• Tidak ada hasil yang ditemukan

Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Prasekolah Melalui Pendekatan Belajar Sambil Bermain

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Prasekolah Melalui Pendekatan Belajar Sambil Bermain"

Copied!
10
0
0

Teks penuh

(1)

Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Prasekolah Melalui Pendekatan Belajar Sambil Bermain

Nanysuryati Binti Baba & Aliza Binti Alias Fakulti Pendidikan,

Universiti Kebangsaan Malaysia.

______________________________________________________________________________ Abstrak

Pengajaran bahasa kepada murid-murid prasekolah pada dasarnya adalah bertujuan untuk memperoleh kemahiran bertutur, awal bacaan, awal tulisan dan membina sikap positif dalam diri murid-murid prasekolah terhadap amalan membaca. Pendekatan belajar sambil bermain merupakan salah satu cara yang boleh digunakan bagi meningkatkan kemahiran membaca murid-murid prasekolah. Bermain merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan, mengalami sendiri atau terlibat secara langsung, memerlukan penglibatan aktif secara fizikal dan kognitif serta kesannya juga berlaku secara langsung ke atas individu yang mengalami atau yang melakukannya. Pendekatan belajar melalui bermain telah digariskan di dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan perlu diaplikasikan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu, kertas konsep ini akan membincangkan teknik pengajaran kemahiran membaca dengan menggunakan pendekatan sambil bermain. Selain itu, faktor-faktor yang menyumbang kepada kemahiran bacaan murid-murid dan kepentingan belajar sambil bermain dalam meningkatkan kemahiran membaca murid-murid turut dibincangkan. Pendekatan belajar sambil bermain harus diberikan penekanan yang sewajarnya bagi memastikan objektif pendidikan prasekolah dapat dicapai dengan jayanya.

Kata kunci : murid-murid prasekolah, pendidikan prasekolah, kemahiran membaca, belajar sambil bermain

______________________________________________________________________________ Pengenalan

Pendidikan prasekolah adalah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid-murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah. Fokus utama pengajaran dan pembelajaran di prasekolah adalah berpusatkan kanak-kanak, menekankan kepada inkuiri penemuan dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek (KPM 2010).

Kemahiran membaca perlu dikuasai oleh murid-murid supaya mereka dapat mencapai kemajuan dalam pelajaran dan juga kualiti kehidupan mereka. Dengan menguasai kemahiran membaca ia akan memudahkan murid-murid untuk mempelajari ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang lain. Namun begitu, terdapat juga sebilangan murid-murid yang memerlukan bantuan intensif untuk memperkembangkan kemahiran membaca mereka. Hal ini demikian kerana wujudnya tahap kecerdasan yang rencam dalam kalangan murid-murid dan ada antara mereka yang memerlukan pemulihan khas (Abdul Rasid 2011).

Penguasaan kemahiran membaca yang baik oleh murid-murid secara tidak langsung akan membantu perkembangan bahasa mereka. Perkembangan bahasa pula berkait rapat dengan perkembangan mental, kecerdasan, pengalaman dan latar belakang sosial yang dilalui oleh murid-murid tersebut. Ini menunjukkan perkembangan bahasa murid-murid-murid-murid amat berkait rapat dengan kehidupan sosial keluarga murid-murid itu sendiri. Bagi keluarga di negara-negara barat, mereka dinasihati untuk membacakan buku kepada anak-anak kecil dan kebanyakan ibu bapa sedar akan kesan positif yang bakal diperoleh apabila mengamalkan cara ini (Duursma 2014).

Namun begitu, dalam membantu perkembangan bahasa dan literasi kanak-kanak, ianya tidak terhad kepada satu kaedah sahaja. Pelbagai cara boleh dilakukan bagi membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca seperti aktiviti permainan dan penggunaan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak. Apabila cara yang bersesuaian digunakan dengan

(2)

kaedah yang betul, penguasaan murid-murid dalam kemahiran membaca dapat ditingkatkan. Sehubungan dengan itu, kertas konsep ini akan mengupas penggunaan kaedah belajar sambil bermain bagi membantu kemahiran membaca murid-murid prasekolah. Selain dari membantu dalam meningkatkan kemahiran membaca murid-murid prasekolah ianya juga dapat melibatkan murid-murid secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Diharapkan dengan penerangan yang diberikan di dalam penulisan ini, ia dapat memberi manfaat kepada guru-guru prasekolah untuk mengaplikasikan kaedah ini di dalam sesi PdP mereka terutamanya ketika mengajar kemahiran membaca. Selain itu, ia juga dapat membantu guru membuat persediaan PdP berdasarkan keperluan murid dan menggunakan kaedah yang dapat meningkatkan kefahaman kanak-kanak. Di samping itu, ia juga dapat memberi persepsi yang positif kepada ibu bapa agar mereka memahami manfaat sebenar yang bakal diperoleh dengan pengaplikasian kaedah main sambil belajar dalam kalangan murid-murid prasekolah. Secara amnya, murid-murid juga dapat dibantu dalam menguasai kemahiran membaca sejak di peringkat prasekolah lagi supaya masalah ini tidak terbawa-bawa sehingga mereka naik ke Tahun Satu.

