• Tidak ada hasil yang ditemukan

Terima kasih Pengerusi Majlis.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas, pertamanya kepada pihak penganjur yang berjaya merealisasikan muzakarah ini. Kedua, kepada para pendukung kertas kerja dan para hadirin peserta yang tentunya datang untuk memberi sumbangan idea ke arah penggubalan sebuah model pembasmian kemiskinan. Semoga perhimpunan kita hari ini akan dirahmati Allah SWT dan akan memberi manfaat berpanjangan kepada seluruh umat, kerana kita menjangka model yang bakal terhasil nanti boleh dimanfaatkan oleh mana-mana masyarakat pun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selama ini memang kita percaya dan yakin bahawa Islam mampu menjadi penyelesai kepada segala permasalahan manusia. Malangnya segala sumber yang ada itu tidak digali, dicerna dan diterjemahkan secara maksimum kepada pelbagai bentuk modul dan program ke arah penyelesaian masalah umat dan ke arah pembinaan manusia. Orang Melayu masih lagi memperdebatkan isu-isu remeh, seperti siapa yang lebih Islam dari siapa dan sebagainya, dari menggali segala falsafah Islam dari mencari kelemahan sendiri, dan dari kerja-kerja membina kekuatan ummah. Sedangkan dalam masa yang sama, kerja untuk membasmi berbagai kelemahan umat Islam tidak diberi tumpuan. Oleh itu, saya yakin muzakarah ini akan mampu menggali pelbagai aspek yang terdapat dalam Islam, untuk dibentuk menjadi suatu modul pembasmian kemiskinan yang menyeluruh dan efektif.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperti ingatan yang telah diberi oleh Tuhan, kemiskinan itu mendekatkan kita kepada kekufuran. Kemiskinan juga adalah tembok atau penghalang kepada pembinaan sesuatu tamadun. Kerana miskin manusia berpotensi untuk merompak dan merusuh, kerana miskin manusia boleh hilang pertimbangan budaya dan agama. Kerana miskin juga manusia tidak akan mempunyai kekuatan dan daya saing. Lebih daripada itu, kemiskinan biasanya begitu sinonim dengan ciri tidak berilmu, tidak bermotivasi dan tidak bermaklumat. Justeru, seluruh gambaran tentang kemiskinan itu adalah tembok yang amat besar dalam pembinaan sesebuah bangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kalau begitulah keadaannya, maka adalah menjadi tugas penting kepada kita semua untuk membebaskan umat Melayu dari cengkaman kemiskinan. Walaupun dari segi jumlah orang Melayu agak besar, tetapi peratus kemiskinan orang Melayu juga adalah lebih tinggi. Lebih membimbangkan lagi bila melihat penguasaan yang begitu rendah dalam aspek ekonomi dan teknologi.

Kalau inilah gambarannya, orang Melayu bukan sahaja tidak akan mampu menjadi pemangkin kepada wawasan negara, malah tidak mempunyai keupayaan untuk mengisi peranan serta mengecapi sebarang nikmat pencapaiannya suatu hari nanti. Dengan kata

lain, jika segala potensi kemanusiaan kita tidak dibangunkan dengan cepat, bangsa Melayu akan menjadi penonton sahaja kepada nikmat pembangunan yang kita rancangkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita sedang menyaksikan ini berlaku di depan mata. Orang Melayu terus leka dan bercakaran dengan pelbagai hal remeh sedangkan bangsa lain terus mencapai segala ruang dan peluang dari hasil pembangunan yang kita bina. Tuan-tuan jangan salah tafsir. Saya suka mengulangi hal ini bukan untuk menimbulkan isu perkauman tetapi untuk menyedarkan orang Melayu bahawa mereka sudah semakin tertinggal semula dalam era IT sekarang ini. Kita jangan lupa bahawa orang Melayu tidak boleh tertinggal. Pengalaman mengajar kita, jika sebarang jurang wujud di antara kaum, potensi untuk berlaku ketidakstabilan juga besar. Kita mahu keharmonian yang ada dipertahankan.

Justeru, segala potensi yang ada pada orang Melayu perlu dibangunkan. Kita tidak mahu lagi melihat orang Melayu miskin menjelang 2005. Sebab itu kita mensasarkan kemiskinan sifar pada tahun tersebut iaitu sekurang–kurangnya di Lembah Klang yang menjadi nadi kepada keseluruhan proses pembangunan bangsa dan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Ada pendapat yang mengatakan, orang Melayu miskin kerana faktor sikap. Sikap mereka yang negatif, sikap mereka yang tidak komited kepada kerja, sikap mereka yang malas berusaha dan sebagainya telah dikatakan sebagai punca mereka miskin. Namun begitu dalam masa yang sama, kita juga tidak harus lupa ada petani yang bekerja dari subuh hingga ke senja, ada nelayan yang ke laut dari pagi hingga ke malam. Jadi barangkali, bukan semua kemiskinan itu berpunca dari sikap. Mereka gigih dan kuat bekerja tapi masih miskin. Golongan begini barangkali agak mudah untuk dibantu. Hal-hal begini barangkali juga boleh turut kita bincangkan dalam muzakarah ini.

Seperti ada orang menyoal, “Tentu bukan salah mereka kalau sebiji kelapa muda yang bernilai RM10 di Kuala Lumpur, petani hanya mendapat harga RM0.50 sen sahaja. Lalu kemiskinan itu ciptaan siapa?” Iktibarnya di sini ialah, kemiskinan juga barangkali boleh wujud akibat dari kepincangan atau ketidakberkesanan sesuatu sistem, misalnya sistem ekonomi dan pemasaran.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam pada itu, untuk mengharungi alaf baru ini saya percaya kita harus memiliki satu agenda pembasmian kemiskinan fasa kedua yang lebih khusus kepada usaha membasmi kemiskinan minda, kemiskinan ilmu, kemiskinan maklumat dan kemiskinan daya saing. Kita sedar bahawa orang Melayu nampaknya agak bermasalah dalam hal-hal tersebut, sedangkan sepatutnya jika mereka menghayati ajaran Islam yang sebenar mereka adalah umat yang menjadi contoh.

