• Tidak ada hasil yang ditemukan

Emosi Murid Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu dan Hubungannya Dengan Memori (Student Emotions in Learning Malay Language and Its Relation to Memory)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Emosi Murid Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu dan Hubungannya Dengan Memori (Student Emotions in Learning Malay Language and Its Relation to Memory)"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

610

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

Emosi Murid Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu dan Hubungannya Dengan Memori

(Student Emotions in Learning Malay Language and Its Relation to Memory)

Wan Norhidayah Wan Talib1*, Muhammad Syawal Amran1

1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia

*Pengarang Koresponden: [email protected]

Accepted: 15 April 2023 | Published: 30 April 2023

DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.49

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Emosi adalah merupakan elemen penting dalam sesebuah proses pembelajaran.

Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti tahap emosi positif, tahap emosi negatif dan tahap memori murid serta bagi melihat perhubungan di antara emosi positif dan emosi negatif dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Kajian ini dijalankan terhadap 200 orang murid tahun lima di sekolah-sekolah rendah sekitar daerah Pasir Gudang, Johor.

Kajian berbentuk tinjauan ini dijalankan dengan menggunakan instrumen Soal Selidik Emosi Pencapaian (AEQ) dan Soal Selidik Memori (Q-MEM). Dapatan analisis data deskriptif menunjukkan bahawa tahap emosi positif murid adalah tinggi (M=3.84, SP=0.64), manakala tahap emosi negatif (M=2.12, SP=0.69) dan tahap memori (M=2.53, SP=0.70) kedua-duanya adalah berada pada tahap rendah semasa menjalani pembelajaran Bahasa Melayu. Dapatan analisis inferensi pula mendapatkan korelasi negatif yang signifikan di antara emosi positif dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu pada tahap sederhana (r= 0-.313, p<0.05). Sebaliknya, korelasi positif yang signifikan dapat dilihat di antara emosi negatif murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu dengan memori iaitu pada tahap yang tinggi (r=0.651, p<0.05). Dapatan ini menunjukkan bahawa kedua-dua emosi positif dan negatif memberi pengaruh yang signifikan terhadap memori murid terutamanya dalam pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh demikian, guru perlu memastikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan tidak menghalang perkembangan emosi murid serta memastikan bahawa persekitaran bilik darjah adalah selamat bagi murid-murid untuk menonjolkan emosi mereka, sama ada positif atau negatif.

Kata kunci: emosi positif, emosi negatif, memori, Bahasa Melayu, sekolah rendah

Abstract: Emotions are an important element in a learning process. This study was carried out to identify the level of positive emotions, the level of negative emotions and the level of student memory and to see the relationship between positive emotions and negative emotions with student memory in Malay language learning. This study was conducted on 200 year-five students in primary schools around Pasir Gudang, Johor. This survey-type study was conducted using the Achievement Emotion Questionnaire (AEQ) and Memory Questionnaire (Q-MEM) instruments. The results of the descriptive data analysis show that the level of positive emotions of students is high (M=3.84, SP=0.64), while the level of negative emotions (M=2.12, SP=0.69) and the level of memory (M=2.53, SP=0.70) both is at a low level while learning Malay language. The results of the inference analysis found a significant negative

(2)

611

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

correlation between positive emotions and students' memory in Malay language learning at a moderate level (r= 0-.313, p<0.05). On the other hand, a significant positive correlation can be seen between students' negative emotions in learning Malay with memory which is at a high level (r=0.651, p<0.05). This finding shows that both positive and negative emotions have a significant influence on students' memory, especially in learning Malay subjects. Therefore, teachers need to ensure that the teaching and learning methods used do not hinder the development of emotions and ensure that the classroom environment is safe for students to express their emotions, whether positive or negative.

Keywords: positive emotions, negative emotions, memory, Malay language, primary school ___________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Emosi adalah merupakan elemen penting dalam sesebuah proses pembelajaran. Sistem pendidikan di Malaysia amat mementingkan perkembangan emosi murid dalam pembelajaran, sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menumpukan ke arah perkembangan potensi individu daripada aspek emosi, intelek, rohani, dan jasmani. Kepentingan emosi dalam pembelajaran turut ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dimana perkembangan emosi murid dinyatakan sebagai aspek lain yang kritikal dalam kualiti pendidikan negara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa emosi membawa peranan penting dalam sistem pendidikan negara.

