'Bukan suka-suka tukar penyampai radio'
KUALA LUMPUR: Rombakan besar-besaran dan penjenamaan semula secara holistik empat rangkaian radio Media Prima Berhad (MPB) dilakukan berdasarkan kajian d an pilihan
pendengar, bukan pendirian pengurusan kanan Media Prima Audio (MPA) yang sebelum ini dikenali sebagai RIPPLE.
Penjenamaan semula termasuk barisan penyampai radio, logo, segmen dan jenama baharu merangkumi empat rangkaian radio menerusi digital, media sosial serta peranti mudah alih diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran pada sidang media yang berlangsung secara virtual, hari ini.
Selain itu, Nazri turut mengumumkan stesen radio Kool FM kini dikenali sebagai Buletin FM, manakala stesen radio berbahasa Cina, One FM pula bertukar jenama kepada 8FM. Semua rangkaian radio MPB termasuk Hot FM dan Fly FM kini berpayung di bawah MPA.
Nazri berkata, penjenamaan semula kali pertama dilakukan MPA selepas 15 tahun beroperasi, malah ia dilakukan dalam tempoh singkat sejak Jun lalu.
Bagaimanapun, Nazri menolak rombakan secara besar-besaran dilakukan mengikut perasaan, sebaliknya berdasarkan kajian dilakukan semua rangkaian radio.
"Perubahan ini tidak mampu dilakukan secara berseorangan. Sebaliknya, saya bersama kumpulan MPB, pakar perunding MPA, Datuk Jake Abdullah dan Ketua Pegawai Kandungan, Aaron Pinto meneliti dalam melakukan kajian bersama.
"Walaupun kami memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam industri penyiaran radio, namun rombakan bukan dibuat berdasarkan pendirian sendiri atau mengikut perasaan. Ia dilakukan atas kehendak pendengar radio," katanya.
Nazri berkata, ini termasuklah penukaran barisan penyampai slot pagi sebelum ini diterajui AG Azmeer, Haiza dan Muaz yang kini digantikan oleh Ally Iskandar dan Hawa Rizwana di Buletin FM.
Katanya, walaupun slot berkenaan digemari pendengar, tetapi ia tidak mampu menjana pulangan kepada stesen radio. Namun, yakin mampu membawa pulangan kepada syarikat dengan konsep baharu diperkenalkan.
"Slot pagi menjadi pilihan ramai pendengar, namun ia tidak berjaya membawa masuk keuntungan kepada syarikat.
"Buletin FM adalah bayangan program Malaysia Hari Ini (MHI), tetapi disiarkan menerusi stesen radio. Berdasarkan kajian, pendengar dahagakan program berlandaskan fakta tepat, dikemas kini dan boleh dipercayai, lebih lagi pada musim pandemik.
"Kami mengundang tetamu bagi mengupas pelbagai topik dan isu semasa. Bagi penonton yang tidak puas menonton MHI kerana tempoh tayangan singkat, mereka boleh mendengarkannya melalui radio," jelas Nazri.
Siaran Buletin Utama di TV3 juga boleh didengar melalui Buletin FM yang akan disiarkan sepenuhnya, setiap malam.
Selain Ally dan Hawa, pengacara MHI dan Jejak Rasul yang tidak asing dalam dunia pengacaraan, Ahmad Fedtri Yahya turut menyertai stesen radio Buletin FM dalam mengendalikan segmen Ilham Sanubari.
Menemani pendengar setiap Isnin hingga Jumaat, kehebatan Ahmad Fedtri dalam mengungkap kata-kata puitis mendapat kepercayaan MPA untuk mengendalikan segmen berkaitan Luahan Hati dan Ceritera Puisi Cinta.
Jelas Nazri lagi, pemilihan penyampai radio bukan dilakukan secara suka-suka, sebaliknya perlu melalui proses uji bakat.
"Daripada proses uji bakat dijalankan, MPA mendapati Ally memenuhi kriteria kerana
berpengalaman lebih dua dekad sebagai pengacara. Ally mempunyai pengetahuan luas, santai dan mahir dalam menemubual tetamu.
"Kami menggandingkan Ally dengan Hawa kerana memiliki keserasian. Kami berpendapat mereka sesuai mengendalikan slot ini, lagi pun Hawa berpengalaman sebagai pembaca berita Buletin Utama.
"Pemilihan Ahmad Fedtri bertepatan dengan segmen baharu diperkenalkan. Sikapnya yang gemar melayan dan kerap berkongsi pelbagai masalah termasuk isu rumah tangga serta
kehilangan pekerjaan bersama pengikut dalam laman sosial satu kelebihan mengendalikan slot ini," kata Nazri.
Nazri berkata, misi dilakukan bagi memastikan perubahan positif dapat memberi manfaat kepada syarikat.
"Perubahan barisan penyampai radio adalah sebahagian strategi baharu agar jenama di bawah MPA akan lebih relevan dan mampu berdaya saing di pasaran," katanya.
Nazri turut mengumumkan Haiza bergerak solo kendali slot Santai Siang Bersama Haiza, antara jam 10 pagi hingga 3 petang, manakala Muaz dan Izwan Azir Saleh menerusi slot Diskusi Harian, jam 3 petang hingga 7 malam di Buletin F M.
Haziq dan Riena Diana kendali slot Sembang Squad, antara jam 3 petang hingga 7 malam di Hot FM.
Mengulas pemilihan Fara Fauzana dan AG mengendalikan segmen pagi di Hot FM yang dianggap kurang bersesuaian atas faktor usia, Nazri menjelaskan, pihaknya menyasarkan pendengar lebih meluas berusia antara 18 hingga 39 tahun, berbanding 18 hingga 29 tahun sebelum ini.
Katanya, pemilihan Fara dan AG bersama Fad Bocey bersesuaian dengan sasaran pendengar.
"Hasil kajian dilakukan selama dua bulan, rata-rata pendengar tidak mahukan pelawak.
Pemilihan Fara hasil permintaan pendengar, bukan keputusan dibuat oleh pengurusan.
"Faktor usia bukan halangan mengendalikan stesen radio. Apa yang penting, isi kandungan dan bagaimana mendekati pendengar.
"Sementara Fad bukan sepenuhnya pelawak, dia juga pandai berbicara. Dalam kumpulan Bocey, Fad adalah pencerita, bijak dan memiliki personaliti tersendiri," katanya.
Pada sidang media itu, Nazri mengumumkan aplikasi mudah alih terbaharu dikenali sebagai Audio+. Ia adalah aplikasi baharu yang menjadi pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai kandungan radio, digital dan sosial. Aplikasi boleh dimuat naik menerusi Google Play, App Store dan Huawei AppGallery.