• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAUNSELING SYARIE SATU KEPERLUAN [SYARIE CONSULTING ONE NEEDED]

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "KAUNSELING SYARIE SATU KEPERLUAN [SYARIE CONSULTING ONE NEEDED]"

Copied!
9
0
0

Teks penuh

(1)

14

KAUNSELING SYARIE SATU KEPERLUAN

[SYARIE CONSULTING ONE NEEDED]

MD NOOR SAPER

mdnoor@fppm.upsi.edu.my

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu, MALAYSIA

ABSTRACT

The development of modernism and the phenomenon of the 4.0 century requires a practical intervention approach that meets the full range of human psychological needs. The rise of social issues in society as well as the rise of mental health issues require a new, more objective and practical approach in line with human needs and wants. Syariah counseling introduced in 2013 is considered a new innovation in the world of counseling that complements existing counseling practices. In the West the development of psychology and religious-based counseling has come a long way since the development of spiritual counseling and pastoral counseling. Many researchers have discussed the relevance of spiritual issues in counseling and psychotherapy. Religious elements are seen as being able to provide insight, improve self-concept, improve mental health while addressing clients' various issues. This article focuses on the need for Syariah Counseling as a new innovation in counseling and counseling services. The Syariah Counseling Approach has been found to be an alternative to helping address social issues as well as mental health.

Key Words: development of modernism, human psychological, counseling practices

ABSTRAK

Perkembangan modenisme dan fenomena abad 4.0 memerlukan pendekatan intervensi yang praktikal serta memenuhi keperluan psikologikal insan yang menyeluruh. Peningkatan isu-isu sosial dalam masyarakat di samping isu kesihatan mental yang semakin meningkat memerlukan satu pendekatan baru yang lebih objektif dan praktikal sejajar dengan keperluan dan kehendak manusia. Kaunseling Syarie yang diperkenalkan pada tahun 2013 dianggap sebagai inovasi baru dalam dunia kaunseling yang merupakan pelengkap kepada amalan kaunseling sedia ada. Di Barat perkembangan psikologi dan kaunseling berperspektif agama sudah semakin jauh ke depan sehingga wujudnya aliran kaunseling spiritual dan kaunseling pastoral. Ramai pengkaji telah membincangkan kerelevanan isu spiritual dalam kaunseling dan psikoterapi. Elemen keagamaan dilihat mampu memberi celik akal, meningkatkan konsep kendiri, meningkatkan kesihatan mental di samping menangani pelbagai permasalahan klien. Penulisan ini berfokus kepada keperluan Kaunseling Syarie sebagai inovasi baru dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Pendekatan Kaunseling Syarie didapati boleh digunakan sebagai salah satu alternatif dalam membantu menangani isu sosial masyarakat di samping kesihatan mental.

(2)

15

Kata kunci: Perkembangan modenisme, psikologikal insan, amalan kaunseling

PENGENALAN

Kepesatan pembangunan pasca modenisme sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat telah mendatangkan banyak perubahan kepada masyarakat. Fenomena industri 4.0 juga menyebabkan organisasi dan komuniti berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kepada kompetensi sumber manusia dan tekanan persekitaran meliputi aspek teknologi, ekonomi, sosial, cara hidup dan seumpamanya. Situasi ini telah memberikan implikasi yang pelbagai sama ada secara positif atau sebaliknya terhadap trait personaliti, kehidupan berkeluarga, komuniti dan negara.

