• Tidak ada hasil yang ditemukan

Prosiding Kolokium Siswazah FEP 2019 - UKM

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Prosiding Kolokium Siswazah FEP 2019 - UKM"

Copied!
14
0
0

Teks penuh

(1)

i

PROSIDING KOLOKIUM SISWAZAH FEP 2019 (VOLUME 3) /

PROCEEDINGS OF POSTGRADUATE COLLOQUIUM FEP 2019 (VOLUME 3)

ISBN: 978-983-99223-8-7 2019

DITERBITKAN OLEH / PUBLISHED BY SEKRETARIAT SISWAZAH

FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

DICETAK OLEH / PRINTED BY PENERBIT UKM

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

(2)

ii Cetakan Pertama / First Printing 2019

Hak Cipta/ Copyright---Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Hak cipta terpelihara. Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada

dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM terlebih dahulu.

All rights reserved. No part of this publication may be reproduced or transmitted in any form or by any means, electronic or mechanical, including photocopy, recording, or any information storage and retrieval system, without permission in writing from the Faculty of Economics and Management UKM.

Diterbitkan di Malaysia oleh / Published in Malaysia by SEKRETARIAT SISWAZAH

FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN UKM 43600 UKM BANGI, Selangor D.E, Malaysia

http://www.ukm.my/fep

Perpustakaan Negara Malaysia Data-Pengkatalogan-dalam-Penerbitan Cataloguing-in-Publications Data

Prosiding Kolokium Siswazah FEP 2019

(3)

iii KOLOKIUM SISWAZAH FEP

Kolokium Siswazah FEP merupakan aktiviti dianjurkan setiap semester oleh Sekretariat Siswazah FEP dengan kerjasama Persatuan Siswazah FEP, UKM.

Kolokium Siswazah merupakan satu platform terbaik untuk melatih pelajar siswazah melakukan pembentangan penyelidikan serta berinteraksi secara terbuka dalam menyampaikan idea dan bertukar pandangan serta maklumat balas. Prosiding Kolokium Siswazah FEP 2019 dikeluarkan dalam tiga (3) Volume hasil gabunagn pembentangan Kertas Prosiding pelajar Sarjana Ekonomi dan Sarjana Ekonomi Islam.

Gabungan Kertas Prosiding yang dihasilkan melalui penganjuran Kolokium Siswazah Semester 1 Sesi 2018/2019 bertarikh 19 Disember 2018 dan Semester 2 Sesi 2018/2019 bertarikh 25 Jun – 26 Jun 2019.

Sekretariat Siswazah

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Universiti Kebangsaan Malaysia

(4)

iv SIDANG EDITOR 2019 / EDITORIAL BOARD 2019

Prof. Madya Dr. Fathin Faizah Said (KETUA EDITOR) Prof. Madya Dr. Noorasiah Sulaiman

Prof. Madya Dr. Mariani Abd Majid Dr. Wye Chung Khain

Dr. Mohd Nasir Mohd Saukani Dr. Nor Shamliza Chamhuri Dr. Lai Wei Sieng

Dr. Hairunnizam Wahid Dr.Mohd Adib Ismail Dr. Riayati Ahmad Dr. Suhaili Al-Ma’amun

Dr. Mohd Hafizudin Syah Bangaan Abdullah Dr. Nafisah Mohammed

URUSETIA 2019

Pn. Siti Nora Mhd Isa

Pn. Noorsyam Noordin

Pn. Rosidah Satari

(5)

v KANDUNGAN

Kandungan v

1 Perekodan Hasil dan Belanja menurut Perspektif Islam: Satu Kajian Kitab-kitab Perakaunan Semasa di Timur Tengah

Siti Nur Syakirah Shamsul Bahrin, Hairunnizam Wahid, Norida Basnan

1 – 13

2 Potensi Penggunaan Dinar Emas di Malaysia

Nur Nabilah Badarus Salleh, Mohd Ali Mohd Noor, Mohd Adib Ismail

14 – 30

3 Indeks Pembangunan Manusia: Pendekatan Konsep Maqasid Syariah Islam

Muhammad Iqbal Mohd Safri, Mohd Ali Mohd Noor

31 – 50

4 Analisis Perbandingan Kriteria Saringan Sekuriti Patuh Syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Dow Jones Islamic Market Index Wan Norhaniza Wan Hasan, Hairunnizam Wahid

51 – 64

5 Cadangan Piawaian Patuh Syariah Terhadap Pembinaan Rumah:

Kajian Program Perumahan Rakyat di Malaysia Mohd Al-Imran Mohd Tawil, Hairunnizam Wahid

65 - 77

6 Pengurusan Risiko di Tempat Kerja Khairunisa Juhaizat, Rubayah Yaakob

78 - 92

7 Market Risk in Conventional and Islamic Banks: A Systematic Literature Review

Nur Syakirah Mustapha Kamal, Aisyah Abdul Rahman, Syajarul Imna Mohd Amin

93 – 115

8 Comparison of Determinants Between Islamic And Conventional Banks of Insolvency Risk : Systematic Literiture Review

Norfa’izah Abu Kassim, Aisyah Abdul Rahman, Syajarul Imna Mohd Amin

116 - 139

9 Determinants of Operational Risk : A Systematic Review Nur ‘Aqilah Najiah Shamsul Anuar, Aisyah Abdul Rahman, Syajarul Imna Mohd Amin

