FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEJAYAAN PERNIAGAAN
4.6.6 Nilai Islam Moderator Perhubungan Antara Ciri Usahawan dan Kejayaan
Terdapat banyak nilai-nilai baik yang perlu diamalkan oleh para usahawan. Nilai dan gelagat inilah yang menyebabkan mereka berjaya mengharungi pelbagai rintangan dalam perniagaan. Antara nilai dan gelagat yang wujud menurut beberapa kajian adalah seperti berani menanggung risiko, berdikari, mempunyai ciri-ciri kepimpinan, murah hati, optimis, kuasa, perihatin, keperluan pencapaian yang tinggi dan keyakinan diri (Litzinger, 1965). Ciri-ciri, gelagat serta sikap-sikap tersebut boleh dikategorikan sebagai sikap yang positif atau terpuji (mahmudah). Malah Rasul sendiri sebagai usahawan yang berjaya telah menunjukkan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan seharian Baginda dan mengamalkan sifat-sifat yang baik, namun perniagaan Baginda masih menguntungkan malah lebih baik berbanding usahawan yang tidak jujur (Ab. Mumin & Suhaili, 2005). Menurut Mohd Nazmi (2005), di antara faktor utama menyebabkan usahawan memperolehi kejayaan dan keuntungan yang banyak dalam perniagaan ialah kerana mereka berusaha gigih dan berniaga mengikut etika yang digariskan oleh Islam.
Sebagai individu yang sentiasa mengenal pasti peluang, nilai kreatif dan inovatif merupakan nilai yang amat penting bagi setiap individu usahawan untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan. Sifat inovatif ini amat digalakkan oleh Islam memandangkan Allah menciptakan setiap sesuatu adalah untuk digunakan oleh manusia. Hal ini dinyatakan melalui Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi” Surah al-Baqarah (2):29
Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah S.W.T menciptakan segala yang ada di muka bumi ini untuk dimanfaatkan oleh manusia. Walau bagaimanapun manusia perlulah berfikir
165 bagaimana untuk mengubah sumber asas kepada produk yang dapat memenuhi kehendak mereka. Oleh sebab itu mereka dikurniakan akal fikiran dan keistimewaan ini haruslah digunakan sebaik-baiknya untuk kemudahan semua pihak.
Pada masa kini, pelbagai teknologi dan proses moden telah diperkenalkan dalam menghasilkan produk yang lebih baik dan mudah dipasarkan. Ia sepatutnya menjadi tumpuan usahawan muslim yang bukan sahaja mempelajari bidang tersebut tetapi cuba mencipta teknologi baru yang lebih baik. Ini menunjukkan ketinggian agama Islam melebihi agama lain dan dapat digambarkan oleh pengikutnya yang sentiasa terkehadapan dalam semua segi. Usahawan yang tekun bekerja atau berniaga akan mencapai kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan serta diredhai Allah S.W.T. Perniagaan perlu dilakukan dengan penuh dedikasi tanpa ada rasa kecewa, lemah semangat atau putus asa (Mohd Nizho, 2005). Sebagai contoh amalan peniaga Jepun yang cukup cekap (Maamor, 2001). Selain itu usahawan juga hendaklah sentiasa mengutamakan pelanggan dengan mengucapkan kata-kata yang menarik, manis, saling hormat-menghormati, lemah-lembut dan mempertimbangkan kepentingan semua pihak. Usahawan hendaklah sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk memenuhi "consumer expectation". Kepuasan pelanggan adalah keutamaan mereka. Dalam Islam, sifat tersebut merupakan suatu sifat yang positif atau terpuji (mahmudah).
Menurut Shuhairimi & Ku Halim (2010), ajaran Islam menyeru umatnya terutama kepada golongan usahawan memberi keutamaan terhadap nilai kreativiti dan inovasi dalam kerangka perniagaan. Pada hakikatnya Allah S.W.T. telah menganugerahakn pelbagai sumber untuk meneruskan kehidupan manusia. Namun begitu, pada skala yang lebih umum ia tidak dapat menampung keperluan manusia secara sempurna sekiranya hasil tersebut
166 tidak dimanipulasikan secara optimum. Oleh itu usahawan perlu mengaplikasikan nilai kreatif dan inovasi yang ada pada diri mereka untuk membantu menyelesaikan sebahagian daripada keperluan yang diperlukan oleh masyarakat. Bahkan Islam memberi pengiktirafan bahawa bertindak secara kreatif dan inovatif adalah nilai kualiti yang ada pada usahawan. Tuntutan ini dapat dilhat daripada firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula.”
