Penguasaan Kemahiran Bertutur Murid Sekolah Rendah di Bandar
(Mastery Of Speaking Skills Of Primary School Pupils In The City)
Noor Marina Yunus1*, Nor Azwahanum Nor Shaid1
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 February 2023 | Published: 1 March 2023
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.22
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Kajian ini membincangkan tentang penguasaan kemahiran bertutur murid dalam bahasa Melayu sekolah rendah di bandar. Kajian ini dilakukan bagi mengkaji tentang tahap penguasaan murid dalam kemahiran bertutur. Kajian dibuat di sebuah sekolah yang terletak di daerah Keramat, Kuala Lumpur. Peserta kajian terdiri daripada 2 orang murid Tahun 6 dan 2 orang guru bahasa Melayu. Kaedah kajian yang digunakan ialah kajian berbentuk kualitatif yang dihuraikan secara deskriptif. Instrumen pengumpulan data yang diaplikasi untuk kajian ini ialah Ujian Bertutur UPBM_SR dan instrument temu bual. Dapatan menunjukkan PK 1 dan PK 2 berada pada tahap lemah dengan skor yang diperoleh sebanyak (2). Terdapat lima masalah yang menyebabkan PK tidak menguasai kemahiran iaitu pengaruh ahli keluarga dan rakan sebaya, pengaruh media elektronik, pengaruh bahan bacaan, pengaruh persekitaran dan pengaruh penggunaan bahasa Inggeris. Dapatan daripada temu bual PK 3 dan PK 4 turut menunjukkan bahawa PK1 dan PK 2 mempunyai kelemahan dan masalah untuk menguasai kemahiran bertutur dengan lancar. Cadangan yang boleh dilaksanakan untuk membendung kelemahan ini ialah semua pihak perlu memainkan peranan tersendiri untuk menolong murid supaya dapat bertutur dengan baik serta memastikan semua murid dapat menunjukkan peningkatan dalam penguasaan kemahiran bertutur. Kajian ini diharap dapat memberi kebaikan terhadap organisasi pendidikan terutama sekali pengkaji akan datang, KPM, JPN, PPD, pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa untuk mengatasi masalah kemahiran bertutur dalam kalangan murid sekolah rendah.
Kata kunci: kemahiran bertutur, penguasaan, pengaruh, sekolah rendah, faktor
Abstract: This study discusses the mastery of students' speaking skills in the Malay language of primary schools in the city. This study was conducted to examine the level of student mastery in speaking skills. This study was carried out in a school located in Keramat district, Kuala Lumpur. The study participants consisted of 2 Year 6 students and 2 Malay teachers. The research method used is a qualitative study that is described descriptively. The research instruments used in this study are the UPBM_SR Speaking Test and the interview instrument.
Findings show PK 1 and PK 2 are at a weak level with a score of (2). There are five problems that cause PK to not master the skills, namely the influence of family members and peers, the influence of electronic media, the influence of reading materials, the influence of the environment and the influence of the use of the English language. The findings from the PK 3 and PK 3 interviews also showed that PK1 and PK 2 have weaknesses and problems to master the skills of speaking fluently The proposal that can be implemented to curb this weakness is that all parties need to play their own role in helping students to speak well and ensure that all
students can demonstrate improvement in their mastery of speaking skills. This study is expected to benefit all parties, especially future researchers, KPM, JPN, PPD, schools, teachers and parents to overcome the problem of speaking skills among primary school students.
Keywords: speaking skill, mastery, influence, primary school, factors
___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
Malaysia mempunyai pelbagai budaya dan kaum yang hidup bersatu padu dalam sebuah negara. Semua bangsa di Malaysia hidup bersatu padu dan mengamalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Bahasa Melayu juga digunakan sebagai bahasa pengantar di Malaysia dan menjadi tunjang perpaduan kaum. Penguasaan bahasa kebangsaan perlu untuk memastikan murid dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, berkemahiran dalam pelbagai aspek dan dapat melancarkan kemahiran bertutur dengan baik.
Bahasa merupakan alat perhubungan yang digunakan oleh masyarakat untuk menyampaikan kehendak yang diperlukan dan dituturkan oleh dua hala. Oleh itu pembelajaran dan penguasaan dalam sesebuah bahasa adalah perlu untuk memastikan proses penyampaian maklumat berlaku dengan lancar dan mudah difahami. Hal ini selari dengan hasrat kerajaan bagi melonjakkan nama Malaysia yang mempunyai bahasa yang dikagumi oleh semua pihak. Oleh hal demikian yang menyatupadukan semua kaum di Malaysia ialah bahasa Melayu. Setiap masyarakat yang tinggal di Malaysia perlu fasih dan memahami bahasa Melayu.
Nora’ Azian & Fadzilah (2018) mengatakan kemahiran bertutur merupakan kemahiran yang sukar untuk dikuasai oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana kemahiran ini berlaku secara spontan. Pertuturan yang terjadi secara spontan tidak dapat dikawal oleh seseorang dan ianya berlaku tanpa disedari. Hal ini penting untuk memastikan penutur sedar apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka agar pertuturan yang terjadi mudah difahami oleh pendengar.
1.1 Kemahiran Bertutur
Kemahiran bahasa terbahagi kepada empat kemahiran iaitu kemahiran membaca, kemahiran menulis, kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Kemahiran bertutur merupakan salah satu kemahiran yang memerlukan penuturnya menjadi proaktif serta merupakan suatu cara untuk menghasilkan ujaran perkataan dan ayat secara lisan (Brown, 2004). Komunikasi dua hala boleh dilakukan dengan cara bertutur sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Menurut Cunningham (1999) dalam Murad (2009) menegaskan bahawa apabila aktiviti bertutur berlaku, penutur bukan sahaja akan menghasilkan komponen bahasa seperti sebutan, nada, intonasi, tatabahasa dan frasa kata, malah seseorang penutur perlu memahami dan mengetahui cara sesebuah bahasa dihasilkan agar perkataan yang dituturkan indah dan santun dari segi bahasanya. Penyataan tersebut turut disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Zhou (2009) yang mengatakan komunikasi seharian penutur bahasa perlu mengandungi pengetahuan bahasa yang mempunyai rangkai kata, sebutan dan tatabahasa bagi memastikan setiap ujaran dihasilkan memberi makna yang betul.
