• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pusat Perlindungan Remaja Hamil

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2023

Membagikan "Pusat Perlindungan Remaja Hamil"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

Terima Wasit Muat Naik e-Jurnal

3 OGOS 2021 21 NOV 2021 31 DIS 2021

Pusat Perlindungan Remaja Hamil: Adakah ia Satu Penyelesaian?

Underage Pregnancy Welfare Centers: Is it a Solution?

Bahyah Abdul Halim 1 dan Aida Othman2

ABSTRAK

Pusat perlindungan yang efektif tentunya menjadi tonggak utama dalam pembangunan masyarakat yang holistik. Di Malaysia khasnya, pusat perlindungan ditubuhkan di setiap negeri dan daerah bagi menampung keperluan kebajikan masyarakat termasuklah pusat perlindungan khusus bagi remaja hamil. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pusat perlindungan untuk memastikan kebajikan dan operasinya menepati skop dan tujuan asal penubuhan. Artikel ini secara khususnya merungkai isu dan cabaran pusat perlindungan remaja hamil di Malaysia dan adakah ia menjadi penyelesaian kepada masalah ummah yang lebih besar?

ABSTRACT

An effective welfare center is one of the pillars in developing a holistic society. Malaysia in particular, the welfare centers were built in every state and district to manage the needs of the society’s welfare including underage pregnancy. It is the responsibility of the centers to ensure its welfare and operations are following the scope and the purpose of its establishment. This paper will unravel the issues and challenges of these underage pregnancy welfare centers in Malaysia and does it help in solving the society main problem?

Pendahuluan

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan sebanyak 18,465 kes remaja hamil luar nikah direkodkan dalam tempoh lima tahun dari 2014 - 2018. Pada tahun 2017 sahaja sebanyak 3,694 kes remaja hamil luar nikah direkodkan dan ini secara puratanya dianggarkan sebanyak 300 kes dalam tempoh satu bulan. Kesemua kes ditempatkan di pelbagai pusat perlindungan, pusat jagaan dan ada juga yang dipelihara oleh keluarga sendiri. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kes sebegini meningkat naik antaranya adalah disebabkan oleh pergaulan bebas, rogol, penipuan, sumbang mahram dan sebagainya. Selain itu, masalah institusi keluarga, kesibukan ibu bapa dan pengabaian kepada agama juga menjadi antara faktor penyumbang (Mariam et al., 2019, Hizlinda, et.al. 2021). Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat 2019 merekodkan sebanyak 86 kemasukan penghuni ke Taman Seri Puteri di empat lokasi iaitu Batu Gajah, Perak, Cheras, Selangor, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak pada tahun 2019. Taman Seri Puteri merupakan pusat perlindungan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat khusus untuk remaja hamil luar nikah yang diperoleh melalui

1 Pensyarah, Universiti Sultan Zainal Abidin

2 Pensyarah, Universiti Sultan Zainal Abidin

(2)

perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah Perenggan 40(1)(e) (tempat perlindungan selama tempoh 3 tahun) atau memohon sendiri di bawah Subseksyen 41(1) (memerlukan pelindungan segera – atas permohonan kanak-kanak/ibu/bapa/penjaga) Akta Kanak-Kanak 2001. Selain itu, terdapat 13 pusat perlindungan persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat antaranya Baitus Solehah Caring Centre dan Raudhatus Sakinah Berhad. Kewujudan pusat-pusat perlindungan ini membuktikan bahawa masyarakat dan komuniti komited membantu negara dalam membendung masalah sosial demi memastikan kebajikan masyarakat terjamin.

Objektif Penubuhan Pusat Perlindungan Remaja Hamil

Penggubalan Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] menggambarkan pihak kerajaan serius dalam menyediakan peruntukan bagi sebarang urusan pendaftaran, pengawalan dan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan. Ia juga bagi memastikan perkara yang berkaitan dengannya terjamin terutamanya dari aspek kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan penghuni. Selari dengan ini, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mambangunkan Dasar Sosial Negara (DSN). Ia adalah satu dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Dasar ini yang diluluskan oleh kabinet pada 19 Februari 2003 bermatlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan mapan dari aspek sosial, ekonomi dan teknologi. DSN mengandungi empat objektif utama iaitu (i) Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi; (ii) Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat; (iii) Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial dan (iv) Menjana sinergi multisektor. Objektif ketiga merupakan objektif yang berkait rapat dengan penubuhan pusat perlindungan di Malaysia.

Antara strategi-strategi yang digariskan kerajaan dalam memenuhi aspirasi objektif ini adalah dengan menggalakkan serta menyokong penyertaan aktif komuniti dalam usaha mewujudkan pelbagai jenis perkhidmatan pemulihan untuk semua kumpulan sasar.

