136
PELAKSANAAN ISTIBDAL DI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI:
KAJIAN KES TERHADAP PENGAMBILAN TANAH WAKAF OLEH PIHAK BERKUASA NEGERI DI MAJLIS AGAMA ISLAM
TERENGGANU
ISTIBDAL IMPLEMENTATION IN THE STATE ISLAMIC COUNCIL: A CASE STUDY OF WAQF LAND ACQUISITION BY THE STATE AUTHORITIES IN
TERENGGANU ISLAMIC COUNCIL
Mohd Afandi Bin Mat Rani1 Abdul Rahman Bin Mohd Sha’ary2
ABSTRAK
Pengambilan tanah wakaf secara paksaan adalah sebahagian daripada hukum fiqh semasa yang bersifat Ijtihadiyyah yang diasaskan kepada konsep Maslahah ‘Ammah dan mekanisme Istibdal yang terdapat dalam Undang-undang wakaf Islam. Perkara ini tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci hukumnya oleh para fuqaha Islam di dalam penulisan mereka.
Maka kajian dari perspektif hukum syarak perlu dilihat untuk mengenalpasti dan menjelaskan hukum pengambilan tanah wakaf oleh kerajaan ini terutama membabitkan pengambilan tanah wakaf oleh pihak swasta untuk tujuan pembangunan ekonomi negara yang telahpun dilaksanakan di Malaysia sejak sekian lama. Justeru, kertas kerja ini cuba untuk melihat Istibdal sebagai mekanisme bagi mengekalkan kesinambungan tanah wakaf dalam kes pengambilan tanah wakaf oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Kajian kes telah dibuat di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai sample kajian. Bagi menampung keperluan hukum semasa ini, beberapa prinsip dan kaedah Fiqh yang terpakai dalam Syariat Islam dirujuk dan diyakini mampu mencorak ke arah pembentukan fiqh wakaf lestari yang lebih dinamik dan komprehensif sejajar dengan pembangunan negara.
Kata Kunci: Istibdal, Pengambilan Tanah Wakaf, Maslahah ‘Ammah, Darurat
1. PENDAHULUAN
Keperluan kepada pelaksanaan mekanisme istibdal bagi tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan oleh pihak kerajaan bukan lagi menjadi satu pilihan. Malah ia adalah satu kemestian yang tidak boleh disangkal kepada pihak yang bertanggungjawab atau pihak berkuasa lain dengan mengkaji serta menyelidiki secara kritikal agar segala tindakan yang diambil dan pelaksanaannya sejajar dan seiring dengan matlamat hukum syarak. Selain melaksanakan kewajipan syarak, istibdal terpaksa dilakukan kerana faktor-faktor ekonomi atau politik atau undang-undang dan lain-lain lagi (Mohd Daud Bakar, 1999, hlm.161) Secara umumnya, majoriti mazhab menerima konsep istibdal sebagai satu medium ke arah
137
mengekalkan hartanah wakaf dan manfaatnya (Abu Zahrah, Muhammad, 1971, hlm.154) Sekiranya hukum syarak tidak menyediakan alternatif lain dalam menangani masalah pengambilan tanah yang melibatkan tanah wakaf, sedangkan pada masa yang sama hukum mengharuskan pihak berkuasa mengambil tanah tersebut untuk kepentingan umum, sudah pasti berlakunya pertentangan dan pencabulan antara hukum pengambilan tanah wakaf dengan prinsip utama dalam undang-undang pewakafan harta dalam Islam iaitu prinsip kekekalan dan kelangsungan aset wakaf. Konsep ini juga adalah selaras dengan prinsip bahawa harta wakaf tidak boleh dijual, tidak boleh dihibah kepada orang lain dan tidak boleh diwarisi. (Al-Syawkani, Syaykh Muhammad b. ‘Ali, t.t., hlm.24)
2. PENGAMBILAN TANAH WAKAF BERDASARKAN KONSEP ISTIBDAL
Tujuan asal seseorang mewakafkan harta adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala secara berterusan, selain rahmat, keberkatan dan keredhaanNya.
Tujuan asal ini tidak akan kesampaian jika adanya halangan-halangan yang tidak dapat dielakkan. Antaranya seperti pelupusan status wakaf akibat pengambilan tanah wakaf oleh pihak berkuasa. Maka nazir selaku pemegang amanah harta wakaf perlu menyelesaikan permasalahan ini dengan mengambil alternatif dan pendekatan agar manfaat harta wakaf dapat disalurkan untuk selama-lamanya sebagaimana niat pewakaf.
Oleh kerana berlakunya pengecualian hukum asal yang mengharuskan pengambilan tanah wakaf untuk kemaslahatan umum, maka konsep istibdal dilihat sebagai suatu mekanisme yang boleh mengekalkan kesinambungan tanah wakaf tanpa mengorbankan prinsip asal wakaf. Konsep istibdal atau lebih dikenali sebagai pertukaran harta wakaf pada hakikatnya merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang membabitkan pembangunan harta wakaf (Siti Mashitoh Mahamood, 2002, hlm.1). Kebanyakan perbincangan tentang istibdal oleh para fuqaha lebih tertumpu dalam menyelesaikan masalah tanah wakaf yang tidak mendatangkan hasil untuk digantikan dengan tanah lain yang lebih baik dan menguntungkan. Ini kerana maksud istibdal itu sendiri memberi beberapa makna iaitu penggantian, pertukaran, penjualan dan pembelian. Justeru, di dalam kitab-kitab fiqh dan perbincangan fuqaha konsep istibdal tidak dibincangkan di dalam bab-bab yang lain, kecuali dalam bab pewakafan harta yang dibincangkan secara tersendiri.
2.1 Pengambilan Tanah Wakaf Majlis Agama Islam Terengganu Oleh Pihak Berkuasa Negeri
Di negeri Terengganu, terdapat sekurang-kurangnya 94 lot tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh PBN. Kegiatan pengambilan tanah oleh pihak kerajaan telah berlaku sejak sekian lama. Merujuk kepada sejarah MAIDAM, di Terengganu keterlibatan tanah wakaf dengan pengambilan tanah oleh pihak kerajaan bermula sejak tahun 1951 lagi (Mohd Afandi mat Rani, 2008). Kajian ini mendapati hampir setiap tahun terdapat tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah. Memandangkan sebahagian besar kedudukan lokasi tanah
138
wakaf di negeri Terengganu terletak di kawasan bandar, maka kebanyakan tanah-tanah yang terlibat dengan projek kerajaan adalah terletak di daerah Kuala Terengganu Selebihnya adalah tanah wakaf yang berada di luar kawasan bandar atau pinggiran bandar (Kamarudin Ngah, 1993).
2.2 Tujuan Pengambilan Tanah Wakaf di Terengganu
Di negeri Terengganu sebahagian besar pengambilan adalah bagi tujuan menaik taraf jalan raya iaitu sebanyak 34 Lot. Selain itu terdapat 4 Lot tanah diambil oleh kerajaan untuk membina pejabat pentadbiran kerajaan iaitu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) negeri Terengganu dan bangunan Pejabat Daerah Kuala Terengganu. Selebihnya sebanyak 15 Lot bagi pembinaan parit dan 8 Lot untuk pembesaran dan pembinaan bangunan masjid.
