13
POLEMIK SASTERA DARI TASAWUF KE INTERLOK:
SASTERA MERENTAS ZAMAN
[POLEMICS FROM TASAWUF TO INTERLOK:
LITERATURE BEYOND TIME]
1 MUHAMMAD IZZUDDIN NAWI
*1SHAIFUL BAHRI MD. RADZI
1Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
*Corresponding Author
ABSTRACT
Malay civilization evolved via literature. Malay civilization has differences and uniqueness compared to other cultures because it has not grown through monuments and bas-reliefs on the walls of the cave; but it grew via the spreading of knowledge. Knowledge in the context of the Malay world is spread through the medium of literature; specifically, through a continuous process spanning hundreds of centuries starting from the era of traditional literature, then modern literature, and finally contemporary literature involving the use of technologies such as the internet, websites, and telephone applications. The greatness of Malay civilization can be seen through literature, and that literary greatness can be seen through series of literature polemics ever happened in the history of Malay literature. Polemics and Malay literature is closely allied. The size of the corpus of Malay literature can be seen through the polemics which lasted across a few centuries. Throughout the evolution of Malay literature, some debate happened across multi-disciplines (cross-discipline), which carries tremendous influence to the Malay literary world. Earliest, the Wahdatul Wujud polemic, then Asas 50, and Islamic literature polemic; representing the 17th and 20th centuries respectively, attracted the attention of the country's literary activists. The phenomenon of literary polemics occurs again in the 21st century; the issue is Interlok. The issue of Interlock has become a public debate; not only among literary activists but also involves groups outside the literary world; involving the public society, including people in the field of politics and education. Those four cross-discipline polemics proves that Malay literature world can not be considered as old-fashioned or absolute. It has a capability to grow, change, and able to adapt external influence outside local literature framework. Through a series of observations of multi polemics that occurred in the history of literature and civilization, we can conclude and accept that Malay literature has long been out of the cocoon of the most basic literature features (per se). In fact, local literature gradually adapting and absorbing the influence of religion, philosophy, education, and politics.
Keywords: Literature Polemics, Wahdatul Wujud, Asas 50, Islam Literature, Interlock.
ABSTRAK
Masyarakat Melayu berkembang tamadunnya melalui sastera. Tamadun Melayu mempunyai perbezaan dan keunikan tersendiri kerana ia tidak berkembang melalui tugu-tugu dan juga
▸ Baca selengkapnya: usaha memartabatkan karya sastera
(2)ukiran-14
ukiran di dinding gua tetapi berkembang melalui penyebaran ilmu pengetahuan secara meluas. Ilmu pengetahuan dalam konteks masyarakat Melayu disebarkan melalui medium sastera; melalui satu proses berterusan melangkaui ratusan abad bermula dari zaman sastera tradisional, kemudiannya sastera moden, dan akhirnya sastera kontemporari yang melibatkan penggunaan teknologi seperti internet, laman sesawang, dan aplikasi telefon. Jika kehebatan dan gahnya tamadun dapat dilihat melalui sastera, kehebatan dan besarnya sastera pula dapat dilihat melalui polemik-polemik sastera yang pernah berlangsung dalam sejarah sastera Melayu. Polemik dan sastera Melayu erat pertaliannya. Besarnya korpus sastera Melayu dapat dilihat melalui polemik-polemik yang berlangsung melangkaui beberapa abad. Sepanjang evolusi kesusasteraan Melayu, berlaku beberapa polemik merentas disiplin (cross-discipline) yang membawa pengaruh yang amat besar kepada dunia sastera Melayu. Terdahulu, polemik Wahdatul Wujud, ASAS 50, dan sastera Islam mendapat perhatian penggiat sastera tanah air, masing-masing mewakili abad ke-17 dan abad ke-20. Fenomena polemik sastera berlaku lagi pada alaf 21; isunya adalah Interlok. Isu Interlok menjadi perdebatan dan perbantahan umum bukan sahaja dalam kalangan penggiat sastera, malah turut melibatkan orang awam, merangkumi bidang politik dan pendidikan iaitu turut melibatkan kelompok di luar dunia sastera. Keempat-empat polemik yang bersifat merentas disiplin itu membuktikan bahawa dunia sastera Melayu bukanlah bersifat jumud tetapi ia berkembang, berubah, dan berupaya menerima pengaruh luaran yang bersesuaian dengannya. Melalui pemerhatian terhadap siri polemik yang berlaku dalam sejarah sastera dan tamadun Melayu, didapati sastera telah lama keluar dari kepompong sastera per se malah mula menerima pengaruh agama, aliran falsafah, pendidikan, dan politik.
Kata kunci:Polemik Sastera, Wahdatul Wujud, Asas 50, Sastera Islam, Interlok.