Emosi yang dialami oleh murid terutamanya semasa menjalani sesuatu proses pembelajaran adalah berkait rapat dengan penguasaan dan pencapaian mereka dalam mata pelajaran yang dipelajari. Emosi telah dibuktikan oleh ramai pengkaji dalam bidang psikologi seperti Reinhard Pekrun (2002), sebagai komponen penting yang mempengaruhi potensi dan pencapaian murid dalam pembelajaran. David W. Putwain, Eva A. Schmitz , Peter Wood dan Reinhard Pekrun (2021) menerangkan, emosi secara teorinya mempengaruhi pencapaian pelajar secara tidak langsung melalui motivasi dan pemprosesan maklumat. Hal ini bermakna keadaan emosi murid semasa menjalani pembelajaran tersebut secara tidak langsung akan mempengaruhi pencapaian mereka dalam mata pelajaran yang dipelajari.

Emosi sangat penting dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Emosi murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu merujuk kepada keadaan emosi atau perasaan yang dialami oleh murid semasa menjalani proses pembelajaran Bahasa Melayu. Emosi murid boleh dikelompokkan kepada emosi positif seperti keseronokan dan kelegaan, serta emosi negatif seperti kebimbangan kebosanan (Pekrun, 2006). Emosi memainkan peranan penting dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kerana ia bukan sahaja akan mempengaruhi motivasi dan minat murid, malah ia turut memberi kesan kepada pencapaian dan penguasaan murid dalam mata pelajaran ini. Oleh itu, adalah penting untuk memahami dan mengambil kira emosi murid semasa melalui proses pembelajaran Bahasa Melayu.

Menurut beberapa kajian terkini, terdapat hubungan yang erat antara emosi dengan pembelajaran Bahasa Melayu. Kajian yang dijalankan oleh Mohd Yusri Ibrahim dan Shuhaida Md. Noor (2020) mendapati bahawa emosi mempengaruhi kemahiran berbahasa murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Kajian ini mendapati bahawa murid yang mempunyai emosi positif cenderung untuk mempunyai kemahiran berbahasa yang lebih baik berbanding murid yang mempunyai emosi negatif. Kajian yang dilakukan oleh Sharifah Norizan Syed Abd

(3)

612

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

Rashid et. al. (2020) pula menunjukkan bahawa emosi mempengaruhi motivasi murid untuk mempelajari Bahasa Melayu. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa murid yang mempunyai emosi positif yang tinggi cenderung mempunyai motivasi yang lebih tinggi dalam pembelajaran bahasa Melayu. Hal ini membuktikan bahawa emosi sememangnya memberi pengaruh besar dalam pembelajaran terutamanya mata pelajaran Bahasa Melayu.

Akhir sekali, isu kajian tentang emosi murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu sememangnya penting dan relevan untuk dikaji. Kajian ini akan memberikan pandangan yang lebih mendalam terhadap tahap emosi positif dan negatif serta memori murid disamping melihat perhubungan di antara emosi dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Justeru dalam kajian ini, penglibatan emosi murid sama ada positif atau negatif dijangka akan mempengaruhi memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

2. Permasalahan Kajian

Keupayaan untuk belajar dengan berkesan amat dipengaruhi oleh emosi individu sewaktu menjalani sesuatu proses pembelajaran. Kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah, kompleks dengan pelbagai kandungan yang rumit menyebabkan murid berdepan dengan kesukaran untuk menonjolkan emosi positif semasa mempelajari mata pelajaran ini. Hal ini sedikit sebanyak menambah tekanan kepada murid, menyebabkan mereka sukar untuk mewujudkan emosi positif semasa pembelajaran, sekali gus mempengaruhi penguasaan mereka dalam mata pelajaran ini. Perkara ini dinyatakan oleh Nurul Ain et. al. (2012), murid tidak berupaya untuk bersikap positif terhadap masalah yang sukar, tidak dapat menyesuaikan idea dengan keadaan semasa, sukar untuk berfikir pelbagai kaedah untuk menyelesaikan masalah dan menetapkan matlamat dalam pembelajaran, serta bermasalah dalam merancang strategi dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Kesukaran kandungan mata pelajaran Bahasa Melayu menyebabkan murid berdepan dengan masalah untuk menguasai mata pelajaran ini sekali gus menyukarkan mereka untuk menonjolkan emosi positif dalam proses pembelajaran.

