International Journal of Business and Economy (IJBEC) eISSN: 2682-8359 [Vol. 4 No. 1 March 2022]
Journal website: http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijbec
MEKANISMA PEMANTAUAN: MEMPERKUKUHKAN PENGURUSAN AGIHAN ZAKAT WAKALAH OLEH
LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH (LZNK)
(MONITORING MECHANISM: STRENGTHENING THE MANAGEMENT OF WAKALAH ZAKAT DISTRIBUTION
BY LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH (LZNK))
Nur Zainie, A. H.1*, Hasyimah, R.2 dan Shamsinar, I.3
1 2 3 Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah, Merbok,
MALAYSIA
*Pengarang penghubung: [email protected]
Article Information:
Article history:
Received date : 2 February 2022 Revised date : 6 March 2022 Accepted date : 15 March 2022 Published date : 19 March 2022
To cite this document:
Nur Zainie, A. H., Hasyimah, R., &
Shamsinar, I. (2022).MEKANISMA PEMANTAUAN:
MEMPERKUKUHKAN
PENGURUSAN AGIHAN ZAKAT WAKALAH OLEH LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH (LZNK).
International Journal of Business and Economy, 4(1), 177-184.
Abstrak: Salah satu aspek yang penting dalam pengurusan agihan zakat adalah dengan mewujudkan mekanisme pemantauan yang berkesan. Mekanisme ini adalah penting bagi memastikan supaya tujuan utama agihan zakat dapat mencapai matlamat utama yang ditetapkan. Namun begitu, kebanyakan pengagihan zakat yang dibuat oleh pusat agihan tidak disusuli oleh kaedah pemantauan yang sepatutnya, malah, ada yang langsung tidak dilaksanakan. Oleh itu, kajian perlu dilakukan bagi mengkaji semula dan memperbaiki sistem agihan zakat supaya tujuan utama pengagihan zakat dapat dicapai dengan semaksimumnya. Objektif utama kajian ini adalah untuk mencadangkan mekanisme yang sesuai dan berkesan bagi memantau pengagihan zakat secara wakalah oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang diwakili oleh wakil (muzzaki) kepada golongan asnaf yang layak. Kaedah pengumpulan data yang digunakan adalah melalui temuduga secara mendalam dengan dua orang pegawai Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang terlibat secara langsung dalam agihan zakat secara Wakalah di negeri Kedah. Dapatan utama temuduga mendapati bahawa, mekanisma yang diwujudkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk memantau keberkesanan pengagihan zakat secara wakalah oleh wakil (muzzaki) yang dilantik masih memerlukan penambahbaikan. Maka, kajian ini adalah signifikan
1. Pengenalan
Zakat memainkan peranan penting dalam aspek sosio-ekonomi negara. Namun, mekanisma pengagihan zakat di negara ini didapati kurang berkesan dalam membendung masalah kemiskinan dalam kalangan umat Islam walaupun jumlah kutipan zakat oleh pusat kutipan zakat dilaporkan meningkat setiap tahun. Oleh itu, satu kajian perlu dilakukan bagi mengkaji semula dan memperbaiki sistem agihan zakat supaya tujuan utama kutipan zakat mencapai matlamat yang telah disasarkan. Ini adalah penting bagi mengenal pasti keperluan sebenar golongan asnaf mengikut keutamaan disamping mengutamakan golongan yang benar-benar layak untuk menerima agihan zakat.
dan penting bagi menutup kelompangan dalam agihan zakat yang menyebabkan usaha yang dilakukan oleh LZNK tidak mencapai impak yang maksimum.
Kata Kunci: Mekanisme Pemantauan, Wakalah, Wakil (Muzzaki), Zakat.
Abstract: One of the important aspects in the management of zakat distribution is to establish an effective monitoring mechanism. This mechanism is important to ensure that the main purpose of zakat distribution can achieve the main goal set. However, most of the distribution of zakat made by the distribution center is not followed by the proper monitoring methods, in fact, some are not implemented at all. Therefore, research needs to be done to review and improve the zakat distribution system so that the main purpose of zakat distribution can be achieved to the maximum. The main objective of this study is to propose an appropriate and effective mechanism to monitor the distribution of zakat by Wakalah by the Kedah State Zakat Board (LZNK) represented by wakil (muzzaki) to eligible asnaf.