Perkara ini juga memberi akan memberi kesan kepada perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Pelbagai isu semakin kompleks memerlukan kompetensi kaunselor yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka sejajar dengan keperluan klien. Kaunselor juga perlu memahami perkembangan trait personaliti klien turut dipengaruhi dengan persekitaran sosial, ekonomi dan politik semasa yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Aplikasi Whole Person Counseling dianggap sebagai kaunseling sebenar kerana mula membincangkan tentang aspek manusia yang meliputi aspek jiwa, roh dan jasad (Yatimah & Tajudin, 2008). Ini adalah sejajar dengan pandangan Imam al-Ghazali di mana manusia terdiri dari komponen jasmani dan rohani serta saling berkait rapat antara keduanya bagi menjadikan manusia menjalankan kehidupan dengan sempurna. Dalam situasi ini manusia yang tidak seimbang dari aspek keperluan jasmani dan rohani akan mudah mengalami tekanan dan kecelaruan kehidupan. Pelbagai isu dan kesulitan melingkari kehidupan sama ada berkaitan dengan isu keluarga, pelajaran, kewangan, hubungan interpersonal dan seumpamanya kerapkali mengganggu seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Masalah yang wujud bukan hanya terhad dalam ruang lingkup kehidupannya sahaja, malah melibatkan keadaan persekitaran. Justeru itu, perkhidmatan kaunseling yang benar-benar bermakna sangat diperlukan dalam usaha membantu manusia mencari jalan keluar bagi membina kesejahteraan dalam kehidupan mereka.

Sudah sampai masanya pengamal kaunseling di Malaysia dan nusantara mengorak langkah mengetengahkan pendekatan yang benar-benar memberi makna dan memenuhi keperluan semasa. Kaunseling Islam atau juga dikenali sebagai Kaunseling Syarie dianggap satu pendekatan yang mampu memenuhi keperluan manusia secara menyeluruh. Ianya juga sesuai dilaksanakan merentas geografi dan budaya. Kesejahteraan manusia melingkari keseimbangan psikologikal dan spiritual yang ditumpukan dalam kaunseling Islam dapat memenuhi perkembangan manusia secara seimbang.

KAUNSELING SYARIE DAN SILANG BUDAYA

Kaunseling pelbagai budaya didiskripsikan sebagai pendekatan metateori yang mengambil kira semua kaedah dalam hubungan menolong yang wujud atau terhasil dalam konteks budaya (Ivey, D’ Andrea, Ivey & Simek-Morgan, 2007). Pendekatan integratif ini akan melibatkan pelbagai strategi terapeutik dan teknik untuk membantu kaunselor memberikan perkhidmatan yang efektif dan beretika kepada klien yang terdiri daripada pelbagai kumpulan dan latar belakang.

Budaya sering dikaitkan dengan nilai. Manakala nilai mempunyai pengaruh yang kuat dengan agama. Agama dimasukkan dalam perbahasan berkaitan silang budaya (Vieten et. al., 2013). Ia

(3)

16

merupakan adalah salah satu faktor penting dalam pembentukan dan perkembangan budaya sesebuah masyarakat (Fukuyama, Siahpoush & Sevig, 2005). Kehidupan seharian seseorang banyak dikaitkan dengan agama. Setiap tingkahlaku, gaya berfikir individu banyak dipengaruhi oleh kefahaman dan ajaran agama yang dianuti (Mazidah, Rusnani, Sidek & Maznah, 2013).

Spiritual dan agama merupakan komponen penting yang tidak boleh dikesampingkan dalam proses membimbing dan membantu (Maznah et.al., 2013). Perkara ini telah diberi penekanan yang serius sebagai salah satu komponen penting dalam kaunseling pelbagai budaya pada pertengahan 1990-an. Satu persidangan mengenai isu-isu spiritual dan agama diadakan pada tahun 1995 dan melalui persidangan tersebut terhasilnya sembilan komponen berkaitan dengan kompetensi kaunselor untuk mengintegrasikan spiritual dan agama dalam sesi kaunseling (Miller, 1999). Ini menunjukkan kaunseling pendekatan agama termasuk juga kaunseling Islam boleh dijadikan sebagai salah satu amalan dan nilai tambah dalam proses kaunseling dalam konteks pelbagai budaya.

PENDEKATAN KAUNSELING KEAGAMAAN

Satu perkembangan yang menarik berkaitan psikologi dan kaunseling di barat di mana mereka mula menggarap kepada pendekatan terapi yang mendasari elemen keagamaan dan spiritual. Pada sekitar tahun 1990-an perkembangan ini mula ketara di mana penulisan dan kajian berkaitan aspek spiritual dalam kaunseling dan psikoterapi telah mula diketengahkan (Nurul Ain, 2006). Dalam masa yang sama beberapa organisasi profesional termasuklah American Psycological Association dan American

Counseling Association turut mengakui elemen agama perlu dihormati (Sapora, 2009).

