Trend Isu Utama Blog 28 Dapatan
KEPENGHUBUNGAN BAHASA, BUDAYA DAN PEMIKIRAN
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz
Noam Chomsky (1975:10) merumuskan bahawa bahasa adalah cerminan minda masyarakat. Rumus ini menitikberatkan peranan minda dalam memanifestasikan keinginannya melalui bahasa. Maka rumusan ini secara tidak langsung mengaitkan bahasa dengan psikologi. Beliau menjelaskan bahawa minda mempunyai kemampuan dalaman (innate) secara semulajadi yang menghasilkan prinsip- prinsip (principles) dan tanggapan-tanggapan (conceptions) yang menghasilkan ilmu pengetahuan (knowledge) apabila didesak oleh indera (sense) untuk menghasilkan ilmu pengetahuan tersebut. Ini bermakna bahawa minda adalah sebuah mekanisme kognitif yang hanya memerlukan pengalaman untuk menggerakkannya. Dasar ini menyebabkan Chomsky beranggapan bahawa penjelasan mengenai kemampuan berbahasa seharusnya dilihat daripada struktur minda bukan struktur kata. Beliau memperkenalkan Teori Tatabahasa Generatif (Theory of Generative Grammar) atau Tatabahasa Transformasi (Transformational Grammar) yang kemudian digabungkan menjadi tatabahasa Tranformatif-Generatif (TG).
Teori ini melakarkan bahawa pemerolehan dan penghasilan bahasa seseorang itu mampu direalisasikan melalui sejumlah prinsip-prinsip yang terbatas tetapi membenarkan seseorang penutur itu menghasilkan jumlah kata-kata yang tidak terbatas. Korelasi antara prinsip yang terbatas dan penghasilan yang tidak terbatas ini dikenali sebagai kecekapan atau struktur dalaman tatabahasa (competence or deep-structure grammar ) dan kelakonan atau struktur permukaan tatabahasa (performance or surface-structure grammar). Kecekapan merupakan kemampuan sedia-ada penutur dalam menghasilkan kata-kata yang belum mempunyai struktur sempurna apabila terdesak. Kecekapan ini apabila digabungkan dengan pengalaman akan menghasilkan kelakonan atau kata- kata sempurna yang mampu membentuk ayat yang gramatis atau sempurna. Tahap kelakonan ini merupakan tahap penjanaan tatabahasa memandangkan di tahap ini, penutur telah ada set prinsip dasar atau rumus-rumus dasar tertentu yang membenarkannya menghasilkan ayat-ayat lain. Ini merupakan idea induk dalam teori tatabahasa TG.
Rumusan yang dibuat oleh Chomsky menonjolkan bahawa kemampuan pemerolehan bahasa seseorang itu adalah secara semulajadi berkat daripada mekanisme dalaman yang sedia ada di dalam minda yang membenarkan ia memperolehi bahasa atau menghasilkan bahasa yang berkesan dalam susunan yang gramatis. Bahasa tidak menentukan cara minda beroperasi atau membentuk prinsip- prinsip kognitif yang membendungnya. Sebaliknya minda adalah punca kepada segala perlakuan pertuturan.
Hipotesis Sapir-Wolf (Cleary & Linn 1993 : 101-102) pula menekankan bahawa cara seseorang itu berfikir ditentukan oleh struktur bahasa ibunda penuturnya. Edward Sapir mendefinisikan bahasa sebagai cara yang digunakan untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan secara sewenang-wenangnya. Beliau menekankan bahawa bahasa bukan hanya menentukan corak budaya, tetapi menentukan juga cara dan jalan pemikiran manusia sehinggakan mempengaruhi tindak-laku manusia itu sendiri. Maka setiap bangsa di dunia ini mempunyai pemikiran yang berbeza memandangkan mereka mempunyai bahasa yang berbeza.