PENDAHULUAN
Tamadun Melayu berkembang melalui karya sastera. Tamadun Melayu mempunyai perbezaan dan keunikan tersendiri kerana ia tidak berkembang melalui tugu-tugu dan juga ukiran-ukiran di dinding gua tetapi berkembang melalui penyebaran ilmu pengetahuan secara meluas. Ilmu pengetahuan dalam konteks masyarakat Melayu disebarkan melalui medium sastera; melalui satu proses berterusan melangkaui ratusan abad bermula dari zaman sastera tradisional, kemudiannya sastera moden, dan akhirnya sastera kontemporari yang melibatkan penggunaan teknologi seperti internet, laman sesawang, dan aplikasi telefon. Jika kehebatan dan gahnya tamadun dapat dilihat melalui sastera, kehebatan dan besarnya dunia sastera itu sendiri dapat dilihat melalui beberapa siri polemik-polemik sastera yang pernah berlangsung dalam sejarah sastera Melayu. Polemik dan sastera Melayu erat pertaliannya. Besarnya korpus sastera Melayu dapat dilihat melalui polemik-polemik yang berlangsung melangkaui beberapa abad. Sepanjang evolusi kesusasteraan Melayu, berlaku beberapa polemik merentas disiplin (cross-discipline) yang membawa pengaruh besar kepada dunia sastera Melayu.
Terdahulu, polemik Wahdatul Wujud, ASAS 50, dan sastera Islam mendapat perhatian penggiat sastera tanah air, masing-masing mewakili abad ke-17 dan abad ke-20. Beberapa polemik yang membawa pengaruh yang amat besar kepada dunia sastera Melayu telah berlangsung. Polemik pertama dalam dunia sastera Melayu melibatkan Hamzah Fansuri dan Nuruddin ar-Raniri berhubung konsep Wujudiyyah. Dalam konteks ini, Syeikh Nuruddin ar-Raniri menentang aliran Wahdatul Wujud yang dipegang oleh Hamzah Fansuri sehingga ke tahap mengatakan Hamzah Fansuri menyebarkan ajaran sesat. Bagi Syeikh Nuruddin ar-Raniri , Hamzah Fansuri sebenarnya telah sesat. Disebabkan fatwa itulah akhirnya pengikut-pengikut Hamzah Fansuri telah dihukum bunuh dan
15
karya-karya Hamzah Fansuri habis dibakar. Kesannya, tinggal sedikit sahaja yang masih dikekalkan sehingga sekarang. Polemik seterusnya berlaku pada dekad 1950-an yang melibatkan pertentangan aliran seni dalam sastera iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, setiap gagasan diketuai oleh Hamzah Hussin (mewakili sastera untuk sastera), dan Asraf Wahab (mengetuai kelompok sastear untuk masyarakat). Kedua-dua aliran tersebut mempunyai pengikut yang tersendiri, masing-masing saling menemukan bukti bahawa aliran merekalah yang perlu diikuti dan mengkritik aliran yang bertentangan dengan aliran mereka. Polemik yang tidak kurang hebatnya mula mengambil tempat selepas polemik Asas 50. Ia berlaku pada awal 1980-an berhubung dengan isu sastera Islam yang melibatkan dua pihak, masing-masing diketuai oleh Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad. Kedua-dua pihak saling berbalas kritikan melalui akhbar harian dan majalah untuk menegakkan pendirian masing-masing. Fenomena polemik sastera berlaku lagi pada alaf 21; isunya adalah Interlok. Isu Interlok menjadi perdebatan dan pertikaian umum bukan sahaja dalam kalangan penggiat sastera, malah turut melibatkan orang awam, merangkumi bidang politik dan pendidikan iaitu turut melibatkan kelompok di luar dunia sastera. Keempat-empat polemik yang bersifat merentas disiplin itu membuktikan bahawa dunia sastera Melayu bukanlah bersifat jumud tetapi ia berkembang, berubah, dan berupaya menerima pengaruh luaran yang bersesuaian dengannya. Melalui pemerhatian terhadap siri polemik yang berlaku dalam sejarah kesusasteraan negara, didapati sastera telah lama keluar dari kepompong sastera per se malah mula menerima pengaruh agama, aliran falsafah, dan politik. Ringkasnya, tanpa disedari perbahasan polemik sastera yang melangkaui beberapa abad telah memperlihatkan kehebatan dan perkembangan dunia sastera di negara ini.