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Taman Seri Puteri sebagai sebuah institusi tempat perlindungan bagi pemeliharaan dan pemulihan kanak-kanak di bawah seksyen 55 (tempat perlindungan) Akta Kanak-Kanak 2001. Objektif utama penubuhannya adalah untuk memberi perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya moral atau keruntuhan akhlak dengan memupuk sikap dan nilai yang sesuai dengan norma masyarakat serta memberikan kemahiran yang bersesuaian. Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menubuhkan Pusat Jagaan Sinar Kasih bagi memberi perlindungan kepada wanita berusia 18 tahun ke atas hingga melahirkan kandungannya. Penubuhan Pusat Jagaan Sinar Kasih ini bagi membendung masalah pembuangan bayi di Malaysia. Ia merupakan satu inisiatif murni bagi memberikan perlindungan kepada ibu dan bayi yang dilahirkan. Di samping itu juga, Pusat Jagaan Sinar Kasih ini akan memastikan bayi mendapat penjagaan dan perlindungan di rumah kanak-kanak sekiranya ibu kandung tidak sanggup memelihara bayi.

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memastikan pusat perlindungan remaja hamil yang tubuhkan beroperasi dengan telus dan teratur bagi menjamin keselamatan dan kebajikan penghuninya. Usaha ini telah mencetuskan idea kepada jabatan kerajaan negeri dan pertubuhan-pertubuhan negeri untuk turut sama membantu dalam memberikan perlindungan kepada remaja hamil.

Pada 30 Disember 2013, Pusat Generasiku Sayang telah memulakan operasi di Johor. Ia merupakan inisiatif Pertubuhan Kebajikan Generasiku Sayang Negeri Johor dalam usaha

(3)

menangani krisis wanita dan remaja hamil di negeri Johor. Kementerian Kesihatan Malaysia seterusnya melancarkan Program Generasiku Sayang di Johor pada 11 Februari 2014 di mana Raja Permaisuri Negeri Johor Darul Takzim Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah selaku penaungnya. Program ini dibangunkan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru (NBOS) dan kerajaan negeri dipertanggungjawabkan sebagai pelaksana program. Pada 23 Mei 2016, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah menubuhkan rumah penjagaan remaja hamil luar nikah di bawah Program Generasiku Sayang. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga telah melancarkan Rumah Generasiku Sayang yang dikhususkan untuk remaja hamil luar nikah pada tahun 2018. Inisiatif ini adalah bagi memberikan perlindungan terbaik buat ibu dan bayi yang dilahirkan. Antara perkara yang menjadi perhatian bagi setiap pusat perlindungan di bawah program ini adalah usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan yang sewajarnya bagi ibu muda, memberikan pendedahan kemahiran hidup yang baik, menyediakan sistem sokongan yang jitu, membantu meningkatakan kekuatan ekonomi ibu muda dan memastikan pegangan agamanya berada di tahap yang baik. Walaupun program ini masih belum dimanfaatkan oleh negeri-negeri lain di Malaysia, namun inisiatif ini merupakan antara langkah awal untuk melindungi dan membantu remaja hamil luar nikah di negeri terbabit.

Usaha dan inisiatif menubuhkan pusat perlindungan remaja hamil ini bukan hanya terhad kepada tanggungjawab kerajaan pusat dan kerajaan negeri semata-mata, tetapi ia juga merupakan tanggungajwab masyarakat secara bersama. Terdapat banyak pusat perlindungan remaja hamil yang ditubuhkan oleh pertubuhan persendirian di seluruh Malaysia. Baitus Solehah di Johor dan Raudhatus Sakinah di Kuala Lumpur, adalah antara pusat perlindungan remaja hamil yang memiliki objektif penubuhan yang jelas dan sentiasa mendokong aspirasi kerajaan dalam memberikan perlindungan terbaik buat ibu muda dan bayi yang dilahirkan.

Disamping itu, pusat perlindungan tersebut juga menyediakan kurikulum yang bersepadu meliputi aspek agama, kemahiran, bimbingan, penjagaan bayi dan kaunseling. Raudhatus Sakinah telah menetapkan beberapa dasar yang menjadi tonggak dalam penubuhan pusat perlindungannya iaitu (i) Dasar Agama, (ii) Dasar Ihsan dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara imej masyarakat dan (iii) Dasar Dakwah dan Islah. Raudhatus Sakinah pada masa ini bukan sahaja bertempat di Kuala Lumpur, tetapi juga di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka. Dalam konteks melindungi dan menyelamatkan remaja hamil ini, Baitus Solehah menitik beratkan peranan ‘peer-support’ dalam usaha memberikan jaminan rasa selamat dalam kalangan penghuni pusat perlindungannya. Konsep ini penting bagi setiap penghuni agar mereka dapat merasakan jalinan ukhuwah yang kuat, ini secara tidak langsung memberikan keyakinan bahawa mereka bukan berseorangan dalam menangani permasalahan yang sedang dihadapi.

Isu dan Cabaran Pusat Perlindungan Remaja Hamil

Setiap pusat perlindungan menghadapi isu dan cabaran tersendiri yang perlu ditangani dengan rasional dan berlandaskan ketetapan undang-undang bagi memastikan proses penyelesaian masalah dapat dijalankan dengan baik. Dalam konteks pusat perlindungan remaja hamil ini, isu dan cabarannya tentulah berkisar kepada remaja hamil itu sendiri, bayi yang bakal dilahirkan serta keluarganya. Untuk tujuan kajian kepustakaan ini, beberapa isu dan cabaran pusat perlindungan remaja hamil akan dibincangkan bagi memberikan gambaran jelas berkaitan dengannya.

