• Tidak ada hasil yang ditemukan

Prosedur Pemelukan Islam Di Bawah Akta Majlis Ugama Islam

PEMELUKAN ISLAM

2.4 Prosedur Pemelukan Islam Di Bawah Akta Majlis Ugama Islam

Sebagaimana yang telah dinyatakan pada bahagian sebelum ini bahawa hukum syarak mengkehendaki kalimah syahadah dilafazkan untuk mengiktiraf keislaman seseorang. Berdasarkan kepada prinsip ini, maka AMUIDMMK, Penggal 77 mengandungi peruntukan-peruntukan yang menguruskan pemelukan agama Islam, iaitu di Bahagian VIII- dalam perkara Orang-orang Mualaf.

Bahagian ini turut memperuntukkan perkara-perkara bagi tujuan pendaftaran, kawalan, prosedur yang perlu dilaksanakan oleh pihak yang memeluk Islam, peranan kadi dalam melakukan penyiasatan dan penyediaan laporan serta peranan Majlis selaku pihak yang bertanggungjawab bagi pendaftaran pengislaman yang dilakukan. Antara lain peruntukan tersebut memperuntukan;

Bab 164 Majlis hendaklah menyimpan suatu daftar nama-nama semua orang yang telah memeluk ugama Islam dalam Negara Brunei Darussalam, bersama dengan butir-butir demikian yang berhubung dengan penukaran agama mereka sebagaimana yang ditentukan oleh aturan. Bab 165 Tiada siapa pun boleh didaftarkan sebagai seorang

yang telah memeluk ugama Islam melainkan menurut syarat-syarat Akta ini atau mana-mana aturan yang dibuat dibawah nya.

Bab 166 Tiada sesiapa pun di bawah umur 14 tahun dan 7 bulan boleh didaftarkan sebagai seorang yang telah memeluk ugama Islam.

Bab 167 (1) Jika sesiapa saja ingin untuk memeluk ugama Islam, dia hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadat, di hadapan mana-mana orang Islam dan selepas itu hendaklah hadir di hadapan Kadi daerah di mana dia biasanya tinggal.

(2) Kadi hendaklah membuat siasatan mengenai dengan umur orang demikian dan mengenai hasratnya untuk memeluk ugama Islam dan hendaklah, jika berpuas hati bahawa dia berumur lebih daripada 14 tahun dan 7 bulan dan berhasrat untuk diIslamkan, menghantarnya di bawah jagaan Majlis.

(3) Orang demikian hendaklah, dengan tidak menghiraukan sebarang hak kepada penjagaannya yang diserahkan dalam tangan mana-mana orang lain atau pertubuhan, ada dan berada dalam jagaan Majlis selama 3 bulan dan Majlis hendaklah menghantarnya kepada penjagaan Majlis dan juga perbelanjaan makanan, tempat tinggal, tunjuk ajar dan perbelanjaan-perbelanjaan yang mungkin berlaku semasa tempoh 3 bulan tersebut.

(4) Apabila tempoh selama 3 bulan itu telah tamat orang mualaf tersebut hendaklah berhenti daripada berada dalam jagaan Majlis, dan Majlis hendaklah, jika orang mualaf tersebut menghendaki sedemikian, membayar perbelanjaannya untuk pulang kepada jagaan penjaganya yang sah.

(5) Jika Kadi berpendapat bahawa pemohon tersebut berumur di bawah umur 14 tahun dan 7 bulan, dia hendaklah mengembalikannya kepada penjaganya yang sah dan dia hendaklah dianggap belum memeluk ugama Islam.

(6) Kadi hendaklah melaporkan semua tindakan yang telah diambil olehnya di bawah syarat-syarat bab ini kepada Penasihat Ugama.

(7) Dalam setiap laporan demikian Kadi hendaklah menyatakan sama ada pada pendapatnya orang mualaf tersebut telah mengucap Dua Kalimah Syahadat dengan kehendaknya sendiri atau dengan paksa.

(8) Tiada apa-apa pun yang terkandung dalam bab ini boleh berjalan untuk membenarkan mana-mana budak yang belum dewasa untuk diambil daripada jagaan penjaganya yang benar atau sah tanpa keizinan penjaganya yang benar atau sah itu.

Bab 168 Sesiapa saja yang melaksanakan suatu pengislaman hendaklah dengan serta merta melaporkan pengislaman tersebut kepada Majlis bersama dengan semua butir-butir yang diperlukan.

Terdapat juga beberapa peruntukan tentang kesalahan yang berkaitan dengan pemelukan Islam serta kewajipan pihak tertentu seperti Majlis sebagai pihak yang bertanggungjawab dari segi pendaftaran. Perkara ini diperuntukan dalam Bahagian X yang antara lain menyebut sebagai;

Barangsiapa yang bertentangan dengan syarat-syarat dari Bahagian VIII, mengislamkan atau bertujuan untuk mengislamkan sesiapa saja, atau, setelah dengan senghaja mengislamkan sesiapa saja, dengan senghaja melalaikan atau gagal untuk melaporkan pengislaman demikian kepada Majlis, adalah melakukan suatu kesalahan : Hukuman, di penjara selama sebulan atau didenda sebanyak $1,000.63

Barangsiapa, yang dipertanggungjawabkan oleh Akta ini dengan tugas mendaftar mana-mana perkara atau perbicaraan, atau untuk membuat, menyediakan, menyimpan atau menjaga mana-mana senarai penaksiran, laporan, buku akaun, anggaran, daftar, buku keratan, buku minit, atau senarai yuran, atau untuk mengeluarkan mana-mana surat keterangan, resit atau salinan sah, enggan atau senghaja melalaikan atau gagal untuk menjalankan tugas demikian, atau dengan senghaja menjalankan tugas tersebut dengan cara yang tidak sah dan tidak sempurna, adalah

melakukan suatu kesalahan : Hukuman, dipenjara selama 3 bulan atau didenda sebanyak $2,000.64

Peruntukan di atas sebenarnya merupakan satu-satunya peruntukan undang-undang yang menjadi asas utama dalam mentadbir hal berkenaan kemasukan orang-orang bukan Islam ke dalam agama Islam di negara ini.

Secara umumnya prosedur yang disediakan ini selaras dengan kehendak syarak supaya urusan pengislaman seseorang dapat dibuat dengan kemas dan mempunyai bukti. Dokumen atau bukti pengislaman seseorang tentulah untuk mengelak sebarang kekeliruan dalam hal-hal yang berkaitan dengan keagamaan seperti perkahwinan dan kematian. Jika seseorang bukan Islam masuk Islam tanpa mengikuti sebarang prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang memanglah pengislaman seseorang itu tetap sah dan diterima oleh Islam, walau bagaimanapun sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kematiannya, tentunya ia akan mengakibatkan masalah dan kesukaran.

Atas kepentingan yang sama, itulah juga sebabnya peruntukan-peruntukan tentang kesalahan yang berkaitan dengan pemelukan agama Islam diperuntukkan.

Cuma timbul persoalan tentang penetapan keislaman yang boleh diterima menurut peruntukan tersebut sebagai seseorang yang telah memeluk agama Islam. Menurut peruntukan berkenaan, seseorang yang berada di bawah umur 14 tahun 7 bulan masih

belum dianggap memeluk Islam. Peruntukan ini kelihatan seperti bertentangan dengan hukum syarak yang tidak mensyaratkan sebarang umur minimum untuk memeluk agama Islam.

Mahkamah Syariah, Majlis Ugama Islam dan Pusat Dakwah Islamiah adalah agensi-agensi yang terlibat bagi melaksanakan kehendak undang-undang tersebut.