ABAD KE-17; DIMANA SEGALANYA BERMULA
Hamzah Fansuri dan Syeikh Nuruddin ar-Raniri merupakan tokoh sastera dan agamawan yang sangat terkenal suatu ketika dahulu. Walaupun kedua-dua tokoh tersebut mempunyai pengetahuan agama yang luas, konflik tetap juga berlaku. Pertentangan idea di antara mereka terjadi kerana perbezaan pandangan berhubung konsep Wahdatul Wujud (Unity of Existence atau Unity of Being). Hamzah Fansuri lebih kepada pegangan ilmu tasawuf heterodoks, manakala Syeikh Nuruddin ar-Raniri pula lebih kepada fahaman ilmu tasawuf ortodoks. Hal ini menyebabkan kedua-dua tokoh tersebut tidah sehaluan terutamanya dalam ilmu tasawuf tersebut. Syeikh Nuruddin ar-Raniri menolak keras tentang aliran Wahdatul Wujud yang dipegang oleh Hamzah Fansuri. Hal ini lebih mendorongkan Syeikh Nuruddin ar-Raniri mengatakan Hamzah Fansuri menyebarkan ilmu sesat. Dalam hal ini, Syamsuddin al-Sumaterani telah menjadi pengikut setia Hamzah Fansuri.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri pernah menulis dalam bukunya Bustanus Salatin tentang ulama-ulama dari Mekah dan Gujerat yang datang mengajar di Acheh. Walau bagaimanapun, dalam nama-nama tersebut Syeikh Nuruddin langsung tidak menyebut tentang Hamzah Fansuri sedangkan Hamzah Fansuri juga ialah seorang ulama yang terkenal pada waktu itu. Sebab utama adalah mungkin Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak dapat menerima fahaman Hamzah Fansuri disebabkan oleh Hamzah Fansuri mengamalkan aliran Wahdatul Wujud. Dalam buku Ismail Hamid (1987), beliau menyatakan bahawa Syeikh Nuruddin tidak bersetuju dengan aliran tasawuf Wahdatul Wujud yang dipelopori oleh Hamzah Fansuri. Syeikh Nuruddin ar-Raniri merupakan pengarang kitab-kitab agama yang berfahaman Ahlul Sunnah yang bertujuan menolak aliran Wahdatul Wujud. Syeikh Nuruddin telah berjaya mempengaruhi Sultan Iskandar Thani dan akhirnya Sultan telah memerintahkan agar semua buku Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumaterani dibakar.
16
Dalam buku Ismail Yusoff iaitu Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru (2008), Syeikh Nuruddin ar-Raniri amat menentang hebat ajaran Hamzah Fansuri. Menurut Al-Attas dalam Ismail Yusoff (2008), ajaran Hamzah bukanlah tidak tepat seperti yang diutarakan oleh Syeikh Nuruddin, tetapi mungkin fahaman Syeikh Nuruddin berbeza dengan ajaran sebenar Hamzah Fansuri. Tambahan lagi, pengikut-pengikut Hamzah Fansuri yang berdebat tidak mampu menerangkan dengan berkesan tentang ajaran guru mereka. Jadi, hal ini akan mewujudkan satu tanggapan yang tidak benar tentang ajaran yang dibawa oleh Hamzah Fansuri. Terdapat juga cakap-cakap menyatakan bahawa Nuruddin ar-Raniri telah kalah berdebat dengan Saiful Rijjal yang merupakan penyokong fahaman Hamzah Fansuri dan peristiwa ini telah dicatatkan dalam kitabnya Fath al-Mubin. Kejadian itu menyebabkan Nuruddin ar-Raniri secara tergesa-gesa kembali ke Gujerat.
Bagi Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Hamzah Fansuri sebenarnya telah sesat. Disebabkan fatwa itulah akhirnya pengikut-pengikut Hamzah Fansuri telah dihukum bunuh dan karya-karya Hamzah Fansuri habis dibakar. Hanya sedikit sahaja yang masih dikekalkan sehingga sekarang. Syeikh Nuruddin ar-Raniri telah mengkritik fahaman Hamzah Fansuri sehingga beliau berjaya mematahkan ulasan Syamsuddin al-Sumaterani. Selain itu, menurut Ismail Yusof (2008), pertentangan ini sengaja diperbesarkan kerana Syeikh Nuruddin ar-Raniri bimbang akan pengaruh pengikut-pengikut Hamzah Fansuri, contohnya Syamsuddin al-Sumaterani. Syeikh Nuruddin pernah datang kali pertama di Acheh dari Ranir, India iaitu pada masa itu Syamsuddin masih hidup. Hal ini demikian juga kerana Syeikh Nuruddin ar-Raniri bimbang pengaruh Syamsuddin al-Sumaterani akan menjatuhkan reputasi dan kedudukannya sebagai seorang yang terkenal di Acheh.
Hamzah Fansuri merupakan tokoh sasterawan yang terkenal kerana keaslian dan bakat menghasilkan sesuatu karya yang menarik. Walaupun Syeikh Nuruddin ar-Raniri mempunyai sedikit percanggahan pendapat tentang aliran dan fahaman yang dipegang oleh Hamzah, namun beliau mungkin tidak mentafsirkan perkara tersebut lebih lanjut. Disini, dapat dilihat bagaimana boleh berlakunya percanggahan idea sedangkan kedua-duanya adalah seorang yang tinggi nilai keagamaannya. Selepas polemik itu, sastera memasuki zaman sastera Melayu moden pada abad ke-20. Pada abad tersebut, polemik pertama yang mewarnai dunia kesusasteraan negara ialah polemik Asas 50.