Manakala bagi setiap pengambilan untuk tapak sekolah, lapangan terbang, laluan TNB, perumahan awam adalah sebanyak 2 Lot. Selain itu terdapat 3 Lot digunakan bagi pembinaan tangki air. Selebihnya masing-masing 1 Lot untuk pembesaran muzium negeri Terengganu dan pelabuhan perikanan Chendering di Kuala Terengganu. Terdapat sejumlah 18 Lot tanah wakaf yang diambil tidak dapat dikenalpasti tujuan pengambilan kerana tidak direkod oleh pegawai yang bertugas sebelum ini. Pihak MAIDAM begitu prihatin terhadap tanah-tanah wakaf dengan tidak membenarkan tanah-tanah wakaf diambil dengan sewenang-wenangnya.
MAIDAM akan mempertahankan agar tanah wakaf agar tidak diambil dengan sewenang- wenangnya oleh PBN kecuali dalam keadaan dharurat. Perkara ini telah diputuskan di dalam Mesyuarat MAIDAM (Fail Pengambilan Tanah Wakaf No. 03-003-4):
“mesyuarat mengambil maklum bahawa Yg Dipertua sebagai Pengerusi pengawal tanah wakaf hendaklah mempertahankan supaya tanah-tanah wakaf tidak sewenang-wenangnya diambil oleh pihak tertentu walaupun diganti semula kecuali dalam perkara dharurat sahaja.
Di negeri Terengganu tanah wakaf Khas masjid Lot 1628 Kubang Parit telah diambil untuk pembinaan penempatan semula Merbau Patah Kubang Parit. Kes yang sama juga berlaku ke atas tanah wakaf tapak Masjid Binjai Rendah Lot 3561/ GM 1337 Bukit Payung. Tanah ini diambil untuk membina rumah Penghulu Binjai Rendah.
Jadual 1: Senarai Lot Dan Tujuan Pengambilan Tanah Di Negeri Terengganu
BIL BILANGAN LOT TUJUAN PENGAMBILAN
1 34 Pembesaran jalan
2 1 Pembesaran Muzium
3 2 Lapangan Terbang Gong Kedak
4 15 Perparitan
5 8 Pembinaan Masjid/ surau
6 2 Laluan TNB
7 3 Tapak Tangki Air
139
8 2 Perumahan Pegawai Kerajaan
9 2 Perumahan awam
9 2 Tapak Sekolah
10 4 Kompleks Kerajaan
11 1 Pelabuhan Perikanan
12 18 Tiada Maklumat
JUM 94
Sumber: Unit Wakaf dan Baitulmal Negeri Terengganu
Di Malaysia terdapat banyak tapak masjid, surau dan kubur yang dibina di atas tanah kerajaan dan belum dipindahmilik kepada MAIN (Nik Mohd Zain bin Haji Yusof, Azimuddin bin Bahari, 1999, hlm.147.) Pembinaan ini dilakukan sama ada melalui permohonan kepada pihak kerajaan dan telah mendapat keizinan atau sebaliknya. Di negeri Terengganu, sebahagian besar tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan melibatkan tanah wakaf tapak masjid, surau dan kubur. Oleh kerana tanah ini telah didaftarkan di atas nama MAIDAM pihak kerajaan telah membayar pampasan kepada MAIDAM. Bagi tanah wakaf jenis tapak kubur yang terlibat dengan pengambilan ia akan dipindahkan ke tempat lain yang berhampiran dan kos perpindahan itu akan ditanggung oleh agensi yang mengambil tanah tersebut dengan merujuk kepada nasihat dan pandangan yang dikemukakan oleh MAIDAM. Ini bermakna tanah wakaf kubur akan diganti dengan tanah yang lain.
Bagi tanah wakaf jenis tapak masjid dan surau walaupun ia ditadbir urus secara langsung oleh MAIN, namun demikian dalam hal-hal yang berkaitan, pandangan ahli jawatankuasa masjid juga diambil kira demi kepentingan ahli jemaah/ Qaryah berkenaan. Dalam menentukan sama ada bayaran pampasan diberi secara tunai atau budi bicara agensi membaikpulih bangunan masjid atau surau yang terlibat adalah dirujuk terlebih dahulu kepada ahli jawatankuasa masjid berkenaan dan mendapat persetujuan MAIN. Kebiasaannya tapak masjid akan dibayar dengan wang pampasan, tetapi bangunan masjid atau surau yang terlibat sebahagian atau keseluruhan akan dibaikpulih oleh agensi yang mengambil tanah tersebut bergantung kepada budi bicara kedua-dua belah pihak.
Pengambilan yang melibatkan tanah yang masih mempunyai status rizab awam untuk kegunaan tapak masjid, surau dan kubur yang dikawal selia oleh Jabatan Agama Islam Negeri tidak akan dibayar pampasan kepada MAIN. Tanah jenis ini adalah tanah tidak bermilik dan masih menjadi hak milik kerajaan sepenuhnya. Pada dasarnya, pihak kerajaan tidak perlu membayar pampasan kepada mana-mana pihak yang menuntut kepentingan ke atas tanah tersebut. Namun demikian terdapat juga perbezaan antara negeri-negeri di Malaysia dari segi amalan dan pelaksanaan bergantung kepada pentadbiran tanah di negeri masing-masing. Di Terengganu banyak tanah wakaf yang berbentuk tapak masjid, surau dan kubur masih belum didaftar kepada MAIDAM tetapi diletak di bawah seliaan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu. Sekiranya tanah yang dikawal selia oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama ini diambil oleh kerajaan bagi tujuan umum, MAIDAM tidak berhak membuat sebarang tuntutan bayaran pampasan dan tanah-tanah ini tidak dikategorikan
140
sebagai tanah wakaf walaupun digunakan untuk tujuan umum seperti masjid, surau, kubur dan sekolah agama. Senarai tanah-tanah ini berada di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu di dalam buku KSB.
Pada tahun 1996, berlaku pengambilan ke atas tanah Lot 3791 (Lot lama 2230) bagi melebarkan Jalan Sultan Zainal Abidin Bandar Terengganu yang melibatkan keluasan 220 mp daripada keluasan 1125 mp. Pihak kerajaan tidak membayar pampasan kepada MAIDAM kerana pengambilan melibatkan tanah kerajaan. Namun begitu kerajaan ada memberi wang saguhati untuk menanggung kos membaikpulih bangunan kepada MAIDAM untuk diganti bangunan baru. Kes yang sama turut berlaku di kampung Beruas di mana pihak kerajaan hanya mengeluarkan kos tanggungan membaiki surau berkenaan.
Bagi membolehkan MAIDAM dapat membuat tuntutan wang pampasan sekiranya berlaku pengambilan tanah, MAIDAM hendaklah memohon persetujuan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama agar tanah-tanah yang dinyatakan ini dibatalkan status perizapan dan diberi milik kepada MAIDAM. Pejabat PTG Terengganu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi milik kepada MAIDAM tanpa mendapat persetujuan dan rundingan dengan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama terlebih dahulu. Permohonan ini membolehkan pertukaran status tanah sebagai rizab awam kepada status hak milik MAIDAM dan diletakkan di bawah kawalan MAIDAM selaku Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf. Pejabat Tanah tidak berhak untuk membuat bantahan sekiranya ia telah mendapat persetujuan daripada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama.