140 – 158

10 Determinants of Islamic and Conventional Capital Structure: A Systematic Review

Wardah Al-Hamra’ Kamaruzaman, Aisyah Abdul Rahman, Fathin Faizah Said

159 – 197

(6)

vi

11 Determinants of Credit Risk in Islamic and Conventional Banks:

Systematic Literature Review

Nuur Farani Rosli, Aisyah Abdul Rahman, Syajarul Imna Mohd Amin

198 – 228

12 Kajian Faktor Penerimaan Sistem Pajak Gadai Islam (Skim Al-Rahnu) oleh Masyarakat India dalam Menangani Masalah Kenaikan Kos Sara Hidup di Kajang, Selangor

Jayanthe A/P Balakisnan, Hairunnizam Wahid

229 – 243

13 Cryptocurrency In Economics & Finance: A Systematic Review Muhammad Afiq Farhan Mazlan, Aisyah Abdul Rahman

244 – 260

14 Aplikasi Hibah Bersyarat dan Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dalam Industri Takaful di Malaysia

Siti Haslinda Jaapar, Hairunnizam Wahid

261 – 268

15 The Effect of Ownership Structure on Altman Z Score on Takaful Operator’s Solvency in Malaysia

Asmira Hairun, Rubayah Yaakob

269 – 288

16 Faktor Penentu Permintaan Takaful di Kalangan Guru Kafa di Wilayah Persekutuan

Muhamad Firdaus Putra Abdullah, Hairunnizam Wahid

289 – 298

17 Aplikasi Penggunaan Waad dalam Kontrak Hadapan Mata Wang Asing sebagai Mekanisma Lindung Nilai dalam Perolehan Kerajaan Mohd Kyizzad Mesran, Ahmad Azam Sulaiman, Hairunnizam Wahid

299 - 313

18 Kajian Terhadap Aplikasi Ar-Rahnu dalam Memenuhi Keperluan kepada Pengguna

Khairunnisa Zulkifle, Mohd Adib Ismail, Muhammad Hakimi Mohd Shafiai

314 – 329

19 Analisis SWOT Kontrak Musyarakah Mutanaqisah dalam Pembiayaan Perumahan di Malaysia

Nor Hidayah Norulalzahar, Mohd Ali Mohd Noor

330 - 339

(7)

PROSIDING KOLOKIUM SISWAZAH FEP (2019) VOLUME 3, 261 – 268 ISBN: 978-983-99223-8-7

Prosiding Kolokium Siswazah FEP (2019) ,

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

APLIKASI HIBAH BERSYARAT DAN PENGUATKUASAAN AKTA PERKHIDMATAN KEWANGAN ISLAM 2013 DALAM INDUSTRI

TAKAFUL DI MALAYSIA

(APPLICATION OF CONDITIONAL HIBAH AND ENFORCEMENT OF ISLAMIC FINANCIAL SERVICES ACT 2013 IN TAKAFUL INDUSTRY IN MALAYSIA)

SITI HASLINDA JAAPAR

Universiti Kebangsaan Malaysia

HAIRUNNIZAM WAHID

Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Artikel ini mengkaji konsep Hibah Bersyarat serta perlaksanaan konsep tersebut sebagai satu instrumen perancangan Harta dalam Islam khususnya dalam produk Takaful. Pemakaian Hibah Bersyarat telah menjadi dasar dalam praktis pembayaran Manfaat Takaful sebagaimana yang diperincikan melalui peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI 2013). Kajian mendapati dengan penggubalan APKI 2013 perlaksanaan konsep Hibah Bersyarat telah memberikan pilihan kepada masyarakat Islam dalam pengagihan Manfaat Takaful serta kelebihan kepada produk Takaful berbanding produk Insurans Konvensional.

Kata Kunci: Hibah, Takaful, Perancangan Harta Islam, IFSA 2013

ABSTRACT

This article aims to examine the concept of Conditional Hibah and its implementation as one of the instruments for Islamic Asset Management specifically in Takaful product. The application of Conditional Hibah has become the basis in the practice of payments of Takaful Benefit as prescribed pursuant to Islamic Financial Services Act 2013 (IFSA 2013). This study found that with the formulation of IFSA 2013 the impementation of the Conditional Hibah concept has given the option to Muslim community with regards to the distribution of Takaful Benefits as well as the advantages of Takaful products as compared to Conventional Insurance product.

Keywords: Hibah, Takaful, Islamic Asset Management, IFSA 2013

PENGENALAN

Pada peringkat permulaan, kaedah perlantikan Wasi telah digunapakai dalam aspek pengagihan Manfaat Takaful. Ini bermaksud Wasi sebagai Pemegang Amanah/Pentadbir akan menguruskan Manfaat Takaful sebagai Harta Pusaka yang mesti melalui Konsep Faraid. Akan tetapi, industri Takaful kini telah mula mengaplikasikan konsep Hibah dalam pengagihan Manfaat Takaful dalamana Peserta Takaful menamakan Benefisiari sabagai Penerima Hibah yang akan menjadi Pemilik mutlak Manfaat Takaful tersebut tanpa perlu mengagihkan kepada Waris-waris yang lain mengikut Hukum Faraid.

Perlaksanaan prinsip Hibah dalam Takaful Keluarga membolehkan Peserta Takaful menyediakan Manfaat Takaful untuk diserahkan kepada Penama yang dikehendaki sekiranya berlaku musibah.

Prinsip Hibah jelasnya adalah sejajar dengan objektif Takaful sebagai landasan untuk melaksanakan amalan kebaikan dengan membantu Peserta yang mengalami musibah melalui penggunaan Dana Tabarru' (Khuzama Ab Rahman , Farah Adibah Mohd Apandi, 2016).