Seterusnya, sikap guru dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu turut mempengaruhi emosi murid semasa belajar. Menurut Muhammad Syawal (2017), sikap sebilangan guru yang mengamalkan pendekatan autokratik dalam pengajaran menyebabkan pelajar takut untuk belajar. Emosi negatif murid iaitu perasaan takut ini lahir daripada rangsangan negatif iaitu sikap guru terhadap murid dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Pendekatan pengajaran jenis autokratik yang bertujuan untuk mendisiplinkan murid termasuklah dengan cara menengking, marah dan mengeluarkan kata- kata kesat kepada murid supaya pengajaran dapat disampaikan dengan berkesan boleh memberi kesan yang negatif kepada emosi murid (Muhammad Syawal, 2020). Sikap sebegini bukan hanya membuatkan murid takut kepada guru, malah akan menyebabkan mereka sukar untuk menonjolkan emosi yang positif semasa proses pembelajaran. Hasilnya, murid tersebut akan lebih cenderung untuk mempamerkan emosi negatif dan akhirnya menunjukkan masalah tingkah laku dalam kelas.

Tambahan lagi, pendekatan pengajaran guru yang tegar atau ‘rigid’ dengan terlalu menekankan kepada penguasaan isi kandungan tanpa sebarang unsur kecindan atau humor juga boleh menyumbang kepada timbulnya emosi negatif dalam diri murid seperti bosan semasa pembelajaran Bahasa Melayu. Perkara ini diterangkan oleh Abdul Rasid Jamian (2013), pengajaran Bahasa Melayu tidak boleh hanya menekankan kepada penguasaan isi kandungan sahaja sebaliknya perlu diajar dalam suasana yang selesa dan menyeronokkan. Jelas Abdul

(4)

613

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

Rasid lagi, murid akan berasa tidak selasa apabila guru bahasa mengajarkan tatabahasa dalam keadaan yang membosankan. Hal ini menyebabkan murid tidak berupaya untuk menunjukkan emosi positif dalam pembelajaran Bahasa Melayu seterusnya menyumbang kepada kesukaran untuk menguasai mata pelajaran ini.

Kesimpulannya, isu berkenaan emosi murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu perlu diteliti dan diperhalusi agar proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dapat berjalan dengan lebih berkesan. Kajian ini akan memberikan pandangan yang lebih mendalam mengenai emosi yang mempengaruhi pembelajaran Bahasa Melayu dan seterusnya memberi cadangan kepada tenaga pengajar dalam melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dengan lebih efektif dan efisien. Oleh demikian, kajian ini diharapkan dapat membantu semua pihak bagi mengenal pasti emosi serta memori murid dalam pembelajaran, sekali gus membantu meningkatkan pencapaian dan penguasaan murid dalam pelbagai kemahiran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

3. Objektif kajian

Objektif kajian ini adalah untuk:

i. Mengenal pasti tahap emosi positif dan negatif dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

ii. Mengenal pasti tahap memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

iii. Mengenal pasti hubungan antara emosi positif dan emosi negatif dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu

4. Sorotan Literatur

Kepelbagaian emosi dalam persekitaran pembelajaran secara langsung mempengaruhi perkembangan dan pencapaian pelajar dalam proses pembelajaran mereka. Kajian berkenaan emosi murid dalam pembelajaran sememangnya tidak asing lagi dalam dunia pendidikan.

Kajian-kajian terdahulu telah mengenal pasti bahawa emosi mempunyai kesan penting ke atas prestasi akademik (Martínez-Sierra & García-González, 2015). Robinson, Lloyd & rowe (2008) menyatakan, emosi telah terbukti mempunyai pengaruh besar dalam pembelajaran, motivasi dan pencapaian pelajar. Menurut Aesha et. al. (2019), penglibatan emosi pelajar diperlukan bagi memastikan minat yang berterusan dan kejayaan dalam sesuatu mata pelajaran.

Pernyataan ini juga disokong oleh Jack Richards (2020) yang menjelaskan, emosi boleh membentuk cara guru mengajar dan mempengaruhi keinginan pelajar untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari. Sesuatu proses pembelajaran boleh berlaku dengan baik apabila terdapatnya keseimbangan dan kawalan yang baik di antara kognitif dan emosi seseorang individu.

Perkaitan antara emosi dengan pembelajaran murid ini dijelaskan dalam banyak kajian terdahulu. Sophie Govaerts dan Jacques Gr´egoire (2008) dalam kajiannya menjelaskan, emosi adalah pusat kepada kefahaman terhadap pembelajaran dan pencapaian murid. Perkara ini disokong oleh David W. Putwain et al, (2021) yang menyatakan, emosi secara teorinya mempengaruhi pencapaian pelajar secara tidak langsung melalui motivasi dan pemprosesan maklumat. Emosi juga dikatakan mempengaruhi motivasi intrinsik pelajar untuk belajar yang berasaskan minat dan rasa ingin tahu dalam pembelajaran, serta motivasi ekstrinsik mereka berkaitan dengan pencapaian hasil positif (contohnya, gred yang baik) atau untuk pencegahan hasil negatif (contohnya, gred yang lemah) (Pekrun, Goetz, Anne C. Frenzel, Barchfeld, P.

