Penggunaan ‘QUIET BOOK’ Meningkatkan Kemahiran Menguasai Kosa Kata Dalam Kalangan Murid Berkeperluan
Pendidikan Khas (MBPK) Pembelajaran
(The Use of 'QUIET BOOK' Increases Vocabulary Mastering Skills Among Students with Special Educational Needs (SEN) Learning)
Nyam Tze Nann1, Mohd Hanafi Mohd Yasin1*
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 February 2023 | Published: 1 March 2023
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.19
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Kemahiran menguasai kosa kata merupakan asas kepada penguasaan sesuatu bahasa. Kajian ini meneroka penggunaan ‘Quiet Book’ sebagai satu media bagi mengembangkan pembelajaran murid khususnya meningkatkan kemahiran menguasai kosa kata dalam kalangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dan peningkatan tahap motivasi pembelajaran mereka. Reka bentuk kajian ini merupakan pendekatan kuantitatif iaitu bentuk kuasi eksperimen dengan membahagikan kumpulan rawatan dan kawalan. Sampel kajian dipilih adalah berdasarkan MBPK tahap 1 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang mempunyai tahap 1 sehingga 3 dalam Pentaksiran Bilik Darjah bagi subjek bahasa Inggeris daripada 9 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mempunyai. Instrumen kajian terdiri daripada produk ‘Quiet Book’, soal selidik motivasi pembelajaran MBPK dan rancangan pengajaran harian. Tempoh pelaksanaan kajian adalah sebanyak 4 minggu.
Markah dikutip sebelum dan selepas intervensi dilaksanakan serta pengumpulan data soal selidik tahap motivasi pembelajaran MBPK dikumpul bagi kedua-dua kumpulan. Dapatan adalah berbentuk inferensi ujian t digunakan bagi meninjau perbezaan kumpulan kawalan dan rawatan. Hasil menunjukkan perbezaan yang signifikan wujud bagi ujian pasca (p=.000) serta tahap motivasi pembelajaran antara kumpulan kawalan dan rawatan (p=.000). Penggunaan
‘Quiet Book’ sebagai media pembelajaran telah dikupas kesannya terhadap MBPK dan motivasi pembelajaran juga ditingkatkan secara langsung. Kajian ini diharapkan sebagai satu panduan kepada guru untuk mencipta media pembelajaran tersendiri bagi manfaat MBPK.
Kata kunci: Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), ‘Quiet Book’, Kemahiran Menguasai Kosa Kata, Motivasi Pembelajaran
Abstract: Vocabulary skills are the basis for mastering a language. This study explores the utilise of the 'Quiet Book' to enhance student learning, particularly to improve vocabulary mastery of special educational needs (SEN) students and increasing learning motivation. The design of this study is a quantitative approach which is a quasi-experimental form that conducts pre-tests and post-tests on the control and treatment groups. The study sample was selected based on SEN students year 1 which has levels 1 to 3 in Classroom Assessment for English subjects from 9 Chinese Primary School (SJKC) that have Special Integration Education Programs (PPKI). The research instrument consists of the 'Quiet Book' product, the learning motivation questionnaire and daily lesson plans. The duration of the study is 4 weeks.
Pre and post-test scores were collected and the learning motivation form questionnaire was
collected for both groups. The data obtained was analysed inferentially and conducted t test to examine the difference between the control and treatment groups. The findings of the study show that there is a significant difference in the post-test (p=.000) as well as the level of learning motivation between the treatment and control groups (p=.000). The use of the 'Quiet Book' as a learning medium has been examined for its effect on SEN students and learning motivation has also been directly increased. This study wishes to be a guide for educators to create their own learning media for the benefit of SEN students.
