University of Malaya
BAB 2: METODOLOGI KAJIAN DAN KERANGKA TEORI 2. 1 Pendahuluan
'Metodologi' berasal daripada perkataan Yunani dan terdiri daripada perkataan 'meta' yang bermaksud 'dengan', 'odos' yang bermaksud 'jalan', dan 'logos' yang bermaksud ilmu atau aliran. Metodologi dapat diterjemahkan sebagai 'ilmu dengan jalan' (Nazaruddin S.H., 1974). Menurut Hornby A.S, et al. (1980), metodologi bermaksud sains atau kajian mengenai kaedah, terutama dalam bidang ilmiah. Selain itu, menurut beliau juga, metodologi boleh membawa maksud suatu ilmu mengenai kajian dalam mentadbir sesuatu bagi mencapai matlamat yang dirancang.
'Kajian' pula bermaksud sesuatu penyelidikan yang dijalankan, sama ada untuk mengetahui apa yang telah berlaku, sedang, atau akan berlaku bagi menambah pengetahuan. Kesimpulannya, metodologi kajian merupakan satu proses mengkaji dan menyelidik sesuatu bahan secara bersistem dengan melibatkan reka bentuk dan kaedah kajian yang tersusun.
Dalam bab ini, akan dibincangkan perihal reka bentuk dan kaedah kajian yang digunakan dalam kajian ini.
2.2 Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk kajian ialah pelan tindakan yang memperlihatkan, secara terperinci, bagaimana sesuatu kajian itu dijalankan (Sabitha, 2006). Selain itu, reka bentuk kajian berfungsi sebagai panduan dalam membantu penyelidik dalam proses memungut, menganalisis, dan membuat pentafsiran hasil daripada penyelidikan. Menurut Zikmud (2003) reka bentuk kajian ialah perancangan khas bagi suatu kaedah dan prosedur untuk mengumpulkan dan menganalisis data.
Dalam kajian ini, reka bentuk kajiannya lebih bersifat deskriptif atau penghuraian. Dalam kajian ini, setiap item yang dikaji akan dianalisis dan dihuraikan secara terperinci. Hal ini dikatakan demikian kerana kajian ini melibatkan proses dan binaan sesuatu kata dan memerlukan penghuraian yang terperinci tentang sesuatu proses dan binaan.
2.3 Kaedah Kajian
Kaedah kajian merupakan teknik ataupun cara yang digunakan oleh penyelidik dalam melakukan penyelidikan. Dalam kajian ini, tiga kaedah kajian dipilih bagi melakukan kajian ini, iaitu:
2.3.1 Kaedah kajian kepustakaan
2.3.2 Kaedah kajian teks
2.3.3 Kajian eksperimental
2.3.1 Kaedah Kajian Kepustakaan
Melalui kaedah ini, rujukan dilakukan di beberapa perpustakaan untuk mendapatkan pelbagai maklumat. Antara perpustakaan yang dikunjungi ialah Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Perpustakaan Akademi Pengajian Melayu, Perpustakaan Fakulti Bahasa dan Linguistik, dan Perpustakaan Peringatan Za’ ba Universiti Malaya. Pelbagai bahan dirujuk di keempat-empat perpustakaan ini. Antaranya ialah buku, tesis, jurnal, dan prosiding. Dalam kaedah ini, aspek yang dilakukan terhadap bahan-bahan yang diperoleh ialah membandingkan antara satu kajian dengan kajian yang lain,
Pengumpulan data diperoleh daripada tesis, jurnal, artikel, prosiding, dan buku akademik. Data yang diperoleh akan melalui proses analisis, iaitu proses mengolah dan menghuraikan maklumat yang terdapat dalam bahan bacaan secara terperinci. Kemudian, data ini akan mengalami proses penilaian. Akhir sekali, data yang telah dinilai dan mempunyai kaitan dengan kajian akan diguna pakai dalam kajian.