Konsep Main Di Prasekolah

Permainan adalah teknik asas pembelajaran dan sesuai dengan perkembangan minda murid-murid serta mereka mendapat kepuasan melalui bermain dan secara tidak langsung mereka belajar melalui bermain (Sutinah, Yahya & Zamri 2013). Melalui bermain, murid-murid berpeluang melakukan aktiviti yang bermakna yang dapat memupuk perkembangan bahasa, kognitif, sosial, emosi dan fizikal (Sharifah Nor & Aliza 2011). Menurut Noriati, Boon & Sharifah Fakhriah (2012), main merupakan suatu aktiviti yang menyeronokkan, mengalami sendiri atau terlibat secara langsung, memerlukan penglibatan aktif secara fizikal dan kognitif serta kesannya juga berlaku secara langsung ke atas individu yang mengalami atau yang melakukannya.

Menurut Zakiah, Azlina & Yeo (2012), peluang bermain yang disediakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat merangsang motivasi dan minda murid-murid ke tahap optimum melalui penerokaan , inkuiri, pembinaan dan penemuan secara semula jadi. Oleh yang demikian, guru prasekolah perlu mengaplikasikan pendekatan belajar melalui bermain ini mengikut standard kandungan yang telah ditetapkan dalam setiap tunjang prasekolah. Di samping itu, bermain juga mempunyai ciri tertentu bagi memastikan hasil pembelajaran berkesan berlaku. Ciri utama dalam bermain adalah proses penyesuaian dengan persekitaran yang menyeronokkan kanak-kanak. Bermain dikatakan sesuatu yang menyeronokkan kerana ia melibatkan perasaan dan emosi. Apabila emosi terangsang dan teruja, kesan kepada diri pelaku atau individu yang bermain adalah mendalam.

Melalui bermain ia akan melahirkan motivasi intrinsik kepada murid-murid kerana keinginan untuk bermain datang secara semula jadi dari dalaman individu. Maka murid-murid akan dapat belajar dengan lebih berkesan apabila keinginan mereka dipenuhi kerana murid-murid bermain untuk keseronokan dan kepuasan diri mereka. Bermain juga mestilah mempunyai ciri bebas memilih oleh murid-murid yang mana mereka tidak boleh dipaksa untuk memilih jenis permainan yang dikehendakinya. Oleh itu, murid-murid dapat meneroka cara bermain serta menjelajah alam sekeliling serta menyesuaikan dirinya dengan persekitaran. Murid-murid yang melibatkan diri secara aktif akan dapat mengingat kembali maklumat yang telah mereka terima dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan apabila semua deria dimanfaatkan. Penglibatan aktif juga merupakan antara ciri bermain dalam kalangan murid-murid prasekolah.

Ciri lain dalam bermain adalah melibatkan penerokaan yang mana murid-murid akan meneroka alat permainan, tempat bermain, cara berkomunikasi dan persekitaran. Aktiviti berlari, memanjat, melompat dan bersembunyi juga merupakan penerokaan persekitaran murid-murid yang secara tidak langsung mereka belajar tentang jarak, saiz, kesesuaian tempat, peranan sesuatu tempat dan benda, kelajuan, densiti, graviti dan sebagainya. Simulasi mempunyai elemen-elemen dunia sebenar dan dapat dibentuk serta dipersembahkan di dalam kelas prasekolah. Main sosiodrama merupakan satu contoh simulasi yang berbentuk mainan, tetapi dibuat menyerupai situasi sebenar. Murid-murid merupakan pelakunya di mana fokus simulasi adalah proses yang dilalui dan bukannya hasil simulasi. Lakonan dan main peranan yang disediakan dengan kostum dan props yang mirip kepada senario sebenar dapat memberi kefahaman dan penghayatan pelakon iaitu murid-murid

(3)

dengan merasai watak yang dimainkan. Secara tidak langsung murid-murid juga belajar memahami perasaan orang lain, menerima kekalahan atau kemenangan dengan baik atau sebagainya.

Teknik Pengajaran Kemahiran Membaca Menggunakan Pendekatan Belajar Sambil Bermain Kemahiran membaca amat penting dalam pendidikan terutamanya pada peringkat awal alam persekolahan kerana kemahiran membaca mempunyai hubungan dengan penguasaan bahasa (Noor Hidayah dan Fadzilah 2013). Sehubungan itu, bagi mengajar murid-murid kemahiran membaca, pelbagai teknik boleh digunakan bagi membantu golongan ini menguasai kemahiran tersebut. Namun begitu, kebanyakan pengajaran di prasekolah menjalankan aktiviti seperti menari, bermain, melukis dan menyusun bongkah-bongkah, dan memvokalisasikan huruf dan ayat secara beritma dalam bentuk nyanyian dan sebagainya (Norizah, Abu Bakar dan Zaharah 2014). Hakikatnya, terdapat pelbagai jenis main yang boleh memperkembangkan minda murid-murid dan menggalakkan mereka untuk berfikir berdasarkan logik. Apabila aktiviti yang dijalankan tidak mempunyai tujuan yang khusus maka pembelajaran bermakna tidak berlaku dalam diri kanak-kanak.

