• Tidak ada hasil yang ditemukan

Teori Behaviorisme Dan Aplikasinya Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Teori Behaviorisme Dan Aplikasinya Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran"

Copied!
16
0
0

Teks penuh

(1)

Soalan A

Pada awal kurun ke-20, ramai ahli psikologi yang telah mencuba untuk mengkaji pemikiran dan pembelajaran melalui intropeksi. Mereka meminta subjek ‘melihat’ dalam minda sendiri dan menerangkan apa yang sedang ‘difikirkan’. Namun begitu, usaha mereka telah dikritik oleh sesetengah ahli psikologi seperti J. B Watson (1878-1958) kerana kaedah itu kurang objektif dan saintifik. Mereka mencadangkan agar ahli-ahli teori memfokuskan kepada dua perkara yang boleh diperhatikan iaitu tingkah laku (gerak balas) dan persekitaran (rangsangan) yang mendahului atau mengikuti gerak balas.

Rentetan daripada itu, timbullah aliran behaviorisme yang mengkaji pembelajaran dan tingkah laku melalui analisis perkaitan rangsangan gerak balas. Teori pembelajaran behaviorisme sangat mengutamakan pembelajaran kemahiran-kemahiran tertentu terutamanya berkaitan kemahiran fizikal. Tokoh-tokoh behaviorisme berpendapat bahawa pembelajaran merupakan suatu perubahan dalam tingkah laku cara seseorang bertindak dalam situasi tertentu. Pandangan ini memfokuskan kepada perubahan tingkah laku yang nyata dan dapat diperhatikan.

i. J. B Watson (1978-1958)

John Broades Watson (1978-1958) seorang ahli psikologi di Amerika Syarikat merupakan pengasas aliran behaviorisme untuk menghuraikan tingkah laku. Beliau terkenal dengan Teori Pelaziman Klasik Watson. Bagaimanapun, kajian beliau banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov.

Menurut Watson, tingkah laku adalah refleks terlazim iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Selain tingkah laku, Watson turut menjalankan kajian terhadap pembelajaran emosi manusia. Menurut beliau, manusia mewarisi tiga jenis emosi semula jadi iaitu takut, marah

(2)

dan kasih sayang. Emosi manusia atau perubahannya dipelajari melalui proses pelaziman.

Hipotesisnya dibuktikan melalui kajian beliau yang dikenali sebagai Model Pelaziman Klasik Watson yang menggunakan seorang bayi berumur 9 bulan bernama Albert dan seekor tikus putih. Albert pada mulanya tidak menunjukkan perasaan takut pada tikus tersebut tetapi apabila satu bunyi yang kuat dikeluarkan serentak dengan kemunculan tikus tersebut menyebabkan Albert menjadi takut. Situasi ini diulangi beberapa kali sehingga menimbulkan perasaan takut Albert kepada tikus tersebut. Melalui proses pelaziman ini, Albert telah belajar tingkah laku takut.

ii. Ivan Petrovich Pavlov (1849-1936)

Ivan Petrovich Pavlov, dilahirkan pada 1894 merupakan seorang saintis dan ahli fisiologi Rusia memperkenalkan Teori Pelaziman Klasik atau Teori R-G (Rangsangan – Gerak Balas. Beliau berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku akibat rangsangan yang telah diterima oleh seseorang.

Kajian beliau tentang proses pencernaan dalam anjing dan pemerhatian terhadap perubahan-perubahan dalam kadar penghasilan air liur anjing akhirnya membawa kepada Teori Pelaziman Klasik di bawah kajian bidang fisiologi. Melalui kajian ini, Pavlov telah mengemukakan konsep rangsangan dan gerak balas (Mook Soon Sang, 2002). Selain konsep tersebut, Pavlov turut mengemukakan konsep generalisasi, diskriminasi dan penghapusan yang boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Rahil Mahyuddin (2000) dalam buku Psikologi Pendidikan telah menjelaskan konsep generalisasi dan diskriminasi dalam situasi bilik darjah. Menurut beliau, generalisasi bererti kemahiran boleh dipindahkan kepada beberapa mata pelajaran seperti kemahiran menyelesaikan masalah dalam mata

(3)

pelajaran matematik dapat diaplikasikan dalam mata pelajaran fizik. Manakala diskriminasi pula beerti peneguhan berlaku hanya apabila sesuatu rangsangan wujud contohnya memberitahu pelajar bila dan dalam situasi mana pelajar boleh melakukan sesuatu tindakan seperti mengangkat tangan apabila guru habis menyoal dan berdiri apabila disoal.