Kaunseling keagamaan di Barat sudah pun mula bercambah seawal 1930-an menerusi gabung jalin antara aspek agama dan juga psikologi untuk tujuan psikoteraputik melalui kajian-kajian yang dijalankan oleh sarjana-sarjana mereka (American Association of Pastoral Counselors, 2017). Elemen agama merupakan suatu yang tidak boleh dikesampingkan dan merupakan satu keperluan dalam kehidupan. Tinjauan yang dibuat di Amerika berkaitan keperluan agama dalam kehidupan menunjukkan bahawa 55-65% responden sangat bersetuju bahawa agama adalah satu elemen penting dalam kehidupan manusia, sementara 23-31% bersetuju bahawa agama adalah satu elemen penting dalam kehidupan manusia. Hanya 11-17% yang menyatakan bahawa agama tidak penting dalam kehidupan manusia, dan hanya 1% yang berpendapat tidak pasti mengenai kepentingan agama dalam kehidupan mereka (Gallup, Oktober 2008). Aspek agama dan spiritual juga merupakan komponen yang penting dalam aspek kesihatan mental dan menitikberatkan aspek ini akan menjadikan proses rawatan lebih efektif (Bergin, 1991).

Pendekatan kaunseling spiritual dan keagamaan boleh dilakukan secara langsung atau tidak langsung. Pendekatan secara langsung akan menggunakan elemen keagamaan secara jelas dalam proses kaunseling. Terdapat juga pendekatan spiritual dan keagamaan ini dilakukan secara tidak langsung sama ada dalam proses dan intervensi. Mereka lebih cenderung mengintegrasikan amalan kaunseling sedia ada dengan elemen spiritual dan agama.

Tan (1996) telah mengetengahkan dua pendekatan dalam amalan kaunseling keagamaan iaitu pendekatan secara implisit dan eksplisit. Pendekatan implisit bermaksud satu kaedah dalam proses kaunseling yang mengetengahkan elemen agama secara tidak langsung. Di dalam proses kaunseling, kaunselor tidak akan membincangkan elemen agama secara terbuka khususnya berkaitan dengan perkara yang berkaitan dengan keagamaan seperti sembahyang, menghadiri rumah ibadat, doa dan seumpamanya. Kaunselor akan berhati-hati dan menghormati nilai klien. Perbincangan elemen agama mengikut keperluan dan penerimaan klien. Manakala pendekatan secara eksplisit adalah proses kaunseling yang dilakukan secara langsung dengan menggunakan sumber-sumber yang ada

(4)

17

kaitan secara langsung dengan agama seperti kitab suci, amalan sembahyang dan seumpamanya. Perkara ini memerlukan kaunselor yang sensitif tentang keperluan agama serta mempunyai kompetensi dalam amalan mereka.

Isu kompetensi kaunselor menggunakan pendekatan agama perlu ditangani disebabkan elemen agama adalah salah satu pendekatan yang tidak boleh dinafikan dalam proses kaunseling. Ini sejajar melalui kajian oleh Weiss (1999) dan Holder (2006) yang menyatakan bahawa terdapat desakan atau keperluan untuk menyediakan program latihan berkaitan bidang keagamaan dan spiritual dalam bidang kaunseling pendidikan. Hasil kajian ini mendapati sumber personal dan profesional amat penting dalam melaksanakan sesi kaunseling yang menggunakan elemen keagamaan.

