• Tidak ada hasil yang ditemukan

1.8 Ulasan Kajian Lepas

1.8.3 Perakaunan zakat pendapatan

Selain hukum-hakam zakat pendapatan, kajian disertasi ini juga berkaitan dengan perakaunan zakat pendapatan. Menurut Syihatah, perakaunan zakat ialah satu proses menentukan dan menyenaraikan harta-harta dan sumber pendapatan yang diwajibkan zakat, seterusnya mengukur kadar zakatnya dan memperuntukkan hasilnya kepada pelbagai golongan asnaf berpandukan himpunan kaedah yang terdapat dalam syariah Islam. Antara ciri-ciri perakaunan zakat yang disebutkan ialah sumbernya bersifat

rabbaniyyah kerana ia adalah sebahagian daripada syariah Islam dan penciptanya adalah

Allah SWT. Sumber-sumber tersebut ialah kaedah-kaedah umum dan khusus yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah serta ijtihad para fuqaha yang dipercayai penuh. Seterusnya beliau menerangkan bahawa konsep sistem perakaunan zakat mestilah bersandar kepada hukum-hakam dan kaedah-kaedah yang pasti dan tetap yang diambil daripada sumber-sumber syariah Islam.1 Semua kenyataan beliau ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Skim Potongan Gaji bukanlah alat teknikal semata-mata yang terlepas daripada hukum-hakam Islam. Hal ini kerana, SPG juga menyediakan perakaunan zakat pendapatan sebagai panduan umum kepada masyarakat untuk mengeluarkan zakat. Perakaunan tersebut seharusnya tidak melepasi batas syarak sebagaimana yang disebutkan oleh Syihatah. Kajian beliau ini juga menguatkan lagi salah satu objektif disertasi ini iaitu menilai sejauhmana kaedah pembayaran zakat pendapatan menerusi Skim Potongan Gaji bertepatan dengan kehendak Islam.

1 Syihatah, Husayn Husayn (1990), Muhasabah al-Zakah Mafhuman wa Nizaman wa Tatbiqan, Kaherah: Maktabah al-I‘lam, h. 96-109.

26

Berkenaan taksiran zakat pendapatan pula, menurut al-Qaradawi, kaedah taksiran zakat pendapatan yang ditarjih oleh beliau adalah seperti berikut:

“Sekiranya harta perolehan yang didapati mencapai nisab, maka hendaklah mengikut pendapat al-Zuhrī dan al-Awza‘ī, iaitu sama ada dikeluarkan zakatnya sebaik sahaja diterima di tangan (kaedah ini bagi sesiapa yang tidak memiliki harta lain yang berhaul), atau ditakhirkan zakatnya sehingga cukup haul bersama hartanya yang lain, selagimana dia tidak khuatir harta perolehannya itu akan dibelanjakan. Sekiranya khuatir, hendaklah dia menyegerakan zakatnya. Namun, sekiranya dia membelanjakannya juga, tanggungjawab zakat ke atas harta yang telah dibelanjakan tersebut terpundak di atas bahunya.

Sekiranya harta perolehan yang didapatinya tidak mencapai paras nisab pula, maka pendapat Makhul hendaklah diambil iaitu dizakatkan pada bulan tertentu bersama harta lain yang dimiliki. Sebarang perbelanjaan yang diperlukan daripada harta perolehan untuk dirinya sendiri dan keluarganya, tidak perlu dikeluarkan zakatnya. Namun sekiranya tidak memiliki harta lain, hendaklah dizakatkan pada waktu yang tertentu.

Harta perolehan yang tidak mencapai paras nisab pula tidak wajib dizakatkan sehinggalah sempurna nisabnya -bersama harta lain-, barulah wajib dikeluarkan zakat dan bermulalah haul baginya pada ketika itu.

Hasil daripada pendapat ini, berlakulah keringanan ke atas pemilik gaji kecil yang tidak mencapai paras nisab, dan begitu juga kepada pemilik

27

upah pekerjaan profesional yang datang berkali-kali tetapi kecil, yang mana setiap kali upah itu diterima tidak mencapai paras nisab.”1

Seterusnya Kamal dan Ahmad pula cuba mendatangkan bentuk perakaunan zakat pendapatan berdasarkan pemikiran al-Qaradawi di atas. Menurut mereka, walaupun al-Qaradawi menguatkan pendapat bahawa zakat hendaklah ditunaikan sejurus menerima gaji mengikut kaedah al-hajz fī al-manba’ (pemotongan terus sebaik sahaja gaji diterima), tetapi gaji bulanan tersebut mestilah mencukupi nisab. Bagi gaji bulanan yang tidak mencukupi nisab, begitu juga upah yang masuk berkali-kali tetapi kecil bagi pekerja bebas, beliau mencadangkan agar menjadikan setahun sebagai pencantum unit-unit gaji kecil tersebut. Oleh itu, bagi kaedah kedua ini, haul menjadi syarat bagi mencukupkan nisab. Apabila himpunan unit gaji tersebut telah cukup nisab, barulah diambil zakatnya setelah ditolak kos perbelanjaan hidup yang biasa. Sekiranya telah dibelanjakan lebih daripada yang biasa ini, zakat tetap dikenakan.2 Ini bermakna, dakwaan al-Misri sebelum ini yang mengatakan bahawa kaedah taksiran al-Qaradawi menolak perbelanjaan yang akan datang adalah tidak benar, kerana kos perbelanjaan tersebut adalah bagi yang telah lepas, cuma telah ditetapkan hadnya bagi mengelakkan pembayar lari daripada membayar zakat di hujung haul dengan cara membelanjakan kesemua pendapatannya.

