E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 KAJIAN AWALAN PENDEKATAN MAQĀṢID SYARIAH SEBAGAI ALTERNATIF DALAM
DASAR DAN PERUNDANGAN BERKAITAN PELARIAN DI MALAYSIA
A PRELIMINARY STUDY OF MAQĀṢID SHARĪAH APPROACH AS AN ALTERNATIVE IN POLICY AND LEGISLATION RELATED TO REFUGEES IN MALAYSIA
* 1,2 Zulfaqar Mamat, 1 Rodziana Mohamed Razali, 1,2 Wan Abdul Fattah Wan Ismail,
1 Tasneem Rahmatullah
1 Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia.
2 Centre of Research for Fiqh Forensics and Judiciary, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800, Nilai, Negeri Sembilan
*Corresponding author. E-mail: [email protected]
ABSTRACT
The arrival of refugees and asylum seekers to Malaysia from several countries to seek protection from persecution has prompted Malaysia to provide due protection to this group based on humanity. In principle, the government does not recognize them as refugees because Malaysia is not a country bound by the 1951 Refugee Status Convention or the 1967 Refugee Status Protocol.
This study focuses on the history of the arrival of refugees and asylum seekers to Malaysia and the development of legislation that regulates their movement. This study uses qualitative methods, where it is done through reading materials from the library such as books, journals, articles and newspapers. This writing adapts a qualitative research pattern based on history. The purpose of this study is to find out the history of refugees in Malaysia and the legal and accurate legal requirements for them, and it is to ensure that they are treated humane and not oppressed in any way, or any form. The policy approach based on maqāṣid sharīah proposed by the government is seen as a good alternative in addressing and resolving some issues that surround refugees in Malaysia in general. The results show that there are many crisis and problems about refugees that affect them not only individually but also indirectly affect the Malaysian economy. An important role is to identify the appropriate policies or laws related to refugees in Malaysia, the extent of the application meets the requirements of maqāṣid sharīah as well as the need to design a strong and appropriate policy or legal framework to ensure the country does not face problems, in accepting refugees in the future.
Keywords: Refugees, Legislation, Cairo Declaration, maqāṣid sharīah, human rights
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 ABSTRAK
Kedatangan pelarian dan pencari suaka ke Malaysia dari beberapa negara untuk mendapatkan perlindungan yang berpunca daripada penganiayaan telah mendorong Malaysia untuk memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada golongan ini atas dasar kemanusiaan, secara dasarnya kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian kerana Malaysia bukan negara yang terikat kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967. Kajian ini memberi tumpuan kepada sejarah kedatangan pelarian dan pencari suaka ke Malaysia dan perkembangan perundangan yang mengatur pergerakan mereka. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui kajian kepustakaan seperti buku, jurnal, artikel dan surat khabar.
Penulisan ini mengadaptasi corak penyelidikan kualitatif yang berdasarkan sejarah. Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui sejarah pelarian di Malaysia dan keperluan undang-undang yang tepat dan kukuh untuk mereka, ia bagi memastikan mereka diperlakukan secara manusiawi dan tidak dizalimi dengan apa-apa cara, atau bentuk sekalipun. Penerapan dasar berasaskan maqāṣid syariah yang dicadang kerajaan dilihat sebagai satu alternatif yang baik dalam menangani dan menyelesaikan beberapa isu berkaitan pelarian di Malaysia secara amnya. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat banyak krisis dan masalah mengenai pelarian yang tidak hanya mempengaruhi mereka secara individu tetapi juga secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi Malaysia. Peranan penting untuk mengenal pasti dasar atau undang-undang yang tepat berkaitan pelarian di Malaysia, sejauh mana pengamalannya memenuhi kehendak maqāṣid syariah dan juga keperluan untuk merancang kerangka dasar atau undang-undang yang kukuh dan sesuai bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah dalam menerima pelarian pada masa akan datang.
Kata Kunci: Pelarian, Perundangan, Deklarasi Kaherah, maqāṣid syariah, kemanusiaan/hak asasi manusia
Pendahuluan
Malaysia merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang menjadi tumpuan migrasi, pelarian dan pencari perlindungan. Menurut rekod sejarah, pertalian antara umat Islam di Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand telah menyebabkan migrasi di antara kedua-dua penduduk negara selama bertahun-tahun lamanya (Intan Suria Hamzah, 2016). Wujudnya hubungan etnik dan agama yang kuat antara kedua-dua komuniti di negara ini menyebabkan pergerakan keluar masuk penduduk kedua-dua negara ini telah berlaku atas dasar toleransi.
Bermula dari tahun 1973, terdapat sekumpulan besar penduduk Filipina memasuki Malaysia sebagai pelarian dan pencari suaka ketika Presiden Marcos mengisytiharkan undang- undang tentera di Filipina. Kumpulan ini berasal dari Filipina Selatan dan mereka cenderung beragama Islam kerana perbezaan agama dan konflik bersenjata dengan majoriti Kristian di Filipina di mana tuntutan autonomi dan pemisahan dari parti politik telah menjadi sebahagian daripada tuntutan mereka terhadap majoriti Kristian di sana. Pada tahun 1975, terdapat sekumpulan pencari suaka mendarat di Malaysia disebabkan perubahan pemerintahan di Vietnam Selatan. Pada tahun 1985 pula, pencari suaka Kemboja, tiba melalui Thailand melalui darat telah memasuki Malaysia. Sebahagian daripada mereka adalah pencari suaka Muslim Indocina, telah diterima untuk penempatan semula secara tetap di Malaysia. Dalam lingkungan wilayah rantau Asia Tenggara, pada masa kini Malaysia menjadi tumpuan destinasi bagi golongan pelarian khususnya dari Myanmar atau Burma, selain menjadi tumpuan pelarian dari luar wilayah seperti Bosnia, Afghanistan, Iraq, Somalia dan Palestin. Pelarian dari Myanmar
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 terdiri daripada pelbagai etnik seperti Chin, Kachin,Mon, Shan termasuklah Rohingya (Aizat Khairi, 2018).