(4)

Tekanan

Salina Nen dan Farah Hidayah Hashim (2020) dalam kajiannya mendapati tekanan psikologi yang dialami oleh remaja hamil luar nikah adalah sangat tinggi. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya tiada sistem sokongan yang kuat terutamanya daripada ahli keluarga terdekat, tiada bimbingan dan kepercayaan daripada mereka yang disayangi dan ketidaksediaan remaja terbabit menerima kenyataan tentang kehamilan itu sendiri. Tekanan ini kebiasaannya akan menjadikan penghuni pusat perlindungan bertindak agresif dan tidak mahu turut serta dalam aktiviti yang disediakan pusat perlindungan. Ini seterusnya akan memberikan kesan emosi yang negatif terhadap penghuni yang lain. Siti Aisyah Yahya dan Fariza Md. Sham (2019) turut mengesyorkan bahawa jiwa remaja hamil luar nikah ini perlu dikembalikan ke jalan Allah SWT. Mereka perlukan panduan dan bimbingan terutamanya ketika berada di pusat perlindungan.

Masalah tekanan emosi jika tidak dikawal dengan baik akan meningkatkan tahap depresi dalam kalangan penghuni pusat perlindungan. Ini kemudiannya akan memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan, masalah penyusuan ibu dan masalah ‘post-partum disorder’

(Christine et.al. 2012, Fabio et. al. 2013, Khitam et.al. 2021, Kumar & Huang, 2021, Sulaiman, 2021). Remaja hamil adalah lebih mudah mengalami ‘post-partum disorder’ berbanding wanita hamil di usia yang lebih matang, ini adalah kerana keadaan remaja hamil itu sendiri yang tidak bersedia dengan kehamilan dan dalam masa yang sama menerima pelbagai tekanan dari keluarga, masyarakat, dan diri sendiri. Keadaan ini menjadi antara penyebab mengapa pusat perlindungan perlu peka dan sentiasa mengambil berat berkaitan hal ehwal psikologi penghuninya. Kepentingan sistem sokongan sosial yang mapan dapat membantu mengurangkan masalah tekanan ini (Noraffy Ahmad dan Nasrudin Subhi, 2020; Radzi et.al.

2019, Buldum, 2021).

Dana dan Peruntukan

Kementerian Pembangunan Wanita Kebajikan Masyarakat memperoleh peruntukan berjumlah RM2.584 bilion bagi tahun 2021 dengan peningkatan 4.5 peratus berbanding tahun 2020 (Belanjawan, 2021). Peruntukan ini merupakan peruntukan terbesar diperoleh KPWKM dengan RM21 juta khusus bagi mendokong pusat sokongan sosial setempat. Walau bagaimanapun, peruntukkan ini tidak meliputi pusat perlindungan yang dibangunkan oleh pertubuhan-pertubuhan persendirian. Oleh yang demikian, isu dana dan peruntukan yang meruncing bagi pusat perlindungan persendirian adalah merupakan satu cabaran yang berpanjangan.

Masalah kekurangan dana dan peruntukan bukanlah suatu perkara yang baharu dalam konteks pusat perlindungan remaja hamil ini. Umum mengetahui bahawa proses kelahiran bayi memerlukan kewangan yang tinggi termasuklah penyediaan makanan berkhasiat, ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan ibu dan bayi sebelum, semasa dan selepas bersalin. Pusat perlindungan remaja hamil sentiasa mengambil inisiatif untuk meningkatkan dana dan peruntukan sediada dengan pelbagai kaedah termasuklah melalui sumber perniagaan.

Sumbangan kewangan dan barang-barang keperluan yang diperoleh daripada orang ramai turut meringankan masalah ini (Fuziah, 2021). Masyarakat Malaysia yang prihatin sentiasa menghulurkan bantuan ke pusat-pusat perlindungan remaja hamil ini tanpa paksaan daripada

(5)

pihak pengurusan pusat terbabit. Barangan keperluan seperti lampin pakai buang, makanan berkhasiat dan pakaian ibu hamil sentiasa disumbangkan orang ramai.

Pengabaian dan Salah Laku

Isu berkaitan dengan pengabaian dan salah laku ini bukan sesuatu yang baharu di mana-mana pusat perlindungan (Ekmil et. al. 2016). Pengabaian kebiasaannya adalah melibatkan pengabaian terhadap tahap kesihatan, kebersihan, kebajikan dan emosi mereka yang dilindungi seperti kanak-kanak (Mashitah, 2017), orang kurang upaya (Darshana, 2020), remaja hamil dan warga emas (Arasy, 2019). Masalah berkaitan salah laku pula melibatkan kewangan dan sumbangan orang ramai yang tidak disalurkan untuk tujuan kebajikan tetapi digunakan untuk kepentingan diri mereka yang terlibat dengan pusat perlindungan tersebut. Kes terkini yang berlaku di Malaysia adalah melibatkan Rumah Bonda yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan melibatkan remaja hamil dan kanak-kanak kurang upaya. Pengabaian yang dilaporkan adalah melibatkan penderaan seorang kanak-kanak Sindrom Down yang telah dijumpai mempunyai luka-luka di seluruh badannya. Rumah Bonda kemudiannya disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana ia tidak berdaftar dengan jabatan tersebut. Kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis.

