Regional Seminar on Islamic Higher Educational Institutions 2012 (SeIPTI 2012)
1
PENGAJARAN STRATEGI PEMBELAJARAN BAHASA ARAB DI MALAYSIA:
SATU KERANGKA KONSEPTUAL
Nurazan Mohmad Rouyan1, Kamarul Shukri Mat Teh2 & Mohd Shahrizal Nasir3
Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa & Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
(nurazan@unisza.edu.my, kamarul@unisza.edu.my, mohdshahrizal@unisza.edu.my)
ABSTRAK
Seiring dengan pendekatan yang berpusat kepada pembelajaran (learning centered) dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P &P) bahasa, kajian berkaitan penggunaan strategi pembelajaran bahasa (SPB) telah berkembang dengan pesat sejak tiga dekad yang lalu. Bidang P &P bahasa Arab di Malaysia tidak terkecuali. Hasil tinjauan literatur menunjukkan bahawa kebanyakan kajian yang telah dijalankan lebih bersifat deskriptif. Sekalipun kajian seumpama ini dilihat penting untuk membina profil penggunaan SPB pelajar -pelajar bahasa Arab ini, aspek pengajaran SPB (PSPB) seharusnya turut diterokai. Kertas yang lebih bersifat pembinaan kerangka konseptual melalui sorotan literatur ini dimulakan dengan tinjauan ringkas kajian SPB dalam konteks P &P bahasa Arab di Malaysia. Seterusnya, saranan penerokaan bidang pengajaran SPB dikemukakan dengan mengemukakan kewajaran pengajaran SPB dalam konteks P &P bahasa Arab di Malaysia, kepentingan SPB dan model-model utama PSPB yang dihasilkan oleh penyelidik lapangan SPB. Prinsip-prinsip utama pengajaran SPB turut dipersembahkan di akhir kertas untuk memberi panduan umum bagaimana mengaplikasi pengajaran SP B dalam kelas-kelas P &P bahasa Arab.
KATA KUNCI: strategi pembelajaran bahasa arab, pengajaran strategi pembelajaran bahasa, model pengajaran
strategi pembelajaran bahasa , prinsip pengajaran strategi pembelajaran bahasa
1. PENGENALAN
Strategi pembelajaran bahasa (SPB) dalam konteks bahasa kedua/asing ialah langkah atau tindakan khusus yang diambil oleh pelajar untuk memudahkan pemerolehan, penyimpanan, pemerolehan semula dan penggunaan maklumat sehingga menjadikan pembelajaran bahasa lebih mudah, cepat, menyeronokkan, kendiri, efektif, dan senang dipindahkan ke suasana baru (Oxford, 1990). Ia melibatkan prosedur mental dan komunikatif untuk mempelajari dan menggunakan bahasa dalam kerangka mempertingkatkan pencapaian dan penguasaan bahasa sasaran (Mohamed Amin, 2000).
Kepentingan SPB dalam menjadikan pembelajaran bahasa lebih efisien dan efektif telah diuji dan dilaporkan dengan banyaknya (Rausch, 2008). Kebanyakan penyelidik pembelajaran bahasa kedua (seperti Stern, 1973; Cohen, 1999; Oxford, 1990) berpandangan bahawa SPB merupakan elemen yang sangat penting dan berperanan besar dalam memahami proses dan cara bagaimana bahasa kedua/asing dipelajari. Malah, beberapa kajian mengenai hubungan SPB dengan penguasaan bahasa menunjukkan SPB memberi kesan positif ke atas prestasi bahasa. Justeru,
SPB dilihat berpotensi untuk menjadi alat pembelajaran yang sangat berkuasa (O’Malley & Chamot, 1990). Menurut Oxford (1990), penggunaan SPB yang sesuai boleh mempertingkatkan penguasaan bahasa seseorang pelajar bahasa serta menambah keyakinan diri mereka dalam menggunakan bahasa yang dipelajari.
2. PENYELIDIKAN STRATEGI PEMBELAJARAN BAHASA