MENYINGKAP TABIR SOSIALIS; KONFLIK ASAS 50
Pada tahun-tahun 1950-an, para penggiat sastera saling berdebat untuk memilih dan menentukan aliran yang perlu dianuti sama ada ‘seni untuk seni’ yang diperjuangkan oleh Hamzah Hussin, atau ‘seni untuk masyarakat’ yang diperkenalkan oleh Asraf Wahab. Kedua-dua tokoh Asas 50 tersebut mempertahankan dua aliran yang jelas berbeza dan hal ini secara tidak langsung merancakkan jagat kesusasteraan Melayu dengan tulisan-tulisan kritikan atau polemik mereka yang agak berlarutan. Kedua-dua aliran tersebut mempunyai pengikut yang tersendiri. Masing-masing saling menemukan bukti bahawa aliran merekalah yang perlu diikuti dan mengkritik aliran yang bertentangan. Pertentangan tersebut berlaku dalam tempoh yang lama sehingga menimbulkan polemik kepada dunia kesusasteraan tanah air.
Polemik tersebut bermula pada tahun 1950 dan berlarutan sehingga tahun 1951. Kedua-dua tokoh tersebut mempunyai pengikut yang tersendiri. Penyokong Asraf terdiri daripada kalangan tokoh penulis seperti Awam il-Sarkam, Bachtiar Djamily, Tongkat Warrant, dan Keris Mas, manakala Hamzah pula mendapat sokongan daripada penulis biasa yang tidak berpengaruh (Hashim Awang
17
2003). Dasar utama polemik ini ialah percanggahan pandangan dalam falsafah berkarya. Asraf dan para pengikutnya berpegang kepada konsep ‘seni untuk masyarakat’ manakala Hamzah dan penyokongnya memperjuangkan aliran ‘seni untuk seni’ sebagai dasar penciptaan atau pengkaryaan. Asraf dan sebahagian besar ahli ASAS 50 menyokong falsafah seni untuk masyarakat supaya penciptaan sesebuah karya sastera mempunyai arah, falsafah, dan matlamat yang jelas. Mereka berpandangan bahawa hanya karya sastera yang berbentuk sedemikian lebih memberi kesan dalam memberikan kesedaran dan manfaat yang besar kepada masyarakat. Majoriti penulis ASAS 50 inginkan karya sastera yang berarah, berfalsafah, dan bermatlamat, serta mengharapkan pembaca mendapat kesedaran atau manfaat daripada sesebuah karya sastera (Sahlan Mohd Saman 1999).
Golongan tersebut juga telah menetapkan ukur tara khusus yang melambangkan karya sastera yang mengikuti aliran seni untuk masyarakat, iaitu sesebuah penciptaan karya harus didasari fungsi sosial dengan memberi keutamaan kepada kewujudan unsur perutusan, persoalan, pengajaran, dan penginsafan. Ciri yang dikemukakan itu tidak dipersetujui oleh oleh Hamzah dan pengikut-pengikutnya kerana mereka mahukan karya sastera yang mengutamakan kedua-dua aspek sekali gus atau bersifat selari, iaitu aspek kegunaan, dan aspek keindahan. Di samping memiliki fungsi sosial yang memberi keutamaan kepada perutusan dan persoalan yang berfaedah kepada masyarakat, sastera juga harus mementingkan aspek estetika dalam mencerna fungsi tersebut. Sastera hanya menjadi alat propaganda politik semata-mata sekiranya terlalu mementingkan fungsi sosial sehingga mengabaikan fungsi estetikanya.
Kehadiran Hamzah dan Asraf untuk berpolemik memberi kesan yang besar kepada dunia kesusasteraan tempatan. Sumbangan mereka dalam bentuk buah fikiran dan idea memberikan impak yang positif khususnya kepada teori kesusasteraan Melayu. Segala buah fikiran mereka terakam dalam buku-buku yang bukan sahaja boleh ditekuni oleh generasi kini, malah turut membuktikan bahawa dunia kesusasteraan Melayu berkembang pesat dalam dekad 1950-an. Selain daripada Asraf dan Hamzah, terdapat beberapa tokoh penulis lain yang turut serta dalam polemik tersebut iaitu Bachtiar Djamily, Awam il-Sarkam, dan Keris Mas yang merupakan penyokong kuat konsep seni untuk masyarakat. Bachtiar merupakan seorang tokoh yang sangat menentang fahaman kapitalis kerana golongan atasan sesuka hati menindas golongan bawahan demi kepentingan mereka sendiri (Sahlan Mohd Saman 1999). Beliau juga telah menulis beberapa artikel berhubung polemik yang terjadi antara Asraf dengan Hamzah. Antara tulisan-tulisan beliau ialah ‘Perkembangan Kesusasteraan Melayu Kita’ yang disiarkan dalam Utusan Zaman keluaran 10 Jun 1951, ‘Perhatian Umum terhadap Kesusasteraan Melayu’ dalam Mastika edisi Mei 1954, dan ‘Pernyataan seni untuk masyarakat’ yang diterbitkan dalam Utusan Zaman keluaran 23 Disember 1951. Bachtiar berpegang teguh kepada fahaman tersebut dengan memberi keutamaan kepada kesusasteraan yang didasari realiti sepenuhnya sehingga bersifat terlalu sosialis.