Walaubagaimanapun, semua orang dari negara lain yang masuk ke Malaysia tidak dapat digeneralisasikan sebagai ‘pelarian’ sebagaimana memenuhi kriteria definisi 'pelarian' antarabangsa. Pelarian ditakrifkan dan dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa.
Konvensyen Pelarian 1951 adalah dokumen undang-undang utama dan ia mendefinisikan pelarian sebagai: "seseorang yang tidak dapat atau tidak mahu kembali ke negara asalnya kerana ketakutan yang berasas dan terbukti akan dianiaya dengan sebab bangsa, agama, kewarganegaraan, keanggotaan kumpulan sosial tertentu, atau pandangan politik (Muntarbhorn, 1992).
Sejarah Pelarian dan Pencari Suaka di Malaysia
Pandangan ringkas mengenai sejarah pelarian dan pencari suaka di Malaysia yang memberi impak besar terhadap pembangunan dasar pencari suaka dapat dibincangkan dari segi klasifikasi pencari suaka mengikut latar belakang negara mereka pada masa itu. Berikut merupakan beberapa peristiwa sejarah melibatkan pelarian dan pencari suaka di Malaysia:
a) Pelarian Vietnam di Malaysia
Selepas perang Vietnam, pelarian dari Vietnam melarikan diri dari negara mereka dengan kapal dan bot yang berlaku bermula dari tahun 1978 sehingga 1990. Direkodkan oleh UNHCR, bahawa pada tahun 1975, seramai 240,000 pelarian Vietnam telah berjaya ditempatkan di negara ketiga manakala seramai 9,000 pelarian lagi dihantar pulang ke Vietnam kembali (Steenhuisen, 2005). Destinasi pilihan pelarian adalah negara-negara Asia Tenggara seperti Hong Kong, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Thailand (McInnes, 1994). Krisis Kemboja dan China menyerang Vietnam pada tahun 1978 telah meningkatkan kadar pelarian yang melarikan diri dari Vietnam dengan kapal. Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan lagi ketidakstabilan Vietnam dalam mengharungi krisis di negara mereka. Tambahan pula, di utara Vietnam, sekatan ekonomi yang keras telah dikenakan kepada Vietnam oleh beberapa negara dari tahun 1964 kerana ia telah menjadi sasaran sekatan perdagangan Amerika Syarikat dan tindakan ketenteraan Vietnam terhadap Khmer Rouge menimbulkan kutukan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya (Abdullahi Ayoade Ahmad, 2016). Keadaan ini kembali stabil di Vietnam pada tahun 1994 dan Vietnam dimasukkan semula ke dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara. Akibatnya, ribuan pelarian kembali ke Vietnam, dan jumlah mereka menurun secara drastik dari negara- negara tuan rumah mereka (Cockburn, 1994).
UNHCR telah mengambil langkah serius untuk mencegah penerimaan pelarian dari Vietnam. UNHCR telah memperkenalkan "penerimaan automatik ke negara ketiga" pada Mac 1989. Pada ketika itu, Pusat Pelarian Sungai Besi di Kuala Lumpur telah didirikan. Adalah dilaporkan bahawa satu perempat daripada lebih sejuta penduduk Vietnam yang mendarat di pantai timur Malaysia mendapat perlindungan di Pulau Bidong dan Sungai Besi di mana Pulau Bidong ditutup secara rasmi pada tahun 1991, sementara Sungai Besi ditutup secara rasmi pada tahun 1996. Pelarian Vietnam yang selebihnya telah mengosongkan dua tapak ini sepenuhnya pada tahun 2005 (Steen, 2005).
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 b) Pelarian Bosnia di Malaysia
Malaysia telah memberikan tempat perlindungan kepada Muslim Bosnia yang melarikan diri dari konflik etnik pada tahun 1994 walaupun sebelum itu sebilangan kecil dari mereka telah tiba di Malaysia pada tahun 1991. Pelarian Bosnia berjaya mendapat perhatian dari Malaysia disebabkan persamaan agama. Kepercayaan dan agama yang sama antara pelarian Muslim Bosnia dan majoriti rakyat Malaysia telah menjadi faktor penarik paling kuat sewaktu kemasukan pelarian Bosnia ke Malaysia pada tahun 1994. Mereka telah menawarkan kepada 350 pelarian yang berasal dari kekacauan yang berlaku di kerajaan Yugoslavia. Malaysia adalah salah satu negara terbesar yang menyokong perjuangan Bosnia semasa perang, dianggap sebagai satu- satunya negara Asia yang membantu pelarian Bosnia. Berdasarkan rekod umat Islam Bosnia yang melarikan diri dari konflik etnik pada tahun 1994 telah ditawarkan status pelarian (Abdullahi Ayoade Ahmad, 2016).
c) Pelarian dari Myanmar di Malaysia
Rohingya dari Myanmar dianggap oleh PBB sebagai golongan minoriti yang paling ramai dianiaya. Sebab utama yang menyebabkan diskriminasi menimpa kumpulan ini adalah etnik dan agama kerana mereka mewakili minoriti yang tinggal di sebelah barat Myanmar yang dikenali sebagai Negara Rakhine. Mengenai sejarah penubuhan Maynmar, dinyatakan bahawa selama perang dunia kedua Myanmar telah menyatakan kesetiaan kepada British, sementara sebilangan besar warganya, orang Arakan atau nama lamanya, Rakhine bertempur dengan misi tersebut dan memilih untuk berpihak kepada orang Jepun. Setelah penubuhan Myanmar pada tahun 1948, minoriti Muslim Arakan menghadapi kempen anti-Rohingya yang berterusan yang motifnya adalah penolakan hak-hak asasi penduduk tersebut yang dilakukan dengan cara diskriminasi.
Pada tahun 2015, Rohingya dari Myanmar telah melarikan diri dari negara mereka melalui kapal dan bot di mana mereka cuba mendarat di Indonesia, Thailand dan Malaysia untuk mendapatkan perlindungan. Hal ini disebabkan oleh dasar diskriminasi pemerintah di Negara Rakhine yang telah diamalkan sejak tahun 1970. Peningkatan kadar pelarian Myanmar ke Malaysia juga merupakan impak dari sikap kebanyakan negara jiran yang melaksanakan dasar tutup pintu terhadap pelarian Myanmar. Negara-negara tesebut mengalami keadaan politik dan ekonomi yang kurang stabil dan atas faktor ini mereka tidak mengalu-alukan kemasukan pelarian Myanmar yang terlalu ramai (Antonietta Pagano, 2016).