32
Benjamin Lee Whorf, melalui teorinya iaitu relativiti bahasa (linguistic relativity), menekankan bahawa tafsiran manusia terhadap sesuatu fenomena di dunia adalah berbeza kecuali mereka mempunyai latarbelakang linguistik yang sama memandangkan penutur menentukan pandangan dunianya melalui kategori tatabahasa dan klasifikasi semantik yang wujud dalam sistem bahasa dan budaya yang diwarisinya.Whorf menyatakan bahawa terdapat keserasian dalam hubungan ketiga-tiga unsur iaitu bahasa, pemikiran dan budaya sementara bahasa pula berfungsi sebagai penentu utama (prime determiner) kepada pemikiran. Hipotesis ini bercanggah dengan rumusan Chomsky kerana ia menekankan budaya sebagai pembentuk bahasa.
Tham (1990:14) menjelaskan bahwa kedua-dua tanggapan ini menghasilkan dua set hubungan iaitu antara bahasa dengan proses kognitif minda; dan bahasa dengan budaya atau faktor kesekitaran. Perkembangan seumpama ini menyebabkan berlakunya evolusi bahasa dengan begitu cepat dan berkesan. Bahasa mampu bergerak memandangkan terdapat hubungan keserasian antara pemikiran, bahasa dan budaya seperti dalam rajah 1.0 berikut:
Rajah 1.0
Kedua-dua pandangan ini juga menekankan bahawa bahasa adalah penentu realiti iaitu budaya. Perkembangan sesuatu budaya dalam masyarakat selari dengan perkembangan bahasa manusia kerana bahasa diperlukan untuk menerangkan realiti budaya yang dialami manusia. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan berlakunya perubahan ke atas bahasa dari segi struktur dan maknanya.
Teori-teori dan hipotesis yang diperkenalkan oleh para pengkaji mapan bahasa membuktikan bahawasanya adanya pertalian antara bahasa, minda, dan budaya. Ini bermakna sesuatu elemen tadi tidak mampu berfungsi bersendirian. Sebaliknya, ia bergerak dalam satu rangkaian persefahaman agar dapat melaksanakan satu tugas komunikasi yang berkesan dan mencapai objektifnya. Dalam lain erti kata, setiap gerak lalu elemen-elemen tersebut juga akan menjejas sesama sendiri. Sekiranya minda berfungsi tanpa mengambil kira keperluan bahasa dan budaya maka ia akan mencetuskan masalah. Maka penting bagi setiap penutur memastikan keserasian ketiga-tiga elemen tersebut agar timbul satu suasana harmonis dalam komunikasi. Rumusan ini dapat menjelaskan mengapa lahirnya kerencaman dalam bahasa melalui variasi bahasa seperti bahasa idiolek, dialek, kronolek, sosiolek, akrolek, basilek, slanga, jargon, argot, vulgar, loghat, pijin, kreol dan neka.
Idiolek ialah kelainan bahasa yang digunakan oleh seseorang penutur, termasuk keganjilan dari segi sebutan, tatabahasa, dan kosa kata (Kamus Linguistik 1997:96) sementara David (1993:423) pula meringkaskan erti idiolek kepada sistem linguistik individu. Abdul Chaer (1995:83) menjelaskan bahawa idiolek ialah variasi bahasa yang bersifat perseorangan. Menurut konsep idolek,
Bahasa
Budaya Pemikiran
33
setiap orang mempunyai idiolek masing-masing. Variasi idiolek berkenaan dengan “warna” suara, pilihan kata, gaya bahasa, susunan kalimat dan sebagainya. Namun demikian, “warna” suara merupakan faktor yang paling dominon sehinggakan kita dapat mengenali seseorang itu tanpa melihatnya tetapi melalui suara bicaranya sahaja. Kita juga mampu mengenali seseorang itu berdasarkan penulisannya sahaja seperti Shakespeare, Hamka dan Alisjabana hanya dengan membaca selembar daripada karya mereka.
Dialek (David 1993:24-25) merujuk kepada bahasa yang digunakan oleh masyarakat penutur dalam satu daerah yang sama, misalnya dialek Kelantan, Kedah dan seumpamanya. Ia merujuk kepada perbezaan yang terdapat dalam tatabahasa dan kosakata jika dibandingkan dengan dialek lain. Maka antara dialek Kelantan dan dialek Kedah akan terdapat perbezaan dalam tatabahasa dan kosakata kedua-duanya.