Terdapat juga murid-murid yang mempunyai masalah dalam menguasai kemahiran membaca. Hal ini demikian kerana wujudnya kepelbagaian dalam diri seseorang murid-murid apabila mempelajari sesuatu kemahiran. Menurut Abdul Rasid (2011), apabila murid-murid tidak menguasai kemahiran membaca maka mereka tidak menguasai kemahiran asas iaitu kemahiran lisan seperti salah dalam membunyikan huruf yang seakan-akan sama bentuknya disebabkan wujudnya kekeliruan. Oleh yang demikian, mereka akan menghadapi masalah dalam membunyikan rangkai kata, ayat dan intonasi dengan gaya yang betul. Sehubungan itu, bagi mengatasi permasalahan yang wujud dalam menguasai kemahiran membaca, suatu aktiviti pengajaran yang menarik dan kondusif perlu dirancang oleh guru. Seorang guru yang kreatif ditambah pula dengan iklim bilik darjah yang kondusif akan mewujudkan suasana pembelajaran yang merangsang minat murid-murid untuk terus belajar.

1. Kaedah abjad/huruf

Kaedah abjad merupakan antara kaedah yang paling popular digunakan oleh guru-guru prasekolah bagi mengajar kemahiran awal membaca. Kaedah ini dijalankan dengan murid-murid diajar nama setiap abjad dari ‘a’ hinga ‘z’ iaitu dengan mengenal, menyebut dan menghafal huruf mengikut susunan (Husin dan Nazariyah 2014). Seterusnya ia diikuti pula dengan mengeja suku kata dan perkataan. Namun begitu, guru perlulah kreatif dalam mempelbagaikan aktiviti untuk menarik perhatian murid-murid mengikuti sesi pembelajaran seperti melibatkan pelbagai strategi dan pendekatan. Kaedah abjad ini amat popular digunakan oleh guru-guru tadika dan guru Tahun 1 Sekolah Kebangsaan berbanding dengan kaedah fonik (Isahak 2004). Walaupun pelbagai kaedah dan teknik baru telah direka bagi membantu murid-murid meningkatkan kemahiran membaca, kaedah abjad lebih selesa diaplikasikan.

Melalui pengajaran kemahiran membaca kaedah abjad ini, pendekatan belajar sambil bermain boleh diterapkan semasa aktiviti pembelajaran dijalankan. Sebagai contoh, semasa permulaan langkah mengenalkan murid-murid dengan abjad, guru boleh menjalankan permainan ‘Rantai Huruf’ seperti di bawah yang menggunakan pendekatan belajar sambil bermain.

1. Murid-murid dibekalkan dengan kad rantai huruf A – Z. Setiap murid menggantung kad rantai tersebut di leher dan mengecam huruf yang terdapat pada kad.

2. Kemudian murid-murid akan diletakkan di dalam satu bulatan besar. Di dalam bulatan ini, sebiji bola dibekalkan.

3. Guru memainkan lagu melalui perakam. Semasa lagu dimainkan, bola tersebut akan digerakkan oleh murid-murid dengan membaling kepada rakan yang bersebelahan.

4. Apabila lagu dihentikan, murid-murid yang memegang bola pada ketika itu dikehendaki menyebut huruf yang terdapat pada kad rantai hurufnya. Sebagai contoh, jika murid-murid mempunyai kad huruf ‘k’ ;

(4)

“Nama saya ‘k’. Kawan-kawan boleh panggil saya ‘k’.” 5. Permainan diteruskan dengan mengulangi langkah 3 dan langkah 4.

Melalui aktiviti ini, murid-murid dapat dilatih untuk mengenal nama abjad melalui bermain yang diselitkan dengan ciri keseronokan kepada kanak-kanak. Selain itu, ia juga dapat mengasah ketajaman pendengaran murid-murid apabila mendengar lagu yang dimainkan dan perlu bersedia sentiasa. Apabila murid-murid berasa seronok, pembelajaran yang bermakna dapat berlaku dan mereka tidak akan rasa seperti dipaksa untuk mempelajari sesuatu.

Selain itu, guru juga boleh menjalankan permainan ketingting suku kata ketika mengajar murid-murid kemahiran membaca. Guru perlu membina ketingting yang mengandungi lima petak terlebih dahulu seperti gambar di bawah.

1. Pada petak 1, murid-murid akan membaling dadu yang mengandungi suku kata KV di setiap permukaan dadu. Murid-murid akan membunyikan suku kata yang diperoleh berdasarkan dadu yang dibaling. Contoh ‘ba’.

2. Murid-murid yang tidak berketingting turut dibekalkan dengan kad suku kata dan huruf yang berkaitan setiap seorang. Mereka akan turut memilih kad suku kata yang diperoleh oleh rakan yang berketingting tadi.

3. Pada petak 2, murid-murid akan memilih kad suku kata yang mengandungi suku kata yang diperoleh berdasarkan balingan dadu yang telah dibuat.

4. Kemudian murid-murid akan berketingting ke petak 3. Pada petak 3, murid-murid akan membaling dadu yang mengandungi huruf konsonan pada permukaan dadu tersebut. Contoh ‘s’.

5. Murid-murid akan berketingting ke petak 4 untuk memilih kad huruf yang betul berdasarkan huruf yang diperoleh.

6. Pada petak 5, murid-murid akan mencantumkan kad suku kata dan kad huruf yang diperoleh dan cuba membunyikan suku kata yang terhasil. Contoh ‘bas’.

7. Murid-murid yang berjaya membunyikan suku kata dengan betul akan memperoleh satu bintang(token) sebagai motivasi kepada mereka.

8. Murid-murid yang lain turut menunjukkan kad suku kata yang mereka pilih dan membunyikannya.

9. Seterusnya guru akan menulis suku kata yang diperolehi di papan putih dan murid-murid membunyikan suku kata tersebut bersama-sama.

