• Tidak ada hasil yang ditemukan

BURHANUDDIN AL-HELMY DAN PEMIKIRANNYA DI DALAM PAS

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "BURHANUDDIN AL-HELMY DAN PEMIKIRANNYA DI DALAM PAS"

Copied!
5
0
0

Teks penuh

(1)

312

BURHANUDDIN AL-HELMY DAN PEMIKIRANNYA DI DALAM PAS

Muhammad Faiz Mukmin Abdul Mutalib, Diyakulrahman Mat Saad, Khairul Munzir Ibrahim Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

[email protected] ABSTRAK

Burhanuddin al-Helmy adalah tokoh pejuang nasionalis yang berjuang bagi kemerdekaan Tanah Melayu dan hak orang melayu, beliau menyertai banyak persatuan dan pertubuhan sehinggalah yang terakhir bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai Yang Dipertua PAS. Penulisan dan kajian berkaitan Burhanuddin al-Helmy sudah banyak dilakukan samada dari sudut biografi, pemikiran dan kesan perjuangan beliau namun satu aspek yang tidak diteliti secara khusus adalah pemikiran beliau saat bersama PAS. Keadaan ini memberi ruang kepada penulis untuk melihat apakah bentuk pemikiran Burhanuddin al-Helmy ketika bersama PAS. Oleh itu tujuan penulisan ini ialah mengesan bentuk pemikiran beliau saat bersama PAS apakah punya persamaan ketika sebelum bersama PAS ataupun sudah berubah. Bagi tujuan ini, penulis menggunakan metode kajian kualitatif menerusi proses pengumpulan, penelitian dan penganalisisan data-data yang berkaitan secara langsung tentang Burhanuddin al-Helmy. Hasil kajian ini mendapati Burhanuddin al-Helmy seorang tokoh yang istiqamah dengan perjuangan nasionalisme melayu dan teguh mempertahankan agama Islam sama seperti sebelumnya. Selain itu, yang lebih menarik beliau mempraktikkan teori fiqhiyyah dalam bentuk praktikal. Penulisan ini diharap menambah sedikit sebanyak kajian berkaitan pemikiran tokoh-tokoh umat Islam khususnya di Malaysia.

Kata kunci: Burhanuddin al-Helmy, PAS, Pemikiran

1. PENDAHULUAN

Burhanuddin al-Helmy adalah sosok yang tidak asing lagi dalam sejarah PAS. Beliau merupakan figur yang menampakkan semangat penentangan yang tinggi bagi membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan. Sudah banyak tulisan mahupun kajian berkaitan beliau samada langsung atau tidak langsung seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran dan Perjuangan (Kamaruddin Jaafar, 2000: 213), Dr Burhanuddin al-Helmy dan PAS (Amir, 2014: 241), Parti Islam Sa-Malaysia: Kepimpinan dan Perjuangan Dari Tahun 1951-1970 (Said, 2008), PAS dalam Arus Perjuangan Kemerdekaan (Noor, 2011) dan banyak lagi. Namun penelitian dari sudut pemikiran beliau ketika bersama PAS tidak ditonjolkan secara langsung. Penulis melalui artikel ini akan melihat dan menganalisa secara langsung pemikiran beliau ketika mengemudi PAS.

2. LATAR ZAMAN KETIKA BERSAMA PAS

Saat PAS ditubuhkan tanggal 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur, Burhanuddin al-Helmy bukan lah dari kalangan pimpinan mahupun ahli di dalam PAS. Beliau pada masa itu samada berada dalam tahanan di Singapura atau pun telah bebas dan bergiat di bidang homeopati (Kamaruddin Jaafar, 2000: 213). Penubuhan PAS pada awalnya antara lain bertujuan menuntut kemerdekaan tanah air. PAS yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan muncul di era prakemerdekaan. 24 November 1951 di Pulau Pinang, PAS tertubuh dari tangan para ulama (Mujahid Yusuf Rawa, 2010: 32). Rentetan peristiwa yang mencetuskan penubuhan PAS sebenarnya telah bermula lebih awal daripada itu iaitu sejak bermulanya gerakan reformasi Islam di Tanah Melayu. Sejarah mencatatkan gerakan politik dan dakwah secara berorganisasi di Tanah Melayu telah wujud pada zaman penjajahan lagi. Kesedaran politik Islam telah ada seawal penubuhan Ma’had al-Ihya’ al-Sharif, Gunung Semanggul pada 15 April 1934 oleh Abu Bakar al-Baqir (Kamaruddin Salleh, 2010). Kewujudan PAS jika diteliti adalah sebagai mengimbangi perjuangan United Malay National Organization (UMNO) yang menjadi wadah utama perjuangan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. UMNO adalah parti yang berlandaskan semangat kebangsaan Melayu dan pragmatisme 1042