Kronolek atau Dialek Temporal (Abdul Chaer 1995:84) ialah variasi bahasa yang digunakan oleh kelompok sosial pada masa tertentu. Misalnya, variasi bahasa Melayu pada tahun 30‟an, 50‟an dan zaman ini. Perbezaan pasti timbul dari segi struktur linguistik khususnya leksikon yang berubah mengikuti perkembangan dalam sosio-budaya, ilmu pengetahuan dan teknologi.
Sosiolek atau dialek sosial (Abdul Chaer 1995:84-85) merupakan variasi bahasa berkenaan dengan status, golongan dan kelas sosial para penuturnya. Ia meliputi semua masalah pribadi para penuturnya seperti usia, pendidikan, seks, pekerjaan, tingkat kebangsawanan, keadaan sosio- ekonomi dan sebagainya. Perbezaan antara golongan penutur yang dinilai ialah dari sudut morfologi, sintaksis dan leksikon bukan isi perbualannya. Maka akan lahir banyak kelainan dalam bahasa yang digunakan oleh kaum ibu, para remaja, cendikiawan dan sebagainya. Misalnya, dari sudut leksikon, bahasa yang digunakan oleh raja adalah berbeza daripada rakyat biasa seperti santap (makan), beradu (tidur), mangkat (mati) dan bersiram (mandi).
Loghat (accent) pula merujuk kepada sebutan yang unik atau berlainan daripada biasa. Misalnya bahasa Melayu riau menyebut saye sementara bahasa Melayu Kedah sebut saya. Loghat juga boleh digunakan untuk membezakan kedudukan seseorang. Ada loghat digunakan oleh orang- orang yang berpendidikan dan ada pula yang digunakan oleh orang yang rendah pendidikannya.
Hubungan antara ketiga-tiga elemen tadi juga mencetuskan linguistic accomodation (David 1993:51) yakni penyesuaian atau gabungan linguistik berlaku apabila dua orang daripada latarbelakang linguistik atau bahasa yang berbeza bertemu dan berbual. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya penyesuaian dalam pertuturan agar ia menjadi lebih akrab. Keadaan ini berlaku dalam banyak keadaan. Misalnya, seseorang yang berbual dengan kanak-kanak atau orang asing, menjelaskan sesuatu yang kompleks dalam bahasa yang mudah memandangkan latar belakang yang berbeza, kata-kata kunci atau wacana yang terambil daripada kelompok sosial tertentu dan menggunakan loghat orang yang diajak berbual secara tidak sedar.
Keadaan ini amat positif memandangkan ia memudahkan komunikasi dan menambah keakraban serta memudahkan perundingan. Namun demikian, ia berkemungkinan menyebabkan seseorang penutur itu hilang identitinya dan kewibawaannya kerana teman bualnya mungkin tidak selesa dengan perubahan yang dilakukan demi penyesuaian. Satu contoh yang paling jelas mengenai fenomena linguistic accommodation ini ialah bahasa Singlish di Singapura. Don't play-play, sama dengan Jangan main-main! Kedua-dua petikan ini mempunyai makna yang sama tetapi dalam bahasa yang berlainan. Petikan yang pertama adalah bahasa yang dituturkan oleh semua kaum di Singapura. Manakala petikan kedua merupakan bahasa Melayu. Namun demikian kedua-duanya mempunyai susunan kata dan makna yang sama.
34
Bahasa Singlish sebenarnya memerikan pemikiran rakyat Singapura jati. Kita maklum bahawa bahasa Singlish ini merupakan bahasa Inggeris ala Singapura. Ia adalah gabungan bahasa- bahasa berbagai kaum di Singapura iaitu Melayu, Cina dan India yang disesuaikan dengan bahasa Inggeris. Bahasa ini mampu difahami rakyat Singapura dengan mudah sekali sehinggakan orang asing yang ingin melancong di Singapura terpaksa mempelajari kosa kata, ayat dan makna yang dibina oleh bahasa Singlish sekiranya mereka ingin menonton rancangan hiburan di televisyen Singapura mahupun berjinak-jinak dengan telor Singapura.