10. Permainan boleh dijalankan secara berkumpulan atau pun kelas.

5

4

3

2

1

(5)

2. Kaedah Fonik

Kaedah fonik merupakan antara salah satu kaedah yang terkenal dalam pengajaran kemahiran membaca murid-murid prasekolah. Kaedah ini dilihat sebagai kaedah yang bersesuaian dengan domain perkembangan murid-murid prasekolah dalam meningkatkan keupayaan literasi mereka dan memantapkan lagi penguasaan (Yahya et al. 2012). Kaedah ini diaplikasikan dengan cara murid dilatih untuk mengenal huruf melalui padanan huruf dan bunyi diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Melalui kaedah ini, huruf tersebut tidak dieja tetapi terus dibunyikan. Contohnya huruf ‘a’ dibunyikan sebagai [aaa] dan ‘b’ sebagai [ beh] serta begitu juga dengan huruf-huruf dan suku kata yang lain.

Dalam satu kajian oleh Suwarsi (2014), mengenai keberkesanan penggunaan kaedah fonetik dalam meningkatkan kemahiran asas membaca murid-murid prasekolah, dapatan kajian tahap penguasaan murid-murid ini didapati meningkat dengan penggunaan kaedah tersebut. Kajian ini juga selari dengan dapatan Yahya et al. (2012) yang menyatakan murid-murid prasekolah yang menggunakan kaedah ini sudah boleh membaca dengan baik berbanding dengan murid-murid yang menggunakan kaedah suku kata. Terdapat tadika swasta yang telah mengaplikasikan kaedah ini dalam sistem pendidikan mereka apabila didapati tahap penguasaan murid-murid dalam kemahiran membaca dapat dipertingkatkan. Penggunaan kaedah ini mensyaratkan murid-murid untuk mengenal dan mengingat bunyi 26 vokal dan konsonan Melayu. Kaedah ini berbeza dengan kaedah huruf atau abjad kerana murid-murid tidak perlu mengenal pola suku kata yang banyak dan kadang kala boleh mengelirukan mereka.

Habibah dan Hasnah (2010) telah menggariskan beberapa langkah-langkah dalam pelaksanaan kaedah fonik ini iaitu yang mana ia dimulai dengan murid-murid diperkenalkan dengan bunyi huruf dan bukan nama huruf. Melalui kaedah ini, lambang huruf dikaitkan dengan bunyi. Contohnya ‘s’ – [sss], ‘u’ – [uuu], ‘z’ – [zzz] dan sebagainya. Setelah membunyikan huruf secara terasing, murid-murid akan menggabungkannya dengan huruf yang lain pula bagi membentuk suku kata dan perkataan. Setelah mengetahui hubungan setiap huruf-huruf dengan bunyinya mereka akan membina suku kata. Contohnya, [ba], [ju], [da], [du] dan sebagainya. Suku kata ini kemudiannya akan digabungkan bagi membentuk bunyi perkataan. Contohnya, [baju], [dadu] dan sebagainya. Setelah menguasai perkataan, murid-murid akan diajar untuk membina frasa dan membentuk ayat. Pada peringkat awal, frasa dan ayat yang dibina adalah terdiri daripada perkataan yang berada dalam lingkungan pengetahuan kanak-kanak. Kaedah ini dikatakan mempunyai beberapa kelebihan yang mana ia bersesuaian dengan sistem ejaan bahasa Melayu yang bersifat fonemik dan murid-murid mampu mengenal huruf-huruf serta membunyikan vokal dan konsonan dengan baik (Husin dan Nazariyah 2014).

Melalui kaedah pengajaran kemahiran membaca menggunakan kaedah fonik, pendekatan belajar melalui bermain juga boleh diaplikasikan supaya sesi pembelajaran lebih menyeronokkan dan tidak terlalu rigid. Permainan ‘Bunyikan Saya’ di bawah boleh dijalankan di dalam kelas prasekolah ketika mengajar murid-murid kemahiran membaca menggunakan kaedah fonik.

1. Murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan mencampurkan murid-murid yang mempunyai pencapaian baik, sederhana dan lemah dalam setiap kumpulan.

2. Guru menampalkan huruf vokal a,e,i,o,u di stesen C. Di stesen B, guru meletakkan gambar-gambar yang mewakili huruf-huruf vokal tersebut. Contoh, ‘a = ayam, awan, api’, ‘e = emak, ekor’, ‘i = ikan, ibu, itik’.

3. Murid-murid pula berada dalam barisan kumpulan masing-masing di stesen A.

4. Apabila permainan dimulakan, murid-murid dikehendaki berlari secara bergilir ke stesen B untuk mendapatkan sekeping gambar dan kemudian melekatkan gambar yang diambil di stesen C mengikut ruangan huruf vokal yang betul. Markah akan diberikan bagi setiap gambar yang dilekatkan di ruangan yang betul.

(6)

5. Permainan diteruskan sehingga setiap ahli kumpulan melakukan tugasan. Markah yang dikutip oleh setiap kumpulan dikira. Permainan boleh dijalankan sebagai pertandingan antara kumpulan.