Laporan PBB menyatakan bahawa, pada tahun 2014, lebih daripada 137,000 pelarian Myanmar bersama-sama dengan 10,000 orang Rohingya dicatat sebagai berdaftar secara sah di Malaysia. Pada tahun 2016, menurut Tinjauan Darurat Global ketika menjalankan tugas mereka dalam mengesan krisis kemanusiaan, telah mencatatkan lebih dari 40,000 orang Rohingya yang berdaftar dengan PBB pada akhir tahun tersebut. Bagaimanapun, sekumpulan aktivis mendakwa bahawa ada Rohingya yang tidak berdaftar jumlahnya sama dengan jumlah yang berdaftar di negara ini. Kemasukan migran yang bertambah telah menimbulkan kerisauan terhadap kerajaan yang memainkan peranan penting untuk membantu mereka. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia pada ketika itu, Wan Junaidi Jaafar mengatakan bahawa pendatang Myanmar telah diperlakukan dengan tidak berperikemanusiaan, namun mereka tidak boleh terus-menerus dibenarkan untuk memenuhi pelabuhan Malaysia. Pada tahun 2015, didapati bahawa Rohingya juga telah berlindung di Indonesia, walaupun jumlah pelarian dianggap sedikit iaitu sekitar 2000 pada tahun tersebut (Mark Davis, 2015).
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 Menurut laporan Kasnoon (2015), terdapat tekanan antarabangsa yang besar memaksa Malaysia dan Indonesia untuk menawarkan tempat perlindungan bagi semua jenis pendatang melalui misi mencari dan menyelamat. Sebagai wakil negara Islam, Malaysia telah memutuskan untuk memberi bantuan dan bersedia memberikan perlindungan kepada pelarian ini. UNHCR juga memainkan peranan mereka untuk menolong pelarian, terutamanya orang Rohingya agar mereka dapat diberikan status pelarian di Malaysia. Selain itu, sebilangan kecil pendatang ini tiba di negara transit untuk meminta perlindungan sebagai tempat tinggal sementara sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi lain. Sebilangan orang Rohingya telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membolehkan mereka berpindah dari negara transit seperti Indonesia ke mana-mana negara ketiga seperti Autralia (S. Kosem, 2016).
d) Pelarian Filipina di Sabah
Pada tahun 1987, UNHCR menghentikan operasi selama 10 tahun di Sabah apabila keadaan pelarian Filipina dianggap setara dengan orang Sabah tempatan. Pada saat keluar, Pemerintah Malaysia telah mulai mengeluarkan izin tinggal dan pekerjaan sementara bagi pelarian Filipina, dan dengan demikian memikul tanggung jawab perlindungan yang lebih besar terhadap beban tersebut. Walaupun begitu, taraf hidup bagi banyak pelarian Filipina masih di bawah garis kemiskinan. Kurangnya konsistensi dalam kedua-dua jenis dokumentasi identiti yang dikeluarkan untuk pelarian Filipina, dan penerapan prosedur untuk mendapatkan dokumen-dokumen ini, sangat menyekat integrasi mereka ke dalam masyarakat Sabahan. Kerana kekurangan sumber pendapatan atau peluang pekerjaan, banyak pelarian Filipina mempunyai akses yang terhad atau tidak ke air bersih dan elektrik. Untuk terus hidup, mereka terlibat dalam pekerjaan dengan gaji yang sangat rendah yang tidak ingin dilakukan oleh penduduk tempatan.
(UNHCR, 2016)
Pelarian Filipina yang belum memperoleh status kediaman tetap atau kewarganegaraan terus mengalami banyak masalah yang disebabkan oleh kurangnya dokumentasi yang tepat, termasuk akses terhad kepada pendidikan, perancang keluarga, sanitasi, penjagaan kesihatan dan kadangkala pendaftaran kelahiran. Menurut pasukan petugas persekutuan untuk Sabah, pelarian Muslim Filipina dan keturunan mereka dianggarkan berjumlah 80,000 orang. Berdasarkan angka ini, nampaknya hanya 61% yang memiliki beberapa bentuk dokumentasi untuk mengatur status mereka. Selebihnya 39% terus berisiko ditangkap dan dihantar pulang.
Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah menerbitkan laporannya dan mengesyorkan agar sekretariat tetap ditubuhkan untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di negeri ini. UNHCR akan terus memantau keadaan di Sabah dan fakta bahawa ia tidak mempunyai kehadiran tetap di sana dan keupayaan pemantauan agak terhad.
(UNHCR, 2016)
Perundangan dan Inisiatif Berkaitan Pelarian di Malaysia
Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berperlembagaan, Malaysia berusaha menyelesaikan isu-isu berkaitan pelarian mengikut lunas perundangan dan inisiatif tertentu agar isu tersebut boleh diselesaikan secara baik dan diplomasi. Terdapat beberapa inisiatif dan undang- undang yang telah dilihat boleh menyokong hak berkaitan pelarian, antaranya melibatkan undang-undang antarabangsa berkaitan hak asasi manusia dan juga inisiatif bersama antara Malaysia dan Negara jiran yang lain serta juga undang-undang domestik yang diguna pakai dalam Negara berkaitan pelarian.
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14
a) Perundangan Antarabangsa mengenai Hak Asasi Manusia
Undang-undang yang menyokong hak pelarian menurut UNHCR adalah semua konvensyen antarabangsa yang berdasarkan hak asasi manusia. Salah satu konvensyen utama yang digunakan sebagai kerangka untuk menyokong pelarian dan pencari suaka termasuk United Declaration of Human Rights (UDHR). UDHR lahir dari pengalaman Perang Dunia II dan boleh digambarkan sebagai pernyataan pertama hak asasi manusia di peringkat global. UDHR diterima oleh Majlis Umum PBB pada 10 Disember 1948 dengan 48 negara menyokong, termasuk Afghanistan, Iran, Pakistan dan Turki. Tetapi 8 negara yang terdiri daripada Blok USSR dan Arab Saudi menentang. Kerajaan Yaman tidak bersetuju untuk menandatangani perjanjian dengan cara tidak menghadiri sewaktu undian untuk menandatangani perjanjian UDHR diadakan manakala negara Pakistan pula tidak bersetuju dengan pendirian Arab Saudi yang menentang UDHR (Assembly, 1948).