Menurut Kamal dan Ahmad lagi, terdapat seorang penulis lain yang bernama ‘Abd al-Rahman bin Hasan al-Nafisah telah mencadangkan agar potongan zakat daripada gaji bulanan dibuat bagi mengelakkan pembayar zakat menunggu lama untuk mengeluarkan zakat pada akhir haul seterusnya memudahkan zakat diagihkan kepada yang berhak secara bulanan3, tetapi tidak disebutkan sama ada pemotongan dibuat

1 Al-Qaradawi (2000), op.cit, j. 1, h. 516-517.

2 Kamal Khalifah Abu Zayd dan Ahmad Husayn ‘Ali Husayn (1999), Muhasabah Zakah. Iskandariah: Dar al-Jam‘iyyah, h. 284, 292-293.

3 Menerusi kajian beliau yang bertajuk “Risalah fi Fiqh al-Zakah”, Majallah al-Buhuth al-Fiqhiyyah al-Mu‘asirah, bil. 28, Ramadan 1916 (sic- 1416), h. 30-35. Dinukil daripada: ibid., h. 284.

28

selepas jumlah pendapatan mencukupi nisab atau tidak. Berdasarkan kenyataan ini, bukanlah al-Qaradawi yang mencadangkan potongan zakat secara ansuran daripada gaji bulanan sebagaimana yang didakwa oleh LZS. Justeru, kajian mereka ini menguatkan telahan awal kajian ini bahawa penyandaran LZS kepada al-Qaradawi bagi kaedah taksiran dan kutipan zakat pendapatan bulanan yang tidak mencukupi nisab adalah tidak tepat. Secara keseluruhannya mengenai kaedah taksiran zakat pendapatan bulanan yang diutarakan oleh al-Qaradawi dapat disimpulkan dalam Rajah 5.3 pada Bab 5.

Seterusnya, Syawqi pula mendatangkan penambahbaikan perakaunan zakat gaji dan upah berdasarkan dalil-dalil hadis dan athar. Menurut beliau, sebelum ini beliau berpegang kepada pendapat al-Qaradawi yang mengatakan bahawa zakat mal mustafad tidak disyaratkan haul. Namun, setelah meneliti dalil-dalil hadis dan athar yang lain, beliau telah menarik balik pendapat tersebut dan berpegang kepada pensyaratan haul bagi mal mustafad. Antara dalil yang dikemukakan ialah athar daripada Saidina ‘Umar r.a. yang mengatakan bahawa beliau adalah pakar rujuk dalam urusan harta kerana Allah telah menjadikannya sebagai penyimpan dan pembahagi harta. Saidina ‘Umar r.a. diriwayatkan telah mengagihkan harta dalam bentuk bulanan kepada para sahabat r.a. mengikut keutamaan tetapi tidak pernah mengambil zakat terus daripadanya. Dalil lain pula, Syawqī menukilkan pendapat Abu ‘Ubayd bahawa beliau tidak berpandangan bahawa kata-kata Ibn ‘Abbas tentang mal mustafad tidak disyaratkan haul adalah bermaksud zakat duit, tetapi sebaliknya bermaksud zakat tanaman yang sememangnya tidak disyaratkan haul. Tambahan pula, menurut Abu ‘Ubayd, sudah menjadi kebiasaan penduduk Madinah menamakan hasil tanaman sebagai harta (al-amwal). Berdasarkan dua dalil ini dan dalil-dalil yang lain, Syawqī berpendapat bahawa perakaunan zakat gaji adalah menurut tahunan dan dikutip zakatnya selepas cukup haul.1

1 Syawqi Isma‘il Syihatah (1988), Tanzim wa Muhasabah al-Zakah fi Tatbiq al-Mu‘asir, c. 2. Kaherah: al-Zahra’ li al-I‘lam al-‘Arabi, h. 251-260.

29

Zayas dalam kajiannya tentang undang-undang dan institusi zakat pula, menyentuh serba sedikit tentang kaedah taksiran zakat pendapatan. Beliau menekankan bahawa zakat tidak boleh dipercepatkan pembayarannya sebelum wujud nisab dalam pemilikan tuannya. Pendapat beliau ini menguatkan pernyataan masalah kajian pertama yang telah disebutkan sebelum ini.1