• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pembentang TUAN HAJI MOHAMED DAHAN BIN HAJI ABDUL LATIFF PENGURUS BESAR, PPZ WILAYAH PERSEKUTUAN

13.1. Pengenalan

“Dan pada harta-harta mereka, ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)

(Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 19) Tujuan kertas kerja ini ialah untuk memberi satu perspektif berkenaan hubungan institusi zakat di Malaysia dengan usaha menghapus kemiskinan di negara ini.

13.2. Kemiskinan Di Negara Ini

Dalam laman web Bank Dunia, Presiden/Pengarah Urusan Bank Dunia menyatakan dalam ucapannya bulan Mac tahun 2000 di Washington bahawa isu menghapuskan kemiskinan adalah usaha utama Bank Dunia untuk abad ke-21 ini. Beliau menyatakan bahawa terdapat 1.2 bilion manusia yang hidup hanya dengan pendapatan USD1 sehari (bersamaan RM114 sebulan) dan tiga bilion yang hidup kurang dari USD2 sehari (bersamaan lebih kurang RM228 sebulan). Begitu juga dalam program UNDP, isu menghapus kemiskinan adalah isu paling atas di abad ke-21.

Di Malaysia, maklumat bilangan keluarga miskin berasaskan 6.5% penduduk 22 juta adalah (keluarga yang berpendapatan kurang dari RM460 sebulan) lebih kurang 260,000 keluarga (5.5 satu keluarga).

Kemiskinan di Malaysia sebenarnya relatif dan bukannya absolute walhal di negara-negara lain seperti yang kita lihat di kaca TV, miskin adalah kebuluran, berpenyakit dan tiada upaya langsung untuk bekerja.

Ada negeri di Malaysia yang menyatakan bahawa kemiskinan di negeri tersebut sudah mencapai tahap sifar. Kenyataan ini mungkin berasaskan bahawa di rumah setinggan dan di kawasan pedalaman pun terdapatnya arial TV dan motosikal. Pernah juga berlaku semasa menyampaikan bantuan beg sekolah, pakaian dan wang untuk kanak-kanak sekolah miskin, mereka naik ke pentas dengan berkasut berjenama.

Dari satu segi kita boleh menyatakan bahawa kerajaan telah berjaya mewujudkan kemewahan di negara ini di mana terdapat 3,740,000 keluarga yang berada di atas paras kemiskinan.

13.3. Institusi Zakat Di Negara Ini 13.3.1 Majlis Agama Islam

Pada amnya, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri telah memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam sesebuah negeri, termasuk Wilayah Persekutuan untuk bertanggungjawab berkenaan hal ehwal agama Islam termasuk urusan zakat.

Terdapat 14 buah Majlis Agama Islam di negara ini. Setiap Majlis Agama Islam diurus pentadbirannya oleh jabatan kerajaan iaitu Jabatan Agama Islam negeri berkenaan yang menerima peruntukan tahunan berbentuk peruntukan operasi dan peruntukan pembangunan, serta kakitangan, pejabat, kemudahan-kemudahan, kenderaan dan sebagainya dari kerajaan. Bagaimanapun, adakalanya sebahagian pegawai dan kakitangan diambil bekerja secara pengambilan terus oleh Majlis dan dibiayai oleh Majlis.

13.3.2 Penyelarasan Peringkat Nasional

Koordinasi atau penyelarasan hal ehwal agama dibuat oleh JAKIM yang juga menjadi pentadbir/sekretariat untuk peringkat persekutuan dalam urusan agama Islam. Selain itu, terdapat juga Jawatankuasa Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri/Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri-Menteri Besar/Ketua Menteri untuk menyelaras hal ehwal agama Islam di antara negeri dan di peringkat nasional, serta untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa seperti dengan MABIM dan OIC.

Perlembagaan persekutuan memberi lebih kuasa kepada negeri-negeri untuk mengurus hal ehwal agama sungguhpun penglibatan JAKIM sebagai jabatan persekutuan makin meningkat memandangkan sebahagian besar kewangan untul hal ehwal agama datangnya dari kerajaan persekutuan. Peruntukan melibatkan hampir RM1 billion setiap tahun itu meliputi perkara seperti pembinaan masjid, pembinaan sekolah, pembinaan universiti dan kolej, pembinaan kemudahan-kemudahan agama, pendidikan, seminar dan mesyuarat kebangsaan dan antarabangsa dan kos operasi tahunan untuk pentadbiran dan operasi JAKIM bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di ibu negeri dan beberapa daerah.