Kesedaran tentang pentingnya menuntut ilmu amat rendah, sehingga mereka menjadi tertinggal dari aspek pendidikan. Kesungguhan untuk meningkatkan keupayaan dan martabat bangsa tidak cukup tinggi sehingga mereka tidak mampu menghadapi persaingan.

Gambaran itu sehingga kadangkala menimbulkan implikasi bahawa umat Islam adalah umat yang lemah.

Oleh itu saya percaya kemiskinan non-fizikal seperti ini juga adalah virus yang boleh membahayakan masyarakat dan ia mesti diperangi habis-habisan. Apatahlagi dalam konteks

kita menyediakan generasi pendukung dan pewaris wawasan. Saya ingin mencadangkan agar aspek-aspek ini juga turut difikirkan dengan serius dalam sesi muzakarah ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Oleh kerana kemiskinan yang begitu kompleks sifatnya, kita juga barangkali memerlukan kaedah dan pendekatan yang multi dimensional. Islam pada asasnya sudah memiliki elemen-elemen yang kita perlukan untuk tujuan tersebut. Misalnya sedekah, zakat, wakaf, kifarah dan sebagainya adalah antara elemen langsung yang bertujuan membela golongan yang tidak bernasib baik.

Sementara konsep pahala dalam melaksanakan kerja kebajikan dan membantu golongan yang memerlukan, juga perlu diperhalusi dan dihebahkan. Itu hanya sekadar contoh, sudah pasti banyak lagi elemen dalam hukum dan ajaran Islam yang sama ada direct atau indiract yang amat berguna dalam usaha kita menstrukturkannya menjadi sebuah modul pembasmian kemiskinan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam kesempatan ini juga, saya selaku penaung kepada Yayasan Basmi Kemiskinan ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada team pengurusan YBK yang saya anggap berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang, baik dari segi pengumpulan dana, apatahlagi dari segi perancangan dan pelaksanaan program. Sehinggakan kejayaan YBK ini telah menajdi model pula kepada kewujudan yayasan yang seumpamanya di negeri lain seperti di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan sebagainya. Saya diberitahu mereka menghantar wakil dalam muzakarah kita pada hari ini.

Saya melihat YBK telah begitu sukses menepati matlamat penubuhannya iaitu untuk memecahkan tembok birokrasi dalam kerja membasmi kemiskinan, misalnya :

Dalam tempoh 1992-1999 projek Desa Kasih dan Lindungan Kasih (pembinaan rumah dan penempatan keluarga miskin) telah berjaya menempatkan sebanyak kira-kira 1000 keluarga miskin.

Melalui program pendidikan seperti Asrama Kasih (menempatkan pelajar dari keluarga miskin), pada tahun 1994-1999 sahaja seramai lebih 900 pelajar terlibat dan asrama ini mencatatkan prestasi cemerlang seperti misalnya pada tahun 1998, 30 peratus lulus SPM Pangkat 1.

10,000 orang pelajar pula di bawah Program KUNTUM (kelas tuisyen hujung minggu) telah mencatatkan prestasi kelulusan sehingga 93 peratus. Mereka ini adalah terdiri dari pelajar miskin yang secara purata sebelumnya kurang berpotensi dan prestasinya begitu rendah.

Dari segi latihan kemahiran, sama ada melalui Pusat Latihan YBK, Skim Perantisan YBK-Sime Darby, serta Program Fastrack, kira-kira 2,000 pelajar (1992-1999) telah mendapat faedah.

Akademi Komuniti YBK-EDI pula yang menyediakan pelbagai kursus pengurusan profesional dan teknikal yang diasaskan pada tahun 1997, telah berjaya menyediakan peluang kepada lebih 2,000 orang pelajar menjelang tahun 2000 dengan kos yang rendah dan kompetetif.

Tahniah kepada pasukan pengurusan YBK, iaitu Pengerusinya Dato’ Zainal Abidin Sakom, Pengurus Besarnya Tuan Haji Tamin Mohd. Yusof, para Ahli Pemegang Amanah, dan

kakitangannya yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam setiap tugas yang dijalankan.

Saya diberitahu bahawa pihak pengurusan YBK telah mewujudkan satu Fellowship Pembasmian Kemiskinan dan sedang dalam proses akhir membuat pemilihan calonnya. Di sini saya ingin agar usaha tersebut dipanjangkan kepada mewujudkan satu kerusi kepada tokoh pembasmian kemiskinan di mana-mana universiti yang difikirkan sesuai. Barangkali ianya akan memberi kesan yang besar kepada aspek R&D, implimentasi dan pemantauan serta feedback terhadap setiap program yang dibuat. Ini tentunya akan memberi manfaat yang bukan sedikit kepada kerja membasmi kemiskinan, bukan sahaja di Malaysia malah mungkin di peringkat antarabangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dengan harapan agar muzakarah ini akan mencapai matlamat yang kita sasarkan dan mendapat keredaan Allah SWT, saya dengan sukacitanya merasmikan Muzakarah Penggubalan Model Pembasmian Kemiskinan Menurut Perspektif Islam ini.

Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

7. Kajian Keberkesanan Pendekatan Pembasmian Kemiskinan Di Malaysia