The data collection method used is through in -depth interviews with two officers of the Kedah State Zakat Board (LZNK) who are directly involved in the distribution of zakat by Wakalah in the state of Kedah.
The main findings of the interview found that, mechanism established by the Kedah State Zakat Board (LZNK) to monitor the effectiveness of the distribution of zakat by Wakalah by the appointed wakil (muzzaki) still need significant improvement. Therefore, this study is significant and important to close the gap in the distribution of zakat that causes the efforts made by LZNK does not achieve maximum impact.
Keywords: Monitoring Mechanism, Wakalah, Wakil (Muzzaki), Zakat.
Berdasarkan kajian lepas, mekanisma kutipan zakat di Malaysia adalah sangat efisien dan antara yang terbaik di dunia, namun, birokrasi dalam kaedah pengagihan zakat menyebabkan golongan asnaf kekal miskin. Ini kerana, pengagihan zakat yang dibuat tidak disusuli oleh kaedah pemantauan yang berkesan. Malah, ada situasi dimana, tiada langsung pemantauan dibuat. Isu seperti ini sering mendapat perhatian masyarakat di mana masyarakat mempersoalkan golongan asnaf yang tercicir, walhal peruntukan zakat yang besar telah disalurkan (Mohamad Muhaimin, et al., 2021).
Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa terdapat kelompongan dalam sistem pengagihan zakat yang menyebabkan usaha yang dilakukan tidak mencapai impak yang maksimum. Sebagai contoh, kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) pada tahun 2010 telah mencadangkan agihan zakat ditumpukan kepada golongan miskin dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan. Kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2008 pula menunjukkan bantuan modal zakat perlu diubah dengan pemantauan yang ketat dan berkesan bagi memastikan kejayaan dan keberkesanannya. Maka, sebagai salah satu inisiatif penambahbaikan, institusi-institusi zakat di Malaysia telah mengambil langkah untuk memperkenalkan sistem agihan zakat secara Wakalah sebagai langkah untuk memperkukuhkan pengurusan kutipan dan agihan zakat di Malaysia.
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merupakan institusi yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat di seluruh negeri Kedah. Secara spesifiknya, LZNK telah melaksanakan agihan zakat secara Wakalah sejak beberapa tahun yang lalu. Kaedah agihan zakat secara Wakalah ini merangkumi empat segmen iaitu individu, institusi pendidikan, syarikat dan majikan. Pemantauan dilakukan oleh LZNK melalui laporan yang dihantar oleh wakil-wakil yang dilantik. Namun begitu, tidak semua wakil-wakil bertindak untuk menyerahkan laporan kepada LZNK. Ini secara tidak langsung telah mengganggu gugat aspek ketelusan pengurusan di LZNK. Selain itu, terdapat beberapa isu lagi dalam pengurusan zakat yang menyumbang kepada ketidakcekapan dalam proses pengurusan zakat. Antaranya adalah kakitangan di institusi zakat yang tidak cekap dalam aspek pengagihan zakat (Azman et al., 2016), isu rasuah yang berleluasa (Nurul Athirah et al., 2018), masalah birokrasi (Mohd Sharil et al., 2016), kelemahan dalam pengurusan rekod (Nurul Athirah et al., 2018), pengagihan zakat kepada golongan asnaf tertentu tanpa mengikut keutamaan (Eza Ellany et al., 2014) dan juga isu zakat berlebihan yang tidak diagihkan kepada golongan asnaf yang layak (Ahmad Fathi, et al., 2017). Maka, mengambil isu-isu ini sebagai permasalahan kajian, kajian ini dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan lebih berkesan dalam meningkatkan kualiti pengurusan agihan zakat secara Wakalah di LZNK dengan objektif utama untuk menghasilkan rangka atau mekanisme pemantauan agihan zakat secara Wakalah yang berkesan.