(8)

262 Siti Haslinda Jaapar, Hairunnizam Wahid

Hibah daripada sudut bahasa bermakna pemberian yang merangkumi hadiah dan sedekah.

Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai maksud yang hampir sama akan tetapi berbeza dari sudut tujuannya. Manakala, dari segi istilah syarak Hibah bermaksud suatu akad yang melibatkan pemberian daripada seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa sebarang balasan. Hibah terdiri daripada empat rukun iaitu Pemberi Hibah (Al-Wahib), Penerima Hibah (Al-Mauhub lahu), Harta yang dihibahkan (Al-Mauhub) dan sighah (Ijab dan Qabul) yang dilakukan semasa akad. Terdapat dua kategori Hibah iaitu Hibah Mutlak dan Hibah Bersyarat. Hibah Mutlak merupakan pemberian Harta yang berlaku semasa hidup Pemberi Hibah tanpa disertakan sebarang syarat. Harta yang diberi akan berpindahmilik serta merta dan menjadi milikan kekal kepada Penerima Hibah. Pemberi Hibah dengan itu hilang milikan dan manfaat terhadap Harta tersebut.

Manakala, Hibah Bersyarat adalah pemberian dengan tertakluk kepada syarat yang terbahagi kepada syarat ‘Umra dan Ruqba. Hibah ‘Umra adalah pemberian Harta yang dibuat bergantung kepada syarat had tempoh pemilikannya berdasarkan hayat Pemberi Hibah atau Penerima Hibah. Pengembalian milikan Harta tersebut mesti dibuat sekiranya berlaku kematian. Jika Pemberi Hibah meninggal dunia Harta tersebut perlu dikembalikan kepada Waris Pemberi Hibah. Manakala sekiranya Penerima Hibah meninggal dunia Harta tersebut perlu dikembalikan kepada Pemberi Hibah. Hibah Ruqba pula ialah pemberian dengan syarat berlaku kematian kepada salah seorang samada Pemberi atau Penerima Hibah.

Dengan kata lain, pemilikan Harta yang dihibahkan akan menjadi milikan pihak yang masih hidup.

Sekiranya Pemberi Hibah meninggal dunia terlebih dahulu maka Harta berkenaan akan menjadi milik Penerima Hibah. Jika Penerima Hibah meninggal dunia terlebih dahulu, maka Harta tersebut kekal menjadi milikan Pemberi Hibah.

Namun begitu, aplikasi hibah bersyarat ini tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh syarikat pengendali takaful di Malaysia. Ini bermakna syarikat pengendali takaful tidak mematuhi AKPI 2013 dan kesannya ialah masyarakat Islam umumnya dan pelanggan produk Takaful khususnya tidak berpeluang untuk membuat pilihan dalam kaedah pembayaran manfaat takaful kepada pelanggan yang berteraskan prinsip syariah sama ada untuk memilih cara pembayaran manfaat Takaful kepada pemegang amanah bagi diagihkan kepada waris-waris mengikut faraid atau benefisiari menurut kontrak hibah bersyarat sebagai serahan mutlak tanpa tertakluk kepada faraid. Justeru, kajian ini akan mengkaji;

(1) bilangan syarikat pengendali takaful yang melaksanakan hibah bersyarat dan tidak melaksanakan hibah bersyarat setelah AKPI 2013 diwartakan. (2) panduan pelaksanaan hibah bagi produk takaful kepada syarikat pengendali takaful oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia.

KAJIAN LEPAS

Nor Muhamad (2011) menerangkan bahawa prinsip Hibah sesuai untuk diaplikasikan dalam perancangan dan pengagihan Harta dalam Islam serta mestilah memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan syarak. Konsep Hibah yang digunapakai dalam produk Takaful boleh menjadi alternatif kepada Peserta sebagai salah satu cara mengagihkan Manfaat Takaful. Nurul Natasha, Hendon dan Rubayah (2017) telah menjelaskan bahawa Takaful dapat mendidik masyarakat untuk saling bantu membantu apabila ditimpa musibah terutama kematian, kemalangan dan sakit kritikal. Konsep Hibah yang diaplikasikan dalam industri Takaful membantu masyarakat untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik dan efisyen. Manakala Mohd Khairy dan Suhaili (2013) pula mendapati pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 memberikan kesan terhadap pengagihan manfaat Takaful khusus berkaitan penamaan dan hibah.

Pemakaian Hibah turut dijelaskan oleh Ab Rahman (2009) yang menekankan Hibah sangat digalakkan dalam Islam jika dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak di samping instrumen pengagihan Harta menurut Islam yang lain seperti faraid, wasiat dan wakaf. Pandangan mengenai konsep Hibah turut dijelaskan oleh Abdul Rashid dan Ahmad (2013) yang menjelaskan pembahagian Harta melalui Hibah adalah lebih bermanfaat dan praktikal serta menjadi alternatif kepada pengagihan Harta Pusaka selain menyediakan pengurusan Harta yang lebih mudah tanpa melalui banyak proses seperti Faraid. Jelasnya, industri Takaful kini memberi pilihan kepada Peserta untuk menggunapakai Hibah Bersyarat dalam pengagihan Manfaat Takaful kepada Penerima Hibah. Nasrul Hisyam (2017) pula berpandangan walaupun terdapat pelbagai pendapat fuqaha’ berkaitan isu Hibah Bersyarat, namun secara teorinya, kita boleh menerima mana-mana daripada pendapat mereka

(9)

Prosiding Kolokium Siswazah FEP (2019) Volume 3 263

memandangkan amalan Hibah bukan perkara yang berkaitan Akidah akan tetapi merupakan amalan Muamalat yang tidak merosakkan Akidah. Perletakan syarat termasuk syarat ‘Umra dan Ruqba selagimana bebas daripada unsur zalim serta tidak bercanggah dengan dasar syarak dan bebas daripada unsur haram boleh digunapakai.

