Persepsi Pelajar Universiti Terhadap Keberkesanan Pengajaran Pensyarah
(University Students’ Perception of Lecturers’ Teaching Effectiveness)
Normala Ismail1*, Mohamad Kamil Ariff Khalid1
1 Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA, Pahang, Malaysia
*Corresponding Author: [email protected] Received: 15 May 2023 | Accepted: 10 July 2023 | Published: 30 July 2023
DOI:https://doi.org/10.55057/ijares.2023.5.2.21 __________________________________________________________________________________________
Abstrak: Pensyarah memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan, pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan interaksi antara pensyarah dengan pelajar. Tujuan kajian ini adalah untuk melihat keberkesanan pengajaran pensyarah dalam kursus Ekonomi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang.
Kajian ini mendapati bahawa pengajaran pensyarah yang berkesan dapat dilihat dari aspek personaliti, perlakuan pengajaran, hubungan dan sikap pensyarah terhadap pelajar. Dapatan kajian turut menunjukkan terdapat lima ciri utama personaliti pensyarah yang menjadi pilihan pelajar iaitu mesra, tegas, prihatin, menepati masa dan rajin. Hasil analisis regresi berganda pula menunjukkan personaliti seperti mesra dan suka berjenaka merupakan penganggar signifikan bagi pencapaian pelajar. Kajian juga menunjukkan pengetahuan dan pengalaman mengajar adalah faktor dominan yang mempengaruhi gred pelajar. Justeru, pensyarah perlu mempelbagaikan usaha untuk menarik minat pelajar agar pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar, berkesan dan menyeronokkan.
Kata Kunci: keberkesanan pengajaran, pensyarah, pencapaian akademik pelajar
Abstract: Lecturers play an important role in the education, teaching and learning process.
The teaching and learning process involves interaction between lecturers and students. The purpose of this study is to identify the teaching effectiveness of lecturers in Economics course at Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang Branch. This study found that the lecturers’
effectiveness in teaching can be seen from their personality, teaching behaviour, relationship and attitude towards the students. The findings also show that there are five main characteristics of the lecturers’ personality that students choose which are friendly, firm, attentive, punctual and diligent. The results of the multiple regression analysis show that personality such as friendliness and sense of humour are significant predictors of the students’
academic achievement. The study also shows that knowledge and teaching experience are the dominant factors that affect students’ academic grades. Therefore, lecturers need to diversify their efforts to attract students’ interest so that teaching and learning can be smooth, effective and fun.
Keywords: teaching effectiveness, lecturers, students’ academic achievement
___________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Pensyarah memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan, pengajaran dan pembelajaran. Pensyarah yang mempunyai sahsiah yang baik boleh melaksanakan dengan berjaya pendidikan yang bersepadu berasaskan Falsafah Pendidikan Negara yang dapat melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai keyakinan diri serta memberi sokongan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Menurut McNergney &
Caldwell (2013), pensyarah bertindak sebagai salah seorang pengurus kerana melaksanakan beberapa fungsi pengurusan dalam bilik kuliah bagi melaksanakan kurikulum. Proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan interaksi antara pensyarah dengan pelajar. Hasil daripada perhubungan ini akan menentukan sama ada pensyarah boleh mengajar, dan sama ada pelajar bersedia untuk belajar. Oleh itu, keberkesanan pengajaran pensyarah bergantung kepada bagaimana seseorang pensyarah itu dapat menyesuaikan diri dan memahami masalah pembelajaran pelajar. Menurut Robiah & Hassan (2000), sifat orang yang menjadi pensyarah terbahagi kepada tiga, iaitu (1) pensyarah yang sebenar-benarnya pensyarah, dalam erti kata beliau berdedikasi, suka dan minat pada pekerjaannya, (2) pensyarah yang bukan pensyarah, dalam erti kata beliau tidak berminat dengan profesionnya. Beliau menjadi pensyarah secara kebetulan dan menunggu peluang untuk ‘melompat’ ke pekerjaan yang lain, dan (3) pensyarah yang kehilangan arah disebabkan oleh kekecewaan dan masalah peribadi yang tidak dapat diatasi. Kedudukan pensyarah yang sebegini adalah antara golongan (1) dengan (2), yang boleh berubah ke golongan (1) atau (2) jika mereka mahu.
Selanjutnya, Medley (2012) berpendapat bahawa kualiti perhubungan antara pensyarah dengan pelajar mempunyai kesan terhadap kesediaan pelajar mengambil bahagian semasa kuliah.