Keywords: Students with Special Educational Needs (SEN), ‘Quiet Book’, Vocabulary Skills, Learning Motivation
___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
Sebelum menguasai kemahiran membaca, seseorang individu perlu mempunyai kemahiran asas seperti menguasai kosa kata supaya mereka berupaya membaca bahan bacaan. Oleh itu, betapa pentingnya penguasaan kemahiran menguasai kosa kata sebagai kemahiran asas bagi memastikan pembelajaran yang seterusnya dapat berlaku. Kajian yang dijalankan oleh Heppner (2016) menunjukkan pendekatan seperti bercerita dan menjalankan simulasi adalah aspek yang dapat meningkatkan pembelajaran dan pemahaman terhadap perkataan serta menguasai kemahiran lisan terhadap kosa kasa tersebut. Penggunaan pendekatan yang berbeza dapat memastikan pembelajaran berlaku dengan berkesan kerana murid mengalami proses pembelajaran dengan lebih efektif apabila merasai proses pembelajaran tersebut. Kaedah pengajaran tradisional iaitu pengajaran yang berpusatkan kepada guru telah dipinggirkan pada zaman sekarang dan murid memerlukan kaedah dan strategi yang sesuai untuk tahap pembelajaran mereka supaya dapat memperoleh ilmu pengetahuan yang baru.
Jonak dan Tolczyk (2018) berpendapat trend pendidikan pada zaman sekarang menitikberatkan perkembangan potensi murid. Pedagogi tradisional adalah tidak semestinya berkesan bagi MBPK pembelajaran yang memerlukan perhatian khusus. Guru pendidikan khas akan menghadapi masalah untuk mengendalikan sesi PdPc yang dapat merangsang pemikiran dan pembelajaran murid atas sebab kekurangan pengalaman mengajar atau latihan yang tidak mencukupi bagi menjalankan sesi PdPc secara berPesan. Guru pendidikan khas juga harus merujuk kepada pakar untuk menyediakan persekitaran dan bahan pembelajaran yang sesuai dengan MBPK Pembelajaran bagi menjamin pembelajaran optimal bagi MBPK Pendidikan Khas.
Penggunaan media pembelajaran yang sesuai dapat merangsang pembelajaran MBPK pembelajaran dengan efektif. Bahan pembelajaran yang sesuai untuk memupuk kemahiran memerhati dan menyumbang kepada pengalaman pembelajaran dari aspek sikap, kognitif dan psikomotor murid adalah ‘Quiet Book’ (Mufliharsi 2017). ‘Quiet book’ mengandungi aktiviti pembelajaran yang dapat membantu murid menguasai sesuatu kemahiran dengan mencapai objektif pembelajaran. Kreativiti guru memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan aktiviti dengan kemahiran yang ingin dipupuk seperti aktiviti yang berkenaan dengan kemahiran mengenal abjad.
Penggunaan ‘Quiet Book’ sebagai satu media bagi mengembangkan pembelajaran murid khususnya untuk meningkatkan kemahiran menguasai kosa kata dalam kalangan murid dan keputusan kajian menunjukkan media ini dapat meningkatkan prestasi murid Indonesia dalam menguasai kemahiran menguasai kosa kata (Citri & Risma 2019). Maka penggunaan ‘Quiet Book’ boleh diterokai bagi meningkatkan kemahiran MBPK Pembelajaran di dalam sistem
pendidikan Malaysia dengan mewujudkan satu pedagogi yang terancang dan inovatif berdasarkan kreativiti guru untuk memastikan murid dibekalkan kaedah yang berbeza dengan kaedah pengajaran tradisional supaya mereka dapat menjalankan sesi PdPc dengan lebih berkesan.
Kajian dijalankan untuk meninjau implikasi penggunaan ‘QUIET BOOK’ dalam meningkatkan kemahiran menguasai kosa kata bahasa Inggeris dan tahap motivasi pembelajaran MBPK. Berdasarkan tujuan kajian tersebut, maka objektif kajian ini mengukur : a) Mengenal pasti perbezaan skor ujian pasca antara kumpulan rawatan dengan kumpulan
kawalan dalam kemahiran menguasai kosa kata bahasa Inggeris.
b) Mengenal pasti perbezaan tahap motivasi belajar antara kumpulan rawatan dengan kumpulan kawalan terhadap kemahiran menguasai kosa kata bahasa Inggeris.
2. Tinjauan Kepustakaan
Keberkesanan sesi PdPc adalah signifikan terhadap penglibatan murid dalam pembelajaran secara tidak langsung (Halim 2017). Kesediaan guru dalam menjalankan sesi PdPc yang paling sesuai bagi MBPK kerana MBPK memerlukan pendekatan yang sesuai bagi mereka. Maka sesi pengajaran dan pembelajaran secara tradisional adalah kurang berkesan bagi MBPK kerana mereka kekurangan daya tumpuan untuk berfokus terhadap topik pembelajaran dalam tempoh masa yang panjang semasa berada di dalam kelas.