Perry, (2011). Hal ini sekali gus membuktikan peri pentingnya emosi dalam pembelajaran

(5)

614

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

murid serta pengaruhnya terhadap pencapaian akademik, termasuklah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Hasil penyelidikan daripada pelbagai kajian menunjukkan bahawa emosi adalah sebahagian daripada persekitaran pembelajaran dan mempengaruhi pengalaman pembelajaran pelajar (Cleveland-Innes & Campbell, 2006). David W. Putwain et. al. (2021) telah menjalankan kajian terhadap 1298 pelajar sekolah rendah bagi menjelaskan interaksi di antara kawalan dan nilai terhadap markah ujian Matematik sama ada mempunyai perhubungan terhadap emosi pencapaian iaitu keseronokan (enjoyment), kebosanan (boredom) dan keresahan (anxiety).

Dapatan kajian tersebut telah menemukan bahawa emosi positif membantu murid untuk mengekalkan minat dan ingatan atau memori mereka dalam pelajaran, sebaliknya emosi negatif akan mengganggu mereka dalam pencapaian pembelajaran.

Salah satu kajian lain yang relevan adalah kajian oleh Abdul Rahman dan Rahim (2020), yang meneliti hubungan antara kecerdasan emosi dan strategi pembelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar TESL di peringkat perguruan tinggi. Kajian ini mendapati bahawa terdapat hubungan yang positif antara kecerdasan emosi dan penggunaan strategi pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih baik. Kajian Md Nor (2020) pula dijalankan bagi melihat hubungan antara kecerdasan emosi dan strategi pembelajaran bahasa dalam kalangan pelajar sarjana muda.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif antara kecerdasan emosi dan penggunaan strategi pembelajaran bahasa yang lebih baik. Selain itu, kajian Muhammad Syawal, Shahlan Surat dan Saemah Rahman (2019) ke atas 644 orang pelajar sekolah menengah pula telah menemukan bahawa emosi mempengaruhi memori murid dalam mata pelajaran Matematik. Hasil kajian tersebut telah mendedahkan bahawa terdapat hubungan korelasi di antara emosi negatif terhadap pencapaian akademik murid. Dapatan kajian ini menunjukkan perkaitan jelas antara emosi dengan memori murid dalam pembelajaran Matematik.

Emosi memberi pengaruh besar terhadap proses pembelajaran murid yang melibatkan pelbagai proses kognitif, termasuklah ingatan atau memori belajar. emosi murid semasa menjalani proses pembelajaran secara tidak langsung mempengaruhi ingatan atau memori belajar mereka.

Perkaitan antara emosi dengan memori dapat dilihat pada hasil perubahan tingkah laku murid selepas melalui sesuatu proses pembelajaran. Menurut Norul Haida et. al (2020), memori dianggap penting dalam penyampaian dan pemberian maklumat yang juga penting bagi pelajar tanpa mengira subjek yang dipelajari di sekolah. Seseorang individu yang melalui proses pembelajaran dengan emosi yang positif akan lebih cenderung untuk mengingati apa yang dipelajari semasa proses pembelajaran tersebut. Hal ini bermakna sesuatu proses pembelajaran yang berlaku semasa individu beremosi positif akan disimpan sebagai memori atau ingatan yang positif sekali gus lebih mudah untuk diingati semula berbanding dengan emosi negatif yang dialami oleh individu semasa menjalani sesuatu proses pembelajaran.

5. Metodologi

Kajian ini adalah merupakan kajian deskriptif berbentuk tinjauan. Reka bentuk kajian ini dipilih kerana ia sesuai untuk mengenal pasti sikap, persepsi, tingkah laku atau ciri bagi suatu kumpulan (Creswell, 2014). Kajian tinjauan dijalankan dalam kajian ini bagi meninjau aspek emosi dan hubungannya dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah rendah. Populasi dalam kajian ini melibatkan 200 orang murid tahun 5 sekitar daerah Pasir Gudang yang dijalankan mengikut penentuan saiz sampel kajian

(6)

615

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

dijalankan berpandukan kaedah Krejcie dan Morgan (1970). Instrumen yang digunakan adalah soal selidik jenis tertutup. Instrumen diadaptasi daripada Soal Selidik Emosi Pencapaian (AEQ) (Pekrun, et. al, 2011) dan Soal Selidik Memori (Q-MEM) (Guerten M., et. al., 2016) (Syawal, 2020). Instrumen soal selidik diberi markah pada Likert lima mata skala yang dilabelkan sebagai 5-Sangat Setuju, 4-Setuju, 3- Agak Setuju, 2-Tidak Setuju, dan 1-Sangat Tidak Setuju.