Satu dapatan yang menarik berdasarkan buku “Singapore English in a Nutshell” karya Profesor Madya Adam Brown ialah banyaknya bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Cina dan India yang digunakan dalam bahasa Singlish. Misalnya, perkataan seperti bedek, buaya, angkat, barang-barang, karang guni man, gabra, hentam, agak-agak, lobang, sebok, samsing, rojak, gasak buta, gila, kapo, kaypoh, shiok dan kayu. Manakala perkataan Cina pula adalah lauyah, kiasu, siau, sian, chin chai, ngeow, kancheong, obiang, tapau dan paiseh. Bahasa India menghasilkan perkataan goondu dan mama. Kesemua perkataan ini membentuk bahasa Singlish apabila digunakan dalam ayat-ayat Inggeris. Misalnya dalam ayat: “wait I hentam you, then you know”, “you don‟t try to bedek me”, “Why so kancheong ?”, “Don‟t be a goondu, OK ?” dan “Lets go to the mama shop and tapau some keropok.” Kita dapat perhatikan bahawa ayat-ayat bahasa Singlish tersebut mempunyai struktur ayat lisan (percakapan) seperti dalam bahasa Melayu, Cina ataupun India.
Jelas sekali semua bangsa di Singapura menutur dan berasa selesa dengan bahasa Singlish walaupun ia tidak gramatis. Keperluan budaya mengatasi keperluan ilmiah. Bahasa ini mungkin tidak sesuai untuk digunakan di sekolah-sekolah kerana tatabahasanya yang melanggar nahu bahasa Inggeris yang sebenar. Namun demikian, ia sebenarnya menggalakkan kemesraan di kalangan penuturnya, sekaligus mengukuhkan perpaduan.
Lahirnya variasi baharu bahasa Inggeris seperti Singlish, Manglish, Chinglish, dan Spanglish membuktikan bahawa manusia sentiasa cuba memastikan adanya keserasian hubungan tiga elemen tersebut. Bahasa yang dituturkan berteraskan kesekitaran yang membawa kepada penafsiran oleh pemikiran yang lazimnya dikawal oleh budaya. Misalnya, dalam membuat pilihan untuk menggunakan bahasa Singlish. Biasanya, penutur sudah terpengaruh dengan kesekitaran multi budaya sehinggakan timbul rasa keakraban apabila menggunakan bahasa tersebut semasa bertutur dengan masyarakat lain di Singapura. Respons oleh si penerima komunikasi tadi juga akan sama yakni timbul rasa kekitaan memandangkan ia melambangkan rakyat Singapura. Maka pemikiran dalam setiap yang terlibat di dalam komunikasi tadi ialah keselesaan penggunaan bahasa yang berbudaya nasional.
Begitu juga kelainan bahasa yang timbul kesan daripada hubungan timbal balik antara bahasa, budaya dan pemikiran yang dialami serta mempengaruhi manusia. Berikut merupakan beberapa contoh yang lahir daripada hubungan tersebut:
Idiolek 26 pencapaian kecapaian (ahli politik) memasukkan memasuk (ahli politik)
bekas mantan (laras politik)
konco kroni (laras politik)
pembaharuan reformasi (laras politik)
26 Dari konteks penyebaran atau impak, idiolek ahli politik lebih mudah disebarluaskan berbanding dengan penulis
kerana liputan media yang meluas dan penganutan oleh media massa akan istilah-istilah yang tersebut yang akhirnya digunakan oleh masyarakat.
35
sesuai kondusif (laras politik)
Dialek lipas lipah (Kelantan)
lipah (Terengganu) lipaih (Kedah)
Akrolek makan cekik
minum togok
pergi belah
Kolokial hendak nak
ambil amik
sekejap kejap
Argot sahabat belad (bahasa penagih dadah) merbahaya keras (bahasa penagih dadah)
Kreol muda munda (bahasa Baba)
muka mungka (bahasa Baba)
pijak pinjak (bahasa Baba)
Bahasa, budaya dan pemikiran merupakan satu lingkungan yang saling melengkapi dan mempengaruhi. Bahasa mempengaruhi pemikiran dan budaya mempengaruhi bahasa. Di Singapura, bahasa ibunda yakni Melayu, Mandarin dan Tamil diberikan fungsi sebagai penatar budaya di sekolah-sekolah. Ini bermakna penguasaan bahasa perlu kukuh agar budaya dapat disampaikan dengan sempurna kerana budaya telah menghasilkan banyak kosakata yang perlu diwarisi dalam usaha memartabatkan sesuatu budaya. Tatkala budaya berjaya disampaikan dengan berkesan melalui bahasa yang mendukungnya, ia akan mencorak pemikiran pelajar itu terhadap alam bangsanya yang penuh dengan kerencaman ilmu, tatalaku, adab, adat, kepercayaan, agama, dan pandangan dunia.