Selain Awam il-Sarkam, tokoh lain yang banyak terlibat dalam polemik ini ialah Keris Mas. Keris Mas merupakan seorang tokoh yang kuat menyokong pandangan Asraf dan telah meletakkan ASAS 50 sebagai angkatan muda yang membawa aliran baru, bentuk baru, dan gaya mengarang serta bahasa yang juga baru (Sahlan Mohd Saman 1999). Beliau berpandangan bahawa sastera yang baik ialah kesusasteraan yang berasaskan kenyataan hidup semurninya. Kesusasteraan harus menggambarkan keseluruhan realiti kehidupan secara jujur dan indah, walaupun sampai pada keadaan yang paling jelik sekalipun, dengan tujuan menimbulkan kesedaran dan keinsafan. Pemikiran tersebut menjadi dasar kepada penciptaan karya-karya dan juga dasar teori kesusasteraan dalam makalah dan dialog sastera beliau. Pandangan tersebut mendapat perhatian yang besar dan
18
diperluas dalam pembicaraan beliau dalam konsep sastera, terutamanya yang terdapat dalam memoir 30 Tahun Sekitar Sastera, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka pada tahun 1979. Polemik tersebut telah mengakibatkan terbentuknya dua golongan iaitu satu golongan yang mendokong prinsip seni untuk seni dan satu golongan lagi menyokong prinsip seni untuk masyarakat. Sehingga ke hari ini masih tiada keputusan muktamad mengenai aliran yang sesuai dipraktikkan oleh pencinta sastera tanah air. Selepas polemik Asas 50, dunia sastera tempatan telah digegarkan dengan polemik sastera Islam antara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad yang berlangsung dari dekad 1970-an sehingga dekad 1980-an. Polemik sastera Islam merupakan antara polemik yang terpenting dalam sejarah perkembangan kesusasteraan negara.
IBARAT MEMPERTAHANKAN AQIDAH; PERTARUNGAN SHAHNON DAN KASSIM AHMAD
Polemik sastera Islam antara dua tokoh sastera yang prolifik iaitu Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad bermula pada dekad 1970-an apabila Shahnon Ahmad menulis tentang pandangannya mengenai sastera Islam di ruangan Sudut Pandangan dalam makalah Dewan Bahasa keluaran Julai 1977. Dalam ruangan tersebut, beliau memberikan pandangannya bahawa “berbudaya, berseni, atau bersastera bertunggakkan Islam, sama seperti beribadat atau berbakti kepada Allah”. Pada akhir tulisannya, beliau menyimpulkan bahawa sastera Islam itu “sebagai sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia sejagat”. Dalam Kesusasteraan dan Etika Islam, Shahnon Ahmad telah mengkritik penulis-penulis ASAS 50 yang dianggap berpaksikan fahaman humanisme, sosialisme, idealisme, realisme, dan aliran-aliran lain, dan bukannya mengabdikan diri kepada Allah.
Polemik sastera Islam berlanjutan apabila Kassim Ahmad menulis dalam Dewan Sastera keluaran November 1982 dengan mengkritik pendapat Shahnon Ahmad dalam ‘Kesusasteraan dan Etika Islam’. Kassim Ahmad menganggap Shahnon Ahmad hanya mengupas teologi dan sejarah Islam sahaja, serta tidak pula memberi penyelesaian yang diperlukan berkenaan teori sastera Islam. Menurut Kassim, pandangan Shahnon berkenaan teori-teori seperti liberalisme dan sosialisme adalah satu pandangan yang sempit dan dangkal. Kassim berpandangan bahawa falsafah yang terkandung dalam idealogi-idealogi tersebut juga terdapat dalam agama Islam. Kassim Ahmad seterusnya menyatakan “adalah tidak munasabah bagi orang-orang yang menamakan diri mereka Muslim menolak nilai-nilai ini semata-mata kerana ianya terdapat di dalam falsafah-falsafah dan idealogi-idealogi lain”. Pendiriannya itu dapat dilihat dalam ‘Menuju Sebuah Teori Sastera Islam: Jawapan Kepada Shahnon’ yang disiarkan dalam Dewan Sastera keluaran Februari 1983.
