4.0 Perkembangan Bahasa Melayu
4.2.1 Perancangan Bahasa
4.2.1.1 Pembentukan Ejaan dan Istilah dalam Bahasa Melayu
Pada zaman Jepun, dan selepasnya Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, dengan kebijaksanaan Za’ba memulakan sistem ejaan baru yang dipanggil Sistem Ejaan Sekolah. Sistem ejaan ini ialah gabungan Ejaan Wilkinson, dengan beberapa perubahan baru yang dibuat oleh Za’ba. Ini terkandung di dalam Petua-Petua Ejaan Rumi (1974). Sistem ejaan ini kemudiannya dijelaskan dan digunakan oleh Za’ba di dalam buku Pelita Bahasa Melayu. Penggal I, II, dan III. Sistem ini dikenali sebagai Sistem Ejaan Sekolah dan digunakan di negara ini hinggalah ejaan baru diisytiharkan pada tahun 1972. Walau bagaimanapun, sistem ini didasarkan kepada pengamatan-pengamatan umum sahaja, oleh itu terdapat juga pengaruh huruf Arab ke huruf rumi. Ini menyebabkan Sistem Ejaan Sekolah itu tidak saintifik, dan mengandungi beberapa kelemahan. Kelemahan- kelemahan ini telah mengganggu penggunaan bahasa Melayu waktu itu.
Secara lebih jelas lagi, sistem ejaan Rumi yang terkenal sebelum penggunaan sistem ejaan baru tahun 1972 ialah "Sistem Ejaan Rumi Za’ba" yang juga dihasilkan daripada SITC. Sistem Ejaan Rumi Za’ba disusun dan diperkemas dan terdapat dalam beberapa buah buku pedoman bahasa terbitan Pejabat Karang Mengarang SITC seperti : (i) Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1 (1926), (ii) Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1941), dan (iii) Daftar Ejaan Melayu (Jawi- Rumi) (1949), dengan judul "Petua-petua Ejaan Rumi", yang dikarang oleh Za’ba.
Sehubungan itu, usaha pengemaskinian sistem ejaan dilakukan untuk mengatasi masalah tidak selarasnya beberapa sistem ejaan Rumi yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Sistem ejaan Rumi bagi bahasa Melayu di Malaysia pada tahap awalnya disusun oleh R.J. Wilkinson pada tahun 1908. Kemudian pada tahun 1920-an tokoh ulung bahasa Melayu, iaitu Pendeta Za`ba (Zainal Abidin bin Ahmad) telah menyusun sistem ejaan Rumi yang digunakan demikian lama di Malaysia dalam sistem pendidikan, pentadbiran dan lain-lain, iaitu kira-kira setengah abad, sehinggalah ditetapkan ejaan Rumi baharu pada tahun 1972.
Pada 23 Mei 1972, satu Kenyataan Bersama telah ditandatangani oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu, Tun Hussein Onn dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, Bapak Mahsuri. Kenyataan Bersama tersebut
mengandungi persetujuan untuk melaksanakan asas yang telah dipersetujui oleh para ahli daripada kedua-dua negara tentang Ejaan Baru dan Ejaan Yang Disempurnakan. Puncak daripada segala kegiatan penyempurnaan sistem ejaan Rumi ialah perumusan dan pelaksanaan bersama Sistem Ejaan Baru bagi bahasa Melayu danbahasa Indonesia pada 16 Ogos 1972. Ejaan baru bersama ini dirujuk sebagai Ejaan Rumi Bersama (ERB) yang diguna hingga kini.
Ejaan Rumi Baharu tahun 1972 ialah hasil daripada pemikiran yang matang yang berlandaskan prinsip-prinsip perancangan bahasa yang baik. Ejaan Rumi Baharu merupakan penyataan pertama daripada perancangan korpus pada peringkatsupranasional yang menjadi asas bagi pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serantau seterusnya. Sebagai sistem ejaan yang dirancang untuk keperluan dua buah masyarakat bahasa yang berlainan latar belakang sosiolinguistik dan sejarah pertumbuhannya, Ejaan Rumi Baharu dirumuskan sedemikian rupa supaya dapat diterima oleh semua golongan pengguna kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Rumusan Ejaan Rumi Baharu memperlihatkan prinsip linguistik, ekonomi kesederhanaan, kejelasan dan fleksibeliti serta taraf standard yang tinggi berbanding sistem yang dulu. Sistem Ejaan Rumi baharu ini merupakan sistem wahana yang cekap dan mudah untuk sistem ejaan rumi yang akan datang.