Ur (1996) dalam Khairul Nizam (2017) mencadangkan supaya pelajar yang ingin meningkatkan kemahiran bertutur dalam bahasa asing perlu melakukan empat aktiviti seperti berikut. Pertama, murid-murid perlu memperbanyakkan bertutur semasa berada di dalam bilik darjah. Seterusnya, murid-murid perlu diberi kesempatan dan peluang yang sama untuk
bercakap menggunakan bahasa asing. Kemudian, murid-murid perlu melakukan aktiviti yang merangsang pertuturan mereka. Penggunaan bahasa perlulah sesuai dengan tahap seseorang murid seperti mereka boleh menggunakan contoh kosa kata dan rangkai kata yang telah dipelajari semasa di dalam kelas untuk dipraktikkan bersama rakan-rakan.
1.2 Masalah Pembelajaran Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu sangat penting kerana jika seseorang ingin mewakili negara di peringkat antarabangsa, kita sebagai penutur jati perlu menguasai terlebih dahulu bahasa rasmi negara agar masyarakat dapat jadikan tauladan dan contoh yang baik. Kemahiran bertutur juga merupakan salah satu kemahiran asas yang wajib dikuasai oleh semua lapisan masyarakat. Abdul Rasid Jamian (2021) mengatakan bahawa tahap kecerdasan dan psikologi yang ada pada murid-murid adalah disebabkan oleh faktor genetik, persekitaran dan lain-lain.
Murid-murid mempunyai gangguan semasa belajar menyebabkan mereka tidak dapat menguasai kemahiran bertutur dengan baik. Gangguan pembelajaran seperti penggunaan bahasa Inggeris secara meluas di kawasan persekitaran murid telah menjadi faktor utama penggunaan bahasa Melayu semasa bertutur diabaikan. Oleh itu, murid perlu diberi pendedahan awal tentang pengetahuan kosa kata dan istilah dalam BM agar mereka mampu menggunakan bahasa tersebut dengan yakin dan betul.
Masalah pembelajaran dan penguasaan kemahiran bertutur terjadi berpunca oleh beberapa faktor yang tidak boleh dielakkan. Murid-murid yang hidup dalam persekitaran yang mengamalkan bahasa asing sebagai bahasa pertama akan memberi masalah untuk mereka menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kedua tanpa sokongan ahli keluarga dan persekitaran mereka. Penggunaan bahasa Inggeris secara berleluasan boleh mengakibatkan generasi muda zaman sekarang tidak berminat untuk belajar bahasa Melayu.
1.3 Permasalahan Kajian
Penguasaan bahasa Melayu (BM) dalam kalangan murid haruslah diambil berat kerana bahasa ini merupakan tonggak pendidikan di Malaysia. Dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa kemahiran bertutur merupakan elemen penting kerana melalui kemahiran ini murid- murid dapat berhubung dan berkomunikasi dengan kawan-kawan serta guru dengan baik tanpa ada sebarang masalah. Kemahiran bertutur menitiberatkan sebutan yang jelas dan mudah difahami oleh pendengar. Sekiranya penutur tidak dapat menyebut istilah dan perkataan dalam bahasa Melayu, sukar bagi mereka untuk menguasai kemahiran ini. Penguasaan kosa kata yang banyak akan dapat membantuk murid-murid bertutur dengan baik. Penggunaan bahasa semasa pertuturan dipengaruhi oleh persekitaran murid-murid.
Kajian Nora’Azian dan Fadzilah (2018) menjelaskan faktor penyebab kepada berlakunya kesalahan bahasa dalam pertuturan adalah daripada gangguan bahasa ibunda yang sering digunakan semasa berada di rumah. Hal ini mengakibatkan murid yang bukan menjadikan bahasa Melayu sebaga bahasa pertuturan, mereka tidak boleh bertutur dengan fasih dan lancar.
Antara masalah kemahiran bertutur yang ketara ialah murid-murid kerap kali menggunakan bahasa Inggeris semasa bertutur. Murid-murid India dan Melayu menghadapi masalah menggunakan istilah bahasa Melayu yang sesuai semasa bertutur. Tujuan khusus kajian ini dilakukan adalah untuk melihat tahap penguasaan kemahiran bertutur murid sekolah rendah di kawasan bandar. Penguasaan berbahasa Melayu dalam kalangan penutur bukan natif harus diambil berat bagi mencapai keinginan kerajaan yang mahukan negara mempunyai identiti sendiri (Khairul Nizam, 2017).
1.4 Objektif Kajian
Kajian dijalankan untuk memenuhi beberapa objektif untuk memenuhi kehendak kajian bagi melihat penguasaan kemahiran bertutur dalam kalangan murid sekolah rendah di bandar:
1) Mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran bertutur murid sekolah rendah di bandar.
2) Meneroka masalah dalam kemahiran bertutur oleh murid sekolah rendah di bandar.
2. Kajian Literatur
Pengkaji telah merujuk kajian-kajian lepas untuk dijadikan bahan sokongan kajian yang dijalankan untuk memastikan kajian dilakukan adalah relevan dan mempunyai kaitan dengan pengkaji-pengkaji lain bukan rekaan semata-mata. Pengkaji terdahulu telah membuat kajian tentang masalah kemahiran bertutur dalam kalangan murid untuk memastikan murid-murid dapat meningkatkan penguasaan dalam bidang dan kemahiran bahasa Melayu.
Nora’Azian & Fadzilah (2018) telah membuat satu kajian berkaitan dengan tahap penguasaan kemahiran bertutur dalam kalangan murid. Hasil dapatan kajian mereka menunjukkan murid bukan Melayu sering menggunakan bahasa pertama mereka semasa bertutur BM. Hal ini menyembabkan mereka mempunyai masalah untuk bertutur dalam BM dengan baik dan betul kerana mereka akan melakukan pertukaran istilah dalam bahasa pertama sekiranya tidak tahu istilah tersebut dalam BM.
Selain itu, kajian Haizah & Norazana, (2022) tentang pengaruh bahasa ibunda terhadap kemahiran bertutur mendapati murid India mempunyai beberapa masalah yang menjadi penyebab kepada penguasaan bahasa Melayu yang lemah. Peserta kajian yang terlibat dalam kajian mereka ialah seramai enam orang murid India. Kajian mereka turut menyarankan supaya guru mesti mendorong murid untuk sentiasa mempraktikkan bahasa Melayu semasa berbual dengan rakan-rakan untuk membiasakan diri dengan pertuturan bahasa Melayu.