Pada tahun 1982, wakil Iran di PBB, Said Rajaie-Khorassani, mengatakan bahawa UDHR adalah pemahaman sekular mengenai tradisi Judeo-Kristian (pemahaman sekular mengenai tradisi Judeo-Kristian) yang tidak dapat diamalkan oleh muslim tanpa melanggar undang-undang Islam (Mohamad, 2014). Deklarasi Kaherah telah diterima pakai dan dikeluarkan oleh anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada Persidangan Kesembilan belas Menteri Luar Negeri- Negeri Islam di Kaherah pada 5 Ogos 1990. Pada 30 Jun 2000, negara-negara Islam yang menjadi anggota OIC bersetuju untuk menyokong Deklarasi Kaherah ini. Ia menyatakan tujuan Deklarasi Kaherah sebagai pedoman umum bagi anggota OIC dalam bidang hak asasi manusia. Deklarasi Kaherah juga dilihat sebagai tindak balas dari negara-negara Islam terhadap UDHR. Deklarasi Kaherah memandang hak asasi manusia dari segi prinsip yang ditetapkan oleh Islam. Dalam pendahuluannya, Deklarasi Kaherah antara lain menyatakan (Mohamad, 2014):
“Percayalah bahawa hak asasi dan kebebasan sejagat dalam Islam adalah sebahagian dari inti Islam dan tidak ada yang pada prinsipnya berhak untuk menghapuskannya secara keseluruhan dan sebahagian atau melanggar atau mengabaikannya memandangkan ia merupakan perintah Ilahi yang terdapat dalam Kitab Ilahi wahyu dan dihantar melalui Nabi terakhirnya untuk menyempurnakan pesan suci lebih awal sehingga menjadikan ketaatan kepadanya sebagai pengabdian dan pengabaian atau pelanggarannya adalah dosa yang sangat dibenci, dan oleh itu setiap orang bertanggungjawab secara individu dan ummah secara kolektif bertanggungjawab - untuk mempertahankannya."
Berdasarkan kata pendahuluan ini, seseorang dapat melihat perbezaan dan pendekatan falsafah Deklarasi Kaherah dengan UDHR. Deklarasi Kaherah melihat persoalan hak asasi manusia dari sudut hubungan manusia dengan Allah SWT, sementara UDHR mengambil pendekatan duniawi dan sekular. Ini kerana, menurut Islam kedaulatan adalah milik Allah SWT.
Sebaliknya, menurut demokrasi sekular Barat moden, rakyat dianggap sebagai pemerintah tertinggi. Hak asasi manusia dalam Islam adalah anugerah dari Allah SWT seperti yang dibincangkan sebelumnya dan ia adalah hak suci, tidak dapat dipertikaikan, universal dan kekal.
Sebaliknya, orang Barat menganggap bahawa mereka telah memperoleh hak mereka dari pemerintah mereka setelah tempoh perjuangan yang panjang (Aman, 2016). Deklarasi Kaherah memberikan gambaran menyeluruh mengenai perspektif Islam mengenai hak asasi manusia dan menegaskan syariah sebagai satu-satunya sumbernya. Pada November 2012, negara-negara
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 ASEAN yang bersidang di Phnom Penh secara suara sebulat suara mengadaptasi Deklarasi ASEAN. Deklarasi ASEAN ini merupakan satu pemahaman mengenai negara-negara serantau dan lebih sesuai dengan keadaan di negara ini.
b) Tanggungjawab ASEAN dalam menangani masalah Rohingya
Dalam menangani keadaan darurat Rohingya, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dipercayai dapat memainkan peranan utama. Salah satu pendekatan adalah dengan ASEAN memberi tekanan ekonomi kepada Myanmar untuk secara beransur-ansur mengurangi diskriminasi terhadap Rohingya. Di sini, ASEAN mempunyai pengaruh, kerana anggotanya mewakili pelabur terbesar di negara ini. Namun, menerapkan tekanan ini memerlukan kemahuan pihak politik agar ia dapat diaplikasikan secara praktikal, terutamanya apabila konsep tiada campur tangan dalam urusan dalam negeri negara anggota merupakan salah satu prinsip pendirian negara ini (The Bali Processs, 2016). Proses Bali adalah forum antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 2002, untuk memudahkan perbincangan, diskusi, dialog dan perkongsian maklumat serta memupuk kerjasama dalam isu praktikal yang berkaitan dengan penyeludupan dan perdagangan orang dan jenayah rentas negara yang berkaitan. Pendekatan lain adalah bertujuan untuk merealisasikan hubungan antarabangsa antara negara-negara ASEAN.
Berdasarkan Proses Bali yang pernah dilaksanakan, sebuah inisiatif dilihat perlu dilakukan dengan cara membangun kerangka serantau bersama mengenai pendatang dan pelarian haram.
Usaha membangun kerangka serantau berkenaan pelarian berdasarkan Deklarasi ASEAN mungkin berbeza dari sebarang polisi yang dibentuk berasaskan Konvensi Geneva.
Beberapa inisiatif ke arah ini telah diatur, seperti pada bulan Mei dan Disember 2015, di mana dua pertemuan antarabangsa diadakan di antara negara-negara yang terjejas secara langsung, yang bertujuan untuk mengatasi keadaan darurat migrasi (Aubrey Belford, 2015). Pada pertemuan bulan Disember 2014, perwakilan Asia Tenggara bertemu di Bangkok untuk menentukan strategi bersama mengenai isu-isu penting, seperti perlindungan migran, pencegahan migrasi yang tidak teratur, dan memerangi penyeludupan manusia (Pagano, 2016).