Stigma Masyarakat

Apabila membicarakan tentang remaja hamil luar nikah, terdapat pelbagai persepsi negatif dan stigma masyarakat yang didokong sejak sekian lama. Perubahan zaman dan peredaran masa telah menjadikan masyarakat kini lebih terbuka untuk membicarakan tentang isu remaja hamil ini. Namun, masih wujud segelintir masyarakat yang merasakan permasalahan ini sebagai

‘taboo’ dan tidak wajar diperbincangkan di khalayak. Perbezaan pandangan dan penerimaan ini menjadikan masalah remaja hamil tanpa nikah tidak dapat diselesaikan secara holistik dan berkesan.

Penubuhan pusat perlindungan remaja hamil turut berdepan persepsi dan pandangan negatif masyarakat secara tidak langsung. Segelintir masyarakat beranggapan, apabila disediakan kemudahan pusat perlindungan remaja hamil maka, masyarakat menggalakkan kehamilan tanpa nikah dalam kalangan remaja. Persepsi sedemikian tidak mengganggu gugat Yayasan Orphancare yang menerajui program ‘baby hatch’ di Malaysia pada tahun 2010. ‘Baby hatch’

merupakan satu inisiatif Yayasan Orphancare untuk menyelamatkan bayi yang dilahirkan daripada dibuang (Cochrane, 2013). Terdapat 11 pusat ‘baby hatch’ ini di seluruh Malaysia termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak. Yayasan Orphancare bekerjasama dengan Pusat Perubatan KPJ dan beberapa pusat perubatan lain untuk menjayakan program ini. Sehingga kini, program ini telah berjaya menyelamatkan seramai 445 bayi daripada dibuang (Yayasan Orphancare, 2021).

Program ini turut membantu keluarga yang berminat untuk memelihara bayi melalui proses pengangkatan yang sah.

Adakah ia satu penyelesaian?

Perkara utama yang perlu diberi perhatian apabila membicarakan tentang pusat perlindungan remaja hamil ini tentunya adalah berkaitan kebajikan remaja hamil itu sendiri. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan remaja terbabit hamil tanpa nikah. Menurut Shahbani dan Fuziah (2020), antara faktor tersebut adalah keinginan remaja itu sendiri untuk terlibat dengan

(6)

hubungan intim. Keinginan ini pastinya sukar untuk dikawal apabila ia melibatkan rasa kurang kasih sayang dari keluarga sendiri (Ezarina Zakaria dan Norulhuda Sarnon, 2019), pengaruh media sosial dan teknologi maklumat (Reffina Siong & N.K. Tharshini, 2020) dan rakan sebaya (Nor Jumawaton Shahruddin, 2019). Namun, dengan adanya kekuatan pegangan agama, sokongan dan pantauan ibubapa serta persekitaran yang baik pastinya permasalahan ini dapat ditangani.

Menurut Su Xu Vin et.al (2014), terdapat beberapa implikasi fizikal dan psiko-sosial yang dialami oleh remaja hamil. Antaranya adalah kesukaran untuk tidur, masalah penjagaan diri, masalah emosi, rasa rendah diri, masalah diskriminasi, masalah kewangan, masalah hubungan rakan sebaya dan lain-lain. Ini tentunya menjadikan seorang remaja hamil itu terdedah kepada pelbagai bahaya dan ancaman pada dirinya sendiri dan bayi yang dikandung. Di sinilah pusat perlindungan remaja hamil memainkan peranannya dengan menyediakan kurikulum khusus untuk meningkatkan tarbiah ke arah diri yang lebih baik. Pendekatan agama dan spiritual turut memainkan peranan dalam menjamin kesihatan mental yang baik (Aini Azeqa Ma’rof &

Haslinda Abdullah, 2020). Khairul (2019) dalam kajiannya mendapati kurikulum yang disediakan di Asrama Bahagia dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan mendapat tempat dan diterima baik oleh semua penghuninya. Penghuni faham dan sentiasa memperbaiki diri dengan setiap pengisian aqidah, ibadah dan akhlak yang diterapkan dalam kurikulum pembelajarannya. Pusat Bimbingan Raudhatus Sakinah juga menerapkan elemen sama dengan mendidik penghuninya tentang kepentingan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., kepentingan mengaji al-Quran, kepentingan mendirikan solat berjemaah, berpuasa dan kepentingan pembentukan sahsiah diri (Siti Marziah, 2017). Pelaksanaan kelas-kelas agama secara teoretikal dan amali membentuk kefahaman yang lebih baik tentang agama (Nur Azyan Baharizan & A’dawiyah Ismail, 2019; Mohd Anuar Ramli dan Nik Rasyidah Mohamad, 2016; Nursyahidah, 2020). Baitus Solehah Caring Centre juga menerapkan pengisian al- Quran, adab, akhlaq, aqidah, solat berjemaah, zikir, hadith dan sirah dalam kurikulum pengajiannya. Selain itu, konsep Baitus Solehah ini yang sentiasa mengamalkan kerjasama antara penghuni, menjadikan ia sebuah keluarga besar yang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Sifat tanggungjawab dan saling bantu membantu ini dijadikan kemahiran hidup bagi penghuni di sini. Ia secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada diri penghuni apabila keluar dari pusat perlindungan tersebut, mereka mampu untuk membina dan memiliki kualiti diri yang baik untuk berdepan dengan masyarakat.