Chiong & Fan (2019) dalam kajiannya menjelaskan bahawa penumpuan pengajaran secara konvensional telah menyebabkan murid-murid tidak tertarik untuk bertutur mengguna bahasa kedua mereka. Hal ini akan memberi kesan terhadap pencapaian dan penguasaan murid-murid dalam kemahiran bertutur bahasa kedua. Oleh itu, peranan guru bagi memastikan sesi pdp dapat berjalan dengan lancar merupakan satu cabaran yang besar.
3. Metodologi
Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang berbentuk kajian kes dilakukan bagi meneroka masalah yang dihadapi oleh murid dalam kemahiran bertutur di sekolah rendah kawasan bandar. Menurut Merriam (2002) dalam Khairul Nizam (2017), kajian kes telah dijalankan bagi mengutip dapatan kualitatif bagi meneliti dan memahami sesuatu situasi atau fenomena, program, proses atau kumpulan sosial dengan lebih terperinci. Kajian berbentuk ini juga memberi peluang kepada pengkaji untuk meneroka dan mendapat pengetahuan lebih jitu tentang masalah dikaji. Di samping itu, kajian kes dapat memastikan permasalahan yang terjadi dapat diteliti dan difahami dengan lebih mendalam bagi mencapai obejktif kajian.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang berbentuk kajian kes dilakukan bagi meneroka masalah yang dihadapi oleh murid dalam kemahiran bertutur di sekolah rendah kawasan bandar. Menurut Merriam (2002) dalam Khairul Nizam (2017), kajian kes telah dijalankan bagi
mengutip dapatan kualitatif bagi meneliti dan memahami sesuatu situasi atau fenomena, program, proses atau kumpulan sosial dengan lebih terperinci. Kajian berbentuk ini juga memberi peluang kepada pengkaji untuk meneroka dan mendapat pengetahuan lebih jitu tentang masalah dikaji.
3.2 Tempat Kajian
Salah sebuah sekolah kawasan bandar di daerah Keramat, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi untuk menjalankan kajian ini. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah convent yang berada di bandar Kuala Lumpur. Pemilihan tempat adalah berdasarkan kriteria yang mempunyai dua atau lebih masalah di sesebuah tempat (Creswell 2008).
3.3 Peserta Kajian
Merriam (2009) kajian kualitatif tidak menetapkan jumlah peserta kajian yang perlu dipilih oleh pengkaji yang menggunakan kaedah jenis ini. Oleh itu pengkaji telah memilih empat orang murid Tahun 6 dan 2 orang guru bahasa Melayu sebagai peserta kajian dalam kajian ini.
Pemilihan peserta kajian adalah berdasarkan kriteria pemilihan yang terdiri daripada ciri-ciri yang sama dengan tujuan kajian (Cresswell, J.W. 2008).
3.4 Instrument Kajian
Kajian ini akan menggunakan dua jenis instrumen untuk menjawab persoalan kajian. Pengkaji telah memilih instrument Ujian Bertutur UPBM_SR dan instrument temu bual dalam kajian ini. Pengkaji telah menggunakan instrument Ujian Bertutur UPBM_SR untuk memenuhi objektif pertama. Dalam usaha memperoleh data, Ujian Bertutur UPBM_SR digunakan. Ujian Bertutur UPBM_SR dijlankan untuk melihat tahap penguasaan murid bukan penutur natif dalam kemahiran lisan. Murid yang mengikut ujian ini diharap dapat bertutur untuk menyampaikan maklumat dengan baik dan dapat difahami oleh pendengar semasa proses pertuturan berlaku.
Selain itu, bagi menjawab persoalan kedua kajian, pengkaji telah memilih kaedah temu bual terhadap murid sebagai alat untuk memperoleh maklumat yang tepat. Instrument temu bual merupakan instrument yang mempunyai kesahan tinggi dalam proses pengumpulan data (Mahyuddin, et. al 2004). Pengkaji juga menggunakan telefon pintar sebagai instrumen kajian untuk membuat rakaman proses temu bual dijalankan.
3.5 Analisis Data
Data dianalisis melalui transkripsi audio ke dalam bentuk teks dokumen.. Setiap soalan dan jawapan dirakamkan, kemudian data temu bual dalam bentuk verbal dianalisis dan dijadikan dalam bentuk transkrip. Manakala data yang diperoleh akan dihurai secara deskriptif dengan lengkap.
4. Dapatan Kajian
Pemilihan instrument yang sesuai akan memudahkan proses untuk menganalisis dapatan kajian. Bab ini sangat penting bagi memastikan hasil dapatan yang diperoleh dapat ditunjukkan dengan jelas dan dianalisis dengan lancar dan berkesan. Hasil dapatan kajian yang menjawab tiga objektif dituntut dalam kajian ini yang diperoleh daripada peserta kajian dianalisis dengan lebih terperinci dalam bahagian ini. Pengkaji menggunakan jadual untuk mempamerkan data yang diperoleh bagi memudahkan proses menghasilkan data. Data yang ditunjukkan merupakan data yang diperoleh daripada empat peserta kajian yang dipilih untuk dijadikan sampel dalam kajian ini.
4.1 Analisis Tahap Penguasaan Kemahiran Bertutur Murid Sekolah Rendah Di Bandar
Pengkaji telah melakukan Ujian Bertutur UPBM_SR (Bahasa Melayu) sebagai alat instrument kajian terhadap Peserta Kajian 1 dan Peserta Kajian 2 bagi memenuhi tuntutan objektif yang pertama iaitu Mengenal Pasti Tahap Penguasaan Kemahiran Bertutur Murid Sekolah Rendah di Bandar. Ujian bertutur ini mengandungi sepuluh soalan yang perlu dijawab oleh PK 1 dan PK 2.
Jadual 1: Analisis Keputusan Ujian Bertutur UPBM_SR (Bahasa Melayu)
Konstruk Peserta Kajian 1 Peserta Kajian 1
Skor Tahap Skor Tahap
Tatabahasa dan Kosa Kata 2 Lemah 2 Lemah
Sebutan, Intonasi dan Nada 3 Kurang memuaskan 3 Kurang memuaskan
Kefasihan 2 Lemah 2 Lemah
Bermakna 3 Kurang memuaskan 3 Kurang memuaskan
Tahap Keseluruhan 2 Lemah 2 Lemah
Jadual 2 menunjukkan analisis data yang diperoleh daripada Ujian Bertutur UPBM_SR yang telah dilaksanakan terhadap PK 1 dan PK 2. Jadual 2 menunjukkan kedua-dua peserta kajian berada pada tahap lemah bagi dua konstruk yang dinilai iaitu tatabahasa dan kosa kata dan kefasihan. Jadual 2 menunjukkan PK 1 dan PK 2 telah mendapat skor (2) markah bagi dua konstruk tersebut. Manakala PK 1 dan PK 2 juga mendapat skor 3 bagi aspek sebutan, intonasi dan nada serta aspek bermakna. Skor ini meletakkan kedua-dua PK berada pada tahap kurang memuaskan. Hal ini menunjukkan secara keseluruhan skor bagi kemahiran bertutur kedua-dua peserta kajian adalah berada pada tahap lemah dengan jumlah skor sebanyak 2.