Kassim Ahmad berpandangan bahawa definisi sastera Islam yang diutarakan oleh Shahnon bersifat terlalu umum dan samar. Walau bagaimanapun, Kassim bersetuju bahawa konsep seni kerana Allah yang dianjurkan oleh Shahnon itu lebih tinggi martabatnya dan tinggi nilainya daripada konsep seni untuk seni, dan seni untuk masyarakat. Pandangan tersebut diterima oleh Shahnon dengan hati yang terbuka kerana Kassim mengakui bahawa “sastera kerana Allah” itu lebih tinggi martabatnya daripada konsep seni untuk seni, dan seni untuk masyarakat yang menjadi slogan bagi kebanyakan sasterawan. Menurut Shahnon lagi, jika seseorang itu menerima Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna dan menyeluruh dalam kehidupan manusia, maka sudah sewajarnya konsep sastera Islam dapat diterima dan dipraktikkan.
19
Perdebatan antara mereka berterusan apabila fokus polemik beralih daripada konsep sastera Islam kepada sifat pencipta sesebuah karya itu sendiri. Shahnon berpendirian bahawa sastera Islam perlu mengikut estetika Islam manakala Kassim menyatakan bahawa seni sastera Islam itu tidak semestinya dicipta oleh seorang penulis Islam. Shahnon menjawab hujah Kassim dengan menyatakan bahawa penulis atau pencipta sesebuah sastera Islam perlulah beriman kepada Allah dan menekankan konsep tauhid dalam karya-karya mereka.
Shahnon menyatakan bahawa memang ramai penulis yang mencipta karya-karya yang bersifat sarwajagat yang bertepatan dengan nilai-nilai Islam seperti Dante, dan T.S. Eliot, namun karya mereka tidak boleh dianggap sebagai sebuah karya sastera Islam kerana keyakinan mereka tidak berpaksikan kepada konsep tauhid, iaitu mengesakan Allah. Shahnon menegaskan bahawa faktor yang menentukan sesebuah karya itu menepati konsep sastera Islam atau bukan sahaja dilihat dari aspek luaran malahan turut mengambil kira aspek dalaman seperti “keyakinan dan keimanan kepada Allah sebagai sumber kebenaran dan kebaikan sejagat”. Aspek tersebut telah dikupas secara menyeluruh dalam artikel bertajuk ‘Sastera Islam Berteraskan Pandangan Hidup Islam’ yang disiarkan dalam Dewan Sastera edisi Mac 1983 pada halaman 47 dan 48.
Hujah tersebut cuba dipatahkan oleh Kassim Ahmad dengan menegaskan bahawa ramai penulis Muslim yang Islam hanya pada nama dan keturunan sahaja tetapi tidak mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Malah ada pula penulis beragama Islam yang menghasilkan karya-karya picisan yang mengandungi unsur-unsur estetika yang tidak menepati ajaran Islam seperti unsur lucah, erotik, dan vulgar. Sebaliknya, ada pula penulis bukan Islam yang menghasilkan karya bercorak sastera Islam. Kassim berpendirian bahawa konsep sastera Islam seharusnya menurut logik dengan menggunakan akal.
Polemik sastera Islam antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad yang merupakan tokoh sastera yang prolifik telah menarik minat penulis-penulis lain seperti Nahmar Jamil, Ismail Ibrahim, Mana Sikana, Rahman Shaari, Yusuf Zaki Yaakub, Abdul Rahman Rukaini, Ismail Hamid, Shafie Abu Bakar, dan lain-lain. Pada peringkat awal polemik, terdapat ramai penulis dan sasterawan tanah air yang menentang kewujudan sastera Islam sebagai satu bentuk sastera tanah air, tetapi konsep tersebut mula diterima sedikit demi sedikit oleh para penggiat sastera, terutamanya apabila banyak karya sastera Islam mulai dihasilkan melalui sayembara penulisan sastera Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri, dan juga melalui kesedaran kumpulan penulis sendiri untuk menghasilkan karya-karya yang bercorak sastera Islam.
Faktor kebangkitan Islam telah menambahkan minat penulis-penulis Melayu untuk menghasilkan karya-karya yang bercorak sastera Islam. Shahnon Ahmad sebagai seorang pelopor kepada konsep sastera Islam mula menerapkan unsur keIslaman dalam novelnya yang berjudul Protes dan menghasilkan sebuah novel bercorak Islam sepenuhnya yang bertajuk Al-Syiqaq. Antara penulis yang mengikuti jejak langkah beliau dalam menghasilkan karya-karya bercorak Islam ialah Mana Sikana, Nahmar Jamil, S. Othman Kelantan, dan Suhor Antar Saudara. Polemik sastera Islam pada dekad 70-an dan 80-an belum ada penghujungnya sehingga hari ini. Melalui polemik antara kedua-dua tokoh ini, timbulnya beberapa aliran atau kelompok serta teori di dalam dunia sastera Melayu khususnya dalam membincangkan mengenai sastera Islam. Selepas dunia sastera sunyi daripada polemik selama beberapa dekad, polemik Interlok telah mewarnai kancah sastera negara pada penghujung 2010.
20
PARIA: PROVOKASI ATAU REALITI?