Instrumen soal selidik bagi kajian ini terbahagi kepada tiga bahagian (A, B dan C). Bahagian A mengandungi 20 item yang mengukur emosi positif yang mempunyai tiga komponen iaitu emosi keseronokan, harapan dan kebanggaan. Bahagian B mengandungi 33 item yang mengukur negatif emosi pelajar yang terdiri daripada empat komponen iaitu kemarahan, rasa malu, kebosanan dan kebimbangan. Akhir sekali, bahagian C mengandungi 22 item berkaitan dengan memori murid iaitu langkah-langkah ingatan dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

Kajian rintis telah dilaksanakan terlebih dahulu terhadap 34 orang murid tahun lima di sebuah sekolah rendah di Pasir Gudang bagi memastikan keyakinan dan ketelusan instrumen kajian serta mendapatkan maklumat yang diperlukan sebelum mengumpul data kajian yang sebenar.

Dapatan analisis kajian rintis mempamerkan keputusan nilai pekali Alpha Cronbach yang tinggi iaitu 0.909 bagi keseluruhan instrumen kajian yang melibatkan 75 item soalan. Dapatan analisis kajian rintis ini membuktikan instrumen kajian adalah tekal dan diyakini sekali gus boleh digunakan dalam pengumpulan data kajian sebenar.

Ujian kenormalan data menggunakan kaedah pengujian statistik dijalankan bagi menentukan sama ada data kajian adalah berteraburan secara normal atau tidak normal. Dapatan nilai Skewness dan Kurtosis menunjukkan bahawa data kajian adalah berteraburan secara normal.

Bagi menjawab objektif kajian pertama, kedua, analisis deskriptif dijalankan menggunakan perisian penganalisisan data IBM SPSS versi 27 bagi mendapatkan nilai min dan sisihan piawai data kajian. Analisis inferensi dijalankan melalui ujian statistik parametrik menggunakan pekali korelasi Pearson untuk melihat perhubungan antara pemboleh ubah kajian bagi menjawab objektif kajian ketiga.

6. Dapatan kajian

Demografi responden kajian

Penganalisisan data demografi responden kajian melibatkan dua data iaitu jantina dan umur responden kajian. Berdasarkan jadual 1, hasil analisis demografi jantina peserta kajian menunjukkan bahawa majoriti responden adalah terdiri daripada lelaki iaitu seramai 102 orang dengan peratus sebanyak 51%, melebihi jumlah responden perempuan iaitu seramai 98 orang iaitu 49% daripada jumlah keseluruhan sampel kajian. Berikutnya, hasil dapatan analisis demografi umur peserta kajian pula mempamerkan bahawa secara keseluruhannya responden kajian adalah terdiri daripada peserta kajian berumur 11 tahun iaitu murid tahun 5 di sekolah rendah.

Jadual 1: Analisis demografi responden kajian

Kekerapan Peratus (%)

Jantina Lelaki 102 51.0

Perempuan 98 49.0

Umur 11 tahun 200 100.0

Jumlah 200 100.0

Tahap emosi positif, emosi negatif dan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu Jadual 2 menunjukkan analisis nilai min dan sisihan piawai bagi tahap emosi positif, emosi negatif dan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Berdasarkan jadual 2, tahap

(7)

616

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

emosi positif murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu berada pada tahap tinggi dengan nilai min (M=3.84, SP=0.64). Tahap emosi negatif murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu pula berada pada tahap rendah dengan nilai min iaitu (M=2.12, SP=0.69). Seterusnya, tahap memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu berada pada tahap rendah dengan nilai min iaitu (M=2.53, SP=0.70). Dapatan deskriptif ini secara keseluruhannya menggambarkan bahawa murid lebih cenderung untuk menunjukkan emosi positif berbanding emosi negatif semasa menjalani pembelajaran Bahasa Melayu. Manakala tahap memori murid yang rendah semasa menjalani pembelajaran Bahasa Melayu juga memberi gambaran perkaitan di antara emosi dengan memori murid semasa menjalani pembelajaran mata pelajaran ini.

