Atas dasar keprihatinan terhadap kanak-kanak yang dilaporkan hilang, pemberi perkhidmatan selular akan mengedarkan satu perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) kepada setiap pengguna bagi mendapatkan persetujuan pengguna terhadap penerimaan hebahan kanak-kanak yang hilang. Hebahan akan dibuat melalui perkhidmatan pesanan multimedia (MMS) yang mengandungi imej dan identiti kanak-kanak terbabit.
Pewujudan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR (National Urgent Response) Alert merupakan inisiatif kerajaan yang dipengerusikan oleh Polis DiRaja Malaysia bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah mendapat perlindungan daripada eksploitasi, keganasan dan pengabaian.
Hebahan NUR Alert tersebut akan disebar dengan kadar yang segera sekaligus membantu pihak penguatkuasa menjalankan risikan dan tangkapan dengan pantas. Namun begitu, pengguna hendaklah terlebih dahulu memilih untuk menerima hebahan NUR Alert melalui SMS yang bakal diedarkan oleh pihak pemberi perkhidmatan selular masing-masing.
Tiada caj akan dikenakan oleh pemberi perkhidmatan untuk pendaftaran dan penerimaan hebahan MMS-NUR Alert.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman web SKMM di www.skmm.gov.my Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Off Persiaran Multimedia 63000 Cyberjaya, Selangor
Tel: +603 86 88 80 00/+603 22 72 66 66 Faks: +603 86 88 10 06
Talian Bebas Tol: 1 800 888 030
PEMBERITAHUAN
www.skmm.gov.my
Dengan Kerjasama