Kurikulum di Taman Seri Puteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menggunakan pendekatan agama, sahsiah, kemahiran, psikologi dan pelbagai aktiviti bagi membentuk diri agar bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar apabila keluar dari pusat perlindungan (Noor Hafizah, 2014). Kurikulum yang holistik ini pastinya hanya diperoleh di pusat perlindungan. Sudah tentu penghuni pusat perlindungan dapat memanfaatinya dan menjadikan ia sebagai asas dalam usaha untuk memperbaiki diri (Nursyahidah, 2020). Selain daripada menyediakan kurikulum yang holistik bagi remaja hamil, pusat perlindungan juga bertindak sebagai nadi penyelamat bayi yang bakal dilahirkan. Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Di Raja Malaysia melaporkan sebanyak 577 kes pembuangan bayi direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018. Kes pembuangan bayi ini berlaku kerana tiada kesedaran dalam kalangan wanita atau remaja hamil untuk bertanggungjawab ke atas bayi yang dilahirkan (Almaida, 2018). Usaha pusat perlindungan remaja hamil secara tidak langsung dapat mengekang masalah pembuangan bayi daripada menjadi lebih serius.

(7)

Remaja hamil luar nikah pada asasnya amat memerlukan sokongan sosial dan emosi yang tidak berbelah bahagi (Khadijah et.al., 2012, Zakiyyah et.al., 2015). Apabila seorang remaja didapati hamil luar nikah, kecenderungan untuk ibu bapa dan keluarga bertindak agresif dan memberikan reaksi negatif pada peringkat awal adalah sesuatu yang normal. Reaksi negatif ini adalah satu bentuk penafian yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan keluarga (Sarnon, N. et. al., 2014). Namun, penafian itu hanya berlaku untuk sementara, apabila keadaan sudah mula tenang dan reda, ibu bapa akan berfikir dengan rasional dan dapat menerima kenyataan dengan baik (Abd. Ghani, 2017). Menurut Rohany Nasir et.al. (2015), wanita hamil tanpa nikah memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi membantu mereka menangani rasa kesunyian, kemurungan dan gangguan emosi. Bagi memastikan remaja hamil luar nikah mendapat sokongan sosial dan emosi yang optimum, maka pusat perlindungan remaja hamil adalah opsyen terbaik buat mereka meneruskan kehidupan tanpa tekanan ibu bapa dan keluarga. Ini bukan bererti sokongan ibu bapa dan keluarga tidak diperlukan apabila mereka menyertai pusat perlindungan namun, ia adalah usaha untuk memastikan kestabilan emosi mereka berada pada tahap yang baik untuk meneruskan kehamilan dan dapat melahirkan bayi dengan selamat.

Konsep ‘Peer support’ yang wujud di pusat perlindungan juga menjadikan ia eksklusif dan tidak akan dapat diperoleh di tempat lain. ‘Peer support’ ini secara tidak langsung akan meningkatkan rasa tautan ukhuwah, tanggungjawab, berdikari, hormat menghormati dan kasih sayang antara penghuni pusat perlindungan. Penghuni akan dapat rasa diri mereka tidak keseorangan dalam menempuh fasa kehidupan yang mencabar ini. Ini adalah kerana setiap penghuni menghadapi perkara yang sama, iaitu hamil di usia remaja tanpa pernikahan yang sah. Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri mereka untuk memahami perubahan diri dan lebih yakin untuk meneruskan kehamilan dengan baik. Selain daripada itu, pusat perlindungan remaja hamil turut menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling bagi setiap penghuninya. Kaunseling kelompok dan kaunseling individu dijalankan oleh mereka yang bertauliah dan ia dapat membantu penghuni memahami masalah mereka. Kajian Abd Manaf et.al. (2014) mendapati sesi kaunseling yang diadakan di pusat-pusat perlindungan perlu dikemaskini dan diberi perhatian berkaitan perlaksanaannya bagi memastikan sesi kaunseling yang dijalankan memberi kesan yang positif terhadap kebajikan penghuni.

Pusat perlindungan remaja hamil juga berperanan mengembalikan semangat kepada setiap penghuninya untuk terus menghadapi masa hadapan dengan keyakinan dan keazaman yang tinggi. Setelah mereka melahirkan bayi yang dikandung, setiap penghuni akan keluar dari pusat perlindungan dan meneruskan kehidupan mereka sebagai ibu, pelajar mahupun sebagai pekerja. Dengan kekuatan dan ilmu yang diperoleh sepanjang berada di pusat perlindungan tersebut, pastinya mereka tampil lebih yakin untuk meneruskan kehidupan yang baharu.

Penerimaan keluarga juga pastinya dapat memberi kesan yang positif terhadap masa hadapan mereka. Mereka masih muda, dan peluang untuk mereka berjaya masih terbentang luas. Tidak ada kegagalan dalam hidup mereka jika mereka berjuang untuk memperbaiki diri dan menempa kejayaan. Semangat dan motivasi inilah yang perlu diterapkan dalam setiap sesi motivasi di pusat perlindungan agar mereka sentiasa optimis dengan kehidupan dan mampu untuk menghadapi segala cabaran dengan baik.