KONSEP KAUNSELING SYARIE

Kaunseling perspektif Islam bermaksud satu proses hubungan yang berlaku secara bersemuka antara seorang kaunselor yang profesional dengan individu yang memerlukan bantuan (klien) sehingga terjadi hubungan-hubungan keinsanan di mana berlaku penerokaan potensi diri klien bagi memperkembangkan semula segala sumber dalaman insan untuk menerima kebenaran (al-Haq) dan bertanggungjawab kepada diri sendiri ke arah keredaan Allah (Ishamudin). Kamal Abdul Manaf (1995) pula mentakrifkan kaunseling perspektif Islam sebagai satu proses pengajaran dan pembelajaran psikososial yang berlaku dalam bentuk bersemuka (face to face) antara seorang yang pakar dalam psikologi kaunseling (kaunselor) dan seorang lain yang ditujukan kaunseling itu (klien). Amir Awang (2016) menyatakan kaunseling perspektif Islam tidak mempunyai sebarang teori yang khusus tetapi disandarkan kuat kepada nas, sunnah, ijmak dan qias yang ada dalam Islam. Hal ini mengambil kira proses tazkiyah yang terdapat dalam kaunseling perspektif Islam ini untuk membantu klien berkembang dan mencapai tahap-tahap nafsu. Beliau juga mengupas secara lanjut berkenaan hubungan dalam kaunseling perspektif Islam dan juga obligasi serta tujuan kaunseling perspektif Islam berbanding apa yang telah digariskan dalam kaunseling konvensional.

Kaunseling perspektif Islam juga telah dikembangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dikenali sebagai Kaunseling Syarie. Kerangka dan konsep kaunseling perspektif Islam ini tidak jauh berbeza dengan pandangan penulis dan pengkaji lain sebelum ini. Kaunseling Syarie merupakan satu disiplin kaunseling yang mengetengahkan elemen kaunseling dan ilaj syarie pula diperkenalkan pada awal tahun 2011. Sebuah manual kaunseling syarie juga telah dibina oleh sekumpulan pakar yang terdiri dari ahli akademik, pengamal kaunseling dan pegawai runding cara. Beberapa mesyuarat dan bengkel telah dijalankan untuk mengenal pasti kandungan dan pendekatan kaunseling yang dijalankan. Pada 22 November 2013 manual kaunseling syarie telah dilancarkan sebagai panduan kepada pengamal kaunseling dan pegawai runding cara JAKIM.

Menurut JAKIM (2013), Kaunseling Syarie adalah suatu proses memberi bantuan dan bimbingan dari aspek fizikal, rohani dan spritual oleh Kaunselor Syarie kepada seorang atau lebih klien yang normal dan sedang menghadapi masalah dalam hidupnya, dengan menggunakan pelbagai kaedah berpandukan al-Quran dan al-Sunnah untuk membantu klien menyelesaikan masalah, memahami diri dan matlamat hidup ke arah mencapai keredaan Allah. Oleh itu setiap Kaunselor Syarie adalah seorang yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam hidupnya (Jakim, 2013)

Kaunseling amat penting dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan proses tolong membantu antara seseorang dengan seseorang yang lain. Fitrah manusia yang bersifat lemah sememangnya memerlukan pertolongan dan bantuan dari orang lain dalam berhadapan dengan

(5)

18

permasalahan hidup. Manakala manusia yang membantu orang lain yang menghadapi masalah diberikan ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud:“ Sesiapa yang melapangkan diri seorang mukmin yang sedang dalam kesusahan, atau menolong seorang mukmin yang teraniaya, nescaya dia akan diampunkan dosanya.” (Riwayat Thabrani)

Dari Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud:“ Barang siapa yang melapangkan seseorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan manual Kaunseling Syarie (Jakim, 2012) matlamat dalam kaunseling syarie adalah lebih luas merentasi kehidupan di dunia sehingga kepada kehidupan di akhirat. Di antara matlamat tersebut adalah seperti berikut:

