SIARAN MEDIA BERSAMA
24 SEPTEMBER 2018
MBOT DAN PANEL PAKAR TEKNOLOGI METERAI 21 MEMORANDUM KERJASAMA
PUTRAJAYA, 24 SEPTEMBER 2018 – YB Puan Isnaraissah Munirah bt Majilis, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan YB Dato’ Mahfuz bin Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM) telah menyaksikan penyerahan 21 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Panel Pakar Teknologi (TEP) bersempena dengan MBOT Townhall yang berlangsung pada hari ini.
Program MBOT Townhall dan Majlis Menandatangani dan Penyerahan MOU ini merupakan usaha kolektif antara jabatan, bahagian dan agensi daripada tiga kementerian iaitu, MESTECC, KSM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mewujudkan kerjasama simbiotik bersama pihak industri dan akademia bagi mengiktiraf dan menaik taraf profesion Teknologis dan Juruteknik yang berkait rapat dengan TVET.
Dalam ucapan YB Timbalan Menteri MESTECC, beliau menegaskan bahawa
“Gandingan MBOT dan Panel Pakar Teknologi MBOT yang terdiri daripada agensi- agensi kerajaan berkaitan, pemain industri dan golongan akademia dilihat mampu untuk menyediakan Teknologis dan Juruteknik negara supaya bersifat lebih receptive, adaptive, innovative dan pro-active kepada perkembangan dinamik pelbagai industri yang berkaitan.”
Selain itu, YB Timbalan Menteri MESTECC dan YB Timbalan Menteri KSM juga menyatakan sokongan penuh terhadap langkah strategik yang diambil oleh MBOT, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dan Rangkaian Universiti- universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk menyediakan laluan bagi graduan kemahiran dan vokasional ke peringkat lebih tinggi di Universiti-universiti MTUN.
Langkah progresif ini amat penting bagi tujuan pembangunan modal insan dalam bidang Sains dan Teknologi serta penjanaan tenaga kerja pakar, profesional dan
berkemahiran melalui program teknologi yang ditawarkan oleh institusi kemahiran dan pendidikan tinggi yang diakredit oleh MBOT berkonsepkan Higher TVET.
Dengan kolaborasi dinamik antara MESTECC, KSM, KPM, agensi dan jabatan berkaitan, inisiatif ini diharap mampu untuk memenuhi keperluan industri terhadap tenaga kerja pakar, profesional dan berkemahiran, sekaligus menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada warga asing dan tenaga pakar luar negara.
Sebanyak 21 MoU telah diserahkan bersama Panel Pakar Teknologi daripada pelbagai bidang teknologi seperti CyberSecurity Malaysia, Malaysia Automotive Institute, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Allied Aeronautics Training Centre Sdn. Bhd., Creative Content Industry Guild Malaysia, MARA Corporation, Institute of Materials, Malaysia (IMM), The Malaysian Oil & Gas Services Council, The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), Orbitage Sdn. Bhd., Technological Association Of Malaysia (TAM), Communications Convergence Professional Society (CCPS), Malaysian Society for Engineering & Technology (MySET), Centre of Clothing Technology and Fashion UiTM, Penang Skills Development Centre (PSDC), Siemens Malaysia Sdn. Bhd., Malaysian Green Technology Corporation, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Medialab Alliance Sdn. Bhd., Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (UPNM), Federation of Malaysian Skills Development Centres (FMSDC).
Program ini juga turut dihadiri oleh Ts. Nidzam Kamarulzaman, Ketua Pengarah JPK, Pegawai-pegawai Kanan MESTECC, KSM dan KPM, Naib Chanselor Universiti Awam dan Swasta serta 380 orang wakil daripada universiti awam dan swasta, agensi, jabatan dan pemain industri berkaitan.
-TAMAT-
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi : Rosyila binti Abdul Latif
Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)
[email protected] 03 8885 8141 / 019 449 9049
Nurul Hafiza Jusoh
Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) [email protected]
03 8880 6268