Tidak hairanlah apabila MBPK yang mengalami ketidakupayaan dari segi kognitif akan menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran literasi seperti pengetahuan abjad dan kosa kata (Erickson & Geist 2016). Kurang pendedahan dan penguasaan terhadap kemahiran literasi pada peringkat awal merupakan petunjuk kepada kesukaran membaca yang akan dihadapi oleh MBPK pada masa hadapan.
Kemahiran menguasai kosa kata perlu ditekankan bagi menjalinkan pembelajaran murid adalah berlaku dengan lancar kerana mereka dapat menguasai atau memahami topik pembelajaran menerusi bacaan. Kemahiran menguasai kosa kata boleh berasaskan dengan pengetahuan terhadap abjad dan diikuti dengan penguasaan kemahiran mengecam perkataan secara beransur-ansur. Cooper (2017) menyatakan murid akan mula belajar untuk memadankan bunyi dengan abjad dan seterusnya diikuti dengan bunyi yang berbeza akan menggabungkan dua huruf apabila murid sudah menguasai kemahiran sebelumnya dan diikuti dengan perkataan.
Masalah yang dihadapi oleh MBPK adalah kekurangan tumpuan dan minat terhadap sesi PdPc yang dijalankan berasaskan papan tulis dan buku sahaja (Ahmad & Tasir 2019). Kekurangan daya tumpuan dalam kalangan MBPK akan menyebabkan mereka kehilangan minat untuk belajar dan gagal menguasai kemahiran literasi yang penting. Oleh itu penggunaan pendekatan yang berbeza dapat mengurangkan cabaran, limitasi dan masalah yang bakal dihadapi untuk menerapkan elemen keseronokan dalam pendidikan dengan meningkatkan minat MBPK untuk belajar dan meningkatkan daya tumpuan mereka.
MBPK berada di PPKI gagal menguasai kemahiran literasi akan mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang lain dan keadaan ini akan diteruskan dengan mereka meninggal sekolah dan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Keputusan menunjukkan MBPK yang diinklusifkan dalam aliran perdana menunjukkan kemahiran literasi asas yang lebih kukuh berbanding dengan MBPK di PPKI kerana berkemungkinan terdedah kepada pengajaran
literasi yang komprehensif dan memperoleh hasil yang lebih memberangsangkan dalam jangka masa panjang selepas tempoh persekolahan (Ryndak et al 2012). Oleh itu, guru pendidikan khas harus menekankan penguasaan kemahiran literasi dalam kalangan MBPK dan merancang sesi PdPc atau menggunakan strategi dan pendekatan yang sesuai bagi anak murid untuk menguasai kemahiran literasi asas.
Keupayaan seseorang untuk memahami mencipta dan mentafsir perwakilan visual data adalah amat penting (Boy et al 2014) kerana visualisasi biasa yang selalu ditemui adalah berita, buku dan internet merupakan cara mendapatkan informasi terkini bagi orang ramai. Kemahiran literasi visual yang terhad dapat menyebabkan seseorang mengalami kesukaran dalam menginterpretasi maklumat dan menghadapi masalah pembelajaran. Dengan kemahiran literasi visual yang terhad, individu boleh dihalang untuk mendapat akses kepada maklumat yang berharga dan menyelesaikan masalah.
Dalam kemahiran menguasai kosa kata, paparan visual boleh dilakukan oleh guru dengan mempersembahkan ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik. Minat murid boleh ditingkatkan melalui persembahan ilmu yang berbeza dengan pendekatan tradisional yang digunakan. Visual membolehkan ilmu pengetahuan dapat disampaikan dengan cara yang menarik kerana murid akan tertarik dengan susunan abjad atau gambar yang berkenaan dengan menguasai kosa kata di samping proses pembelajaran berlaku. Kemahiran literasi visual diterapkan manakala MBPK boleh menguasai kemahiran menguasai kosa kata.
Perancangan pendekatan dan aktiviti bagi memastikan murid dapat menggunakan kosa kata yang dipelajari dalam kehidupan seharian dan melakukan pengulangan supaya dapat memperdalam ingatan terhadap kosa kata tersebut dan meningkatkan penguasaan kosa kata dalam bahasa Inggeris melalui komunikasi (Fukuta 2016). Murid dapat mempunyai pengalaman menggunakan kosa kata dan berupaya menguasai kosa kata tersebut sekiranya mereka mempunyai peluang untuk menggunakan ilmu yang dipelajari dengan lebih berkesan dalam kehidupan seharian.