4.1 Melahirkan manusia yang mampu untuk mengenal potensi diri sebagai khalifah Allah.

4.2 Melahirkan manusia yang dapat membuat keputusan atau menyelesaikan masalah berasaskan

syariat Islam

4.3 Melahirkan manusia yang berjaya mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di

akhirat

4.4 Melahirkan manusia yang mampu membina kehidupan yang diredhai Allah S.W.T.

PEMIKIRAN AL-GHAZALI DALAM KAUNSELING SYARIE

Rangkuman ilmu Islam yang digarap oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin tidak keterlaluan apabila ia boleh dijadikan asas bagi membina model kaunseling berasaskan perspektif Islam (Yatimah & Mohd Tajudin, 2008). Satu disiplin ilmu berkaitan dengan pembinaan personaliti telah dihuraikan dengan terperinci di dalam kitab berkenaan. Ia bukan sahaja membincangkan tentang sifat-sifat dan keperluan manusia bahkan meliputi bentuk intervensi rawatan terhadap kecelaruan dan perbuatan keji (mazmumah) yang dilakukan oleh individu.

Pendekatan Imam al-Ghazali meskipun menjurus kepada metodologi tasawuf (berkaitan jiwa) namun pendekatan bimbingan dan rawatan sangat komprehensif melibatkan aspek emosi, pemikiran dan tingkah laku. Dalam konteks kaunseling dalam Islam ia dianggap sebagai pelopor dalam bidang kaunseling Islam (Rokiah et al, 2007), penulisannya boleh dijadikan asas model kaunseling pendekatan Islam kerana sumber rujukan yang menyeluruh berteraskan al-Quran dan Hadis (Yatimah & Mohd Tajudin, 2008). Imam al-Ghazali menekankan konsep fitrah dan kesejahteraan manusia secara dinamik dan komprehensif (Othman, 2005).

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin Imam al-Ghazali (2007), telah mengetengahkan konsep manusia yang seimbang meliputi keperluan jasmani (fizikal/luaran) dan rohani (dalaman). Aspek rohani pula terdiri dari komponen jiwa, roh, hati dan akal. Aspek rohani ini mempunyai pengaruh terhadap tindakan dan personaliti seseorang. Justeru itu dalam membincangkan isu pembentukan personaliti insan Imam al-Ghazali lebih menekankan aspek kerohanian (Salasiah, 2008).

Terapi al-Ghazali berfokus kepada aspek spiritual manusia melalui kaedah penyucian diri (tazkiyah an-nafs), di mana ia bukan sekadar menyelesaikan masalah dalam kehidupan malah lebih jauh daripada itu iaitu untuk kebahagiaan dan kesejahteraan (al-saadah), di dunia dan akhirat

(6)

19

(Salasiah, 2008). Tazkiyah an-Nafs (penyucian diri) al-Ghazali merupakan satu pendekatan komprehensif terhadap pembentukan personaliti individu. Secara etimologis Tazkiyah an-nafs mempunyai dua makna iaitu penyucian dan pertumbuhan (Sa’id Hawa, 2001). Penyucian diri adalah membuang sifat dan tingkah laku negatif yang bercanggah dengan norma masyarakat dan kehendak agama di mana ianya boleh menimbulkan kecelaruan dan ketidak tenteram kepada jiwa. Pertumbuhan pula meliputi proses usaha peningkatan kualiti diri dan hati dengan melakukan tindakan yang positif dengan mengembangkan sifat-sifat positif (mahmudah) yang diredai Allah swt dengan bersungguh-sungguh (mujahadah) di samping meningkatkan hubungan dengan Allah (ibadah) sehingga hati dan jiwa menjadi bersih dan baik serta berkualiti.

KAUNSELING SYARIE SATU KEPERLUAN

Elemen agama dan moral merupakan antara bidang tumpuan yang penting untuk perkembangan diri. Ia merupakan salah satu dari aspek perkhidmatan berorientasikan perkembangan yang perlu diambil perhatian oleh kaunselor (Md Noor & Nadiyah, 2009). Dimensi agama mengiktiraf perkembangan fitrah dan keperluan manusia dari aspek jiwa, roh dan jasad yang penting bagi melahirkan insan yang seimbang (Othman, 2005; Yatimah & Tajudin, 2008). Agama dan spiritual juga menyediakan ruang dan peluang untuk individu bergerak ke hadapan walaupun dihujani pelbagai masalah dalam kehidupan mereka selain memberi satu bentuk sokongan terhadap diri mereka sendiri secara dalaman dan juga sokongan dari luaran melalui komuniti agama (Miller, 1999)