Bagi konstruk tatabahasa dan kosa kata, PK 1 dan PK 2 mendapat skor yang rendah kerana mereka mempunyai masalah dalam pengetahuan tatabahasa dan kosa kata. Sebagai contoh semasa menjawab ujian, PK 1 banyak melakukan kesalahan tatabahasa seperti “..tinggal dekat Ampang..”. PK 1 sepatutnya menggunakan kata sendi nama ‘di’ apabila ingin menyatakan tempat tinggalnya bukan menggunakan kosa kata ‘dekat’. Manakala PK 2 juga lemah dalam konstruk ini apabila sering melakukan kesalahan semasa ujian lisan seperti “Saya tinggal kat Damansara.”. Peserta kajian 2 juga perlu menggunakan kata sendi ‘di’ menggantikan kata “kat”
yang juga merupakan singkatan bagi kosa kata ‘dekat’. Berdasarkan data tersebut pengkaji telah memberi skor 2 kerana mereka tidak dapat bertutur dengan menggunakan tatabahasa dan kosa kata yang sesuai dan dikategarikan berada pada tahap lemah.
Bagi konstruk kedua dalam ujian bertutur UPBM_SR iaitu sebutan, intonasi dan nada yang digunakan oleh PK 1 dan PK 2 berada tahap kurang memuaskan dengan skor (3) kerana semasa bertutur kebanyakan sebutan yang dituturkan oleh kedua-dua PK kurang betul, kurang jelas dan kurang tepat. Manakala intonasi yang digunakan banyak yang salah contoh ayat yang digunakan oleh PK 1 “..selalu bace buku..” dan PK 2 “..kita kecik lagi, tu jer I boleh pikir.”.
Sebutan huruf ‘k’ bagi kosa kata ‘kecil’ dan huruf ‘f’ bagi kosa kata ‘fikir’ tidak disebut dengan betul. Selain itu, PK 1 dan PK 2 turut berada pada tahap lemah dengan skor (2) bagi konstruk kefasihan kerana semasa menjawab ujian mereka lemah dan tidak fasih, tidak petah dan tidak lancar untuk berbahasa Melayu sepenuhnya. Peserta kajian diberi tahap penguasaan rendah pada aspek ini kerana meraka banyak menggunakan istilah dan kosa kata bahasa Inggeris ketika ujian.
Konstruk terakhir yang dinilai semasasa ujian bertutur ialah aspek bermakna. Konstruk bermakna bermaksud ayat dan bahasa yang digunakan oleh peserta kajian mestilah bermakna.
Dapatan menunjukkan PK 1 dan PK 2 mendapat skor (3) kerana kebanyakan pengucapan mereka tidak mencapai maksud, kurang tepat dan kurang bertatasusila. Oleh itu, mereka berada pada tahap penguasaan kemahiran bertutur kurang memuaskan bagi aspek bermakna. Contoh perkataan kurang bermakna yang digunakan oleh PK 1 ialah “ Saya ok dengan lagu English.”.
Perkataan ‘ok dengan’ tidak memberi makna yang jelas kepada pertanyaan ‘Awak suka dengar lagu Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris?’. Jawapan PK 2 yang menunjukkan ayat yang digunakan kurang bermakna ialah “Tak bagus untuk student..”. Perkataan ‘tak bagus’ yang digunakan oleh PK 2 dalam ayat ini kurang bermakna dan kurang sesuai.
Selain itu, PK 1 dan PK 2 tidak menunjukkan penguasaan kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka sering kali menjawab soalan dengan menggunakan istilah Bahasa Inggeris contoh perkataan dan ayat yang digunakan PK 1 ialah “ I don’t know anymore ..” dan PK 2 turut menggunakan istilah seperti “..suka dancing and singing.”. Hal ini menunjukkan PK 1 dan PK 2 tidak menguasai kosa kata bahasa Melayu sehingga menyebabkan mereka lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris walaupun semasa mengambil ujian bertutur bahasa Melayu.
4.1 Analisis Meneroka Masalah Dalam Kemahiran Bertutur Oleh Murid Sekolah Rendah di Bandar
Pengkaji telah menjawab objektif kedua kajian dengan menganalisis teks transkripsi Ujian Bertutur UPBM_SR. Berdasarkan transkripsi tersebut pengkaji telah membahagikan kepada empat subtema yang memberi pengaruh kepada penguasaan kemahiran bertutur PK 1 dan PK 2 dalam bahasa Melayu. Subtema tersebut ialah pengaruh keluarga dan rakan sebaya, pengaruh media elektronik, pengaruh bahan bacaan dan pengaruh persekitaran.
Jadual 3 menunjukkan masalah yang menyebabkan peserta kajian mempunyai masalah dalam menguasai kemahiran bertutur dengan baik. Terdapat lima pengaruh yang menyebabkan peserta kajian mempunyai masalah dalam kemahiran bertutur iaitu pengaruh keluarga dan rakan sebaya, pengaruh media elektronik, pengaruh bahan bacaan, pengaruh persekitaran dan pengaruh bahasa Inggeris. Lima pengaruh ini telah dikenal pasti semasa pelaksanaan Ujian Bertutur UPBM_SR (Bahasa Melayu) terhadap peserta kajian.
Jadual 2: Meneroka Masalah dalam Kemahiran Bertutur
Subtema PK 1 PK 2
Pengaruh Keluarga dan Rakan Sebaya
“I selesa cakap BI because my family and friend talk in English all the
time.”
“.. sebab I cakap English dengan my mom and family.”
Pengaruh Media Elektronik
“Saya suka dengar lagu English.” “I dengar lagu English jer cikgu. Lagu melayu sikit jer.”.
Pengaruh Bahan Bacaan “Saya selalu bace buku Bahasa Inggeris.”