Keputusan pertukaran hak milik ini adalah bergantung sepenuhnya kepada persetujuan Pesuruhjaya Agama negeri berkenaan.
Prosedur ini bertentangan dengan fatwa Mufti Kerajaan Negeri Terengganu iaitu semua tanah kerajaan yang digunakan bagi tujuan/ aktiviti keagamaan hukumnya adalah sama seperti tanah wakaf. Dato’ Sahibul Samahah Mufti telah memberikan pandangan sebagai menjawab pertanyaan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu bahawa tanah untuk kegunaan keagamaan yang terlibat dengan pengambilan hendaklah dibayar pampasan sama ada tanah tersebut didaftarkan atas nama Majlis atau sebaliknya (Ruj. MAIDAM 03-003/4 (28). Tanah ini boleh diambil oleh kerajaan dengan syarat dibayar pampasan dan MAIN hendaklah berusaha mendapatkan gantian di atas bahagian yang telah diambil tersebut. Walaupun demikian, di negeri Terengganu telah berlaku beberapa kes pengambilan tanah yang melibatkan tanah kerajaan yang diwartakan di bawah Seksyen 62 KTN, pampasan juga dibayar kepada MAIDAM dan pandangan mufti diterima pakai oleh Kerajaan Negeri. Antara contoh kes yang telah dibuat keputusan adalah seperti:
a) Lot 2357 dan 915 Mukim Bandar Kuala Terengganu (tapak perkuburan) b) Lot 2717 Mukim Bandar Kuala Terengganu(Tapak Surau Tanjung)
c) Lot 2018 Mukim Bandar Kuala Terengganu (Tanah Perkuburan Tok Pelam)
Bagi tanah wakaf yang masih kekal dengan nama pewakaf atau tanah yang ditadbir dan diamanahkan kepada pihak-pihak tertentu atau orang perseorangan seperti Imam, Ahli
141
Jawatankuasa Masjid, Ketua Kampung dan lain-lain selain MAIN, bayaran pampasan akan diberikan kepada pemilik tanah tersebut sama ada kepada pewakaf atau ahli waris lain yang mewarisi tanah tersebut. Ini berikutan tanah-tanah tersebut tidak didaftar, atau dipindah milik kepada MAIN dan tidak juga diserahkan kepada kerajaan untuk dipohon semula oleh MAIN atau didaftarkan sebagai tanah rizab awam.
2.3 Wang Pampasan Pengambilan Tanah wakaf
Negeri Terengganu mempunyai jumlah wang pampasan tanah wakaf yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain, memandangkan terdapat 94 Lot tanah wakaf yang terlibat.
Kebanyakan bagi setiap lot tanah wakaf yang diambil oleh PBN tidaklah melibatkan jumlah pampasan yang tinggi kerana sebahagian besar keluasan tanah yang diambil agak bersaiz kecil. Setakat ini jumlah pampasan yang tertinggi diterima oleh MAIDAM ialah pada tahun 1998, iaitu sebanyak 4 Lot dengan jumlah pampasan RM701,377.43. Manakala pada tahun 1997 kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM622, 739.16. Pada tahun 2004 juga melibatkan jumlah yang besar iaitu RM692,289.00 dengan bilangan lot sebanyak 7 Lot.
Jumlah keseluruhan pampasan yang diterima agak besar kerana melibatkan jumlah lot pengambilan tanah yang banyak sejak tahun 1951 lagi.
Kelewatan pembayaran pampasan ini turut sama menjejaskan usaha MAIDAM untuk menggantikan tanah lain dan harga tanah di pasaran semakin meningkat dari setahun ke setahun. Ini bermakna MAIDAM terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk melaksanakan konsep istibdal wakaf. Daripada beberapa kes yang dikemukakan berkaitan isu bayaran pampasan ini didapati kebanyakan kes berbangkit adalah disebabkan oleh masalah pendaftaran tanah wakaf dan tidak ada hubungan dua hala antara pihak MAIN dengan pentadbir tanah. Sebagai contoh di Terengganu pihak kerajaan secara sengaja meletakkan tanah jenis tapak kubur dan masjid di bawah kawalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu dan bukannya di bawah MAIDAM (Minit Mesyuarat MAIDAM kali ke-13 pada 7 Ogos 2000).
Masalah yang timbul ialah jika berlaku pengambilan, tanah-tanah ini boleh diambil pada bila- bila masa dan tidak ada halangan dari segi undang-undang sama ada melibatkan tapak kubur/
masjid orang Islam atau bukan Islam. Tambahan pula kerajaan tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar pampasan kepada mana-mana pemegang amanah. Kajian kes menunjukkan banyak tanah yang dimaksudkan ini terdedah kepada pengambilan tanah.
Dalam hal ini sepatutnya MAIDAM boleh mendapat wang pampasan dan dengan wang tersebut boleh dibeli tanah yang lain sebagai ganti. Secara tidak langsung dengan cara ini boleh menambahkan jumlah hartanah orang Islam.
142
Jadual 2: Jumlah Pampasan Tanah Wakaf Maidam Mengikut Tahun Di Negeri Terengganu Sejak Tahun 1951-2006
Bil Tahun Pengambilan Jumlah Pampasan RM
1 1951 14,784.00
2 1971 2,794.00
3 1975 2,650.00
4 1977 16,564.10
5 1978 17,226.00
6 1979 7,700.00
7 1981 68,651.69
8 1982 990.75
9 1983 32,275.00
10 1985 16,146.00
11 1988 90,234.00
12 1989 2,527.60
13 1990 42,623.50
14 1991 27, 872.29
15 1994 29,242.00
16 1995 174,700.00
17 1996 588, 126.65
18 1997 622,739.16
19 1998 701, 377.43
20 1999 470,570.95
21 2000 76,133.50
22 2001 47,120.00
23 2002 21,322.00
24 2004 692,289.10
25 2005 17,980.00
26 2006 78,503.00
27 Tiada maklumat 196,801.06 Jumlah Keseluruhan RM 4,059,933.00
Sumber: Fail Pengambilan Majlis Agama Islam Terengganu
Selain daripada beberapa kes di atas, di negeri Terengganu juga terdapat kes yang membabitkan MAIDAM telah membuat bantahan kerana berlaku kekeliruan terhadap wang pampasan berkaitan isu pendaftaran tanah. Antaranya kes pengambilan tanah tapak Perkuburan Islam Lot 609 Mukim Bukit Payong Marang Terengganu telah terlibat dengan pengambilan tanah pada tahun 1998 bagi tujuan pembesaran jalan (Fail MAIDAM No.03- 003/4) Agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu tidak membayar apa-apa pampasan kepada MAIDAM kerana Lot ini adalah tanah kerajaan yang digezetkan di bawah seksyen 62 KTN 1965.