Motivasi merupakan pendorong untuk seseorang melakukan dan mencapai sesuatu matlamat.
Dalam pembelajaran, motivasi penting dalam menentukan pencapaian seseorang murid semasa proses pembelajaran berlaku (Mohd Uzir, Rohaidah & Sharil 2018). Murid yang bermotivasi dalam pembelajaran akan mendorong mereka belajar dengan efektif dan mencapai objektif pembelajaran dengan guru menentukan keberkesanan sesuatu aktiviti yang dijalankan. Murid akan kehilangan tumpuan akibat masa pembelajaran yang terlalu panjang. Murid yang bermotivasi tinggi dapat meningkatkan daya tumpuan serta tidak bersifat pasif dalam sesi pembelajaran.
Justeru, perancangan aktiviti memainkan peranan yang penting dalam memastikan penyertaan yang tinggi dalam sesi PdPc yang dijalankan supaya mereka dapat ditingkatkan motivasi belajar dan mencapai objektif pembelajaran dengan mengesan tahap perkembangan anak murid semasa belajar. Murid yang kehilangan tumpuan kemungkinan kekurangan motivasi semasa proses pembelajaran berlaku dan aktiviti yang dijalankan adalah kurang sesuai atau tidak dapat menimbulkan keseronokan belajar dalam kalangan murid.
Tay, Litat & Ambikapathi (2016) berpendapat aspek motivasi, kesediaan dan sikap terhadap pembelajaran mempunyai hubungan rapat dalam pembelajaran bahasa kedua. Murid yang menunjukkan sifat positif dan optimistik dapat menunjukkan motivasi yang tinggi dalam menuntut ilmu bahasa bukan ibunda. Hal ini demikian mereka dapat berjaya mencapai kejayaan dalam menguasai sesuatu topik pembelajaran dan keadaan sebaliknya juga akan
berlaku sekiranya tidak mempunyai motivasi atau minat dalam pembelajaran. Motivasi dapat menyumbang kepada prestasi murid dalam pembelajaran mereka.
3. Metodologi Kajian
Reka bentuk bagi kajian bersifat kuantitatif iaitu bentuk kuasi eksperimen untuk meninjau perbezaan penggunaan ‘Quiet Book’ dalam pelaksanaan sesi PdPc terhadap kumpulan kawalan dan rawatan dengan menjalankan ujian pra dan ujian pasca terhadap kumpulan semasa permulaan dan akhir peringat kajian. Ujian pra dan pasca digunakan terhadap kedua-dua kumpulan sampel kajian yang tidak seimbang maka reka bentuk kajian ini adalah berbentuk quasi eksperimen.
3.1 Peserta Kajian
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi 9 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di negeri Melaka dipilih untuk menjalankan kajian. Pengagihan rawak dijalankan terhadap MBPK yang dijadikan sampel kajian telah dipilih daripada 9 buah sekolah untuk dimasukkan dalam kumpulan rawatan dan kawalan. Guru yang mengajar kumpulan rawatan akan diagihkan produk untuk menjalankan intervensi dan senarai semak untuk diisi.
.Kajian ini bersifat persampelan bertujuan. Sampel kajian dipilih adalah berdasarkan MBPK tahap 1 yang mempunyai tahap 1 sehingga 3 dalam Pentaksiran Bilik Darjah bagi subjek bahasa Inggeris. Sebanyak 30 orang peserta kajian telah dipilih sebagai sampel kajian ini dan seramai 15 orang sampel kajian dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan kawalan dan rawatan.
Sampel kajian adalah berbangsa Cina dan mempunyai masalah dalam menguasai kosa kata semasa sesi PdPc dijalankan. Kajian ini juga melibatkan enam orang guru pendidikan khas yang mengajar subjek bahasa Inggeris.
3.2 Instrumen Kajian- Produk ‘ Quiet Book’ dan Soal Selidik Tahap Motivasi Pembelajaran
Pengkaji telah menggunakan instrumen kajian seperti produk ‘Quiet Book’, soal selidik motivasi pembelajaran MBPK dan rancangan pengajaran harian. Pengkaji telah menghasilkan empat set ‘Quiet Book’ dan diagihkan kepada guru berkenaan untuk melaksanakan kajian.