Pendekatan kaunseling Islam dilihat lebih menyeluruh mencakupi keperluan manusia. Aplikasi Whole Person Counseling dianggap sebagai kaunseling sebenar kerana mula membincangkan tentang aspek manusia yang meliputi aspek jiwa, roh dan jasad (Yatimah & Tajudin, 2008). Menurut Othman (2005), sudah sampai masanya pendekatan teori kaunseling mengarah kepada satu klasifikasi yang dapat meletakkan unsur spiritual dan keagamaan ke dalam corak dimensi pendekatan teori kaunseling yang lebih menyeluruh.

Kaunseling Syarie mengiktiraf fitrah dan keperluan manusia kepada agama dalam konteks Islam yang bersifat komprehensif. Elemen rohani dan jasad merupakan konstruk utama dalam fitrah manusia menjadi fokus di dalam kaunseling syarie. Menurut Othman (2015) fitrah manusia terbahagi kepada empat dimensi yang memangkinkan keperluan kendiri iaitu dimensi roh, diri (nafs), kalbu dan akal. Perkara ini diperakui oleh Zainab (2006), yang mengatakan model kaunseling Islam perlu mengambil kira pembangunan dan keperluan manusia yang seimbang dan bersesuaian dengan hakikat kejadian manusia itu sendiri.

Isu salah laku dan penghakisan nilai semakin membimbangkan dan perlu diambil perhatian yang serius (Abdul Halim, 2000; Amla, 2004; Saadah, Salwan & Roslee, 2008; Othman, 2008) di mana antara puncanya adalah dari kemerosotan pegangan nilai agama. Elemen keagamaan dan spiritual merupakan sebahagian dari keperluan perkembangan dan pembangunan manusia (Miller, 1999; Myers & Williard, 2003; Gallup, 2008) di samping dapat meningkatkan emosi, kesihatan mental dan keberfungsian sosial (Wignild & Young, 1993).

Antara faktor keterlibatan isu salah laku, delinkuen di samping isu yang lain adalah faktor lemahnya amalan keagamaan mereka (Jualiana & Maznah, 2006; Jamiah, Azimi & Hasnan, 2006). Intervensi pendekatan keagamaan dapat membantu mencegah, merawat dan mengurangkan keterlibatan remaja kepada masalah tingkah laku (Donahue & Benson, 1995; Hawkins, 2009). Pendekatan agama dapat meningkatkan kesihatan mental, keberfungsian sosial dan kualiti hidup.

(7)

20

Sehubungan dengan itu juga elemen spiritual yang positif dapat meningkatkan kualiti kehidupan dan keefisienan hubungan interpersonal (Graham, Furr, Flowers & Burke, 2001)

Begitu juga isu yang dikaitkan dengan kesihatan mental juga semakin meningkat. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2017) menjelaskan prevalens kemurungan remaja adalah 18.3% (95% CI: 17.20-19.38), kebimbangan 39.7% (95% CI: 38.39-41.06), dan tekanan 9.6% (95% CI: 9.03-10.25) (IPH, 2017). Intervensi ini tidak boleh menafikan keperluan agama dan spiritual di samping rawatan biologikal dan psikososial. Kajian oleh Brown (2013), mendapati bahawa individu yang mempunyai tahap religositi dan spiritual yang tinggi akan mengalami penurunan terhadap tahap masalah mental dan emosi. Kajian oleh Talib & Abdollahi, (2017) menyatakan bahawa terdapat perkaitan hubungan antara spiritual dengan keputusasaan, kemurungan dan perilaku bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa kepentingan faktor spiritual dan religositi perlu diberi perhatian terutamanya dalam usaha mengatasi, mencegah dan merawat isu kemurungan dalam kalangan remaja. Malah, menurut Harold G Koenig (2009) bahawa melalui kajian sistematik terhadap kebanyakan negara seluruh dunia mendapati pendekatan religositi sebagai kaedah penyelesaian terhadap isu kesihatan mental semakin berkembang dan diterima (Review & Koenig, 2009).

