• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 2: SOROTAN LITERATUR

2.2 Teori Taksonomi Pendidikan

2.2.2 Domain Afektif

Krathwohl et al. (1964) adalah antara penyelidik yang memperkenalkan domain afektif. Domain afektif adalah dirumuskan daripada objektif-objektif yang berkaitan dengan minat, sikap, nilai penghargaan dan penyesuaian. Krathwohl mengkategorikan domain afektif bagi taksonomi pendidikan kepada lima bahagian iaitu penerimaan, gerak balas, penilaian, organisasi dan pembentukan sesuatu nilai.

Penerimaan (receiving / attending) merupakan aras yang paling rendah. Ia merujuk kepada kesanggupan murid memberi perhatian dan kesedaran kepada sesuatu fenomena atau rangsangan seperti aktiviti pengajaran, bahan pelajaran, lakonan dan sebagainya. Aras penerimaan terbahagi kepada tiga kategori seperti berikut:

a. Kesedaran

Aras ini merujuk kepada kesedaran faktor-faktor estetik yang mempengaruhi kecantikan sesuatu benda. Murid juga sedar terdapat pelbagai pendapat mengenai sesuatu perkara dan setiap orang mempunyai perasaan tersendiri.

b. Kesanggupan menerima (willingness to receive)

Aras ini merujuk kepada kesanggupan memberi perhatian, mendengar ucapan orang dan menujukkan toleransi serta menghormati kebudayaan orang lain.

c. Perhatian Terkawal atau Terpilih (controlled or selected attention).

Aras ini merujuk kepada kesanggupan memberi perhatian kepada rangsangan yang dipilih dan meperhatikannya.

Aras bertindak balas (responding) merujuk kepada kesanggupan bertindak balas terhadap sesuatu rangsangan yang diberi perhatian. Aras ini meliputi tiga kategori sebagai berikut:

a Persetujuan membalas (acquiescene of responding)

Aras ini melibatkan kemahuan dan kesudian mematuhi peraturan-peraturan sedia ada, misalnya mengajukan soalan, meletakkan gambar dari tokoh yang disenangi pada dinding atau mentaati peraturan lalu lintas.

b Kesudian membalas (willingness to respond)

Aras ini menunjukkan sifat sukarela melaksanakan tugas tanpa paksaan, misalnya mebaca buku secara sukarela, mengamalkan tingkah laku yang baik dan sebagainya.

c Kepuasan membalas (satisfaction in response)

Aras ini merujuk kepada perasaan kepuasan semasa bertindak balas. Misalnya, berasa suka bila menjalankan aktiviti pembelajaran, menikmati hasil seni semasa melukis, mengambil gambar dari objek yang menjadi pusat perhatiannya dan sebagainya.dan sebagainya.

Aras menilai (valuing) merujuk kepada kebolehan membuat penilaian dan memberi penghargaan terhadap sesuatu benda, fenomena atau tingkah laku berdasarkan kriteria-kriteria diri. Pada tahap ini sudah mula timbul proses internalisasi untuk memiliki dan menghayati nilai dari rangsangan yang dihadapi. Aras ini terbahagi kepada tiga kategori seperti berikut:

a Penerimaan (acceptance of value)

Kategori ini merujuk kepada kebolehan menentukan nilai sesuatu benda, fenomena, tingkah laku dan sebagainya. Di peringkat ini, murid menujukkan kepercayaannya dengan melakukan sesuatu yang baik, iaitu lanjutan dari usaha memuaskan diri untuk bertindak secara lebih intensif.

b Keutamaan bagi sesuatu nilai (preference for a value)

Mengutamakan nilai yang dinyatakan dalam usaha yang dapat memuaskan perilaku menikmati, misalnya lukisan yang mempunyai lakaran yang memuaskan.

c Penglibatan

Penglibatan merujuk kepada kepercayaan teguh terhadap suatu nilai dengan alasan-alasan tertentu yang muncul dari rangkaian pengalaman. Komitmen ini dinyatakan dengan rasa senang, kagum, terpesona. Misalnya menunjukkan komitmen terhadap nilai keberanian yang dihargainya, menerima prinsip Rukun Negara sebagai pedoman hidup dan sebagainya.

Di aras Pengorganisasian (organization), murid menujukkan kebolehan mengorganisasikan nilai-nilai yang berkaitan untuk disusun menjadi satu sistem nilai yang baru, menentukan perhubungan di antara nilai-nilai tersebut serta membezakan nilai-nilai yang penting dengan yang kurang penting. Aras organisasi mengandungi dua kategori yang disusun mengikut urutan seperti berikut:

a Pengkonsepan sesuatu nilai

Kategori ini merujuk kepada kebolehan membentuk konsep yang abstrak terhadap sesuatu nilai seperti keinginan menilai hasil karya orang lain, atau mencari andaian-andaian yang mendasari suatu moral atau kebiasaan.

b Organisasi sesuatu sistem nilai

Kategori ini merujuk kepada kebolehan menyatukan nilai-nilai yang berkaitan dan membentuk satu sistem nilai. Peranti nilai disusun berdasarkan peringkat preferensinya. Dalam sistem nilai ini yang bersangkutan meletakkan nilai yang paling disukai pada peringkat yang amat penting, menyusul kemudian nilai yang dirasakan agak penting, dan seterusnya mengikut urutan kepentingan atau kesenangan dari diri yang berkenaan.

Aras perwatakan ialah aras yang tertinggi dalam domain afektif. Murid dianggap berkemampuan untuk menyusun nilai-nilai ke dalam satu sistem yang kekal. Murid boleh mengawal tingkah laku hingga membentuk suatu perwatakan tersendiri. Dalam

keadaan ini, tingkah laku seseorang adalah tekal dan boleh diramalkan. Aras perwatakan terdiri daripada dua kategori nyang disusun mengikut urutan seperti berikut: a Generalisasi

Aras ini merujuk kepada kebolehan sentiasa mengekalkan nilai-nilainya dalam sistem yang dibentuk. Murid berkeupayaan untuk melihat sesuatu masalah dari suatu sudut pandang yang tertentu.

b Perwatakan

Perwatakan merujuk kepada sifat ketekalan terhadap kepercayaan yang kuat dan tidak berubah terhadap sistem pegangan niali yang dibentuk sehingg menjadikannya sebagai falsafah hidup. Murid menunjukkan tingkah laku seperti disiplin diri dan boleh menghadapi situasi yang rumit serta menyelesaikannya dengan pendekatan yang objektif dan rasional.

Penilaian dalam aspek afektif adalah melalui pemerhatian sikap dan perlakuan murid yang direkod. Dalam Pendidikan Seni Visual, aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi dan nilai. Dalam penghasilan karya, murid di sekolah tidak kira peringkat umur akan mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin dihasilkan. Minat sebagai penggerak penghasilan karya. Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa proses kerja karya tersebut dan nilai yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa domain afektif ini menekankan kepada kepentingan emosi dan perasaan.

Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai domain afektif yang tinggi dalam Pendidikan Seni Visual akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap subjek Pendidikan Seni Visual, berdisiplin dalam penyediaan bahan seni yang diperlukan, mempunyai motivasi

yang tinggi terhadap bidang seni dan menghargai suasana seni dalam persekitarannya dan kaitan dengan keselesaan hidup.

Fokus utama murid-murid dalam aktiviti- aktiviti seni adalah meluahkan perasaan dalam karya dan memiliki motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus terhadap karya yang ingin dihasilkan. Ini mempunyai perkaitan dengan matlamat Pendidikan Seni Visual iaitu menghargai keindahan seni dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual menunjukkan penghargaan terhadap keindahan dan menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya.