• Tidak ada hasil yang ditemukan

1.7 SOROTAN KAJIAN LEPAS

1.7.1 Peranan Masjid dalam Ekonomi

Joni Tamkin Borhan dan Che Zarrina Sa’ari (2002)23 mengkaji tentang peranan yang dimainkan oleh institusi masjid dalam membangunkan ekonomi masjid. Beliau telah membuat penelitian terhadap konsep, takrifan, sejarah pengurusan masjid pada zaman awal Islam dan peranan masjid dalam membangunkan ekonomi melalui pelbagai sudut. Melalui penelitian ini pengkaji telah mengemukakan pendapatnya berhubung fungsi lebih gemilang yang boleh dimainkan oleh institusi masjid terutama dalam era K-Ekonomi. Hasil kajian mendapati bahawa dalam era K-Ekonomi, masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menunaikan ibadah sahaja malah kualiti fungsinya boleh ditingkatkan lagi sebagai pusat kebajikan, pusat pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan seperti harta wakaf, sedekah dan sebagainya. Antara aktiviti praktikal yang dicadangkan adalah seperti penubuhan koperasi masjid, pelaburan dana masjid dalam institusi pelaburan kewangan Islam, pelaburan hartanah seperti sewaan bangunan milik masjid dan juga pelaburan dalam pengurusan perkhidmatan dan kemudahan masjid.

Hairunnizam Wahid (2009)24 menyatakan bahawa prestasi ekonomi sesebuah masyarakat baik dalam jangka masa pendek dan panjang turut dipengaruhi oleh faktor-faktor aktivism masjid. Ini kerana aktivism masjid sangat berpotensi membentuk modal insan. Menggunakan model regresi logistic binomial, penganggaran telah dibuat untuk menentukan pemboleh-pemboleh ubah yang mempengaruhi secara signifikan keaktifan sesebuah masjid. Hasil kajian mendapati terdapat empat pemboleh ubah yang mempengaruhi secara signifikan keaktifan sesebuah masjid iaitu kategori masjid, tahap

23

Joni Tamkin Borhan dan Che Zarrina Sa’ari, “Pembangunan Ekonomi Masjid” (Seminar Pembangunan Masjid, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dewan Kuliah Utama APIUM, 28hb Disember 2002), 1-15.

24 Hairunnizam Wahid, Nor Ghani Md Nor, Jaafar Ahmad dan Sanep Ahmad, “Masjid dan Pembentukan Modal Sosial: Apakah Faktor Penentu Aktivism Masjid?” (Prosiding Bengkel Penyelidikan Gunaan dalam Ekonomi Islam, Fakulti Ekonomi UKM, 23-24hb April 2001).

pendidikan pengerusi, kekerapan mesyuarat dan kecukupan pendapatan. Pengkaji berharap agar kajian yang dilakukan dapat membantu penggubal dasar merancang program aktivism masjid dengan lebih berkesan.

Abdul Fikri Abshari (2011)25 pula membuat kajian tentang strategi masjid dalam meningkatkan ekonomi masyarakat. Kajian dilakukan terhadap dua buah masjid di daerah Jakarta Selatan iaitu Masjid Raya Pondok Indah dan Masjid Jami’ Bintaro Jaya. Kaedah analisis deskriptif digunakan bagi membuat analisis terhadap data-data yang diperolehi melalui dokumen-dokumen yang dikumpulkan, bahan perpustakaan, wawancara dan observasi. Hasil kajian mendapati kedua-dua buah masjid mempunyai strategi yang berbeza dalam usaha memperkasakan ekonomi masyarakat setempat. Masjid Raya Pondok Indah menubuhkan institusi kewangan sendiri yang dinamakan dengan Baitul Mal Wa Tamwil (BMT) di mana peranan yang dimainkannya lebih luas. Selain sebagai tempat untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan, produk lain juga diperkenalkan termasuklah simpanan dan tabungan, perniagaan secara usaha sama dan produk transaksi syariah yang lain. Berbeza dengan Masjid Jami’ Bintaro Jaya di mana strategi yang dilakukan ialah memperkenalkan (PMM) Pinjaman Mikro Masjid. Ia merupakan satu bentuk produk yang memberikan kemudahan pembiayaan wang secara Islam khusus kepada pengusaha atau peniaga-peniaga kecil bagi mengembangkan perniagaan. Kesimpulan kajian juga mendapati kedua-dua strategi yang dilaksanakan oleh kedua-dua masjid telah terbukti berjaya meningkatkan ekonomi masyarakat. Selain daripada itu potensi di antara kedua-dua masjid ini tidak jauh bezanya.

25 Abdul Fikri Abshari, “Strategi Masjid Dalam Pemberdayaan Ekonomi Umat, Studi Pada Masjid Raya Pondok Indah dan Masjid Jami’ Bintaro Jaya” (Disertasi Sarjana, Program Studi Muamalat, Fakulti Syariah dan Hukum, Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, 2011).

Kajian berhubung peranan masjid sebagai pusat meningkatkan ekonomi masyarakat juga telah dibuat oleh Carolina Imran (2011).26 Kajian beliau berkisar kepada fungsi yang dimainkan oleh masjid daripada aspek meningkatkan ekonomi masyarakat di Masjid Ittihadul Muhajirin, Kota Tangerang Selatan, Jawa Barat, Indonesia. Pengkaji telah membuat klasifikasi terhadap data-data yang diperolehi seterusnya diolah menjadi data kuantitatif. Kaedah analisis statistik deskriptif digunakan di mana hasil dapatan disajikan dalam bentuk gambar rajah dan jadual. Hasil kajian mendapati Masjid Ittihadul Muhajirin dilihat memainkan fungsi dan peranan selaku pusat meningkatkan ekonomi masyarakat namun ia masih belum mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat disebabkan masih terdapat banyak kekurangan yang harus diperbaiki. Di akhir kajian pengkaji menyarankan bahawa perlunya campur tangan daripada pihak kerajaan terutama dalam menyediakan dana bagi membantu program dan projek yang dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Peranan masjid dalam menjana kegiatan ekonomi ummah telah disentuh dalam kajian Lokman Zulkifli (2007).27 Pengkaji mengutarakan beberapa hujah mengapa perlunya masjid berperanan sebagai pusat kegiatan ekonomi ummah mengambil kira contoh dan bukti pada zaman Rasulullah SAW di mana terdapat aktiviti ekonomi dan perniagaan di sekeliling Masjid Quba’, Masjid Nabawi dan Masjid al-Haram. Tinjauan pengkaji mendapati kebanyakan masjid mengalami masalah pengurusan kewangan masjid yang tidak cekap di mana dananya lebih suka disimpan berbanding dibelanjakan. Di akhir kajian pengkaji telah melontarkan beberapa cadangan bagi membangunkan ekonomi masjid

26

Carolina Imran, “Masjid Sebagai Sentral Pemerdayaan Ekonomi Umat, Studi di Masjid Ittihadul Muhajirin Perumahan Reni Jaya Pamulang Tangerang” (Disertasi Sarjana, Program Studi Muamalat, Fakulti Syariah dan Hukum , Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, 2011).

27 Lokman Zulkifli “Penjanaan Kegiatan Ekonomi Institusi Masjid,” dalam Islam Hadhari Kekuatan Masjid Dalam Menjana Masyarakat Gemilang, ed. Tan Sri Dato’ Dr Abd. Hamid Othman (Putrajaya: Yayasan Islam Hadhari, 2007), 285-301.

antaranya ialah dengan melaksanakan pelan perancangan fizikal. Justeru perancangan fizikal seperti pengubahsuaian persekitaran masjid perlu dilakukan untuk mewujudkan pelbagai prasarana dan premis perniagaan bagi aktiviti ekonomi.

Fungsi masjid sebagai pusat sosial ekonomi dalam pembinaan umat telah dilontarkan oleh Zasri M. Ali (2012).28 Kajian dilakukan dengan merujuk kepada kitab-kitab dan buku-buku berkaitan sejarah masjid dan juga sirah nabi Muhammad SAW. Hasil kajian mendapati jumlah masjid-masjid yang mencapai ratusan ribu dan semakin bertambah masih belum dapat dimanfaatkan fungsinya secara maksimum. Hal ini dengan mengambil kira fungsinya yang menyeluruh dalam membina pelbagai bidang kehidupan, sebagai pusat kegiatan masyarakat termasuk sosial ekonomi. Justeru beliau menyatakan perlunya usaha-usaha bagi memperkasakan fungsi ini melalui gabungan strategi pengurusan,aktiviti program dan pembangunan fizikal.

Manakala Hafsah Othman dan Nangkula Utaberta (2011)29 menganalisis hadis-hadis berkaitan permasalahan perancangan masjid moden di Malaysia. Dalam kajian ini pengkaji telah mengumpulkan hadis-hadis kompilasi al-Bukhari dan al-Muslim yang kemudiannya dihuraikan dan dijadikan kerangka rujukan bagi menjawab pelbagai permasalahan dan krisis perancangan masjid di Malaysia dan dunia. Pengkaji memetik sepotong hadis yang menceritakan bagaimana seseorang yang dalam keadaan memerlukan sesuatu mendapatkannya dari masjid melalui pertolongan Rasulullah SAW dan sahabat baginda. Hasil kajian mendapati setiap masjid perlu berfungsi dari semua sudut termasuk ekonominya bagi kepentingan institusi dan juga kepada mereka yang memerlukannya. Di akhir kajian pengkaji membuat kesimpulan bahawa setiap umat Islam perlu mengambil

28 Zasri M. Ali, “Masjid Sebagai Pusat Pembinaan Umat,”Jurnal Toleransi, Vol. 4, No.1 (2012), 1-11. 29

Hafsah Othman dan Nangkula Utaberta, “Analisis Hadis Dalam Permasalahan Perancangan Masjid Modern di Malaysia,” Journal of Islami Architecture, Vol. 1, Issue 3 (2011), 107-121.

tauladan atas kejayaan Rasulullah SAW pada zaman tersebut dengan cara membangun dan memaksimumkan fungsi masjid sebagai pusat penggerak masyarakat Islam terkini dengan memenuhi pelbagai keperluan rohani dan fizikal.