan dan perbendaharaan. Sahabat-sahabat besar

(16)

seperti Abu Bakr dan ‘Umar bin al-Khattab yang menjadi khalifah setelah kewafatan Rasulullah SAW, Khalid bin al-Walid dan ‘Amru bin al-‘Ass yang menjadi panglima perang dalam menegakkan Islam, serta ‘Uthman bin ‘Affan dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf yang terkenal dengan penyumbang saham besar Islam menjadi bukti unggul yang terhasil daripada sokongan padu yang dilaksanakan.

Di samping itu, keberkesanan sokongan terhadap hak saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW ini turut dapat dilihat melalui generasi unggul para sahabat yang berpegang teguh dengan Islam sehingga tidak kedengaran berlakunya kes murtad pada zaman itu. Kes tersebut dilaporkan berlaku hanya selepas kewafatan Rasulullah SAW selain kes-kes pengingkaran melaksanakan ajaran Islam seperti keengganan membayar zakat. Malah, penyebaran dakwah Islamiyyah pada zaman al-Khulafa’ al-Rashidin dan seterusnya turut menggunakan model sokongan yang sama seperti yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW. Kesimpulannya, sokongan terhadap hak saudara baru menurut syarak ini terbukti amat penting dan perlu serta wajar dijadikan panduan dan tauladan sepanjang zaman bagi menangani masalah-masalah berkaitan saudara baru.

Rujukan

al-Quran al-Karim.

Abd Halim Ismail. 2011. Kemurungan, Sokongan Sosial dan Pencapaian Akademik Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah di Luar Bandar. Tesis Sarjana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anuar Puteh. 2000. Kepentingan Khidmat Nasihat Terhadap Saudara Baru. Seminar Kebangsaan Sempena 30 Tahun UKM: Dakwah

dan Kaunseling Islam. 7-8 Ogos 2000. Bangi: Universiti

Kebangsaan Malaysia.

Azami, Muhammad Mustafa. 1994. Hadith Nabawi dan Sejarah

Kodifikasinya. Terj. Ali Mustafa Yaqub. Jakarta: PT Pustaka

Firdaus.

Dina Imam Supaat. 2004. Pertukaran Agama dan Murtad di kalangan orang-orang cina di Malaysia: isu dan cabaran perundangan. Kertas kerja Seminar Kebangsaan Masyarakat Cina dan Perkembangan Islam di Malaysia. Melaka: Kolej Universiti Islam Malaysia.

Fariza Md. Sham. 2006. Pendekatan Psikologi Dakwah dalam Bimbingan Saudara Baru: Pengalaman di Malaysia. Kertas kerja Seminar Serantau Pemikiran Dakwah: Peranan dan Pengalaman. Brunei: Universiti Brunei Darussalam.

(17)

al-Ghadban, Muhammad Munir. T.th. Manhaj Haraki dalam Sirah

Nabi S.A.W. Kedah: Pustaka Darussalam Sdn. Bhd.

al-Ghazali, Muhammad. 2010. Fiqh al-Sirah. Terj. Hazizi Abd Rahman. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Ibn Hisham, Abu Muhammad ‘Abd Malik. 1971. Sirah

al-Nabawiyah. Beirut: Ihya’ al-Thurath al-‘Arabi.

Ibn Ishaq. 1970. The Life of Muhammad (A translation by

A.Guillaume). Lahore: Oxford University Press, Pakistan Branch.

Ibn Katheer. 1994. Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir. Terj. H Salim Bahreisy & H Said Bahreisy. Surabaya: PT Bina Ilmu.

Ibn Manzur. T.th. Lisan al -‘Arab. Beirut: Dar al-Sadir.

Ibn Rajab. 2011. Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam. Terj. Bahagian Terjemahan dan Editorial Pustaka Salam Sdn Bhd. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Ibrahim Che Noh. 1993. Dakwah kepada Non-Muslim. Dlm. Dakwah

Islamiah Malaysia Masa Kini. Bangi, Universiti Kebangsaan

Malaysia.