“I suka baca komik BI.”
Pengaruh Persekitaran - “I tinggal dekat Ampang dengan nenek dan ayah.”
- “Saya duduk kat Damansara”
Pengaruh Bahasa Inggeris
“..I cannot understand when cikgu ajar sebab I don’t know malay word a
lot.”
“..dan adik so total 3 orang include saya.”
Subtema pertama iaitu pengaruh keluarga dan rakan sebaya yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi apabila bertutur dengan PK 1 dan PK 2 telah menyebabkan
mereka tidak dapat menguasai kemahiran bertutur dengan baik. Data menunjukkan PK 1 dan PK2 menggunakan bahasa Inggeris semasa bertutur disebabkan oleh pengaruh ahli keluarga mereka semasa berada di rumah. PK 1 “.. sebab I cakap English dengan my mom and family.”
dan PK 2 “.. sebab I cakap English dengan my mom and family.” Tambahan lagi, kedua-dua PK juga tidak menggunakan bahasa Melayu apabila berbual dengan rakan sebaya menyebabkan BM mereka sangat lemah.
Seterusnya, pengaruh media elektronik turut menjadi faktor PK 1 dan PK 2 mempunya masalah dalam kemahiran bertutur. Pengaruh media elektronik seperti mendengar lagu menyebabkan isitilah BM peserta kajian tidak banyak kerana PK1 dan PK2 tidak gemar mendengar lagu dalam bahasa Melayu. Mereka lebih suka mendengar lagu bahasa Inggeris. Berikut merupakan data yang diperoleh membuktikan PK 1 dan PK 2 mendengar lagu dalam bahasa Inggeris.
Peserta kajian 1 “Saya suka dengar lagu English.” dan PK 2 “I dengar lagu English jer cikgu.
Lagu melayu sikit jer.”.
Selain itu, pengaruh bahan bacaan PK 1 dan PK 2 semasa berada di rumah dan di sekolah turut menyebabkan kemahiran bertutur BM mereka sangat lemah. Kurang membaca bahan bacaan buku cerita bahasa Melayu oleh PK 1 dan PK 2 telah menjadi faktor penguasaan bahasa Melayu mereka sangat lemah dan tidak memahami istilah dan kosa kata bahasa Melayu. Data menunjukkan PK 1 “Saya selalu bace buku Bahasa Inggeris.” dan PK 2 “I suka baca komik BI.” menyebabkan kemahiran bertutur BM mereka tidak dapat ditingkatkan.
Data turut menunjukkan bahawa PK 1 dan PK 2 tidak menguasai bahasa Melayu dengan betul kerana mereka dipengaruhi dengan persekitaran yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa untuk berkomunikasi. Jadual 3 menunjukkan PK 1 dan PK 2 tinggal di kawasan bandar iaitu di Ampang dan Damansara. Data yang diperoleh daripada PK 1 ialah “I tinggal dekat Ampang dengan nenek dan ayah.” dan data daripada PK 2 pula “Saya duduk kat Damansara”. Di sini dapat dibuktikan bahawa seseorang yang tinggal di kawasan bandar lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perbualan seharian mereka.
Pengaruh penggunaan bahasa Inggeris semasa bertutur turut menjadi masalah kepada PK 1 dan PK 2 dalam menguasai kemahiran bertutur BM. Data menunjukkan PK 1 dan PK 2 sering menggunakan bahasa Inggeris semasa menjawab soalan ujian antaranya ialah PK 1 menggunakan “..I cannot understand when cikgu ajar sebab I don’t know malay word a lot.”
dan PK 2 menjawab dengan “..dan adik so total 3 orang include saya.”. Pengkaji dapat mengesan kedua-dua PK mempunyai masalah dalam mengukapkan istilah dalam BM kerana mereka lebih selesa menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, instrumen temu bual juga telah dilaksanakan terhadap PK 1 dan PK 2 bagi meneroka masalah yang dihadapi oleh mereka dalam penggunaan bahasa Melayu semasa bertutur. Jadual 4 menunjukkan data hasil daripada temu bual PK 1 dan PK 2 yang telah dijalankan oleh pengkaji dalam kajian ini.
Jadual 3: Jawapan Temu Bual Peserta Kajian Berkaitan dengan Masalah Penguasaan Kemahiran Bertutur Bahasa Melayu.
Item Soalan PK 1 PK 2
1. Adakah kamu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu? Tidak Tidak 2. Adakah kamu berminat belajar bahasa Melayu? Tidak Tidak 3. Adakah kamu memberikan tumpuan semasa dalam kelas bahasa
Melayu?
Tidak Tidak
4. Adakah kamu sentiasa menyiapkan kerja rumah bahasa Melayu? Tidak Tidak
5. Adakah kamu suka mata pelajaran bahasa Melayu? Tidak Tidak 6. Adakah kamu tertarik dengan mata pelajaran bahasa Melayu Ya Ya
Berdasarkan jadual 3 di atas peserta kajian 1 dan peserta kajian 2 menyatakan jawapan ‘tidak’
kepada 5 soalan daripada 6 soalan yang dikemukan, hanya satu soalan sahaja yang PK 1 dan PK 2 menyatakan ‘ya’ semasa soalan temu bual diajukan kepada mereka. Lima soalan yang mendapat jawapan negatif daripada PK 1 dan PK 2 ialah “Adakah kamu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu?”, “Adakah kamu berminat belajar bahasa Melayu?”, “Adakah kamu memberikan tumpuan semasa dalam kelas bahasa Melayu?”, “Adakah kamu sentiasa menyiapkan kerja rumah bahasa Melayu?” dan “Adakah kamu suka mata pelajaran bahasa Melayu?”. Manakala PK 1 dan PK 2 hanya memberi respons positif terhadap soalan “Adakah kamu tertarik dengan mata pelajaran bahasa Melayu”. Berdasarkan kesemua respons jawapan yang diberikan oleh peserta kajian menunjukkan mereka mempunyai masalah dari aspek minat dan sikap terhadap PdPC bahasa Melayu yang menyebabkan mereka tidak menguasai kemahiran bertutur dengan baik.
Secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa penguasaan kemahiran bertutur PK 1 dan PK 2 berada pada tahap lemah dan telah dipengaruhi oleh beberapa masalah seperti pengaruh keluarga dan rakan sebaya, pengaruh media elektronik, pengaruh bahan bacaan, pengaruh persekitaran dan juga pengaruh penggunaan bahasa Inggeris semasa bertutur telah menyebabkan mereka sukar untuk menguasai kemahiran bertutur dalam BM dengan baik. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pengaruh tersebut serta minat dan sikap mereka yang tidak menyukai BM telah menyebabkan PK 1 dan PK 2 tidak mampu menguasai BM dengan baik.