ASEAN dan Kesatuan Eropah berkongsi pengalaman yang sama dalam menangani pendatang. Telah diketahui bahawa Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat mempunyai undang- undang antarabangsa yang maju untuk melindungi pelarian dan memberi mereka status yang jelas sebagai pelarian dan pencari suaka yang memiliki hak penuh untuk perlindungan mereka.
c) Perundangan Malaysia Semasa Menangani Krisis Rohingya
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Malaysia. Segala undang- undang yang bertentangan dengan peruntukannya dianggap tidak sah. Peruntukan dalam UDHR yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan juga bukan sebahagian daripada undang- undang domestik. Selain itu, peruntukan dalam seksyen 4 (4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 jelas menyatakan seseorang itu tidak boleh mengambil tindakan undang- undang dengan alasan bahawa dia telah dinafikan hak asasi manusia seperti yang terdapat di UDHR misalnya, kerana UDHR bukan undang-undang domestik negara Malaysia. Peruntukan hak asasi manusia dalam UDHR perlu diketepikan andai dapat dibuktikan bahawa peruntukan itu bertentangan dengan peruntukan undang-undang domestik dan / atau Perlembagaan.
Mahkamah harus memutuskan tuntutan berdasarkan apakah tindakan yang diduga itu melanggar ketentuan undang-undang dan/atau Perlembagaan atau tidak. Sekiranya jawapannya adalah "Ya", maka tuntutan itu boleh berjaya. Mahkamah mungkin mendapati bahawa tindakan
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 yang didakwa itu melanggar ketentuan UDHR, tetapi tidak melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kerana Perlembagaan Persekutuan meletakkan pengecualian atau syarat mengenai hak tersebut. Sebagai contoh, seseorang bebas mengamalkan agamanya tetapi orang bukan Islam dilarang menyebarkan agamanya kepada orang Islam. Mahkamah harus mematuhi ketentuan yang terkandung dalam Perlembagaan, tidak mengikuti ketentuan yang terdapat dalam UDHR.
Dengan kata lain, bahkan rujukan dapat dibuat terhadap ketentuan yang terdapat dalam UDHR dalam menafsirkan peruntukan undang-undang dan / atau Perlembagaan, namun ini tidak bermakna undang-undang UDHR dapat mengatasi ketentuan dalam perlembagaan dan undang- undang negara ini (Mohamad, 2014).
Menurut al-Zuhayli (2005), al-karāmah al-insāniah atau prinsip menghormati maruah manusia dan nilai manusia adalah sumber hak asasi manusia. Ketika ada penghormatan terhadap al-karāmah al-insāniah, yang membezakan nilai kemanusiaan dan sifat kebinatangan. Menurutnya lagi, Islam sebagai agama yang bersumber dari petunjuk ilahi adalah agama yang pertama kali menyatakan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia secara teori dan praktik, manakala dunia Barat hanya menyedari hak-hak ini pada akhir abad ke-18 (al-Zuhayli, 2005). Menurut beliau, hak asasi manusia dalam Islam berpunca dari tanggungjawab insan sebagai khalifah Allah S.W.T d atas muka bumi. Tanggungjawab sebagai khalifah ini wajib didasari dengan daripada akidah yang benar dan kemuliaan insan dalam Islam terletak pada ‘ketaatannya serta ketakwaannya terhadap risalah yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Berbeza dengan hak asasi manusia Barat yang berpunca dari kepercayaan bahawa ia merupakan hak semula jadi yang lahir dari kekuasaan mutlak manusia dan tidak ada kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya. Oleh itu, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen antarabangsa iaitu Konvensyen Pelarian 1951.
Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 pada dasarnya menggariskan hak dan kewajipan kedua-dua pelarian dan negara-negara y7ang bertindak sebagai perumah terhadap pelarian.
Dalam Konvensyen 1951 dan Protokol 1967, pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, UNHCR, telah ditubuhkan di kebanyakan negara di dunia sebagai badan yang diberi mandat untuk memberikan perlindungan dan bantuan tersebut kepada pelarian dunia, di bawah dan menurut Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 (Yik, 2018).
Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 adalah sebuah undang-undang pelarian yang paling lengkap, sekalipun secara hakikatnya Malaysia bukan negara kontrak dalam rejim undang- undang antarabangsa tersebut, sehubungan dengan itu ia tidak mempunyai kewajipan undang- undang untuk terikat dengannya. Oleh yang demikian, seorang pelarian di Malaysia akan terikat dengan seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63 (Akta155) yang menyatakan bahawa tidak ada orang lain selain warganegara yang akan memasuki Malaysia kecuali dia memiliki permit masuk yang sah yang namanya disahkan, atau pas yang sah yang dikeluarkan secara sah kepadanya untuk memasuki Malaysia.
Pada tahun 2018, dalam manifesto Pakatan Harapan mengatakan bahawa ia akan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa 1951 mengenai pelarian sehingga pelarian yang melarikan diri dari negara-negara yang dilanda perang dan tiba di Malaysia diberi bantuan yang sewajarnya.
Salah seorang wakil UNHCR, Richard Towle (2018) mengatakan bahawa walaupun ini akan menjadi aspirasi yang luar biasa, ia dapat dilakukan dalam jangka panjang. Beliau menegaskan bahawa tugas utama yang paling penting adalah merangka dengan jelas hak-hak pelarian di Malaysia pada waktu terdekat melalui perintah eksekutif dan menggubal sebarang peraturan berkaitan pelarian.
Terdapat banyak perkara praktikal yang boleh dilakukan sekarang tanpa menandatangani konvensyen. Beliau mengatakan bahawa hakikat bahawa Malaysia belum menandatangani konvensyen itu tidak bermaksud bahawa negara itu tidak mempunyai tanggungjawab dalam isu
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 tersebut. Beliau juga menyuarakan pendapatnya dengan mencadangkan Malaysia menyusun peraturan atau polisi asas sebagai peringkat awal dan kemudian cuba mempraktikkannya. Jika Malaysia dapat melaksanakannya dengan baik dan ia memberi impak positif terhadap penanganan masalah pelarian, Malaysia boleh menandatangani konvensyen itu jika mahu. Jika Malaysia benar-benar selesa untu8k menandatangani Koonvensyen Pelarian 1951, pihak beliau akan merasa senang serta menyokong Malaysia (Richard Towle, 2018).