Dalam pada itu, sebelum penetapan sistem ejaan baharu itu, ada pula sistem ejaan Universiti Malaya, sistem ejaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan versi lain yang digunakan oleh pelbagai pihak lain. Sesuai pula dengan semangat penyatuan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia untuk memenuhi kerjasama dan persefahaman serantau, sistem ejaan Rumi baharu yang dirasmikan ialah sistem ejaan yang diselaraskan bersama antara Kerajaan Malaysia (melalui Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu) dengan Pemerintah Indonesia (melalui Pakersa, iaitu Panitia Kerja Sama Kebahasaan), melalui badan rasmi kerjasama kebahasaan antara negara, iaitu Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972.
Penubuhan Majils Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada tahun 1972 memulakan era baru dalam kerjasama kebahasaan di rantau ini. Pada tahun 1972, Sistem Ejaan Baru Bahasa Malaysia/Indonesia dihasilkan. Pengisytiharan Sistem Ejaan Bersama (di Malaysia disebut Sistem Ejaan Rumi Baharu manakala di Indonesia disebut Sistem Ejaan Yang Disempurnakan) berlangsung secara serentak di Kuala Lumpur dan di Jakarta pada 16 Ogos 1972. Di Kuala Lumpur, majlis pengisytiharan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bin Hussein.
Menurut Zulkifley (2004: 44), pada tahun 1972, penyelarasan sistem ejaan bagi Melayu- Indonesia merupakan proses perancangan bahasa yang dilaksanakan pada peringkat supranasional. Hasil yang pertama berjaya dilaksanakan ialah Sistem Ejaan 1972 yang dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia di Malaysia dan di Indonesia pula sebagai Pedoman Ejaan Bahasa Indonesia Yang Disempurnakan. Sepanjang tempoh 1972 hingga 1975, beberapa perubahan kecil telah dilakukan oleh kedua-dua negara terhadap sistem ejaan tersebut. Dengan itu, terhasil lah sebuah buku panduan atau pedoman ejaan yang baru pada tahun 1975. Di Malaysia, buku panduan tersebut dikenali sebagai Ejaan Rumi Baru Bahasa Malasysia manakala di Indonesia pula dikenali sebagai Ejaan Baru Bahasa Indonesia.
Di samping itu, Risalah Sistem Ejaan Rumi Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk kegunaan ramai. Sistem ejaan itu nasih mengandungi beberapa masalah kecil. Jadi Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia dibentuk, dan bertemu dengan Panitia Pengembangan Bahasa Indonesia maka terbentuklah masalah ejaan baru itu dibincangkan dalam persidangan-persidangan majlis tersebut.
Sebagai pedoman kepada masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sejumlah buku dan risalah, antaranya Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (1975), Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981), dan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan – Jawi (2001). Penerbit swasta turut serta dalam pengembangan sistem ejaan baharu itu dengan penerbitan pelbagai buku pedoman bahasa yang turut meliputi aspek sistem ejaan. Sistem ejaan baru ini mengubah sistem ejaan sebelumnya misalnya daripada ch kepada c, sh kepada ‘sy’, ‘dz’ kepada ‘d’ dan ‘th’ kepada ‘s’. Lambang-lambang ‘kh’, ‘ny’, ‘gh’ dan ‘ng’ masih kekal dipakai.
Dengan adanya sistem ejaan Rumi yang dikemaskinikan itu, segala dokumen pentadbiran, bahan pengajaran dan pemelajaran serta bahan untuk segala bentuk komunikasi tertulis diasaskan pada satu sistem ejaan yang relatif seragam dan hal ini membantu berlangsungnya komunikasi yang cekap dan berkesan, khususnya dalam pelaksanaan pentadbiran negara dan sistem pendidikan negara.
Dengan itu, sebuah majlis telah ditubuhkan untuk menyatukan aspek lain bahasa seperti peristilahan, iaitu Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia. Majlis ini telah berjaya menghasilkan sebuah pedoman untuk ejaan baru, iaitu Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia dan sebuah lagi untuk peristilahan, iaitu berjudulPedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia pada tahun 1975 yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan terbitnya buku ini, maka sebahagian besar kekeliruan tentang sistem ejaan bahasa Melayu dapat diatasi. Pada tahun 1976 pula, Majlis Bahasa Malaysia-Indonesia yang telah mengadakan persidangan di Kuatan memutuskan bahawa akhiran “ysis” dan “esis” dalam bahasa Inggeris perlu diterjemahkan secara malar dan diberikan bentuk “isis” sahaja dan bukan kadang kalanya “isa”. Maka dengan itu, “analisa” misalnya kini telah menjadi “analisis”.
Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahsa Melayu merupakan hasil yang penting daripada kerjasama tersebut yang telah banyak membentuk kerja-kerja peristilahan. Sejumlah 164,049 isltilah dalam pelbagai bidang/subbidang ilmu telah berhasil disepakati. Selain itu, 40 buah kamus istilah dapat diterbitkan dalam tempoh dari tahun 1986-2002 dan beberapa buah kamus lain sedang diusahakan.
Bahagian Peristilahan bertanggungjawab membina dan mengembangkan istilah untuk memperkaya dan memperlengkap bahasa Melayu. Kerja-kerja pembinaan, penyelarasan dan pengemaskinian istilah dilaksanakan oleh pelbagai jawatankuasa istilah. Jawatankuasa- jawatankuasa ini dinasihati Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (mulai 1975). Mereka menggunakan Pedoman Pembentukan Istilah (1975) hasil kerjasama dengan Indonesia sebagai panduan membina istilah. Bank Istilah juga telah diwujudkan. Istilah-istilah yang dibina didokumentasikan ke dalam kamus istilah dan disebarkan dari semasa ke semasa.
Usaha menggubal istilah dalam bahasa Melayu untuk mengisi peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini telah bermula pada tahun 1957, dengan dua bidang terawalnya Istilah Kerajaan dan Istilah Ilmu Sains dan Teknik. Sehingga kini, istilah yang terhasil dalam bahasa Melayu hampir mencecah jumlah 1 juta dan meliputi ratusan bidang ilmu dan profesional (Bidang istilah yang sedang diupayakan di peringkat Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia berjumlah 250 bidang, manakala yang diusahakan di peringkat negara melebihi 300 bidang).
Bagi memudahkan kerja, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menubuhkan dua jawatankuasa istilah. Pertama ialah Jawatankuasa Istilah Kerajaan dan Perjawatan, dan kedua ialah Jawatankuasa Istilah Sains Am. Panduan dan falsafah yang dipegang dalam pembentukan istilah tahap awal itu ialah menjaga kemurnian bahasa Melayu dan panduan ini sebenarnya mengongkong proses pembentukan istilah itu. Namun begitu, beberapa istilah telah dapat bertahan sampai sekarang seperti stesen, kimia, dan sains. Terdapat beberapa istilah waktu itu sudah dipinda oleh sebab tidak dapat mendukung konsep asalnya. Contohnya ilmu jiwa, kajirumpun bangsa, ilmu hisab dan kajibentuk bumi. Istilah yang dipakai sekarang ialah psikologi, ethnologi, matematik dan geomorfologi.
Zaman kedua dalam pembentuk istilah berlaku sekitar tahun 1960 hingga 1975. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyusun tiga pedoman yang dapat disenaraikan seperti berikut: (a) Pedoman Membentuk Istilah-Istilah Baru DBP, yang mula digunakan sejak 1959.
(b) Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP, yang mula digunakan selepas 1970.
(c) Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya yang mula digunakan pada 1971.
Beberapa Jawatankuasa Istilah lagi dibentuk kemudiannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membentuk istilah-istilah bidang profesional yang amat mendesak pada ketika itu. Jawatankuasa Istilah ini telah menghasilkan 71,887 istilah sehingga tahun 1975. Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) telah ditubuhkan sejak Disember 1972, sebagai penasihat tertinggi mengenai bahasa bagi membantu usaha-usaha Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahap awal penubuhan JKTBM ialah untuk mewakili Malaysia dalam usaha kerjasama bagi menyusun Sistem Ejaan Rumi Baru dengan Indonesia. Usaha ini berhasil dan dipertingkatkan kemudiannya. Selanjutnya tugas jawatankuasa tersebut mencakupi pula aspek peristilahan dan malahan dianggap oleh kerajaan sebagai badan tertinggi dalam pembentukan istilah Bahasa Melayu.
Pedoman Umum Pembentukan Istilah (PUPI) telah menandakan bermulanya zaman ini. PUPI diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1975. Pedoman ini ialah hasil usaha MBIM yang mengambil masa tiga tahun untuk dibentuk bagi membantu pembentukan istilah untuk bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia. PUPI dibentuk dengan sumbangan pakar ahli bahasa dan ilmu kedua Negara, dengan berpandu kepada amalan dalam usaha yang sama di peringkat antarabangsa. Pedoman ini telah diisytiharkan pemakaiannya oleh Menteri Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia pada 30 Ogos 1975 (Abdullah Hassan, 1987: 85).