Laman web http://www.homestead.com telah mentakrifkan penghapusan mengikut perspektif behaviorisme dan pembelajaran sebagai gerak balas yang wujud akan berperingkat- peringkat terhapus apabila peneguhan atau ganjaran tidak diberikan lagi. Dalam kajian Pavlov, prinsip penghapusan terjadi apabila loceng yang tidak disertakan dengan rangsangan tak terlazim (makanan). Lama-kelamaan loceng tidak lagi tidak merangsang anjing untuk mengeluarkan air liur.

iii. Thorndike (1874-1949)

Teori Pelaziman Operan Thorndike yang turut dikenali sebagai teori cuba-jaya pula telah dikemukan oleh Edward L.Thorndike (1874-1949). Beliau telah menggunakan seekor kucing untuk membuat kajian. Beliau membuktikan melalui kajian tersebut bahawa pembelajaran merupakan proses cuba-jaya. Oleh kerana latihan dilakukan secara berulang-ulang, gerak balas yang salah dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin berkurang, perhubungan antara rangsangan dengan gerak balasnya akan semakin bertambah kukuh. Maka, perhubungan antara rangsangan dengan gerak balas ini mewakili konsep pembelajaran. Menurut Thorndike, perhubungan ini berlaku berdasarkan bilangan kali latihan, keadaan kesediaan individu dan keberkesanan latihan.

Thorndike menyarankan bahawa pembelajaran dikawal oleh hukum pembelajaran dan terbahagi kepada tiga, iaitu (a) Hukum Kesediaan (b) Hukum Latihan dan (c) Hukum Kesan. Mook Soon Sang (2002) mentakrifkan Hukum Kesediaan sebagai keupayaan persiapan individu di dalam kendirinya untuk memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Menurut beliau, Hukum Latihan

(4)

menyatakan bahawa semakin banyak latihan yang tertentu dijalankan, semakin kukuh ikatan atau asosiasi gerak balas yang tertentu dengan rangsangan yang berkaitan. Manakala Hukum Kesan menyatakan bahawa ikatan rangsangan dengan gerak balas akan bertambah kukuh sekiranya individu memperoleh kesan yang memuaskan selepas gerak balasnya dihasilkan. Berdasarkan tiga hukum tersebut, maka guru dapatlah menggunakannya sebagai pendekatan yang berkesan untuk merangka strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

iv. B. F Skinner (1904-1990)

Burrhus Frederic Skinner (1904-1990), seorang ahli psikologi di Amerika Syarikat, juga merupakan pelopor dalam bidang kajian pelaziman operan dan telah mengkaji dan memperbaiki lagi teori-teori behaviorisme. Menurut beliau, pembelajaran akan berlaku jika ada rangsangan dan tindak balas yang berulangan.

Hipotesisnya berkaitan Teori Pelaziman Operan telah dibuktikan melalui beberapa eksperimen menggunakan binatang seperti tikus dan burung merpati, di mana tingkah laku binatang tersebut dikawal dan gerak balasnya dihitung dalam sebuah kotak yang direka bentuk dan dikenali sebagai Kotak Skinner (Skinner Box). Beliau telah menggunakan hasil daripada kajian ini untuk diaplikasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menurut beliau, dalam teori pelaziman operan, gerak balas boleh diulangi atau dihapuskan jika diberikan peneguhan sejurus selepas gerak balas ditunjukkan. Menurut pendapat Amir Awang (1986), mengikut Pelaziman Klasik, murid akan menjadi pasif kerana ganjaran diberikan kepadanya bukan atas usahanya mendapatkan ganjaran tersebut. Manakala mengikut Pelaziman Operan, pelajar bertindak aktif kerana ganjaran diperoleh dengan cara berusaha sendiri.