Menurut Mohd Kamil dan Joni Tamkin (2017), penggunaan konsep Hibah Bersyarat secara dasarnya, merupakan kaedah yang mampu memenuhi matlamat asas yang lazimnya menjadi pendorong utama kepada setiap Peserta untuk menyertai polisi Takaful Keluarga, iaitu menyediakan perlindungan bagi tanggungan di bawahnya apabila berlaku kematian mengejut ke atas dirinya. Hibah Bersyarat diterimapakai atas sebab maslahah umum. Perlaksanaannya dalam produk Takaful jelasnya memudahkan pengurusan agihan Harta orang Islam di samping mengatasi masalah Harta Pusaka yang tidak dituntut (Nurul Syahirah, Noor Lizza, Mohd Zamroo & Nasrul Hisyam, 2017).

Alias, Azhar dan Muhammad Hafiz (2015) berpendapat pemakaian kontrak Hibah Bersyarat boleh disalahguna oleh Peserta bagi menafikan Waris tertentu menerima Manfaat Takaful. Namun begitu, sekiranya Manfaat Takaful dikelolakan dengan secara bersistematik dan memenuhi kehendak syarak dalam pewarisan Harta Islam, hak Waris-waris akan tetap terpelihara. Secara realitinya, praktis Hibah di Malaysia telah mula diterima sebagai satu instrumen yang berkesan dalam pengurusan harta Islam. Mohd Faiz, Nurhanani dan Joni Tamkin (2016) telah menerangkan bahawa APKI 2013 sebagai satu keputusan syariah, hasil Ijtihad daripada persetujuan majoriti pakar syariah yang dilantik dalam MPS Bank Negara Malaysia.

METODOLOGI KAJIAN

Secara keseluruhan metodologi utama yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk kajian kualitatif yang menggunakan analisis kandungan (content analysis) ke atas bahan kajian berkaitan Hibah dalam pengagihan Manfaat Takaful. Proses pengumpulan data kajian melalui pembacaan dan analisa terhadap bahan dan sumber yang berkaitan. Pendekatan yang digunakan adalah melalui kajian perpustakaan dan pembacaan jurnal, artikel ilmiah, bahan bacaan, kertas kerja seminar termasuk akta yang berkaitan iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI 2013) serta menganalisa Borang Penamaan syarikat-syarikat pengendali Takaful. Perkara yang dibincangkan dalam kajian ini melibatkan resolusi-resolusi yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan peruntukan APKI 2013 berkenaan konsep Hibah dalam pembayaran Manfaat Takaful.

HASIL KAJIAN

Merujuk Jadual 1, kajian ini menganalisis beberapa syarikat pengendali takaful di Malaysia untuk melihat sejauhmanakah syarikat tersebut melaksanakan kontrak hibah bersyarat setelah AKPI 2013 diwartakan. Hasil kajian mendapati tidak semua syarikat pengendali takaful melaksanakan hibah bersyarat iaitu sebanyak dua buah syarikat daripada 11 buah syarikat (18.2%) yang tidak melaksanakan hibah bersyarat. Ini menunjukkan msih wujud syarikat yang tidak melaksanakannya setelah AKPI 2013 diwartakan.

Kajian ini juga mengkaji panduan perlaksanaan hibah bagi produk takaful oleh MPS Bank Negara Malaysia. Satu resolusi telah diputuskan melalui Mesyuarat ke-34 bertarikh 21hb April, 2003 adalah seperti berikut:

i. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana tujuan Takaful adalah untuk memberi perlindungan kepada Peserta Takaful. Memandangkan manfaat Takaful adalah hak Peserta Takaful, maka Peserta mempunyai kebebasan untuk menggunakan hak tersebut mengikut pilihannya selagi ia tidak bercanggah dengan Syarak;

ii. Status Hibah yang digunakan dalam pelan Takaful tidak akan berubah menjadi wasiat kerana Hibah yang dibuat adalah Hibah bersyarat;

iii. Manfaat Takaful lazimnya dikaitkan dengan kematian Peserta dan tempoh matang Sijil.

Sekiranya Peserta masih hidup apabila Sijil Takaful matang, manfaat Takaful akan dimiliki

(10)

264 Siti Haslinda Jaapar, Hairunnizam Wahid

oleh Peserta. Walau bagaimanapun, jika Peserta meninggal dunia sebelum tamat tempoh matang, maka Hibah akan berkuat kuasa;

iv. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan Hibah yang dibuat sebelum tamat tempoh matang Sijil Takaful, kerana Hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabd);

v. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan Hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan manfaat yang ingin dihibahkannya itu kepada orang lain, atau membatalkan penyertaan dalam takaful jika penerimanya meninggal dunia sebelum tamat tempoh matang;

dan

vi. Borang penamaan takaful perlu menyatakan dengan jelas status penama adalah sebagai benefisiari jika niat peserta adalah hibah.