13.3.3 Jumlah Kutipan dan Agihan Zakat

Dalam urusan zakat, kutipan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam negeri melalui sama ada Pusat Zakat, atau Bahagian Baitulmal Jabatan Agama Islam, atau Jawatankuasa Zakat telah meningkat daripada lebih kurang RM40 juta setahun dalam tahun 1990 kepada lebih kurang RM200 juta dalam tahun 1999. Angka RM200 juta setahun ini boleh dijadikan rujukan perbincangan agihan zakat di negara ini.

13.3.4 Pewujudan PPZ

Langkah menubuhkan Pusat Pungutan Zakat dalam tahun 1991 oleh Malis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mengubah suasana institusi zakat di negara ini. Penubuhan PPZ membawa konsep baru kutipan zakat dan menimbulkan kesedaran bahawa institusi zakat boleh memain peranan yang lebih besar dengan memberi fokus kepada golongan yang lebih mampu membayar zakat berbanding pesawah padi. Sebaliknya, zakat daripada punca pendapatan seperti gaji, baik daripada swasta, kerajaan atau profesional dan daripada perniagaan akan lebih diutamakan.

Hasilnya ialah kutipan yang lebih bermakna saiznya yang membolehkan dana zakat Majlis Agama Islam atau baitulmal meningkat. Dengan itu, secara tidak langsung, amaun agihan zakat setiap tahun juga akan meningkat. PPZ menggunakan teknik pengurusan secara profesional yang menggunakan kaedah operasi secara korporat termasuk pengunaan teknologi komputer, dan mementingkan kehendak pelanggan iaitu pembayar.

Menyenangkan pembayar berzakat menjadi cogan kata PPZ.

13.3.5 Memberi Fokus Baru kepada Zakat

Konsep zakat pendapatan diberi keutamaan memandangkan sebilangan besar golongan yang berada atau cukup nisab di negara ini bukanlah petani atau pesawah tetapi mereka yang bekerja dengan kerajaan dan syarikat-syarikat selain daripada golongan usahawan dan peniaga untuk zakat perniagaan.

Konsep PPZ telah diikuti oleh beberapa negeri dan telah membawa peningkatan kutipan di negeri-negeri berkenaan.

13.4. Asnaf-Asnaf Perbelanjaan Wang Zakat

Seperti yang dinyatakan dalam Surah At-Taubah ayat 60 berkenaan tujuan dan perbelanjaan wang zakat, terdapat lapan (8) kumpulan yang layak menerima manafaat daripada agihan wang zakat iaitu orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurus zakat, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya (al-riqab), untuk orang-orang yang berhutang (al-gharimin), untuk dibelanjakan pada jalan Allah SWT (fi-sabillilah), dan untuk orang-orang musafir yang keputusan dalam perjalanan (ibnu-sabil).

Mereka boleh menerima manafaat sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung, sama ada secara jangka pendek atau jangka panjang, sama ada secara segera atau berperancang, sama ada melalui skim-skim agihan atau projek-projek agihan wang zakat.

Juga, pemberian tidak semestinya sama rata di antara asnaf; tidak semestinya sama rata di antara orang dalam sesuatu asnaf; tidak semestinya sama rata di antara tempoh ke tempoh bagi seseorang penerima.

Dalam konteks kertas kerja ini, asnaf yang relevan untuk dibincangkan ialah asnaf fakir dan asnaf miskin.

Ringkasnya seorang yang fakir dari segi syarak ialah dia tidak mempunyai harta dan hasil usaha atau pekerjaan yang boleh memenuhi sekurang-kurangnya setengah keperluan asasi untuk dirinya dan keluarganya (sekiranya dia seorang ketua keluarga). Keperluan paras minimanya disebut hadd al-kifayah.

Keperluan asasi di zaman ini ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain seperti rawatan kesihatan, pendidikan dan perbelanjaan pengangkutan juga dimasukkan.

Bagi asnaf miskin, syarak mendefinisikan sebagai keperluan sesuatu keluarga dipenuhi lebih daripada setengah tetapi tidak sampai kepada hadd al-kifayahnya (keperluan minimanya).

Amaun hadd al-kifayah atau garis paras kemiskinan berbeza di antara kerajaan dan institusi zakat dan juga di antara Majlis Agama Islam atau baitulmal di negeri-negeri. Sebagai rujukan perbandingan yang mudah, kerajaan mengira RM460 sebulan untuk seisi keluarga lima orang (bersamaan RM92 per kapita sebulan) sebagai paras miskin; dan termiskin ialah pendapatan kurang daripada setengah paras tersebut (amaun digunakan semenjak tahun 1995).