Kesimpulan

(8)

Kajian kepustakaan ini telah mengupas dengan terperinci berkaitan dengan pusat perlindungan remaja hamil dan peranannya. Secara umumnya, penubuhan pusat perlindungan remaja hamil mampu untuk mengekang permasalahan remaja hamil di Malaysia. Walaupun ia tidak menyelesaikan masalah utama, tetapi ia memberi kesan yang positif terhadap usaha dan inisiatif untuk membantu remaja hamil. Penubuhannya memberi faedah sejagat kepada keperluan remaja hamil itu sendiri dari konteks sahsiah dan sokongan sosial. Ia juga menjadi platform menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan daripada menjadi mangsa. Masih terdapat banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilaksanakan oleh pusat perlindungan remaja hamil bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan remaja hamil dan bayinya berada dalam keadaan yang baik. Kerjasama antara badan bukan kerajaan dan pihak kerajaan sendiri perlu dipertingkatkan bagi menguruskan perkara berkaitan remaja hamil di Malaysia.

RUJUKAN

Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506]

Abd Ghani Ahmad dan Nuarrual Hilal Md Dahlan. (2017) Mengandung Anak Tak Sah Taraf:

Kajian Kes Di Daerah Kubang Pasu, Kedah. UUM Journal of Legal Studies,Vol 8.

Abd Manaf, Abdul Razak, Sayuti, Rusimah, Jamaluddin, Zakiyah dan Ahmad, Noor Azizah (2014) Persepsi remaja perempuan terhadap program kaunseling: Satu kajian di pusat perlindungan dan pemulihan. International Social Development Conference 2014 (ISDC 2014), 12 – 13 August 2014, Bayview Hotel Langkawi, Malaysia.

Aini Azeqa Ma’rof & Haslinda Abdullah (2020) Spiritual Practice As A Coping Mechanism To Combat Mental Illness Among Malaysian Teenagers. Malaysian Journal of Youth Studies. JILID 22 ISSN 2180-1649

Alamida Ahmad & Wan Anor Wan Sulaiman.(2018) Pembuangan Bayi. International Conference On Psychology, Counseling And Social Work.

Arasy Masut @ Masod, Mashitah Abdul Mutalib. (2019) Abuse In Malaysian Private Elderly Care Centres; Improving The Preventive Measures. International Journal for Studies on Children, Women, Elderly And Disabled, Vol. 6, (Jan.) ISSN 0128-309X 201930.

Aysu BULDUM, Tuba GÜNEREMÜL . (2021) The Fear Of Childbirth And Social Support In Adolescent Pregnancy. Journal of Pediatric and Adolescent Gynecology.

Baitus Solehah (2013) https://www.facebook.com/Baitus-Solehah-399193996854134/.

(Dilayari pada 9 September 2021)

Berita Harian (2016) JKN tubuhkan rumah penjagaan remaja hamil luar nikah.

https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/2645/2016/05/156612/jkn-tubuhkan- rumah-penjagaan-remaja-hamil-luar-nikah. (Dilayari pada 9 September 2021) Berita Harian (2015) Tekanan punca remaja hamil luar nikah ambil keputusan luar jangka -

Raja Zarith Sofiah.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2015/10/92774/bhplus. (Dilayari pada 9 September 2021)

Christine Dunkel Schetter and Lynlee Tanner. (2012) Anxiety, Depression And Stress In Pregnancy: Implications For Mothers, Children, Research, And Practice. Curr Opin Psychiatry. Mar; 25(2): 141–148.

Dasar Sosial Negara. Bahagian Pengembangan dan Pembangunan PINTAS, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Darshana Bennadi, Vinayaka Konekeri, M Maurya, Veera Reddy, G Satish, and C. V. K.

Reddy. (2020) Oral hygiene negligence among institutionalized mentally disabled children in Mysore city—A call for attention . J Family Med Prim Care. 2020 Apr;

9(4): 2045–2051.Published online 2020 Apr 30. doi: 10.4103/jfmpc.jfmpc_720_19

(9)

Ekmil Krisnawati Erlen Joni,Salmiah Salleh, Mimi Sofiah Ahmad Mustafa, Aliyah Abdullah, Ida Rahayu Mahat, Yuhanza Othman. (2016) Negligence in Child Care Centres: Law Versus Reality in Malaysia. Proceedings of the Regional Conference on Science, Technology and Social Sciences (RCSTSS 2016) pp 507-516

Ezarina Zakaria dan Norulhuda Sarnon (2019) Ketidakfungsian Keluarga Remaja Perempuan Tidak Terkawal:Suatu Kajian Awal. GJAT, DECEMBER 2019, VOL 9 ISSUE 3. 79 ISSN : 2232-0474

Fábio Monteiro da CunhaCoelho, Ricardo TavaresPinheiro, Ricardo Azevedo Silva, Luciana de Ávila Quevedo, Luciano Dias de Mattos Souza, Rochele Dias Castelli, Mariana Bonati deMatos, Karen Amaral Tavares Pinheiro. (2013) Major Depressive Disorder during Teenage Pregnancy: Socio-demographic, Obstetric and Psychosocial Correlates. Revista Brasileira de Psiquiatria. Volume 35, Issue 1, February 2013, Pages 51-56

Free Malaysia Today (2018) Terengganu lancar rumah perlindungan remaja hamil luar nikah.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/10/28/terengganu-lancar- rumah-perlindungan-remaja-hamil-luar-nikah/ (Dilayari pada 9 September 2021) Fuziah Shaffie, Mohamad Shahbani Sekh Bidin, Md Zawawi Abu Bakar. (2021) A Case Study

of the Management of the Private Shelter for Unmarried Pregnant Adolescents. Asian Social Work Journal Volume 6, Issue 2, (page 31 -40)

Generasiku Sayang - GKS Kelantan. (2016) https://www.facebook.com/generasikusayang.