(5)

Terdapat lima jenis proses Teori Pelaziman Operan Skinner iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan, prinsip Premack dan pelupusan. Menurut Rahil Mahyuddin (2002), peneguhan positif meningkatkan berlakunya sesuatu bentuk tingkah laku dengan adanya rangsangan tertentu manakala peneguhan negatif meningkatkan tingkah laku melalui penarikan keluar sesuatu rangsangan terutama yang tidak menyenangkan. Denda pula bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Skinner berpendapat bahawa denda hanya boleh membawa kesan dalam tempoh yang singkat sahaja. Selepas itu, tingkah laku yang tidak diingini akan berulang lagi. Seterusnya, Prinsip Premack berperanan mengaitkan sesuatu yang kurang diminati dengan aktiviti yang diminati untuk mengukuhkan tingkah laku terhadap aktiviti yang kurang diminati. Akhir sekali, pelupusan bermaksud perlakuan yang tidak diberi peneguhan akan lupus dengan sendirinya (Dr. Khadijah Rohani et al., 2006). Ia dapat diatasi jika dikenal pasti dan guru hendaklah bersabar kerana hasilnya tidak datang serta merta.

Kesimpulannya, teori behaviorisme menekankan peranan persekitaran dalam proses pembelajaran. Pembelajaran berlaku dengan wujudnya perkaitan antara sesuatu rangsangan dengan sesuatu gerak balas. Pelaziman klasik dan pelaziman operan adalah contoh teori behaviorisme yang menekankan kajian tentang tingkah laku yang dapat diperhatikan. Peneguhan positif dan negatif memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran dan boleh meningkatkan tingkah laku yang diinginkan. Denda mempunyai kesan yang tertentu dan tidak digalakkan sebagai cara untuk mengawal tingkah laku.

(6)

Soalan B (i)

Penyampaian sesuatu pengetahuan atau kemahiran akan lebih berkesan sekiranya seseorang guru mengaplikasikan pelbagai teori pembelajaran dalam bilik darjah. Teori Pembelajaran “Cuba-Jaya” telah dikemukakan oleh Edward L.Thorndike (1874-1949). Ia merupakan salah satu daripada daripada teori pembelajaran behaviorisme. Thorndike telah menyarankan satu set prinsip menerangkan perubahan yang diperhatikannya dalam proses pembelajaran dan membahagikannya kepada tiga hukum iaitu (a) Hukum Kesediaan, (b) Hukum Latihan dan (c) Hukum Kesan.

i. Hukum Kesediaan

Hukum Kesediaan menyatakan apabila adanya bangkitan impuls yang kuat untuk sesuatu tindakan urutan maka kelicinan menjalankan urutan itu adalah memuaskan (Habibah Elias dan Rahil Mahyuddin, 1990). Jika tindakan urutan dihalang, dipaksa untuk mengulangi tindakan tersebut atau tindakan tersebut mengakibatkan keletihan, maka akan menimbulkan perasaan yang tidak menyenangkan.

Kamarudin Hj. Husin (1993), menjelaskan bahawa hukum kesediaan yang dimaksudkan oleh Thorndike ialah persiapan-persiapan yang terdapat dalam diri individu sebelum ia dapat bertindak. Kesediaan ini melibatkan persediaan dan perancangan khas untuk membolehkan sesuatu pembelajaran itu dihadapi dengan mudah. Menurut Thorndike, sekiranya sesuatu unit itu sudah cukup bersedia, maka ia akan dapat merasakan kepuasan setelah tindakan itu dilakukan.

Mook Soon Sang (2002) pula mentakrifkan hukum kesediaan sebagai keupayaan persiapan individu di dalam kendirinya untuk memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Menurut beliau, terdapat tiga jenis kesediaan belajar di

(7)

dalam bilik darjah iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor. Di dalam pembelajaran, kesediaan kognitif merupakan kesediaan pemikiran individu untuk berfikir, menaakul, mentafsir dan mengingat sesuatu perkara dan tahap kognitif manusia adalah berbeza-beza mengikut perkembangan umur masing-masing. Biasanya ia melibatkan pengetahuan sedia ada yang terdiri daripada perkara-perkara yang telah dipelajari atau pernah dialami sebelum ini. Pelajar yang mempunyai kesediaan kognitif dapat melaksanakan aktiviti pembelajaran dengan baik kerana pengetahuannya sesuai dengan usaha dan latihan yang diperlukan. Sebaliknya, objektif pembelajaran tidak akan tercapai sekiranya pelajar tiada persediaan kognitif kerana kelemahan pemikiran boleh membataskan pemahaman pelajar terhadap sesuatu pelajaran.