2. Kajian Lepas 2.1 Wakalah
Pelaksanaan Wakalah sememangnya berpotensi untuk menyumbang kepada peningkatan jumlah kutipan zakat oleh institusi zakat. Malah, ia secara tidak langsung dapat membantu untuk memperluaskan radius pengagihan zakat kepada golongan asnaf yang layak. Dari sudut syara’, wakalah bermaksud mewakilkan atau memberikan kuasa kepada pihak lain dalam sesuatu urusan yang diharuskan (Al-Sa’ad, 2008). Ia melibatkan penyerahan tugas kepada pihak yang lain bagi menguruskan urusan-urusan yang tidak melanggar syariat (Hailani &
Sanep, 2009). Secara umumnya, definisi Wakalah adalah luas dimana ia merujuk kepada tindakan mewakilkan seseorang dalam pelbagai urusan termasuklah urusan jual beli, pembahagian harta pusaka, pengurusan dan perancangan harta (Syahmi, et al., 2021). Secara umumnya, Wakalah merupakan satu sistem yang diaplikasikan bagi membantu meningkatkan jumlah dan kapasiti kutipan zakat.
2.2 Sistem Wakalah di Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)
Pada tahun 2015, Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) telah diswastakan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Bermula itu, pelbagai transformasi telah berlaku dalam pengurusan zakat di negeri Kedah. Penswastaan ini telah menyumbang kepada sistem pengurusan dan pentadbiran zakat yang lebih berkesan dan teratur di negeri Kedah di mana, pelbagai penambahbaikan terhadap undang-undang zakat telah dilakukan. Seksyen 19 di bawah Enakmen Lembaga Zakat Kedah Darul Aman 2015 (ELZKDA 2015) memperuntukkan bahawa LZNK boleh melantik wakil untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat (Hafiz et al., 2017). Hal ini telah membawa kepada pelaksanaan sistem Wakalah di negeri Kedah bermula tahun 2015 secara umumnya.
Berdasarkan analisis awal data primer dan sekunder yang diperolehi, sistem Wakalah ini bukanlah satu sistem yang baru diperkenalkan. Ini kerana, lapan negeri di semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan telah mengamalkan sistem ini. Walau bagaimanapun, negeri Pulau Pinang, Kelantan, Pahang dan Johor masih belum mengambil sistem ini sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan kapasiti pungutan zakat di negeri masing-masing.
3. Metod
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang bertujuan untuk meneroka pelaksanaan mekanisme agihan zakat secara Wakalah kepada golongan fakir di negeri Kedah memandangkan konsep Wakalah yang digunakan ini masih kurang jelas di mata masyarakat islam Malaysia dan kurang mendapat perhatian. Selain itu, kaedah ini juga bertujuan untuk meneroka mekanisme terbaik dan berkesan dalam memantau pelaksanaan agihan zakat secara wakalah oleh muzakki yang dilantik bagi meningkatkan kualiti pengagihan zakat di negeri Kedah. Data telah dikutip melalui kaedah temu bual secara mendalam dengan pegawai zakat yang bertanggungjawab dalam menguruskan perihal agihan zakat secara wakalah di LZNK disamping rujukan ke atas laman sesawang rasmi LZNK. Soalan-soalan temubual yang dibentuk meliputi aspek-aspek proses permohonan, proses pemilihan, proses kelulusan, proses pelaksanaan dan juga proses pemantauan.
4. Dapatan Kajian
4.1 Proses Pengurusan Zakat Wakalah di Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)
Proses pengurusan zakat secara Wakalah di LZNK bermula dengan penerimaan borang yang telah lengkap di isi atau surat permohonan untuk menjadi wakil (Muzzaki) daripada individu, organisasi kerajaan atau swasta dan agensi perniagaan. Dalam hal ini, pemohon boleh membuat permohonan agihan zakat secara Wakalah bagi pembayaran zakat pada tahun semasa dan sebelumnya. Pihak LZNK kemudiannya akan membuat semakan dan mencetak data bayaran zakat oleh pemohon melalui sistem. Di peringkat ini, semakan akan dibuat samada pembayar layak memohon untuk menjadi wakil ataupun tidak. Jika pemohon didapati tidak layak, permohonan yang dihantar oleh pemohon tidak akan diproses. Bagi pemohon yang layak, pengesahan data pemohon akan dibuat oleh Jabatan Teknologi Maklumat. Selepas pengesahan dibuat, kelulusan daripada Ketua Pegawai Eksekutif perlu diperolehi bagi menentukan jumlah Wakalah yang layak diterima oleh pemohon. Seterusnya, baucer bayaran akan disediakan oleh LZNK kepada pemohon yang layak dan proses pembayaran oleh Jabatan Kewangan akan diproses sama ada melalui Electronic Fund Transfer (EFT) atau melalui cek. Bagi pembayaran melalui cek, serahan cek akan terus dilakukan kepada pemohon yang layak. Dalam tempoh ini, pemohon yang layak akan diminta untuk melengkapkan borang akad Wakalah. Kemudian, sebagai bukti dokumentasi, wakil (Muzzaki) perlu menyerahkan laporan agihan Wakalah dalam tempoh setahun daripada tarikh menerima duit Wakalah. Laporan ini akan disimpan sebagai rekod dan bukti berlakunya transaksi.