Kamus Dewan. 2005. Ed. ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Lokman Ab. Rahman. 1995. Cabaran Memilih Islam. Melaka: Balai Islam Melaka

M. Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah & Syafi’ah Am. 1994. Kamus

Istilah Fiqih. Jakarta: PT Pustaka Firdaus.

al-Mubarakfuri, Safi al-Rahman. 1991. al-Rahiq al-Makhtum. Mansurah: Dar al-Wafa’.

Mujahid Yusuf. 2014. Zarinah Perlu Diberi Pembelaan.

Harakahdailyonline. www.harakahdaily.net. Akses 5 Jun. 2014. Mustafa bin Haji Daud. 1996. Akidah Mukmin. Kuala Lumpur:

Bahagian Hal Ehwal Islam, .

Nur ‘Athiroh Masyaa’il Tan Abdullah. 2013. Program Dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kepada Saudara Muslim: Kajian Tentang Persepsi dan Keberkesanannya. Tesis PhD. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Nur Kareelawati Abd Karim. 2002. Metodologi Dakwah kepada Saudara Baru: Kajian khusus di Darul Arqam Singapura. Tesis Sarjana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

al-Qurtubi, Syaikh Imam. 2008. Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Terj. Budi Rosyadi et.al. Jakarta: Pustaka Azzam.

Razi, Fakhr Razi. 1997. Tafsir Kabir. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.

(18)

Sayyid Qutb. 2000. Tafsir Fi Zilal al-Qur’an. Terj. Yusoff Zaki. Jilid 7. Kelantan: Pustaka Aman Press.

Shalabi, Ahmad. 1981. Sejarah dan Kebudayaan Islam. Terj. Muchtar Jahja. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.

Zuliza Mohd Kusrin. 2001. Pendaftaran Memeluk Agama Islam di Malaysia. Jurnal Islamiyyat. 22: 13-23.

Zulkiple Abd Ghani. 2000. Konversi Agama: Memahami Psikologi dan Komunikasi Berkesan kepada Saudara Baru. Dlm Seminar Kebangsaan Sempena 30 Tahun UKM: Dakwah dan Kaunseling Islam. 7-8 Ogos 2000. Bangi: UKM.

Referensi

Dokumen terkait

Ketiga tumbuhan tersebut memiliki ketersediaan daun yang melimpah, kandungan gizi tinggi, dan apabila diberikan dalam jumlah yang sesuai tidak memberikan efek merugikan

Koloni bakteri alami pencernaan ayam broiler pedaging yang dipilih sebagai isolat merupakan koloni yang memiliki ukuran besar dengan diameter halo besar dan

Pada tahun 2009 ini Kebun Raya “Eka Karya” Bali menggandeng kembali Universitas Udayana, beserta Penggalang Taksonomi Tumbuhan Indonesia dan Badan Lingkungan Hidup Provinsi Bali

Hal ini menunjukkan bahwa LKS dengan tampilan majalah bernuansa pendidikan karakter Sangat praktis digunakan oleh guru dalam proses pembelajaran pada materi

Tetapi, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Indonesia terkait sengketa wilayah di Laut Cina Selatan tidak dapat dipandang hanya sebagai usaha supaya situasi

20 Tahun 2003 tentang sistem pendidikan nasional serta penegasan profesi bimbingan dan konseling dalam tatanan pedidikan formal (ABKIN, 2008) seharusnya menjadi rujukan

Tujuan: Penelitian ini bertujuan untuk mengetahui gambaran peran keluarga dalam merawat anggota keluarga yang mengalami osteoartritis di Desa

Kegiatan yang dilakukan di Dukuh Kalimanjung, bertujuan untuk memberikan pemahaman kepada keluarga/ masyarakat Kalimanjung tentang lingkungan hidup, khususnya tentang