Setiap guru akan mempunyai koleksi ‘Quiet Book’ yang mengandungi kosa kata bermula dengan abjad ‘a’, ‘b’ dan ‘c’. Mereka akan menjalankan sesi PdPc tersebut dengan menggunakan ‘Quiet Book’.
Soal selidik telah digunakan untuk meneroka motivasi MBPK terhadap penggunaan ‘Quiet Book’ semasa menjalankan sesi PdPc. Soal selidik ini adalah berskala likert 5 mata di mana guru dapat memilih 5 jawapan yang paling sesuai untuk menjawab soalan yang berkenaan berdasarkan tahap motivasi yang ditunjukkan oleh MBPK.
Terdapat empat bahagian dalam soal selidik ini iaitu bahagian A, B, C dan D. Bahagian A adalah demografi MBPK tentang kategori masalah pembelajaran, umur dan jantina. Bahagian lain mengandungi 19 item yang harus dijawab oleh guru berdasarkan tahap motivasi MBPK yang ditunjukkan semasa menjalankan sesi PdPc. Bahagian B merupakan aspek menilai tahap motivasi berdasarkan kesungguhan menjalankan aktiviti, bahagian C mengandungi aspek minat untuk belajar manakala bahagian D adalah aspek kepuasan untuk belajar.
3.3 Pelaksanaan Intervensi Menggunakan ‘Quiet Book’
Kajian akan dilaksanakan dalam tempoh masa 4 minggu. Sebanyak 3 abjad iaitu ‘a’, ‘b’ dan
‘c’ yang mengandungi 5 kosa kata masing-masing telah dipilih untuk diajar kepada MBPK dan
penyediaan ‘Quiet Book’ yang mengandungi kosa kata berdasarkan 3 abjad ini seperti ‘apple’,
‘airplane’, ‘ball’, ‘balloon’ dan sebagainya. Setiap minggu akan dijalankan dua sesi PdPc sepanjang tempoh 30 minit yang menggunakan ‘Quiet Book’ untuk mengajar kemahiran menguasai kosa kata terhadap MBPK. MBPK akan diagihkan lembaran kerja untuk disiapkan selepas menjalankan aktiviti. Guru dapat menilai perkembangan MBPK selepas mereka menyiapkan lembaran kerja.
3.4 Prosedur Pengumpulan dan Penganalisisan Data
Prosedur pengumpulan data dijalankan secara tersusun dan teratur bagi mengumpul data yang mencukupi supaya dapat mencapai objektif pembelajaran dan menjawab soalan kajian. Data adalah dilaporkan dalam bentuk inferensi. Pengumpulan data akan dijalankan dengan mengambil markah ujian pra dan pasca. Markah ujian akan dikumpul bagi setiap sampel kajian dalam kumpulan rawatan dan kawalan.
Ujian t dua sampel bersandar digunakan untuk meneroka perbezaan signifikan antara kumpulan. Skor min keseluruhan pencapaian setiap kumpulan akan diterangkan dalam jadual dan menerangkan perbezaan antara kumpulan masing-masing. Banding beza antara kumpulan akan dijalankan dengan melakukan perbandingan antara skor ujian pasca bagi menjawab soalan kajian pertama.
Data dianalisis secara inferensi bagi soal selidik motivasi pembelajaran MBPK dalam kumpulan rawatan dan kawalan bagi menjawab soalan kajian kedua dengan meneroka sama ada perbezaan yang signifikan diwujudkan antara tahap motivasi pembelajaran MBPK kumpulan rawatan dengan kumpulan kawalan akan dipengaruhi oleh penggunaan ‘Quiet Book’
dalam meningkatkan kemahiran menguasai kosa kata.
4. Dapatan Kajian
4.1 Perbezaan Skor Ujian Pasca Antara Kumpulan Rawatan Dengan Kumpulan Kawalan
Setelah menjalankan ujian pra, intervensi dijalankan terhadap kumpulan rawatan. Ujian pasca dijalankan terhadap dua kumpulan pada peringkat akhir kajian. Maka skor min bagi kedua-dua kumpulan dibanding beza dan mengetahui sama ada terdapat perbezaan yang signifikan antara ujian pasca kumpulan kawalan dan rawatan.
