DAKWAH BIL AKHLAK KONTEMPORARI: SATU
PENDEKATAN DALAM KONSEP KEUSAHAWANAN ISLAM DA'WAH BIL AKHLAK CONTEMPORARY: AN APPROACH IN THE
CONCEPT OF ISLAMIC ENTREPRENEURSHIP
Saifulazry Mokhtar1 Irma Wani Othman2*
Mohd Maziz al-Hadi Moharam3 Ismail Maidin4
1 Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Malaysia Email: [email protected]
2 Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Malaysia Email: [email protected]
3 Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Malaysia Email: [email protected]
4 Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Malaysia Email: [email protected]
* Corresponding Author
Article history To cite this document:
Received date : 01-08-2021 Mokhtar, S., Othman, I. W., Moharam, M. M., &
Maidin, I. (2021). Dakwah Bil Akhlak Kontemporari: Satu Pendekatan Dalam Konsep Keusahawanan Islam. International Journal of Accounting, Finance and Business (IJAFB), 6 (37), 111 - 123.
Revised date : 23-08-2021 Accepted date : 25-10-2021 Published date : 30-11-2021
___________________________________________________________________________
Abstrak: Dakwah adalah satu tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh setiap manusia dalam segenap sudut kehidupan. Implementasi dakwah tidak hanya tertumpu kepada sesuatu aspek bahkan ia lebih bersifat universal. Dalam konteks dakwah, terdapat aneka bentuk medium yang dapat digunakan bagi menyebarkan risalah Islam dan salah satunya adalah menerusi dakwah bil akhlak kontemporari. Pendekatan ini juga sangat sesuai untuk dilaksanakan dalam konsep keusahawanan Islam kerana ia menggambarkan peribadi seseorang usahawan itu sendiri.
Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk melihat dakwah bil akhlak kontemporari seseorang usahawan dapat memenuhi konsep keusahawanan Islam serta bentuk-bentuk akhlak yang dikehendaki oleh Islam bagi seseorang usahawan. Kajian ini menggunakan kaedah analisis dokumen dimana al-Quran dan al-Sunnah dijadikan sebagai indikator utama penerapan nilai-nilai akhlak dalam Islam. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa pendekatan dakwah bil akhlak kontemporari sangat memberikan kesan positif terhadap konsep keusahawanan Islam dengan mengaplikasikan akhlak-akhlak yang murni seperti jujur, benar, amanah, bertanggungjawab, ikhlas, menepati janji, sabar, adil, berilmu pengetahuan, bersyukur, optimis dan berserah diri kepada Allah SWT sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Dengan bertunjangkan kepada implementasi dakwah bil akhlak kontemporari ini, seseorang usahawan itu akan mudah didekati, dipercayai dan dikunjungi oleh pelanggan seterusnya dapat memperkembangkan lagi hasil perniagaan mereka ke serata tempat.
Kata Kunci: Dakwah, Akhlak, Dakwah bil Akhlak, Kontemporari, Keusahawanan Islam.
Abstract: Da'wah is a requirement that every human being needs to implement in every corner of life. The implementation of da'wah is not only focused on an aspect but it is more universal.
In the context of da'wah, there are a variety of mediums that can be used to distribute Islamic pamphlets and one of them is through the preaching of contemporary moral bills. This approach is also very suitable to be implemented in the concept of Islamic entrepreneurship as it reflects the personality of an entrepreneur himself. Hence, this study is carried out with the aim of looking at the contemporary da'wah of an entrepreneur to fulfill the concept of Islamic entrepreneurship as well as the forms of morality required by Islam for an entrepreneur. This study uses the method of document analysis where al-Quran and al-Sunnah are used as the main indicators of the application of moral values in Islam. The findings show that the approach of da'wah bill contemporary morals greatly affects the concept of Islamic entrepreneurship by applying pure morals such as honest, true, trustworthy, responsible, sincere, fulfilling promises, patience, fairness, knowledgeable, grateful, optimistic, and surrendering to Allah SWT as done by the Prophet PBUH. By being engaged to the implementation of this contemporary moral bill preaching, an entrepreneur will be approachable, trusted and visited by customers and thus expand their business revenues all over the place.
Keywords: Da'wah, Moral, Da'wah bil Akhlak, Contemporary, Islamic Entrepreneurship.
Pengenalan
Istilah akhlak berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu khulq yang membawa maksud tabiat, tingkahlaku, perangai, kemahuan, peribadi dan kebiasaan. Namun secara realitinya masyarakat menakrifkan akhlak sebagai nilai keperibadian seseorang yang menzahirkan tingkah laku mereka terhadap dirinya dengan pencipta, manusia, alam dan makhluk lain.
Perilaku tersebut biasanya sejajar dengan tuntutan dan larangan yang tertulis dalam al-Quran dan hadis. Rasulullah SAW telah mempamerkan qudwah hasanah di dalam aspek adab dan akhlak sebagaimana hadis bahawa baginda diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (Muda,N., et.all 2021). Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang Agung” (Surah al-Qalam: 4) dan
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang-orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (Surah al-Ahzab:21).
Penekanan akhlak dalam al-Quran sangat ketara apabila Allah SWT menyebut lebih kurang sebanyak 1504 ayat yang berkaitan dengan akhlak (Suhid, A., 2009). Allah SWT juga telah menentukan tingkahlaku yang baik, halal dan haramnya serta kesan-kesan meninggalkan akhlak yang mahmudah dan melakukan sifat-sifat mazmummah. Apabila disingkap kembali tirai sirah Rasulullah SAW, kita akan temui sejarah kehidupan baginda tidak lekang dari aspek keusahawanan. Ini kerana, nostalgia membuktikan bahawa baginda mula menceburkan diri dalam kancah keusahawanan sejak berumur 12 tahun apabila dibawa oleh bapa saudaranya Abu Talib untuk menjalankan peniagaan ke negeri Syam. Selain itu, Rasulullah SAW turut berniaga di sekitar Kota Makkah seperti di pasar al-cUkaz dan zu al-Majaz. Oleh hal sedemikan jelas menunjukkan bahawa konsep keusahawanan ini tidak asing dalam kehidupan Rasulullah SAW dan perlu dijadikan sebagai satu contoh kepada seluruh usahawan Muslim kontemporari.