Permainan ini dapat melatih murid-murid untuk mengecam bunyi yang mewakili sesuatu huruf. Di samping itu, permainan yang berperaturan ini juga akan melatih murid-murid supaya patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan, menunggu giliran, bersabar, semangat berkumpulan dan mampu untuk menerima kemenangan atau kekalahan. Namun begitu, keberkesanan sesuatu kaedah yang digunakan berkait dengan kecekapan guru dan keperluan kanak-kanak. Oleh yang demikian, guru perlu bijak dan kreatif untuk memilih kaedah pengajaran mengikut kesesuaian dan keperluan murid-murid prasekolah.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kemahiran Membaca Murid-murid prasekolah

Murid-murid yang memulakan alam persekolahan dengan kemahiran berbahasa yang tinggi akan mencapai kejayaan akademik yang lebih baik berbanding dengan rakan mereka yang sebaliknya (Liebeskind, Piotrowski, Lapierre dan Linebarger 2014). Perkembangan bahasa yang baik akan menunjukkan sejauh mana tahap ketersediaan murid-murid untuk menghadapi alam persekolahan yang sebenar. Tahap kecerdasan dan psikologi yang pelbagai dalam kalangan murid-murid adalah akibat pelbagai faktor genetik, kecacatan fizikal, persekitaran dan sebagainya (Abdul Rasid 2011). Kepelbagaian yang wujud inilah perlu dikenal pasti supaya pengesanan di peringkat awal dapat membantu murid-murid ini dari terus tercicir.

1. Persekitaran

Interaksi yang terjalin di antara murid-murid dengan persekitarannya akan memperlihatkan bagaimana murid-murid ini akan membesar dengan persekitaran yang sentiasa mengalami perubahan seterusnya murid-murid bertindak balas dengan persekitaran mereka. Pergaulan murid-murid dengan rakan sebaya dan jiran juga turut mempengaruhi perkembangan bahasa mereka. Piaget (1967) di dalam Noriati et al (2012) berpendapat perkembangan kognitif berlaku secara berperingkat-peringkat dan interaksi sosial murid-murid akan mempengaruhi perkembangan kognitif mereka. Sejajar dengan itu, jika interaksi murid-murid ini meluas, ianya akan memperkembangkan lagi pemikiran kognitif mereka. Apabila murid-murid bergaul dengan masyarakat sekeliling mereka akan memperoleh pelbagai maklumat dan kemudiannya maklumat ini akan digunakan di dalam interaksi mereka yang lain sama ada ketika bermain atau menghadapi situasi yang hampir serupa. Hakikatnya kemahiran berbahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dan ia merupakan asas kepada untuk penguasaan bidang ilmu yang lain.

2. Alat Bantu Mengajar

Penggunaan alat bantu mengajar yang menarik mampu mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak. Penggunaan alat bantu berkomputer misalnya dapat mewujudkan suasana yang menyeronokkan bagi murid-murid dan ia juga dapat meningkatkan penglibatan mereka dalam aktiviti yang dijalankan. Pendapat ini disokong dengan dapatan kajian Abdul Rasid, Norhashimah dan Shamsudin (2012) yang menyatakan penggunaan alat bantu mengajar berkomputer dalam pengajaran kemahiran membaca amat efektif kerana ia dapat meningkatkan prestasi kemahiran membaca. Hal ini mungkin disebabkan murid-murid telah terdedah dengan medium elektronik dan mereka merasakan satu keseronokan apabila dapat menggunakan media sebegitu ketika sesi pembelajaran berlangsung. Namun begitu, kurikulum yang bersesuaian perlulah diadaptasi supaya murid-murid dapat mempelajari sesuatu kemahiran dengan lebih sempurna.

Penggunaan alat bantu mengajar tidak seharusnya terhad kepada alatan multimedia sahaja kerana penggunaan alat maujud juga mampu menarik perhatian murid-murid untuk turut serta dalam sesi pembelajaran. Sesuatu benda maujud yang dapat dipegang dan dilihat oleh murid-murid akan mewujudkan perasaan ingin tahu dalam diri mereka mengenai sesuatu perkara. Berdasarkan pendekatan Montessori dalam pendidikan prasekolah, murid-murid diajar mengenai sesuatu topik dan

(7)

kemahiran dengan menggunakan benda yang sebenar supaya mereka dapat melihat sesuatu berdasarkan realiti dan bukannya gambaran mereka sendiri (Roopnarine & Johnson 2005). Jika murid-murid menggambarkan sesuatu dalam keadaan yang salah maka mereka akan berpegang kepada apa yang mereka peroleh sejak kecil.

Sejajar dengan itu, guru haruslah mempunyai kreativiti tersendiri dalam mendidik murid-murid supaya mereka dapat mempelajari dan memperoleh kemahiran yang diajar dan dapat diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Penggunaan alat bantu mengajar dalam pendekatan belajar sambil bermain juga mesti dipelbagaikan supaya murid-murid tidak cepat bosan apabila guru menggunakan peralatan yang sama untuk sesi pembelajaran. Penggunaan alat bantu mengajar yang berwarna-warni juga dapat menarik perhatian murid-murid di samping menyelitkan unsur-unsur muzik dan nyanyian dalam permainan yang dijalankan.

3. Perbezaan Jantina Dalam Aktiviti Bermain

Walau pun pelbagai media dan alat bantu mengajar telah digunakan untuk membantu murid-murid dalam kemahiran membaca, namun masih terdapat aspek lain yang perlu diperhatikan iaitu jantina. Sejak kecil lagi murid-murid lelaki telah ditanam dengan sifat berani dan dianggap sebagai pelindung kepada ahli keluarga yang lain. Namun begitu, fenomena yang biasa kita hadapi di sekolah ialah murid-murid lelaki lebih nakal dan agak sukar untuk mematuhi disiplin manakala murid-murid perempuan pula sebaliknya.

