• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 3: METODOLOGI KAJIAN

3.4 Kaedah Pengumpulan Data

3.4.1 Temu bual

Di sekolah yang menjadi tempat penyelidikan, temu bual telah dijalankan dengan pihak-pihak yang ada kaitan dalam mengendalikan aktiviti pemulihan bacaan sama ada secara langsung atau sebaliknya. Mereka ini terdiri daripada Guru Pemulihan Khas, Guru Besar, Guru Penolong Kanan Akademik, guru kelas atau guru mata pelajaran Bahasa Melayu murid-murid yang mengikuti pemulihan bacaan, Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Penyelaras Pusat Sumber/Media Sekolah. Temu bual juga dijalankan dengan murid-murid Tahun 1 yang mengikuti kelas tersebut dan ibu bapa atau penjaga mereka.

Temu bual dengan Guru Pemulihan Khas adalah untuk mendapatkan maklumat umum dan maklumat khusus berkaitan pelaksanaan aktiviti pemulihan bacaan yang dijalankan di Sekolah X. Maklumat umum adalah merangkumi perkara-perkara seperti keadaan murid dan ibu bapa/penjaga murid pemulihan, serta usaha yang dirancang untuk mempertingkatkan aktiviti berkenaan secara keseluruhan. Maklumat-maklumat in juga

92 telah diajukan dalam temu bual dengan Guru Besar kerana selaku pentadbir sekolah, beliau tentu mempunyai persepsi dan idea tentang aktiviti pemulihan bacaan. Maklumat khusus pula terdiri daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan kemudahan, persediaan dan sokongan yang terdapat di sekolah untuk melaksanakan aktiviti pemulihan bacaan, aktiviti pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan seperti perkara-perkara yang Guru Pemulihan Khas ambil kira semasa membuat perancangan dan pelaksanaan mengajar pemulihan bacaan, faktor-faktor yang membantu kejayaan melaksanakan pemulihan bacaan, masalah yang dihadapi sepanjang pelaksanaannya, faktor yang menyebabkannya dan implikasinya, di samping bagaimana guru bertindak mengatasi masalah atau halangan tersebut.

Selain Guru Pemulihan Khas, guru kelas atau Guru Bahasa Melayu murid yang menghadapi masalah membaca merupakan sumber terpenting untuk memperoleh maklumat tentang aktiviti pemulihan bacaan, terutama maklumat yang berkaitan murid terbabit. Antaranya termasuklah perkara-perkara seperti tahap penguasaan membaca murid, kesulitan membaca yang dialami, faktor yang menyebabkannya serta keadaan diri murid tersebut seperti status sosio ekonomi keluarga, emosi dan kesihatan murid-murid. Selain itu guru kelas/mata pelajaran Bahasa Melayu juga merupakan salah satu pihak terpenting dalam memastikan aktiviti pemulihan bacaan dapat berjalan lancar dan berkesan. Hal ini disebabkan mereka terlibat secara langsung dalam proses pencalonan murid, serta khidmat bantu dan kepakaran mengajar mereka telah diguna pakai untuk membantu Guru Pemulihan Khas menjalankan aktiviti pemulihan bacaan. Guru-guru tersebut juga adalah pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tindak susulan supaya kesulitan membaca tidak berulang apabila murid pulang dari Kelas Pemulihan atau telah pulih dan dikembalikan semula ke kelas. Peranan dan tanggungjawab yang

93 sedemikian menyebabkan banyak maklumat penting tentang aktiviti pemulihan bacaan dapat diperoleh melalui temu bual dengan guru kelas/mata pelajaran Bahasa Melayu.

