• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 4: ANALISIS PERBAHASAN EPISTEMOLOGI KALAM MENURUT

4.3 KESEPADUAN ILMU DAN KAEDAH BERINTERAKSI

4.3.3 Bersikap Ilmiah Terhadap Sumber al-Khabar

Dalam perbahasan terhadap sumber al-khabar, al-Baqillani hanya menghuraikannya sebagai suatu sumber ilmu yang bersifat umum dan ringkas tanpa huraian yang terperinci. Al-khabar menurut al-Baqillani diakui sebagai satu bentuk penerimaan yang bersifat daruri dan mudah bagi sesuatu maklumat yang diperolehi. Jenis perkhabaran ini masih dianggap sebagai maklumat mentah yang diterima yang boleh dipertikaikan sama ada ianya maklumat yang benar mahupun maklumat yang salah. Namun bagi menilai terhadap penetapan sama ada khabar tersebut benar ataupun salah ia perlu melalui proses ilmu al-nazar bagi meneliti terhadap sumber-sumber yang disampaikan.

Namun, perbahasan al-Baghdadi terhadap al-khabar lebih tersusun dalam kerangka ilmu periwayatan hadis. Penerangan beliau tertumpu kepada khabar

al-sadiq yang memberi penekanan terhadap khabar mutawatir, mustafid dan ahad.

Melalui perbahasan ini, al-Baghdadi amat menekankan kepada sanad, matan dan pelapor yang ramai sebagai suatu keautoritian bagi penerimaan dan penghujahan dalam akidah. Hal ini bersesuaian dengan konsep khabar al-sadiq yang mengandungi dua elemen utama iaitu; 1) sifat saluran perkhabaran atau periwayatan dan; 2) kandungan perkhabaran. Elemen pertama merujuk kepada “khabar orang yang benar”. Manakala pada elemen kedua merujuk kepada “khabar yang benar”.23

Penekanan al-Baghdadi terhadap perbahasan al-khabar merupakan merupakan satu bentuk ketelitian beliau dalam membahaskan persoalan akidah. Ini kerana sesuatu yang dibahaskan dalam akidah hendaklah bersifat autoriti dan

yakin. Justeru, dalam meneliti sesuatu pendapat atau hujah, seorang Muslim haruslah menilai sejauhmanakah pendapat tersebut bersandarkan kepada asas-asas ilmu yang bersumberkan mutawatir.

Al-Baghdadi juga menerima sesuatu ilmu yang dilaporkan melalui

al-khabar sama ada ia berbentuk al-daruri ataupun al-nazari. Dalam hal ini, beliau

membahagikan al-khabar kepada mutawatir, ahad dan mustafid. Bagi al-khabar

al-mutawatir, beliau menetapkan ia adalah penerimaan ilmu secara daruri kerana

bilangan pelapor sesuatu berita adalah ramai sehingga akal mampu menerima tanpa mempersoalkan tentanng berita tersebut. Dalam hal ini juga, taraf al-khabar

al-mutawatir tersebut adalah yang paling tinggi tanpa perlu dipersoalkan. Namun

sekiranya taraf al-khabar bersifat ahad, al-Baghdadi tidak menolak dari segi keyakinan berita tersebut, cuma dari segi memberi faedah ilmu ia tidak sampai kepada tahap mutawatir. Walaupun begitu, dari segi pengamalan terhadap sumber tersebut, ia wajib diyakini.

Melalui sikap ilmiah al-Baghdadi terhadap khabar ahad, penerimaan terhadap bentuk berita atau sumber ini adalah seimbang di mana beliau tidak memberi nilai ilmu yang muktamad sebagaimana khabar mutawatir tetapi ia tetap mempunyai nilai ilmiah dari segi pengamalan. Oleh yang demikian, penjelasan al-Baghdadi terhadap nilai ilmiah khabar ahad merupakan satu sikap kecermatan beliau dan sikap al-Asha‘irah itu sendiri yang tidak terlalu sembrono sehingga tidak terlalu mudah dalam hukum mengkafirkan seseorang yang menolak sumber ilmu terutamanya melalui sumber al-khabar.