143
MAIDAM mendakwa bahawa tanah tersebut telah diwakafkan oleh pemilik asal (pewakaf) iaitu Ali Bin Omar, dan telah diamanahkan kepada Ibrahim bin Hj Mat Zin sebagai pemegang amanah. Berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Terengganu tanah ini adalah terletak hak kepada MAIDAM dan sepatutnya dibayar pampasan kerana terlibat dengan pengambilan. Wang pampasan ini membolehkan Majlis menggantikan dengan tanah lain. Berhubung pengambilan tanah ini, MAIDAM telah merujuk pandangan Sahibul Samahah Mufti sebagai menjawab pertanyaan PTD Kuala Terengganu bahawa hendaklah dibayar atas segala pengambilan tanah yang melibatkan tanah wakaf sama ada didaftarkan atas nama Majlis atau sebaliknya. Keputusan yang dibuat oleh PBN ini bertentangan dengan Jawatankuasa Fatwa yang telah membuat keputusan bahawa: (Fail Pengambilan Balik Tanah Wakaf No. 03-003/4).
Tanah rezab yang diwartakan di bawah seksyen 62 KTN bagi maksud tapak masjid adalah wakaf sama hukum bagi tanah rezab oleh kerajaan sebagai maksud tapak kubur. Dan dikawal oleh MAIDAM di bawah sek 143 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1996.
Dalam kes ini pihak PTD Marang tidak dapat memutuskan keputusan bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membayar pampasan kepada MAIDAM sekiranya ia dipertimbangkan. Sehingga kajian ini dijalankan PBN masih belum membayar apa-apa pampasan kepada MAIDAM.
Isu pendaftaran juga timbul di dalam kes tanah wakaf Khas Masjid Kampung Hj. Yaacob di Lot 2831, Mukim Bukit Payong yang membabitkan tanah seluas 0.569 ekar (Fail MAIDAM.
No.03-025/2/8.) Tanah wakaf ini telah diambil oleh kerajaan pada tahun 1996 untuk pembinaan jalan. Oleh kerana tanah ini tidak didaftarkan kepada MAIDAM sebagai tapak wakaf masjid, PBN tidak dapat menyerahkan wang pampasan kepada MAIDAM. Dalam menyelesaikan kes ini siasatan telah dibuat oleh pegawai petempatan MAIDAM, En. Roseli Bin Yusof terhadap ahli waris si mati Ahmad bin Hj Mohamed termasuk juga Ketua Kampung berkenaan. Hasil daripada siasatan yang dibuat pada 9 Ogos 2000 mendapati bahawa si mati memiliki tanah Lot 2831 KRM 4169 Mukim Bukit Payung. Tanah ini dipercayai telah diwakafkan oleh beliau semasa hayat kepada Masjid surau Hj Yaakub. Oleh kerana pewakaf telah meninggal dunia, maka kes ini telah dirujuk kepada Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil bagi mendapatkan bahagian MAIDAM sebanyak RM1,890.00 yang dibayar oleh kerajaan. Hasil pampasan tidak dapat diberikan kepada mana-mana pihak memandangkan ia belum dapat dikenalpasti pemilik dan wang pampasan masih disimpan di Mahkamah Tinggi sehingga kes pembahagian pusaka si mati selesai.
Hasil daripada temubual dengan Pegawai Petempatan MAIDAM, sekalipun pada awalnya PBN tidak membayar pampasan bagi tanah yang mempunyai status State Land ini, tetapi pada hakikatnya ia banyak bergantung kepada perbincangan dan budi bicara pentadbir tanah dan kebijaksanaan pegawai MAIDAM dalam mengendalikan sesuatu kes. Terdapat kes
144
tertentu di mana tanah masjid/ kubur yang diserahkan kepada kerajaan oleh pewakaf tetapi belum dipohon semula oleh MAIDAM dan tanah berkenaan masih kekal sebagai status tanah kerajaan. Pihak kerajaan akan membayar pampasan kepada MAIDAM sekiranya MAIDAM berjaya mengemukakan bukti yang mencukupi dan meyakinkan PTD bahawa tanah berkenaan pada asalnya adalah wakaf. Namun terdapat juga kes di mana tanah masjid/ kubur yang mempunyai status state land tidak dibayar pampasan kerana MAIDAM tidak berupaya membukti wujudnya wakaf. Dalam menentukan wujudnya pewakafan harta berlaku ia memerlukan kepada pegawai yang berpengetahuan dan bukti-bukti lain berasaskan kepada rekod yang ada di MAIDAM dan juga di Pejabat Tanah. Selain merujuk kepada ahli waris sebagai saksi atau pemegang amanah persendirian dan lain-lain dokumen yang boleh dijadikan bukti pengesahan wakaf.
Di negeri Terengganu, jumlah keseluruhan tanah wakaf tapak masjid yang telah diambil oleh kerajaan adalah sebanyak 42 Lot. Daerah Kuala Terengganu adalah antara tapak masjid yang banyak terlibat iaitu sejumlah 23 Lot, merangkumi sebahagian daripada keseluruhan pengambilan tanah wakaf masjid/ surau di daerah-daerah di negeri Terengganu. Manakala di daerah Marang juga melibatkan pengambilan yang tidak kurang juga banyaknya iaitu berjumlah 12 Lot. Terdapat juga tanah wakaf yang diambil adalah daripada wakaf Zuriat iaitu sebanyak 8 Lot. Daripada jumlah tersebut, 2 Lot adalah tanah wakaf yang dimiliki oleh wakaf Zuriat Syeikh Kadir. Manakala selebihnya adalah wakaf Zuriat al-Marhum Baginda (Mahmood Zuhdi, 2000, hlm.14)
Jadual 3: Tanah Wakaf Tapak Masjid Yang Diambil Oleh Pbn Di Negeri Terengganu
Bil Daerah Bil Tapak
1 Kuala Terengganu 23
2 Marang 12
3 Dungun 1
4 Besut 3
5 Hulu Terengganu 3
Jumlah keseluruhan 42
Sumber: Fail Pengambilan Majlis Agama Islam Terengganu (MAIDAM) 2005
2.4 Penggunaan Wang Pampasan
Di Terengganu wang pampasan tidak dimasukkan dalam Kumpulan Wang Majlis. Kumpulan Wang Majlis adalah terdiri daripada segala harta benda, pelaburan dan kumpulan wang termasuk wang dan harta Baitul Mal serta Kumpulan Wang Zakat (Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, bil. 12/1986), Seksyen 138(1). Namun demikian, terdapat pengecualian dikenakan ke atas dua sumber harta berikut seperti harta amanah, wakaf atau nazar yang telah dikhaskan maksud dan tujuannya termasuk pendapatan daripadanya.
Kategori kedua termasuk semua fee, denda dan juga pampasan yang dipungut dan dikenakan oleh enakmen atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawah enakmen (Zaini Nasohah, 2000)
145
Wang daripada kedua-dua sumber ini tidak dimasukkan ke dalam kumpulan Wang Majlis, sebaliknya ia dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Hasil Negeri.
Di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Wakaf Zakat dan Baitulmal Kali Pertama tahun 2005, ditaksirkan sebanyak RM1,829,565.00 telah terkumpul hasil bayaran pengambilan tanah dan bangunan wakaf oleh kerajaan negeri dan Persekutuan. Jumlah ini adalah melibatkan 15 Lot tanah wakaf Am dan Khas yang diambil semenjak tahun 1951 sehingga tahun 2006.
Sebahagian besar wang pampasan MAIDAM tersimpan begitu sahaja di bank tanpa dilaburkan dengan membeli tanah-tanah lain bagi menggantikan tanah wakaf yang telah terlibat dengan pengambilan oleh kerajaan. Daripada jumlah tersebut hanya sebanyak RM90,000.00 digunakan untuk menggantikan tanah wakaf yang telah diambil oleh kerajaan.
Terdapat juga sebahagian wang pampasan digunakan untuk pembangunan lain melalui konsep pinjaman. Wang pampasan dipinjam untuk kegunaan bagi pembinaan bangunan yang akan disewa kepada orang ramai. Di Terengganu hasil daripada wang pampasan 12 Lot tanah yang dibayar oleh kerajaan seperti Lot 2357 dan Lot 955 dan beberapa lot lagi berjumlah RM1,670,906.78 telah dipinjamkan untuk kegunaan pembinaan asrama. Hasil daripada keuntungan penyewaan asrama ini akan dipulangkan kembali kepada akaun wang pampasan PBT. Mengikut perancangan MAIDAM, bayaran balik hutang PBT wakaf akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun ke-6 daripada tarikh pembinaan asrama.
Dalam mengurus dan menggunakan wang pampasan ini, MAIDAM telah menetapkan prosedur bahawa setiap penggunaan wang pampasan pengambilan ini MAIDAM terlebih dahulu akan membuat permohonan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri agar setiap wang pampasan yang dikeluarkan tidak disalahgunakan dan bertentangan dengan hukum syarak.
MAIDAM perlu menjaga wang amanah ini agar sesekali tidak menghilangkan hak serta tujuan pewakaf. Ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat MAIDAM pada tahun 2000, bersetuju mana-mana cadangan untuk menggunakan wang pampasan/ istibdal hasil tanah wakaf hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri bagi mendapatkan pandangan Sahibul Samahah berdasarkan kes demi kes dan dari semasa ke semasa. Di dalam kes di Lot 409 KRM 1739 Bukit Puteri (Fail Pengambilan Balik Tanah Wakaf MAIDAM No. 03/020/7/11/1) wang pampasan hasil daripada pengambilan tanah wakaf masjid Beris Pak Abu sebanyak RM8000.00 telah dipohon oleh Jawatankuasa Masjid Beris Pak Abu untuk mengalih bangunan masjid lama untuk dijadikan tempat mengajar mengaji al-Quran bagi kanak-kanak dan selebihnya untuk membina pagar masjid yang baharu. Merujuk kepada pandangan Kadi Daerah Besut bahawa bayaran pampasan yang diberikan oleh kerajaan adalah kerana ganti rugi masjid yang diwakafkan. Dalam hal ini ia dibimbangi segala peralatan masjid tersebut adalah hasil daripada wakaf seseorang.
Cadangan yang dikemukakan itu tidak bersesuaian dengan kehendak syarak dan peraturan wakaf. Berdasarkan kepada alasan ini permohonan Jawatankuasa Masjid ini ditolak oleh MAIDAM.
146
Hasil kajian ini mendapati MAIDAM tidak mempunyai akaun khusus bagi wang pampasan yang dapat membezakan dengan pendapatan lain. Semua wang wakaf dimasukkan dalam kumpulan wang wakaf dan Baitumal. akibatnya MAIDAM tidak dapat menentukan jumlah sebenar wang pampasan yang dibayar oleh kerajaan. Wang pendapatan harta wakaf dan wang pampasan oleh kerajaan dicampur dan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Wakaf.
Mesyuarat yang dibuat untuk kali pertama tahun 2005, bertarikh 9 Ogos 2005, dianggarkan sebanyak RM 1,829,565.00 telah terkumpul hasil daripada bayaran pampasan pengambilan tanah wakaf oleh kerajaan Negeri dan Persekutuan. Dalam mesyuarat tersebut pihak pengurusan MAIDAM hanya mengemukakan jumlah pampasan pengambilan tanah pada tahun 1997 sehingga tahun 2004, tidak termasuk 48 Lot yang diambil sejak tahun 1951 yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM1,428,384.00.
Ini bermakna jumlah keseluruhan wang pampasan tanah wakaf yang dibekukan adalah dianggarkan sebanyak RM3,969,933.00 merangkumi 92 Lot daripada tahun 1951 sehingga tahun 2006. Perbezaan ketara jumlah pampasan yang dikemukakan ini menunjukkan MAIDAM tidak merujuk kepada fail-fail terdahulu yang masih belum dikemaskini dan tidak direkod dengan sistematik. Jumlah ini tidak termasuk 18 lot yang tidak diketahui jumlah pampasannya. Sehingga kini MAIDAM tidak dapat menentukan jumlah pampasan yang sebenar. Kajian mendapati jumlah wang pampasan yang ada dalam Akaun Lajer bahagian kewangan tidak menyamai jumlah yang terdapat di dalam fail-fail pengambilan.
2.5 Kelemahan Pelaksanaan Istibdal Di Majlis Agama Islam Terengganu
Keseluruhan negeri di Malaysia, tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh PBN sebahagiannya tidak diistibdalkan dengan tanah. Amalan yang diamalkan oleh pentadbir tanah di Malaysia ialah dengan hanya membayar pampasan dengan wang sahaja.
Pembayaran pampasan dengan wang memudahkan usaha pihak terbabit yang mengambil tanah tanpa berurusan dengan pihak lain kecuali dengan pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan sahaja. Jika pemberian pampasan dibuat melalui istibdal tanah dengan tanah, sudah semestinya pihak berkuasa atau badan-badan, atau syarikat yang ingin melaksanakan sesuatu projek terpaksa berurusan dengan banyak pihak selain pemilik tanah.
Hasil kajian ini, mendapati terdapat beberapa faktor tidak berlakunya istibdal terhadap wang pampasan yang diawardkan kepada MAIN. Punca utamanya ialah sikap pegawai MAIN itu sendiri. Pada peringkat awal mereka merasakan tidak ada keperluan mendesak untuk mengistibdalkan tanah wakaf yang telah diambil oleh PBN. Ini ekoran pada suatu ketika dahulu tanah tak bermilik atau tanah kerajaan masih banyak dan boleh dipohon pada bila-bila masa sahaja. Begitu juga dengan nilai pasaran harga tanah juga tidak sebagaimana harga tanah yang ada pada masa sekarang. Manakala pengambilan yang dibuat oleh kerajaan tidak melibatkan lot-lot tanah yang banyak. Oleh itu, mereka tidak membuat permohonan semula dengan kadar segera dan mengambil pendekatan agak perlahan. Perkara ini tidak dianggap
147
sebagai satu masalah atau bebanan kepada MAIN kerana banyak lagi tanah wakaf yang terbiar dan tidak dibangunkan sebagaimana yang diniatkan oleh pewakaf.
Selain faktor yang dinyatakan di atas, terdapat juga faktor lain yang dikenalpasti antaranya ialah sebahagian besar tanah wakaf yang diambil oleh kerajaan tidak melibatkan kesemua bahagian keluasan tanah tersebut. Oleh itu, jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan adalah dalam bentuk jumlah yang agak kecil. Bagi wakaf khas manfaat masjid dan wakaf zuriat pula ia sukar untuk diagihkan kepada penerima wakaf kerana melibatkan beberapa buah masjid dan ahli waris yang lain. Kekurangan kakitangan dan maklumat fail kabur juga turut membantut usaha ini. Pampasan yang dibayar oleh kerajaan dalam bentuk wang tunai dianggap sebagai suatu jalan penyelesaian kepada tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan. Setelah mengalami tempoh yang agak lama, dan pengambilan tanah berlaku dalam skala yang lebih besar maka pihak MAIN mula memikirkan jalan penyelesaian kepada wang pampasan yang tersimpan begitu sahaja di bank dan ada yang dipinjamkan untuk melaksanakan projek lain, selain untuk melaksanakan Istibdal. Maka timbul pula isu lain yang menjadi punca kepada pembekuan wang pampasan.