Jadual 1: Keputusan Ujian T bagi perbezaan skor min ujian pasca antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan
Min SP t dk Sig. (p)
Ujian Pasca Kumpulan Kawalan-
Ujian Pasca Kumpulan Rawatan -7.267 1.335 -21.089 14 .000
Ujian t dijalankan dan memperoleh nilai p iaitu .000 (p<0.05). Tahap signifikan yang diperoleh adalah lebih kecil daripada nilai 0.05 maka H0 adalah ditolak. Oleh itu, terdapat perbezaan yang signifikan dalam skor min ujian pasca antara kumpulan kawalan dan rawatan. Hal ini demikian wujudnya perbezaan markah ujian pasca kumpulan kawalan dan rawatan yang telah menjalankan intervensi dan memperoleh hasil yang memberangsangkan.
4.2 Perbezaan Tahap Motivasi Pembelajaran Antara Kumpulan Rawatan Dengan Kumpulan Kawalan
Motivasi pembelajaran MBPK dalam kumpulan kawalan dan rawatan juga dianalisis berdasarkan skor min keseluruhan motivasi yang diperolehi daripada data soal selidik bagi
kedua-dua kumpulan. Skor min bagi kedua-dua kumpulan ini dilakukan banding beza bagi mengetahui perbezaan antara kumpulan rawatan dan kawalan bagi mengetahui keupayaan penggunaan ‘Quiet Book’ dapat meningkatkan motivasi pembelajaran MBPK secara langsung.
Jadual 2: Keputusan Ujian T bagi perbezaan skor min tahap motivasi pembelajaran antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan
Min SP t dk Sig. (p)
Tahap Motivasi Kumpulan Kawalan-
Tahap Motivasi Kumpulan Rawatan 2.31579 .76115 11.784 14 .000
Nilai p yang diperoleh setelah menjalankan ujian t adalah 0 (p<0.05). H0 adalah ditolak kerana tahap signifikan yang diperoleh adalah lebih kecil daripada nilai 0.05 dan Ha diterima. Oleh itu, terdapat perbezaan yang signifikan dalam skor min tahap motivasi pembelajaran antara kumpulan kawalan dan rawatan. Hal ini demikian wujudnya perbezaan tahap motivasi antara kumpulan kawalan dan rawatan yang telah menjalankan intervensi. Maka penggunaan ‘Quiet Book’ boleh meningkatkan motivasi pembelajaran MBPK secara tidak langsung.
5. Perbincangan Kajian
5.1 Perbezaan Skor Ujian Pasca Antara Kumpulan Rawatan Dengan Kumpulan Kawalan
Terdapat perbezaan yang signifikan skor ujian pasca antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kumpulan rawatan dijalankan intervensi dengan mengaplikasikan produk ‘Quiet Book’ sebagai bahan bantu mengajar bagi meningkatkan penguasaan MBPK dalam kemahiran menguasai kosa kata bahasa Inggeris.
Dengan mengaplikasikan pelbagai pendekatan atau strategi dalam mengendalikan strategi PdPc maka kebolehan MBPK untuk menerima sesuatu isi pembelajaran adalah ditingkatkan kerana murid berada dalam keadaan sedia untuk menerima ilmu berdasarkan tahap kebolehan mereka berdasarkan aktiviti yang dijalankan. Kewujudan media pembelajaran kreatif seperti
‘Quiet Book’ dalam sesi pengajaran yang dijalankan bagi meningkatkan penguasaan kosa kata akan lebih mudah difahami oleh murid dan membuatkan anak tidak bosan dalam aktiviti pembelajaran.
Tidak terdapat satu kaedah pengajaran dianggap sebagai satu strategi atau pendekatan yang perlu dipatuhi oleh guru bagi menjalankan sesi PdPc. Guru mempunyai kebebasan untuk menentukan strategi pengajaran yang digunakan sekiranya strategi tersebut dapat meningkatkan tahap penguasaan kemahiran murid dan penglibatan murid secara aktif dalam sesi PdPc. Sekiranya strategi yang digunakan adalah berkesan bagi MBPK dalam proses pembelajaran maka prestasi MBPK akan ditingkatkan kerana mereka dapat menguasai kemahiran yang diajar dalam sesi PdPc tersebut.