Implementasi dakwah tidak hanya tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata dan tidak juga dikhususkan menerusi perkataan sahaja. Menurut Mokhtar, S. et.al. (2021a), berdakwah tidak semestinya dilakukan secara alunan suara bahkan ia boleh dilakukan dengan cara tanpa suara dan ini termasuk dalam konteks berdakwah dengan cara lemah lembut atau secara hikmah. Pendekatan hikmah juga didefinisikan sebagai percakapan yang sedikit tetapi memberi maksud yang dalam kepada penerima dakwah (Mokhtar, S., et.al., 2021d) dan ia bergantung sepenuhnya kepada situasi dan keadaan pendakwah pada masa itu (Mokhtar, S., et.al., 2021e).
Menerusi bidang keusahawanan Islam, pendekatan dakwah dapat disebarkan menerusi akhlak seorang usahawan itu sendiri. Dengan merealisasikan bentuk akhlak yang terpuji serta penerapan nilai akhlak Rasulullah SAW sudah pasti menyenangkan hati pembeli. Budi bahasa, keterampilan serta cara berkomunikasi yang sentiasa dipancarkan dengan baik (Mokhtar, S. et.
al., 2019) dapat melembutkan hati pembeli serta dapat mewujudkan hubungan silaturahim yang lebih erat antara penjual dan pembeli.
Menurut Mokhtar, S., et.al. (2021c), rekayasa dakwah yang disenangi oleh penerima dakwah adalah menerusi pengamalan sifat-sifat yang mahmudah dalam setiap konteks kehidupan, dan ini termasuklah dalam landskap keusahawanan Islam. Adalah menjadi satu kerugian yang besar jika para dai (penjual) tidak mengeksploitasikan sarana ini untuk kegunaan yang lebih mulia iaitu berdakwah ke jalan Allah SWT (Mokhtar, S., et.al., 2021e) dengan menerapkan nilai akhlak terpuji dalam transaksi perniagaan. Sebagai seorang usahawan Muslim yang cemerlang, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT sebaik mungkin seterusnya berusaha mewujudkan nilai tambah kepada ummah Islam tanpa mengira bidang yang mereka ceburi termasuklah bidang keusahawan Islam. Justeru, kajian ini akan melihat pendekatan dakwah bil akhlak kontemporari dapat dijadikan sebagai satu medium dalam keusahawanan Islam menerusi penerapan nilai tersebut dalam diri setiap usahawan Muslim masa kini.
Kajian Literatur
Rentak kehidupan manusia masa kini telah melalui perubahan besar khususnya dari sudut pergaulan, interaksi dan transaksi. Pelbagai aspek dan rutin harin manusia telah ditransformasikan ke dalam bentuk digital termasuklah dalam konteks dakwah, perniagaan, musyawarah dan sebagainya. Dalam kajian Zarifi, M. (2021) beliau telah melaksanakan kajian konteks dakwah semasa menerusi media penyiaran sebagai platform dalam penyampaian mesej dakwah kepada masyarakat melalui rancangan-rancangan berbentuk bicarawara, tazkirah, drama, dokumentari, hiburan serta lain-lain. Hasil kajian beliau menemui pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah banyak melakukan transformasi dakwah menerusi penyiaran di saluran televisyen (TV) seperti Forum Perdana Ehwal Islam, MyHalal, Fikrah, Anda Musykil, Muqaddam, Tilawah Interaktif, Persada Jurnal, serta lain-lain rancangan. Tidak ketinggalan juga, pihak JAKIM telah meluaskan lagi penguasaan dakwah penyiarannya ke rangkaian radio khususnya radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti radio JAKIM Salam fm, Nasional fm, Radio Klasik, Ai fm, Minnal fm dan Asyik fm.
Bagi memastikan siaran dakwah terus mekar dipersada dunia dalam pelbagai aspek, beliau bercadang agar para ilmuan dan pihak industri dalam kalangan penerbit dan pasukan produksi perlu duduk semeja untuk berfikir dan bertukar pandangan dalam menghasilkan format rancangan yang segar serta mampu menarik minat pelbagai lapisan umur khususnya dalam rancangan berbentuk keagamaan. Sebagai seorang pendakwah, sewajarnya kita meneroka bidang baharu seperti komedi, drama, kartun serta rancangan kanak-kanak yang boleh
diterapkan elemen-elemen dakwah serta adab, akhlak, sahsiah yang berkonsepkan islamiah.
Dengan berteraskan kepada suasana negara yang masih berdepan pandemik Covid-19, rancangan yang diterbitkan dalam kaca televisyen wajar memenuhi keperluan ilmu serta terapi jiwa masyarakat.
Namun bagi Had, A. (2014) pula, beliau mensasarkan dakwah yang perlu dilaksanakan pada masa ini adalah menerusi internet, khususnya melalui medium facebook. Beliau berpendapat, dengan menggunakan facebook, pengguna yang ingin mempelajari dan mendalami ilmu agama serta memperkenalkan produk perniagaan mereka akan lebih mudah tertarik dan sentiasa dihidangkan dengan pengetahuan berunsur Islam dan secara tidak langsung akan terus mendokong dakwah Islamiyah. Selain facebook, penggunaan blog juga dapat membantu individu dalam menyebarkan dakwahnya kepada seluruh lapisan masyarakat, termasuk keusahawanan. Ini kerana, dengan menggunakan blog, masyarakat lebih mudah untuk mengakses maklumat agama melalui telefon pintar masing-masing (Adam, F., et.al. 2014).