Resolusi tersebut diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dengan asas bahawa manfaat Takaful dihibahkan atas konsep Hibah Ruqba dan juga menekankan perlaksanaan Hibah Ruqba dan ‘Umra dalam Takaful adalah diterimapakai oleh sebahagian ulama semasa. Dalam hal penarikan balik Hibah, Majlis Penasihat Syariah berpendapat ia adalah diharuskan dalam 4 konteks iaitu Hibah dengan syarat boleh ditarik balik, Hibah yang belum diserahkan (qabd), Hibah yang dipulangkan oleh waris dan Hibah bapa kepada anak.

Oleh itu, penarikan balik Hibah dalam Takaful adalah diharuskan memandangkan penyerahan (qabd) hanya berlaku jika Peserta meninggal dunia atau pada tarikh matang Sijil Takaful. Peserta dengan itu boleh menarik balik Hibah sebelum dua keadaan ini berlaku. Peserta juga boleh menarik balik Hibah dalam hal Penerima Hibah meninggal dunia di mana qabd belum berlaku dan dengan itu kontrak Hibah belum sempurna.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia seterusnya dalam Mesyuarat ke-52 bertarikh 2hb Ogos 2005 telah memutuskan bahawa konsep perlindungan berkanun seperti yang diamalkan oleh insurans Konvensional boleh diterima pakai dalam industri Takaful seperti yang berikut:

i. Pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada Harta Pusaka dan tidak tertakluk kepada hutang Peserta Takaful yang meninggal dunia;

ii. Peserta Takaful boleh melantik Pemegang Amanah yang bertanggungjawab untuk manfaat Takaful. Walau bagaimanapun, Pemegang Amanah milik Kerajaan akan menjadi Pemegang Amanah manfaat Takaful tersebut dalam situasi berikut:

a. Tiada Pemegang Amanah dilantik;

b. Penama tidak kompeten untuk berkontrak; dan

c. Tiada ibu bapa Penama yang masih hidup sekiranyaPpenama tidak kompeten untuk berkontrak.

iii. Penerimaan manfaat takaful oleh pemegang amanah adalah dikira sebagai pelepasan syarikat takaful daripada semua liabiliti berkenaan dengan manfaat takaful tersebut.

Berdasarkan Resolusi ini, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia memutuskan manfaat Takaful yang telah dihibahkan tidak bertukar statusnya kepada wasiat, Harta Pusaka dan sebagainya.

Ini adalah bagi memenuhi matlamat skim Takaful itu sendiri untuk memberikan perlindungan kepada Peserta atau Penama (Penerima Hibah). Konsep perlindungan berkanun dalam insurans Konvensional dengan itu mempunyai persamaan dengan manfaat takaful yang dihibahkan serta tidak bercanggah dengan konsep Hibah Ruqba. Manfaat Takaful yang terlibat dengan kontrak Hibah kepada Penama tidak boleh dibatal, diubah, diserah dan dicagarkan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran Penama berkenaan.

MPS Bank Negara Malaysia dalam Mesyuaratnya ke-165 pada 26hb Januari 2016 seterusnya telah membuat Resolusi mengenai pemindahan hakmilik aset Hibah dengan membuat pengecualian untuk Hibah dengan syarat kematian Pemberi Hibah hanya terpakai dalam konteks Takaful sahaja.

Perkara ini adalah untuk menjamin hakmilikan manfaat Takaful kepada Penerima Hibah/Benefisiari setelah kematian Pemberi Hibah/Peserta walaupun penerimaan aset Hibah/manfaat Takaful (qabd) masih belum berlaku. Bagi mengukuhkan pengawalan dan penyeliaan industri Takaful, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI 2013) kemudiannya telah diperkenal dan dikuatkuasakan pada 30hb Jun, 2013. Akta Takaful 1984 (Akta 312) dengan itu telah dimansuhkan.

(11)

Prosiding Kolokium Siswazah FEP (2019) Volume 3 265

PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI DASAR

Melalui resolusi-resolusi yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan kemudiannya disokong dengan APKI 2013 yang diwartakan, kesemua syarikat pengendali Takaful di Malaysia telah memberikan alternatif kepada Peserta Takaful untuk memilih cara pembayaran Manfaat Takaful iaitu serahan Manfaat Takaful kepada Pemegang Amanah bagi diagihkan kepada Waris-waris mengikut Faraid atau Benefisiari menurut kontrak Hibah Bersyarat sebagai serahan mutlak tanpa tertakluk kepada Faraid sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perenggan 2 (1) jadual 10 seksyen 142 APKI 2013 jika berlaku kematian kepada Peserta Takaful terbabit. Berbanding sebelum pewartaan APKI 2013, terdapat syarikat pengendali Takaful yang tidak mempraktikkan pembayaran Manfaat Takaful melalui Hibah Bersyarat. Ini adalah kerana praktis kontrak Hibah tidak dinyatakan dengan jelas dalam perundangan bertulis di Malaysia. Hasil kajian kepada Borang Penamaan kesemua syarikat pengendali Takaful adalah seperti di Jadual1 yang telah dijelaskan sebelum ini.

Terdapat juga Syarikat Pemegang Amanah yang turut menawarkan khidmat melalui Takaful Amanah (Takaful Trust). Peserta Takaful memilih konsep Penyerahan Hak Mutlak (Absolute Assignment) dengan menamakan Syarikat Pemegang Amanah untuk mentadbir bayaran Manfaat Takaful semata-mata bagi menjamin kehendak serta arahan Peserta dan hak Waris penerima Harta Pusaka. Walau bagaimanapun, pelantikan Syarikat Pemegang Amanah jelasnya melibatkan kos tambahan kepada Peserta kerana perlu membayar fee pentadbiran tahunan dan lain-lain fee berkaitan.