Harus ditegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang yang konsisten untuk mengawal pelarian. Hal ini adalah disebabkan Malaysia tidak mengiktiraf pelarian. Semua status pendatang akan merujuk kepada Akta Imigresen. Pelarian dianggap sebagai sama dengan pendatang asing tanpa izin. Mereka berdepan dengan risiko ditahan, ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal (Bedi, 2018).
Pendekatan Maqāṣid Syariah sebagai Alternatif Menangani Pelarian di Malaysia
Pada Ogos 2018, Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Malaysia ketika menjawab soalan berkaitan peranan negara dalam menangani penyelesaian konflik Palestin dan Rohingya, telah menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan tiga elemen dasar luar baharu menggunakan pendekatan maqāṣid syariah bagi menyelesaikan isu pelarian dan konflik Palestin, di mana pendekatan itu akan dilaksanakan kerajaan dalam menentukan hala tuju penambahbaikan secara lebih jelas, tersusun dan komprehensif. (Syalikha Shazili. 2018)
Maqāṣid syariah jika diterjemahkan secara literal bermaksud objektif syariah, iaitu perkara atau matlamat yang ingin dicapai oleh syariah Islam. Secara umumnya ia berpaksikan kepada ajaran Islam itu sendiri yang bermatlamat untuk membawa kebaikan (maslaḥah) dan menghindari keburukan (mafsadah) sebagaimana digambarkan melalui tujuan perutusan Rasulullah SAW yang membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh sarwajagat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 107:
ََنيِ َ
لَاَعْلِِّل ََ ة َم ْحَرَ َ ّلَِإَ َكاَنْل َسْرَأَاَمَو
Terjemahan: Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
(Surah al-Anbiyā’, 21: 107)
Konsep maqāṣid syariah yang digagaskan oleh cendekiawan Islam bertujuan untuk mencapai kemaslahatan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat. Dengan asas itu terdapat prinsip-prinsip yang perlu diikuti untuk mencapai maqāṣid yang selaras dengan kehendak syariah.
Ia merupakan perbahasan yang lama bermula daripada zaman Nabi Muhammad SAW yang banyak menjelaskan prinsip-prinsip ini di dalam sunnah Baginda yang menjadi sumber asas dalam perbahasan maqāṣid syariah. Begitu juga para sahabat dan tābiīn terus melaksanakan prinsip- prinsip ini di dalam mengeluarkan hukum dan fatwa. Setelah itu kita dapati para imam mazhab fiqh telah menjadikan maqāṣid syariah sebagai panduan yang utama dalam ijtihad mereka, terutamanya Imam Syafie r.a. yang telah menetapkan maqāṣid syariah sebagai rujukan utama ijtihad setelah al-Quran dan al-Sunnah (al-Juwaini, 1997).
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 Imam al-Syatibi (1996) dalam kitabnya al-Muwāfaqāt telah membahagikan maqāṣid syariah kepada empat pembahagian iaitu:
i. Maqṣid Ibtidā’ī (يئادتبلاا دصقلا), iaitu maqāṣid syariah yang utama di dalam pensyariatan hukum- hakam syariah iaitu untuk menjaga kemaslahatan dan kebaikan umatnya.
ii. Maqṣid Ifhāmī (يماهفلاا دصقلا) yang bermaksud bahawa penurunan syariat adalah untuk difahami oleh manusia.
iii. Maqṣid Taklīfī (يفيلكتلا دصقلا) bererti penurunan syariat adalah untuk memberikan amanat bebanan yang mampu untuk dipikul.
iv. Maqṣid Ta’abbudī (يدبعتلا دصقلا) adalah berkaitan tujuan syarak dari penurunan syariat untuk manusia bernaung di bawah ajaran syariat dan bukan dengan mengikut kehendak hawa nafsu mereka.
Sementara Imam al-Ghazali (1904) pula telah mengkategorikan maqāṣid syariah kepada tiga maṣlahah iaitu keperluan darūriyyah, keperluan hājiyyah dan keperluan taḥsiniyyah.
Keperluan darūriyyah ialah maṣlahah asas yang melibatkan pemeliharaan lima perkara utama iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kesemua keperluan ini dianggap amat penting dan amat diperlukan manusia dalam melalui kehidupan bermasyarakat. Seandainya salah satu keperluan ini tidak dipenuhi kehidupan manusia sudah tiada ertinya lagi.
Keperluan hājiyyah pula merupakan perkara yang diperlukan manusia untuk mewujudkan kemudahan dan kelapangan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kehidupan, pada masa yang sama menghindarkan diri daripada kesusahan dan kesukaran.
Walaupun ia tidak sampai ke tahap darurat tetapi ketiadaannya akan menyebabkan kesulitan kepada kehidupan manusia.
Keperluan taḥsiniyyah pula merujuk kepada kesempurnaan hidup manusia yang melibatkan kemuliaan akhlak dan adat yang baik serta meninggalkan perkara yang buruk menurut pertimbangan akal yang waras. Ia diperlukan untuk memastikan kelancaran dan kesenangan hidup dalam masyarakat.
Kesejahteraan dan kebahagiaan seseorang individu atau sesebuah masyarakat akan terjamin seandainya ketiga-tiga komponen ini dapat dipenuhi dengan cara yang seimbang.
Pendekatan maqāṣid syariah dalam isu melibatkan pelarian secara amnya dapat dilihat menerusi Deklarasi Kaherah yang menjadi rujukan asas kepada negara-negara OIC berkaitan hak asasi manusia. Deklarasi Kaherah memandang hak asasi manusia dari segi prinsip yang ditetapkan oleh Islam. Dalam pendahuluannya, Deklarasi Kaherah, antara lain, menyatakan:
"Percaya bahawa hak asasi dan kebebasan sejagat dalam Islam adalah sebahagian daripada inti Islam dan tidak ada yang pada prinsipnya berhak dihapuskan secara keseluruhan atau sebahagian atau melanggar atau mengabaikannya memandangkan ia adalah perintah Ilahi yang terkandung di dalam Kitab-kitab wahyu Ilahi dan dikirimkan melalui Nabi terakhir-Nya untuk menyempurnakan pesan suci lebih awal sehingga menjadikan kepatuhan kepadanya sebagai pengabdian dan pengabaian atau pelanggarannya adalah dosa yang sangat dibenci, dan oleh itu setiap orang bertanggungjawab secara individu dan ummah bertanggungjawab secara kolektif - untuk mempertahankannya. " (Cooperation O.o, 1990).