Media sosial merupakan medium yang tepat sebagai sarana dalam penyebaran dakwah Islam dan persediaan awal dalam menghadapi perang pemikiran yang disebar oleh golongan anti- Islam. Oleh itu masyarakat Islam seharusnya memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi hari ini sebagai alternative baharu untuk berdakwah (Aminudin, 2018) dan dapat menyebarluaskan perniagaan berlandaskan kehendak Islam.
Menurut Tibek, R. (2011), media boleh digunakan sebagai perantara penyampai dakwah baik media elektronik, cetak mahupun laman web dengan mempelbagaikan kaedah dan metode dakwah untuk memaksimumkan matlamat dakwah lantaran media yang seharusnya berperanan menyampai maklumat. Bagi Sahlan, A., & Sahad, M.N. (2020) pendekatan dakwah kontemporari yang dirasakan sesuai pada masa ini adalah melalui kesenian. Beliau berpendapat berdakwah menerusi kesenian dilihat mampu menarik golongan sasaran untuk menerima seruan dakwah. Kepelbagaian pendekatan dalam menyampaikan dakwah dengan lebih luas menyumbang kepada perkembangan dakwah semasa. Walau bagaimanapun, seseorang pendakwah tersebut perlulah mahir dengan selok belok kesenian kerana kesenian tersebut bukanlah terbentuk dalam satu wajah sahaja. Kesenian boleh diterjemahkan ke dalam bentuk lakaran, tulisan, hiburan, nyanyian dan sebagainya.
Menurut Rasit, R.M., & Asha’ari, M.F. (2014) menegaskan bahawa kemahiran menguasai bidang kesenian merupakan suatu kelebihan bagi para pendakwah pada hari ini dalam memahami dan mendekati sasaran dakwah khususnya bagi mereka yang suka kepada hiburan.
Dengan menampilkan nilai-nilai keindahan dalam berdakwah secara tidak langsung menjadikan kesenian itu sebagai salah satu pendekatan dakwah yang menarik dan berkesan.
Jika dakwah yang dijalankan tersebut tidak menepati cita rasa mad’u, ia akan menimbulkan rasa bosan dalam kalangan pendengar dan secara tidak langsung menyebabkan isi dakwah yang cuba disampaikan tidak dapat diterima dengan baik (Gazalba, S., 1988). Namun begitu, sekiranya pendakwah menggunakan susunan kata yang indah, gaya penyampaian dan pengucapan yang membelai perasaan sudah pasti dapat membangkitkan semangat dan daya tarikan dalam kalangan pendengar untuk menghayati isi dakwah yang disampaikan. Walau bagaimanapun, kesenian yang menjadi keutamaan dalam Islam ialah kesenian yang mampu meningkatkan kehalusan dan keindahan budi pekerti manusia dalam membentuk hubungan di antara manusia dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.
Selain menerusi kesenian, terdapat juga medium lain yang sesuai diaplikasikan dalam dakwah hari ini sepertimana kajian yang dijalankan oleh Wahab, A.A. et.al. (2019) berkaitan Media Sosial sebagai Medium Dakwah Masa Kini. Beliau berpendapat, apa yang penting dalam dakwah bukanlah bergantung kepada medium semata-mata tetapi pendakwah perlu mengutamakan kemahiran dan asas dakwah ‘hikmah’ dalam berdakwah. Seseorang pendakwah perlu menggunakan isi dakwah yang menarik dan cara penyampaian yang berhikmah kerana pendekatan yang digunakan oleh seseorang pendakwah merupakan perkara penting dalam dunia pendakwahan supaya apa yang disampaikan dapat diterima baik oleh golongan sasaran dakwah. Berdakwah secara berhikmah mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh mempengaruhi sasaran dakwah dan ia akan menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu dakwah yang dijalankan. Berdakwah juga bukan hanya terhad kepada golongan lelaki sahaja tetapi juga boleh dilaksanakan oleh golongan wanita.
Menurut Noordin, F.S.M, et.al. (2019) dalam kajian beliau berkaitan Cabaran Kontemporari di Era Globalisasi dalam Pengurusan Masyarakat oleh Pendakwah Selebriti Wanita di Malaysia mendapati pendakwah selebriti wanita juga mempunyai ribuan pengikut dan aktif dalam media massa khususnya menerusi Instagram sejak 2014-2019 seperti Norhafizah Musa dan Isfadiah Mohamed Dasuki. Usaha memperkenalkan memperkenalkan dakwah kepada masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi di peringkat negara kerana ia memerlukan perancangan yang strategik, perlaksanaan yang rapi, iltizam politik yang bersungguh-sungguh, dan semangat kemanusiaan yang kukuh. Menurut Hasim, M.S., & Ghani, Z.A. (2015) aspek komunikasi turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan dakwah.
Jika komunikasi tidak dirancang dan dilaksanakan dengan baik, pelaksanaan dakwah itu mungkin gagal diterima lalu tidak diadaptasi oleh khalayak sasaran yang terdiri daripada pelbagai peringkat pemikiran dan pendidikan.