4.2 Elemen-Elemen Penting dalam Membangunkan Mekanisma Pemantauan Pengurusan Zakat Wakalah yang Berkesan
Penambahbaikan ke atas mekanisma pemantauan agihan zakat secara Wakalah yang berkesan dan berimpak memerlukan penelitian ke atas beberapa elemen yang berkait rapat dengan proses agihan zakat secara Wakalah. Secara khususnya, elemen-elemen ini termasuklah pihak wakil (muzakki), kontrak Wakalah, pihak amil dan golongan asnaf yang layak.
i. Pihak Wakil
Terdapat empat entiti yang dibenarkan untuk memohon sebagai wakil oleh LZNK iaitu, individu, institusi pendidikan, syarikat dan majikan. Setiap entiti ini perlu mematuhi syarat- syarat Wakalah agihan yang spesifik yang diperuntukkan oleh LZNK. Aspek syarat-syarat ini merangkumi definisi entiti yang layak untuk menjadi wakil, syarat-syarat permohonan, kadar agihan Wakalah yang dibenarkan dan kaedah agihan wakalah yang telah ditetapkan. Pihak wakil memainkan peranan yang penting dalam pengagihan Wakalah bagi menjamin kualiti pengagihan zakat kepada golongan asnaf yang benar-benar layak. Dalam hal ini, mereka perlu mengagihkan zakat dengan memberi keutamaan agihan kepada asnaf-asnaf di negeri Kedah.
Walau bagaimanapun, jika terdapat pelanggaran atau ketidakpatuhan daripada pihak wakil, maka, LZNK boleh mengambil tindakan pembatalan atau mengubah syarat pada mana-mana perjanjian wakalah agihan.
ii. Kontrak Wakalah
Wakalah merupakan kaedah yang dipraktikkan bagi mengeratkan silaturahim antara pihak wakil (muzakki) dan asnaf, disamping berkemampuan untuk mencapai golongan asnaf yang tidak dapat dicapai oleh institusi zakat (Nurdiani & Ekawaty, 2015). Atiah dan Hairunnizam (2017) berpendapat, pengaplikasian kontrak wakalah merupakan salah satu inisiatif yang
penting bagi menambahbaik agihan zakat secara wakalah, disamping meningkatkan kualiti pengagihan zakat tersebut. LZNK telah mengaplikasikan kontrak wakalah dalam agihan zakat dengan tujuan utama untuk mempromosikan dan menggalakkan kempen membayar zakat disamping untuk meningkatkan kutipan zakat dikalangan para pembayar zakat. Zakat ini termasuklah zakat perniagaan, zakat pendapatan dan zakat harta. Disisi syara’, kontrak wakalah merupakan suatu bentuk kontrak yang wujud di antara pihak yang ingin mewakilkan sesuatu tugas dan juga pihak yang dipertanggungjawabkan dan bertindak sebagai pengganti untuk melaksanakan tugas bagi pihak yang mewakilkan (Muhsin & Suhaili, 2021). Ia terjadi apabila seseorang yang mempunyai hak dan kuasa yang dikenali sebagai Mutawakkil, berakad untuk menyerahkan hak dan kuasa ke atas sesuatu perkara kepada wakil, dan dalam pada yang sama, wakil menerima akad tersebut dan bersetuju untuk menerima hak dan kuasa ke atas sesuatu perkara tersebut (Hailani & Sanep, 2009). Tempoh sah kontrak Wakalah ini adalah sepanjang tempoh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak (Mutawakkil dan wakil) yang berakad wakalah.