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 Dalam deklarasi tersebut hak pelarian dinyatakan dalam artikel 12 bahawa setiap individu berhak atas kebebasan bergerak yang bermaksud setiap orang berhak memilih tempatnya mencari tempat berlindung sama ada di dalam atau di luar negara dan diberikan kebebasan penuh untuk meminta suaka di negara lain yang akan menjamin perlindungannya selama seperti dalam kerangka syariat. Artikel 18 pula menyatakan bahawa hak seseorang meliputi keamanan untuk dirinya sendiri, tanggungannya, agamanya, kehormatannya dan harta bendanya kerana ia merupakan lima perkara utama yang dilindungi dalam maqāṣid syariah.
Privasi adalah hak manusia dan termasuk privasi dalam urusan peribadinya, keluarganya, rumahnya, hubungannya dan kekayaannya. Perlindungan daripada dipenjarakan tanpa alasan undang-undang adalah dilarang sama sekali (Cooperation O.o, 1990).
Sungguhpun begitu, pendekatan yang cuba diperkenalkan Malaysia dalam konteks memenuhi kehendak maqāṣid syariah agak berbeza, di mana dalam kerangka pendekatan yang baru ini prinsip advokasi digunakan dengan lebih meluas di pelbagai peringkat. Ia melibatkan peringkat kepimpinan negara dengan dasar yang lebih jelas dan usaha yang berterusan untuk berunding bagi mencari jalan penyelesaian kepada negara yang dilanda krisis terutama negara- negara ASEAN. Kerajaan juga berjanji untuk memberi tekanan yang berterusan kepada negara asal pelarian agar hak-hak pelarian dapat dikembalikan, di samping usaha-usaha peringkat antarabangsa untuk membawa mereka ke muka pengadilan.
Pemberian bantuan kepada negara-negara berkenaan juga turut diberi perhatian dengan menyelaraskannya melalui non-governmental organization (NGO) tempatan dan bukan melalui NGO antarabangsa supaya bantuan dan sumbangan sampai kepada mangsa dan pelarian dengan lebih adil, terjamin dan selamat (Syalikha Shazili, 2018). Ia menepati konsep maqāṣid berkaitan penjagaan jiwa dan pengagihan harta secara saksama kepada sesama insan.
Sumbangan dan bantuan bagi menangani masalah pendidikan juga perlu difikirkan bagi memberi akses pendidikan asas yang sewajarnya kepada pelarian di negara yang di diami mereka secara konstruktif dan berkala. Dalam hal ini prinsip penjagaan akal manusia supaya mendapat ilmu fardu ain dalam mengenal tuhan dan mempelajari ilmu alat dapat diterapkan sekurang- kurangnya pada peringkat asas.
Sementara itu, bagi pelarian yang telah sedia ada di Malaysia, walaupun secara dasarnya kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai berstatus pelarian kerana Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, tetapi kerajaan bagaimanapun membenarkan mereka untuk tinggal sementara di negara ini, atas dasar kemanusiaan sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNHCR (Mohd Iskandar Ibrahim, 2020).
Pelarian yang mempunyai kad UNHCR yang sah dibenarkan bekerja dalam sektor tertentu, satu projek rintis dengan mengambil pelarian yang sah untuk bekerja dalam sektor perladangan seperti Sime Darby Plantation Berhad serta Gardenia Bakeries. Pelaksanaan tersebut dilihat wajar bagi menggunakan tenaga kerja manusia untuk memajukan kegiatan ekonomi negara serta memberi bantuan kepada mereka atas nama kemanusiaan. Selain itu, bantuan- bantuan kemanusiaan terhadap pelarian majoritinya dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau NGO tempatan, atau pertubuhan yang ditubuhkan oleh komuniti pelarian sendiri (Ann Siang, 2019)
Kesemua langkah-langkah ini merupakan beberapa usaha yang dilakukan kerajaan Malaysia dalam memenuhi tanggungjawab sosial pemerintah demi memastikan pelarian mendapat hak yang sewajarnya dan dalam masa yang sama rakyat di negara sendiri mendapat jaminan keselamatan dan sosio-ekonomi yang lebih stabil. Ia bertepatan dengan pendekatan berasaskan maqāṣid syariah yang bertujuan untuk mencari kebaikan (maṣlahah) dan menghindari
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 keburukan (mafsadah) dalam setiap tindakan dan langkah yang perlu diputuskan sebaik mungkin agar keharmonian negara terus kukuh dan terpelihara.
Kesimpulan
Ringkasnya, pelarian merupakan isu global yang memerlukan pendekatan bijaksana dalam menanganinya, supaya keharmonian negara terbela dan dalam masa yang sama hak sesama insan juga dapat ditunaikan sebaiknya. Secara dasarnya terdapat keperluan yang relevan untuk pihak kerajaan Malaysia melihat undang-undang atau apa-apa alternatif yang sesuai untuk melindungi semua manusia dalam negara ini termasuk pelarian. Pelaksanaan Deklarasi Kaherah melalui badan-badan eksekutif dan perundangan negara harus dibincang dan dianalisis secara tepat dan teliti kerana ia secara amnya menggambarkan pandangan Islam. Jika dilihat kepada sudut lain, setiap negara boleh memanfaatkan deklarasi sedia ada tersebut menurut penilaian dan kemampuan negara masing-masing. Tidak menjadi penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 tidak menghalang negara Malaysia daripada melindungi kesejahteraan pelarian dan pencari suaka di Malaysia. Islam adalah agama yang syumul, memuliakan manusia dengan cara yang betul melalui wahyu dan sumber autoritinya. Pendekatan maqāṣid syariah yang mengiktiraf kebaikan yang memanfaatkan manusia dan menghalang sebarang keburukan yang menjejaskan diri dan masyarakat. Begitu juga prinsip keutamaan dalam maqāṣid syariah untuk memelihara keperluan yang utama (darūriyyah) terlebih dahulu berbanding keperluan untuk kemudahan atau kesenangan semata-mata boleh dijadikan prinsip dalam membuat penambahbaikan terhadap sesuatu dasar atau undang-undang yang berkaitan bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara dapat dikekalkan dengan sebaik mungkin.