(2)

313

justeru ia kadang-kala bertentangan dengan prinsip dan nilai-nilai yang dibawa oleh Islam (Mohd Hasbie Muda 2014: 2).

Pada Mesyuarat Agung Tahunan Yang Ke-5 PAS pada tahun 1956, mesyuarat telah memutuskan bahawa “... kita hendaklah menuntut kemerdekaan penuh bagi Semenanjung Tanah Melayu di dalam tempoh tidak lebih dari tahun 1959” (Ismail Said, 2011: 66). Jelas sekali PAS memperjuangkan kemerdekaan negara. Dengan penyataan ini sama sekali menolak sangkaan yang kononnya PAS tidak memperjuangkan kemerdekaan Negara dan PAS harus memilih berimej muslim-nasionalis. Justeru pendekatan PAS pada era ini lebih menonjolkan wacana nasionalisme. Menurut Ismail Said (2011: 69) cogan kata yang digunakan PAS ialah ’merdeka’. PAS juga dalam peringkat ini memilih menumpukan kepada kesatuan orang Melayu (Mujahid Yusuf Rawa 2010: 46). Bagi penulis pemilihan wacana dan berimej nasionalis adalah tepat memandangkan isu yang paling hangat ketika ini ialah kemerdekaan. Kempimpinan era ini juga dilihat bijak memilih wacana yang harus dipilih PAS agar tidak ketinggalan dalam arus politik semasa pada masa itu. Penubuhan PAS juga antara lain boleh dinilai sebagai pembawa pemikiran politik Islam yang mana pada awalnya mereka bersama UMNO tetapi keluar bagi memprotes tindakan-tindakan pragmatisme UMNO di dalam politik. Antara sebab terbesar kelompok ulama meninggalkan UMNO pada masa itu ialah isu loteri dan judi (Ismail Said 2011: 58). Kewujudan PAS selain menuntut kemerdekaan ia juga adalah satu alternatif kepada kaum Melayu pada masa itu bagi memilih platform politik yang lebih mengutamakan Islam. Nilai dan semangat yang ditonjolkan PAS pada masa itu menjadi antara sebab Burhanuddin Helmi menerima pelawaan bagi menerajui PAS.

Kepimpinan pada era pra-kemerdekaan khususnya ketika pimpinan Burhanuddin Helmi dan Zulkifli Ahmad menampakkan satu kejelasan arah tuju PAS ketika itu iaitu menuntut kemerdekaan. Hasil kepimpinan Burhanuddin Helmi yang mana beliau sendiri akui sebagai seorang nasionalis yang menentang penjajah dan mahukan kemerdekaan sejati dan menganggap PAS membawa cita-cita ini bersama (Mujahid Yusuf Rawa 2010: 54) telah berjaya menonjolkan wacana dan imej nasionalis muslim. Berdasarkan rekod Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang pertama sehingga yang ke-13, matlamat penubuhan PAS tidak lain hanyalah ingin memenuhi tuntutan kemerdekaan dan mengisi perjuangannya dengan apa yang menjadi keyakinan dan pandangan hidupnya sebagai umat Islam (Ismail Said 2011: 64).

3. FIQHIYYAH

Pemikiran Burhanuddin Helmi boleh disebut sebagai fiqhiyyah iaitu memahami dan menerapkan konteks politik dalam kerangka syariat Islam. Syariat Islam yang digambarkan beliau bukan dalam sektor jinayat semata-mata malah lebih luas. Hal ini boleh dilihat dalam pemilihan corak politik yang berbeza ketika beliau bersama Kesatuan Melayu Muda (KMM) berbanding ketika bersama PAS. Pendekatan yang berbeza ini memperlihatkan corak siyasah waqi’yyah. Sosok seperti Burhanuddin Helmi merupakan aktor penting yang membawa PAS kepada arus perdana pada zaman tersebut. Beliau sangat memahami semangat zaman ketika itu yang menuntut penekanan kepada kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan. Keutamaan yang ditonjolkan itu sangat berkesan sehingga meletakkan diri beliau sebagai tokoh yang disegani kawan dan juga lawan malah lebih dari itu sebagai tokoh penggagas fiqh awlawiyyat ketika itu (Amir, 2014: 241). Beliau juga sosok yang memahami fiqh muwazanat kerana memilih jalan yang aman dan demokrasi berbeza dari jalan yang dipilih oleh komunis pada ketika itu.

(3)

314

Beliau juga menerapkan fiqh dakwah apabila menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan nasionalis tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis (Amir, 2014: 241).. Dakwah beliau boleh dikatakan buta warna kulit, fahaman dan agama. Dakwah beliau bersifat inklusif sehingga menjadikan PAS sebuah parti yang disegani ketika di bawah pimpinan beliau. Satu sikap yang menggambarkan beliau seorang yang buta bangsa adalah dalam peristiwa beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan (Sungib, t.t: 33). Sifat mudah mendekati bangsa dan agama lain mungkin hasil terkesan dengan tarekat Naqhshabandiyyah di mana beliau merupakan pengikut setia (Rosdi, 2010) tarekat tersebut saat belajar di India satu ketika dahulu. Lebih membanggakan, perjuangan PAS pada masa itu sudah memperjuangkan nasib umat Islam di seluruh dunia seperti Palestin, Selatan Thailand dan Afrika Selatan (Said, 2008).

4. NASIONALIS MUSLIM

Burhanuddin Helmi jelas seorang nasionalis. Tema politik yang diangkatnya adalah Kebangsaan Melayu, Hak Ketuanan Melayu dan Melayu Raya seperti dijelaskannya (Amir, 2014: 241):

“Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”.

Perjuangan kiri beliau sebelum menyertai PAS kemudian bersama parti Islam telah menarik perhatian seorang pengkaji Barat John Funston sehingga Funston merasakan perlu ada penelitian baru dalam memahami politik Melayu pada masa itu memandangkan pasca perang dunia kedua wujud percantuman golongan sayap kiri dan golongan reformis Islam (Kamaruddin Jaafar, 2000: 213). Maka tidak hairanlah beliau mengambil pendekatan nasionalis dalam masa yang sama menekankan Islam memperjuangkan kebangsaan Melayu dan hak Orang Melayu namun beliau tetap menolak perkauman sempit dan fanatisme di mana beliau mengiktiraf orang bukan Melayu. Dalam ucapan beliau sebagai Yang Dipertua PAS di Mesyuarat Agung parti tersebut pada 24 Ogos 1957 (Kamaruddin Jaafar, 2000: 213) beliau menyebut:

Bahawa dasar pokok perjuangan kita ialah ‘kemerdekaan’ yang penuh: i. Kebangsaan negeri ini mestilah Melayu.

ii. Mestilah diakui bahawa bangsa Melayu adalah tuan punya negeri ini.

iii. Untuk membina satu bahasa, satu negara dan satu bangsa yang teguh hanya diakui iv. Islam menjadi agama resmi dalam ertikata yang betul pada ajaran-ajaran al-Quran dan

Sunnah nubuwwah.

v. Menentang dasar jus soli (iaitu dasar yang memberikan kerakyatan kepada sesiapa sahaja yang dilahirkan di negara ini) diberikan kepada orang yang bukan bumi-putra negeri ini, dan orang-orang yang bukan Melayu yang hendak menjadi rakyat negeri ini hendaklah dengan permintaan yang diluluskan oleh Undang-undang yang mengawal keselamatan wujudnya bangsa Melayu dan dicurahkan dengan orang-orang dagang ke negeri ini oleh “open door policy”.