Semasa menjalankan aktiviti permainan, guru perlu memikirkan aspek ini kerana murid-murid lelaki lebih berminat kepada aktiviti yang lasak dan bersifat lokomotor seperti berlari, melompat dan memanjat. Berbeza pula dengan murid-murid perempuan yang lebih menggemari aktiviti permainan yang lebih bersifat keperempuanan seperti bermain anak patung, bermain pondok-pondok seperti main peranan. Oleh itu, guru perlu menyeimbangkan aktiviti permainan supaya dapat memenuhi kehendak dan keperluan murid-murid lelaki dan murid-murid perempuan supaya mereka tidak hilang minat dalam aktiviti yang dijalankan. Selain itu, objektif permainan juga dapat dicapai dengan jaya jika murid-murid dapat terus memberikan penumpuan terhadap apa yang dilaksanakan. Implikasi Pendekatan Belajar Sambil Bermain Kepada Murid-murid Prasekolah

Implikasi utama yang dapat kita lihat adalah kepada murid-murid prasekolah iaitu ia dapat membantu perkembangan murid-murid dari aspek perkembangan bahasa dan literasi, perkembangan kognitif, perkembangan sosial dan emosi, serta perkembangan fizikal.

1. Perkembangan Bahasa dan Literasi

Ketika bermain, murid-murid akan belajar berkomunikasi dengan berinteraksi bersama rakan dan juga persekitaran di samping mengenali benda-benda di sekeliling mereka. Main memberi impak dalam perkembangan awal literasi dengan memberi kesan kepada perkembangan bahasa lisan, perkembangan kesedaran metalinguistik dan perkembangan imaginasi murid-murid (Bodrova 2008). Melalui bermain ianya memberi peluang kepada murid-murid untuk memahami tujuan sebenar membaca dan menulis serta melatih mereka untuk mengasah kemahiran membaca dan menulis dalam konteks yang bermakna. Secara tidak langsung bermain tidak dianggap sebagai main yang sia-sia dan membuang masa murid-murid tanpa memperoleh sesuatu yang bermakna.

Terdapat perkaitan yang positif di antara aktiviti bermain dengan persekitaran permainan dalam memupuk kemahiran literasi murid kerana setiap bahan bacaan bertulis dalam ruang permainan yang dilabelkan secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran literasi dengan berkesan. Ini dapat membantu murid-murid untuk mengecam sesuatu perkataan sedangkan ketika itu mereka bermain bersama rakan yang lain. Sehubungan itu, murid-murid yang telah mahir membaca berpeluang memilih sendiri bahan bacaan yang mereka gemari. Interaksi buku dan rakan sebaya dapat memberi peluang kepada murid-murid meneroka dunia buku mengikut cita rasa mereka iaitu mereka dapat mencuba membaca dan mengenali konsep membaca bersama rakan-rakan sebaya (Saayah et al., 2010).

(8)

Ketika bermain murid-murid bebas memilih permainan mengikut kemampuan mereka namun dalam permainan berstruktur ianya lebih terancang dan mempunyai tujuan. Di samping itu, ketika bermain murid-murid seharusnya berinteraksi dengan individu lain sama ada rakan sebaya atau orang dewasa seperti guru, pengasuh dan ibu bapa (Sharifah Nor dan Aliza 2011). Hal ini demikian kerana jika tiada interaksi yang berlaku maka kemahiran komunikasi murid-murid tidak dapat dikembangkan dengan lebih baik.

2. Perkembangan kognitif

Menurut Zakiah, Azlina & Yeo (2013) di dalam kajiannya, murid-murid yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran awal matematik dengan menggunakan modul belajar melalui bermain lebih faham tentang konsep pengalaman pra nombor berbanding murid-murid yang mengikuti pengajaran bahasa. Di samping itu, permainan yang berperaturan dan berstruktur juga dapat membantu perkembangan murid-murid dari segi kognitif, iaitu kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, mencari alternatif, membuat andaian dan merancang strategi. Dengan mengaplikasikan pendekatan belajar sambil bermain, aspek perkembangan kognitif murid-murid dapat ditingkatkan. Ini secara tidak langsung dapat melahirkan murid-murid yang matang dari segi pemikiran dan mampu untuk berfikir dengan sewajarnya.

3. Perkembangan Sosial dan Emosi

Selain dari membantu meningkatkan kemahiran bahasa dan literasi, main juga dapat membantu perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Nilai emosi dalam permainan telah lama diterima dan difahami lebih daripada nilai intelektual atau sosial sejak ahli terapi menggunakan main sebagai meditasi untuk meredakan perasaan. Bermain juga dapat melepaskan tekanan daripada rasa cemburu dengan menggunakan peralatan mainan. Sebagai contoh, murid-murid menggunakan anak patung berimaginasi dan berkomunikasi sambil meluahkan perasaannya. Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan keceriaan emosi melalui pembelajaran menyeronokkan yang dialami murid sama ada ketika sesi pembelajaran atau ketika berinteraksi dengan murid lain secara tidak formal (Shaffe et al. 2011). Apabila keperluan mereka dipenuhi ia akan menimbulkan minat terhadap pembelajaran dan motivasi turut meningkat. Sementara itu, sebagai contoh permainan berstruktur dapat melatih sosial dan emosi murid-murid termasuk mematuhi peraturan, mengambil giliran, menghormati rakan sepasukan dan pasukan lawan, berkomunikasi, berkompromi, bertolak ansur serta menghormati kemenangan dan menerima kekalahan. Sehubungan itu, murid-murid akan lebih selesa dan yakin diri untuk berinteraksi dengan guru kerana penerimaan ilmu adalah secara semula jadi dan bukannya paksaan.