Dunia semakin maju dan cabaran dakwah Islamiah menghadapi pelbagai cabaran yang semakin hebat khususnya suasana kehidupan manusia yang semakin kompleks dimana ia bergantung pada kemampuan para dai atau pendakwah serta wawasan pendakwah atau organisasi dakwah mengurus strategi dakwah terhadap sasaran dakwah yang berkait dengan masalah, budaya serta karakter yang berbeza. Menurut Jalal, B. et.al. (2018) para pendakwah masa kini perlu mampu memainkan pelbagai peranan dalam masyarakat yang homogenous. Keperluan para pendakwah atau dai melakukan transformasi agar menjadi pendakwah yang relevan masa kini dan masa akan datang. Selain itu, para pendakwah perlu bertindak sebagai kaunselor, penyelesai masalah, pengurus dan juga usahawan. Dengan cara yang sedemikian, proses dakwah Islamiah dalam pelbagai etnik akan terus berkembang dan pendakwah mampu menjadi agen perubahan sosial serta dapat membina masyarakat yang mantap dari segi, akhlak, ibadah dan mualamat.
Berdasarkan kepada literatur kajian, dakwah menerusi akhlak dalam elemen keusahawanan Islam belum pernah dijalankan oleh sarjana. Aspek keusahawanan Islam pula lebih tertumpu kepada pelaksanaan dan kepentingan keusahawanan tanpa dilihat dari perspektif dakwah.
Justeru, kajian ini sesuai dilaksanakan pada masa kini bagi mentarbiah para ushawan baharu untuk mengamalkan dan mengaplikasikan bentuk-bentuk akhlak yang sepatutnya mereka terapkan dalam keusahawanan supaya mereka menjadi model usahawan Muslim yang berjaya suatu hari nanti.
Metodologi Kajian
Kajian ini dijalan berdasarkan analisis dokumen iaitu berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta makalah-makalah dari artikel jurnal yang berkaitan dengan keusahawanan Islam. Penulis akan merujuk kepada tafsir al-Quran dan hadis bagi memperoleh bentuk-bentuk akhlak yang disarankan oleh Islam khususnya dalam konsep keusahawanan Islam. Pelaksanaan akhlak- akhlak tersebut dalam transaksi perniagaan khususnya kepada seseorang usahawan dikategorikan sebagai dakwah bil akhlak dengan berdasarkan kepada sifat-sifat yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Kupasan dan huraian berkaitan akhlak tersebut akan diterjemahkan ke dalam aspek keusahawanan Islam sebagai indikator kepada setiap usahawan Muslim.
Dapatan Kajian
Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan terhadap konsep keusahawanan Islam, penulis telah menemui beberapa bentuk dakwah bi akhlak kontemporari yang sangat sesuai untuk diaplikasikan kepada seluruh usahawan sama ada Muslim ataupun non-Muslim. Berikut adalah beberapa bentuk sifat yang perlu ditonjolkan oleh setiap usahawan Islam menerusi dakwah bil akhlak kontemporari.
Jujur dan benar
Dengan berpaksikan kepada Rasulullah SAW sebagai seorang usahawan yang mempunyai sifat jujur dan benar, maka segala aspek pelaksanaan baginda dalam usahawan perlulah dicontohi dan diteladani. Sifat jujur dan benar yang lahir dari diri Rasulullah SAW tersebut adalah pantulan dari tahap keimanan dan ketakwaan baginda kepada Allah SWT. Bersikap benar yang diaplikasikan oleh baginda dalam kehidupan meliputi niat, perkataan, perbuatan, tingkah laku sama ada ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab ataupun sebaliknya. Menurut Muis, A.M.R.A., et.al. (2021), tingkah laku ini dinamakan akhlak iaitu terjemahan daripada akidah dan amalan atau ibadah seseorang. Dengan menjaga amal ibadah seharian, seseorang itu akan terarah melakukan perbuatan dan sifat mahmudah. Kejujuran dan kebenaran baginda dalam setiap tingkahlaku telah diketahui umum oleh seluruh penduduk di Kota Makkah dengan menggelarkan baginda rasul sebagai al-Amin dan al-Siddiq. Personaliti dan kredibiliti yang ditonjolkan oleh baginda dalam konteks keusahawanan dapat menarik minat dan kepercayaan pembeli.
Kebenaran merupakan menu utama dalam proses komunikasi (Mokhtar, S. et.al. 2021b), perbuatan dan implementasi seseorang insan dalam setiap aspek kehidupan. Sikap mengabaikan kejujuran dan kebenaran dalam aktiviti perniagaan akan mengundang rasa tidak puas hati pembeli serta mendoakan yang tidak baik buat penjual. Penipuan dan pembohongan dalam perniagaan boleh berlaku dalam pelbagai situasi termasuklah memberikan butir-butir yang tidak benar dengan barangan yang dijual seperti mengubah tarikh luput sesuatu barangan, meletakkan barangan segar di sebelah atas sedangkan barangan yang lama diletakkan di bawah, mengkhabarkan barangan baharu sahaja diperoleh dari pembekal sedangkan ia sudah lama dan banyak lagi. Perbuatan-perbuatan tersebut jelas menggambarkan bahawa seorang usahawan itu bukan memiliki sifat-sifat yang baik sebagai seorang usahawan Muslim. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Pembeli dan penjual mempunyai hak pilihan sebelum berpisah. Kalau kedua-dua penjual dan pembeli bercakap benar dan menjelaskan maka kedua- dua mereka diberkati dalam jual beli mereka. Kalua kedua-duanya menipu dan menyembunyikan, maka mungkin mereka beruntung sesuatu dalam jual beli mereka, tetapi dihapuskan berkat jual beli. Sumpah dusta melariskan barangan tetapi menghapuskan pendapatan”.