Beliau berpendapat bahawa jika hubungan yang positif wujud antara pensyarah dengan pelajar, ini akan membuatkan seseorang pelajar itu berusaha dan bekerjasama dengan pensyarah mereka. Bagi pelajar pula, peranan utama pensyarah adalah mengajar. Kebiasaannya, pelajar memerlukan penerangan yang jelas daripada pensyarah mengenai masalah pembelajaran dan bimbingan ke arah penyelesaian masalah. McNergney & Caldwell (2013) berpendapat bahawa kepimpinan pensyarah dalam bilik kuliah mempunyai kesan yang positif terhadap hasil pembelajaran, iaitu dari segi tingkah laku, sikap, dan akademik pelajar. Kajian mereka mendedahkan bahawa terdapat tujuh faktor utama yang mendorong keberkesanan pengajaran seseorang pensyarah, iaitu (1) suasana pembelajaran yang tenteram, (2) ketrampilan pensyarah, (3) masa yang mencukupi, (4) peralatan yang mencukupi, (5) penghargaan yang tinggi, (6) pengesanan kemajuan pelajar, dan (7) penyeliaan pengajaran yang berkesan. Menurut George (2015) pengajaran yang berkesan merupakan pengajaran yang boleh meningkatkan pembelajaran dalam diri pelajar. Pembelajaran yang efektif hanya boleh berlaku dalam suasana yang sihat, bersemangat, dan demokratik. Hasil pembelajaran akan mengubah tingkah laku pelajar akibat daripada penerimaan pengetahuan atau kepercayaan yang baharu. Getzels &
Jackson (2013) dalam kajian mereka mendapati bahawa pensyarah yang efektif adalah pensyarah yang mempunyai beberapa sifat seperti pengetahuan yang mendalam, adil, bertanggungjawab, dinamik, terbuka, tegas, dedikasi, demokratik, dan hubungan interpersonal yang baik. Penerimaan pembelajaran pelajar pula merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
Proses pengajaran adalah sesuatu yang kompleks. Pengajaran yang menarik dan berkesan merupakan pengajaran yang boleh menghasilkan pembelajaran pelajar sebagaimana yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Justeru, kajian ini dijalankan untuk melihat keberkesanan pengajaran pensyarah dalam kursus Ekonomi di Universiti Teknologi MARA
(UiTM) Cawangan Pahang. Oleh itu, apakah ciri-ciri yang perlu ada dalam kalangan pensyarah yang boleh mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran?
2. Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah untuk:
i. Mengetahui sikap dan sahsiah pensyarah yang mempengaruhi minat pelajar untuk belajar.
ii. Mengenal pasti ciri-ciri pensyarah dari aspek personaliti yang boleh menarik minat pelajar untuk belajar.
iii. Mengenal pasti bentuk hubungan antara pensyarah dengan pelajar yang mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
3. Hipotesis Kajian
Bagi tujuan kajian ini, sebanyak tiga hipotesis telah dibentuk, iaitu:
i. Tiada perbezaan signifikan antara jantina pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan (Hipotesis 1, H1).
ii. Tiada perbezaan signifikan antara program pengajian pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan (Hipotesis 2, H2).
iii. Satu set pembolehubah bebas personaliti pensyarah, pensyarah dalam pengajaran, sikap dah sahsiah pensyarah, dan hubungan pensyarah dengan pelajar secara signifikan tidak dapat menghuraikan varians persepsi pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan (Hipotesis 3, H3).
4. Kajian Literatur
Umumnya, keberkesanan pengajaran dan pembelajaran berkait dengan tahap profesionalisme seseorang pensyarah. Perkembangan profesionalisme ini meliputi semua aspek pengajaran dan pembelajaran, iaitu dari perancangan pengajaran, pengembangan pengajaran, dan penilaian pelajar. Dengan kata lain, pensyarah juga perlu sentiasa peka dan bersedia menambah, dan mencambah ilmu pengetahuan yang sedia ada di samping mempunyai sikap ‘dahaga’ dalam pencarian dan penemuan ilmu-ilmu baharu dalam pendidikan. Menurut Rosenshine (1970), melalui usaha peningkatan profesionalisme, pensyarah akan mengenali diri, mengetahui kekuatan dan kelemahan, dan mengetahui caragaya tersendiri dalam merealisasikan potensi mereka sebagai pendidik. Caragaya yang dimiliki ini pula boleh ‘lentur’ dan disesuaikan dengan ‘kerenah’ pelajar.