Ketegasan beliau menentang jus soli jelas mempertahankan hak bumiputera namun tidak bersikap keras dan rigid kepada bangsa lain yang kini diterima sebagai rakyat Malaysia. Sifat wasatiyyah ini kembali kepada fikrah yang dibincangkan di awal tadi iaitu fiqhiyyah, beliau

(4)

315

bukan sahaja melambangkan seorang yang memahami fiqh Islami secara teori tetapi mampu diterapkan dalam bentuk praktikaliti.

5. GLOBAL

Pemikiran global yang merentasi sempadan Tanah Melayu bukan asing bagi Burhanuddin al-Helmy. Beliau bukan sahaja menguruskan soal parti di Tanah Melayu malah menilai setiap tindakan atau keputusan yang akan diambil PAS beserta implikasinya di peringkat antarabangsa (Kamaruddin Jaafar, 2000: 213). Dalam ucapan di Muktamar PAS kali ke- 12 (Kamaruddin Jaafar, 2000: 224) beliau banyak mendatangkan contoh-contoh negara luar yang bergolak kerana memilih jalan konfrontasi seperti Vietnam, Laos dan Cyprus. Beliau juga dalam ucapan tersebut menyentuh tentang politik dunia seperti pertembungan Amerika Russia.

Ucapan beliau yang menyelit isu-isu antarabangsa melambangkan pemikiran global yang dimiliki beliau. Hal ini mungkin atas beberapa faktor penglibatan beliau sebelum bersama PAS seperti Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Pusat Tenaga Rakyat – All-Malaya Council for Joint Action (PUTERA-AMCJA) (Kamaruddin Jaafar, 2000: 1). Malah semasa belajar di India, beliau sudah berjinak-jinak mengikut gerakan Mahatma Ghandi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain (Sungib, t.t: 32). Maka tidak hairanlah pemikiran Burhanuddin al-Helmy bersifat global dan merentasi sempadan Tanah Melayu walaupun sudah bersama PAS.

6. PENUTUP

Burhanuddin al-Helmy seorang tokoh pejuang nasionalis Melayu. Beliau seorang berfikiran fiqhiyyah bukan sahaja secara teori malah praktikalitinya juga. Partisipasi beliau di dalam banyak pertubuhan sehingga kemuncaknya bersama PAS adalah bukti kepada realisasi pemikiran beliau. Saat bersama PAS boleh dikatakan usaha beliau menonjolkan semangat nasionalis dalam kerangka Islam. Tidak mengasingkan antara Islam dan perjuangan nasionalis malah memandu semangat nasionalisme itu di dalam kerangka Islam. Pemikiran futuristik beliau boleh dilihat dalam ucapan-ucapan beliau samada sebelum bersama PAS atau ketika bersama PAS yang banyak menyelit isu-isu global dan kesan yang akan dihadapi oleh PAS di peringkat internasional. Kesemua ini membuktikan Burhanuddin al-Helmy bukan sahaja mewakili PAS sebagai wadah terakhir perjuangan beliau tetapi kaum muslimin di Tanah Melayu ketika itu.

7. RUJUKAN

Amir, A. N. (2014: 241). Dr Burhanuddin al-Helmy dan PAS. In A. F. Musa, Wacana Pemikiran Reformis II (pp. 235-256). Kuala Lumpur: IRF.

Kamaruddin Jaafar. (2000: 213). Dr Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran Dan Perjuangan. Kuala Lumpur: IKDAS Sdn Bhd.

Kamaruddin Salleh. (2010). Modenisme Dalam Politik Islam : Sifat, Perkembangan dan Impaknya Di Malaysia. Bangi: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Mujahid Yusuf Rawa. (2010: 32). Menuju Pas Baru. Kuala Lumpur: The Malaysian Insider. Noor, R. M. (2011). PAS Dan Perjuangan Kemerdekaan . Kuala Lumpur: Pusat Penyelidikan

PAS.

Rosdi, M. S. (2010). Dr Burhanuddin Al-Helmi Dan Pembangunan Ekonomi Politik Islam Di Malaysia. Penang: USM.

(5)

316

Said, I. B. (2008). Parti Islam Sa-Malaysia: Kepimpinan dan Perjuangan Dari Tahun 1951-1970. Penang: USM.

Sungib, S. (t.t: 33). Biodata 5 Tokoh Perjuangan PAS. Kuala Lumpur: Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Referensi

Dokumen terkait