Allah SWT juga sangat murka dengan hambanya yang cuba memperdaya orang lain dengan cara menipu dan berbohong kerana perbuatan itu jelas bertentangan dengan syariat. Menurut Hassan, A. (2002), setiap individu itu tidak mungkin akan dapat menjadikan orang-orang yang mencurigai kejujuran dan keikhlasan mereka untuk menyukai dirinya. Al-Ghazali, M. (2002) turut menyatakan bahawa kejujuran adalah nilai yang amat dihargai sebagaimana Rasulullah SAW mengatakan bahawa kejujuran itu pintu gerbang syurga iaitu dapat membawa seseorang ke jalan syurga manakala kedustaan pula adalah pintu gerbang ke neraka. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menukar janjinya dengan Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak akan mendapat pahala di akhirat dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tida pula mensucikan mereka. Bagi mereka adalah azab yang pedih” (Surah Ali-cImran: 77). Selain itu, Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara)” (Surah al-Ahzab: 70). Berdasarkan kepada dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah SWT sangat membenci seorang manusia yang tidak jujur dan tidak benar sehinggakan mereka akan ditempatkan di dalam neraka dan diazab dengan azab yang pedih. Untuk menjadi seorang yang jujur, setiap usahawan itu perlulah meletakkan nilai kejujuran dalam setiap percakapan dan perbuatan mereka kerana sifat kejujuran itu akan menambat hati pendengar (Mokhtar, S. (2014) dan masyarakat dapat menerima dan melaksanakan transaksi jual beli dengan hati yang terbuka.
Amanah dan tanggungjawab
Menurut Yahya, H., (2004), memiliki sifat amanah dalam diri merupakan satu ciri-ciri terpenting bagi setiap orang yang beriman. Amanah dan tanggungjawab adalah gandingan sifat yang perlu ada dalam setiap diri manusia. Kedua-dua sifat ini turut menjadi tunjang dalam sifat murni khususnya menerusi keusahawanan Islam. Pelaksanaan sifat ini dalam transaksi perniagaan merupakan salah satu bentuk dakwah bil akhlak kontemporari terhadap masyarakat sekeliling. Dengan membudayakan sifat ini dalam landskap perniagaan, seseorang usahawan itu akan disanjung dan dipandang mulia dalam masyarakat. Amanah dan tanggungjawab seorang usahawan Muslim dalam aspek perniagaan adalah membawa faedah dan manfaat kepada seluruh manusia. Hal ini telah dirakamkan dalam sabda Rasulullah SAW yang berbunyi:
“Pengkhianat yang paling besar dan paling bahaya ialah yang dilakukan oleh seseorang yang ditugaskan menjaga urusan orang ramai lalu diabaikan”. Berdasarkan hadis tersebut jelas menggambarkan bahawa mengamalkan sifat amanah dan tanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan sangat dituntut oleh Islam bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni.
Adil
Secara realitinya sifat adil boleh difahami dengan kiasan meletakkan sesuatu itu tepat dan sesuai dengan keadaanya. Dalam konteks akhlak, sifat adil perlu dilaksanakan selaras dengan ketentuan syariat, akidah dan akhlak sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Islam.
sifat adil ini bukan hanya tertumpu kepada diri sendiri semata-mata bahkan ia juga melibatkan masyarakat lain dalam segenap aspek kehidupan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan
jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan” (Surah al-Nisa’:135).
Apabila dilihat dalam sudut keusahawanan Islam, nilai adil ini turut menjadi intipati sifat dalam mencerminkan Islam yang sebenar. Sebagai seorang usahawan Muslim, kita seharusnya mengamalkan sifat ini dalam urusan jual beli seperti memberi timbangan yang tepat, kadar harga yang seimbang antara pembeli dan maklumat yang jelas berkaitan barangan jualan.
Dewasa ini, ada sesetengah usahawan yang terlebih dahulu melihat keadaan seorang pembeli terlebih dahulu sebelum meletakkan nilai sesuatu barangan tersebut. Sebagai contoh, apabila pembeli tersebut berpakaian agak kemas seperti seorang yang berada, mereka akan meletakkan harga yang agak mahal dan sebaliknya. Seharusnya sebagai seorang Muslim, nilai dan budaya ini tidak patut kita semaikan dalam diri kerana ia tersasar dari kehendak ajaran Islam yang sebenar. Selain itu, usaha pengiklanan dan promosi yang dilakukan oleh seseorang usahawan Muslim juga mestilah benar dan tepat sebagaimana yang akan diperoleh daripada barangan yang dibeli. Dengan penerapan sifat keadilan dalam konsep keusahawanan ini telah membuktikan bahawa implementasi dakwah bil akhlak kontemporari memberikan nafas baharu dalam bidang keusahawanan Islam masa kini.
Ikhlas
Menurut Mokhtar, S. et.al. (2021b), sifat jujur dan benar itu adalah pasangan bagi sifat ikhlas.
Ini kerana sifat ikhlas ini akan muncul dari perbuatan yang jujur dan benar seseorang. Dalam mengupas berkaitan dengan sifat ikhlas, kita akan kaitkan dengan sifat ini dengan niat. Ini kerana, niat dan dorongan untuk melakukan sesuatu itu berpunca dari hati dimana tempat letaknya sifat ikhlas. Nilai pahala yang akan diperoleh bagi seseorang yang melakukan suatu amalan baik dengan ikhlas akan dilipat gandakan oleh Allah SWT. Menurut Mokhtar, S. (2014), ikhlas adalah amal kebajikan yang dilaksanakan oleh seseorang hanya semata-mata kerana Allah iaitu hanya mengharap keredaanNya. Ikhlas juga dapat dikaitkan dengan roh sesuatu am dan amal kebajikan, manakala amal ibadah yang ditunaikan oleh seseorang yang tidak disertai ikhlas, samalah seperti amal yang tidak mempunyai roh. Hal ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah tidak menerima amalan, melainkan amalan yang ikhlas dan yang kerana untuk mencari keredaan Allah”.