Berdasarkan data dan kajian berkenaan menunjukkan keperluan Kaunseling Syarie sebagai salah satu intervensi yang boleh digunakan dalam mendepani pelbagai isu masa kini. Pendekatan Kaunseling Syarie yang menekankan keperluan manusia secara menyeluruh boleh menjadi alternatif kepada perubahan diri klien.

KESIMPULAN

Kaunseling Syarie sangat relevan kepada perkhidmatan bimbingan dan kaunseling merentasi latar budaya, agama dan batasan geografi. Ia merupakan pelengkap kepada amalan kauseling sedia ada. Kaunseling Syarie adalah salah satu `school of thought’ dalam dunia kaunseling berdasarkan kerangka kajian bagi memenuhi keperluan semasa. Namun demikian ia masih berada di peringkat awal yang memerlukan perhatian serius untuk dikembangkan melalui latihan yang berterusan serta kajian-kajian dari pelbagai aspek.

Usaha untuk memperkasakan kaunseling Islam harus diteruskan dan dipertingkatkan. Masyarakat sangat kehausan satu bentuk intervensi yang menyeluruh serta bersesuaian dengan budaya setempat bagi mendepani pelbagai isu semasa yang semakin kronik. Pada peringkat awal ini, jalinan strategik antara penyelidik dan pengamal kaunseling Islam perlu ditingkatkan melalui seminar, bengkel, latihan dan penyelidikan.

RUJUKAN

American Psychological Association. (2018). Counseling Psychology. Retrieved August 8, 2018, from http://www.apa.org/ed/graduate/specialize/counseling.aspx

Amir Awang. (2016). Kaunseling di abad 21-suatu anjakan paradigma: dari konvensional kepada islamik. In Asean Psychology and Counselling Conference.

Abd Ghafar Surip. (2013). Manual kaunseling syarie. Putra Jaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Abdul Halim Othman. (2000). Kaunseling untuk kesejahteraan insan: Satu pengalaman di Malaysia.

Universiti Malaysia Sabah: Sabah

(8)

21

kaunselor?. Prosiding Seminar Kebangsaan ke 3 Psikologi dan Masyarakat 2004, 4-5 Oktober 2004.

Donahue, M.J., & Benson, P.L. (1995). Religion and well being of adolescants. Journal of Social

Issues, 51, 145-160.

Gallup poll . 2008. Dicapai dari http://www.gallup.com/poll/1690/Religion

Graham, S., Furr,S., Flores, C. & Burke, M.T. (2001). Religion and spiritual in coping with stress.

Counseling and Values, 46, 2-13.

Imam Ghazali. 2007. Ismail Yakub (penterjemah). Ihya Ulumuddin. Singapura: Pustaka Islamiyah. Ivey, A. E., D' Andrea, M., Ivey, M. B., & SimekMorgan, L. (2007). Theories of Counseling and

Psychotherapy: A Multicultural Perspective.(6th. Ed.). USA: Pearson.

Jamiah Hj Manap, Azimi Hamzah, Sidek Mohd Noah & Hasnan Kasan. (2004). Prinsip pengukuran religiositi dan personaliti religiositi daripada perspektif Islam. Kertas Kerja International

Seminar On Islamic Thought 2004 di Universiti Kebangsaan Malaysia, 7-9 Disember 2004.

Kamal Abd Manaf. (2000). Kaunseling Islam: satu alternatif baru di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.

Md Noor Saper & Sapora Sipon. 2006. Kaunseling Perspektif Islam: Satu pandangan umum. Dlm Md Noor Saper (penyunting.). Isu-Isu Kaunseling Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Md Noor Saper. 2012. Pembinaan Modul Bimbingan “Tazkiyah An-Nafs dan kesannya ke atas religiositi dan resiliensi remaja. Tesis PhD yang tidak diterbitkan. Universiti Utara Malaysia. Miller, W. R. & Thoresen, C.E. 2003. Spirituality, religion and health: an emerging research field.

