Sebagaimana yang telah dinyatakan bahawa Islam amat menggalakkan umatnya berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Konsep perniagaan dalam Islam melebihi objektif dunia yang hanya berlegar di sekitar keuntungan sahaja. Dalam Islam, perniagaan mempunyai nilai dan objektif yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat. Konsep-konsep perniagaan dalam Islam meliputi perkara-perkara tersebut antaranya: (Nik Mohamed Affandi Nik Yusoff, 2002).
i. Konsep Ubudiyah
Islam sebagai agama yang syumul tidak memisahkan segala urusan kehidupan seharian dengan nilai-nilai agama. Semuanya mempunyai objektif tertentu dan akan diberi ganjaran yang sewajarnya di akhirat nanti. Begitu juga dalam bidang perniagaan, usahawan haruslah mempunyai niat yang ikhlas mencari keredhaan Allah.
Usahawan Muslim tidak seharusnya menjadikan untung material semata-mata sebagai objektif tertinggi. Mereka harus sedar bahawa manusia adalah khalifah yang mengurus dan memakmurkan bumi dan bukanlah pemilik mutlak.
Sebagai khalifah yang mentadbir dan memakmurkan bumi Allah, manusia haruslah sentiasa menuruti segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Manusia tidak mempunyai kuasa yang mutlak dalam semua hal, bahkan segala-galanya adalah dalam pengetahuan dan ketentuan Allah semata-mata. Inilah yang menjadikan banyak konsep yang berbeza antara perniagaan dalam Islam dan konvensional. Selain daripada pemaksimuman untung, beberapa konsep seperti penetuan harga juga berbeza antara Islam dan konvensional. Dalam konsep penetuan harga, Islam berpendapat bahawa harga di pasaran terbuka bergerak atas ketentuan dan kehendak Allah. Ini berbeza dengan pendapat ahli ekonomi barat yang menyatakan bahawa penyelarasan harga berdasarkan permintaan dan pengeluaran dibuat oleh “tangan yang ghaib” meskipun terdapat kecenderungan wujudnya perncangan tuhan. (http://plus.maths.org)
Konsep ubudiyah ini juga mempunyai pertalian rapat dengan konsep nilai dan ikhsan yang menjadi garis panduan dan berfungsi sebagai kawalan kepada individu usahawan. Individu usahawan bukan sahaja dinilai dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan tetapi merangkumi personaliti dan penampilan peribadi serta akhlak. Akhlak yang baik mencerminkan keimanan yang akan mengawal individu tersebut daripada melakukan sebarang salah laku dalam perniagaan. (Muhammad Syukri Salleh, 2001).
ii. Perniagaan mempunyai fungsi ekonomi, sosial dan agama
Perniagaan merupakan bidang yang strategik dalam menggembleng sumber-sumber dalam ekonomi bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat serta mendapatkan keuntungan. Melalui perniagaan, masyarakat akan dapat mencapai dan memenuhi apa yang mereka perlukan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan yang menjadi tunjang ekonomi Negara. Dengan wujudnya peluang pekerjaan yang mencukupi, taraf hidup dan sosial masyarakat akan meningkat seterusnya mengurangkan pelbagai gejala yang tidak diingini.
Selain daripada peranan dalam ekonomi dan sosial, perniagaan mempunyai peranan yang besar dalam Islam. Usahawan yang jujur dan baik akan dikasihi Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang istimewa sebagaimana hadis yang dinyatakan sebelum ini. Penyebaran dan pembangunan Islam pada zaman dahulu juga merupakan kesan daripada peranan aktif para peniaga dan pedagang. Ini termasuklah proses penyebaran Islam ke Asia Tenggara khususnya Malaysia. iii. Sebagai perkhidmatan memenuhi kepeluan manusia
Perniagaan dijalankan adalah berdasarkan kepada permintaan dan keperluan manusia. Keperluan berbeza-beza memerlukan ramai usahawan yang bersedia memenuhi permintaan yang pelbagai. Konsep berkhidmat untuk memenuhi keperluan manusia ini amat dituntut oleh Islam. Bagi umat Islam, golongan usahawan ini amat diperlukan memandangkan mereka mempunyai pelbagai keperluan untuk dipenuhi. Hukum hakam yang menentukan adanya halal dan haram sesuatu barangan membentuk keperluan yang tersendiri dan unik berbanding dengan masyarakat agama lain. Atas sensitiviti dan tanggungjawab sebagai individu Muslim, peniaga dan usahawan sepatutnya berbesar hati dan terus ikhlas menjalankan tanggungjawab yang besar dan penting di sisi masyarakat (Khalid Muhammad Khalid, 1968).
