• Tidak ada hasil yang ditemukan

PARTI KOMUNIS MALAYA

Dalam dokumen SEJARAH KOMUNIS DI SELANGOR DAN TANAH ME (Halaman 45-48)

meletakkan senjata dan kembali hidup bersama masyarakat sama ada di Tanah Melayu atau di selatan Thai Perjuangan selama 12 tahun satu bulan dan 15 har

SEJARAH KOMUNIS DI SELANGOR DAN TANAH MELAYU

6.2 PARTI KOMUNIS MALAYA

6.2.1 Latar Belakang Awal

Masyarakat Cina1 yang tinggal di Tanah Melayu amat prihatin dan sensitif terhadap apa yang berlaku di tanah besar China. Keadaan sedemikian berlaku kerana ramai yang berpendirian bahawa Tanah Melayu hanya sebagai tempat sementara untuk mencari rezeki dan kuatnya ikatan hubungan kekeluargaan dengan tanah air mereka. Hal ini juga disebabkan oleh proses migrasi yang berterusan menyebabkan ramai dari kalangan mereka yang baru datang menyebarkan berita atau memberi pandangan apa yang sedang berlaku di sana. Dengan itu, apa yang berlaku di tanah besar China menarik perhatian mereka yang tinggal di sini dan sering pula menjadi ikutan.

Kemunculan ideologi dan pengaruh komunis2 di Tanah Melayu dapat di kesan pada tahun 1921 atau 1922. Sebelum ini, pengaruh nasionalis Parti Kuomintang (KMT) pimpinan Dr. Sun Yat Sen telah bertapak sejak tahun 1911 serentak dengan kejayaan membentuk sebuah republik di China. KMT telah mewujudkan cawangan-cawangan partinya. Lebih awal dari itu, masyarakat Cina telahpun mempunyai kesedaran politik dan cita-cita revolusioner melalui Persatuan Kemuafakatan Pusat (Chung Ho Tang) yang ditubuhkan pada 1904 di Tanah Melayu dan Singapura. Pada tahun 1906, Dr. Sun Yat Sen sendiri pula menubuhkan Persatuan Perikatan (Tung Meng Huim) yang mempunyai matlamat yang sama.

Kemunculan awal ideologi komunis dapat dikesan melalui beberapa penerbitan komunis dalam bahasa Cina yang tersebar, antaranya ialah

(a) Berita mengenai negeri China dan Rusia yang dihantar terus dari Canton. (b) Berita propaganda mengenai buruh dan wanita yang diterbitkan di Canton.

(c) Risalah kaedah mengajar ideologi komunis di Rusia dan China serta manifesto Parti Komunis Amerika.

(d) Buku bertajuk “Komunis dan Negara China” karangan Tsz Yan. (e) Risalah komunis yang bertajuk “Parintis”(Pioneer).

Bahan bacaan ini hanya sebagai bukti terhadap adanya penyebaran ideologi komunis. Namun dari segi sokongan dan pengaruhnya masih boleh diperdebatkan. Ini kerana sehingga tahun 1924 belum ada usaha dari Parti Komunis China (PKC) untuk mengembangkan sayap ke sini. PKC mula menjalin hubungan dengan masyarakat Cina di Tanah Melayu pada 1925 melalui usaha Alimin dan Tan Melaka. Mereka ialah dua orang tokoh utama Parti Komunis Indonesia yang telah mendesak PKC supaya menghantar wakil dan mengembangkan ideologi komunis di kalangan puak yang radikal dan revolusioner. Usaha mereka terbatas kepada orang Cina sahaja setelah orang Melayu tidak menunjukkan minat untuk turut serta.