‘Quiet Book’ sebagai satu media pembelajaran telah diterokai oleh Annashih dan Subroto (2019) dengan meninjau prosedur pembangunan media ‘Quiet Book’ dan keupayaan membangunkan media ‘Quiet Book’. Pengumpulan data telah dijalankan menggunakan soal selidik, kaedah pemerhatian dan ujian. Soal selidik digunakan untuk mendapatkan tindak balas pelajar, pemerhatian digunakan untuk mendapatkan data pelaksanaan ‘Quiet Book’ dalam sesi pembelajaran dan menjalankan ujian bagi memperoleh hasil pembelajaran berdasarkan kognitif pelajar. Dapatan kajian merumuskan produk yang dibangunkan adalah memperoleh sebanyak 92% kesahan, sebanyak 93% kepraktisan dalam sesi pembelajaran yang dilaksanakan dan keberkesanan hasil pembelajaran pelajar telah ditingkatkan iaitu dari 75.04 sehingga 93.52.
Hal ini demikian kesimpulan dilakukan bahawa ‘Quiet Book’ sebagai satu media pembelajaran yang boleh mendatangkan manfaat kepada para pelajar.
Hasil kajian Mufliharsi (2017) terhadap penggunaan ‘Quiet Book’ terhadap murid-murid prasekolah bagi meningkatkan perbendaharaan kosa kata telah mendatangkan hasil yang memberangsangkan dan peningkatan keupayaan membaca murid juga dapat dikesan setelah menggunakan ‘Quiet Book’ dan mempunyai fungsi manipulatif dalam mempelajari sesuatu topik pembelajaran.
5.2 Perbezaan Tahap Motivasi Pembelajaran Antara Kumpulan Rawatan Dengan Kumpulan Kawalan
Hasil diperoleh menunjukkan perbezaan yang signifikan tahap motivasi antara dua kumpulan.
Oleh itu, ‘Quiet Book’ sebagai media pembelajaran yang baharu dapat meningkatkan motivasi pembelajaran MBPK dengan lebih berkesan. ‘Quiet Book’ ini merupakan satu medium yang berkesan bagi mengajar kosa kata dengan membekalkan satu cara yang menarik dengan merangkumi aspek visual, kinestatik, pendengaran dan pertuturan. Visualisasi boleh memoptimumkan pembelajaran secara tidak langsung.
Selain daripada mengajar perbendaharaan kata, ‘Quiet Book’ juga boleh dikatakan merangsang kognitif MBPK dan kemahiran motor halus. Bentuk ‘Quiet Book’ yang berbeza dengan buku biasa dan berwarna-warni dapat menjadikan pembelajaran kosa kata lebih seronok dan suasana pembelajaran yang lebih aktif. Pastinya keadaan pembelajaran yang merangsang pembelajaran MBPK akan menyebabkan isi pembelajaran adalah lebih mudah dikuasai oleh MBPK.
Kemahiran guru dalam menyediakan bahan bantu mengajar harus dilengkapi bagi melancarkan sesi PdPc dan mencapai objektif pembelajaran.
Strategi pembelajaran aktif dapat meningkatkan motivasi kepada murid dalam sesi PdPc.
Kebaikan penggunaan ‘Quiet Book’ sebagai strategi pembelajaran adalah guru dapat menentukan isi kandungan dalam ‘Quiet Book’ berdasarkan topik pembelajaran dan dapat menjalankan aktiviti pembelajaran yang sesuai berdasarkan kandungan. Maka guru mempunyai autoriti bagi merancang aktiviti pembelajaran yang sesuai dan boleh meningkatkan motivasi murid bagi merangsang pembelajaran berlaku.
Kumpulan rawatan mempunyai motivasi pembelajaran yang lebih tinggi. Dapatan ini selaras dengan Hidi dan Harackiewicz (2000) yang menyatakan minat individu dalam pembelajaran akan membawa kepada kegigihan kepada tugasan dalam tempoh masa yang panjang, keupayaan untuk menumpukan daya perhatian, meningkatkan pembelajaran, kepuasan dan keseronokan. Maka objektif pembelajaran dapat dicapai iaitu menguasai kosa kata bahasa Inggeris dengan minat pembelajaran yang tinggi apabila menggunakan ‘Quiet Book’ sebagai bahan bantu mengajar dan belajar. Suasana pembelajaran yang gembira diwujudkan di samping meningkatkan tahap pembelajaran murid kumpulan rawatan secara tidak langsung.