American Psychologist, 58, 24 -35.

Myers JE & Williard K. (2003). Integrating spirituality into counselors preparation: a developmental, wellness approach. Counseling and Values 47.

Nurul Ain Mohd Daud. (2006). Aspek spiritual dalam kaunseling : implikasi terhadap kaunselor. Dlm Md Noor Saper (penyunting.). Isu-Isu Kaunseling Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Othman Mohamed. 2005. Prinsip psikoterapi dan pengurusan dalam kaunseling . Ed. Ke-2. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Sapora Sipon. 2009. Keperluan elemen agama dalam disiplin ilmu kaunseling. Dlm Sapora Sipon, Abd Halim Mohd Hussin, Zuria Mahmud & Rusnani Abdul Kadir (penyunting). Isu-Isu

Kaunseling di Malaysia. Kuala Lumpur: PERKAMA.

Rokiah Mat Jusoh, Aziah Abd Ghani, Hasyati Hassan & Norlia Othman. (2007). Kerjaya sebagai

kaunselor. Batu Caves: PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Saadah Sumrah, Salwan Sudirman & Roslee Ahmad. (2008). Kaedah menangani kanak-kanak bermasalah tingkah laku. Kertas Kerja Seminar Kaunseling Keluarga 2008 di Universiti Teknologi Malaysia.

Salasiah Hanin Hamjah. (2008). Pendekatan dakwah al-irsyad al-nafsiyy menurut al-Ghazali – satu

kajian di Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Tesis Dr. Fal. Universiti

Sains Malaysia. Kubang Krian.

Said Hawa. (2001). Aunur Rafiq Shaleh Tamhid (penterjemah). Al-Mustakhlas fi tazkiyat al-anfus (mensucikan jiwa). Shah Alam: Pustaka Dini.

Siti Zalikhah Md Nor. (2004). Kaunseling menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(9)

22

Sapora Sipon . (2009). Keperluan elemen agama dalam disiplin ilmu kaunseling. Dlm Sapora Sipon, Abd Halim Mohd Hussin, Zuria Mahmud & Rusnani Abdul Kadir (penyunting). Isu-Isu

Kaunseling di Malaysia. Kuala Lumpur: PERKAMA

Tan,S.Y. (1996) Religion in clinical practice: Implicit and explicit integration. Dlm Shafranske (pnyt). Religion and the clinical practice of psychology, hlm. 365-387. United States of America: American Psychological Association.

Vieten, C., Scammell, S., Pilato, R., Ammondson, I., Pargament, K. I., & Lukoff, D. (2013). Spiritual and religious competencies for psychologists. Psychology of Religion and Spirituality, 5(3), 129–144. http://doi.org/10.1037/a0032699

Wan Abd. Kader Wan Ahmad & Ismail Abdul Ghani. 2006. Islam dan kaunseling: satu penilaian kritikal terhadap teori dan pendekatan. Dalam Kaunseling. Dakwah dan Kaunseling di

Malaysia (Fariza Md Sham, Siti Rugayah Tibek Othman Talib (pnyt). Bangi: Penerbit

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Weiss, J. F. (1999). A Qualitative Investigation of Counseling Students’ Attitudes Toward

Addressiong Spiritual Issues in Counseling. University of Georgia.

Wignild, G.M. & Young, H.M. (1993). Development and psychometric evaluation of the resilience scale. Journal of Nursing Measurement 1: 165-178.

Yatimah Sarmani. (2005). Pendekatan kaunseling Islam. Satu analisis kualitatif model kaunseling

berasaskan sifat-sifat manusia oleh Imam Ghazali. Tesis Dr. Fal. Universiti Teknologi

Malaysia Skudai.

Zainab Ismail. (2006). Keperluan penerapan nilai dakwah dalam kaunseling. Dlm Fariza Md Sham & Siti Rugayah Tibek Othman Talib (pnyt). Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Referensi

Dokumen terkait