Jadual 2: Tahap emosi positif, emosi negatif dan memori murid

Min keseluruhan (M) Sisihan Piawai (SP) Tahap

Tahap emosi positif 3.8405 .64185 Tinggi

Tahap emosi negatif 2.1182 .69166 Rendah

Tahap memori 2.5373 .70415 Rendah

Hubungan antara emosi positif dan emosi negatif dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu

Analisis inferensi dijalankan bagi menjawab objektif kajian iaitu mengkaji hubungan di antara emosi positif dan emosi negatif dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

Pengujian statistik menggunakan Pekali Korelasi Pearson telah dijalankan bagi menentukan kewujudan perhubungan di antara pemboleh ubah kajian. Jadual 3 menunjukkan dapatan analisis korelasi emosi positif dan emosi negatif dengan memori murid:

Jadual 3: Tahap emosi positif, emosi negatif dan memori murid

Emosi positif Emosi negatif Memori murid

Emosi positif Pearson Correlation 1 -.502** -.313**

Sig. (2-tailed) .000 .000

N 200 200 200

Emosi negatif Pearson Correlation -.502** 1 .651**

Sig. (2-tailed) .000 .000

N 200 200 200

Memori murid Pearson Correlation -.313** .651** 1

Sig. (2-tailed) .000 .000

N 200 200 200

Jadual 3 menunjukkan dapatan analisis korelasi di antara emosi positif, emosi negatif dan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Terdapat hubungan yang signifikan di antara emosi positif dengan memori murid dengan nilai r=-.313, p<0.05. Kekuatan hubungan adalah negatif pada tahap sederhana mengikut skala korelasi Pearson. Seterusnya, jadual 3 juga menunjukkan bahawa terdapatnya hubungan positif yang signifikan di antara emosi negatif murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu dengan memori murid, iaitu (r=0.651, p=<0.05).

Kekuatan hubungan pula adalah pada tahap tinggi mengikut skala korelasi Pearson. Oleh demikian, hipotesis nol ditolak. Dapatan ini membuktikan bahawa semakin tinggi emosi negatif murid, semakin tinggi memori mereka dalam pembelajaran Bahasa Melayu dan sebaliknya bagi emosi positif yang dialami oleh murid dalam proses pembelajaran tersebut.

7. Perbincangan

Emosi murid dalam sesebuah proses pembelajaran mempengaruhi memori belajar mereka.

Secara keseluruhanannya dapatan deskriptif kajian menunjukkan bahawa tahap emosi positif murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu berada pada tahap yang tinggi. Ini bermakna murid-

(8)

617

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

murid sekolah rendah di kawasan kajian lebih cenderung untuk menonjolkan emosi positif terutamanya semasa menjalani pembelajaran Bahasa Melayu. Dapatan ini adalah selari dengan dapatan Amran M. S. et, al. (2020) dalam kajian berkenaan perspektif penyelidikan neurosains dalam persekitaran bilik darjah yang melibatkan emosi pelajar dalam pembelajaran Matematik dan hubungannya dengan ingatan. Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa komponen emosi positif iaitu keseronokan berada di tahap sederhana tinggi, sekali gus mendedahkan bahawa pelajar lebih suka emosi positif yang diselitkan oleh guru semasa mengajar kelas Matematik.

Dalam kajian ini, tahap emosi negatif murid semasa menjalani pembelajaran Bahasa Melayu dibuktikan berada pada tahap yang rendah. Dapatan ini menandakan bahawa murid-murid tidak bersetuju dengan pernyataan berkenaan kehadiran emosi negatif khususnya kemarahan semasa menjalani pembelajaran Bahasa Melayu. Hal ini juga bermakna murid kurang mempamerkan emosi negatif dalam mata pelajaran ini. Berikutnya, dapatan tahap memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu menunjukkan bahawa tahap memori murid juga berada pada tahap rendah. Hal ini membuktikan bahawa murid sekolah rendah menunjukkan keupayaan mengingat yang lemah semasa mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu.

Dapatan kajian inferensi pula menunjukkan bahawa terdapatnya hubungan yang signifikan di antara emosi positif dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

Walaubagaimanapun, kekuatan hubungan dalam kajian ini adalah secara negatif dan berada pada tahap sederhana. Ini menunjukkan bahawa emosi positif terbukti memberikan kesan kepada memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu, namun begitu perhubungan yang dapat dilihat dalam kajian ini adalah secara negatif. Hal ini juga bermakna semakin tinggi emosi positif murid, semakin rendah memori mereka dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

Dapatan ini adalah bercanggah dengan kajian Amran M. S. et. al. (2020) yang menunjukkan bahawa emosi positif mempunyai hubungan signifikan yang kuat secara positif dengan ingatan pelajar dalam pembelajaran Matematik, sekali gus membuktikan bahawa emosi positif memberi kesan secara positif kepada murid dalam mengingat. Dapatan kajian ini juga bertentangan dengan pernyataan Campbell, Heuer dan Reisberg (2004); Lanciano dan Curci (2011), yang menyatakan bahawa emosi positif meningkatkan ingatan dan bukan sebaliknya.