(Dilayari pada 9 September 2021)

Generasiku Sayang – GKS Johor. (2019) https://www.facebook.com/generasikusayang.johor.

(Dilayari pada 9 September 2021)

Harian Metro (2019) Buang bayi setiap 3 hari.

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/04/448917/buang-bayi-setiap-3-hari (Dilayari pada 9 September 2021)

Hizlinda Ta, Noriah MIb, Suzaily Wc, Khairani Od, Harlina Halizah Se, Susan Mooi Koon Tf, Aishah Ac, Noorlaili T. (2021) Voices of Young Mothers on Relational Issues Leading to Out-of-Wedlock Pregnancy and its Protective Measures. A Qualitative Exploration MJM Volume 20 No.1.

Joan Cochrane & Goh Lee Ming. (2013) Abandoned babies: the Malaysian ‘baby hacht’.

Infant. VOLUME 9 ISSUE 4.

Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir, Mohd Suhaimi Mohamad, Noorhasliza Mohd Nordin. (2012) Hamil Luar Nikah Dalam Kalangan Remaja.

Journal of Social Science and Humanities. Volume 7, Number 1, 131-140, April Special- 2012 ISSN: 1823-884x

Khairul Hamimah Mohd Jodi dan Nurul Husna Mansor. (2019) Kesediaan Remaja Hamil Luar Nikah terhadap Program Kerohanian di Pusat Perlindungan Wanita. The International Journal of Islamic Studies UKM. Islamiyyat 41(1) 2019: 59 - 68

Khitam I. Mohammad RN, RMW, Hanan Sabbah RN, MS, Mohammed Aldalaykeh BSN, PMH-CNS, Mohammed ALBashtawy RN, MPH, Kholoud Z. Abuobead RN, Debra Creedy RN, Jenny Gamble RMW. (2021) Effects of social support, parenting stress and self-efficacy on postpartum depression among adolescent mothers in Jordan.

Journal of Clinical Nursing.

Kosmo (2021) Rumah Bonda disita. https://www.kosmo.com.my/2021/07/12/rumah-bonda- disita/ (Dilayari pada 9 September 2021)

Laman Khas Belanjawan 2021 https://belanjawan2021.treasury.gov.my/index.php/ms/

(Dilayari pada 9 September 2021)

Laporan Statistik 2019 Jabatan Kebajikan Masyarakat. www.jkm.gov.my (Dilayari pada 9 September 2021)

(10)

Laporan Tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia 2018. www.moh.gov.my (Dilayari pada 9 September 2021)

Manasi Kumar & Keng Yen Huang. (2021) Impact of being an adolescent mother on subsequent maternal health, parenting, and child development in Kenyan low-income and high adversity informal settlement context. April 1, 2021. PLoS ONE 16(4).

https://doi.org/10.1371/journal.pone.0248836

Mariam Abd. Majid, Nurul Zafirah Azman & Nurul Izzah Mohd Yani. (2019) Faktor Penglibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual: Kajian Terhadap Remaja Hamil Luar Nikah Di Pusat Pemulihan Akhlak Negeri Selangor . Al-Irsyad: Journal Of Islamic And Contemporary Issues. Vol 4 No 2 Dec 2019

Mashitah Abdul Mutalib, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Arasy bin Masut @ Masod. (2017) Regulating Child Care Centres In Malaysia: Is There A Bright Future? International Journal for Studies on Children, Women, Elderly And Disabled. Vol. 1, (January) ISSN 0128-309X 2017 97

Mohamad Shahbani Sekh Bidin dan Fuziah Shaffie. (2020) Associated Factors among Unmarried Pregnant Adolescents in Malaysia. International Journal of Advance Studies in Social Science and Innovation. Vol. 4 No. 1

Mohd Anuar Ramli & Nik Rasyidah Mohamad. (2016) Penubuhan Sekolah Harapan Rumah Harapan di Melaka: Penilaian dari Perspektif Islam. AL-BASIRAH Volume 6, No. 1, pp: 17-30, December 2016

Mohd Radzi Tarmizi A Halim, Nor Ba’yah Abdul Kadir, AbRahman Roseliza-Murni, Norhayati Ibrahim, Megat Mohd Shahril Mohd Akhil. (2019) Social Support As A Mediator In Defending Depressed Adolescent From Suicide In Rural Area In Negeri Sembilan. Jurnal Psikologi & Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia. Bil. 14, 2229-810X