Pensyarah diharapkan bukan sahaja setakat mengajar, memberikan ilmu pengetahuan, tetapi juga mendidik. Pensyarah perlu menjadi agen perubahan. Mereka bukan sahaja perlu membentuk sikap, nilai, akhlak, memberikan contoh-contoh yang baik yang boleh dijadikan ikutan oleh pelajar, malah memberi pandangan-pandangan baharu yang membawa kepada kemajuan. Dengan kata lain, seseorang pensyarah perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Adalah ‘ganjil’ jika seseorang pensyarah yang hendak mengajar sesuatu pelajaran tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pelajaran tersebut. Menurut Atan (1986), seseorang pensyarah hendaklah merancang aktiviti pengajaran dengan teliti terlebih dahulu sebelum mengajar. Rancangan pengajaran hendaklah dibuat sebelum sesi perkuliahan bermula. Menurut beliau, persediaan mengajar hendaklah dibuat dengan terperinci bersama dengan alat-alat bantuan mengajar. Persediaan yang rapi akan menyebabkan pengajaran pensyarah menjadi lebih bersistematik, teratur, dan terarah kerana ia menunjukkan apa yang telah dibuat, ke arah mana pelajar-pelajar akan dibimbing, dan apakah tugasan-
tugasan yang mesti dilakukan oleh pelajar dalam topik pelajaran tersebut. Justeru, persediaan mengajar sepatutnya ‘menceritakan’ dengan cara yang mudah apa yang akan dilakukan oleh pensyarah, bagaimana pelajar-pelajar ‘dilibatkan’ dalam pengajaran dan pembelajaran, dan sejauh mana interaksi berlaku antara pensyarah dan para pelajar.
Selain dari persediaan rancangan pengajaran, cara penyampaian pensyarah yang berstruktur dan menarik juga perlu diambil kira. Mengikut Apelman (1986), ‘productive teachers are those who can build a conducive learning climate in which students enjoy learning and can master what they are supposed to master. Teaching is looked upon as an art, and productive teachers are looked upon as artists who can motivate their students, and to nurture in them (the students) the interest to learn and find out more about the subject being taught. This can only be done when teachers know themselves as individuals and can adapt their own unique characteristics to the elements of the situation, and the context of their teaching.’ Dengan kata lain, produktiviti pensyarah boleh dilihat dari kejayaan mereka menyampaikan pengajaran. Penyampaian pengajaran yang baik dapat membimbing pelajar ke arah perkembangan sahsiah dan akhlak yang baik.
Khalid (2005) turut menyatakan bahawa suatu pelajaran yang baik adalah apabila pensyarah tidak hanya mengajar dengan bercakap atau memberi kuliah, tetapi melibatkan pelajar-pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan secara ‘menghidupkan’ pelajar dengan menarik perhatian mereka, menyoal, menggunakan alat-alat bantuan mengajar, berkongsi pengalaman sedia ada, dan memberi kerja-kerja atau tugasan-tugasan sesuai merupakan antara teknik untuk penglibatan secara langsung daripada para pelajar. Namun, menurut Atan (1988), tugasan yang diberikan kepada pelajar mestilah releven dengan topik yang diajar di samping mencapai objektif rancangan pengajaran.
Menurut Rahimah (1992), adalah menjadi tugas pensyarah untuk menyampai dan mengembangkan pengajaran mereka bagi merealisasikan potensi pelajar semaksimum yang boleh. Keberkesanan pengajaran pensyarah diukur bukan sahaja dari kejayaan mereka menyampaikan pengajaran di dalam bilik kuliah, selain dapat menghabiskan kandungan pelajaran seperti yang digariskan dalam silibus, tetapi mereka juga berjaya membimbing pelajar agar dapat memahami dan menguasai topik pelajaran yang dipelajari. Hal ini akan menimbulkan minat dan sikap inkuisitif dalam kalangan pelajar untuk berusaha mencari dan menimba ilmu baharu tanpa bergantung kepada pensyarah.
5. Metodologi Kajian
Kajian ini merupakan suatu kajian lapangan berdasarkan kajian rentas, yang mana satu atau beberapa pembolehubah bersandar dan pembolehubah bebas dikaji dalam kalangan pelajar peringkat Diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang. Unit analisis adalah terdiri daripada pelajar yang respons terhadap kajian. Populasi kajian ini terdiri daripada pelajar program pengajian Diploma Perbankan (BA119), Diploma Pentadbiran Awam (AM110), Diploma Pengurusan Perniagaan (BA111) dan Diploma Pengurusan Teknologi Pelajabat (BA118) yang telah mengambil kursus Prinsip Ekonomi Asas (ECO120), kursus Mikroekonomi (ECO162), dan kursus Makroekonomi (ECO211). Apabila kebenaran telah diperoleh daripada pihak pengurusan universiti, maka satu prosedur persampelan rawak nisbah berstrata, yang meliputi keempat-empat program pengajian telah digunakan. Sebanyak 300 borang soal selidik telah diedarkan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 289 borang (96.3%) sesuai digunakan untuk analisis selanjutnya dan 11 borang (3.7%) lagi tidak dapat digunakan
kerana terdapat beberapa bahagian soalan yang tidak berjawab. Ringkasan struktur soal selidik adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Struktur Soal Selidik
Bahagian Perkara Nombor Soalan
A Latar Belakang Responden A1 ‒ A12
B Personaliti Pensyarah B1 ‒ B14
C Pensyarah dalam Pengajaran C1 ‒ C27
D Hubungan Pensyarah dengan Pelajar D1 ‒ D5
E Sikap dan Sahsiah Pensyarah E1 ‒ E5
Data dari kajian ini dianalisis menggunakan pakej ‘Statistical Package for Social Sciences’
(SPSS) versi 23. Taburan frekuensi dan peratusan digunakan bagi menggambarkan persoalan nominal. Analisis faktor pula digunakan untuk persoalan yang berbentuk interval. Melalui analisis faktor, pembolehubah tidak lagi dikategorikan sebagai bersandar atau bebas, sebaliknya seluruh hubungan yang saling berkait dalam kalangan pembolehubah akan dikaji.