2.3.2 Kaedah Kajian Teks
Melalui kaedah ini, kajian dilakukan terhadap teks yang dipilih, iaitu majalah Impiana. Menerusi bahan dalam majalah tersebut, kehadiran kata adjektif dan kata adjektif majmuk, khususnya kata adjektif majmuk warna, menjadi tumpuan. Melalui kaedah ini, teks akan dikaji dengan teliti bagi melihat kehadiran pelbagai bentuk kata adjektif dan seterusnya melakukan proses menganalisis.
Seterusnya ialah analisis terhadap kehadiran kata adjektif untuk melihat bentuk dan jenisnya. Dalam proses analisis ini, semua artikel yang terkandung dalam majalah tersebut dianalisis. Kata adjektif yang telah dikenal pasti akan dikeluarkan untuk dikenal pasti bentuk dan jenisnya. Proses menganalisis kata adjektif ini juga turut melibatkan binaan frasa dan ayat bagi memudahkan proses mengenal pasti bentuk kata ini bagi mengelakkan daripada kekeliruan dengan kata adverba.
Bagi anailisis terhadap kata adjektif majmuk warna, teks yang dikaji melibatkan pengaplikasian pangkalan data korpus DBP. Teks yang terdapat dalam majalah ini dikaji bergantung kepada hasil pencarian konkordans. Teks-teks yang akan dianalisis diambil secara rawak tanpa mengikut bab-bab tertentu dalam majalah tersebut. Teks yang dipilih untuk dianalisis tidak menumpukan pada potongan ayat penuh, sebaliknya tertumpu kepada ayat yang ringkas dan bermakna, iaitu mengandungi subjek dan predikat, terutamanya kehadiran kata adjektif majmuk warna dalam ayat tersebut.
Secara kesimpulannya, menerusi kaedah ini, proses menganalisis teks dilakukan bagi melihat kehadiran kata adjektif dan kata adjektif majmuk warna. Daripada teks-teks yang dianalisis, seberapa banyak kata adjektif dan kata adjektif majmuk warna yang hadir akan dikeluarkan untuk dianalisis. Proses ini hanya melibatkan teks-teks daripada majalah Impiana. Teks-teks yang diambil untuk proses analisis adalah secara keseluruhan melalui majalah Impiana secara langsung dan secara rawak menerusi pengaplikasian pangkalan data korpus DBP, iaitu melalui majalah Impiana yang telah didigitalkan di dalam pangkalan data tersebut.
2.3.3 Kaedah Eksperimental
Kaedah eksperimental merupakan satu kaedah penyelidikan yang menggunakan pangkalan data korpus DBP. Dalam kaedah ini satu pangkalan data, iaitu pangkalan data korpus DBP, digunakan bagi mendapat data kajian. Melalui pangkalan data ini, kaedah cuba jaya digunakan bagi mendapatkan data kajian. Kaedah cuba jaya di sini bermaksud pengkaji mengaplikasikan pangkalan data ini dengan cara tersendiri bagi mendapat data kajian mengikut keperluan pengkaji. Selain itu, dalam kaedah ini penekanan diberikan kepada konsep pemboleh ubah yang merujuk kepada kata adjektif majmuk warna dan juga konsep kebolehpercayaan yang merujuk kepada pangakalan data korpus. Dalam kaedah ini, persampelannya dilakukan secara rawak berikutan kata adjektif majmuk warna yang terhad bilangannya.
Dalam pengaplikasian pangkalan data ini, pada bahagian carian konkordans terdapat tiga item utama, iaitu sumber bahan, tarikh/tahun terbit bahan, dan kriteria penulis yang perlu diisi mengikut keperluan kajian bagi mendapatkan data kajian. Dua item utama carian konkordans digunakan dalam kajian ini, iaitu item sumber bahan dan tarikh/tahun
kehadirana kata adjektif majmuk warna. Dengan menggunakan kaedah ini, beberapa langkah pengaplikasian pangkalan data akan diterangkan dengan ringkas.