Noor Hafizah bt. Mohd Haridi & Fakhrul Adabi b. Abd. Kadir. (2014) Program Agama Di Institusi Pemulihan Akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (Jkm) : Analisis Pelaksanaan. Jurnal Kemanusiaan Bil. 23 ISSN : 1675-1930 Universiti Teknologi Malaysia

Noraffy Ahmad dan Nasrudin Subhi (2020) Meneroka Faktor Resilien dalam Kalangan Remaja Hamil Tanpa Nikah yang Tinggal di Pusat Perlindungan. Jurnal Psikologi Malaysia 34 (2) (2020): 168 – 183 ISSN-2289-8174

Nor Jumawaton Shahruddin (2019) Peranan Keyakinan Diri Dan Lokus Kawalan Diri Dalam Hubungan Antara Tekanan Rakan Sebaya Dan Sikap Terhadap Tingkah Laku Seksual Dalam Kalangan Remaja Hamil Luar Nikah Di Semenanjung Malaysia. Jurnal Psikologi & Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia. Jun 2019, Bil. 14, 2229- 810X.

Nur Azyan Baharizan & A’dawiyah Ismail (2019) Praktik Konsep Taubat Dalam Silibus Pendidikan Islam Di Sekolah Harapan Melaka. Al-Qanatir International Journal of Islamic Studies. Vol. 13. No. 1. January Issue

Nursyahidah Ibrahim, Nurul Husna Mansor dan Yusmini Md Yusoff. (2020) Bentuk-bentuk Pemulihan Akhlak bagi Pesalah Seks di Malaysia: Suatu Sorotan Literatur. Jurnal Usuluddin . 48 (2) 2020: 1-23 1

Orphancare Foundation. www.orphancare.org.my. (Dilayari pada 9 September 2021)

Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah. http://www.raudhatussakinah.com.my/

(Dilayari pada 9 September 2021)

Reffina Siong & N.K. Tharshini (2020) Isu Kehamilan Luar Nikah dalam Kalangan Remaja di Malaysia: Satu Tinjauan Sorotan Literatur. Jurnal Psikologi Malaysia 34 (4) (2020):91-96 ISSN-2289-8174

(11)

Rohany Nasir, Zainah Ahmad Zamani, Rozainee Khairudin, Wan Shahrazad Wan Sulaiman, Mohd Norahim Mohd Sani, Aizan Sofia Amin (2015) Tahap Pengherotan Kognitif, Kesunyian, Kemurungan, Penghargaan Kendiri, Dan Sokongan Sosial Dalam Kalangan Wanita Hamil Luar Nikah. Jurnal Psikologi Malaysia 29 (2) (2015): 1-10 ISSN 2289-8174

Salina Nen dan Farah Hidayah Hashim. (2020) Cabaran Menyesuaikan Diri Sebagai Ibu Muda Dalam Kalangan Remaja Hamil Luar Nikah: Satu Kajian Kualitatif. Jurnal Psikologi Malaysia 34 (2) : 39- 52

Sarnon, N., Mohamad, M. S, Fauziah, I, Alavi, K., Nen, S., Hoesni, S.M, Zaizul, R., Wan Azreena, J. (2012) Hamil Luar Nikah: Memahami Remaja Sebagai Asas Intervensi Keluarga. Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan. Volume 7, Number 1, 121-130, April Special- 2012 ISSN: 1823-884x

Shameer Khan Sulaiman, Rozita Hod, Idayu Badila Idris. (2021)The Effects And Consequences Of Uncontrolled Teenage Pregnancy In Sabah, Malaysia. International Journal Of Progressive Research In Science And Engineering. Vol.2, No.7.

Sinar Harian (2020) KPWKM sifatkan Belanjawan 2021 mesra keluarga.

https://www.sinarharian.com.my/article/109397/KHAS/Belanjawan-2021/KPWKM- sifatkan-Belanjawan-2021-mesra-keluarga (Dilayari pada 9 September 2021)

Siti Aisyah Yahya dan Fariza Md. Sham. (2019) Bentuk-bentuk emosi remaja hamil luar nikah.

Jurnal ‘Ulwan. Jilid 4: 137-148.

Siti Marziah Zakaria & Nur Afifah Binti Zulkifli. (2017) Pengalaman Remaja Di Rumah Perlindungan Dan Perubahan Dalam Makna Hidup. Journal of Social Science and Humanities. eBangi - Special Issue 3.

Su Xu Vin, Noor Azimah Muhammad, Tan Pei Sun , Kevin Tan Teck Meng , Hizlinda Tohid , Khairani Omar. (2014) Physical And Psychosocial Impacts Of Pregnancy On Adolescents And Their Coping Strategies: A Descriptive Study In Kuala Lumpur, Malaysia. Malaysian Journal of Public Health Medicine 2014, Vol. 14 (3): 71-80 Zakiyah Jamaluddin, Abdul Razak Abd Manaf, Rusimah Sayuti. (2015) Sokongan Sosial

Dalam Kalangan Remaja Hamil Tanpa Nikah. USM International Conference on Social Sciences 2015 27-28 Ogos 2015.

Referensi

Dokumen terkait

Answer : The acquisition of morphology clearly demonstrates the rule-governed nature of language acquisition Children typically learn a morphological rule and then overgeneralize