Seorang usahawan Muslim yang menyemai sifat ikhlas dalam urusniaganya dapat menjadikan dunia perniagaannya bukan semata-mata mendapat keuntungan, tetapi mereka juga akan dapat menambah amal ibadah. Dalam melaksanakan dakwah bil akhlak kontemporari menerusi sifat ikhlas ini, seseorang usahawan itu mestilah menjadikan dirinya sebagai seorang yang memberi khidmat terbaik untuk penggunanya. Dengan menjadikan sifat ikhlas sebagai tunjang dalam dirinya, maka seluruh transaksi yang dilakukan akan telus dan murni serta menepati kehendak Allah SWT dan mendapat rahmat dan pahala yang berlipat ganda. Sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar” (Surah al-Bayyinah: 5).
Bersabar
Dalam konteks keusahawanan, sifat sabar dapat dikatkan dengan seseorang yang mampu menanggung kesukaran tanpa gelisah dan tenang menunggu hasil walaupun lambat serta sanggup menghadapi bebanan yang berat dengan hati yang lapang. Selain itu, sabar juga adalah
indikator utama dalam keusahawanan kerana setiap perniagaan yang dijalankan itu tidak mudah untuk memperoleh keuntungan dengan sekelip mata. Banyak perkara yang perlu dilalui oleh seorang usahawan dalam membentuk jati diri sabar dalam dirinya seperti sabar menghadapi kerenah pekerja dan pelanggan, tahap ekonomi yang tidak menentu, pandemik Covid-19 yang menular, tekanan dari pihak penguatkuasaan, persaingan dari usahawan lain dan sebagainya.
Semua cabaran ini adalah satu ujian yang telah Allah SWT aturkan buat hamba-hambanya bagi mengukur tahap keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar antara kamu dan agar kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu” (Surah Muhammad:13). Dengan mengamalkan sifat sabar ini dalam konsep keusahawanan, maka ia telah membuktikan bahawa dakwah bil akhlak kontemporari ini sangat diperlukan bagi seorang usahawan Muslim.
Menepati Janji
Dakwah bil akhlak kontemporari menerusi menepati janji ini sangat penting dalam konsep keusahawanan kerana ia akan mewujudkan nilai kepercayaan tinggi antara pembeli dan penjual.
Konsep menepati janji ini agak luas aspeknya meliputi sikap menunaikan janji apabila membuat temu janji, menepati semua akad perjanjian yang dimeterai dan menyempurnakan tugas tepat pada waktu yang dijanjikan. Masyarakat seringkali menggambarkan mereka yang tidak menepati janji ini sebagai orang yang pecah amanah. Pada hakikatnya, Allah SWT telah memberi amaran kepada orang-orang beriman supaya mengotakan setiap kata-kata atau janji yang lahir dari mulut mereka, kerana Allah tidak suka kepada mereka yang hanya pandai berkata-kata sedangkan tidak melaksanakannya (Mokhtar, S. et.al., 2021b).
Islam juga melarang umatnya melafazkan janji tetapi mereka sendiri yang tidak dapat menunaikannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan” (Surah al-Saff: 2-3). Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Isra’ yang bermaksud: “…penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabnya” (Surah al-Isra’:34). Menurut Mokhtar, S. (2014), masyarakat hari ini lebih terpengaruh dengan apa yang mereka lihat berbanding dengan apa yang mereka dengar. Jadi, sebagai seorang usahawan Muslim, kita perlu melaksanakan apa yang telah kita perkatakan kerana sumber yang berwibawa ialah yang mengatakan sesuatu dengan perbuatan, bukan hanya dengan lisan semata-mata. Mengamalkan sifat ini dalam konteks keusahawanan bermaksud seseorang usahawan Muslim itu telah melaksanakan dakwah bil akhlak kontemporari yang dapat menjadi contoh baik kepada usahawan-usahawan lain.
Berilmu pengetahuan
Seorang yang mahu menyampaikan dakwah Islam ini perlu mempunyai ilmu yang dalam tentang Islam sebelum menyampaikan kepada pihak lain (Mokhtar, S., et.al., 2021d). Tanpa ilmu yang padu dalam dada, seseorang pendakwah itu tidak dapat menjalankan dakwah dengan baik seterusnya menempa kegagalan. Dalam konteks keusahawanan Islam, seseorang pendakwah atau usahawan tersebut perlu memiliki nilai ilmu yang tinggi dalam selok belok keusahawanan dan dakwah. Seseorang usahawan Muslim yang berilmu pengetahuan, sudah pasti beliau bijak dalam menjalankan aktiviti jual beli seterusnya mereka akan mendapat keuntungan selaras dengan kehendak Islam. Tambahan lagi, seseorang usahawan yang berjaya perlu bijak dan arif dalam semua bidang ilmu pengetahuan, baik ilmu agama mahupun ilmu akademik dengan psikologi, sosiologi dan sebagainya (Mokhtar, S. et.al., 2019). Ilmu yang
mereka perolehi berupaya meningkatkan kewibawaan usahawan, potensi dan keunggulan diri.
Hal ini dapat kita gambarkan dengan keadaan Rasulullah SAW sebagai seorang usahawan dimana baginda telah dibekalkan denga ilmu usahawan sejak baginda masih kecil sehinggalah baginda diangkat menjadi nabi terakhir. Dengan mempunyai ilmu yang tinggi juga, Allah SWT telah mengangkat darjat seseorang dengan mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Surah al-Mujadalah:11).