Antaranya yang sering digembar-gemburkan ialah harga tanah di pasaran amat tinggi dan wang pampasan yang diberikan oleh kerajaan tidak mencukupi untuk menampung harga nilaian semasa. Maka faktor ini pula menjadi punca utama mengapa tanah wakaf yang diambil tidak boleh diganti dengan tanah yang lain. Tanah yang tidak bermilik atau tanah kerajaan semakin berkurangan. Sekalipun ada tetapi lokasinya yang tidak strategik, tidak setanding dengan tanah wakaf yang asal, tidak ekonomik serta tidak berdaya maju. Sekiranya hendak dibeli sebagai gantian, ia akan bertentangan dengan hukum istibdal harta wakaf yang mesti diganti dengan tanah yang sama nilai atau lebih baik. Hasil tinjauan ke MAIN juga mendapati faktor lain adalah disebabkan terdapat tanah-tanah wakaf yang diambil oleh kerajaan hanya melibatkan sebahagian kecil daripada keluasan tanah sahaja. Oleh itu, bayaran pampasan yang dibayar oleh kerajaan juga dalam jumlah yang agak kecil berdasarkan keluasan tanah yang diambil. Bagi wakaf Khas manfaat masjid dan wakaf Zuriat pula ia sukar untuk diagihkan kepada penerima wakaf kerana melibatkan beberapa buah masjid dan ahli waris yang ramai. Kekurangan kakitangan dan maklumat fail kabur juga turut membantut usaha ini.
Kajian ke atas Laporan Jabatan Audit Negara (JAN), tidak terdapat teguran yang dibuat oleh pihat Audit dalam mengaudit pengurusan dan pentadbiran harta wakaf di MAIDAM berkaitan tanah-tanah wakaf yang tidak diistibdalkan (Laporan Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu,n 2004 dan 2009). Kebanyakan aspek yang mendapat perhatian JAN ialah tentang sistem pengurusan kewangan, pendaftaran tanah wakaf, isu pencerobohan, masalah penyewaan dan lain-lain. Ini bermakna berlaku kelompangan dalam aspek istibdal yang sepatutnya diberi keutamaan agar kelangsungan manfaat wakaf dapat diteruskan. Di Kelantan, isu ini dibangkitkan oleh JAN dalam Laporan Audit pada tahun 2011 di mana sejumlah RM5.4 juta pampasan telah diterima namun tanah tersebut belum ditukarganti oleh
148
MAIK. Kegagalan menggantikan segera tanah yang berkaitaan akan berkemungkinan menyebabkan MAIK menghadapi risiko susutnilai mata wang dan kenaikan harga tanah pada masa akan datang serta menyebabkan tujuan wakaf tidak dapat dijalankan (Laporan Audit Cawangan Kelantan, 2011).
2.6 Perancangan Istibdal Tanah Wakaf oleh MAIDAM
Setiap negeri di Malaysia telah menubuhkan beberapa jawatankuasa seperti jawatankuasa kerja wakaf, jawatankuasa kawalan wakaf, jawatankuasa pembangunan dan pelaburan dan lain-lain (Azizian Bin Hamid, 1999, hlm.8) Namun jawatankuasa Istibdal belum diwujudkan kecuali di negeri Kedah (Abdul Halim Ramli, Kamarulzaman Sulaiman, 2006, hlm.3-6) Di negeri-negeri lain tidak menubuhkan jawatankuasa ini secara khusus dan diserahkan tugas serta tanggungjawab tersebut kepada unit wakaf untuk melaksanakannya tanpa mewujudkan suatu badan khas yang berasingan dan dianggotai oleh banyak pihak yang berautoriti (Zainal Abidin Mat Nor, 2000, hlm.32)
Di Terengganu Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Zakat, Wakaf dan Baitulmal Kali Pertama pada 9 Ogos 2005 telah mengemukakan beberapa cadangan bagi melaksanakan urusan penggantian atau istibdal tanah wakaf yang tidak dilaksanakan dalam tempoh yang begitu lama. Pendekatan ini telah diambil setelah melihat sejak sekian lama tanah-tanah wakaf yang telah terlibat dengan pengambilan oleh kerajaan atau PBN tidak diambil sebarang tindakan. Kesan daripada penangguhan ini MAIDAM terpaksa berhadapan dengan kuantiti tanah wakaf yang semakin berkurangan, terutama yang berada di kawasan bandar dan pinggiran bandar. Antara cadangan tersebut ialah MAIDAM akan mencari dan membeli tanah lain sebagai ganti tanah yang diambil balik tersebut sebagaimana pandangan fatwa.
Tanah yang diambil balik itu hendaklah diganti dengan tanah yang sepertinya dan kemudian dilafazkan dengan sighah wakaf.
Merujuk kepada sejarah pengambilan tanah wakaf di Terengganu ia berlaku sejak tahun 50- an lagi. Hal-hal yang berkaitan pengambilan tanah diberi perhatian oleh MAIDAM. Ini ekoran daripada usaha pihak-pihak terbabit menjalankan urusan pendaftaran wakaf yang dilakukan bermula tahun 80-an. Hasil daripada usaha ini pihak MAIDAM telah dapat mengenalpasti jumlah sebenar tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan oleh kerajaan.
Di dalam mesyuarat MAIDAM (Lihat Kertas Minit bil.MAIDAM 03-003/A) ada menyentuh secara langsung isu tanah wakaf yang terbabit dengan pengambilan dan berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini.
Sejak tahun 1988, kerajaan melihat aktiviti pengambilan yang membabitkan tanah wakaf dan tidak diganti dengan tanah lain dianggap suatu masalah yang agak ketara kepada MAIDAM.
Di atas inisiatif dan keprihatinan MAIDAM, dalam mesyuarat tersebut bersetuju agar tanah wakaf yang terlibat ini diganti dengan tanah lain. Kesungguhan dan kebimbangan pihak berkuasa pada masa itu dapat dibuktikan dengan mengarahkan Nazir Wakaf supaya
149
menyegerakan aktiviti mengesan tanah-tanah kerajaan yang bersesuaian dan strategik untuk dipohon oleh Majlis. Berdasarkan kepada minit mesyuarat pertama yang bersidang pada 12/6/1988 dan beberapa mesyuarat lain yang turut diadakan membangkitkan isu yang sama dengan mengemukakan beberapa cadangan tanah kerajaan untuk dipohon dengan kadar segera oleh Majlis. Pada masa yang sama majlis juga telah mengadakan kerjasama dengan PTD untuk mengesan tanah-tanah lain yang berpotensi. Selain itu Majlis juga telah menyenaraikan secara lengkap tanah-tanah wakaf di daerah Kemaman yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk dicari ganti. Keputusan mesyuarat Jawatan Kuasa Zakat, Wakaf dan Baitulmal yang bersidang kali ke-2/91 telah membangkitkan isu ini semasa perjumpaan dengan YAB Menteri Besar Terengganu memohon agar mempertimbangkan permohonan tanah kerajaan bagi mengistibdalkan tanah-tanah wakaf yang diambil oleh kerajaan.