4. Perkembangan Fizikal

Bermain juga memberi kebebasan kepada murid-murid untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Perkembangan fizikal dapat dikuasai melalui aktiviti fizikal di dalam dan di luar bilik darjah dengan menggunakan pelbagai alat permainan yang disediakan dan aktiviti pergerakan lokomotor kreatif. Seseorang individu dikatakan telah menguasai kemahiran psikomotor jika individu itu dapat menyusun atur pergerakan secara menyeluruh dan dapat dilaksanakan dengan lancar serta tepat dari segi masa.

Dengan bermain, kemahiran psikomotor murid-murid iaitu motor kasar dan motor halus, koordinasi mata-tangan, pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor dapat dibina. Kemahiran motor halus termasuk mengoyak, memintal, merenjis, menjentik, mengikat, menggunting dan melipat, ia juga berkait rapat dengan kemahiran koordinasi mata tangan. Secara tidak langsung murid-murid akan membina kemahiran manipulatif untuk melakukan aktiviti mewarna, melakar, membentuk, menampal dan mencantum yang dapat membantu di dalam aktiviti pembelajaran. Di samping itu, dengan bermain murid-murid dapat membina kemahiran pergerakan asas dan kekuatan fizikal untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang berkait dengan pergerakan motor kasar. Kemahiran motor kasar lokomotor seperti berjalan, berlari, merangkak, melompat, berjengket, berketengteng, skip, naik turun tangga dan berkawat kaki. Contohnya di taman permainan, murid-murid akan bermain buaian, memanjat rangka berpalang, bermain gelongsor dan bermain jongkang jongket. Semua aktiviti

(9)

tersebut melatih motor kasar murid-murid di samping melahirkan murid-murid yang sihat dalam melakukan aktiviti fizikal.

KESIMPULAN

Kajian dan teori pendidikan telah menekankan bahawa melalui bermain murid-murid dapat meningkatkan kemahiran bahasa dan literasi, kognitif, sosial dan emosi, seta fizikal mereka. Kebaikan yang bakal diperoleh melalui bermain ini tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja tanpa pengaplikasian yang betul oleh guru-guru prasekolah. Seharusnya hal ini perlu dipandang serius dengan menekankan pelaksanaan pendekatan belajar melalui bermain di dalam kelas prasekolah dan bukannya sekadar terkandung di dalam KSPK (Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan) tanpa dilaksanakan. Guru-guru perlulah lebih kreatif dalam mendidik murid-murid prasekolah dengan menggunakan pendekatan yang bersesuaian seperti mengimplementasikan permainan yang sistematik di dalam kelas bagi menghasilkan hasil pra literasi yang lebih khusus. Objektif pembelajaran juga dapat dicapai dengan jayanya tanpa mengetepikan keperluan dan fitrah kanak-kanak. Diharapkan penulisan keras kerja ini dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pendidikan murid-murid prasekolah dan matlamat pendidikan prasekolah dapat dicapai seperti yang ditetapkan.

RUJUKAN

Abdul Rasid Jamian. 2011. Permasalahan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 1(1): 1-12.

Abdul Rasid Jamian, Norhashimah Hashim & Shamsudin Othman. 2012. Multimedia interaktif mempertingkatkan pembelajaran kemahiran membaca murid-murid PROBIM. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2(2) : 46-63. http://www.ukm.edu.my/jpbm/pdf/46-53%20Rasid%20et%20al.UPM.pdf (Diakses pada 3 Jun 2015).

Bodrova E. 2008. Make-believe play versus academic skills : A Vygotskian approach to today’s dilemma of early childhood education. European Early Childhood Education Research Journal, 16(3): 357-369. http://www.tandfonline.com/doi/pdf/10.1080/13502930802291777 (Diakses pada 10 Februari 2015)

Duursma E.. 2014. Parental bookreading practices among families in the Netherlands. Journal of Early Childhood Literacy, 14 (4) : 435-458.

http://ecl.sagepub.com/content/14/4/435.full.pdf+html (Diakses pada 11 Februari 2015) Habibah Mohd. Samin dan Hasnah Awang. 2010. Revisi Bahasa Melayu Akademik untuk PPISMP.

Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Husin Fateh Din & Nazariyah Sani. 2014. Literasi Bahasa Melayu. Selangor : Penerbitan Multimedia. Isahak Haron, Deresah Lahom, Abu Bakar Nordin, Kamarulzaman Kamaruddin, Bhasah Abu Bakar,

Ragendran, Abdul Latif Ghapor, Abdullah Hasan, Ishak Ismail, Ramlah Jantan, Muhd. Nadzir Ibrahim, Sabariah Siron, Nazariah Ab. Samad, Sabri Mohd. Salleh, Abdul Raheem Mohamad Yusof, Mahani Razali & Abd. Rahman Daud. 2004. Awal membaca Bahasa Melayu :

Keberkesanan kaedah gabungan bunyi – kata untuk prasekolah dan untuk pemulihan. Projek Penyelidikan 03-12-05-02. Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia : UPSI.