Analisis ini akan mengurangkan bilangan pembolehubah yang saling berkait kepada beberapa faktor atau dimensi yang munasabah bagi tujuan kajian selanjutnya. Seterusnya, ujian kebolehpercayaan Alpha Cronbach digunakan bagi mengukur kebolehpercayaan dan kesahan faktor-faktor tersebut, yang akan diterima jika nilai Alpha Cronbach adalah melebihi 0.60 (Hair et al., 2010). Kemudian, faktor-faktor ini akan dikelompokkan dan dinamakan sebagai pembolehubah baharu. Interkorelasi dalam kalangan pembolehubah-pembolehubah ini pula akan diuji menggunakan ujian Korelasi Pearson. Bagi menguji H1, ujian-t digunakan untuk melihat sama ada wujud perbezaan jantina pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan. Selanjutnya, H2 diuji menggunakan ujian ANOVA Sehala bagi melihat sama ada persepsi terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan adalah sama tanpa mengambil kira program pengajian pelajar. Akhir sekali, ujian Analisis Regresi Berganda menggunakan kaedah Enter dilakukan bagi menguji H3, iaitu personaliti pensyarah, pensyarah dalam pengajaran, sikap dan sahsiah pensyarah, dan hubungan pensyarah dengan pelajar berhubung secara signifikan dalam persepsi pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan.
6. Analisis Hasil Kajian
Latar Belakang Responden
Daripada 289 responden yang diselidik, 27.34% adalah lelaki, sementara 72.66% adalah perempuan. Dari aspek umur, kategori yang paling tinggi ialah antara 20 hingga 23 tahun, iaitu sebanyak 96.5%. Dari segi rekod pencapaian akademik, iaitu Himpunan Purata Gred Keseluruhan (HPGK) pula, data menunjukkan 7.3% pelajar mendapat HPGK 3.50 ke atas, 40.5% pelajar mendapat 3.01-3.49, 40.8% pelajar mendapat 2.50-3.00, 11.1% memperoleh 2.00-2.49 dan baki 0.3% mencapai HPGK kurang dari 2.00. Responden pula terdiri daripada pelajar-pelajar program pengajian BA118 29.4%, AM110 24.9%, BA111 23.5% dan BA119 22.1% seperti ditunjukkan dalam Jadual 2.
Jadual 2: Latar Belakang Responden
Item Frekuensi (Orang) Peratusan (%)
Jantina Lelaki 79 27.34
Perempuan 210 72.66
Umur
20 tahun ke bawah 5 1.75
20-23 tahun 279 96.5
23 tahun ke atas 5 1.75
Gred Akademik (HPGK)
2.00 ke bawah 1 0.3
2.00-2.49 32 11.1
2.50-3.00 118 40.8
3.01-3.49 117 40.5
3.50 ke atas 21 7.3
Program Pengajian
AM110 72 24.9
BA111 68 23.5
BA118 85 29.4
BA119 64 22.1
Kursus Ekonomi yang Diambil
Jadual 3 menunjukkan 39.4% pelajar telah mengambil kursus ECO162, diikuti 33.5%
mengambil kursus ECO120 dan 27.1% mengambil kursus ECO211. Dari segi kategori pelajar pula, data menunjukkan bahawa 94.8% adalah pelajar ‘fresh’ (mengambil kursus Ekonomi kali pertama), 3.10% ‘droppers’ (menangguh mengambil kursus Ekonomi) dan baki 2.1% adalah pelajar ‘repeaters’ (mengulang kursus Ekonomi). Daripada 2.1% pelajar ‘repeaters’, 1.8%
responden didapati mengulang sebanyak satu kali, manakala baki 0.3% responden pula mengulang sebanyak dua kali.
Jadual 3: Kursus Ekonomi yang Diambil
Item Frekuensi (Orang) Peratusan (%)
Kursus Ekonomi Diambil
ECO120 97 33.5
ECO162 114 39.4
ECO211 78 27.1
Kategori Pelajar
‘Fresh’ 274 94.8
‘Droppers’ 9 3.1
‘Repeaters’ 6 2.1
Jadual 4 menunjukkan gred yang diperoleh oleh pelajar untuk setiap kursus Ekonomi yang diambil. Untuk kursus ECO120, majoriti pelajar (46.9%) memperoleh gred B, diikuti kursus ECO162 seramai 28% pelajar memperoleh gred B dan 28% gred B dalam kursus ECO211.
Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan majoriti pelajar secara purata memperoleh gred B bagi kursus ECO120, ECO162 dan ECO211.
Jadual 4: Gred Kursus Ekonomi yang Diperoleh Gred
ECO120 ECO162 EC0211
Frekuensi (Orang)
Peratusan (%)
Frekuensi (Orang)
Peratusan (%)
Frekuensi (Orang)
Peratusan (%)
A+ ‒ ‒ 3 2.4 3 4.3
A 13 13.8 13 11.1 6 7.2
A‒ ‒ ‒ 7 5.9 9 10.9
B+ 14 14.8 24 20.8 13 16.3
B 46 46.9 32 28 22 28
B‒ 11 11.7 9 7.6 17 22.8
C+ 12 12.1 17 14.5 7 10
C 4 0.7 9 9.7 1 0.5
Gagal ‒ ‒ ‒ ‒ ‒ ‒
Responden turut diajukan soalan mengenai sama ada mereka berminat dengan kursus Ekonomi yang diambil. Daripada 289 responden, 78.2% menyatakan mereka meminati kursus Ekonomi yang diambil berbanding dengan 21.8% responden yang tidak berminat. Selain itu, seramai 35.6% responden menyatakan mereka mempunyai asas dalam kursus Ekonomi semasa di peringkat sekolah menengah berbanding dengan 64.4% yang tidak mempunyai asas dalam kursus Ekonomi. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa 54.3% pelajar pernah ponteng kuliah dalam kursus Ekonomi berbanding dengan 45.70% yang tidak pernah ponteng.
Ciri-Ciri Personaliti Pensyarah Pilihan Pelajar
Jadual 5 menunjukkan sepuluh ciri-ciri positif personaliti pensyarah Ekonomi yang menjadi pilihan pelajar. Ukuran personaliti pensyarah ini ditentukan berdasarkan skala Likert lima mata, iaitu (1) amat setuju hingga (5) amat tidak setuju. Ciri-ciri personaliti pensyarah Ekonomi yang menduduki lima tangga teratas adalah menepati masa (min = 4.071, S.P. = 0.780), tegas (min = 3.967, S.P. = 0.753), prihatin (min = 3.964, S.P. = 0.763), rajin (min = 3.961, S.P. = 0.704) dan mesra (min = 3.905, S.P. = 0.679). Dapatan kajian ini menyokong kajian yang dijalankan oleh Anderson et al. (2014), iaitu pelajar-pelajar suka akan personaliti pensyarah yang menepati masa, tidak suka menangguh atau membatalkan kuliah tanpa notis awal, menghadiri, dan menamatkan masa kuliah tepat pada masa yang telah ditetapkan.
Sebaliknya, ciri-ciri negatif personaliti pensyarah yang paling tidak digemari oleh pelajar adalah garang (min = 1.581, S.P. = 0.345), suka mengkritik (min = 1.576, S.P. = 0.451) dan suka menyindir (min = 1.550, S.P. = 0.215). Ciri-ciri yang diperoleh ini antaranya menyokong kajian Borg & Shapiro (2016) yang menyatakan bahawa pelajar-pelajar boleh menerima jika seseorang pensyarah itu tegas, tetapi tidak garang.
Jadual 5: Ciri-Ciri Personaliti Pensyarah
No. Ciri-Ciri Personaliti Min Sisihan Piawai (S.P.)
1 Menepati masa 4.071 0.780
2 Tegas 3.967 0.753
3 Prihatin 3.964 0.763
4 Rajin 3.961 0.704
5 Mesra 3.905 0.679
6 Berkeyakinan 3.846 0.707
7 Gigih berusaha 3.739 0.688
8 Berpandangan jauh 3.682 0.758
9 Kreatif 3.653 0.708
10 Jujur 3.611 0.787
Analisis Faktor
Hasil analisis faktor menunjukkan terdapat empat set pembolehubah yang mempengaruhi persepsi pelajar terhadap ciri-ciri pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan, iaitu (1) personaliti pensyarah, (2) pensyarah dalam pengajaran, (3) sikap dan sahsiah pensyarah, dan (4) hubungan pensyarah dengan pelajar. Keputusan ujian Kaiser-Meyer-Olkin (KMO) yang diperoleh adalah 0.940 yang bermaksud, dalam kajian ini persampelan adalah mencukupi, diikuti dengan keputusan ujian Bartlett’s Test of Sphericity adalah 3837.841, dan mencapai nilai signifikan 0.000 (p < 0.05). Ini bermakna data kajian sesuai untuk analisis selanjutnya.
Menurut Hair et al. (2010), had penerimaan rendah kebolehpercayaan dan kesahan ialah 0.60.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa keempat-empat set pembolehubah tersebut telah memenuhi statistik kebolehpercayaan Alpha Cronbach dengan nilai Alpha = 0.93 > 0.60.