Penerimaan sumber al-khabar dalam epistemologi Islam merupakan titik pemisah terhadap metodologi sumber ilmu antara Islam dan Barat yang hanya

berpaksikan kepada pancaindera dan akal sahaja. Hal ini adalah kerana penolakan metodologi Barat terhadap sumber wahyu yang dianggap tidak relevan dan tidak berautoriti. Namun, dalam hujah dan penelitian yang dikemukakan oleh al-Baghdadi, al-khabar al-sadiq adalah sumber kebenaran dan realiti berdasarkan kepada elemen dan gabungan sanad, matan dan pelapor yang ramai sebagai suatu keautoritian bagi penerimaan dan penghujahan. Ia adalah penerimaan yang paling meyakinkan dalam hierariki sumber ilmu yang merujuk kepada al-Qur’an dan Hadith.

Penelitian dan penghujahan al-Baghdadi terhadap al-khabar al-sadiq sebagai satu sumber ilmu yang meyakinkan dan hakiki adalah berdasarkan kaedah yang telah ditetapkan dalam penelitian sumber tersebut. Ia bersandarkan kepada keautoritian yang diterima dan diteruskan hingga akhir zaman terhadap dua sumber utama iaitu al-Qur’an dan Hadith. Ini kerana penelitian terhadap sumber

al-khabar melibatkan sekumpulan individu atau manusia yang membawa berita

atau sesuatu dakwaan.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada pandangan Baqillani dan al-Baghdadi dalam meneliti sumber-sumber epistemologi Islam, mereka amat menekankan kesepaduan sumber ‘aqli dan naqli sebagai teori ilmu. Bagi tujuan ini, penyelesaian kepada konflik dan masalah yang berlaku dalam masyarakat tidak terhad kepada sumber akliyyah sahaja, bahkan peranan penting yang dimainkan oleh sumber naqliyyah dalam mengemukakan penyelesaian yang tidak dapat diukur dan dinilai dengan pengamatan pancaindera dan akal semata-mata.

Saluran ilmu yang diperolehi melalui pancaindera dan akal seharusnya juga mempunyai matlamat dan tujuan terhadap apa yang diperolehinya. Ia boleh

dikaitkan dengan tuntutan fardhu kifayah bagi seseorang Muslim. Ini kerana sekiranya kedua saluran ini tidak didorong oleh tujuan yang sebenar, penggunaan saluran tersebut akan membawa kepada keberhasilan maklumat yang berpanjangan sehingga membawa kepada penipuan intelektual yang berterusan.24

Sebagai kesimpulan, penetapan al-Baqillani dan al-Baghdadi terhadap sumber ilmu yang boleh dicapai oleh manusia melalui pancaindera, akal dan

al-khabar al-sadiq mempunyai dua tujuan penting. Pertamanya ia sebagai hujah bagi

golongan yang menolak salah satu daripada sumber tersebut sebagai sumber dalam perolehan ilmu. Ketetapan ini juga sebagai panduan bahawa umat Islam tidak menolak sumber empiris dan rasionalis selagimana ia tidak melampaui batas yang telah ditetapkan. Sementara tujuan kedua pula adalah disebabkan kesepaduan ilmu yang berdasarkan kepada hierarki dan syarat yang ditetapkan sebagai suatu hujah bagi menolak kefahaman dan ideologi faham ilmu Barat yang berasaskan kepada alam kebendaan dan rasinaonalistik semata-mata.

Dalam hal ini juga, melalui perbahasan terhadap kesepaduan ilmu yang dijelaskan oleh al-Baqillani dan al-Baghdadi bukan hanya menekankan tentang hakikat-hakikat kebenaran dalam Islam, bahkan turut mengiktiraf saluran-saluran tersebut berdasarkan kemampuan manusia untuk memperolehinya. Kefahaman yang benar terhadap saluran-saluran ini telah membentuk satu kerangka berfikir dan metodologi yang kukuh dalam menilai sumber-sumber utama ilmu dalam Islam sebagai suatu prinsip bahawa Islam tidak menolak penelitian pancaindera dan akal dalam perolehan ilmu selagi tidak melampaui batas-batas yang ditetapkan. Melalui kesepaduan sumber wahyu, pancaindera dan akal ia

merupakan pengukuhan metodologi yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain sebagai suatu perbahasan epistemologi Islam yang dapat diaplikasikan sepanjang zaman.