Polemik paling mutakhir berlaku pada penghujung tahun 2010 berkenaan tulisan Abdullah Hussain berjudul Interlok yang terpilih sebagai teks KOMSAS yang digunakan oleh pelajar-pelajar tingkatan lima di sekolah-sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Putrajaya, bagi menggantikan teks KOMSAS yang terdahulu iaitu Konserto Terakhir yang juga merupakan tulisan Abdullah Hussain. Interlok menjadi mangsa permainan politik halus apabila gagasan dan ideanya sengaja dinafikan tanpa melihat kepada keseluruhan kandungannya. Pihak yang berfikiran dangkal dan ketandusan isu telah bertindak keterlaluan dengan menuduh pengarang menghina kaum India dengan menggunakan perkataan “paria”, merujuk kepada satu kumpulan sosial (kasta) yang diamalkan di India. Realiti sejarah yang cuba diangkat oleh pengarang sengaja dinafikan semata-mata untuk mendapatkan kelebihan politik (political advantage).
Terdapat ahli politik bertindak menggunakan media untuk menghasut kaum India dengan cara memberikan persepsi negatif dan buruk terhadap novel tersebut tanpa memberikan senario sebenar dan keseluruhan gagasan yang dibawa oleh pengarang. Hal ini diburukkan lagi apabila terdapatnya bloggers di laman sesawang seperti media sosial dan blog yang turut menyebarkan persepsi yang sama sehingga menyebabkan persepsi negatif terhadap Interlok cepat merebak dan menjadi tular. Tindakan tersebut diulang-ulang dan dimomokkan secara berterusan sehingga orang India menganggap novel itu benar-benar memprovokasi dan menyentuh sensitiviti mereka. Walaupun pada hakikatnya kebanyakan mereka tidak pernah membaca novel tersebut. Situasi tersebut seolah-olah mengambil peluang memanipulasi ketidak-arifan mereka untuk menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kemarahan sesetengah orang India yang tidak ambil tahu berhubung Interlok tetapi terpedaya dengan persepsi negatif yang dimomokkan secara berulang-ulang kepada mereka. Keadaan ini kemudiannya diterima oleh masyarakat India sebagai satu bentuk agreement realiti kerana pemikiran mereka telah ditanam dengan persepsi sedemikian oleh ahli politik dan blog-blog yang mempunyai niat tersembunyi. Akhirnya persetujuan realiti itu tersemat kukuh dalam mentaliti mereka. Ketidakpuasan hati dan kemarahan akhirnya sampai ke kemuncak pada 8 Januari 2011 apabila seratus penduduk India di Klang bersama ADUN Kota Alam Shah, dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Mariah Mahmud, bertindak mengadakan demonstrasi jalanan, membakar novel dan gambar pengarang. Tindakan ahli politik dan pertubuhan tertentu yang bertindak mengadakan demonstrasi jalanan, membakar novel dan gambar pengarang dilihat hanya menyerlahkan pemikiran sempit mereka.
Tindakan tersebut boleh dianggap menghina dan merendah-rendahkan karya dan pengarang, atau boleh juga dikatakan menghina dunia sastera secara keseluruhannya. Kaum India dilihat bertindak keterlaluan apabila membakar gambar Abdullah Hussain semasa mengadakan tunjuk perasaan. Susulan daripada peristiwa tersebut, perasaan dan kesihatan beliau telah terganggu. Taktik ahli politik yang mengambil peluang menangguk di air yang keruh dan bijak mencari peluang (opportunistic) dengan memainkan isu perkauman dengan mempolitikkan novel Interlok untuk mendapatkan sokongan merupakan satu permainan politik yang kotor dan menjijikkan.
Novel Interlok telah dijadikan kambing hitam dalam usaha membuktikan bahawa kaum India juga mempunyai suara dalam masyarakat setanding dengan kaum Melayu dan Cina. Tindakan tersebut dilihat agak janggal kerana sejak 1971 novel tersebut telah diterima tanpa sebarang kontroversi namun dibangkitkan pada 2011 - mengapa perlu menunggu 40 tahun untuk mengangkat isu tersebut?. Sudah pasti ada muslihat tersendiri yang cuba disembunyikan. Lebih janggal lagi
21
apabila pihak yang terlibat dalam menentang penggunaan novel Interlok dimulakan dan majoritinya merupakan kelompok pro-kerajaan sendiri dan bukannya dari pihak pembangkang.