Manakala kesediaan afektif merupakan kesediaan perasaan iaitu semangat, minat, ketekunan, keinginan dan sikap seseorang untuk melaksanakan sesuatu. Ini penting agar pelajar dapat menghayati dan memahami isi pembelajaran dengan lebih berkesan. Apabila pelajar tidak mempunyai semangat dan minat terhadap sesuatu, maka dia akan rasa terpaksa dan tidak dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dengan bersungguh-sungguh. Menurut Stamford (1971), pembelajaran yang berkesan adalah dipengaruhi oleh sikap pelajar dan bukan bilangan kali seorang pelajar mengulangkaji bahan pelajarannya. Secara tidak langsung, tahap afektif yang tinggi dalam diri seorang pelajar dapat meningkatkan kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor.

Kesediaan psikomotor pula merujuk kepada seseorang yang bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan fizikal dalam sesuatu proses pembelajaran yang baru. Kesediaan psikomotor sangat penting bagi seseorang individu dalam melakukan aktiviti fizikal dengan lebih cekap dan berkesan. Oleh itu, individu tersebut perlu memastikan terlebih dahulu bahawa potensi dan kematangan fizikalnya selaras dengan latihan fizikal yang ingin dilakukan. Sekiranya fizikal seseorang itu belum cukup matang dari aspek perkembangan otot, tulang, anggota dan sebagainya maka dia tidak boleh melakukan aktiviti fizikal seperti

(8)

berlari, melompat dan sebagainya. Seseorang individu juga berbeza dengan individu yang lain. Perkara-perkara ini perlu diambil kira kerana secara tidak langsung akan mempengaruhi pergerakan fizikal individu.

Kamarudin Hj. Husin (1993) menyatakan bahawa pada awal pembelajaran, biasanya murid-murid akan menunjukkan respon yang kasar dan susah. Tetapi perkara ini boleh diatasi melalui demonstrasi cara-cara melakukan sesuatu dan latihan-latihan yang kerap. Dengan ini, murid-murid secara beransur-ansur akan menunjukkan gerak balas yang lebih halus. Pergerakan yang tidak betul akan diperbaiki manakala pergerakan yang betul akan dikukuhkan. Apabila latihan ini diteruskan, kemahiran motor yang diperlukan dapat dikuasai dengan sepenuhnya.Ini bermakna, latihan dapat memberi kesempurnaan kepada kemahiran individu yang berbeza-beza. Kesimpulannya ketiga-tiga kesediaan ini perlu diambil perhatian oleh guru di dalam bilik darjah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Guru juga perlu sentiasa peka terhadap aspek perbezaan individu pelajar-pelajarnya.

Menurut Sharifah Alawiah Alsagoff (1986) pula, prinsip kesediaan bermakna kita tidak dapat mengajar sesuatu individu bergerak balas yang tidak dapat dibuatnya. Kesediaan pembelajaran amat penting untuk memperolehi perasaan yakin diri tentang kebolehan belajar dan mengatasi situasi pembelajaran baru serta percaya bahawa pembelajaran itu ialah satu perkara baru yang seronok diterokai iaitu bukan satu tugas yang menyusahkan diri semata-mata.

Mok Soon Sang (2001) berpendapat bahawa terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi kesediaan belajar seseorang individu. Antaranya ialah faktor kematangan yang dapat dilihat melalui kematangan fizikal, kognitif, emosi dan sosial seseorang pelajar. Minat dan sikap pula mendorong seseorang pelajar untuk memberi perhatian kepada sesuatu pembelajaran. Manakala

(9)

motivasi dalaman akan membangkitkan dan mengekalkan minat seseorang individu dalam proses pembelajaran. Selain itu, kemahiran asas dan pengalaman penting kepada pelajar untuk mempelajari sesuatu ilmu atau kemahiran baru. Tanpa kedua-duanya, pelajar tidak dapat menerima pembelajaran dengan baik dan berkesan. Faktor-faktor ini sangat membantu dalam mewujudkan aktiviti pembelajaran dengan lebih aktif, mudah, seronok dan berkesan.