Pada peringkat awal, Singapura dijadikan pangkalan penyebaran pengaruh. Parti Komunis Nanyang (South Seas Communist Party – PKN) yang ditubuhkan di Singapura ditugaskan untuk mengawasi dan menyelaras perkembangan komunis di Asia Tenggara (kecuali Burma). Ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan pihak sayap kiri yang menganggotai KMT. Bagi menggerakkan organisasi, PKN mempunyai dua badan massa iaitu Kesatuan Sekerja Umum Nanyang (Nanyang General Labour Union) dan Liga Belia Komunis (Communist Youth League). Melalui kedua-dua badan ini, komunis telah dapat meresap masuk ke dalam pertubuhan pekerja dan juga belia. Akibatnya kesatuan sekerja telah lantang dan sering berbalah dengan pihak pengurusan atas alasan eksploitasi buruh. Justeru itu, sering berlaku siri-siri pemogokan yang sesetengahnya berakhir dengan pertempuran dengan pihak polis. Kejadian sebegini banyak berlaku pada tahun 1927 dan 1928. Sebagai tindak balas, selepas peristiwa rusuhan yang dikenali “Peristiwa Kereta” Air pada Mac 1928 di Singapura, kerajaan telah mengharamkan Kesatuan Sekerja Umum Nanyang dan ramai pemimpinnya ditahan atau dihantar pulang ke China. Di sana mereka menerima tekanan pula oleh pihak KMT. Di samping itu, kerajaan juga membuat tangkapan atau tekanan terhadap penyokong dan pihak yang disyaki anggota komunis atau penyokongnya.

6.2.2 Pergerakan Berorganisasi

Pengharaman ke atas kesatuan sekerja dan penangkapan pemimpinnya tidak mematikan perjuangan dan penyebaran ideologi komunis. Ini kerana Liga Belia masih dapat bergerak walaupun ada tekanan dan halangan. Dengan ini pengaruh komunis tidak berjaya disekat, malahan bertambah mantap. Bagi meneruskan perjuangan, akhirnya komunis memerlukan sebuah parti yang boleh menggerakkan perancangannya. Parti Komunis Malaya (PKM) berjaya ditubuhkan pada 30 April 1930 dengan Fu Ta Ching menjadi Setiausaha Agungnya yang pertama. Kelahiran PKM turut sama melahirkan kembali kesatuan sekerja dan diberi nama Kesatuan Sekerja Umum Malaya (Malayan General Labour Union). Sekali lagi fokus komunis ialah pekerja dan kaum buruh yang dikatakan sering tertindas oleh majikan. Dalam tempuh setahun, PKM mengaku telah mempunyai ahli seramai 1500 orang, 50 anggota wanita yang aktif, 10,000 anggota kesatuan sekerja yang dikuasai dan 200 orang anggota Liga Anti-

Melalui pertubuhan yang berorganisasi ini, PKM bukan sahaja memberi tumpuan kepada orang Cina yang ramai menganggotai kesatuan sekerja dan pertubuhan buruh, malahan cuba mengembangkan pengaruh kepada seluruh masyarakat Tanah Melayu. Ini sejajar dengan hasrat mereka untuk

menubuhkan sebuah republik komunis Tanah Melayu. Bagi tujuan tersebut, sokongan orang Melayu dan bangsa lain amat diperlukan. Namun usaha ini sekali lagi gagal apabila orang Melayu tidak dapat menerima ideologi komunis3. Dengan itu kekallah PKM sebagai parti yang mirip kecinaan kerana keseluruhan pemimpin dan ahlinya terdiri daripada orang Cina.

Sokongan terhadap PKM semakin meningkat apabila Jepun menyerang Manchuria pada 1931. Atas semangat kenegerian, mereka telah mengeksploitasi sentimen ini untuk meraih sokongan dengan menganjurkan beberapa siri tunjuk perasaan dan rusuhan anti-Jepun. Apabila ada masyarakat Cina menubuhkan Tabung Bantuan Perang dan Persatuan Tentera Pembebasan Nasional (National

Salvation Army Association), PKM memberi sokongan yang akhirnya berjaya mempergunakan mereka pula. Melalui eksploitasi semangat bencikan Jepun, pertubuhan ini telah ditukar nama menjadi Liga Anti-Imperialis Malaya (The Malayan Anti-Imperialist League). Tindakan-tindakan sedemikian menyebabkan ramai daripada pemimpin mereka ditangkap termasuklah Setiausaha Agung dan Joseph Ducroix, ejen Comintern di Singapura.