iii. Pihak Amil
Dari sudut bahasa, amil merupakan individu yang dipilih oleh pemimpin untuk melakukan kutipan, menyimpan dan mengagihkan zakat daripada segala aspek yang merangkumi hal-hal merekod, mengira dan pelaporan kepada pihak pemimpin (Husein, 2005). Lantikan amil dapat membantu untuk memastikan keberkesanan daripada aspek kutipan zakat, agihan zakat dan ketelusan dalam pengurusan zakat. Perlantikan amil adalah sangat signifikan dan penting memandangkan ada dikalangan masyarakat yang layak berzakat tetapi tidak berzakat dan ada dikalangan masyarakat yang dikategorikan sebagai asnaf, tetapi tidak diiktiraf sebagai asnaf.
Maka, para amil yang dilantik memainkan peranan untuk menilai dan menentukan golongan- golongan yang wajib membayar zakat dan berhak menerima agihan zakat.
iv. Golongan Asnaf
Antara elemen yang juga penting dan perlu diutamakan adalah penentuan secara terperinci oleh para wakil (muzakki) asnaf yang layak menerima agihan daripada lapan golongan asnaf yang ditetapkan iaitu orang fakir dan miskin, ‘amil, muallaf, para hamba, penghutang, fi sabilillah dan orang yang bermusafir (Syahmi Haziq & Hairunnizam, 2020). Maka, bagi memastikan agihan zakat dapat dilakukan dengan berkesan dan menyumbang kepada peningkatan sosio- ekonomi gologan asnaf sasaran, pengagihan perlu dilakukan mengikut keutamaan golongan asnaf-asnaf yang ditetapkan dan mengikut turutan keutamaan asnaf (Pg Mohd Faezul, 2019).
Ini bagi memastikan tiada golongan asnaf yang tercicir (Ahmad Fathi et al., 2017).
5. Kesimpulan
Amalan tadbir urus yang baik adalah penting kepada institusi zakat. Mengambilkira peranan signifikan yang dimainkan oleh institusi zakat dalam meningkatkan kualiti kehidupan serta ekonomi masyarakat islam, kajian ini dijalankan bertujuan untuk memperbaiki aspek pengurusan dan pentadbiran institusi zakat khususnya aspek pengurusan yang berkaitan dengan pemantauan pengagihan zakat di LZNK. Berdasarkan dapatan temuduga, artikel ini telah mengenalpasti aspek-aspek pengurusan dan pengagihan zakat secara Wakalah yang diperlukan bagi merangka mekanisma pemantauan yang berkesan untuk dimanfaatkan dan diaplikasikan oleh LZNK. Berdasarkan jangkaan dapatan kajian seterusnya, satu carta alir mekanisma pemantauan akan dicadangkan dan merangkumi peranan serta tindakan semua individu yang terlibat dalam pengagihan zakat secara Wakalah seperti yang dibincangkan dalam dapatan
kajian di atas, termasuklah LZNK, wakil (muzzaki) yang dilantik, kontrak Wakalah, asnaf yang terpilih dan juga para amil yang telah dilantik. Kajian seumpama ini diharapkan agar dapat meningkatkan kualiti pengurusan dan pentadbiran zakat secara berterusan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.
6. Penghargaan
Penyelidikan dan penerbitan manuskrip ini adalah di bawah tajaan geran kajian Zakat, Wakaf dan Sedekah (ZAWAS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Para penyelidik juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan dan memenuhi keperluan penyelidikan kajian ini.
Rujukan
Ahmad Fathi, A., Hairunnizam, W. & Mohd Ali, M.N. 2017. Kecekapan Pengurusan Kewangan Dan Pengurusan Agihan Zakat: Kajian Terhadap Majlis Agama Islam Johor.
UMRAN International Journal of Islamic and Civilizational Studies 4(3): 52-66.
