• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kaedah Kajian

Dalam dokumen AKTIVITI PEMULIHAN BACAAN DI SEBUAH SEKO (1) (Halaman 105-112)

BAB 3: METODOLOGI KAJIAN

3.3 Kaedah Kajian

Kajian ini telah dijalankan secara kajian kes. Ia merupakan satu kaedah (method) dalam penyelidikan berbentuk kualitatif iaitu satu jenis kaedah penyelidikan yang memfokus kepada sesuatu tingkah laku, keadaan atau kejadian sebenar di tempat berlakunya tingkah laku, keadaan atau kejadian tersebut (Blaxter et al., 1996; Graziano & Raulin, 2000). Terma kes itu sendiri merujuk “as an event, an entity, an individual or even a unit of analysis” (Khairul Baharein, 2001, hlm.1) dan “it allows, indeed endorses, a focus on just one example, or perhaps just two or three” (Blaxter et al., 1996). Sebagai contoh dalam konteks tesis ini, perkara yang menjadi tumpuan kajian adalah pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan yang dijalankan ke atas murid-murid Tahun 1 dan tempat kajian adalah sebuah sekolah kebangsaan di satu daerah di negeri Selangor.

Kajian kes juga sering digunakan dalam penyelidikan pendidikan kerana kebanyakan perkara yang berkaitan dengan pendidikan melibatkan manusia dan memerlukan penyelesaian yang realistik dan berasas. Oleh itu, kajian kes yang memfokus kepada peristiwa, peserta dan tempat kajian dalam konteks yang sebenar dapat memenuhi keperluan tersebut (Merriam, 1988). Kenyataan ini adalah menepati dan selaras dengan kaedah yang diguna pakai untuk kajian ini iaitu kajian kes. Bagi peristiwa, kajian ini melibatkan pelaksanaan aktiviti pemulihan membaca sebagai peristiwa yang dikaji; peserta kajian adalah murid pemulihan Tahun 1, Guru Besar, Guru Penolong Kanan Akademik, Guru Pemulihan Khas, guru-guru Bahasa Melayu murid pemulihan berkenaan, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Guru Pusat Sumber/Media dan pegawai

84 yang mengendalikan program pemulihan di JPN Selangor dan Kementerian Pelajaran Malaysia, manakala sekolah pula merupakan tempat sebenar berlakunya aktiviti pemulihan membaca.

Salah satu tujuan kajian kes digunakan dalam penyelidikan adalah untuk mendapat maklumat yang lebih mendalam, lengkap, jelas dan terperinci tentang tingkah laku, fenomena atau peserta yang dikaji. Hal ini disebabkan walaupun kajian kes “is low on control” jika dibandingkan dengan kajian berbentuk eksperimen (iaitu kajian kes tidak

mempunyai kumpulan kawalan sebagaimana kajian eksperimen) dan “low on

representatives” berbanding kajian survey (iaitu kajian kes tidak mempunyai banyak sampel berbanding kajian survey), namun kelebihan utama kajian kes “lies in the richness of the descriptive examples that results from the intensive study of one or a few units” (Labovitz & Hagedom, 1971, hlm. 48).

Dalam tesis ini misalnya, kajian hanya berfokus kepada satu peringkat sahaja dalam aktiviti pemulihan membaca iaitu pembelajaran dan pengajaran. Tempat kajian pula hanya terdiri daripada sebuah sekolah yang dinamakan Sekolah x dan bilangan murid yang dikaji adalah seramai 27 orang. Walaupun perkara yang dikaji adalah sebahagian daripada keseluruhan proses pemulihan membaca, manakala tempat dan peserta kajian adalah kecil, namun perkara yang menjadi fokus kajian iaitu pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan serta segala aspek yang berkaitan dengannya telah diteliti dan dikupas secara menyeluruh, terperinci dan mendalam. Perkara-perkara tersebut termasuklah persediaan dan kelengkapan yang perlu ada untuk melaksanakan aktiviti pemulihan bacaan, cara melaksanakannya, faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaannya serta faktor-faktor yang menghalangnya. Bagi peserta kajian pula khususnya Guru Pemulihan Khas dan murid-murid Tahun 1 yang mengikuti kelas

85 pemulihan bacaan, mereka adalah key informants kepada kajian in. Data utama dan sebahagian besar data telah diperoleh daripada kedua-dua pihak tersebut kerana merekalah yang terlibat secara langsung dengan aktiviti pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan.

