• Tidak ada hasil yang ditemukan

Isu dan Cabaran dalam Pembangunan PKS Bumiputera

Dalam dokumen Bab Dua Pembangunan Keusahawanan PKS B (Halaman 35-40)

Isu dan cabaran dalam pembangunan PKS Bumiputera pernah dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat yang diadakan pada 10-11 September 1999 (Hitam, 1999). Bahagian ini dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah dua tajuk kecil.

2.6.1 Isu dalam pembangunan PKS Bumiputera

a) Pencapaian PKS Bumiputera masih rendah dan di bawah matlamat Pemilikan ekuiti PKS Bumiputera dalam sektor ekonomi adalah semakin menurun selepas berakhirnya DEB, malah dalam DPN juga angka pemilikan ekuiti tersebut masih terus menurun berbanding dengan PKS Bumiputera.

b) Penglibatan dan penguasaan hanya dalam syarikat kecil

Dalam RMK8 masih menunjukkan sebahagian besar dari syarikat yang dikuasai oleh PKS Bumiputera memiliki saiz modal tidak melebihi RM100,000. Manakala sebahagian daripada PKS Bumiputera tersebut memiliki saiz modal kurang dari RM10,000.

c) Penyertaan dalam sektor pembuatan berkurangan

Pemilikan dan penguasaan PKS Bumiputera dalam syarikat berasaskan pembuatan terus kekal berkurangan (Malaysia, 2001).

d) Bilangan dalam Industri Teknologi Tinggi kekal minima

PKS Bumiputera adalah merupakan peserta yang paling lewat menyertai ekonomi negara. Justeru itu PKS Bumiputera masih kekal dengan bilangan penyertaan yang rendah dalam semua sektor ekonomi (Malaysia, 2001).

e) PKS Bumiputera masih bergantung kepada bantuan dan program Kerajaan

Laporan RMK8 (Malaysia, 2001) masih menunjukkan PKS Bumiputera secara berterusan memerlukan alat dasar daripada Kerajaan. Faktor-faktor seperti kurang pengalaman dalam bidang yang diceburi, kekurangan modal, kesukaran menerokai pasaran dan kesukaran mendapatkan premis di lokasi strategik masih dialami oleh PKS Bumiputera.

f) Sikap keusahawanan untuk berdaya saing masih lemah

Sikap usahawan Bumiputera masih kekal dengan sindrom “ingin cepat kaya” yang berterusan menjadikan mereka kurang berdaya tahan, berdaya maju dan berdaya saing. Sikap ini nampaknya mengalami perubahan terutama dalam menyertai MPPB, tetapi proses perubahan adalah lebih lambat berbanding dengan perubahan dalam persekitaran (Hitam, 1999).

2.6.2 Cabaran dalam pembangunan PKS Bumiputera

PKS Bumiputera terus menjadi tumpuan dalam dasar Kerajaan dalam RMK9, cabaran dalam pembangunan PKS Bumiputera yang dikemukakan dalam

Kongres Ekonomi Bumiputera 1999 oleh Dato’ Dr. Samsudin Hitam dijangka masih relevan.

a) Melahirkan usahawan berdaya tahan, berdaya saing dan berdikari serta bertaraf kelas dunia

Usaha ini hendaklah dijadikan agenda utama negara secara berterusan bagi memastikan PKS Bumiputera menjadi semakin mapan, berdaya maju, berdaya saing serta mampu berdikari. Manakala PKS Bumiputera bertaraf dunia hendaklah dibentuk supaya mampu bersaing dalam era globalisasi dan liberalisasi, serta dapat mengambil peluang daripada pembangunan tersebut.

b) Mengembleng sumber modal yang berlibat ganda

Usaha ini adalah sangat penting untuk digembleng bagi menyediakan sumber modal yang mencukupi demi membangunkan PKS Bumiputera. Keperluan modal sudah pasti semakin meningkat seiringan dengan peningkatan dalam pasaran modal dunia dan juga peningkatan harga sumber penting dunia dan tempatan.

c) Meningkatkan tahap penguasaan teknologi tinggi

Peningkatan penguasaan Bumiputera dalam teknologi tinggi masih tidak setara dengan penguasaan oleh bukan Bumiputera di negara ini. Justeru itu, pendekatan yang lebih efektif dan kreatif diperlukan.

d) Menerap sikap dan nilai keusahawanan tulen di semua peringkat masyarakat

Kesinambungan dalam pembangunan usahawan melalui program sedia ada hendaklah diteruskan. Hj. Din (1999) dalam kertas kerjanya di

Kongres Ekonomi Bumiputera menegaskan bahawa penjanaan ilmu keusahawanan secara efektif juga perlu diterap dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Dengan itu, pewujudan generasi usahawan muda berwawasan akan menjadi lebih mudah. Masalah graduan universiti yang menganggur sepatutnya tidak berterusan meningkat jika ilmu keusahawanan diterap dengan efektif di setiap peringkat pengajian mereka. Sehubungan dengan itu, memasukkan ilmu baru ke dalam kurikulum sedia ada juga perlu dilaksanakan demi membentuk sikap keusahawanan sejajar dengan persekitaran semasa.

e) Meningkatkan tahap pencapaian dan daya saing dalam era globalisasi dan liberalisasi

Pengukuran pencapaian atau prestasi dalam keusahawanan hendaklah lebih berdaya saing dan selaras dengan pengukuran yang dibuat oleh usahawan berjaya. Suatu tanda aras prestasi dan sikap keusahawanan yang setanding dengan amalan firma yang bertaraf global perlu dibentuk dan dijadikan asas panduan yang seragam untuk semua PKS di Malaysia.

f) Meninggikan keupayaan untuk menyertai secara efektif dalam ekonomi berasaskan pengetahuan di alaf baru

Cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran dan kreativiti atau inovasi didapati masih berkurangan di kalangan PKS Bumiputera (Hitam, 1999). Justeru itu, PKS Bumiputera perlu melengkapkan diri dengan menyahut cabaran dengan menyertai kemajuan enabling

technologies semasa seperti di dalam bidang IT, ICT dan multimedia. Sehubungan dengan itu, cabaran melahirkan modal manusia yang berdaya saing, berdaya tahan dan bertaraf dunia sebagaimana yang diseru oleh YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia perlu menjadi keutamaan dalam pembangunan PKS Bumiputera.

g) Menyesuaikan strategi pembangunan PKS Bumiputera selaras dengan tahap pembangunan keusahawanan PKS

Model pembangunan usahawan yang dicadangkan oleh Hj. Din (2005) memerlukan tindakan sewajarnya oleh KPUn untuk diambilkira sebagai agenda penting dalam RMK berikutnya. Tumpuan pembangunan keusahawanan di kalangan PKS Bumiputera hendaklah bertepatan dengan tahap kitaran hayatnya. Sehingga tahun 2004, lebih dari 613,000 buah PKS yang berdaftar (Malaysia, 2004). Tindakan selanjutnya dari pihak KPUn ialah supaya pembahagian mengikut tahap pembangunan keusahawanan setiap PKS diperlu. Pembahagian ini akan memudahkan usaha menyesuaikan strategi dengan tahap pembangunan keusahawanan PKS tersebut.

2.7 Rumusan

Pembangunan keusahawanan di Malaysia adalah agenda penting dalam perancangan pembangunan negara melalui penyediaan kemudahan dan sokongan kepada PKS. PKS Bumiputera merupakan entiti yang penting untuk menjana ekonomi Malaysia disamping menjadi pemangkin kepada keseimbangan

ekonomi antara kaum. Peningkatan bilangan dan prestasi PKS Bumiputera menunjukkan perubahan yang besar selepas pelancaran DEB dalam tahun 1970 hingga kini. Sokongan Kerajaan melalui DEB dan peruntukan yang besar dalam belanjawan negara memainkan peranan yang penting untuk pembangunan PKS Bumiputera, tetapi, peningkatan prestasi PKS Bumiputera masih belum tercapai sepenuhnya. KPUn dan beberapa kementerian lain melalui agensinya yang mewakili Kerajaan dalam usaha memajukan PKS Bumiputera telah meningkatkan tahap penyertaan Bumiputera menyaingi kaum yang lain. Walaupun keprihatinan pihak Kerajaan untuk membangunkan PKS Bumiputera dengan menyediakan peruntukan yang besar setiap tahun, namun demikian, isu dan cabaran dalam membangunkan usahawan PKS Bumiputera menuntut pendekatan dan kaedah yang terkini. Kajian mendalam adalah perlu untuk memastikan strategi keusahawanan yang digunakan oleh PKS Bumiputera sesuai dengan tahap pembangunannya untuk mencapai hasrat tersebut.

Dalam dokumen Bab Dua Pembangunan Keusahawanan PKS B (Halaman 35-40)

Dokumen terkait