5. Perbincangan
Berdasarkan hasil dapatan, kajian ini dilaksanakan bagi melihat penguasaan kemahiran bertutur murid sekolah rendah di bandar. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran bertutur murid di kawasan bandar serta masalah dan faktor yang menyebabkan murid tidak menguasai kemahiran bertutur dengan baik. Terdapat banyak faktor dan masalah yang menyebabkan peserta kajian tidak dapat menguasai kemahiran bertutur dengan baik.
5.1 Tahap Penguasaan Kemahiran Bertutur Murid Sekolah Rendah Di Bandar.
Terdapat lima peringkat yang menunjukkan tahap penguasaan kemahiran bertutur murid berdasarkan skor dan kriteria yang terdapat dalam Ujian Bertutur UPBM_SR. Data kajian menunjukkan PK 1 dan PK 2 berada tahap lemah dan tidak memuaskan semasa menjalani Ujian Bertutur UPBM_SR (Bahasa Melayu) kerana mereka sering menggunakan bahasa Inggeris semasa PdP bahasa Melayu telah menyebabkan penguasaan kosa kata mereka sangat lemah.
Kekurangan penguasaan kosa kata dan tatabahasa dalam BM menyebabkan PK1 dan PK2 tidak berminat untuk meneruskan topik PdPC apabila mereka tidak faham dengan istilah yang digunakan oleh guru. Mereka lebih cenderung untuk belajar apa yang mereka sudah tahu.
Pengetahuan dan pemahaman istilah bahasa Melayu yang sedikit menyebabkan murid menggunakan istilah bahasa Inggeris semasa bertutur. Nora’Azian dan Fadzilah (2018) mendapati bahawa gangguan bahasa ibunda merupakan faktor yang menyebabkan murid bukan penutur natif melakukan kesalahan dalam pembelajaran.
Selain itu, PK 1 dan PK 2 turut mempunyai masalah dalam sebutan, intonasi dan nada semasa bertutur menggunakan bahasa Melayu ketika ujian dilakukan. Hal ini terjadi disebabkan peserta kajian tidak biasa menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan seharian mereka.
Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu setiap hari dapat meningkatkan sebutan dan intonasi apabila bertutur dalam BM.
Kajian juga menunjukkan PK 1 dan PK 1 sering menggunakan istila bahasa Inggeris apabila ingin menjawab soalan yang diutarakan. Hal ini terjadi kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan terhadap istilah bahasa Melayu yang sesuai dengan apa yang ingin disampikan oleh mereka. Kesan daripada masalah tersebut menyebabkan kedua-dua PK tidak boleh bertutur dengan baik dan bahasa serta intonasi yang digunakan tidak tepat dan tidak betul.
Bagi konstruk ketiga iaitu PK 1 dan PK 2 tidak fasih dalam menyebut perkataan dan kosa kata BM. Mereka teragak-agak untuk menggunakan bahasa Melayu semasa bertutur kerana tidak dapat menyebutnya dengan lancar. Oleh itu, mereka tidak mampu untuk menjawab ujian bertulis dengan sebaik mungkin. Seterusnya, dapatan menunjukkan PK 1 dan PK 1 sering menggunakan kosa kata yang tidak terlalu bermakna atau tidak mengetahui makna sebenar istilah yang digunakan. Oleh sebab itu, struktuk ayat yang dihasilkan tidak betul dan mempunyai banyak kesalahan dari segi makna dan struktur ayat.
5.2 Meneroka Masalah Dalam Kemahiran Bertutur Oleh Murid Sekolah Rendah di Bandar.
Hasil kajian mendapati terdapat lima masalah yang dihadapi oleh PK 1 dan PK 2 dalam usaha untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Antara masalah yang dikenal pasti berdasarkan kajian ini ialah pengaruh ahli keluarga dan rakan sebaya, pengaruh media elektronik, pengaruh bahan bacaan, pengaruh persekitaran dan pengaruh penggunaan bahasa Inggeris. Pengaruh tersebut telah menyebabkan masalah kemahiran bertutur murid meningkat dan sukar untuk dibendung.
Bahasa pertuturan yang digunakan oleh murid semasa berada di rumah telah mempengaruhi kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu murid. Murid-murid yang menggunakan bahasa Inggeris semasa berbual dengan ahli keluarga dan rakan sebaya telah menyebabkan mereka tidak yakin untuk bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris. Kajian menunjukkan PK 1 dan PK 2 sering menggunakan bahasa Inggeris semasa bersama keluarga di rumah manakala mereka juga menggunakan bahasa Inggeris ketika berada di sekolah bersama dengan rakan-rakan sebaya. Oleh sebab itu, kesan yang dapat dilihat berdasarkan dapatan ini ialah peserta kajian tidak berupaya untuk bertutur dalam BM dengan yakin dan baik.
Seterusnya, kajian juga mendapati pengaruh media elektronik juga telah menyebabkan peserta kajian tidak menguasai bahasa Melayu. Hal ini dapat dibuktikan dengan data yang diberi ditunjukkan bahawa PK 1 dan PK 2 lebih gemar mendengar lagu bahasa Inggeris jika dibandingkan dengan lagu bahasa Melayu. Data menunjukkan PK 2 hanya mengetahui sedikit sahaja info tentang lagu bahasa Melayu. Jika a=hal ini tidak dibendung tidak mustahil generasi akan datang tidak menghargai bahasa kebangsaan kita tetapi lebih mengagungkan bahasa asing.
Selain itu, data turut menunjukkan PK 1 dan PK 1 mendapat pengaruh daripada pembacaan buku bahasa Inggeris kerana mereka tidak suka dan kurang membaca buku cerita dalam bahasa Melayu. Perkara ini secara tidak langsung menyebabkan perkembangan bahasa Melayu dalam
diri mereka terbantut dan tidak meluas. Seperti yang kita maklum bahan bacaaan merupakan pengaruh besar dalam membimbing murid mempelajarai sesuatu bahasa. Murid-murid boleh memperbanyakkan kosa kata bahasa Melayu sekiranya mereka memilih untuk membaca bahan bacaan seperti buku cerita Bahasa Melayu.