Atiah, A. & Hairunnizam, W. 2017. Kontrak Wakalah dalam Agihan Zakat: Kajian di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Dlm. Hairunnizam, W., Mohd Ali, M.N., Adibah, A.W. & Muhammad Tajuddin, A.R (pnyt). Pengurusan Zakat Di Malaysia Satu Pendekatan Analisis Gelagat, hlm. 171–187. Bangi: Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Islam (EKONIS-UKM).
Eza Ellany, A.L., Mohd Rizal, P. & Mohamat Sabri, H. 2014. Prestasi Kecekapan Agihan Kewangan dan Bukan Kewangan di Kalangan Institusi Zakat di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia 48(2): 51 - 60.
Hafiz Badarulzaman, Alias Azhar, & Che Thalbi Md Ismail, (2017). Kerangka Perundangan Pentadbiran Zakat di Negeri Kedah: Satu Analisis Perbandingan. Journal of Global Business and Social Entreprenuership (GBSE). Vol. 3: No. 6. Hlm 1-9.
Hailani Muji Tahir & Sanep Ahmad (2009) Aplikasi Fiqh Muamalat dalam Sistem Kewangan Islam. Shah Alam: UPENA UiTM
Husein Sahata. (2005). Kaedah Agihan Zakat Harta Pengertian, Sistem dan Agihannya.
Diterjemah dari Muhasabah az-Zakah oleh Harun ArRasyid Tuskan dan Hamid Fahmy Zarkasyi. Kuala Lumpur: Pustaka Al-Shafa.
Mohamad Muhaimin, M. Z., Jasni, S. & Hafizah, Z. (2021). Penentuan skim agihan zakat pedidikan: Kajian di Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), 1 (2), 123-147.
https://media.neliti.com/media/publications/337900-penentuan-skim-agihan-zakat- pendidikan-k-f5ae578b.pdf
Mohamad Naimi, M. N. & Dzarfan, A. K. (2019). Fraud dan mekanisme pencegahan di Institusi Zakat, Proceedings of the 1st Kedah International Zakat Conference 2019
(KEIZAC 2019), 233-243. chrome-
extension://efaidnbmnnnibpcajpcglclefindmkaj/viewer.html?pdfurl=http%3A%2F%2Fre po.uum.edu.my%2F26371%2F1%2FKEIZAC%25202019%2520233%2520243.pdf&cle n=400053&chunk=true.
Mohd Shahril, A.R., Abdul Rahim, R. & Muhammad Farid, M.E. 2016. Zakat Management in Malaysia: A Review. American-Eurasian Journal of Scientific Research 11(6): 453-457.
Muhsin, N. P. & Suhaili, S. (2021). Limitasi penggunaan konsep Wakalah dalam sistem pengurusan zakat di Malaysia, e-Jurnal Penyelidikan dan Inovasi, 8 (1), 198-220.
Nurdiani, P. & Ekawaty, M. 2015. Efektivitas Pendistribusian Zakat Profesi Pegawai Negeri Sipil Melalui Sistem Wakalah Di Kementerian Agama Kota Malang Ditinjau Dari Fiqh Zakat. Jurnal Ilmiah Mahasiswa Fakultas Ekonomi dan Bisnis 3(2): 1-18.
Nurul Athirah, M.A., Muhammad Saiful, H.H. & Roslina, H. 2018. Faktor Yang Mempengaruhi Jumlah Agihan Dana Zakat Melebihi Jumlah Kutipan Pada Tahun 2014 Hingga 2016 Di Maipk: Satu Analisa. Jurnal ‘Ulwan 1(1): 1-10.
Pg Mohd Faezul, F.A.O., Hairunnizam, W. & Mohd Ali, M.N. (2017). Kecekapan Pengurusan Kewangan Dan Agihan Zakat : Kajian Di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Jurnal Syariah 25(3): 415–452.
Raja Muhd Azman, R. A. & Muhammad Noor Habibi, H. L. (2020). Kutipan zakat menerusi konsep wakalah: satu sorotan awal. International Journal of Zakat and Islamic Philanthropy, 2 (2), 143-151.
Syahmi Haziq, O., Hairunnizam, W. & Mohd Ali, M. N. (2021). Sustainable zakat distribution through Wakalah Contract. International Journal of Zakat, 6 (1), 49-70.