Justeru, kesediaan seseorang sangat penting dalam memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Kesediaan merangkumi kesediaan fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Kesediaan adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kematangan, minat, sikap, motivasi, kemahiran asas dan pengalaman individu dalam menjamin keberkesanan sesuatu pembelajaran. Pelajar akan merasa puas dan seronok menghadapi sesuatu pembelajaran apabila mempunyai kesediaan. Sebaliknya tanpa kesediaan, pelajar akan mempersepsikan pembelajaran sebagai beban dan menyusahkan diri.

ii. Hukum Latihan

Hukum Latihan menyatakan bahawa semakin banyak latihan yang tertentu dijalankan, semakin bertambah kukuh ikatan atau asosiasi gerak balas yang tertentu dengan rangsangan yang berkaitan. Dengan perkataan lain, sekiranya pasangan rangsangan gerak balas wujud berkali-kali, maka ikatannya bertambah kukuh dan lebih tinggi kemungkinannya gerak balas itu akan berlaku semula apabila rangsangan itu wujud lagi pada masa kelak (Mook Soon Sang, 2002). Ini bermaksud latihan berulang kali akan mengukuhkan pertalian antara rangsangan dan gerak balas dan kemungkinan gerak-balas itu berlaku semula adalah lebih tinggi jika rangsangan tersebut wujud lagi pada masa akan datang.

Sharifah Alawiah Alsagoff (1986) berpendapat bahawa hukum latihan menyatakan bahawa rangkaian akan diteguhkan dengan penggunaan dan akan dilemahkan tanpa penggunaan. Beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan

(10)

dengan penggunaan di sini adalah ganjaran yang berterusan. Mengikut hukum ini, latihan tanpa ganjaran tidak akan bermakna. Pengulangan latihan yang tidak sistematik tanpa ganjaran tidak akan mengakibatkan pembelajaran.

Manakala Kamarudin Hj. Husin (1993) pula melihat latihan yang dimaksudkan dalam hukum latihan sebagai sesuatu yang utama dalam proses pembelajaran. Hukum ini menyatakan sesuatu perkaitan antara rangsangan dan tindak balas akan bertambah kukuh jika terdapat latihan. Sebaliknya, tanpa latihan dan ulangan, ikatan tersebut akan lemah. Hukum ini banyak diaplikasikan dalam latihan menghafal dan latihan-latihan otot.

Hukum latihan merujuk kepada peneguhan perkaitan melalui latihan dan kelemahan perkaitan atau lupaan apabila latihan tidak diteruskan. (Habibah Elias dan Rahil Mahyuddin, 1990). Pengukuhan berkemungkinan mendorong berlakunya bertambahnya gerak balas terutamanya apabila diulang serta-merta. Selepas menyemak semula andaian ini, Thorndike kemudiannya mengemukakan bahawa pengukuhan dan kelemahan dalam satu perkaitan antara rangsangan dan gerak balas semasa latihan bergantung kepada perasaan kepuasan atau kesan yang tidak menyenangkan.

Kesimpulannya, guru dapat mengaplikasikan prinsip asas ini dalam bilik darjah dengan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti latihan, ulangkaji, aplikasi serta pengukuhan dalam keadaan yang menyeronokkan. Hukum latihan ini sangat penting untuk mengukuhkan pertalian antara rangsangan dan gerak balas. Tanpa adanya latihan akan menyebabkan kelemahan dan kelupaan. Oleh itu, pembelajaran pastinya akan lebih berkesan sekiranya pembelajaran disertai latihan sebagai pengukuhan sesuatu pembelajaran.

(11)

iii. Hukum Kesan

Hukum Kesan menyatakan sesuatu rangkaian di antara rangsangan yang dibuat dan hal ini diikuti pula dengan keadaan yang memuaskan, maka rangkaian tersebut akan diteguhkan (Sharifah Alawiah Alsagoff, 1986). Namun begitu, jika ia diikuti dengan keadaan yang menyakitkan hati, maka rangkaian tersebut akan dilemahkan. Apa yang jelas, mengikut hukum ini, sesuatu yang perlu dipelajari itu perlu disajikan dengan sesuatu ganjaran supaya menampakkan tingkah laku yang diingini dan sebaliknya jika sesuatu itu perlu dielakkan maka dendaan mesti mengikut gerak balas yang tidak diingini itu.

Pendapat beliau turut disokong oleh Kamarudin Hj. Husin yang mengatakan hubungan antara rangsangan dan gerak balas akan berulangan, dapat dikekalkan dan bertambah kukuh apabila terdapat kesan yang memuaskan selepas sesuatu gerak balas dihasilkan. Sebaliknya, hubungan ini akan menjadi semakin lemah seandainya tindak balas itu diikuti oleh sesuatu yang menyakitkan. Secara tidak langsung, kemungkinan gerak balas itu untuk diulangi atau diteruskan akan menurun atau berkurangan.