Surah al-Mulk(67):15
Nilai kreatif dan inovatif merupakan nilai yang amat penting bagi setiap usahawan kerana ia merupakan kunci kejayaan dalam perniagaan. Sifat inovatif ini amat digalakkan oleh Islam memandangkan Allah menciptakan setiap sesuatu adalah untuk digunakan oleh manusia. Hal ini dinyatakan melalui ayat yang bermaksud:
“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi” Surah al-Baqarah (2): 29
Selain itu, usahawan berjaya juga haruslah mempunyai keyakinan diri. Nilai ini menjadi satu landasan kepada para usahawan untuk melakukan apa sahaja aktiviti dan menyelesaikannya secara bijak. Pada dasarnya, Islam mengarahkan penganutnya melaksnakan sesuatu tugas dengan penuh yakin, berani dan dengan penuh ketelitian. Sebagai usahawan yang berjaya, mereka memiliki keberanian dan keyakinan yang tinggi untuk terus maju dalam bidang perniagaan. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya yang bermaksud:
“Dan jangnalah kamu merasa lemah, dan jangnalah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang beriman.”
167 Jelas menunjukkan kepada kita, bahawa Allah S.W.T. melarang umatnya mempunyai sifat negatif seperti berdukacita. Dapat dirumuskan bahawa usahawan yang berjaya tidak membiarkan diri mereka daripada mempunyai nilai-nilai negatif yang menjadi penghalang dan menyekat kemajuan diri untuk berjaya (Shuhairimi & Ku Halim, 2010). Disebabkan itulah usahawan harus berani mengorak langkah mengambil risiko dan mencari peluang dalam bidang perniagaan dan keusahawanan ini. Menurut Ivan (1999), nilai keyakinan yang ada pada diri usahawan akan melahirkan satu nilai positif dalam diri supaya menghormati diri sendiri dan mempercayai bahawa diri mereka juga penting. Ia penting kerana manusia bukan sahaja menguruskan aspek fizikalnya sahaja, malah merangkumi dan emosi dan mental. Ternyata bahawa keyakinan diri merupakan sebahagian daripada nilai asasi yang ada pada diri usahawan berjaya untuk bertindak dengan lebih matang. Semakin tinggi keyakinan usahawan terhadap kemampuan diri, semakin besar keyakinan dan kesangguan mereka untuk mencuba sesuatu yang dilihat oleh orang lain sebagai risiko. Mereka yang memiliki nilai keyakinan diri yang tinggi mempunyai keupayaan untuk mengambil keputusan secara tepat. Ini dapat membantu kepada kejayaan perniagaan mereka (Meredith dalam Shuhairimi & Ku Halim, 2010).
Hujah di atas juga di sokong oleh pengkaji Barat. Melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh Vaught dan Hoy didapati nilai-nilai tersebut dihayati dengan baik oleh usahawan berbanding dengan golongan bukan usahawan. Mereka berpendapat bahawa nila-nilai peribadi utama merupakan pemangkin kepada kejayaan usahawan. Nilai-nilai positif yang ada pada usahawan seperti kebebasan, berfikir secara positif, bekerja dalam organisasi kecil, bermotivasi tinggi, bercita-cita tinggi, berkeyakinan, bertoleransi dengan kesukaran dan sanggup berkorban merupakan faktor yang mendorong kepada usahawan dinamik. (Vaught dan Hoy dalam Shuhairimi & Ku Halim, 2010).
168 Nilai Islam sebagai moderator perhubungan antara ciri usahawan dan kejayaan boleh dirumuskan dalam hipotesis berikut:
Hipotesis 3a: Nilai Islam merupakan moderator perhubungan antara ciri usahawan dan kejayaan