6. Kesimpulan
Secara keseluruhannya, kajian yang dijalankan adalah memperoleh hasil yang memberangsangkan dengan berjaya mencapai objektif kajian yang disenaraikan. Penggunaan
‘Quiet Book’ sebagai media pembelajaran telah dikupas kesannya terhadap MBPK dan motivasi pembelajaran juga ditingkatkan secara langsung. Hasil kajian ini diharapkan dapat membantu warga pendidik dapat meningkatkan pencapaian akademik MBPK serta membekalkan idea baharu dalam menjalankan inovasi PdPc dengan membekalkan informasi yang diperlukan.
Kajian ini merupakan alternatif atau sebagai satu kaedah yang dapat membekalkan idea kepada para pendidik untuk merancang strategi bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris MBPK. Kajian ini membekalkan satu cara yang dapat membantu guru dalam meningkatkan keberkesanan proses sesi PdPc dengan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan menguasai kosa kata bahasa Inggeris. Guru juga mampu meneroka pelbagai kaedah dan pendekatan bagi meningkatkan pencapaian MBPK dan mempunyai gambaran jelas terhadap prestasi MBPK dan mengatasi masalah yang dihadapi.
Rujukan
Ahmad, H., & Tasir, Z. 2019. Kesan Penggunaan Aplikasi MobilTerhadap Kemahiran Literasi Bahasa Melayu Pelajar Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Innovative Teaching and Learning Journal 2(2): 1–16.
Boy, J., Rensink, R. A., Bertini, E., & Fekete, J. D. 2014. A Principled Way of Assessing Visualization Literacy. IEEE Transactions on Visualization and Computer Graphics 20(12): 1963–1972.
Citri, D. R. & Risma, N. R. 2019. Pengembangan Media Buku Pop-Up Untuk Pembelajaran Mengenal Huruf Alphabet Anak Usia Dini. Jurnal Program Studi PGRA 5(1): 54–63.
Cooper, M. 2017. Basic Literacy Skills Learned in Kindergarten. CLASSROOM.
https://classroom.synonym.com/
Erickson, K., & Geist, L. 2016. The profiles of students with significant cognitive disabilities and complex communication needs. Augmentative and Alternative Communication 32(3): 187–197.
Fukuta, J. 2016. Effects of task repetition on learners’ attention orientation in L2 oral production. Language Teaching Research 20(3): 321-340.
Halim, R. A. 2017. Kepemimpinan Distributif, Faktor Kontekstual dan Efikasi Kendiri Guru di Malaysia. JuPiDi: Jurnal Kepimpinan Pendidikan 2(4): 47-61.
Heppner, D. H. 2016. ‘Then what happened?’ Studying emergent literacy in the narrative play of preschool children. Language and Education 30(5): 459–477.
Hidi, S., & Harackiewicz, J. M. 2000. Motivating the academically unmotivated: A critical issue for the 21st century. Review of Educational Research 70(2): 151–179.
Jonak, J., & Tolczyk, S. 2018. Reaching Each Student’s Potential Though Differential Instruction Approaches To Enhance The 21 Century Learning And Career Readiness.
Proceedings of the 40th International Academic Conference, Stockholm.
Mohd Uzir Zubir, Rohaidah Kamaruddin & Shahril Nizam Sha’ri. 2018. Motivasi dan Sikap terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu Murid Tingkatan Satu. Journal Of Kesidang 3: 82-91.
Mufliharsi, R. 2017. Pemanfaatan Busy Book Pada Kosakata Anak Usia Dini Di Paud Swadaya Pkk. Jurnal Penelitian Pendidikan Guru Anak Usia Dini 5(2): 146–155.
Ryndak, D., Hughes, C., Alper, S., & Mcdonnell, J. 2012. Documenting impact of educational contexts on long-term outcomes for students with significant disabilities. Education and Training in Autism and Developmental Disabilities 47: 127-138.
Tay, M. G., Litat, B., & Ambikapathi, S. 2016. Faktor Ekstralinguistik: Motivasi Terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Penutur Bukan Natif. Jurnal Penyelidikan IPGK BL 13: 32–41.