Melalui beberapa siri mesyuarat dan kesungguhan pihak MAIDAM menampakkan bahawa pihak terbabit memandang serius isu ini. Secara keseluruhan pada awalnya, pihak kerajaan agak agresif menangani isu pengambilan tanah dengan memberi alternatif bahawa setiap tanah yang diambil hendaklah diistibdalkan dengan tanah juga dan dilakukan dengan kadar segera. Mereka melihat bahawa sekiranya tidak diambil tindakan segera ia akan menimbulkan masalah yang besar kepada MAIDAM pada masa akan datang. Secara keseluruhannya, perancangan yang dibuat sejak tahun 1988 sehingga tahun 2012 belum menemui jalan penyelesaiannya. MAIDAM hanya berjaya melaksanakan istibdal tanah ini dengan jumlah yang sangat kecil.
Kelemahan ini amat berkait rapat dengan rekod atau maklumat pengambilan tanah. Pihak yang menguruskan tanah wakaf tidak menyenaraikan secara lengkap keseluruhan tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan sejak tahun 1951 lagi. Kajian dan pemantauan secara terperinci tidak dilakukan secara berterusan oleh pihak yang berkenaan. Begitu juga dengan perancangan dan aktiviti MAIDAM yang pada pandangan penyelidik kurang memberikan penekanan dari aspek sejauhmana keberkesanaan dan kejayaan setiap apa yang dirancangkan. Merujuk kepada sejarah pengambilan tanah ini, perancangan untuk mengistibdalkan tanah ini berlaku secara aktif sekitar tahun 1988 dan 1989 sahaja. Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada permohonan mesyuarat Majlis agar nazir wakaf dapat mengesan tanah-tanah kerajaan yang sesuai untuk diganti dengan kadar segera. Tahun-tahun yang berikutnya MAIDAM lebih menumpukan kepada isu penyenaraian semula tanah-tanah yang diambil oleh kerajaan untuk dibuat pelaksanaan istibdal dan juga isu pampasan.
Ini bermakna MAIDAM sehingga kini belum ada membuat suatu perancangan secara serius untuk menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan istibdal atau jawatankuasa bertindak (Siti Mashitoh Mahamood, 2001). Gesaan agar tanah wakaf PBT diistibdalkan ini amat ditekankan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam setiap jawapan bersurat kepada nazir wakaf. Melihat kepada senario yang berlaku ini, jelas berlakunya pertentangan antara saranan Jawatankuasa Fatwa Negeri dengan badan pelaksana wakaf (MAIDAM). Perkara ini tidak
150
sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan tuntutan amanah pewakaf yang dipertanggungjawabkan kepada pemegang amanah yang dilantik.
2.7 Metod Pelaksanaan Istibdal Dari Aspek Perundangan dan Hukum
Jawatankuasa atau Jemaah Fatwa Negeri pula perlu berperanan memutuskan sesuatu fatwa dengan mengambilkira persekitaran dan keperluan semasa atau dikenali sebagai fatwa kontemporari. Fatwa yang dikeluarkan hendaklah dalam bentuk yang lebih jelas dan diselaraskan di peringkat negeri dan juga kebangsaan. Setiap keputusan fatwa yang diputuskan juga hendaklah mempunyai pendirian yang tegas bahawa tanah-tanah wakaf perlu dielakkan daripada diambil oleh kerajaan atau mana-mana badan swasta. Selain itu, beberapa faktor hukum yang menjadi halangan dan kekangan ke arah penyelesaian tanah- tanah yang diambil oleh PBN hendaklah diteliti semula. Antara yang dibangkitkan ialah kesukaran untuk mengistibdalkan tanah-tanah yang kecil keluasannya, tanah-tanah PBT banyak terikat dengan syarat pewakaf dan penggantian selain daripada tanah. Begitu juga aspek lain seperti pelaksanaan konsep ijarah dan pajakan terhadap tanah-tanah PBT bagi mengelakkan MAIDAM kehilangan aset wakaf untuk jangka panjang. Semua yang dinyatakan ini memerlukan suatu paradikma hukum yang bersifat kontemporari yang mengambilkira keadaan dan situasi semasa.
Pelaksanaan istibdal bagi tanah yang diambil oleh kerajaan tidak boleh ditangguh atau dilambatkan. Ia hendaklah dilakukan seberapa segera oleh pemegang amanah bagi menjaga kepentingan pewakaf dan umat Islam seluruhnya serta mengelakkan daripada berlakunya penyalahgunaan wang pampasan, selain kenaikan nilai tanah semasa. Pelaksanaan istibdal perlu mengambilkira semua pandangan ulama Fiqh tanpa terikat atau dikongkong dengan satu mazhab dan diselaraskan mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Kebangsaan. Kaedah atau prosedur istibdal yang dikeluarkan oleh Jabatan Zakat Wakaf dan Haji melalui buku Manual Pengurusan Tanah Wakaf boleh diikuti sebagai panduan bagi mewujudkan keseragaman kerja antara negeri-negeri. Konsep istibdal antara tanah wakaf Am, Khas dan Zuriat hendaklah dibezakan, termasuk tanah wakaf yang diambil secara keseluruhan tanah dengan tanah yang diambil sebahagian. Beberapa cadangan tentang kaedah pelaksanaan istibdal bagi tanah wakaf Am, Khas dan Zuriat yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh PBN adalah sebagaimana berikut:
a. Tanah yang Diambil Secara Keseluruhan
Bagi tanah yang diambil melibatkan kesemua tanah atau sebahagian besar daripadanya hendaklah diistibdalkan tanah dengan tanah (al-‘Aqar bi al-‘Aqar) sepenuhnya sama ada wakaf Am, Khas atau wakaf Zuriat. Keutamaan istibdal tanah dengan tanah bagi pengambilan yang melibatkan keluasan yang besar adalah bagi memudahkan urusan pihak agensi dan MAIDAM mendapatkan tanah lain yang mempunyai keluasan dan jenis yang sama. Saiz keluasan tanah yang luas agak mudah untuk dibeli sebagai istibdal.
151
b. Pengambilan Sebahagian Kecil Tanah Wakaf
Bagi tanah yang diambil sebahagian kecil sahaja jumlah keluasannya dan bayaran pampasan yang sedikit sukar untuk diistibdalkan dengan tanah. Oleh itu ia tidak perlu kepada gantian tanah dengan tanah. Malah mencukupi hanya dibayar dengan wang sebagai pampasan.
Sekiranya perlu diganti juga dengan tanah, ia adalah terlalu sukar dan mustahil untuk dilaksanakan. Bagi kategori keluasan tanah seperti ini, adalah dicadangkan agar nilai pampasan tanah-tanah wakaf Khas dan Am masing-masing disatukan.
Melalui kaedah ini semua nilai pampasan yang dibayar oleh kerajaan, digabung dan disatukan menjadi jumlah yang besar mengikut kategori wakaf. Dengan jumlah yang besar MAIDAM mampu membeli tanah lain yang mempunyai nilai komersil sebagai ganti tanah yang telah diambil. Kaedah istibdal ini telah dilaksanakan di Majlis Agama Islam Singapura.