Mok Soon Sang (2000) pula menjelaskan bahawa hukum kesan menjelaskan bahawa ikatan rangsangan dan gerak balas akan bertambah kukuh sekiranya individu memperolehi kesan yang memuaskan selepas gerak balasnya dihasilkan. Sebaliknya, gerak balas yang tidak mendatangkan hasil yang berkesan akan kian menjadi lemah khasnya apabila sesuatu gerak balas yang membawa kesan yang menyakitkan atau tidak menyeronokkan. Thorndike berpendapat bahawa pemberian ganjaran merupakan cara yang berkesan untuk membentuk tingkah laku yang diharapkan.

Di dalam buku Psikologi Pendidikan, Habibah Elias dan Rahil Mahyuddin (1990) menegaskan bahawa hukum kesan merupakan hukum yang terpenting sekali dan mereka juga berpendapat bahawa kemungkinan perkaitan itu

(12)

berulang adalah besar sekiranya sesuatu perkaitan itu diiringi dengan perasaan kepuasan. Sebaliknya, apabila perkaitan itu diiringi dengan perasaan yang tidak menyenangkan, pengukuhan menjadi lemah. Thorndike merumuskan bahawa ganjaran menggalakkan pelajar melakukan sesuatu gerak balas manakala denda akan menghalang manusia daripada melakukannya.

Guru hendaklah memberi ganjaran atau peneguhan sebagai respon atau gerak balas yang betul kepada pelajar. Peneguhan di dalam bilik darjah boleh diberikan melalui tiga komponen iaitu (a) secara konkrit seperti hadiah, markah, makanan dan lain-lain, (b) sosial misalnya memberikan senyuman, perhatian, penghargaan dan pujian kepada pelajar serta (c) melalui aktiviti-aktiviti yang digemari oleh pelajar. Proses pembelajaran yang melibatkan tingkah laku akan sering diulang jika terdapatnya peneguhan yang positif atau ganjaran dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Secara tidak langsung, berupaya mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan ke arah pencapaian yang lebih memberangsangkan.

Ringkasnya, kesan pengalaman yang menyeronokkan akan mengukuhkan lagi pertalian antara rangsangan dan gerak balas. Ini menggalakkan gerak balas diulang. Sebaliknya, kesan pengalaman yang menyakitkan hanya melenyapkan gerak balas yang terhasil.

(13)

Soalan B (ii)

Berikut adalah contoh-contoh spesifik bagaimana guru boleh menggunakan hukum kesediaan, hukum latihan dan hukum kesan dalam bilik darjah:

i. Hukum Kesediaan

Hukum kesediaan yang dimaksudkan Thorndike ialah persiapan-persiapan yang terdapat dalam diri individu sebelum ia dapat bertindak. Kesediaan dalam pembelajaran merngkumi tiga aspek iaitu (i) kesediaan mental (ii) kesediaan fizikal dan (iii) kesediaan emosi.

Di dalam pembelajaran, kesediaan mental atau kognitif merupakan kesediaan pemikiran individu untuk berfikir, menaakul, mentafsir dan mengingat sesuatu perkara. Biasanya ia melibatkan pengetahuan sedia ada. Contohnya, seorang guru yang ingin mengajar tajuk ‘Kewajipan Menunaikan Solat’. Guru tersebut perlu memastikan bahawa murid-muridnya sudah mengetahui bagaimana cara mengambil wudhu’ dengan betul, jenis-jenis air yang sah untuk berwudhu’ dan kaedah menutup aurat dengan sempurna.

Kesediaan fizikal pula merujuk kepada seseorang yang bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan fizikal dalam sesuatu proses pembelajaran yang baru. Contohnya dalam tajuk ‘Kewajipan Menunaikan Solat’, guru hendaklah memastikan terlebih dahulu bahawa murid-murid mampu mengikuti gerakan-gerakan yang diajar seperti berdiri tegak, ruku’, sujud dan sebagainya. Guru perlu peka terhadap perbezaan individu murid kerana secara tidak langsung akan mempengaruhi pergerakan fizikal individu. Misalnya, murid yang kurang upaya mungkin tidak dapat melaksanakan sesuatu perkara yang diajar dengan sempurna. Oleh itu, guru hendaklah mengajar mengikut kemampuan murid.