*****
Bibliografi
Abdul Chaer & Leonie Agustina, 1995. Sosiolinguistik: Perkenalan awal. Jakarta: PT Rineka Cipta. Cleary dan Linn 1993. Lingusitics for teachers. Singapore : McGraw Hill Inc.
Chomsky N., 1975. Reflections on language. New York : Pantheon Books.
David Crystal, 1993. The Cambridge Encyclopedia of Language. USA: Cambridge
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz, 2004. Evolusi Bahasa Melayu di Singapura. Tesis Sarjana. Universiti Teknologi Nanyang
36
ISU AGAMA DAN BUDAYA
AGAMA MANGKIN VAKSIN PROGRESIVITI BANGSA
Nur Hafizah Binte Mohd Rashib
Pendahuluan
Tindakan mengetepikan perihal hak-hak istimewa yang dikhususkan untuk bangsa Melayu dan meneruskan tekad memulakan hidup baru bersama-sama dengan sebuah pulau nelayan yang serba- serbi kekurangan serta bersaing atas dasar meritokrasi merupakan satu perbuatan yang cukup berani lagi mengkagumkan. Keputusan untuk berdiri di atas kaki sendiri atau berusaha dan bukannya bergantung kepada ihsan lain menunjukkan kesungguhan masyarakat Melayu era 1965 untuk membawa keluarga mereka keluar dari ambang kemiskinan langsung memperkenalkan erti penakatan kepada anak-anak. Kelompok Melayu tersebutlah yang digelarkan Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz dalam bukunya Melayu Singapura dalam Kritikan (2002:82-83) sebagai „Melayu Baru‟ kerana mempunyai ciri-ciri keberanian, kesungguhan, progresiviti, bersemangat dan berwawasan:
“Sebaliknya, gelaran Melayu Baru ini seharusnya dianugerahkan kepada ibu bapa mereka yang telah sedar akan kepentingan menanam semangat penakatan secara spiritual dalam diri anak-anak yang kini berjaya dan cemerlang. Ibu bapa kita yang tidak terpelajar, tetapi sanggup bergolak-bergadai demi pendidikan anak-anak, adalah Melayu Baru kerana mereka adalah golongan yang tidak takut menghadapi perubahan demi penakatan.” (Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz, 2002:82-83)
Vaksin Progresiviti
Berkat kesungguhan jelas membuahkan hasil. Pulau nelayan atau Singapura yang dahulunya sering dipandang hina dan diragui kebolehannya oleh pihak penjajah, mula menampakkan penakatan dari segi ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyatnya sehinggakan bilangan penduduknya meningkat setiap tahun. Singapura kemudian beransur-ansur membangun sejajar dengan perkembangan globalisasi langsung muncul sebagai sebuah bandar raya global yang disegani dunia dewasa ini. Masyarakat Melayu turut juga menunjukkan kemajuan dalam pelbagai bidang antaranya akademik, pekerjaan dan kesihatan walaupun masih agak lembab. Namun demikian, taraf hidup purata masyarakat Melayu di Singapura paling tinggi dalam rumpun Melayu, termasuk Malaysia (Mohamed Pitchay Gani, 2002).
Kesungguhan „Melayu Baru‟ untuk melihat negara dan anak-anak buahnya hidup senang dan sejahtera sudah dapat dilihat malah dinikmati hari ini. Ternyata, mereka bukan golongan yang mempunyai semangat hangat-hangat tahi ayam atau suka berangan-angan seperti Mat Jenin. Malangnya, „formula‟ vaksin progresiviti nenek moyang ini sudah hilang atau tercicir semasa ianya diturunkan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Akibatnya, generasi kini tidak berpeluang mendapatkan suntikan vaksin tersebut dan melawan Virus „M‟ iaitu punca kelembapan dan kemunduran di kalangan masyarakat Melayu milieu ini.