Penyataan ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Anis Farhana, et. Al (2019) yang menegaskan untuk melahirkan sikap membaca yang positif dalam kalangan murid-murid, ibu bapa merupakan watak yang penting dalam menyemai semangat suka membaca dalam diri anak-anak semasa di rumah. Kajian meraka juga menunjukkan bahawa murid-murid belajar membaca sejak dari kecil dengan tunjuk ajar dan bimbingan daripada ibu dan bapa. Oleh itu, peranan ahli keluarga sangat penting dalam memastikan murid-murid dapat menguasai kemahiran bertutur dalam BM dengan kaedah membaca buku bahasa Melayu dari peringkat awal lagi. Haizah & Norazana (2022) dalam kajian menjelaskan bahawa persekitaran memainkan peranan penting dalam pembelajaran kemahiran bahasa. Hal ini dapat dikaitkan dengan dapatan kajian ini yang menunjukkan persekitaran PK 1 dan PK 2 yang tinggal di kawasan bandar lebih cenderung untuk berkomunikasi dan bertutur dengan masyarakat sekeliling menggunakan bahasa Inggeris.
5.3 Cadangan
5.3.1 Cadangan Terhadap Guru
Para guru dicadangkan supaya mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran supaya murid- murid dapat menunjukkan minat mereka untuk mempelajari bahasa Melayu dengan mudah.
Dengan penerapan elemen kecindan dan didik hibur juga secara tidak langsung dapat menarik minat murid untuk menyertai aktiviti PdPC pada sesi pembelajaran tersebut agar murid lebih berani untuk bertutur untuk memberikan respons.
Selain itu, pendidik perlu mempelbagaikan alternatif baharu ketika mengajar kemahiran bertutur agar murid mempunyai minat menyertai pembelajaran sama ada semasa di sekolah ataupun ketika berada di di rumah. Guru boleh mencuba membuat rakaman video pdp agar dapat ditunjukkan kepada murid dengan menggunakan pelbagai jenis suara yang boleh ditiru sesuai dengan tahap pelajar tersebut agar berminat untuk bertutur menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan seronok. Tambahan lagi murid terdedah dengan teknologi yang membawa ke arah pembelajaran abab ke- 21 dan membuatkan PdPC lebih menarik.
5.3.2 Cadangan Terhadap Pihak Sekolah
Pihak sekolah juga diharapkan membuat pelbagai jenis program dan aktiviti yang boleh membantu murid-murid yang lemah dalam kemahiran asas bahasa Melayu terutamanya kemahiran bertutur. Hal ini kerana kemahiran bertutur sangat penting bagi memastikan murid- murid dapat berkomunikasi dengan baik dan bertutur dengan lancar. Bahasa Melayu sangat penting kerana ianya merupakan bahasa rasmi negara kita. Oleh itu, pihak sekolah perlu memandang serius masalah murid yang tidak menguasai kemahiran bertutur dengan baik.
Seterusnya, untuk mengatasi masalah atau isu yang timbul semasa pengajaran kemahiran bertutur di dalam pengajaran dan pembelajaran agar tiada murid yang terciri dalam pelajaran.
Oleh itu, pihak sekolah perlu merancang untuk menubuhkan kumpulan guru yang perlu menyelidik masalah yang sering dihadapi oleh murid sekiranya mereka tidak mencapai penguasaan kemahiran asas dengan baik.
5.3.3 Cadangan Terhadap PPD dan KPM
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia harus memberi pendedahan tentang kepentingan menguasai tiga kemahiran asas iaitu kemahiran membaca, kemahiran menulis dan kemahiran bertutur. Pelbagai kempen kesedaran yang boleh dilakukan dari pihak KPM agar semua masyarakat cakna tentang kepentingan bahasa Melayu.
Selain itu, pihak KPM perlu menyediakan kemudahan fasiliti dan prasarana untuk membantu guru agar sesi PdPC berjalan dengan lancar. Antara kemudahan yang perlu disediakan oleh pihak KPM ialah alat bantu mengajar yang sesuai dengan situasi zaman kini yang penuh dengan teknologi moden seperti telefon pintar dan kemudahan talian internet untuk memberi kemudahan kepada guru dan murid mengakses maklumat yang berkaitan dengan topik pembelajaran. Hal ini kerana peranti teknologi yang berada di sekolah sudah rosak atau tidak berfungsi dengan efektif. Manakala akses internet yang dibekalkan ke setiap sekolah tidak mencukupi dan tidak boleh dicapai semua sudut dalam kawasan sekolah.
Rumusan
Kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu merupakan salah satu kemahiran yang boleh diamalkan dalam setiap keluarga bagi memastikan anak-anak dapat menguasai kemahiran ini sejak dari kecil lagi. Hasil pertuturan menggunakan bahasa Melayu secara konsisten secara tidak langsung mampu memberi pengetahuan yang luas kepada murid-murid. Pertuturan dua hala perlu dilakukan seperti bertutur untuk berkongsi cerita apa yang telah dibaca merupakan sebagai satu dorongan walaupun dalam medium yang berbeza sama ada digital mahupun bercetak menggunakan bahasa Melayu. Keadaan tersebut bukan sahaja mewujudkan satu persekitaran yang harmoni dalam sesebuah keluarga tetapi juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Pengkaji turut berharap agar pengkaji akan datang dapat membuat kajian berkaitan dengan penguasaan kemahiran bertutur dengan lebih meluas lagi dan menggunakan peserta kajian yang ramai untuk memastikan murid-murid mendapat manfaat yang berguna dan boleh meningkatkan penguasaan kemahiran bertutur dalam kalangan murid sekolah rendah khususnya.
Rujukan
Anis Farhana Mohd Kassim, Azlina Mohd Khir & Mohd Ziyad Afiq Zaharin.( 2019). Motivasi Membaca, Persekitaran Membaca di Rumah dan Sikp Membaca dalam kalangan Pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), Volume 4, Issue 6, (page 92 - 100).
Azani Ismail @ Yaakub, Azman Che Mat & Mat Taib Pa. (2012). Membina Kemahiran Pertuturan Menerusi Aktiviti Lakonan Dalam Pengajaran Bahasa Arab. GEMA Online™
Journal of Language Studies 325 Volume 12(1).
Abdul Rasid Jamian & Zulkafli Abu Zarin.(2008). Keupayaan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid sekolah rendah kebangsaan luar bandar. Kertas kerja di Konvensyen Pendidikan Nasional 2008. Universiti Pendidikan Sultan Idris. 2 – 4 Jun.