Walaupun sudah ada PUPI tetapi disebabkan banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) dan mencakupi bidang yang banyak pula, dengan konsep dan pemahaman ilmunya yang tersendiri pula, maka wujudlah bermacam-macam istilah, malahan satu istilah mendukung pelbagai konsep dan pengertian. Oleh sebab itu, istilah tertentu ciptaan pelbagai JKI itu perlu diselaraskan. Dua buah jawatankuasa penyelarasan telah dibentuk, iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Istilah Sains tulen dan Jawatankuasa Penyelarasan Istilah Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Pada tahun 1981, DBP telah mengeluarkan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia. Buku yang paling muktahir tentang sistem ejaan Rumi bahasa Melayu ialah Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 1996.
Menjelang pada tahun 1980-an, akhiran “isasi” atau “ifikasi” yang sangat popular pada tahun 1960-an dan 1970-an telah digantikan dengan penggunaan “pe-an” oleh para penerbit karya ilmiah tanpa sebarang sokongan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Contohnya ialah:-
· Modenisasi - Pemodenan
· Islamisasi - Pengislaman
Dalam tahun 1980-an juga, satu ketetapan dicapai dalam sidang Majlis Bahasa Malaysia- Indonesia di Bali bahawa “de” dalam istilah saintifik telah digantikan dengan “nyah”. Contohnya perkataan “mendewarnakan” menjadi “menyahwarnakan”. Dalam tempoh ini juga, pelbagai istilah saintifik telah wujud seiring dengan peredaran zaman.
Daripada hampir seluruh bidang ilmu moden yang digubal istilahnya itu, baik dalam bidang ilmu sains sosial mahupun ilmu sains tabii, terdapat bidang baharu yang berkaitan dengan kemajuan negara yang mutakhir, iaitu aeroangkasa, kejuruteraan kapal terbang dan kejuruteraan automotif. Pengerusi Jawatankuasa Istilah Aeroangkasa, Dr. Ahmad Sabirin merupakan pakar yang mereka bentuk, melancarkan dan mengoperasikan mikrosatelit pertama Malaysia, iaitu TiungSAT-1. Jumlah buku istilah dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja ialah sekitar 213 judul. Seluruh peringkat dalam sistem pendidikan negara telah pun memanfaatkan penggunaan istilah yang digubal untuk penyampaian dan pengembangan ilmu kepada pelajar semua peringkat itu.
Keperluan terhadap istilah-istilah baharu dalam bidang tertentu dan keperluan terhadap istilah bidang ilmu dan profesional yang baharu terus-menerus ditangani oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama pakar-pakar ilmu yang sebilangan besarnya terdidik dalam sistem pendidikan kebangsaan, sekurang-kurangnya hingga di peringkat sekolah menengah.
Dalam usaha memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk menjadikannya berupaya menjadi bahasa ilmu moden, ribuan pakar dalam ratusan bidang, yang kesemuanya merupakan aset negara telah dan sedang terlibat secara intensif melakukan penggubalan istilah, menyusun glosari dan kamus istilah serta mengembangkannya dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam pengurusan institusi profesional masing-masing.
Dalam usaha memperluas sumbangan kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah merancang dan memulakan gerak langkah melibatkan pakar-pakar ilmu dan profesional itu dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing, iaitu sebagai peningkatan dan peluasan daripada kerja penggubalan istilah selama ini. Dijangka bahawa dengan strategi bersepadu dan terancang itu, penghasilan karya ilmu dalam bahasa Melayu akan menjadi cukup pesat dan diharapkan dapat memenuhi keperluan mengilmukan generasi pembina negara.
Dalam usaha memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk menjadikannya berupaya menjadi bahasa ilmu moden, ribuan pakar dalam ratusan bidang, yang kesemuanya merupakan aset negara telah dan sedang terlibat secara intensif melakukan penggubalan istilah, menyususn glosari dan kamus istilah serta mengembangkannya dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam pengurusan institusi profesional masing-masing. Dalam usaha memperluas sumbangan kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka sudah pun merancang dan memulakan gerak langkah meliibatkan pakar-pakar ilmu dan profesional itu dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing, iaitu sebagai peningkatan dan peluasan daripada kerja penggubalan istilah selama ini. Dijangka bahawa dengan strategi bersepadu dan terancang itu, penghasilan karya ilmu dalam bahasa Melayu akan menjadi cukup pesat dan diharapkan dapat memenuhi keperluan mengilmukan generasi pembina negara.