Tidak seperti kajian kuantitatif seperti survey yang melibatkan pengutipan data melalui soal selidik, kajian kes memerlukan penglibatan diri (self-involvement) dan penyaksian sendiri (self-witnessed) pihak penyelidik secara langsung terhadap fenomena atau peserta yang dikaji (Graziano & Raulin, 2000; Stenhouse, 1979), di tempat sebenar berlakunya fenomena tersebut dan tempat sebenar peserta kajian berada (Marohaini, 2001). Keadaan ini memberi peluang kepada penyelidik untuk memerhati, merapatkan diri dan berinteraksi dengan setiap perkara dan peserta yang menjadi fokus kajian. Sehubungan dengan itu kajian kes akan memberi lebih kefahaman dan kepastian terhadap fenomena atau peserta kajian (Graziano & Raulin, 2000; Stenhouse, 1979), di samping memungkinkan berlakunya penemuan-penemuan baru yang tidak dijangka (Graziano & Raulin, 2000):

“Personal insight is the characteristic source of understanding, rather than law. By insight we found our capacity to imagine the feasible yet surprising and our capacity to grasp rapidly and react intelligently to the unexpected development we in evitably and frequently encounter”(Stenhouse, 1979, hlm. 6).

Sebagai contoh, dalam kajian yang dijalankan ini, penyelididk sendiri telah menemu bual pihak-pihak yang menjadi peserta kajian, menjalankan pemerhatian terhadap setiap perkara dan proses yang terlibat dalam pelaksanaan aktiviti pemulihan bacaan, di samping menganalisis bahan-bahan yang ada kaitan dengan pelaksanaan proses tersebut. Tindakan-tindakan seperti ini telah membolehkan aktiviti pemulihan bacaan dilihat dan dikaji dalam konteks aktiviti tersebut berlaku dan bukannya secara terasing.

86 Tindakan ini juga dapat memaparkan gambaran yang menyeluruh tentang apa yang berlaku dalam proses pemulihan bacaan. Kedua-dua keadaan ini pula dapat memberi pemahaman yang lebih baik kepada pengkaji untuk membuat interpretasi terhadap data.

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, dalam kajian kes, penyelidik sendiri akan bertindak untuk mendapatkan data yang diperlukan, iaitu dengan menjalankan temu bual, pemerhatian dan menganalisis dokumen yang berkaitan. Hal ini bermakna penyelidik adalah alat utama untuk memperoleh data (Marohaini, 2001). Keadaan ini amat memberi kebaikan kerana di samping memberi lebih kefahaman terhadap apa yang dikaji, penyelidik dapat membuat pemerhatian dengan perasaan empathy dan dengan itu dapat melihat sesuatu daripada kaca mata peserta kajian atau emic perspectives

(Marohaini, 2001). Hal ini disebabkan pengkaji iaitu seorang manusia dapat bertindak sebagai instrumen kajian yang sensitif dan berkeupayaan untuk bertindak balas terhadap peserta kajian. Untuk memahami perlakuan seseorang manusia, manusia sendiri adalah alat yang sebaik-baik dan berkesan (Marohaini, 2001). Selain itu, penggunaan pengkaji sebagai alat penyelidik juga akan dapat menghasilkan data yang bermakna kerana data yang dikumpul dapat diproses, dijelaskan dan disimpulkan semasa kajian dijalankan (Marohaini, 2001).

Seterusnya kajian kes memerlukan penyelidik selalu berdamping rapat dengan tempat dan peserta kajian (Marohaini, 2001) bagi memperoleh data yang diperlukan. Selain itu penyelidik wajar membuat pemerhatian dengan teliti dan rapi terhadap fenomena yang dikaji. Temu bual yang mendalam dan terperinci serta interaksi yang kerap dan natural

(biasa, bersahaja) juga wajar dijalankan dengan peserta-peserta yang terlibat. Kaedah pengumpulan data yang sedemikian akan membolehkan penyelidik memperoleh first hand knowledge, maklumat yang menyeluruh dan menjamin data yang diperoleh adalah

87 betul atau asli (genuine), lengkap, tepat dan terperinci (Crossley & Vulliamy, 1984; Filstead, 1970; Gummesson, 1994; McNamara, 2001). Hal ini disebabkan melalui interaksi dan komunikasi secara langsung dengan peserta dan perkara yang dikaji biasanya akan menyerlahkan kebenaran dan membolehkan penyungkilan data dibuat secara meluas (horizontal) dan mendalam (vertical).