Tetapi Baitulmal Wilayah Persekutuan sebagai contoh mengira hadd al-kifayah untuk sekeluarga yang mempunyai tiga anak (seorang berumur lebih 15 tahun dan dua bawah 15 tahun) ialah sebanyak RM647 sebulan (RM347 untuk ibubapa, RM120 untuk lebih 15 tahun,

dan RM90 seorang untuk bawah 15 tahun). Ini kerana kos kehidupan di Kuala Lumpur lebih tinggi berbanding di tempat-tempat lain.

Sebenarnya perbezaan amaun di antara negeri-negeri dan dengan kerajaan adalah disebabkan perbezaan pendapat berkenaan kos, kualiti dan jenis makanan, pakaian, rumah, kesihatan, pendidikan serta pengangkutan yang hendak diambil kira.

Di Malaysia ini tentu sekali berbeza kos hidup di antara bandar dan luar bandar. Justeru, sebarang kajian yang hendak dibuat untuk mengemas kini amaun garis paras kemiskinan atau hadd al-kifayah bergantung kepada nilai yang hendak diberi berkaitan kos dan kualiti dan sebanyak mana keperluan sesebuah keluarga.

Namun demikian, paras kemiskinan mengikut ukuran kerajaan dan mengikut ukuran baitulmal masih dipandang tidak mencukupi untuk keperluan minima sewa rumah, makanan, pakaian, elektrik dan air, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan akibat kos hidup yang sudah meningkat. Malah, sudah ada cadangan daripada kesatuan sekerja bahawa gaji minima perlu dinaikkan kepada RM1,200 sebulan.

Objektif yang hendak dicapai apabila membantu asnaf fakir dan asnaf miskin ialah untuk mencukupkan pendapatannya kepada hadd al-kifayah keluarganya baik dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, rawatan kesihatan, pendidikan dan perbelanjaan pengangkutan.

Sekiranya dilihat perbincangan dalam buku Hukum Zakat Dr. Yusof Al-Qardhawi berkenaan sebanyak mana bantuan patut diberi kepada keluarga fakir dan miskin, dua golongan mazhab wujud. Satu mazhab menyatakan bahawa pemberian zakat mestilah untuk seumur hidup, iaitu memberi bantuan secukupnya kepada keluarga berkenaan berdikari seumur hidup. Mazhab kedua menyatakan bantuan hendaklah diberi dari setahun ke setahun iaitu dinilai setiap tahun.

Dalam konteks yang pragmatik, saiz dana zakat adalah faktor yang penting dan banyak pertimbangan-pertimbangan lain perlu diambil kira apabila hendak memberi kepada sesuatu keluarga.

13.5. Kemampuan Institusi Zakat Untuk Menolong Menghapus Kemiskinan 13.5.1 Faktor-faktor Menilai Kemampuan Institusi Zakat

Sebenarnya beberapa faktor perlu diambil kira untuk menilai kemampuan institusi zakat di negara ini menolong menghapus kemiskinan. Faktor-faktor tersebut ialah :

a. Saiz dana yang diperolehi setiap tahun.

b. Organisasi.

c. Kakitangan yang ada.

d. Sistem melaksana kerja dan skim-skim bantuan.

e. Usaha kerajaan.

f. Usaha swasta.

g. Usaha NGO.

h. Wakaf.

13.5.2 Saiz Dana yang Diperolehi Setiap Tahun

Pada masa ini, lebih kurang RM200 juta wang zakat dikutip setiap tahun oleh 14 buah Majlis Agama Islam iaitu lebih kurang RM150-RM160 juta zakat harta dan RM35-RM45 juta zakat fitrah. Ini bermakna dana zakat yang boleh diagih adalah lebih kurang RM200 juta setahun oleh institusi zakat negara ini.

Sekali imbas, RM200 juta adalah satu angka yang besar. Tetapi sebenarnya ia tidak besar kerana dana tersebut dikongsi oleh 14 buah Majlis Agama Islam. Ada yang mengutip hanya lebih kurang RM3-RM4juta setahun dan ada sehingga RM30-RM40 juta setahun. Ini bermakna kesan atau kebaikan yang boleh dicapai dalam menggunakan wang zakat berbeza sekali di antara satu negeri dengan satu negeri, selain daripada hilangnya kesan saiz dana akibat berpecah kepada 14 buah organisasi. Bagaimanapun, keadaan akan berbeza sekiranya satu organisasi nasional bertanggunjawab untuk kutipan RM200 juta tersebut.

