Disclaimer: Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies, reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for study or research.
Latihan, bantuan guru bantu kuasai bahasa Melayu
Oleh Rafiqah Dahali - September 14, 2021 @ 9:11am [email protected]
Pasukan forum SM SM Tshung Tsin, Kota Kinabalu yang menjuarai Forum Pelajar 2021 peringkat Negeri Sabah
Kota Kinabalu: Pembabitan dalam acara pengucapan awam sejak sekolah rendah mendorong Angelin Kong, 17 untuk menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.
Kegigihan Kong, pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Tshung Tsin, Kota Kinabalu itu akhirnya berbaloi apabila diumum sebagai ahli forum terbaik dalam Pertandingan Forum Pelajar 2021 Peringkat Negeri Sabah. Lebih manis, SM Tshung Tsin turut diumumkan juara keseluruhan.
Kong berkata, kemenangan itu membuatkan dia semakin gigih untuk menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik dan meningkatkan kemahiran dalam pengucapan awam.
"Sejak sekolah rendah saya mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan tapi tidak pernah muncul juara. Namun ia membuatkan saya ingin lebih menguasai bahasa Melayu.
"Ia adalah bahasa rasmi negara selain sangat unik dan indah," katanya.
Mengulas persiapan dan cabaran dalam pertandingan terbabit, beliau dan rakan sepasukan membuat persiapan awal kerana berazam mempertahankan kejuaraan yang sebelum ini dimenangi mereka.
Disclaimer: Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies, reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for study or research.
Susulan itu, guru pembimbing membantu dalam mengatur jadual dan masa latihan iaitu selepas waktu persekolahan tamat dan dijalankan sekurang-kurangnya dua jam sehari.
"Saya berpendapat minat terhadap bahasa ini adalah faktor utama mengapa ia mudah dipelajari.
"Selain itu, ia juga disebabkan guru yang membantu melatih sebutan dan mengasah kemahiran pertuturan kami membuatkan ia sangat mudah dikuasai," katanya.
Acara yang diadakan secara dalam talian itu ditutup oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Hajiji dalam ucapannya menyebut pihaknya amat menggalakkan pembabitan pelajar pelbagai kaum dalam aktiviti sedemikian.
"Sesungguhnya, ini adalah usaha yang baik bagi menyokong pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Saya berharap, dengan adanya kegiatan seperti ini, pendidik dan pelajar dapat bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan kita," katanya.
Pertandingan Forum Pelajar 2021 dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penterjemahan Penulisan Kreatif Malaysia.
Pertandingan itu dibuka kepada pelajar tingkatan tiga hingga tingkatan enam yang menuntut di sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara.
Ia bertujuan untuk menggalakkan pelaksanaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar.