• Tidak ada hasil yang ditemukan

Jenis Model Sekolah

Dimensi III: Pengurusan Program Pendidikan

3.1 Jenis Model Sekolah

Cheng (1996a, 1996b) dalam Zulkifli Abdul Manaf (1999),menyatakan terdapat lapan model sekolah berkesan yang sering digunakan. Model-model yang disenaraikan tersebut adalah :.

3.1.1 Model Bermatlamat

Model ini sering digunakan untuk menilai pencapaian sekolah atau mengkaji sekolah berkesan. Model ini mengandaikan matlamat yang hendak dicapai perlu jelas dan dipersetujui oleh warga sekolah. Sekolah dikatakan sebagai berkesan apabila matlamat sekolah tercapai. Indikator dalam mengukur sekolah berkesan selalunya terdapat dalam objektif program atau perancangan sekolah. Walaupun terdapat pelbagai matlamat yang hendak dicapai tetapi menurut Cheng (1996), pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam sering digunakan sebagai kayu pengukur kepada sekolah berkesan.

3.1.2 Model ‘Input’ Resos

Teori dalam model ini pula menekankan kepada kecukupan resos dalam menghasilkan sekolah berkesan. Indikator yang digunakan untuk mengukur sekolah berkesan adalah seperti kemasukan pelajar yang berkualiti, kemudahan yang disediakan, resos yang mencukupi, peruntukkan kewangan daripada kerajaan pusat, pembentukan alumni, penglibatan ibu bapa dan badan-badan penaja. Walau bagaimanapun, kelemahan yang didapati ialah sekolah mungkin

terlalu asyik dengan ‘input’ sehingga mengabaikan ‘throughput’ dan ‘output’ sekolah. Pembaziran ‘input’ juga boleh berlaku jika tidak diurus dan digunakan secara bijak oleh sekolah.

3.1.3 Model Proses

Melalui model ini, ‘input’ sekolah diubah kepada ‘output’ atau pencapaian sekolah selepas melalui proses transformasi. Dalam bidang pendidikan, kualiti sesuatu proses banyak mempengaruhi dan menentukan kualiti ‘output’ yang dihasilkan. Model proses mencadangkan bahawa jika fungsi dalaman sekolah adalah lancar dan kondusif maka sekolah dikatakan berkesan. Oleh sebab itu aktiviti dan amalan (proses) yang dilakukan di sekolah merupakan ciri penting dalam menentukan sekolah berkesan. Indikator kepada sekolah berkesan bagi model proses ini pada umumnya adalah seperti proses pengurusan, proses pengajaran dan proses pembelajaran dan khususnya seperti kepemimpinan, komunikasi, penglibatan, koordinasi, penyesuaian, perancangan, membuat keputusan, interaksi sosial, iklim sekolah, kaedah mengajar, pengurusan kelas dan strategi pembelajaran. Walau bagaimanapun menurut Cameron (1978), model proses ini mempunyai kelemahan daripada segi pemantauan dan mengumpul data yang berkaitan serta pemfokusan kepada penghayatan maksud proses yang sebenar.

3.1.4 Model Kepuasan

Konsep sekolah berkesan adalah berbeza-beza mengikut perspektif pihak-pihak tertentu. Jika matlamat sekolah tinggi dan pelbagai, sekolah akan menghadapi kesukaran untuk mencapainya. Sebaliknya jika matlamat sekolah rendah dan munasabah, sekolah mungkin dapat mencapainya

dan sekaligus memuaskan pihak-pihak berkepentingan. Menurut Cheng (1996), model kepuasan mendefinisikan sekolah hanya didapati berkesan jika pihak-pihak yang terlibat berpuas hati dengan pencapaian yang telah dicapai oleh sekolah. Indikator kepada keberkesanan diukur melalui tahap kepuasan pelajar, guru-guru, ibu bapa, pentadbir, pihak berkuasa pendidikan, ahli pengurusan sekolah, alumni dan sebagainya.

3.1.5 Model Kesahan

Menurut Cheng (1996), sekolah-sekolah di barat perlu bersaing untuk mendapatkan resos da mengatasi halangan dalaman di samping menghadapi cabaran luaran, menuntut akauntabiliti dan ‘value for money’. Untuk sesebuah sekolah beroperasi ia perlulah membuktikan akauntabiliti, memuaskan kehendak komuniti dan mendapatkan sokongan daripada pihak-pihak berkepentingan. Menurut model kesahan ini, sesebuah sekolah adalah berkesan jika sekolah itu boleh terus beroperasi hasil daripada kesahan atau aktiviti pemasaran yang baik. Indikator yang digunakan untuk mengukur keberkesanan adalah aktiviti dan pencapaian dalam perhubungan awam dan pemasaran, akauntabiliti, imej sekolah, reputasi dan status

dalam komuniti.

3.1.6 Model Organisasi Pembelajaran

Kesan kepada perubahan yang berlaku dan halangan-halangan dalaman kadangkala tidak dapat dielakkan, maka dengan itu sesebuah sekolah adalah dianggap berkesan jika ia dapat menambahbaik dan mengadaptasi kepada persekitaran yang berubah. Model ini sangat berguna

bagi sekolah-sekolah yang sedang mengalami pembangunan atau terlibat dalam reformasi pendidikan. Indikator kepada sekolah berkesan adalah kesedaran kepada keperluan dan perubahan komuniti, proses pemantauan dalaman, program penilaian, analisis persekitaran, dan perancangan pembangunan. Model organanisasi pembelajaran dapat memberi cadangan kepada cara memaksimakan keberkesanan bagi matlamat sekolah yang pelbagai.

3.1.7 Model Ketidakberkesanan

Menurut Cameron (1984) dalam Cheng (1996), perubahan dan perkembangan organisasi adalah dirangsang oleh permasalahan dan bukannya pencapaian. Maka dengan itu Cameron mencadangkan pendekatan kepada mentaksir ketidakberkesanan organisasi dapat memperkembangkan kefahaman konstruk organisasi berkesan. Model ketidakberkesanan mendefinisikan sekolah berkesan dari sudut pandangan negatif dan sekolah pada asasnya hanya berkesan jika tiada terdapat ketidakberkesanan dalam sesebuah sekolah. Antara indicator ketidakberkesanan adalah seperti wujudnya konflik, masalah, kesukaran, kecacatan, kelemahan dan pencapaian lemah.

3.1.8 Model Pengurusan Kualiti Keseluruhan

Menurut Bradley (1993), Cuttance (1994), Greenwood dan Gaunt (1994), Murgatroyd dan Colin (1993) dalam Cheng (1996), konsep dan amalan pengurusan kualiti keseluruhan di sekolah merupakan ‘senjata’ utama untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan meningkatkan sekolah berkesan. Elemen-elemen penting yang diperlukan dalam model ini adalah seperti pihak-

pihak berkepentingan, fokus, proses penambahbaikan yang berterusan, dan penglibatan menyeluruh dan ‘empowerment’ ahli sekolah. Menurut model ini, sekolah adalah berkesan jika ianya boleh terlibat dalam ‘empower’ semua ahli untuk menjalankan fungsi sekolah, menyelaraskan penambahbaikan berterusan dalam beberapa aspek proses sekolah, dan memuaskan kehendak, keperluan dan jangkaan dalaman dan luaran pihak-pihak berkepentingan walaupun dalam persekitaran yang berubah. Model ini juga merupakan integrasi daripada model organisasi pembelajaran, model kepuasan dan model proses. Indikator kepada penilaian keberkesanan adalah kepemimpinan, pengurusan sumber manusia, pengurusan proses, maklumat dan analisis, perancangan strategik kualiti, kepuasan pihak-pihak yang berkepentingan, pencapaian operasi, pencapaian akademik pelajar, dan kesan kepada masyarakat. Setiap satu daripada lapan model yang disenaraikan di atas mempunyai kekuatan dan kelemahan masing- masing. Model-model yang dipilih untuk digunakan dalam menguji sekolah berkesan, perlu mengambil kira keadaan, situasi dan masa kajian dijalankan.

Dokumen terkait