Seterusnya, keputusan ujian Korelasi Pearson turut menunjukkan terdapat hubungan antara keempat-empat set pembolehubah dengan faktor dalaman masing-masing. Hasil kajian menunjukkan kesemua pembolehubah adalah signifikan dan positif, iaitu p < 0.01. Hasil ujian Korelasi Pearson tertinggi ialah personaliti pensyarah (r = 0.849), diikuti hubungan pensyarah dengan pelajar (r = 0.790), pensyarah dalam pengajaran (r = 0.778), dan sikap dan sahsiah pensyarah (r = 0.695). Terdapat tiga faktor dalaman yang mempengaruhi personaliti pensyarah, iaitu (i) prihatin, (ii) peramah dan (iii) tegas. Ketiga-tiga faktor ini menyokong kajian yang dijalankan oleh Durden & Ellis (2015) dan Borg & Shapiro (2016) yang menyatakan bahawa pelajar suka pensyarah yang tegas, tetapi bukan garang. Bagi pensyarah dalam pengajaran pula, terdapat empat faktor dalaman yang mempengaruhi, iaitu (i) persediaan pensyarah, (ii) perancangan dan pelaksanaan pengajaran, (iii) pengetahuan dan pengalaman mengajar, dan (iv) sensitiviti dan penilaian pengajaran. Keempat-empat faktor ini mempunyai persamaan dengan kajian oleh Martin (2009) yang menyatakan bahawa pelajar-pelajar lebih suka akan pensyarah yang berpengetahuan dan berpengalaman luas. Seterusnya, terdapat enam faktor dalaman yang mempengaruhi sikap dan sahsiah pensyarah, iaitu (i) bersikap adil, (ii) pujian dan jawapan, (iii) kesalahan, (iv) bertimbang rasa, (v) berleter, dan (vi) menyindir pelajar. Dapatan kajian ini menyokong kajian Buckles & McMahon (2011) yang menyatakan bahawa pelajar suka sikap pensyarah yang adil, bertimbang rasa dan suka memberi kata-kata pujian dengan ‘bertempat’, misalnya memuji jika pelajar memperoleh markah cemerlang, tetapi pelajar tidak gemar jika pensyarah suka berleter dan menyindir. Akhir sekali, kajian mendapati terdapat lima faktor dalaman yang mempengaruhi hubungan pensyarah dengan pelajar, iaitu (i) mengancam, (ii) dorongan dan galakan, (iii) menghargai, (iv) persaingan yang positif, dan (v) keyakinan dan harapan. Hasil kajian ini menyokong Martin (2009) yang berpendapat bahawa pelajar akan hilang semangat mandiri, jika pensyarah suka mengancam dengan berdendam dan mengugut mereka.
Hasil Hipotesis Kajian
H1 Tiada perbezaan signifikan antara jantina pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan.
Jadual 6 menunjukkan hasil kajian antara jantina pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan menggunakan ujian-t. Dapatan kajian menunjukkan nilai p adalah 0.033, iaitu p = 0.033 < 0.05. Oleh itu, hipotesis nul ditolak. Ini bermakna terdapat perbezaan signifikan antara jantina pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan. Hal
ini mungkin disebabkan oleh pelajar-pelajar perempuan lebih beremosi berbanding dengan pelajar-pelajar lelaki. Walau bagaimanapun, hasil kajian ini menyokong kajian Browne et al.
(2011) yang menyatakan bahawa persepsi terhadap pengajaran pensyarah yang berkesan dipengaruhi oleh jantina pelajar.
Jadual 6: Ujian-t
Item Ujian-t
F Sig. t d.f. Sig. (‘2-tailed’)
Anggap varians sama Anggap varians tidak sama
0.543 0.5414 1.501 1.511
286 227.821
0.033**
0.013
**Sig. (‘2-tailed’) = 0.05
H2 Tiada perbezaan signifikan antara program pengajian pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan.
Jadual 7 menunjukkan hasil kajian antara program pengajian pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan melalui ujian ANOVA Sehala. Nilai signifikan bagi analisis ini adalah pada aras 0.05. Hasil kajian menunjukkan nilai statistik F = 0.501, dan nilai p adalah 0.283, iaitu p = 0.283 > 0.05. Oleh itu, hipotesis nul diterima, iaitu tidak terdapat perbezaan signifikan program pengajian pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan.
Keputusan ini menyokong kajian Romer (2013) yang menyatakan bahawa program pengajian yang diambil oleh pelajar tidak mempengaruhi pengajaran pensyarah yang berkesan, tetapi didorong oleh kecenderungan mereka untuk memilih siapa pensyarah yang mengajar.
Jadual 7: Ujian ANOVA Sehala
Items ‘Sum of Squares’ d.f. ‘Mean Square’ F Sig.
Antara Kumpulan 0.073 2 0.059 0.501 0.283**
Dalam Kumpulan 65.833 284 0.851
65.906 286
**Sig. (‘2-tailed’) = 0.05
H3 Satu set pembolehubah bebas personaliti pensyarah, pensyarah dalam pengajaran, sikap dah sahsiah pensyarah dan hubungan pensyarah dengan pelajar secara signifikan tidak dapat menghuraikan varians persepsi pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan.
Jadual 8 menunjukkan hasil Analisis Regresi Berganda menggunakan kaedah Enter. Nilai R2 ialah 0.467, bermakna 46.7% daripada pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan boleh dikaitkan dengan empat set pembolehubah bebas, iaitu (1) personaliti pensyarah, (2) pensyarah dalam pengajaran, (3) sikap dah sahsiah pensyarah, dan (4) hubungan pensyarah dengan pelajar. Dengan nilai p = 0.410 (p = 0.410 > 0.05), d.f. = 1, 28 dan nilai kritikal bagi nisbah F
= 0.699 (p = 0.301 > 0.05), maka hipotesis nul adalah ditolak. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa hasil analisis regresi yang diperoleh ini dapat meramalkan sebahagian besar varians persepsi pelajar terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan. Nilai Durbin-Watson yang diperoleh pula adalah 1.927, dan ia boleh diterima kerana berada dalam lingkungan 1.5 hingga 2.6 menunjukkan tidak berlaku auto-korelasi (Hair et al., 2010).
Jadual 8: Model Summaryb
Model Ra R ‘Square’ ‘Adjusted R Square’ ‘Std. Error of the Estimate’
1 0.684 0.467 0.428 7.856
a. ‘Predicto’r: (‘Constant’), 1, 2, 3, 4 b. ‘Dep. Variable’: Keberkesanan
Dapatan kajian menyokong kajian oleh Seigfried & Fels (2009) yang menyatakan bahawa faktor peramah, iaitu mesra dan suka berjenaka, yang mana pelajar dapat menghayati suasana pembelajaran tanpa rasa takut, merupakan penganggar signifikan terhadap keberkesanan pengajaran pensyarah. Seterusnya, dari aspek pengetahuan dan pengalaman mengajar, misalnya, pensyarah perlu mempelbagai tugasan dan aktiviti supaya pembelajaran menyeronokkan, melibatkan pelajar dengan aktif, memberi rangsangan kepada pelajar, selalu memberi galakan, menggalakkan pelajar bertanya soalan, dan menggunakan alat-alat bantuan mengajar turut mempengaruhi keberkesanan pengajaran pensyarah. Dapatan ini mempunyai persamaan dengan kajian Tay (2014) yang mendapati bahawa pelajar berasa yakin dengan pensyarah ‘senior’ yang tinggi ilmu pengetahuan dan banyak pengalaman mengajar.
Selanjutnya, faktor bertimbang rasa, iaitu pensyarah mestilah bertimbang rasa dengan menunjukkan empati di atas kelemahan pelajar juga merupakan antara penganggar yang berpengaruh. Dapatan ini menyokong kajian Topping (2014) yang menyatakan bahawa pensyarah perlu ada sifat bertimbang rasa ke atas kegagalan pelajar, tetapi tidak sehingga mengabaikan integriti dan keprofesionalan kerja mereka. Akhir sekali, faktor mengancam, iaitu tidak mengancam dengan mendenda pelajar turut merupakan penganggar berpengaruh dalam model ini. Menurut kajian Wetzel (2017), pensyarah yang suka menggertak atau menakutkan pelajar walaupun berniat baik, akan memberi implikasi negatif terhadap pelajar. Ada kemungkinan mereka akan gagal dan berputus asa untuk belajar.
3. Perbincangan dan Kesimpulan
Daripada kajian ini beberapa rumusan terhadap pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan dapat dilihat dari aspek personaliti, perlakuan pengajaran, hubungan dan sikap pensyarah terhadap pelajar. Misalnya, pengajaran pensyarah akan menjadi lebih berkesan di samping dapat menarik perhatian pelajar jika sentiasa cergas, ceria dan mempunyai suara yang jelas.
Pensyarah juga perlu tegas dengan pelajar, tetapi bukan garang. Cara ketrampilan pensyarah pula hendaklah kemas dan sesuai dengan personaliti seorang pengajar (Buckles & McMahon, 2011). Selain itu, pensyarah juga tidak seharusnya membezakan pelajar. Pensyarah mestilah bersikap adil dan bertimbang rasa terhadap setiap pelajar dalam setiap perkara. Pensyarah seharusnya jangan suka menyindir, memperkecilkan kebolehan, sentiasa mencari kesalahan, dan suka meleter pelajar kerana ini akan membuatkan mereka bosan dan membenci pensyarah.
Pensyarah juga perlu menyediakan pelbagai peluang untuk mengembangkan potensi bagi memenuhi keperluan yang berbeza dari aspek minat pelajar. Dengan kata lain, pensyarah perlu mempelbagaikan usaha pengajaran bagi menarik minat pelajar (Getzels & Jackson, 2013).