(Temubual Dr Shamsiah Abdul Karim, Pegawai Wakaf MUIS, pada 20hb March 2012, di Pejabat Agama Islam, Singapura). Kes yang sama juga boleh diaplikasikan kepada tanah jenis wakaf Zuriat. Segala manfaat daripada aset yang baru itu akan disalurkan kembali atau diagihkan kepada ahli warisnya mengikut cara pembahagian aset yang pertama.
Jawatankuasa fatwa hendaklah mengkaji dan mengeluarkan fatwa yang membolehkan wang- wang ini disatukan dan boleh digunakan untuk membeli sesuatu selain tanah yang dianggap menyukarkan pihak MAIDAM jika ditetapkan tanah hendaklah diganti dengan tanah sebagaimana fatwa sebelum ini.
c. Pengambilan Tanah Wakaf Tapak Masjid Surau Dan Kubur
Bagi tanah jenis wakaf masjid dan surau terdapat dua jenis kategori penggunaan yang disyaratkan oleh pewakaf. Dua kategori ini perlu diambil perhatian kerana bentuk kegunaan manfaatnya berbeza antara satu sama lain. Terdapat pewakaf yang mewakafkan tanah untuk tapak masjid dan surau secara khusus. Tanah ini sememangnya dimanfaatkan untuk didirikan dengan masjid atau surau yang dimaksudkan. Satu laginya ialah tanah yang diwakafkan untuk manfaat masjid dan surau. Segala hasil yang diperoleh dari tanah yang diusahakan itu hendaklah disalurkan kepada masjid dan surau untuk penyelenggaraan masjid berkenaan.
Kaedah pelaksanaan istibdal tanah-tanah jenis ini adalah sepertimana berikut:
i. Bagi bangunan masjid/ surau yang terlibat dengan pengambilan tanpa melibatkan keseluruhan tanah dan bangunan, pihak agensi perlu menanggung kos membaikpulih bangunan masjid dan surau sebagaimana bentuknya yang asal dengan mendapat persetujuan daripada Ahli Jawatankuasa Masjid/ surau berkenaan.
ii. Manakala bagi tapak masjid dan surau yang melibatkan pengambilan secara keseluruhan termasuk juga bangunan, pihak agensi/ pemaju hendaklah membina semula bangunan masjid/ surau yang baru di atas tapak yang baru dan tanah/ tapak tersebut diganti dengan jumlah keluasan yang sama dengan keluasan
152
pengambilan. Sekiranya pihak pemaju/ agensi hanya menawarkan gantian dengan wang pampasan, maka sudah tentu banyak menimbulkan masalah terutama dari segi tanah sukar diganti dan pembinaan semula masjid/ surau menelan kos yang tinggi dan sukar untuk dijangkakan. Pihak agensi boleh mendapatkan tanah lain yang berada di lokasi yang berdekatan atau bersebelahan dengan tanah yang asal.
iii. Sementara tanah perkuburan Islam yang terlibat hendaklah di istibdalkan dengan tanah juga. Kubur-kubur yang lama perlu dipindahkan ke tanah perkuburan Islam yang baru.
3. KESIMPULAN
Harta wakaf adalah aset yang sangat berharga dan harta amanah orang Islam yang perlu dijaga dan diuruskan dengan sebaik mungkin. Isu pengambilan tanah oleh PBN untuk tujuan pembangunan ekonomi negara perlu dikaji secara teliti jika membabitkan tanah wakaf yang mempunyai hukum dan undang-undang yang tersendiri. Konsep istibdal perlu dilaksanakan dalam hal yang membabitkan tanah wakaf bagi meneruskan kesinambungan tanah wakaf dan pahala yang berterusan kepada pewakaf. Wang pampasan yang diberikan oleh kerajaan perlu dicairkan dalam bentuk aset/ tanah yang mempunyai nilai yang semakin tinggi berbanding dalam bentuk wang yang nilainya semakin susut. Wakaf tidak akan sah dari sudut hukum syarak sekiranya ia tidak diistibdalkan kepada aset kekal sebagai ganti kepada aset yang lama. Pihak kerajaan juga perlu bekerjasama dan memberi sokongan kepada MAIN selaku Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf dengan menyediakan tanah-tanah yang mempunyai nilai yang sama dengan tanah yan telah diambi sebagai istibdal. Jika keadaan ini tidak berlaku tanah-tanah wakaf orang Islam akan semakin terhakis sebagaimana juga berlaku kepada tanah rezab Melayu.
RUJUKAN
Azizian bin Hamid (2002), “Mobilisasi Hartanah Wakaf: Kesannya Terhadap Pembangunan Ekonomi Islam”, Jurnal Penyelidikan Islam, JAKIM, bil.15, 2002.
Abu Zahrah, Muhammad (1971), Muhadarah fi al-Waqf, cet.2, Kaherah: Dar al-Fikr al-
‘Arabi
Kamarudin Ngah (1993), Peraturan dan Kawalan Guna Tanah Bandar, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Laporan Audit Negara Cawangan Terengganu 2009
Laporan Audit Negara Cawangan Kelantan 2011
153
Mohd Afandi Mat Rani (2008), Pengambilan Tanah Wakaf Oleh Pihak Berkuasa Negeri:
Analisis Menurut Hukum Syarak dan Amalannya di Malaysia, Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur
Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf Di Beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. al. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid (2000), “Wakaf dan Pelaksanaannya di Malaysia”, dalam Muhadharah Pemikiran Islam Siri (6), cet.1, Kuala Terengganu: Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd
Nik Mohd Zain Haji Nik Yusof, Azimuddin bin Bahari (1999), “Kedudukan dan Potensi Pembangunan Hartanah Wakaf di Malaysia: Satu Penilaian”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan e.t al. (ed.), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, cet.1, Kuala Lumpur:
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Siti Mashitoh Mahamood (2001), Bagaimana Membuat Wakaf, Siri Penerangan Undang- Undang Islam 6, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Siti Mashitoh Mahamood (2002), Pelaksanaan Istibdal dalam Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia, cet.1, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Al-Syawkani, Syaykh Muhammad b. ‘Ali (t.t.), Nayl al-Awtar Min Ahadith Sayyid al-Akhbar Syarh Muntaqa al-Akhbar, jld.6, Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi
Zainal Abidin Mat Nor (2000), “Permasalahan Hartanah Majlis Agama Islam Negeri-negeri”, Jurnal Penyelidikan Islam, JAKIM, bil.13, 2000
Zaini Nasohah (2000), “Pentadbiran Kumpulan Wang Majlis dan Baitul Mal di Malaysia”, Jurnal Undang-undang IKIM, jld.4, 2000
Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, bil. 12/1986), Seksyen 138(1).
Fail MAIDAM. No.03-025/2/8)
Fail Pengambilan Balik Tanah Wakaf MAIDAM No. 03/020/7/11/1
Kertas Minit bil.MAIDAM 03-003/A
154
http://infad.kuim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=2092, 20 Januari 2006)
http://infad.kuim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=1192, 20 Januari 2007)
Temubual: Shamsiah Abdul Karim, Pegawai Wakaf MUIS, pada 20hb March 2012, di Pejabat Agama Islam, Singapura.