(14)

Manakala kesediaan emosi merupakan kesediaan perasaan iaitu semangat, minat, ketekunan, keinginan dan sikap seseorang untuk melaksanakan sesuatu. Guru yang berkesan perlu mengetahui cara untuk menarik minat murid-murid. Set induksi yang menarik dapat merangsang minat murid untuk mengikuti pelajaran seterusnya. Contohnya, dalam tajuk ‘Kewajipan Menunaikan Solat’, guru boleh memperdengarkan sebuah lagu nasyid bertemakan solat. Kemudian, guru menyoal murid-muridnya tentang apa yang mereka dapat dari nasyid tersebut. Guru boleh mengaitkan jawapan yang diterima dengan pelajaran yang ingin diajarnya. Murid-murid akan lebih bersemangat apabila dilibatkan dalam pengajaran guru. Secara tidak langsung, mereka akan termotivasi untuk belajar.

Kesimpulannya, kesediaan pembelajaran adalah penting untuk memperolehi perasaan yakin diri dan mengatasi situasi pembelajaran baru. Melalui kesediaan, murid percaya bahawa pembelajaran itu merupakan satu perkara baru yang seronok diterokai. Guru perlu memberi peneguhan atau motivasi supaya perlakuan positif murid dapat dikekalkan. Tanpa persediaan, objektif pengajaran amat sukar untuk dicapai.

ii. Hukum Latihan

Hukum Latihan adalah antara aspek yang penting dan perlu dititikberatkan. Latihan yang berulang kali akan mengukuhkan pertalian antara rangsangan dan gerak balas dan kemungkinan gerak-balas itu berlaku semula adalah lebih tinggi jika rangsangan tersebut wujud lagi pada masa depan. Hukum ini sesuai diaplikasikan dalam latihan menghafal.

Contohnya guru ingin mengajar Surah Al-Fatihah kepada murid-muridnya. Guru perlu membaca surah tersebut dengan fasih dan bertajwid dan murid mendengar dengan teliti. Kemudian, guru meminta murid-murid mengikut bacaannya. Hafalan ini perlu dilatih berulang kali bagi memastikan murid-murid

(15)

dapat membacanya dengan betul. Pengukuhan boleh diakukan dengan mengaplikasikannya dalam solat, membaca Al-Fatihah sebelum memulakan pelajaran dan sebagainya. Pembelajaran pastinya akan lebih berkesan sekiranya disertai latihan, aplikasi dan pengulangan sebagai pengukuhan sesuatu pembelajaran.

Mengikut hukum ini, latihan tanpa ganjaran tidak akan bermakna. Pengulangan latihan yang tidak sistematik tanpa ganjaran tidak akan mengakibatkan pembelajaran. Pengukuhan berkemungkinan mendorong berlakunya bertambahnya gerak balas terutamanya apabila diulang serta-merta. Oleh itu, guru perlu merancang latihan yang sistematik dan terancang demi pembelajaran yang berkesan.

iii. Hukum Kesan

Mengikut hukum ini, Thorndike menyatakan bahawa sesuatu yang dipelajari itu perlu disajikan dengan sesuatu ganjaran supaya menampakkan tingkah laku yang diharapkan. Sebaliknya jika sesuatu itu perlu dielakkan maka dendaan mesti mengikut gerak balas yang tidak diingini itu.

Contohnya, dalam tajuk ‘Kewajipan Menunaikan Solat’, guru memberi latihan kepada murid-murid iaitu menghafal bacaan-bacaan dalam solat. Kemudian, guru menyemak hafalan murid-murid dan membetulkan jika terdapat sebarang kesalahan dalam bacaan mereka. Latihan dan pengukuhan memberi banyak kesan positif kepada murid-murid. Guru boleh memberi peneguhan atau ganjaran sebagai motivasi. Kesannya murid akan menjadi rajin dan bersemangat untuk mengikuti pelajaran yang diajar. Secara tidak langsung, murid-murid berpotensi untuk berjaya dalam pelajaran.

(16)

Ringkasnya, kesan pengalaman yang menyeronokkan akan mengukuhkan lagi pertalian antara rangsangan dan gerak balas. Ini menggalakkan gerak balas diulang. Sebaliknya, kesan pengalaman yang menyakitkan hanya melenyapkan gerak balas yang terhasil. Proses pembelajaran yang melibatkan tingkah laku akan sering diulang jika terdapatnya peneguhan yang positif atau ganjaran dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Secara tidak langsung, berupaya mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan ke arah pencapaian yang lebih memberangsangkan.

Referensi

Dokumen terkait