Wang zakat yang boleh diagih setiap tahun, apabila dipandang dari sudut negeri, maka bolehlah dikategorikan saiznya seperti berikut:

Kumpulan Negeri Negeri Dana Setahun

Negeri Kumpulan A Wilayah Persekutuan, Selangor RM20-40 juta Negeri Kumpulan B Johor, Perak, Terengganu RM11-20 juta Negeri Kumpulan C Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Melaka,

Negeri Sembilan, Kedah RM6-0 juta

Negeri Kumpulan D Sarawak, Sabah, Perlis RM2-5 juta

Perlu diingat bahawa wang tersebut di atas adalah untuk lapan asnaf atau kumpulan sasaran kegunaan wang zakat iaitu bukan kesemuanya boleh digunakan untuk asnaf fakir dan asnaf miskin.

13.5.3 Organisasi

Seperti yang dibayangkan di atas, organisasi zakat di Malaysia adalah berasaskan negeri-negeri dan tiada badan nasional untuk institusi zakat pada masa ini. Wang kutipan lebih kurang RM200 juta setahun bukannya kepada satu organisasi tetapi kepada 14 buah organisasi, iaitu Majlis Agama Islam Negeri-negeri, termasuk Wilayah Persekutuan.

Kutipan dan agihan zakat berbeza di antara negeri bukan sahaja dari segi amaun, tetapi juga dari segi jenis-jenis skim bantuan yang diberi kepada asnaf-asnaf dan senarai prioriti di antara asnaf-asnaf atau kumpulan-kumpulan yang hendak diberi bantuan.

Tentu sekali setiap negeri mempunyai dasar masing-masing berkenaan apa asnaf yang hendak diberi tumpuan dan berapa amaun untuk sesuatu asnaf. Biasanya asnaf riqab, al-gharimin dan ibnu sabil diperuntukkan amaun yang rendah sekali atau tiada langsung, bermakna asnaf fakir, asnaf miskin, asnaf amil, asnaf fisabilillah dan asnaf muallaf mendapat peruntukan yang lebih.

Bagi Majlis Agama Islam seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor yang mempunyai kutipan masing-masing lebih dari RM30 juta setahun, maka jenis-jenis skim bantuan dan amaun bantuan untuk asnaf fakir dan asnaf miskin adalah lebih besar dan lebih luas berbanding dengan negeri-negeri lain.

Dari segi teorinya, lebih berkesan jika dana RM200 juta setahun itu dikawal oleh satu organisasi nasional untuk institusi zakat dibandingkan dengan dipecahkan kepada 14 organisasi yang mempunyai kemampuan kutipan dan agihan yang berbeza.

Terdapat perbelanjaan-perbelanjaan yang boleh dijimatkan seperti pentadbiran, pemasaran, pengiklanan, borang-borang, sistem perakaunan, sistem kutipan, sistem agihan dan sebagainya.

13.5.4 Kakitangan yang ada

Kemampuan institusi zakat menolong menghapus kemiskinan bergantung juga kepada kakitangan yang ada, selain daripada saiz dana zakat dikutip setiap tahun dan pembahagian pentadbiran kepada negeri-negeri.

Ada negeri yang mempunyai hanya 10 kakitangan untuk zakat dan ada yang mempunyai 100 kakitangan. Jumlah kesemua bagi seluruh Malaysia adalah lebih kurang 400 kakitangan untuk mengendalikan segala urusan kutipan dan agihan zakat.

Semua negeri mengatakan bahawa kakitangan tidak cukup untuk menjalankan kerja-kerja.

13.5.5 Sistem Melaksana Kerja dan Skim-Skim Bantuan

Sistem menjalankan kerja berbeza di antara negeri-negeri disebabkan saiz kakitangan dan besar atau kecilnya negeri berkenaan. Bagaimana pun, proses memberikan bantuan kepada fakir miskin bergantung kepada jenis bantuan atau skim bantuan yang hendak diberi.

Terdapat dua jenis bantuan iaitu jenis langsung dan tidak langsung.