Melalui pemerhatian terhadap siri polemik yang berlaku dalam sejarah kesusasteraan negara, didapati sastera telah lama keluar dari kepompong sastera per se malah mula menerima pengaruh agama, aliran falsafah, dan politik. Jika dihubung kaitkan politik dengan polemik Interlok, sifat neokonservatif pasca Mahathirisme seperti keterbukaan dan tolak-ansur Najib Razak telah membuka ruang kepada beberapa pertubuhan dan ahli politik tertentu untuk menjadikan novel tersebut sebagai isu perkauman atas nama kebebasan bersuara. Mereka bijak mengambil peluang dengan mengapi-apikan isu perkataan paria dalam usaha menjadi juara masyarakat dan seterusnya mendapatkan sokongan politik. Cubaan mengubah teks yang selama empat dekad mempunyai persepsi positif dan kemudiannya dipersepsi kan sebagai negatif menimbulkan persoalan; mengapa Interlok dipersepsikan sebagai negatif? Isu ini diulas secara ekstensif oleh beberapa tokoh sastera, terutamanya S. M. Zakir yang tegas menyatakan bahawa isu Interlok hanyalah satu cubaan untuk mengalih perhatian daripada kegagalan politik dan sosial kaum India itu sendiri.
KESIMPULAN
Rumusannya, kemunculan polemik-polemik dalam dunia kesusasteraan tanah air telah menimbulkan impak sama ada berbentuk positif mahupun berbentuk negatif. Antara impak yang memberi kesan kepada dunia kesusasteraan negara ialah melahirkan ramai pengkritik baru, merancakkan lagi dunia kesusasteraan, membantu menjelaskan senario sebenar tentang sesuatu isu yang menjadi polemik, menyuburkan minat masyarakat terhadap dunia sastera, memupuk minat membaca dalam kalangan pembaca akhbar, majalah, dan novel berhubung dengan polemik tersebut, dan memperkenalkan karya sastera kepada pembaca yang baru berjinak-jinak dengan kesusasteraan, serta membetulkan salah faham yang timbul berhubung dengan sesuatu isu yang menjadi polemik. Polemik yang tercetus membuahkan pelbagai idea dan teori penciptaan kesusasteraan Melayu, serta menghidupkan dan menyegarkan kegiatan sastera dalam bentuk dialog, perdebatan, dan penulisan makalah. Kemunculan polemik Interlok telah membuka satu lembaran baru dalam perkembangan sastera di negara kita, malah ia juga turut membawa impak yang hebat kepada dunia pendidikan dan politik tanah air.
Berdasarkan polemik yang pernah berlaku dalam sejarah sastera tanah air, perubahan isu dilihat bergerak seiring dengan zaman, bermula dengan Wahdatul Wujud (abad ke-17; akidah, agama), diikuti oleh ASAS 50 (abad 20; pendekatan seni), kemudiannya Sastera Islam (abad ke-20; agama), dan terakhir, konflik Interlok (abad ke-21, era sastera kontemporari, politik, pendidikan, perpaduan). Keempat-empat polemik yang bersifat merentas disiplin dan zaman itu membuktikan bahawa dunia sastera Melayu bukanlah bersifat jumud tetapi ia berkembang, berubah, dan berupaya menerima pengaruh luaran yang bersesuaian dengannya. Ringkasnya, tanpa sedar kita sebenarnya dapat melihat hebatnya dan besarnya sastera itu berlaku di depan mata kita semua; polemik sastera adalah buktinya !
RUJUKAN
Abdul Hadi. (2001). Tasawuf yang tertindas: kajian hermeneutik terhadap karya-karya Hamzah Fansuri. Jakarta: Paramadina.
22
Abdul Samat Ali, Mohamed Latiff Mohamed. (2008). Perjalananku: karya sayembara cerpen pelajar menengah 2008. Singapura: Angkatan Sasterawan 50.
A. M. Thani. (1981). Esei sastera ASAS 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran.
Anwar Ridhwan. (1999). Jati diri pasca Asas '50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Athi Sivan. (1997). Hamzah Hussin: sekitar pemikiran seni untuk seni. Bangi: Penerbit UKM. Attas, Syed Muhammad Naquib. (1966). Raniri and the wujudiyyah of 17th century Acheh.
Singapura: Malaysia Printers Ltd.
Attas, Syed Muhammad Naquib. (1970). The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Hashim Awang. (2003). Sejarah kesusasteraan Melayu moden: Esei kritikan. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Hussein. (1996). Tamadun Melayu. Jilid 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail Yusoff. (2008) Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru. Sintok: Penerbit Universiti Utara
Malaysia,
Kassim Ahmad, Shahnon Ahmad, Zahrah Ibrahim. (1987). Polemik sastera Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Maimunah Mohd. Tahir, Ungku. (1987). Modern Malay Literary Culture: A Historical Perspective. Institute of Southeast Asian Studies,
Maimunah Mohd. Tahir, Ungku. (1996). Proses sastera dan integrasi kaum: satu kajian kes novel Interlok. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Nurazmi Kuntum. (1991). Teori dan pemikiran sastera Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Sahlan Mohd Saman. (1999). Tokoh dan Kecenderungan Kritikan Sastera Mutakhir. Bangi: Persatuan Penulis Selangor.
Teuku Iskandar. (1996). Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad. Jakarta: Penerbit Libra. Sobariah Baharum. (2011). Retorik dalam novel-novel Abdullah Hussain. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Zeti Aktar Jaffar. (2008). Abdullah Hussain dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.