BAB 4: ANALISIS PERBAHASAN EPISTEMOLOGI KALAM MENURUT
4.3 KESEPADUAN ILMU DAN KAEDAH BERINTERAKSI
4.3.1 Peranan Akal Dalam Menyalurkan Sumber Ilmu
Peranan akal diakui oleh al-Baqillani dan al-Baghdadi sebagai salah satu sumber yang boleh membawa kepada ilmu. Penerangan al-Baqillani terhadap akal tertumpu kepada penghujahan beliau terhadap konsep al-daruri, al-nazar dan
istidlal.
Melalui perbahasan akal yang dijelaskan al-Baqillani, ia mempunyai dua pengertian iaitu akal yang dikaitkan dengan kalbu dan akal yang berhubung dengan aspek intelek. Akal pada pengertian yang pertama bertindak sebagai asas dalam memahami maklumat dan membezakan sesuatu perkara seperti perkara-perkara yang mudah (aksiomatik). Ia juga bersifat fitrah atau naluri yang wujud dalam pemikiran manusia. Manakala akal yang berhubung dengan aspek intelek pula bertindak dengan kemampuannya untuk berfikir secara logik dan rasional dalam membentuk sebarang teoritikal.
12 ‘Abd al-Halim Mahmud (Dr), al-Islam wa al-‘Aql (cet. ke- 4, al-Qahirah: Dar al-Ma‘arif, 1997), 30. Lihat juga edisi Bahasa Melayu yang diterjemahkan; Al-Sheikh Abdul Halim Mahmud, Islam
dan Akal, terj. Mohd Fakhrudin Abd Mukti (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995),
Melalui penekanan terhadap akal intelek, ia merupakan suatu proses penggunaan akal yang lebih tinggi berbanding keupayaan akal pada ‘ilm
al-daruri. Al-Baqillani menghubungkan tentang konsep ilmu al-nazar dan istidlal
yang melibatkan penggunaan akal pada tahap yang sistematik dalam mencapai ilmu yang meyakinkan sekiranya berdasarkan pendalilan yang benar. Ini bersesuaian dengan apa yang pernah dikemukakan oleh al-Ash’ari bahawa akal perlu digunakan pada tempatnya yang betul bagi mengelakkan sikap manusia yang suka bertaklid dan mengambil mudah dalam persoalan keagamaan.13
Walaupun begitu, al-Baqillani sendiri mengakui bahawa penglibatan akal melalui ilmu al-nazar bukan kemuktamadan kepada perolehan ilmu yang dimiliki melalui jalan ini kerana ilmu al-nazar sendiri juga terdedah kepada penganalisisan yang salah serta boleh terkeliru sekiranya tidak bersandarkan kepada premis yang betul. Bagi tujuan tersebut, penglibatan akal dalam ilmu al-nazar hendak digunakan secara sistematik, tersusun, serius dan bersandarkan kepada dalil yang benar bagi menghasilkan natijah yang tepat. Oleh yang demikian, berdasarkan kepentingan al-nazar dalam menilai dalil-dail yang dikemukakan al-Baqillani, tokoh-tokoh al-Asha‘irah terkemudian telah menyusun dan menghuraikan perbahasan al-nazar dengan lebih lengkap sebagaimana yang dilakukan oleh Fakhr Din Razi (m. 606H.), Amidi (m. 631H.), Baydawi (m. 685H.), al-Iji (m. 756H.) dan lain-lain tokoh melalui karya-karya mereka.
Sementara perbahasan terhadap sumber akal yang ditekankan oleh al-Baghdadi juga hampir sama sebagaimana al-Baqillani di mana ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu penggunaan akal pada tahap rendah dan akal pada tahap tinggi.
13 Mohd Radhi Ibrahim, “Risalah fi Istihsan Khawd fi ‘Ilm Kalam Karangan Imam al-Asy‘ari: Terjemahan Teks”, Jurnal AFKAR, bil 4, (Mei 2003), 8.
Walaupun begitu, dalam perbahasan tentang akal, al-Baghdadi juga tidak membahaskannya dalam peruntukan khas yang menerangkan secara khusus penggunaan akal sebagai sumber epistemologi. Kebanyakan penjelasan Baghdadi tentang akal boleh dilihat melalui penerangan beliau terhadap ilmu
al-daruri dan ilmu al-nazari.
Antara contoh penglibatan akal yang paling mudah diterangkan oleh al-Baghdadi adalah melalui perbahasan beliau terhadap ilmu al-badihi yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu badihi fi nafi dan badihi fi ithbat. Penglibatan akal pada tahap paling mudah dikaitkan dengan kaedah badihi fi nafi di mana secara asasnya pemikiran manusia tidak perlu untuk membuktikan perkara itu berlaku dari sudut hukum akal. Sebagai contoh al-Baghdadi mengumpamakan dua keadaan berlawanan atau dua proposisi bertentangan yang tidak boleh wujud dalam suatu masa yang sama seperti berkeadaan qadim (kekal) dan baharu dalam suatu masa. Begitu juga keadaan mati dan hidup serta jahil dan berilmu yang tidak boleh berhimpun dalam satu masa yang sama.14 Ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan konsep hukum akal. Selain itu, akal secara asasnya juga mampu untuk memahami perkara-perkara mustahil al-daruri dalam hukum akal yang tidak boleh diterima oleh akal tentang kewujudannya seperti nombor 1 lebih besar dari nombor 2 (1 > 2) atau gambaran seorang anak yang melahirkan seorang ibu. Ia merupakan suatu keadaan mustahil al-daruri terhadap hakikat tersebut yang tidak memerlukan asas pemikiran untuk mengetahui kemustahilannya.
Sementara penggunaan akal pada tahap sistematik ditekankan oleh Baghdadi melalui perbahasan ilmu nazari yang terbahagi kepada nazar
‘aqli dan al-nazar al-syar‘i. Kedua-dua sumber ini memerlukan kepada penelitian
akal dalam memahami dalil-dalil yang dikemukakan. Bagi nazar ‘aqli, al-Baghdadi menjelaskan bahawa terdapat tiga metodologi dapat digunakan untuk ilmu nazar ‘aqli iaitu, kaedah qiyas, ujikaji dan ilham. Sementara
al-nazar al-syar‘i adalah melalui hukum-hukum syariah yang diperolehi melalui
jalan kitab (al-Qur’an), sunnah (Hadith), ijmak dan qiyas.15
Dalam hal ini, al-Baghdadi mengkategorikan sumber syar‘i dalam kelompok al-nazar kerana kebenaran syariah terjelma daripada kebenaran nabi dan kebenaran maklumat-maklumat yang dibawa nabi adalah melalui jalan
al-nazar dan istidlal yang memerlukan penelitian yang mendalam terhadap
sumber-sumber itu dari sudut proses dan jalan tertentu sebagaimana yang difahami dalam ilmu periwayatan hadis.16 Bagi al-Baghdadi, seandainya maklumat tersebut bersifat daruri yang bersumberkan hissi atau badihi ia tidak diterima oleh orang yang mengingkari sumber-sumber keagamaan yang terdiri dari kalangan ahli
hawas dan serta sebahagian dari golongan sofis sendiri. Kesemua dalil-dalil yang
dikemukakan oleh Baghdadi tersebut adalah sah dan menepati kehendak
al-‘aqli atau al-naqli dalam mensabitkan ilmu berdasarkan jalan al-nazar.
Justeru, penglibatan akal dalam perbahasan al-nazari adalah lebih sistematik dan serius bagi memastikan kesimpulan yang dihasilkan daripada dalil-dalil yang dikemukakan adalah mencapai tahap yakin. Bagi memastikan hujah-hujah akliyyah berada pada landasaan yang tepat, para ulama yang terkemudian merumuskan bahawa antara syarat penerimaan akal sebagai sumber ilmu adalah perlu berada dalam keadaan sihat dan baik bagi memastikan setiap keputusan,
15 al-Baghdadi, Usul al-Din, 17.
analisis dan kesimpulan yang dilakukan adalah bertepatan dengan maklumat yang disampaikan. Hal ini kerana akal manusia sering dipengaruhi oleh pemikiran dan imaginasi yang salah walaupun berdasarkan kepada maklumat yang betul.17
Oleh yang demikian, melalui penjelasan al-Baqillani dan al-Baghdadi terhadap asas kepada penerimaan akal telah membentuk perbahasan yang komprehensif tentang kaedah hukum akal yang mula ditekankan oleh al-Sanusi (m. 895H.) pada abad ke 9 hijrah. Seterusnya perbahasan tentang prinsip dan hukum akal ini menjadi faktor penting dalam memahami perkara-perkara akidah pada tahap asas sekiranya dikaitkan dengan ketuhanan atau kenabian.