Temu bual dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Penyelaras Pusat Sumber/Media Sekolah pula telah dijalankan kerana mereka menganggotai Jawatankuasa Pemulihan Khas sekolah iaitu satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memastikan keberkesanan aktiviti pemulihan (JPK, 1999). Keadaan ini secara langsung menyebabkan kedua-dua guru berkenaan terlibat dalam tindakan dan keputusan yang diambil berkaitan aktiviti pemulihan bacaan yang dijalankan di sekolah. Selain itu kedua-dua guru berkenaan juga telah membantu menjayakan pelaksanaan aktiviti pemulihan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Sebagai contoh, Guru Bimbingan dan Kaunseling ada melakukan usaha memulihkan emosi murid pemulihan yang sering terganggu dan tidak stabil. Usaha ini termasuklah memujuk dan menasihatkan mereka supaya rajin dan jangan takut untuk datang ke sekolah serta kadang kala menjenguk murid-murid pemulihan di Kelas Pemulihan sambil bertanya khabar supaya murid-murid berkenaan dapat merasakan bahawa ada orang yang sayang dan mengambil berat terhadap mereka. Bagi Penyelaras Pusat Sumber Sekolah pula, beliau didapati terlibat dalam menyediakan bahan dan peralatan yang diperlukan untuk pembelajaran dan pengajaran pemulihan bacaan, selain pernah membantu memulihkan bacaan murid melalui Program Mentor Mentee untuk murid-murid pemulihan. Sehubungan dengan itu kedua-dua guru berkenaan turut dapat menyumbangkan banyak maklumat yang berkaitan pelaksanaan aktiviti pemulihan bacaan di Sekolah X.

Di samping guru, temu bual juga telah dijalankan dengan murid-murid yang mengikuti Kelas Pemulihan bacaan dan ibu bapa/penjaga mereka. Temu bual dengan kedua-dua pihak ini adalah untuk mendapatkan maklumat-maklumat asas berkaitan profil diri

94 murid dan ibu bapa/penjaga. Maklumat-maklumat tersebut termasuklah perkara-perkara seperti bilangan adik beradik dan pendidikan mereka, pendidikan dan pekerjaan ibu bapa, keadaan rumah dan persekitaran tempat tinggal, kemudahan pendidikan yang terdapat di rumah, bantuan dan sokongan pendidikan yang terdapat di rumah serta kesediaan belajar yang diterima murid khususnya sebelum menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Maklumat-maklumat seperti ini adalah penting kerana ia banyak mempengaruh prestasi dan pencapaian bacaan murid di sekolah.

Selain itu persepsi serta perasaan murid dan ibu bapa/penjaga tentang kelas pemulihan juga telah ditanya. Perkara-perkara yang dikemukakan adalah seperti adakah murid suka belajar di kelas tersebut, adakah mereka menyukai Guru Pemulihan Khas, rakan-rakan dan alat-alat yang terdapat di kelas berkenaan? Pada ibu bapa/penjaga pula, perkara-perkara yang ditanya adalah seperti perasaan dan kesediaan mereka untuk membenarkan anak mengikuti Kelas Pemulihan serta kerjasama dan sumbangan yang diberi kepada sekolah dan Guru Pemulihan Khas. Maklumat-maklumat seperti ini ada kaitannya dengan kejayaan dan kesulitan melaksanakan aktiviti pemulihan bacaan.

Selain pihak-pihak di atas, temu bual juga telah dijalankan dengan pegawai di- Jabatan Pendidikan Khas di KPM dan JPN Selangor yang mengendalikan Program Pemulihan Khas. Tujuan temu bual ini adalah untuk mendapatkan maklum balas di peringkat atasan iaitu peringkat membuat keputusan mengenai aktiviti pemulihan seperti dasar dan hala tuju aktiviti tersebut serta rancangan-rancangan masa kini dan masa depan yang diatur untuknya. Pada kebiasaannya perancangan dan keputusan di peringkat makro ini banyak mempengaruhi pelaksanaan aktiviti pemulihan yang berlangsung di peringkat sekolah. Dalam konteks Guru Pemulihan Khas misalnya, pelbagai perkara mengenainya boleh diperoleh seperti dasar yang diamalkan oleh KPM dalam

95 menghasilkan bilangan guru pemulihan setiap tahun, corak latihan dan kemahiran yang dibekalkan kepada mereka serta penempatan guru-guru tersebut ke sekolah.

Kesemua temu bual telah dijalankan secara separa berstruktur, iaitu berpandukan satu set soalan yang disediakan. Tujuannya adalah untuk memastikan data utama diperoleh daripada setiap peserta, di samping untuk membuat perbandingan data yang dikemukakan antara peserta. Soalan-soalan tambahan telah dikemukakan dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan terperinci, mengukuhkan lagi maklumat yang telah ada serta untuk mencungkil penemuan baru yang mempunyai kaitan dan manfaat kepada perkara yang dikaji.

Dalam dokumen AKTIVITI PEMULIHAN BACAAN DI SEBUAH SEKO (1) (Halaman 113-117)

Dokumen terkait