Penghargaan
Artikel ini merupakan sebahagian hasil penyelidikan di bawah geran yang bertajuk Pengurusan Perkahwinan Warga Negara Asing Beragama Islam di Wilayah Persekutuan: Permasalahan dan Cadangan Penyelesaian. Geran ini merupakan geran di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kod penyelidikan, FRGS /1/2019/SSI10/USIM/03/1 untuk KPT dan USIM/FRGS/FSU/055002/53319 untuk USIM.
Rujukan
Abdullahi Ayoade Ahmad, A. P. (2016). The Refugee Crisis in Southeast Asia: The Malaysian Experience. International Journal of Novel Research in Humanity and Social Sciences, Vol.
3 (Issue 6), pp. 80-90.
Aizat Khairi. (2018). Penanganan Masalah Pelarian Rohingya di Malaysia Dalam Konteks Hybrid Peace dan Pendekatan Multi Track. Tesis Doktor Falsafah. USM.
Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. (1904). Al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul. (Cet.
1). Misr: Al-Matba’ah al-Amiriyyah.
Al-Juwaini, Imam al-Haramain 1997. al-Burhān fī Uṣūl al-Fiqh, Mansurah: Dar al-Wafaa Al-Syātibi, (1996), al-Muwāfaqāt fī Uṣūl al-Syarī'ah, Beirūt: Dār al-Ma'rifah. Jilid. 2.
Al-Zuhayli, Wahbah (2005). Ḥaq al Ḥurriyyah fī al-A'lām Damsyiq. Kuala Lumpur: Dār al Fikr.
Aman, D. A. ( 2016). Human Rights in Islamic Perspective. International Journal of Humanities and Social Science Research, 2(5), pp. 21-26. Diakses dari:
https://www.researchgate.net/publication/304541075
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 Ann Siang, 2019). Malaysia Tak Pernah Ada Dasar Pelarian. Diakses dari:
https://www.malaysiakini.com/news/482136. Diakses pada 25 November 2020.
Assembly, U. G. (10 Disember, 1948). Universal Declaration of Human Rights. Diakses dari:
https://www.un.org/en/UDHRbook/pdf/UDHR_booklet_en_web.pdf
Aubrey Belford, A. S. (4 Disember, 2015). REUTERS. Bertarikh 2 March 2020, Thai Migrant Crisis Meeting Ends Without Any Solution On Offer. Diakses dari:
http://www.reuters.com/article/asia-migrants-idUSL3N13T38820151204
Bedi, R. S. (2018). UNHCR. Bertarikh 6 Ogos, 2020, Allow Refugees to Stay and Work in Malaysia.
Diakses dari: https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/06/25/UNHCR-allow- refugees-to-stay-and-work-in-malaysia/
Syalikha Shazili. (2018). Dasar Luar Baharu Tangani Pelarian. Diakses dari:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/459911/bhplus
Cockburn, P. (1994). US Finally Ends Vietnam Embargo. The Independent. Diakses dari: The Indepedent.
Cooperation, O. o., (1990). The Cairo Declaration On Human Rights In Islam. Bertarikh 1 November,
2020, Diakses dari:
http://elearning.icrc.org/detention/en/story_content/external_files/Human%20Rights%20i n%20Islam%20(1990).pdf
Guy S. Goodwin-Gill, J. M. (2007). The Refugee in International Law. New York: Oxford University Press.
Mark Davis, P. C. (22 Jun, 2015). ABC News. Bertarikh 23 Julai, 2020, Migrant crisis: Rohingya refugees buried in mass graves near Thailand authorities, survivor says. Diakses dari:
http://www.abc.net.au/news/2015-06-22/rohingyas-secret-graves-of-asias-forgotten- refugees/6561896
McInnes, C. R. (1994). Post-Cold War Security Issues in the Asia-Pacific Region. Chicago: Frank Cass
& Co. Ltd.
Mohd Iskandar Ibrahim: April 30, 2020. Malaysia Tidak Iktiraf Status Pelarian Rohingya. Diakses dari:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/683606/malaysia-tak-iktiraf-status- pelarian-rohingya. Akses pada 25 November 2020.
Mohamad, T. A. (2014). Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Tradisi Islam Dan Perlembagaan Malaysia (Kota Kinabalu). Kota Knabalu, Sabah: Forum Kebangsaan Sabah. Diakses dari:
https://tunabdulhamid.me/2014/11/hak-asasi-manusia-peranan-dan-fungsi-dari- perspektif-perlembagaan-malaysia/
Muntarbhorn. (1992). The Status of Refugees In Asia. London: Clarendon Press.
Pagano, A. (2016). Middle East Institute. The Rohingya Refugee Crisis: A Regional and International Issue?, Diakses dari: https://www.mei.edu/publications/rohingyas-refugee-crisis-regional- and-international-issue
S. Kosem, A. S. (2016). Religion, Nationalism and the Rohingya's Search fo Citizenship in Myanmar. In R. Mason, Muslim Minority-State Relations: Violence, Intergration and Policy. London and New York: Palgrave Macmillan.
Steen, B. (March 24, 2005). UNHCR. Last Vietnamese Boat Refugee Leaves Malaysia: Diakses dari:
http://www.UNHCR.org/43141e9d4.html
The Bali Processs. (23 Mac, 2016). Bertarikh 2 Jun 2020, The Bali Process on People Smuggling, Trafficking in Persons and Related Transnational Crime. Dlm. https://www.baliprocess.net/
UNHCR. (2016). Filipino Refugees In Sabah. Current Situation And Achievements To Date. Diakses dari:
https://reporting.UNHCR.org/node/9993
V, M. (1992). The Status of Refugees In Asia. London: Clarendon Press.
E-ISSN: 2735-1149, Vol. 1, No. 1, 2020, pp. 1-14 Yik, C. S. (18 September 2018). Chia, Lee & Associates. Bertarikh 2 Julai, 2020, Refugee Law in
Malaysia, Dlm. http://chialee.com.my/knowledge-hub/refugee-law-in-malaysia