Tambahan pula, berdasarkan kajian Mohd Kamil Ahmad, Joni Tamkin Borhan (2017), pembayaran Manfaat Takaful melalui kontrak Hibah tidak menjadi isu kepada hak Waris yang menerima Harta Pusaka kepada Peserta Takaful. Ini adalah disebabkan kebanyakan Peserta mempunyai Harta dan Aset lain yang jumlahnya lebih besar berbanding jumlah Manfaat Takaful. Golongan yang mempunyai kesedaran untuk menyertai produk Takaful ini majoritinya terdiri daripada mereka yang berpendapatan sederhana dan tinggi yang mempunyai kemampuan untuk membayar caruman Takaful. Praktis pembayaran Manfaat Takaful sebagaimana yang diperuntukkan dalam APKI 2013 iaitu sebagai Wasi (Pelaksana/Pentadbir) atau Benefisiari Hibah Bersyarat jelasnya telah memenuhi keperluan semasa serta telah memenuhi objektif pensyariatan hukum Islam atau maqasid al-syariah bagi mencapai maslahah asas sehinggalah maslahah tahsiniyyah yang bertujuan menjaga kehormatan manusia (Mohd Kamil Ahmad, Joni Tamkin Borhan, 2017).

Syarikat-syarikat yang menjalankan industri Takaful awalnya dikawalselia di bawah peruntukan Akta Takaful 1984 (Akta 312). Bank Negara Malaysia sejak daripada itu mengeluarkan beberapa panduan dan pekeliling bagi mengukuhkan perlaksanaan dan perundangan Takaful.

Berdasarkan peruntukan awal, Manfaat Takaful kebiasaannya dibayar kepada Penama yang bertanggungjawab membahagikan Manfaat Takaful tersebut mengikut Hukum Faraid. Dengan kata lain, Manfaat Takaful tersebut adalah merupakan Harta Pusaka Peserta yang meninggal dunia dan dengan itu tertakluk kepada pembayaran semua hutang Peserta tersebut. Dari sudut matlamat asal skim Takaful untuk menyediakan dana bantuan kepada keluarga Peserta yang meninggal dunia dengan itu tidak dapat dipenuhi.

Seksyen 142, APKI 2013 menyatakan peruntukan Jadual 10 sebagai garispanduan terperinci bagi urusan pembayaran manfaat Takaful dalam kes kematian Peserta di bawah Sijil Takaful Keluarga dan Sijil Takaful Kemalangan Diri. Perenggan 2(1), Jadual 10, APKI 2013 menyebut peruntukan mengenai kuasa untuk membuat penamaan. Terdapat dua kaedah yang dinyatakan iaitu menamakan individu untuk menerima manfaat Takaful sebagai seorang Wasi atau sebagai Benefisiari di bawah Hibah bersyarat. Dalam hal Penama sebagai Benefisari di bawah Hibah bersyarat, Perenggan 3(2), Jadual 10, APKI memperuntukkan kesan memindahkan pemilikan manfaat Takaful kepada Penama tersebut yang mesti dibayar kepadanya atas kematian Peserta Takaful. Manfaat Takaful yang dipindahmilik kepada Penama tersebut tidak menjadi sebahagian daripada Harta Pusaka dan tidak tertakluk kepada hutang Peserta Takaful.

Menurut peruntukan Perenggan 4(1), Jadual 10, APKI, penamaan yang dibuat adalah terbatal sekiranya :-

(i) Penama meninggal dunia semasa tempoh hayat Peserta Takaful ;

(ii) Peserta Takaful memberikan notis bertulis kepada Pengendali Takaful ; atau

(12)

266 Siti Haslinda Jaapar, Hairunnizam Wahid

(iii) ada penamaan terkemudian dibuat.

Manakala, Penama yang dinamakan sebagai Wasi, peruntukan Perenggan 6(2), Jadual 10, APKI 2013 menyatakan Penama tersebut hendaklah membahagikan manfaat Takaful mengikut wasiat Peserta atau mengikut prosedur undang-undang pembahagian Harta Pusaka berdasarkan Hukum Faraid yang turut tertakluk kepada hutang Peserta yang meninggal dunia itu. Jelasnya, APKI 2013 telah memperuntukkan undang-undang terperinci dengan menguatkuasakan Resolusi-resolusi yang telah dikeluarkan oleh Majllis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia. APKI 2013 secara tidak langsung menggalakkan Peserta Takaful membuat penamaan dan dengan ini memudahkan Pengendali Takaful menyerahkan manfaat Takaful setelah berlakunya kematian Peserta Takaful. Bantuan segera dapat diberikan kepada waris-waris bagi meringankan beban yang dihadapi (Mohd Khairy Kamarudin, Suhaili Alma’amun, 2013).