“Qualitative methodology refers to those strategies such as participant observation, in-depth interviewing, total participation in the activity being investigated, field work etc. which allow the researcher to obtain first hand knowledge about the empirical social world in question. Qualitative methodology allows the researcher to get close to the data, thereby developing the analytical, conceptual and categorical components of explanation from the data itself, rather than from the preconceived, rigidily structured and highly quantified techniques …” (Filstead, 1970, hlm. 6).

Dengan demikian data yang diperoleh daripada kajian kes mempunyai kekuatan yang lebih berbanding data yang dikutip melalui kaedah survey atau eksperimen. Data survey dan eksperimen tidak dapat menggambarkan keadaan sebenar dengan tepat kerana

surveys cannot penetrate the gap between words and deeds (Deutcher, 1966).

Sementara brief fact finding visits pula (lawatan-lawatan ringkas bagi mendapatkan data) iaitu satu lagi kaedah yang sering diamalkan di negara-negara membangun oleh pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, jarang dapat memaparkan keadaan sebenar tentang perkara yang dikaji (Vulliamy et al., 1990, hlm. 17). Seterusnya pengumpulan data yang sedemikian akan membawa kesan yang berpanjangan dan berentetan. Sebagai contoh, cara tersebut bukan sahaja membawa kepada rhetoric reproduction (apa yang dilaporkan tidak bertepatan dengan keadaan sebenar) terhadap laporan kajian itu sendiri, tetapi juga kepada tindakan lanjut yang diambil mengenainya seperti penggubalan polisi. Keadaan ini khususnya berlaku pada penilaian yang dibuat terhadap sesuatu inovasi kerana selalunya responden jarang mahu mengaku akan kegagalan atau masalah

88 Dalam kajian yang dijalankan ini misalnya, penyelidik telah berusaha menjalinkan hubungan akrab dan mesra dengan semua warga Sekolah X agar penyelidik dapat berdamping rapat khususnya dengan mereka yang terlibat secara langsung sebagai informan kajian. Antara tindakan yang penyelidik lakukan adalah menjadikan diri penyelidik sebagai sebahagian daripada warga Sekolah X supaya kehadiran penyelidik dirasai dan diterima. Antaranya adalah dengan selalu berkunjung ke Bilik Guru, bertegur sapa apabila berjumpa guru dan murid, menghadiri majlis-majlis yang diadakan seperti Hari Permuafakatan Sekolah dengan Ibu Bapa dan Hari Kantin, malah penyelidik turut menghulurkan bantuan tenaga dalam majlis-majlis berkenaan. Dengan hubungan yang sedemikian, pengumpulan data melalui temu bual dan pemerhatian tidak sukar dijalankan kerana informan telah biasa dengan penyelidik. Penyelidik dapat menemu bual mereka pada bila-bila masa sahaja yang sesuai, dapat mengemukakan pertanyaan untuk penjelasan dan pencungkilan maklumat yang lebih mendalam, dibenarkan memasuki kelas untuk pemerhatian, dibenarkan meminjam bahan-bahan dokumen yang berkaitan untuk dianalisis dan peserta kajian bersedia menghulurkan apa sahaja bantuan dan keperluan yang penyelidik perlukan.

Satu lagi kaedah dalam kajian kes adalah penganalisisan dokumen atau dikenali juga sebagai penyelidikan perpustakaan (Kamarudin & Roslim, 1990). Hal ini disebabkan kebanyakan sumber data yang diperoleh daripada kaedah ini terdapat di perpustakaan. Penganalisisan dokumen amat penting dan sesuai bagi penyelidikan yang menggunakan data bersiri terutama dari segi masa. Mengikut kaedah ini, data dan bukti yang diperlukan diperoleh dengan mengkaji dokumen serta rekod seperti buku, laporan, artikel, pekeliling, majalah, keratan akhbar dan kertas seminar yang terdapat dalam simpanan. Selain dapat membekalkan data yang lengkap dan berbentuk sejarah, strategi ini juga tidak mengganggu pihak yang dikaji (McNamara, 2001), di samping dapat