Berikutnya, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan di antara emosi negatif dengan memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Kekuatan hubungan ini pula adalah secara positif pada tahap yang tinggi menurut skala interpretasi korelasi Pearson. Hal ini menunjukkan bahawa semakin tinggi emosi negatif murid, maka memori murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu juga semakin tinggi. Dapatan kajian ini juga bercanggah dengan teori nilai kawalan Pekrun et. al. (2017) yang menjelaskan bahawa emosi negatif seperti kebosanan dan kebimbangan mempunyai kesan negatif dalam pembelajaran dan sebaliknya pula yang berlaku dengan emosi positif. Justeru, kajian ini memberikan gambaran dari perspektif berbeza dimana ia menunjukkan bahawa murid-murid sekolah rendah di kawasan kajian melihat emosi positif sebagai tidak membantu dalam meningkatkan memori mereka, malah sebaliknya memberi kesan negatif terhadap memori mereka semasa pembelajaran Bahasa Melayu.

8. Kesimpulan

Emosi memberi pengaruh yang besar dalam proses pembelajaran yang melibatkan ingatan atau memori. Dapatan kajian ini memberi gambaran bahawa emosi negatif tidak semestinya

(9)

618

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

memberikan kesan negatif kepada murid dalam sesuatu proses pembelajaran, bahkan dibuktikan dapat membantu dalam proses ingatan atau memori murid dalam pembelajaran. Hal ini membuktikan bahawa kehadiran emosi negatif juga diperlukan dalam situasi pembelajaran ekoran dapat menyumbang kepada memori murid dan seterusnya keberkesanan sesebuah proses pembelajaran tersebut.

Guru selaku individu yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sesebuah proses pembelajaran dalam bilik darjah perlu memastikan bahawa persekitaran bilik darjah adalah selamat bagi murid-murid untuk menonjolkan emosi mereka, sama ada positif atau negatif.

Murid perlu diberi peluang untuk mempamerkan emosi tanpa perlu merasa takut terhadap balasan atau hukuman daripada guru. Untuk itu, guru perlulah bersikap profesional dengan tidak mengamalkan pendekatan pengajaran yang berunsur autokratik yang boleh menyebabkan wujudnya jurang emosi antara guru dan murid semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Dengan cara ini, murid akan lebih selesa untuk mempamerkan emosi mereka. Hal ini akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan selamat untuk perkembangan emosi murid.

Selain itu, guru juga perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan serta dapat menarik minat murid bagi mengelakkan mereka daripada merasakan emosi negatif seperti kebosanan. Menurut Loy (2017), kaedah pengajaran guru memainkan peranan yang sangat penting dan memberi pengaruh besar terhadap perkembangan emosi kanak-kanak yang mampu membentuk perwatakkan imej kendiri mereka. Guru boleh menggunakan teknik pengajaran yang lebih menyeronokkan seperti menggabung jalin unsur muzik dalam pembelajaran. Reney (2017) menjelaskan, teknik nyanyian berunsurkan aktiviti muzik yang dilaksanakan di dalam kelas mampu meningkatkan kefahaman murid tentang subjek yang dipelajari.

Bagi kajian akan datang, adalah dicadangkan agar diperluaskan pengambilan populasi dan sampel kajian meliputi murid sekolah rendah daripada pelbagai lingkungan umur bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh dan tepat. Selain itu, pengkaji juga mencadangkan agar lebih banyak pemboleh ubah dikaji melibatkan emosi murid seperti faktor jantina, bangsa, lokasi sekolah. Akhir sekali, kajian ini diharapkan dapat membantu semua pihak dalam mengenal pasti emosi serta memori murid semasa proses pembelajaran Bahasa Melayu, sekali gus bersama-sama berusaha untuk membantu meningkatkan pencapaian dan penguasaan murid dalam pelbagai kemahiran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Rujukan

Abdul Rasid Jamian. 2011. Permasalahan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah luar bandar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. ISSN:

2180-4842, Vol. 1, Bil. 1 (Mei 2011): 1-12.