PKM berjaya berkembang dan mendapat sokongan kerana keadaan semasa itu. Antaranya ialah berlaku kemelesetan pada tahun 1929 hingga awal 1930an, peristiwa serangan Jepun ke atas Manchuria pada 1931 dan diikuti dengan serangan dan penaklukan Jepun ke atas China pada tahun 1937. Seterusnya sikap majikan yang “tidak mesra pekerja” atau dalam kata lain lebih menekan dan mengeksploitasi tenaga pekerja. Meskipun setelah ekonomi pulih, majikan masih enggan memberi layanan sepatutnya terutama dalam soal kenaikan gaji. Keadaan ini memudahkan komunis

menghasut untuk melakukan pemogokan di ladang getah, lombong bijih dan arang batu. Seperti di Singapura, terdapat juga pemogokan di Selangor dan Negeri Sembilan yang berakhir dengan pertempuran.

Faktor keempat ialah PKM berjayanya dipulihkan dengan munculnya tokoh baru dalam memimpin parti. Pada tahun 1935, atas usaha Loi Teck seorang anggota komunis yang berasal dari wilayah Annam telah berjaya menyusun kembali jentera dan disiplin parti. Melaluinya, usaha menubuhkan beberapa organisasi tempatan dan sel-sel dalam parti telah dapat diwujudkan. Tumpuan mereka masih lagi kepada kaum buruh dan para pekerja. Kemuncak kejayaan Loi Teck ialah apabila dilantik menjadi Setiausaha Agung parti pada tahun 1939.

Faktor kelima ialah PKM sekali lagi berusaha membuka pintu dan bekerja keras menarik kaum lain menjadi anggotanya. Keadaan ini sejajar dengan perkembangan semasa bila mana puak-puak radikal telah muncul di kalangan orang Melayu. Meskipun tidak ada bukti jelas yang mereka menyertai PKM, namun arah tuju perjuangan hampir sama iaitu menghalau penjajah dari bumi Tanah Melayu. Walaupun tidak berjaya mendapat sokongan dari orang Melayu, PKM melalui kerjasama dengan pihak bukan komunis telah berjaya menempatkan diri dalam Barisan Bersatu Pergerakan

Pembebasan Nasional (National Salvation Movement) yang di tubuh khas bagi menentang imperialis Jepun. Melalui pertubuhan ini, PKM berjaya mempertingkatkan lagi kekuatannya.

Faktor seterusnya ialah faktor semasa yang memerlukan wujudnya kerjasama antara PKM dengan kerajaan. Keadaan ini berlaku kerana suasana politik semasa itu. Akibat daripada meletusnya Perang Dunia Kedua (PDK) pada tahun 1939 di Eropah, telah menjadikan komunis Rusia sebagai angkatan bersekutu kepada Inggeris. Penglibatan Jepun pula dalam peperangan itu di sebelah Asia sekali lagi memaksa kerajaan mencari jalan untuk berbaik-baik dengan PKM. Dengan itu, kelihatan seperti PKM dan kerajaan saling memerlukan. Kerajaan perlukan PKM untuk sama-sama mempertahankan Tanah Melayu yang akan diserang oleh Jepun, dan PKM memerlukan pengiktirafan kerajaan demi untuk mengesahkan kewujudan dan perjuangan mereka. Oleh yang demikian, apabila adanya arahan dari pihak komunis antarabangsa, PKM telah akur dan memberi sokongan kepada kerajaan.

Dalam dokumen SEJARAH KOMUNIS DI SELANGOR DAN TANAH ME (Halaman 45-48)

Dokumen terkait