Berdasarkan hasil kajian, melalui penggubalan APKI 2013 jelas menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia sangat menitikberatkan Institusi-institusi yang menyediakan perkhidmatan kewangan Islam agar mematuhi kehendak Shariah. Kegagalan Institusi-institusi tersebut untuk berbuat demikian merupakan suatu kemungkiran dan boleh dihukum di bawah APKI (Mohammad Azam Hussain, Rusni Hassan, Aznan Hasan, 2015). Seksyen 142, APKI 2013 memperuntukkan Garis Panduan bagi pembayaran Manfaat Takaful di bawah Sijil Takaful Keluarga dan Sijil Takaful Kemalangan Diri diperincikan dalam Jadual 10 dengan memberikan kebenaran kepada Peserta Takaful untuk membuat pilihan sama ada melantik Penama sebagai Wasi atau sebagai Penerima Hibah. Secara tidak langsung, pengendali Takaful dibenarkan untuk menawarkan kontrak Hibah Bersyarat walaupun perkara tersebut tidak disepakati oleh ulama’-ulama’ fiqh. Seksyen 29 (1) APKI 2013 memberikan kuasa kepada Bank Negara Malaysia dalam menentukan standard mengenai perkara Shariah dengan mengikut nasihat atau keputusan Majlis Penasihat Shariah dan memberi kesan kepada nasihat atau keputusan Majlis Shariah tersebut.

Perenggan 2(4), Jadual 10, APKI 2013 memberikan penekanan kepada aspek penyediaan Borang Penamaan di mana pengendali Takaful mesti mempamerkan secara jelas dalam borang tersebut pilihan penyerahan Manfaat Takaful samada sebagai Wasi atau sebagai Benefisiari Hibah Bersyarat.

Sekiranya Penama adalah seorang Wasi, Perenggan 6(2), Jadual 10, APKI 2013 memperuntukkan Wasi perlu membahagikan Manfaat Takaful mengikut wasiat atau mengikut undang-undang yang berkaitan dengan pembahagian Pusaka. Ini bermaksud Wasi perlu mengagihkan Manfaat tersebut kepada Waris- waris yang lain mengikut pembahagian Pusaka iaitu hukum Faraid. Manakala, jika Penama adalah Benefisiari Hibah Bersyarat, Perenggan 3(2), Jadual 10, APKI 2013 menjelaskan Manfaat tersebut akan menjadi milik Benefisiari sebagai Penerima Hibah. Manfaat Takaful ini tidak menjadi sebahagian daripada Harta Pusaka Peserta Takaful tanpa perlu membayar sebarang tuntutan hutang ke atas Peserta Takaful yang telah meninggal dunia. Peruntukan-peruntukan ini jelas menunjukkan, Peserta Takaful digalakkan untuk membuat Penamaan. Ini secara tidak lansung memudahkan pihak pengendali Takaful untuk menyerahkan Manfaat Takaful setelah berlakunya kematian Peserta Takaful dan Waris-waris dapat menerima segera bagi meringankan beban yang dihadapi tanpa melalui proses tuntutan pembahagian Harta Pusaka yang melibatkan tempoh masa yang panjang untuk diselesaikan . Kajian ini jelasnya mendapati APKI 2013 lebih mengukuhkan kedudukan Penama serta tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh Penama. APKI 2013 memberikan pengiktirafan kontrak Hibah Bersyarat yang tidak disepakati oleh ulama’-ulama’ fiqh selari dengan keperluan pada masa kini dengan melakukan inovasi kontrak-kontrak Muamalat agar dapat memenuhi keperluan umat Islam serta melindungi kebajikan Waris-waris.

KESIMPULAN

Biarpun terdapat pelbagai isu mengenai pembayaran Manfaat Takaful melalui konsep Hibah Bersyarat, masyarakat awam dan pihak yang terlibat dengan operasi produk Takaful hendaklah menerima hasil ijtihad Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia melalui Resolusi-resolusi yang diputuskan serta dilihat sesuai dan praktikal. Semua pihak yang terlibat mestilah memastikan setiap peruntukan berkaitan dengan kehendak Shariah adalah dipatuhi sepenuhnya serta turut memastikan institusi yang menjalankan perkhidmatan Kewangan Islam mematuhi prinsip-prinsip Shariah. Pewartaan peruntukan

(13)

Prosiding Kolokium Siswazah FEP (2019) Volume 3 267

perundangan iaitu APKI 2013 jelasnya mengukuhkan Resolusi-resolusi ini yang telah mengiktiraf Hibah Bersyarat untuk digunapakai dalam pengagihan Manfaat Takaful. Penamaan Benefisiari Hibah Bersyarat nyatanya menjadi pelengkap dan memberi nilai tambah kepada produk Takaful berbanding dengan Insurans Konvensional. Ini memberi peluang kepada produk Takaful untuk bersaing secara kompetitif dengan Insurans Konvensional. Usaha untuk mempergiatkan penggunaan Hibah sebagai mekanisme agihan Harta melalui produk Takaful perlu diberikan perhatian memandangkan keistimewaan dan kebaikan konsep Hibah ini memenuhi keperluan masyarakat Islam dalam mengurus dan merancang agihan Harta yang bakal diwariskan. Hibah nyatanya menjadi inisiatif baru yang perlu dihebahkan pelaksanaan dan pemakaiannya dalam pengurusan Harta Pusaka.