Bagi bantuan jenis langsung, proses yang terlibat setelah peruntukan untuk skim tersebut diluluskan oleh Majlis Agama Islam sesebuah negeri, ialah menghebahkan kepada fakir miskin berkenaan skim yang wujud tersebut, mengedar borang-borang permohonan bantuan, menerima borang tersebut, menyemak dan memastikan kesahihan maklumat kemiskinan, menetapkan amaun bantuan, memberi bantuan, dan mengesan setiap tahun kelayakan keluarga berkenaan terus menerima bantuan.

Setiap proses ini memerlukan masa dan tenaga kakitangan baitulmal berkenaan. Kerja bertambah rumit sekiranya bantuan tersebut bercorak bantuan perniagaan kecil yang mana perlu pengamatan sama ada wang yang diberi akan dibelanjakan untuk perniagaan dan sama ada peluang perniagaan tersebut viable atau berdaya maju.

Bagi jenis bantuan secara tidak langsung, contohnya membina Institut Kemahiran Baitulmal seperti yang dibuat oleh Baitulmal Wilayah Persekutuan yang mana melibatkan pembinaan bangunan, melengkapkan dengan alat-alat kemahiran yang diperlukan, mengambil tenaga pengajar yang bersesuai, memilih pemohon-pemohon yang layak masuk ke institut kemahiran tersebut, memberi mereka wang saku setiap bulan, mengelola keseluruhan pengajaran dan pembelajaran setiap kumpulan pelajar mengikut jenis kursus kemahiran yang diajar sehingga pelajar mahir untuk menjalankan perniagaan dalam bidang berkenaan, masalah pembiayaan keseluruhan institut setiap tahun adalah di antara perkara-perkara

yang memerlukan kumpulan tenaga manusia yang lebih ramai. Ini berbeza daripada Majlis Agama Islam sesebuah negeri yang tiada institusi seperti tersebut.

Di Wilayah Persekutuan sebagai contoh, senarai skim-skim yang boleh diiktiraf sebagai mampu menolong menghapuskan atau mengurangkan kemiskinan ialah seperti di lampiran 1.

13.5.6 Usaha Kerajaan

Apa sahaja yang dibuat oleh institusi zakat dengan dana RM200 juta setahun dan kakitangan lebih 400 orang amat kecil dibandingkan dengan usaha kerajaan yang mempunyai dana RM60 bilion setahun dengan hampir 900,000 kakitangan.

Dalam usaha sosio-ekonomi sahaja, peruntukan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi untuk projek sosio-ekonomi adalah lebih kurang RM20 bilion setahun.

Dasar kerajaan Malaysia yang mementingkan perbelanjaan sosio-ekonomi telah meletakkan Malaysia di kalangan negara Islam yang terkemuka sekali dari segi tahap sosio-ekonominya.

Kerajaan Malaysia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih daripada tenaga tempatan dibayangkan dengan adanya 1.5 juta rakyat asing bekerja di Malaysia. Ini adalah lebih daripada full employment atau guna tenaga penuh. Kerajaan juga telah mewujudkan golongan Kelas Menengah Melayu yang besar dibandingkan dengan negara Islam yang lain.

Peluang untuk mendapat pendidikan sehingga umur 18 tahun adalah terbuka kepada semua dan peluang melanjut pelajaran ke peringkat pengajian tinggi mempunyai peratusan yang tinggi. Pendidikan telah menjadi faktor utama mewujudkan generasi orang Melayu golongan pertengahan yang begitu ramai keluar daripada suasana kemiskinan di kampung. Malahan di luar bandar pun, kemewahan hidup nyata sekali akibat rancangan pembangunan berleluasan terutama rancangan Felda, Felcra dan pembangunan wilayah yang menampung hampir sejuta orang Melayu.

Maka tidak boleh dinafikan bahawa rancangan dan dasar kerajaan semenjak merdeka terutama selepas 1970, dengan adanya dasar ekonomi baru, dasar pembangunan negara dan dasar persyarikatan Malaysia telah berjaya mengurangkan kemiskinan daripada angka 50% kepada bawah 7%. Malaysia adalah negara pengeksport dan pengimport yang ke-14 terbesar di dunia dan mempunyai KDNK purata USD7,370 (lebih kurang RM28,000) berasas ppp yang meletaknya dalam lingkungan 20 negara teratas daripada 185 buah negara di dunia ini.

Juga kerajaan berjaya meningkatkan purata jangka hayat penduduk kepada 72 tahun, kemampuan negara mengeksport lebih USD77 bilion setahun, sebuah telefon bagi setiap 5.1 orang, sebuah televisyen bagi setiap 4.7 orang, pengambilan kalori 2,884 seorang sehari, kereta atau sekurang-kurangnya motosikal hampir di setiap rumah.

13.5.7 Usaha Swasta

Usaha swasta juga tidak kurang hebatnya. Peranan utama sektor swasta menolong menghapus kemiskinan di negara ini ialah dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

Melalui beratus ribu syarikat-syarikat di negara ini, lebih 11 juta orang mendapat pekerjaan.

Contohnya, apabila sesebuah syarikat memberi pekerjaan kepada lebih 10 ribu orang, bermakna ketua keluarga tersebut boleh menampung 10 ribu keluarga. Sebuah syarikat seperti ini menampung lebih daripada kesemua keluarga yang dibantu oleh institusi zakat di negara ini.

Mewujud dan memberi pekerjaan adalah cara yang paling berkesan untuk menghapus kemiskinan di mana-mana negara. Kalau institusi zakat hendak memberi sesuatu keluarga pertolongan yang berterusan melalui bantuan wang bulanan, ia menjadikan keluarga tersebut tergantung kepada bantuan bulanan tersebut dan tidak dapat mewujud perasaan bangga diri. Sebaliknya kalau seseorang itu mendapat pekerjaan dan dia mendapat gaji untuk pekerjaannya maka gaji tersebut lebih bermakna daripada bantuan bulanan.

Masalah yang timbul sebenarnya ialah adanya keluarga yang mana gaji yang diterima untuk pekerjaan tidak cukup untuk menampung keluarga. Seseorang yang mendapat RM800 sebulan di Kuala Lumpur tetapi mempunyai enam orang anak sebenarnya masih miskin.

Ramai yang berpendapatan kecil mempunyai anak yang ramai.

Jadi, peranan institusi zakat ialah memberi bantuan bulanan untuk menolong menampung perbelanjaan keluarga besar seperti ini, sama ada dalam bentuk bantuan bulanan atau memberi modal dalam lingkungan RM5 ribu untuk membuat perniagaan sampingan di pasar malam untuk menambah pendapatan keluarga.

13.5.8 Usaha NGO

Institusi zakat perlu juga mengambil kira peranan NGO dalam usaha menghapuskan kemiskinan. Contohnya ialah YPEIM, Amanah Ikhtiar Malaysia, Yayasan Basmi Kemiskinan di negeri-negeri, Persatuan-Persatuan Peniaga Kecil di negeri-negeri, kelab Rotary, kelab Lion, yang semuanya mempunyai program masing-masing untuk menolong menghapus kemiskinan.

Selangor menjadi negeri yang terkemuka sekali dari segi kerjasama di antara Majlis Agama Islam dengan NGO dalam program menolong golongan miskin. Negeri-negeri lain boleh mengikut contoh negeri Selangor dari segi kerjasama dengan NGO.

13.5.9 Wakaf

Satu institusi yang kurang digunakan di negara ini untuk menolong golongan miskin ialah institusi wakaf.

Sungguhpun sudah ada beberapa seminar untuk meningatkan lagi peranan institusi wakaf di negara ini, kebanyakan cadangan tidak bergerak dengan sepatutnya kerana sebab-sebab yang melibatkan soal hukum, peraturan, perundangan, organisasi memimpin, kurang kesedaran orang ramai akibat kurang pemahaman, tiada organisasi nasional yang bertanggungjawab, dan perhatian kepada institusi zakat.

13.6. Menggunakan Saluran Kariah Masjid

Semua bandar, daerah dan kampung mempunyai masjid tersendiri dan setiap masjid ini mempunyai Jawatankuasa Kariah Masjid.

Peranan Jawatankuasa Kariah Masjid pada masa ini lebih bertumpu kepada urusan masjid sahaja, walhal Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negara boleh dijadikan saluran penting oleh Majlis Agama Islam untuk menolong menghapus kemiskinan.

Pada masa ini, amil-amil di masjid-masjid mengutip zakat fitrah dalam bulan Ramadhan.

Sungguhpun mereka diberitahu untuk menolong melaporkan berkenaan mana-mana keluarga miskin yang ada dalam kariah tersebut kepada baitulmal, peranan ini masih boleh dipertingkatkan dengan melibatkan kesemua Jawatankuasa Kariah Masjid untuk

bertanggungjawab memberitahu kepada baitulmal malahan kepada pegawai daerah (DO)

bertanggungjawab memberitahu kepada baitulmal malahan kepada pegawai daerah (DO)