89 menjimatkan masa, tenaga dan kos. Hal ini disebabkan data yang diperlukan telah pun disediakan atau dikumpulkan oleh pihak tertentu seperti organisasi, agensi serta penyelidik lain, dan pada kebiasaannya data seperti ini telah pun diproses terlebih dahulu. Dalam kajian ini misalnya, pelbagai dokumen yang terdapat di sekolah telah digunakan untuk memperoleh maklumat yang diperlukan. Dokumen tersebut termasuklah rekod-rekod mengenai murid pemulihan yang tersimpan di sekolah seperti Fail Peribadi Murid, Rekod Ujian Saringan, Rekod Ujian Diagnostik dan Rekod Penilaian Pengajaran Pembelajaran, Pekeliling-pekeliling yang dibekalkan oleh pihak KPM mengenai pelaksanaan aktiviti pemulihan bacaan di sekolah serta bahan-bahan bertulis mengenainya seperti artikel, carta dan garis panduan.

Satu lagi faedah penganalisisan dokumen ialah tidak banyak perancangan perlu dibuat untuk mendapatkan data berbanding apa yang diperlukan dalam menyediakan soal selidik. Penyelidik hanya perlu tahu sumber dan prosedur memperoleh data tersebut (Hamida Bee Bi, 2001; Kamarudin & Roslim, 1990; Mohd. Sheffie, 1987). Dalam kajian ini contohnya, data mengenai pelbagai perkara yang bersangkutan dengan murid pemulihan membaca seperti daerah kelemahan yang dialami, keupayaan murid melaksanakan sesuatu tugasan, sikap murid, kehadiran murid ke Kelas Pemulihan Khas dan maklumat ibu bapa murid boleh diperoleh daripada Fail Diri Murid yang disimpan oleh Guru Pemulihan Khas di Bilik Pemulihan. Fail ini telah banyak memudahkan dan membekalkan data kepada pengkaji kerana telah disediakan dengan lengkap, disimpan dengan rapi dan kemas serta masih elok keadaannya.

Seterusnya ketekalan data melalui perbandingan (triangulation) daripada pelbagai sumber tadi (temu bual, pemerhatian dan penganalisisan dokumen) boleh menjamin kesahan dan kebolehpercayaan data yang dibekalkan (Crossley & Vulliamy, 1984;

90 Walker, 1985). Respon yang tekal daripada temu bual yang berulang kali pada masa yang berlainan atau cara pertanyaan yang berbeza adalah satu lagi cara menentukan kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang diperoleh dalam kajian kes. Sebagai contoh ketekalan data mengenai pelaksanaan aktiviti pemulihan bacaan di Sekolah X, faktor-faktor yang menyokongnya dan faktor-faktor yang menghalangnya telah diperoleh dengan membuat perbandingan melalui tiga cara. Cara yang pertama adalah dengan membandingkan maklumat daripada sumber data seperti maklumat antara guru-guru yang ditemu bual, membandingkan maklumat yang dtemui dalam pemerhatian terhadap Kelas Pemulihan dan kelas Bahasa Melayu yang diikuti murid pemulihan, serta membandingkan dapatan analisis dokumen yang berkaitan. Cara yang kedua adalah dengan membuat perbandingan antara ketiga-tiga sumber data tadi (temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen). Cara yang ketiga adalah dengan menganalisis kekerapan jawapan yang diperoleh daripada ketiga-tiga sumber data tadi.

Akhir sekali kekuatan kajian kes juga terletak pada cara penganalisisan dan penulisan laporan mengenainya. Pelaporan kajian kes tidak memerlukan penggunaan statistik sebagaimana yang berlaku dalam laporan kajian survey atau eksperimen yang mana bukan semua orang boleh menguasai dan memahaminya terutama statistik yang tinggi dan kompleks. Sebaliknya persepaduan antara penganalisisan dan penghuraian bahan/maklumat berkaitan keadaan sebenar menjadikan laporan kajian kes lebih bermakna dan mudah kepada pihak yang berkepentingan dengan kajian tersebut seperti guru dan pemutus dasar (Vulliamy et al., 1990).

Dalam dokumen AKTIVITI PEMULIHAN BACAAN DI SEBUAH SEKO (1) (Halaman 105-112)

Dokumen terkait