Bersyukur
Setiap khalifah di atas muka bumi ini di gesa untuk sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dalam setiap perkara yang menimpa kehidupan mereka. Suka dan duka adalah ujian yang pasti ditempuhi oleh setiap insan sama ada kecil ataupun besar. Manusia juga diarah agar mengamalkan sifat bersyukur di atas rezeki yang mereka perolehi tanpa mengira jumlah dan bentuknya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepadanya kamu menyembah” (Surah al-Baqarah: 172). Syukur juga boleh dizahirkan dengan pelbagai kaedah seperti bersedekah dan menambah amal ibadah. Allah SWT menyeru kepada seluruh umat Islam agar membelanjakan harta ke jalan Allah SWT bagi memperolehi rahmat dan nikmat kebahagiaan. Allah SWT juga berjanji akan mengurniakan kepada mereka yang membelanjakan harta ke jalan Allah akan mendapat ganjaran yang besar dan berlipat ganda. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih”
(Surah Ibrahim: 7).
Berdasarkan kepada ayat di atas, seluruh umat Islam disarankan agar mengaplikasikan sifat sentiasa bersyukur dalam landskap kehidupan mereka. Mereka yang tidak bersyukur tersebut dapat dikategorikan sebagai orang yang sombong dan bongkak dengan nikmat dan kelebihan yang mereka kecapi. Seharusnya, setiap usahawan itu perlu mensyukuri setiap nikmat dan keuntungan yang diperoleh setiap kali menjalankan aktiviti perniagaan. Terdapat sesetengah masyarakat hari ini memandang remeh terhadap nilai syukur dalam dirinya. Apabila memperoleh pendapatan yang lumayan dan berlipat ganda, mereka seolah-olah lupa diri sehinggakan mereka leka untuk menunaikan tanggungjawabnya untuk bersedekah dan berkongsi hasil pendapatan mereka dengan orang lain. Sekiranya mereka mendapat pendapatan yang sedikit, mereka mengeluh dan mengatakan inilah rezeki untuk hari ini serta menyalahkan orang lain. Sikap sebegini perlu dilontarkan jauh dari sudut hati setiap usahawan Muslim kerana ia tidak menepati ciri-ciri akhlak seorang usahawan Muslim. Dengan melaksanakan sifat bersyukur ini dalam aspek keusahawanan Islam, maka ia membuktikan bahawa dakwah bil akhlak kontemporari telah sebati dengan kehidupan mereka lantas mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah SWT.
Bersikap Optimis dan berserah diri kepada Allah SWT
Sebagai seorang usahawan Muslim, bersikap optimis dan berserah diri kepada Allah SWT semata-mata adalah satu sikap yang wajib ada dalam diri seseorang. Hal ini sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika baginda menjadi tokoh usahawan Muslim yang unggul ketika itu. Nabi Muhammad SAW juga sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik dengan apa yang baginda lakukan kerana ia akan mendatangkan sikap keyakinan dalam
segala urusan yang dijalankan. Islam mengajar umatnya agar menanam niat dan azam yang baik dalam setiap perkara yang mahu dilakukan oleh seseorang itu. Ini kerana, setiap niat yang baik akan mendapat ganjaran baik dari Allah SWT bahkan akan dilipat gandakan sekiranya seseorang itu melaksanakan niat tersebut dengan sempurna. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin dimilikinya atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu mengikut apa yang dia niatkan” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bersikap optimis dan berserah diri kepada Allah SWT adalah satu rangkaian yang mempunyai peranan besar dalam meraih kejayaan dan keuntungan terutama dalam bidang perniagaan yang diusahakan oleh seseorang. Ini sebagaimana firmanya yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-A’raf: 55). Realiti amalan dan ritual masyarakat hari ini khususnya bagi usahawan, mereka seringkali meletakkan ayat- ayat al-Quran di premis-premis perniagaannya dengan harapan ia menjadi pelaris kepada keberuntungan perniagaannya. Walhal, bukan ini saranan sebenar Islam terhadap seorang usahawan Muslim tetapi mengharapkan mereka untuk terus bergantung harap yang tinggi kepada Allah SWT sambil melaksanakan tuntutan wajib baginya dan menunaikan amalan sunat dalam kehidupan seharian. Pelaksanaan konsep kebergantungan kepada Allah SWT ini adalah salah satu daripada bentuk dakwah bil akhlak kontemporari yang harus diamalkan oleh setiap usahawan Muslim.
Penutup
Secara kesimpulannya, dakwah bil akhlak kontemporari adalah sangat berkait rapat dengan konsep keusahawanan Islam. Sebagai seorang usahawan Muslim, kita seharusnya mengamalkan akhlak-akhlak yang telah diaplikasikan oleh Rasulullah SAW sebagai panduan dan rujukan kepada umat Islam. Dengan melakukan sifat-sifat terpuji dan akhlak sebenar sebagai seorang Muslim dalam konsep keusahawanan Islam, maka nama baik Islam akan tersebar luas seterusnya dapat memberikan contoh terbaik bagi usahawan-usahawan lain.
Implementasi nilai-nilai murni dalam aktiviti keusahawanan ini turut mendapat keberkatan dari Allah SWT dimana setiap perkara yang kita lakukan dan di sertai dengan niat yang murni pasti mendapat pahala yang berlipat ganda di akhirat kelak. Oleh itu, diharapkan agar setiap usahawan Muslim masa kini dapat menerapkan nilai-nilai akhlak Rasulullah SAW ini dalam aktiviti keusahawanan serta menjadikan Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi agar Islam sentiasa berada di mercu kejayaan.
Penghargaan
Manuskrip ini dihasilkan berasaskan dana Geran Penyelidikan Penerbitan sumbangan Global Academic Excellence (GAE).
Rujukan Al-Quran.
Adam, F., Anuar, M., & Ali, A. H. (2014). The Use of Blog as A Medium of Islamic Da’wah in Malaysia. International Journal of Sustainable Human Development, 2(2):74-80.
al-Ghazali, M. (2002). Akhlak Seorang Muslim. Pent. Mod Rifa’i. Batu Caves: Crescent News (K.L) Sdn. Bhd.