Kementerian Pelajaran Malaysia .2010. Dokumen Standard Kurikulum Prasekolah. Putrajaya : Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Liebeskind, K.G., Piotrowski, J.T., Lapierre, M.A. & Linebarger, D.L.2014. The home literacy environment : Exploring how media and parent-child interactions are associated with children’s language production. Journal of Early Childhood Literacy, 14(4) : 482-509. http://ecl.sagepub.com/content/14/4/482.full.pdf+html (Diakses pada 24 Februari 2015). Noor Hidayah Ismail & Fadzilah Abd. Rahman .2013. Perkembangan literasi melalui teknik dan

pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid Tadika Khalifah Didik, Ampang. Seminar Pasca Siswazah Dalam Pendidikan 2013: 157 – 161.

(10)

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. 2012. Murid dan Alam Belajar (edisi kemaskini). Kuala Lumpur : Oxford Fajar.

Norizah Tukiman, Abu Bakar Nordin & Zaharah Hussin.2014. Peningkatan kemahiran menghafaz surah dan doa murid-murid prasekolah melalui pendekatan berasaskan Teori Kecerdasan Pelbagai. The Online Journal of Islamic Education. 2 : 114 – 129.

Roopnarine, J.L. & Johnson, J.E. 2005. Approaches To Early Childhood Educations. United States : Pearson Prentice Hall.

Saayah Abu, Rohaty Majzub & Nor Aishah Buang. 2010. Amalan membaca dan penggunaan buku kepada murid-murid prasekolah dalam perspektif rakan sebaya. Prosiding seminar Kebangsaan Pendidikan Negara ke 4.

Shaffe Mohd. Daud, Ramli Basri, Roselan Baki, Sahandri Ghani Hamzah & Mokhtar Nawawi. 2011. Pengaruh amalan jenaka terhadap pengajaran dan pembelajaran murid. Jurnal Pendidik dan Pendidikan Asia Pasifik, 26 (1) : 125 – 144.

Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali. 2011. Pendekatan bermain dalam pengajaran bahasa dan literasi bagi pendidikan prasekolah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 1 (2) :1-15.

Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali. 2012. Persepsi guru terhadap penggunaan kurikulum berasaskan bermain bagi aspek perkembangan bahasa dan literasi murid prasekolah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2(1) : 141-159.

Sutinah Muhd. Ali, Yahya Othman & Zamri Mahamod. 2013. Kaedah fonik dalam mengajarkan kemahiran membaca murid-murid prasekolah : Tinjauan pelaksanaan di Negara Brunei Darussalam. Seminar Kebangsaan Kali Ke IV Majlis Dekan Pendidikan IPTA : 32-50.

Suwarsi. 2014. Efektivitas metode fonetik dalam meningkatkan kemampuan membaca permulaan pada anak usia dini. Tesis Phd. Jawa Tengah : Universitas Muhammadiyah Surakarta.

Yahya Othman, Aisah Md. Daud, Azmey Othman, Dk. Siti Ardiah Pg. Mohiddin & Maszuraimah Muizz Sulaiman. 2012. Pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan kaedah fonik peringkat prasekolah di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2(2) : 93-109.

Zakiah Mohamad Ashari, Azlina Mohd. Kosnin & Yeo Kee Jiar .2012. Keperluan Aktiviti Bermain dan Kepentingannya Terhadap Motivasi Murid-murid prasekolah. Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan IPTA 2012. Johor : UTM.

Zakiah Mohamad Ashari, Azlina Mohd. Kosnin & Yeo Kee Jiar .2013. Keberkesanan modul belajar melalui bermain terhadap kefahaman pengalaman pranombor murid-murid prasekolah. 2ndInternational Seminar on Quality and Affordable Education : 305 312.

Referensi

Dokumen terkait

teknik dasar lari sprint. Kemudian dilakukan pembelajaran melalui Pendekatan bermain. Kemudian dilakukan kembali pembelajaran melalui Pendekatan bermain. Berdasarkan hasil

PENGARUH PENDEKATAN PEMBELAJARAN DAN KOORDINASI MATA-TANGAN TERHADAP HASIL BELAJAR KETERAMPILAN BERMAIN BOLAVOLI MINI (Eksperimen Pengaruh Pendekatan Pembelajaran

Sesuai rumusan masalah, maka tujuan dari penelitian ini adalah “untuk mengetahui peningkatan kemampuan membaca anak prasekolah melalui metode bermain”.

Pengkaji juga merumuskan bahawa pendekatan kolaboratif yang digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran memang dapat memantapkan kemahiran asas bahasa pelajar

Pembinaan modul berkenaan berfokuskan pemberian bimbingan guru menjalankan Pendekatan Projek untuk menggalakkan beberapa kemahiran berkomunikasi murid prasekolah

Tujuan penelitian ini adalah untuk Meningkatkan Hasil Belajar Passing Bawah Sepakbola Melalui Pendekatan Bermain Pada Siswa Kelas IV SD Negeri Karangasem IV

Oleh itu, kaedah Ekspres-I yang diintegrasikan dengan Kaedah Gabungan Bunyi Kata KGBK dan kaedah didik hibur nyanyian diaplikasikan dalam kajian ini untuk mendalami isu penguasaan

Permainan Kad Bacaan bagi pembelajaran kemahiran membaca ini dapat membantu pihak guru sewaktu sesi pembelajaran berlangsung dengan menggunakan bahan bantu mengajar yang mampu menarik