iv. Hubungan baik dengan masyarakat
Sebagai pihak yang memenuhi keperluan masyarakat, usahawan perlu mempunyai hubungan yang baik dengan semua pihak termasuk sesame usahawan dan juga masyarakat sekeliling. konsep asas ini perlu diterjemahkan dalam bentuk urusan perniagaan. Hubungan baik sesame korporat atau networking menjadi kunci kejayaan usahawan pada hari ini. Networking yang tidak begitu kukuh akan menyukarkan sesebuah perniagaan untuk terus berkembang maju. Masalah ini juga dialami oleh usahawan Melayu dan tidak mempunyai asas networking yang kukuh. Oleh sebab itu kerajaan perlu melaksanakan beberapa dasar untuk membantu usahawan-usahawan tersebut. (Patricia Sloane, 1999).
Dalam urusan muamalat Islam, persetujuan dan kesepakatan antara kedua-dua belah pihak (pembeli dan penjual) merupakan elemen yang amat penting. Ianya menjadi asas sama ada sesuatu kontrak itu sah atau sebaliknya. Ini bermakna
setiap urusniaga perlulah didasari oleh persetujuan dan sama-sama berpuashati dengan urusniaga tersebut. Selaras dengan konsep ini para usahawan atau peniaga tidak seharusnya memaksa atau mempengaruhi pelanggan secara melampau untuk memastikan produk mereka laku. Ini termasuklah melakukan perkara seperti mempengaruhi pelanggan dengan memujuk mereka untuk membeli barangan yang tidak mereka perlukan, mempengaruhi dengan mendakwa bahawa barangan mereka berkualiti tinngi atau murah sedangkan dakwaan itu tidak benar dan juga mempengaruhi pelanggan dengan menimbulkan perasaan takut atau khuatir mengenai kekurangan bekalan atau kenaikan harga yang bakal berlaku (Nik Mohamed Affandi Nik Yusoff, 2002).
Dengan menjauhi perkara-perkara di atas, suasana pasaran yang lebih sihat akan berjaya diwujudkan. Peniaga seharusnya menawarkan sesuatu yang benar-benar sepadan dengan harga dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan salah anggap melalui pengaruh iklan. Hubungan yang baik antara pelanggan dan peniaga sebenarnya merupakan hubungan yang menguntungkan dalam jangka masa panjang berbanding keuntungan sementara dengan jalan penipuan (Muhammad Syukri Salleh, 2001).
v. Berpegang teguh dengan nilai
Nilai dan akhlak tidak dapat dipisahkan dengan keusahawanan. Ia merupakan tunjang bukan sahaja kepada pemilik perniagaan tetapi juga kepada setiap individu muslim. Dalam bidang perniagaan, Islam mewajibkan setiap usahawan untuk berpegang teguh dengan nilai yang baik dan menjauhi nilai-nilai yang buruk. Oleh itu, jaminan hanya diberikan kepada usahawan yang benar-benar jujur dan ikhlas sahaja (Muhammad Syukri Salleh, 2001).
Terdapat banyak nilai-nilai baik yang perlu diamalkan oleh para usahawan. Kajian menunjukkan bahawa terdapat banyak nilai-nilai murni dan gelagat yang baik wujud dalam diri usahawan. Nilai dan gelagat inilah yang menyebabkan mereka berjaya mengharungi pelbagai rintangan dalam perniagaan. Antara nilai dan gelagat yang wujud menurut beberapa kajian adalah seperti berani menanggung risiko, berdikari, mempunyai ciri-ciri kepimpinan, murah hati, optimis, kuasa, prihatin, keperluan pencapaian yang tinggi, keyakinan diri dan banyak lagi. (Litzinger, W.D., 1965).
Ciri-ciri, gelagat serta sikap-sikap tersebut boleh dikategorikan sebagai sikap yang positif atau terpuji (mahmudah). Dan oleh kerana Rasulullah sewaktu hidupnya merupakan seorang peniaga yang berjaya, baginda sememangnya mempunyai ciri-ciri tersebut. Baginda berjaya menmbuktikan bahawa dengan mengamalkan sifat-sifat yang baik, perniagaan masih dapat keuntungan malah lebih baik daripada peniaga yang tidak jujur. Keuntungan yang menjadi objektif baginda bukanlah semata-mata keuntungan kebendaan tetapi keredhaan Allah yang lebih utama. (Patricia Sloane, 1999).
Secara mudahnya, usahawan Muslim haruslah mengamalkan sikap terpuji yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sebagaimana yang telah digambarkan melalui al-Quran dan al-Sunnah. Selain itu usahawan juga perlu menghindari daripada mengamalkan larangan Allah seperti riba, judi, rasuah, sorok, mengambil keuntungan melampau, hasad dengki dan sifat-sifat mazmumah yang lain (Khalid Muhammad Khalid, 1968).