Abdul Rasid Jamian. (2021). Permasalahan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 1.1: 1-12.
Azani Ismail @ Yaakub. Azman Che Mat & Mat Taib Pa. (2012). Membina Kemahiran Pertuturan Menerusi Aktiviti Lakonan Dalam Pengajaran Bahasa. GEMA Online®
Journal of Language Studies. 12(1), 325-337.
Bailey, K.M. (2005). Speaking. New York: McGraw-Hill
Brown Donald. E.(2004). Human universals, human nature & human culture. Daedalus, 133(4), 47-54.
Brown, John Seely, and Paul Duguid. (2001). Knowledge and organization: A social-practice perspective. Organization science 12, no.2: 198-213.
Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abd Rahman. (2008). Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Menulis di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEL). Vol. 1, Bil. 1 (Mei 2011):
67-87.
Chew Fong Peng & Abdul Jalil Othman. (2016). Pengabaian Kemahiran Mendengar dan Bertutur dalam Bilik Darjah di Sekolah Menengah: Punca, Masalah dan Kesannya di Malaysia. Sosiohumanika, 1(1).
Chew Fong Peng &. (2016). Masalah Pembelajaran Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Cina Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEL). Vol. 6, Bil. 2 (Nov. 2016): 10-22.
Chiong, H.A., Fan, P.S. (2019). A study of current situation and problems of teaching Mandarin in Malaysian. Jurnal of Han Jiang, (1), 223-246
Corder, S.P. (1981). Error Analysis and Interlanguage. London: O xford Univer sity Press.
Creswell, J.W.(2008). Research design: Quantitative, and mixed methods approaches. London:
Sage Publications.
Chua Yan Piaw. (2014). The effects of humor cartoons in a series of bestselling academic books. Humor - International Journal of Humor Research. 27(3), 499–520.
Eng Li Yin. (2021). The effects of project based learning in mandarin language speaking skill.
EDUCATUM Journal of Social Sciences, 7(2), 34-44.
https://doi.org/10.37134/ejoss.vol7.2.4.2021
Esmail, Z.B & Tayebe, S.(2017). The effect of project based learning (pbl) on the components of speaking ability of Iranian EFL beginner learners. Journal of Applied Linguistics and Language Research, Volume 4, 119-130.
Fadzilah Abd Rahman, Zuraini Jusoh & Norazlina Mohd Kiram. (2016). Kesesuaian item kemahiran mendengar Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM©). International Conference on Education and Regional Development 2016 (ICERD 2016). Cross Cultural Education for Sustainable Regional Development Bandung, Indonesia.
Gan, Z. (2012). Understanding L2 Speaking Problems: Implications for ESL Curriculum Development in a Teacher Training Institution in Hong Kong. Australian Journal of Teacher Education. 37(1), 42-59.
Haizah Bukhari & Norazana Awang Kechik. (2022). Pengaruh Bahasa Ibunda Terhadap Kemahiran Bertutur Dalam Kalangan Murid India Di Sebuah Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu.
Juwairiah Osman, Jamilah Bebe Mohamad, Anis Nabilla Ahmad & Jamal Rizal Razali. (2018).
Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu Dalam Kalangan Pelajar Antarabangsa Di Universiti Malaysia Pahang. PENDETA Journal of Malay Language, Education and Literature Jilid 9, / 61-79.
Khairul Nizam Mohamed Zuki. (2017). Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan murid berbangsa Bajau. Inernational Journal of Humanities and Social Science Invention, 6 (10): 1-11.
Mahyuddin, Rahil and Lope Pihie, Zaidatol Akmaliah and Elias, Habibah and Konting, Mohd Majid. (2004). The incorporation of thinking skills in the school curriculum. Kajian Malaysia, 22 (2). pp. 23-33.
Muhammad Tanveer. (2007). Investigation of the factors that cause language anxiety for ESL/EF learners in learning speaking skills and the influence it casts on communication in the target language. University of Glasgow, Scotland.
Murad, Tareq. (2007). Analysis Of The Cultural Aspects In Results For Four Points Textbook. 2 EtaI NEwS: 23.
Naimah, A., & Aini, A. (Cartographer). (2005). Kajian tentang persepsi pelajar UiTM terhadap kepentingan bahasa ketiga di UiTM.
Nor’Azian Nahar & Fadzilah. (2018). Tahap penguasaan kemahiran bertutur Bahasa Melayu dalam kalangan penutur bukan penutur natif. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 8 (1), 74 -83.
Nor’Azian Nahar. (2020). Hubungan Profesiensi bahasa Melayu dengan Pencapaian akademik Murid bukan Penutur natif di Sekolah Jenis Kebangsaan. Jurnal Bahasa, 20(2), 287‒316.
Noraini Idris. (2013). Penyelidikan dalam pendidikan. Shah Alam: McGraw-Hill Education Punitha Vathi Muniandy, Abdul Jalil Othman & Sharir Jamaluddin. (2017). Kesan Kemahiran
Bertutur Dalam Bahasa Malaysia Secara Kaedah Pembelajaran Informal Dalam Kalangan Penutur Asing Dewasa: Satu Pandangan Pembelajaran Berterusan. Jurnal Kurikulum &
Pengajaran Asia Pasifik. Bil. 5, Isu 4.
Rohaida Mazlan, Norziah Amin, Mohd Zaki Abd. Rahman & Zamri Mahamod. (2020). Tahap Penguasaan Membaca dan Menulis Murid B40 dari Perspektif Guru Bahasa Melayu.
Siti Zamrah Isa. (2015). Penguasaan Lisan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar
Prauniversiti. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Universiti Putra Malaysia. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ). Vol.
10, Bil. 2 (Nov. 2020): 54-73
Zamri Mahamod. (2021). Psikolinguistik dan Pengajaran Bahasa. Cetakan Keempat. Bangi:
Penerbitan Fakulti Pendidikan , Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zamri Mahamod. (2022b). Penulisan Akademik: Teori dan Amalan. Edisi Kedua. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zamri Mahamod, Rohaida Mazlan, NorziahAmin, & Mohd Zaki Abd. Rahman. (2021). Tahap Penguasaan Kemahiran Membaca dan Menulis Murid-Murid B40 dalam Pembelajaran
Bahasa Melayu. PENDETA: Journal of Malay Language, Education and Literature, 12(1), 40-62. https://doi.org/10.37134/pendeta.vol12.1.4.2021