Selain itu, pensyarah perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan pelajar. Perhubungan ini boleh mewujudkan persefahaman, kemesraan, dan perkembangan sahsiah yang sihat di kalangan pelajar. Justeru, pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lancar dan menyeronokkan.
Akhir sekali, penyelidik menyarankan kajian mengenai persepsi pelajar terhadap ciri-ciri pengajaran pensyarah Ekonomi yang berkesan dan faktor-faktor yang berkaitan hendaklah lebih komprehensif, iaitu melibatkan persampelan dan skop yang lebih besar. Begitu juga penyelidik mencadangkan agar kajian perbandingan dijalankan antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang wujud untuk menentukan generalisasi hasil kajian yang lebih meluas.
Walaupun kajian ini mendapati HPGK sebagai penentu keberkesanan pengajaran pensyarah Ekonomi, namun pengukurannya masih lagi boleh diperbaiki. Oleh itu, dicadangkan dalam kajian lain, motivasi dan kesungguhan, disokong dengan kemampuan semula jadi pelajar dijalankan bagi mengukur keberkesanan pengajaran pensyarah. Walau bagaimanapun, kajian
ini boleh dijadikan sebagai panduan bagi memperbaiki dan mempertingkatkan mutu sistem pengajaran dan pembelajaran, bukan sahaja di peringkat universiti, malah di sekolah.
Rujukan
Anderson G., Benjamin, D. & Fuss, M. (2014). The Determinants of Success in University Introductory Economic Courses. The Journal of Economic Education. 25: 99-120.
Apelman, M. (1986). Working with Teachers: The Advisory Approach. In K. K., Zumwalt, Improving Teaching. ASCD Yearbook. 1-14.
Atan Long (1980). Pedagogi Kaedah Am Mengajar. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Atan Long (1988). Manusia Guru, Keguruan dan Perguruan, Calon Guru. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Borg, M. & Shapiro, S. (2016). Personality Type and Student Performance in Principles of Economics. The Journal of Economic Education. 27: 3-25.
Browne, N. M., Hoag, J., Wheeler, M. V. & Boudreau, N. (2011). The Impact of Teachers in Economic Classrooms. The Journal of Economics. XVII: 25-30.
Buckles, S. G. & McMahon, M. E. (2011). Further Evidence on the Value of Lecture in Elementary Economics. The Journal of Economic Education 2(2): 138-141.
Durden, G. C. & Ellis, L. V. (2015). The Effects of Attendance on Student Learning in Principles of Economics. The American Economic Review Papers and Proceedings. 85 (2): 343-346.
George, J. M. (2015). Psychology for Effective Teaching. Third Edition. New York: Holt and Rinehart Incorporation.
Getzels, J. W. & Jackson, P. W. (2013). The Teachers’ Personality and Their Characteristics.
In Handbook of Research and Teaching. Chicago: Rand McNolly.
Hair, J. F., Black, W. C., Babin, B. J. & Anderson, R.E. (2010). Multivariate data analysis, 7th ed. Prentice Hall, Upper Saddle River, NJ.
Khalid Ismail. (2005). Pengurusan Bilik Darjah dalam Konteks Pengajaran dan Pembelajaran Perakaunan. Petaling Jaya: Prentice Hall.
Martin, M. A. (2009). Course Prerequisites and Undergraduate Student Performance in Agricultural Economics. NACTA Journal 33: 38-42.
McNergney, R. & Caldwell, M. (2013). Guide to Classroom Teaching. Boston: Allyn and Bacon.
Medley, D. M. (2012). Teacher Effectiveness. Encyclopedia of Educational Research. Fifth Edition. New York: The Free Press.
Rahimah Hj. Ahmad (1992). Peningkatan Produktiviti Guru: Sasaran dan Tindakan. Masalah Pendidikan: Jurnal Pendidikan, 16.
Robiah Sidin & Hassan Langgulung. (2000). Ke Arah Pembentukan Guru-Guru yang Kreatif.
Jabatan Pendidikan: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Romer, D. (2013). Do Students Go to Class? Should They? The Journal of Economic Perspectives. 7(2): 167-174.
Rosenshine, L. J. (1985). Artistry in Teaching. New York: Random House.
Seigfried, J. J. & Fels, R. (2009). Research on Teaching College Economics: A Survey. The Journal of Economic Literature. 17(3): 923-969.
Tay, R. (2014). Student’s Performance in Economics: Does the Norm Hold Across Cultural and Institutional Setting? The Journal of Economic Education. 25: 291-302.
Topping, E. (2014). The Effects of Absences on Performance in Principles of Macroeconomics.
Missouri Academy of Science Annual Meeting. Missouri: Cape Girardeau.
Wetzel, J. N. (2017). Measuring Student Scholastic Effort: An Economic Theory of Learning Approach. The Journal of Economic Education. 9: 34-40.