Aminudin. (2018). Facebook Sebagai Media Dakwah. Ejournal.Iainkendari.Ac.Id/Al- Munzir/Article/Download/796/726.
Daud, M.Z.M. (2021). Cabaran Dakwah dalam Penyiaran.
https://www.bernama.com/bm/tintaminda. Tarikh akses, 8 Jun 2021.
Gazalba, S. (1988). Islam dan Kesenian Relevensi Islam dengan Seni-Budaya Karya Manusia.
Jakarta: Pustaka Al-Husna.
Had, A. (2014). Dakwah Melalui Internet di Malaysia: Masalah dan Cabaran. Seminar Antarabangsa Dakwah dan Etnik: Perspektif Multi-disiplin. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hasim, M.S., & Ghani, Z. A. (2015). Komunikasi dan Media dari Perspektif Islam: Konsep dan Amalan. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hassan, A. (2002). Komunikasi untuk Pendakwah, Panduan Mengubah Sikap dan Tingkah Laku Orang Lain. Pahang: PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Hatim, A.S.A., & Sahad, M. N. (2020). Pendekatan Dakwah Kontemporari Melalui Kesenian.
Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari. ISSN 1985-7667 • E-ISSN: 2289-6325.
20(3): 134-148.
Jalal, B., Ismail, S.A., & Ghani, S. A. (2018). Dinamika Pendakwah Melaksana Dakwah Pelbagai Etnik. Journal of Education and Social Sciences, Vol. 9, Issue 1, (February) ISSN 2289-9855.
Mokhtar, S. (2014). Strategi Pelaksanaan Dakwah Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Negeri Sabah dan Penilaian Modul Kerohanian di Penjara Sandakan. Tesis Doktor Falsafah.
Fakulti Pengajian Islam. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mokhtar, S., Hajimin, M.N.H., Muis. A.M.R.A., Othman, I.W., Esa, M.S., Ationg, R. & Lukin, S. A. (2021b). Analisis Prinsip-Prinsip Komunikasi Islam dalam Kitab al-Quran.
International Journal of Law, Government and Communication (IJLGC). Volume 6 Issue 23 (April 2021). 140-156.
Mokhtar, S., Muda, N., Othman, I. W., & Esa, M. S. (2021a). Nilai Moral dalam Sajak ‘Ke Makam Bonda’ Oleh Usman Awang: Satu Analisis Bahasa, Nilai dan Struktur Serta Kaitannya Dengan Konsep Dakwah. International Journal of Education, Psychology and Counseling, 6 (41). 76-91.
Mokhtar, S., Othman, I. W., Ationg, R., & Esa, M.S. (2021d). Implementasi Dakwah Terhadap Etnik Sungai di Sabah: Satu Analisis Awal. Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 6(40). 164 – 178.
Mokhtar, S., Shah, M.K.M., Ramlie, H.A, Othman, I. W., Ationg, R., Esa, M. S. & Marinsah, S. A. (2021c). Rekayasa Dakwah KBAT dalam Kalangan Mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah Menerusi Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban. International Journal of Education, Psychology and Counselling (IJEPC). Volume 6 Issue 39 (May 2021). 178- 193.
Mokhtar, S., Thia, K., & Ramlie, H. (2019). Pendekatan Dakwah JHEAINS terhadap Banduan di Penjara Sandakan: Satu Tinjauan Awal. Jurnal al-Hikmah. 11(2). 68-87.
Mokhtar, S., Thia, K., Othman, I. W., & Moharam, M.M.H. (2021e). Prospek dan Cabaran Implementasi Dakwah dalam Media Kontemporari: Satu Analisis. Proceedings 5th
International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021. 408-418.
03 - 05 August 2021.
Muda, N., Mokhtar, S., Othman, I. W., Zulhaimi, N. A., Ationg, R., Esa, M. S., & Majumah, A. S. A. R. (2021c). Qudwah dan Uswah Acuan al-Quran dalam Kepimpinan Pendidikan.
Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 6(38). 135-146.
Muis, A. M. R. A., Esa, M. S., Ibrahim, M. A., Othman, I. W., Mokhtar, S., Ationg, R., & Shah, M. K. M. (2021). Elemen Sepunya Kepemimpinan dan Kepengikutan dalam Pembangunan Insan Berteraskan Islam. Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 6(38). 119-134.
Noordin, F.S.M., Yusuf, M., & Paad, N.S. (2019). Cabaran Kontemporari di Era Globalisasi dalam Pengurusan Masyarakat oleh Pendakwah Selebriti Wanita di Malaysia. Jurnal Usuluddin 47 (2) 2019: 93-114.
Rasit, R.M., & Asha’ari, M.F. (2014). Warisan Kecendekiaan Islam: Dakwah, Seni dan Media.
Bangi: Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.
Suhid, A. (2009). Pendidkan Akhlak dan Adab Islam, Konsep dan Amalan. Kuala Lumpur:
Utusan Publicationd & Distributors. Sdn. Bhd.
Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada pengertian al-Quran 30 juzu’. (2000). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Kuala Lumpur: Dar al-Fikr.
Tibek, S. R. (2011). Wanita, Dakwah dan Media, Wanita Islam Isu-isu dan Pemerkasaan Hak.
Shah Alam: Persatuan Ulama Malaysia.
Wahab, A.A., Muhamad, N., & Ismail, M.S. (2019). Media Sosial Sebagai Medium Dakwah Masa Kini. International Social Science and Humanities Journal.Vol. 2, No.1. E-ISSN:
2637-0271.
Yahya, H. (2004). Nilai-Nilai Moral dalam al-Quran. Kuala Lumpur: al-Hidayah Publishers.