RUJUKAN

Ab Rahman A.(2009). Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Umat IslamDan Aplikasinya Di Malaysia. Jurnal Syariah, Jil.17, Bil. 1: 113-152

Abdul Rashid R., Ahmad N.H. (2013). Pengurusan Harta Melalui Hibah : Kepentingan dan manfaat dari Pelbagai Aspek Untuk Kemajuan Ummah. Jurnal Hadhari 591: 91-104

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013

Azhar, Alias, Muhammad Hafiz Badarulzaman. 2015. “The Practice of Hibah in Takaful Institutions:

A Case Study in Takaful Ikhlas Sdn Bhd”. The Journal of Muamalat and Islamic Finance Research 12 (2), 41-54. http://jmifr.usim.edu.my/index.php/jmifr/article /view/115http://jmifr.usim.edu.my/index.php/jmifr/article/view/115

Bank Negara Malaysia. 2010. Shariah Resolution In Islamic Finance (2nd ed.) Dimuat turun pada

February 17, 2014 dari

http://www.bnm.gov.my/microsites/financial/pdf/resolutions/shariah_resolutions_2nd_edition _EN.pdf

Bank Negara Malaysia, 2016. Mesyuarat Majlis Penasihat Syariah ke-165 (No. Ruj 02/16/01) dimuat turun daripada http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press

Dimuat turun daripada http://www.sinarharian.com.my/bisnes/hibah-dalam-takaful-bantu-urus-hara- lebih-cepat-1.511748

Dimuat turun daripada

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0930&pub=utusan_malaysia&sec=bi cara_agama&pg=ba_01.htm

Hakimah Yaacob. Manfaat takaful dihibahkan berbanding faraid. Diperolehi pada 16 Mei 2015 https://www.bharian.com.my/node/55193

Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Berhad, dimuat turun daripada https://www.bharian.com.my/node/217589

Khuzama Abd Rahman, Farah Adilah Mohd Apandi. 2016. Merancang Pengurusan Harta Melalui Hibah. Berita Harian, 28 November

Malaysia. 2013. Akta Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia. 1984. Akta Takaful Malaysia

Mohammad Azam Hussain, Rusni Hassan, Aznan Hasan (2015). Kehendak Shariah Dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759): Satu Tinjauan. Legal Network Series [2015]

1 LNS(A)

Mohd Khairy Kamarudin, Suhaili Alma’amun, 2013, Implikasi Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 ke atas industri Takaful Malaysia: Tumpuan kepada penamaan dan Hibah manfaat Takaful.

Mohd Faiz Mohamed Yusof, Nurhanani Ramli, JoniTamkin Borhan. 2016. Praktis Pembayaran Manfaat takaful di Malaysia : Implikasi Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013

Mohd Kamil Ahmad, Joni Tamkin Borhan. 2017. Penggunaan Hibah Bersyarat (Berta’liq) dalam Masalah Pembahagian Manfaat Takaful : Analisis Hukum. Jurnal Syariah 25(1) : 51-74 Nasrul Hisyam, Nor Muhamad. 2017. Konsep Hibah Bersyarat Dan Aplikasinya Dalam Perancangan

Harta. Skudai : Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

Nor Muhamad N.H. (2011), Hibah Dalam Undang-Undang Prinsip & Amalan. Penerbit UTM Press 2011.

(14)

268 Siti Haslinda Jaapar, Hairunnizam Wahid

Nurul Natasha Daud, Hendon Redzuan, Rubayah Yakob. 2017. Hibah Dalam Perancangan Harta Dan Takaful. Journal of Islamic, Economics and Development. 2(5):30-39

Nurul Syahirah Othman, Noor Lizza Mohamed Said, Mohd Zamro Muda & Nasrul Hisyam Nor Muhamad (2017) Analisis Kes Amalan Hibah Bersyarat di Malaysia

Wan Jemizan Wan Deraman (2009, September 30) Utusan Melayu. Pelaksanaan Hibah dalam konteks

operasi Takaful. Dimuat turun daripada

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0930&pub=utusan_malaysia&sec=bi cara_agama&pg=ba_01.htm#ixzz5NNmINUq6

LAMPIRAN

JADUAL 1: Syarikat Pengendali Takaful yang melaksanakan dan tidak melaksanakan

Hibah Bersyarat

No. Nama Wasi

(Pelaksana/

Pentadbir/

Executor)

Benefisiari(Hibah Bersyarat/

Conditional Hibah)

Pemegang Amanah (Trustee)*

Penyerahan Hak Mutlak (Absolute Assignment)

1 AIA PUBLIC Takaful Bhd X

2 AmMetLife Takaful Berhad X

3 Etiqa Family Takaful Berhad X

4 FWD Takaful Berhad

5 Great Eastern Takaful Berhad X

6 Hong Leong MSIG Takaful Berhad

X

7 Prudential BSN Takaful Berhad

8 Sun Life Malaysia Takaful Berhad

X

9 Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad

X

10 Takaful Ikhlas Family Berhad X

11 Zurich Takaful Malaysia Berhad

*Pemegang Amanah (Trustee) – sekiranya Penerima Manfaat Takaful (i) tidak kompeten untuk berkontrak dan tidak mempunyai ibu bapa yang masih hidup pada masa pembayaran dan (ii) manfaat tersebut melebihi RM50,000 atau jumlah lain yang ditetapkan di bawah undang-undang. "Tidak kompeten untuk berkontrak " bererti penerima manfaat (a) belum mencapai umur 18 tahun atau (b) diperakui oleh pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 sebagai (i) tidak sempurna akal dan tiada jawatankuasa yang telah dilantik untuk mengendali harta beliau atau (ii) tidak berupaya oleh sebab kelemahan akal atau tubuh, untuk menguruskan dirinya dan harta serta hal ehwalnya (Borang Penamaan FWD Takaful Berhad).

Sumber: Borang Penamaan dan Borang Penyerahan Hak Mutlak Syarikat Pengendali Takaful di Malaysia

Referensi

Dokumen terkait