Aesha Bhansali & Manjula D. Sharma. 2019. The Achievement Emotions Questionnaire:

Validation And Implementation For Undergraduate Physics Practicals. International Journal of Innovation in Science and Mathematics Education. 27(9), 34-46.

Cleveland-Innes, P. Campbell. 2006. Understanding emotional presence in an online community of inquiry. Paper presented at the 12th Annual SLOAN-C ALN Conference, Orlando, Florida.

Creswell, J. W. 2014. Research Design: Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods Approaches. Research design Qualitative quantitative and mixed methods approaches

(10)

619

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

(Fourth). California. SAGE Publications, Inc. https://doi.org/10.1007/s13398-014- 0173-7.2

David W. Putwain, Eva A. Schmitz , Peter Wood and Reinhard Pekrun. 2021. The role of achievement emotions in primary school mathematics: control-value antecedents and achievements outcomes. British Journal of Educational Psychology (2021), 91, 347–

367

Ibrahim, M. Y., & Noor, S. M. (2020). The impact of emotions on language learning among Malaysian secondary school students. International Journal of Psychosocial Rehabilitation, 24(7), 1771-1779.

Jack C. Richards. 2020. Exploring Emotions in Language Teaching. RECL Journal.

Jamian, Abdul Rasid and Ismail, Hasmah. 2013. Pelaksanaan pembelajaran menyeronokkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 3 (2). pp. 49-63. ISSN 2180-4842

Krejcie, R.V., & Morgan, D.W. 1970. Determining Sample Size for Research Activities.

Educational and Psychological Measurement.

Loy, C. L. 2017. Boneka sebagai alat pedagogi dalam perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak prasekolah. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, 6, 45- 56.

Martínez-Sierra, G., & García-González, M. D. S. 2015. Students' emotions in the high school mathematics classroom: The appraisals in terms of a structure of goals.

International Journal of Science and Mathematics Education.

Muhammad Syawal Amran, Abu Yazid Abu Bakar. 2020. We Feel, Therefore We Memorize:

Understanding Emotions In Learning Mathematics Using Neuroscience Research Perspectives. Universal Journal Of Educational Research. 5943-5950.

Muhammad Syawal Amran, Saemah Rahman & Shahlan S. 2017. Emosi Positif Pembelajaran Efektif Daripada Perspektif Neurosains Ke Dalam Bilik Darjah. Prosiding Seminar Serantau 2017.

Muhammad Syawal Amran, Shahlan Surat, Saemah Rahman. 2019. Emotions In Learning Mathematics And Its Relationship To Memory: Insight From Neuroscience To Classroom Findings. Religación Revista De Ciencias Sociales Y Humanidades. 34- 40

Norul Haida Redzuan & Normarini Norzan. 2020. Mnemonic Memory Techniques Improves Writing Skills In Malay Language. Ilkogretim Online - Elementary Education Online;

19 (4): pp. 20-23

Nurul Ain Hamsari & Azizi Yahaya. 2012. Peranan motivasi pembelajaran, gaya keibubapaan dan sikap dengan pencapaian akademik. Journal of Education Phycology &

Counseling, 5.

Pekrun, R., Goetz, T., Titz, W., & Perry, R. P. 2002. Academic emotions in students' self- regulated learning and achievement: A program of qualitative and quantitative research. Educational Psychologist, 37(2), 91–105.

Pekrun, Reinhard; Goetz, Thomas; Frenzel, Anne C.; Barchfeld, Petra; Perry, Raymond P.

2011. Measuring Emotions in Students' Learning and Performance: The Achievement Emotions Questionnaire (AEQ). Contemporary Educational Psychology, v36 n1 p36- 48.

Pekrun, R., Lichtenfeld, S., Marsh, H. W., Murayama, K., & Goetz, T. 2017. Achievement emotions and academic performance: Longitudinal models of reciprocal effects. Child Development; 88(5), 1653–1670. https://doi.org/10.1111/cdev.12704

Reney Pantun. 2017. Penggunaan teknik nyanyian dalam meningkatkan kefahaman murid tahun dua dalam topik pembundaran. Proceedings of the ICECRS, 1(1), 677-686.

(11)

620

Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

Sophie Govaerts and Jacques Gr´egoire. 2008. Development and Construct Validationof an Academic Emotions Scale. International Journal of Testing, 8: 34–54

Syed Abd Rashid, S. N., Zainal Abidin, M. J., Othman, M. S., & Ibrahim, M. Y. (2020). The Effect of Emotion on Motivation to Learn Malay Language among Secondary School Students. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 10(7), 154-164.

Referensi

Dokumen terkait